Tahun pertama belajar di
negara “Ardul Kinanah”, seperti senior lain saya jua menghabiskan cuti
semester dengan mengikuti kelas-kelas talaqqi. Di antara kelas talaqqi yang diikuti,
kelas al-Quran di rumah seorang syeikh bernama Zaki di celah-celah Syari’
Syuhada’ sangat mengimbau kenangan dan menyedarkan saya erti kehidupan dan
berkawan dengan al-Quran.
Setiap
pagi sampai di rumah Syeikh Zaki, beliau akan tunggu kami di atas kanabah
(sofa ) sandarnya dengan sebilah jarum insulin. Siapa yang awal sampai akan
bantu Syeikh Zaki untuk cucuk insulin. Saya memang elak masuk rumah beliau awal
kerana sangat penakut dengan jarum. Suatu hari, ketika saya melangkah masuk,
Syeikh Zaki panggil dan minta saya berdiri di sisi sahabat yang sedang membantu
beliau cucuk insulin.
“Anakku,
penyakit ini hanya asbab dan insulin ini hanya wasilah. Jika Allah tidak
izinkan jarum ini menembusi lenganku maka tiada apa yang dapat menghalang-Nya.
Justeru, jangan kau takuti jarum ini kerana ia jua makhluk Allah seperti kita.”
Terkedu seketika dan tidak disangka bahawa Syeikh Zaki dapat mengagak yang saya
takutkan jarum. Perlahan saya mengambil tempat di barisan belakang sekali
sambil memikirkan bicara beliau sebentar tadi.
Sambil
menunggu giliran membaca al-quran di hadapan Syeikh, saya berbual-bual dengan
rakan di sebelah. Kononnya nak elak mengantuk. Sedang rancak berborak, suara
garau Syeikh Zaki jelas kedengaran. “Apa yang kalian bualkan di belakang
sana? Kenapa mulut kalian tidak digunakan untuk ulang bacaan al-Quran? Apa yang
kalian nak jawab di hadapan Allah kelak dengan mulut yang asyik bicara kosong?
Apakah kalian mahu aku dan rumahku ini menjadi saksi kelak? kalau datang ke rumahku
hanya untuk bertemu kawan; pulanglah. Aku bimbang kalian penyebab aku di heret
ke neraka.Dan jangan jadikan mashaf al-Quran di tanganmu mencemuh memakimu.”
“Bacalah
al-Quran dengan akal dan jiwamu, bukan hanya dengan mulut dan matamu. Jiwamu
akan hidup dan bercahaya bila al-Quran adalah rakanmu. Suluhi hidupmu dengan
cahaya al-Quran.Hidupkan hatimu dengan al-Quran bukan dengan teman yang
melupakanmu dengan al-Quran. Tak guna kau memiliki sekeping sijil berkelulusan
agama tetapi kaulah orang yang menghina agama dengan perbuatan sia-siamu.Sungguh
merugikan kau menjadi agamawan tapi di mulutmu jauh sekali di hatimu untuk
tadabbur al-Quran.”
Usai
menghabiskan bacaan di hadapan Syeikh Zaki saya bangun untuk pulang. Bicara dan
teguran beliau sebentar tadi masih berbisa dan berbekas di hati. Sungguh jauh
diri ini dengan cahaya al-Quran. Betapa banyak kelemahan yang harus diperbaiki.
Saat saya melangkah keluar, Syeikh Zaki berpesan dengan nada kebapaannya. “ Anakku,
saat kau melintas jalan masukkanlah tanganmu dalam poket jubahmu dan jangan kau
biarkan tanganmu terawang-awang. Silangkan begmu dicelah leher dan ketiakmu
agar ia bisa membantumu kelak.” Saya hanya mengangguk kepala dan meminta
diri untuk beredar pulang. Bagi saya, itu hanyalah pesanan yang biasa seorang
bapa pada anak gadisnya.
Dalam
perjalanan pulang, ketika melintas jalan menuju ke stesen bas, tiba-tiba tangan
kanan saya dilanggar tramco namun tiada sebarang kecederaan kerana
tangan saya tersangkut di celah beg. Alhamdulillah. Lama saya merenung tangan
kanan saya dan pesanan Syeikh Zaki tadi bagaikan terngiang-ngiang di telinga. Ya
Allah, benarlah janjimu. Di saat kita menjadikan al-quran sebagai rakan dan
membacanya dengan jiwa, Al-Quran akan menerangi dan menghidupkan jiwa.
Hingga
kini aku bukanlah “al-Quraan bergerak” tetapi aku cuba menjadi pencinta Kalam
Allah itu. Membaca al-Quran itu indah tetapi peluang memahami al-Quran adalah
anugerah terindah Allah. Aku sentiasa berdoa agar aku ditemani cahaya al-Quran
dan insan-insan yang mendambakan cahaya al-Quran.