Rahsia Di Sebalik Demam

Demam itu ialah penyakit yang menyebabkan suhu tubuh melebihi suhu biasa. Jika demikian tiada siapa pun yang tidak pernah merasa demam, namun apakah hakikat penyakit demam itu sebenarnya dari sudut agama dan apakah pula hikmahnya?

Hakikat Demam

Sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar Ra mengatakan yang maksudnya :

"Demam berasal dari kepanasan api neraka yang mendidih, maka padamkanlah ia dengan air". ( Bukhari dan Muslim)

Dalam hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah Ra dari Nabi Saw, Baginda bersabda yang maksudnya :

"Demam adalah dari panas api neraka yang mendidih, dari itu dinginkanlah ia dengan air". (Muslim)

Dalam kitab Umdah Al-Qari menyebutkan bahawa panas yang lahir dari tubuh orang yang demam itu adalah secebis daripada kepanasan api neraka. Allah telah menzahirkannya pada diri orang yang demam itu dengan sebab-sebab yang tertentu agar dia mengambil iktibar daripadanya, sebagaimana Allah telah menzahirkan berbagai jenis kegembiraan dan kenikmatan yang berasal dari nikmat-nikmat syurga untuk menjadi pengajaran dan petunjuk baginya.

Sebahagian ulama berpendapat bahawa apa yang dimaksudkan dengan kepanasan api neraka di sini ialah satu perumpamaan antara panas orang yang demam dengan panas api neraka sebagai peringatan kepada diri manusia betapa panasnya api neraka. Namun pendapat ini disanggah oleh Ath-Thayyibi dengan mengatakan bahawa ia tidak sesuai untuk dijadikan sebagai perumpamaan, bahkan demam itu memang lahir atau berasal dari kepanasan api neraka sedari mula atau sebahagian dari hembusan api neraka.

Adapun maksud "mendinginkannya dengan air" itu menurut Ibnu Al-Ambari ialah bersedekah dengan air, kerana ada riwayat mengatakan bahawa sedekah yang paling afdhal itu ialah memberi minum air.

Mengeluh Dan Mengadu Kerana Demam

Memang tidak dinafikan bahawa ada setengah orang mengeluh kerana demam atau mengerang kerana kesakitan. Apakah perbuatan ini diharuskan dalam agama?

Sebenarnya kita tidak dilarang untuk mengadu atau mengeluhkan kesakