Hebatnya Tanah Liat

Surah An-Nahl Ayat:81 ini menjelaskan kepentingan dan kehebatan bahan-bahan dari bukit-bukau seperti tanah-liat, granit, garam kristal, batu-batu permata, dan sebagainya. Ahli sains telah membuat kajian dan memang terbukti bahan-bahan seperti tanah-liat (misalnya bentonite clay) dapat menyahkan getaran dan radiasi dan sebagainya.

Kita telah mengkaji akan kehebatan mikro-kristal yang bersifat piezoelektrik dan pyroelektrik. Dan sekarang Al-Quran mengulangi lagi penerangan dan kelebihan bahan-bahan dari tanah dan bukit-bukau.

“Yutimmu Ni’matahu” (Allah telah melengkapkan nikmatNya) merujuk kepada ilmu pertahanan badan dan minda, iaitu ilmu nanoteknologi, untuk menyelamatkan manusia dari serangan getaran string dan pancaran radiasi. Pada hari ini memang terbukti manusia terdedah kepada pelbagai pancaran dan sinaran yang merbahaya kepada kesihatan dan minda mereka.

Statistik menunjukkan penyakit mental (dan pelbagai penyakit ganjil) meningkat dengan mendadak sejak akhir-akhir ini dan dijangkakan pada tahun 2020 penyakit mental akan menjadi musuh utama manusia mengatasi penyakit jantung.

Subhanallah, Keajaiban Antibiotik Pada Tanah

Jika kita mengambil segenggam tanah, kebanyakan orang mungkin akan berfikiran tanah itu mengandungi kuman-kuman penyakit. Namun tahukah anda dalam sebuah kajian, para saintis mengatakan bahawa salah satu fungsi tanah dan khususnya lagi tanah dari gunung berapi dapat menghapuskan kuman yang bahaya. Oleh kerana itu, mereka kini menghasilkan antibiotik pembunuh bakteria berbahaya yang diambil dari jenis tanah tertentu.

Seorang Doktor dari Perancis, Line Brunet de Course mencari tanah hijau Perancis, yang boleh digunakan sebagai antibiotik untuk rawatan di Invory Coast dan Kenya. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengganggap perkara tersebut sebagai penemuan yang mengagumkan.

Selepas itu, Dr Linda Williams juga mengesahkan tanah merupakat zat yang sangat bersih di mana bahan-bahan tersebut mengawal aktiviti mikrob yang pada akhirnya boleh melemahkan dan menghilangkannya.

Salah seorang ahli biologi Dr . Haydel berkata "Sekarang kita harus mencari hubungan antara ilmu bumi dan sel-sel hidup, setahun yang lalu saya hanya memandang tanah sebagai bahan kotor, tapi sekarang sebaliknya menganggap tanah sebagai bahan yang steril !"

Para penyelidik mendapati beberapa jenis tanah di Afrika Selatan boleh menghasilkan suatu jenis antibiotik yang boleh membunuh bakteria yang tidak boleh dibunuh dengan antibiotik lain. 

Penemuan ini telah diterbitkan dalam jurnal "New World" pada tahun 2006, kata penyelidik Jun Wang dari makmal Merck Research di New Jersey yang mencari Penemuan ini "sekarang peluang baru telah muncul, dalam rangka untuk menghasilkan antibiotik dari tanah!"

Sifat tanah seperti yang disimpulkan oleh para ini seperti berikut :

1 . Bahan steril terbaik yang terdapat di dunia.

2 . Tanah dapat menghilangkan bakteria yang tidak dapat dihilangkan oleh bahan kimia.

3 . Tanah merupakan cara terbaik untuk membersihkan air.

4 . Tahan adalah bahan alami yang dimurnikan air.

5 . Ada lebih dari sepuluh ribu jenis tanah yang baru ditemui di Eropah.

6 . Pelbagai jenis pinggan dan periuk buatan cina yang paling terbaik dihasilkan dari tanah.

7 . Tanah adalah zat yang tidak tumbuh semula dengan berlalunya waktu.

8 . Ruang yang terdapat di antara butiran-butiran tanah bersaiz 50 % dari saiznya.

9 . Antibiotik yang kita gunakan untuk merawat penyakit sebahagian besar berasal dari mikroorganisma dalam tanah.

10 . Tanah merupakan bahan yang sangat baik untuk membersihkan liang-liang kulit.

Tapi sebagai kaum Muslim hal tersebut bukanlah sesuatu yang ganjil, sebelum 14 abad tanah adalah benda suci sebagaimana kita mengetahui hubungan langsung antara sel-sel dan tanah, kerana kita meyakini manusia diciptakan dari tanah dan akan kembali menjadi tanah.

Mungkin kita telah mengetahui mengapa islam menyuruh kita Bertayamum dengan debu tanah, Rasulullah Saw bersabda :

" Bumi dijadikan untukku sebagai tempat sujud (masjid) dan alat bersuci " Hadis Riwayat Muslim

Serta rahsia di sebalik kewajipan bembersihkan bekas jilatan anjing dengan tanah dan Air.

Oleh kerana itu, termasuk hikmah ilahiyah bahawa kita mendapati kanak-kanak kecil suka bermain dengan tanah dan selalu cuba menggenggam tanah yang kelihatan kotor itu. Allah swt memberi mereka naluri yang mengetahui bahawa tanah adalah bahan yang pembersih yang mengungguli fungsi sabun daripada jenis terbaik. Maka segala kebesaran bagi Allah swt yang mengajarkan manusia apa yang ia tidak tahui.

Semua sabda yang dituturkan oleh baginda Rasulullah Saw merupakan kebenaran yang berasal dari Allah swt, tatkala berbagai penemuan-penemuan ilmu pengetahuan moden turut menjustifikasikan dan membenarkan tutur kata dari Rasulullah yang sama sekali belum diketahui dan terbayang dalam benak manusia sebelumnya, disebabkan keterbatasan ilmu dan cara mutakhir.

Dan di antara keajaiban-keajaiban ilmiah yang telah Baginda sampaikan kepada Ummatnya, iaitu mengenai keistimewaan Tanah.

Aurat Dipelihara, Hidup Sejahtera

WANITA merupakan insan istimewa ciptaan Allah. Kehadiran mereka menjadi pelengkap dan penyeri hidup seorang lelaki. Nikmat dikurniakan ibu yang penyayang, isteri peneman hidup dan anak penghibur hati perlulah disyukuri.

Sejajar dengan amanah yang perlu digalas sebagai ketua keluarga, kewajipan tentang penjagaan aurat wanita perlu diterapkan dengan berhikmah. Ini merupakan jaminan untuk mengecapi hidup sejahtera di dunia hingga ke akhirat. Firman Allah dalam Surah at-Tahrim, ayat 6 :

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

Namun harus diingatkan juga bahawa kewajipan menutup aurat bagi lelaki juga telah ditetapkan oleh syariat Islam. Sepertimana isteri dan anak-anak perempuan, jangan pula diabaikan juga anak-anak dan saudara-saudara lelaki kita.

Sanggupkah kita melihat isteri dan anak-anak diseksa dan diazab kerana tidak menutup aurat? Marilah kita sama-sama menghayati bagaimana yang dikatakan aurat dijaga, hidup sejahtera. Moga-moga ia boleh bermanfaat dan dikongsi bersama ahli keluarga.

TUTUP AURAT PERINTAH ALLAH

Menutup aurat adalah perintah Allah, bukannya satu fesyen dan trend yang menjadi ikutan.

Secara jelas Allah menyatakan dalam Surah An-Nur, ayat 31, bermaksud : “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji daripada orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

Menutup aurat merupakan salah satu manifestasi iman bagi perempuan dan lelaki. Mana mungkin kita mengaku beriman dengan lidah, membenarkan dengan hati, tetapi kita gagal menterjemahkan melalui perbuatan. Menutup aurat bukan kerana cantik, untuk nampak baik atau untuk menutup kekurangan diri tetapi menutup aurat biarlah berprinsip dan digarap dengan kefahaman tauhid yang jelas.

Kesempurnaan dalam menutup aurat

Mari kita fikirkan, apa akan terjadi pada hidangan tanpa ditutup? Sudah pasti hidangan ini dihinggapi lalat, lantas menghilangkan selera kepada penggemarnya. Islam secara jelas menggariskan ciri-ciri menutup aurat melalui Surah al-Ahzab , ayat 59, maksudnya: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Kesempurnaan aurat meliputi tudung yang tidak jarang dan labuh menutup dada. Manakala pakaian pula, mestilah labuh, kain yang tebal dan tidak ketat sehingga menampakkan susuk badan. Realiti masyarakat hari ini, sebahagian menyangka dengan bertudung mereka telah menutup aurat. Sedangkan, ciri-cirinya masih belum ditepati.

Natijahnya, gambaran tentang bertudung sudah semakin tercemar. Kita ghairah mengikut budaya masyarakat lain. Hasilnya lahirlah busana Muslimah yang pada hakikatnya tidak menepati syariat. Mari kita fikirkan sejenak, adakah isteri dan anak-anak kita telah menutup aurat dengan sempurna. Atau sekadar mengikut orang yang mereka suka? Perkara ini yang perlu dijelaskan sebagai tanda kasihkan mereka.

PENDIDIKAN SEJAK KECIL

Mulakan kefahaman ini dengan menekankan sifat malu sebagai amalan. Perasaan malu adalah asas kepada akhlak yang mulia, termasuklah keinginan menutup aurat. Jika tidak, masakan Rasulullah S.A.W secara sinis menjelaskan melalui hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Uqbah bin Amru RA maksudnya: “Antara perkara yang masih diamalkan umat manusia daripada ajaran Nabi terdahulu ialah ‘Jika engkau tidak malu, buatlah apa saja yang kamu mahu.”

Justeru, teraplah budaya pakaian yang menutup aurat sejak kecil. Berilah pujian dan galakan dengan membeli pakaian yang cantik dan menepati syariat. Bukannya membeli pakaian yang mendedahkan aurat dan mencolok mata.

Didiklah mengikut tahap dan peringkat. Semailah minat dan rasa cinta hidup berpandukan syariat sejak awal, pasti kesannya akan berpanjangan. Moga-moga tindakan hari ini menyelamatkan kita pada masa akan datang.

KESAN TIDAK MENUTUP AURAT

Melihat masalah sosial hari ini, menimbulkan kegusaran di hati. Apabila wanita gagal menutup aurat dengan sempurna, pintu maksiat akan terbuka. Eksploitasi wanita semakin bermaharajalela.

Masih ingatkah mengenai pengajaran tentang aurat dalam Peristiwa Israk Mikraj? Bayangkan rambut yang menjadi kebanggaan, diikat dan digantung sehingga menggelegak otaknya. Sanggupkah kita melihat anak dan isteri kita diazab sedemikian rupa? Justeru, apa lagi? Buktikan kasih sayang pada golongan wanita ini. Tarbiahlah mereka agar perintah Allah ditepati.

KESIMPULAN

Menutup aurat merupakan kewajipan setiap Muslim. Ia perlu dilaksanakan berteraskan ketakwaan kepada Allah.

Didiklah anak-anak dan isteri menutup aurat dengan sempurna selaras tuntutan syariat untuk menutup ruang dan jalan maksiat dalam kalangan masyarakat.

Pendidikan tentang kepentingan menutup aurat bagi lelaki dan perempuan perlu bermula sejak kecil. Pengabaian terhadap perkara penting ini akan memberi kesan buruk kepada gaya hidup bersyariat orang yang kita sayang.

Institusi Keluaran Tunjang Lahir Generasi Muslim Unggul

Sebagai ketua keluarga peranan suami membentuk peribadi isteri dan anak dalam usaha melahirkan generasi Muslim

Gelaran suami ringan dipanggil atau disebut, namun tanggungjawabnya sangat berat. Sebagai ketua sebuah keluarga, suamilah yang menentukan hala tuju ahli keluarga sama ada bakal menghuni syurga atau menerima azab neraka di akhirat kelak.

Menurut Ibn al-Munzir, Saidina Ali ketika membicarakan ayat itu berpesan: “Ajarkanlah diri kamu dan keluarga kamu mengenai kebaikan dan didiklah mereka.” Ayat itu secara tidak langsung menggesa suami supaya mempelajari fardu agama yang diwajibkan kepadanya dan mengajarkannya pula kepada ahli keluarga mereka.

Selain anugerah daripada Allah SWT, keluarga juga amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita. Peranan untuk membentuk peribadi isteri dan anak semua tertanggung di pundak suami. Lantaran itu, suami memerlukan keupayaan ilmu mendasar, daya tahan iman yang utuh dan stamina amal yang teguh. Selain itu, mereka perlu ada kemahiran, kesenian dan kesabaran mendidik yang tinggi.

Apakah kita tidak mengimpikan untuk menjadi suami mithali yang mengikut acuan Baginda Nabi SAW? Menyedari hakikat ini, beberapa kewajipan perlu diambil berat dan dilaksanakan oleh ketua keluarga. Beri tarbiah Islam Memberikan pendidikan dan tarbiah Islam kepada anggota keluarga. Dunia hari ini memerlukan kepada penguasaan sains dan teknologi, pengurusan pentadbiran, ekonomi serta kewangan. Inilah yang menuntut kita menyediakan bekalan pengetahuan duniawi kepada isteri dan anak supaya tidak ketinggalan. Namun, keseimbangan antara ilmu duniawi dan ukhrawi mestilah wujud.

Atas kesedaran itu, kita hendaklah berusaha sedaya mungkin menyediakan ilmu akhirat kepada mereka. Pupuklah mereka supaya bercita-cita tinggi untuk memburu kejayaan di dunia dan akhirat. Marilah sama-sama kita hayati firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka dalam kalangan manusia ada orang yang berdoa: Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia, dan tiadalah baginya bahagian di akhirat. Dan dalam kalangan mereka ada orang yang berdoa: Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada seksa neraka. Mereka itulah orang yang mendapat bahagian daripada yang mereka usahakan; dan Allah sangat cepat perhitungan-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 200-202)

Lahir generasi baharu Muslim Institusi keluarga adalah tunjang kepada kesinambungan rantaian manusia dari generasi ke generasi. Wujudnya kita sebagai Muslim sejati adalah hasil usaha generasi terdahulu. Andai keluarga itu benar-benar menurut acuan dan kehendak Islam yang tulen, ia akan menghasilkan generasi baharu Muslim yang unggul. Jika sebaliknya, keadaan keluarga porak peranda, haru-biru, kacau-bilau dan tiada hala tuju, pastinya kelahiran generasi Muslim akan terencat serta terbantut. Lantaran itu Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan berilah peringatan (nasihat) kepada kaum kerabatmu yang terdekat.” (Surah al-Syuara’, ayat 214)

Peringatan paling penting ialah supaya berpegang teguh dengan akidah Islam dan jangan sekali-kali mensyirikkan Allah SWT. Inilah yang telah dipesan oleh seorang bapa contoh yang bernama Luqman al-Hakim kepada anaknya. Difirmankan oleh Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi pelajaran kepadanya: Hai anakku, janganlah kamu mensyirikkan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.” (Surah Luqman, ayat 13)

Keharmonian dan ketenangan rumah tangga tidak akan wujud andai tali ikatannya rapuh dan reput. Ia perlu sentiasa diperbaharui dan diberi simpulan kukuh supaya erat bertaut. Tali itu adalah ikatan kasih sayang yang menghubungkan antara anak dengan ibu bapanya. Oleh sebab anak itu lahirnya kemudian dan tidak tahu apa-apa, maka mereka perlu diberikan bimbingan supaya menghargai pengorbanan ibu bapa. Inilah juga yang ditekankan oleh Luqman al-Hakim supaya dapat membentuk anak yang taat kepada ibu bapa serta menjadi anak salih.

Menghidup dan membudayakan syariat Islam dalam rumah tangga. Apalah ertinya lampu yang indah, namun tidak boleh menerangi. Apalah makna ubat yang banyak, tetapi tidak boleh menyembuhkan. Itulah gambaran boleh diberikan kepada keluarga yang tidak diterapkan nilai Islam. Asas membudayakan Islam dalam rumah ialah dengan mendirikan solat dan memerintahkan setiap ahli keluarga melaksanakannya. Sedarlah bahawa ia bukan suatu yang mudah, malah menuntut kesabaran tinggi. Demikian juga dengan perintah lain seperti menutup aurat, mengasingkan tempat tidur antara anak lelaki dengan perempuan.

Semua untuk menyelia perkembangan mereka supaya membesar berdasarkan fitrah jantina masing-masing dan menjadi Muslim yang salih dan salihah. Tiada kecelaruan jantina yang merosakkan identiti. Terap budaya ekonomi Islam dalam keluarga Antara perkara yang perlu kita budayakan dalam keluarga ialah pengurusan kewangan. Umpamanya mengajar anak menjadi amanah, berbelanja berdasarkan keperluan, bersedekah, mengamalkan sikap berjimat cermat dan membuat simpanan untuk kegunaan pada masa hadapan. Selain itu, perlu juga diterapkan pembudayaan ekonomi Islam seperti memilih makanan halal, barangan baik dan perkhidmatan patuh syariat. Semua perkara ini tidak akan dapat dibudayakan tanpa ada kerjasama daripada isteri.

Sehubungan itu, binalah keserasian dengan isteri, sentiasalah berbincang bersama dalam membentuk keluarga bahagia dan harmoni di dunia serta akhirat. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang yang beriman, dan zuriat (anak cucu) mereka mengikuti mereka dalam keimanan, kami hubungkan (himpunkan) anak cucu mereka dengan mereka (di dalam syurga), dan kami tiada kurangi sedikit pun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.” (Surah at-Thur, ayat 21)

Tarbiah anak sedar kelemahan, terima takdir

Galakkan anak sering bertanya sekiranya mereka tidak memahami sesuatu perkara.

Al-Quran membentangkan kepada kita seribu satu cerita yang tentunya sebagai petunjuk dan pedoman untuk dipelajari dan dihayati. Al-Quran menjadi syifa merawat jiwa adalah satu tarbiah kepada manusia dalam menjawab segala permasalahan duniawi pada hari ini.

Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman dalam rancangan Ibrah yang bersiaran pada Isnin, jam 5.15 petang, kali ini memfokuskan mengenai proses pendidikan kepada anak yang wajar disandarkan menerusi kisah Nabi Adam AS ini. Dalam al-Quran sendiri, sebanyak tujuh surah membicarakan kisah Nabi Adam AS. Masihkah kita mengingati mengenai babak Iblis yang tidak mahu sujud kepada manusia? Firman Allah yang bermaksud, “Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekeliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.” (Surah al-Baqarah, ayat 34)

Melalui kisah yang dibentangkan dalam al-Quran, kisah Nabi Adam AS ini wajar diteladani oleh ibu bapa. Pendidikan keimanan Katanya, penjelasan pertama adalah pendidikan melalui keimanan kepada perkara ghaibiyyat. Lihatlah mengapa Allah datangkan malaikat dan Iblis dalam kisah Nabi Adam AS? Pernahkah kita sendiri memberitahu anak mengenai asal usul kejadian manusia? Hakikat Nabi Adam AS yang dijadikan daripada tanah liat, kemudian ditiupkan roh kepadanya. 

Firman Allah yang bermaksud, “(Ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia – Adam dari tanah; Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan) Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya. (Setelah selesai kejadian Adam) maka sujudlah sekelian malaikat, semuanya sekali, melainkan Iblis; dia berlaku sombong takbur (mengingkarinya) serta menjadilah dia dari golongan yang kafir.” (Surah Saad, ayat 71 hingga 74)

Selain daripada itu, anak perlu diajar mengenai mengapa manusia pertama itu Nabi Adam AS? Jawapan bagi soalan itu tentulah Allah itu Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana. Ilmu Tauhid menjadi asas kepada pendidikan anak. Ibu bapa perlu mendidik anak sejak dari kecil tentang perlunya mereka mengenali Allah SWT lebih daripada segala-galanya kerana Allah SWT memberikan akal kepada manusia untuk berfikir tentang sesuatu. Sifat dimiliki malaikat

Pendidikan kedua yang menjadi sandaran melalui kisah Nabi Adam AS ini adalah keimanan kepada malaikat. Hakikatnya, Allah SWT memasukkan kisah malaikat untuk menunjukkan kepada kita tentang bagaimana malaikat yang sentiasa taat itu menjelaskan elok kelakuannya. Malaikat adalah makhluk yang bukan sekadar baik dan sifar dosa, tetapi mereka juga sangat sensitif. Hal ini dijelaskan di dalam al-Quran yang bermaksud, “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), pada hal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu? Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”. (Surah al-Baqarah, ayat 30)

Lihatlah betapa malaikat berani bertanya sekiranya mereka tidak tenang. Malaikat memohon penjelasan daripada Allah SWT untuk mengetahui tentang kelemahannya. Justeru, anak juga perlu diajar untuk sering bertanya sekiranya mereka tidak memahami dan mengetahui tentang sesuatu perkara itu. Pendidikan ketiga Hal seterusnya yang perlu difahami adalah tentang keimanan kepada qada dan qadar melalui kisah Nabi Adam AS. Bagaimana cara kita memandang sesuatu musibah yang berlaku. Kisah Nabi Adam AS mendidik jiwa agar tidak meletakkan setiap kesalahan kepada Allah SWT. Jika diperhatikan, kita fahami Nabi Adam AS mempunyai kesilapan, iaitu memakan buah khuldi (larangan dalam syurga), Iblis pun mempunyai kesilapan kerana enggan sujud kepada Nabi Adam AS. Mereka diperintahkan turun ke dunia.

Bagaimana Iblis menerima takdir dan musibah tersebut? Allah menjelaskan di dalam al-Quran yang bermaksud, “Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus.” (Surah al-A’araf, ayat 16)

Iblis menerima takdir tanpa memandang cara betul dan akhirnya bertindak menyesatkan manusia sedangkan Nabi Adam AS dicampakkan Allah ke muka bumi, menerima takdir sebagai penyebab mentaati perintah Allah SWT. Begitulah hakikat cerita dan kisah Nabi Adam yang perlu diambil pengajaran untuk mendidik anak pada hari ini. Pendidikan betul akan menghasilkan natijah betul dan tepat, tetapi sebaliknya jika memandang sesuatu perkara itu dalam keadaan negatif, maka hal tersebut akan memberikan keputusan mendukacitakan. Justeru, manusia perlu berperwatakan seperti malaikat dan menjauhkan diri daripada berperwatakan iblis.

Romantik cara Rasulullah s.a.w

RAMAI dalam kalangan pasangan menganggap sikap romantik tidak lagi penting atau perlu ditunjukkan dalam hubungan, lebih-lebih lagi selepas mencapai usia puluhan tahun bergelar suami isteri.

Malah, suami yang bersifat tegas dan bengis terhadap isteri dilihat seperti lebih dibanggakan serta dijadikan contoh kerana kononnya berjaya mendominasi sebagai ketua dalam keluarga.

Ini kerana, majoriti beranggapan sikap lemah lembut dan kasih sayang terhadap pasangan hanya sesuai untuk pasangan muda yang baru berkahwin atau memulakan cinta bagi mengenali pasangan masing-masing.

Sehinggakan apabila pasangan yang telah lanjut usia bersifat romantik terhadap pasangan masing-masing mereka dilihat janggal atau lebih tepat lagi seperti ‘membuang tabiat’.

Menyentuh mengenai perkara ini, romantik adalah sifat Rasulullah SAW dan apabila mana-mana pasangan melakukannya dengan tujuan mengamalkan sunah pasti akan mendapat pahala daripada Allah SWT.

Walaupun baginda terkenal sebagai pemimpin yang hebat dan panglima perang yang digeruni oleh musuhnya, namun beliau berkata, Rasulullah SAW memiliki sifat kasih sayang dan romantis sebagai seorang suami terhadap isteri-isterinya.

Ketinggian peribadi Rasulullah SAW itu, tambahnya, membuktikan kepada umat Islam bahawa kemuliaan akhlak baginda yang sempurna sehingga tidak dapat dikesan cacat celanya walaupun dengan teman rapat iaitu isteri-isterinya sendiri.

“Antara kejayaan Rasulullah SAW dalam berdakwah adalah kerana akhlaknya yang mulia. Sehinggakan sesiapa sahaja yang melihat baginda buat kali pertama pasti akan terpikat dengan sikap baginda.

“Kemuliaan ini bukannya lakonan baginda sebagai Amirulmukminin ketika bersama sahabat, tetapi isteri-isteri baginda sendiri tidak dapat menyatakan kekurangan baginda ketika bersama mereka di rumah.

“Malah pelbagai kisah diceritakan oleh isteri Rasulullah SAW sendiri mengenai keperibadian baginda ketika di rumah,”

Antara sifat romantik Rasulullah SAW, adalah seperti bergurau senda dengan isteri dan menemani isterinya ketika keluar rumah.Sifat penuh romantik itu diceritakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim: “Rasulullah apabila datang waktu malam, baginda berjalan bersama Aisyah dan berbincang-bincang dengannya.”

Malah, Nabi Muhammad turut membantu isterinya semasa menaiki kenderaan sebagaimana diriwayatkan di dalam Sahih Bukhari dan Muslim bahawa: “Nabi Muhammad SAW duduk di sisi unta baginda. Kemudian baginda membengkokkan lututnya. Lalu isteri baginda, Shafiyyah meletakkan kakinya di atas lutut Nabi Muhammad SAW hingga naik atas unta”.

KERJA RUMAH

Menjadi kelaziman di dalam sesebuah keluarga meletakkan tanggungjawab menguruskan hal rumah tangga dan tugasan di rumah kepada isteri.

Ini kerana, kebanyakan suami merasakan kerja rumah adalah tugas isteri sepenuhnya, manakala tanggungjawab suami pula adalah mencari nafkah, menyediakan tempat tinggal dan menyara keluarga.

Walaupun isteri itu juga turut bekerja, telah menjadi budaya terdapat segelintir suami yang tidak mahu membantu melakukan tugas yang sinonim bagi golongan wanita tersebut kerana dikhuatiri jatuh keegoan sebagai lelaki.

Umat Islam terutamanya golongan suami perlu menyedari bahawa melakukan kerja rumah adalah tugas suami, manakala isteri adalah sebagai pembantu.

“Hinggakan Rasulullah SAW melakukan sendiri kerja-kerja rumah. Baginda juga pernah menjahit sendiri pakaian yang koyak, tidak semata-mata mengharapkan isterinya melakukan kerja-kerja berkenaan.

“Rasulullah SAW juga tidak pernah merungut di hadapan makanan walaupun tidak ada apa yang ingin dimakan pada hari itu. Baginda hanya makan dua kali sehari iaitu makan tengah hari sebelum waktu Zohor dan makan malam selepas Asar sehingga sebelum waktu solat Maghrib,” jelasnya.

Tugas suami yang disepakati dalam al-Quran ialah memberi nafkah zahir dan batin kepada isteri mengikut kemampuan.

Bagi nafkah zahir, ulama bersepakat ia melibatkan makanan, pakaian dan tempat tinggal. Manakala nafkah batin pula bukan sahaja menunaikan keperluan seksual tetapi ia adalah fokus kepada pasangan suami atau isteri yang mahu dikasihi, dimanjakan, ambil berat antara satu sama lain.

Walau bagaimanapun, tidaklah menjadi kesalahan sekiranya isteri 100 peratus menguruskan hal ehwal rumahtangga jika ia diredai oleh isteri berkenaan.

LAKUKAN SUNNAH SELAGI TERMAMPU

Bagi menzahirkan kesetiaan dan kecintaan kepada Rasulullah SWT, umat Islam digalakkan untuk mengamalkan sunah iaitu dengan mencontohi perbuatan yang diajar oleh baginda ketika hayatnya.

Saranan  kepada seluruh umat Islam di negara ini dalam usaha memperoleh syafaat daripada Rasulullah SAW ketika di akhirat kelak.

Mengamalkan sunah bukan suatu kewajipan, namun umat Islam digalakkan mencontohi akhlak dan perbuatan Rasulullah SAW sekadar termampu.

“Segala perbuatan dan sifat yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW merupakan fitrah baginda sebagai seorang manusia biasa dan perbuatan itu dikenali sebagai sunah.

“Buatlah sekadar yang termampu dan ia amat digalakkan dalam Islam, tetapi janganlah sehingga terbeban atau tertekan untuk melakukan sesuatu yang tidak termampu.

“Hidup ini juga adalah fitrah, setiap pekerjaan yang kita lakukan boleh menjadi ibadah dan mendapat ganjaran pahala jika dilakukan bagi memperoleh keredaan daripada Allah SWT,

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga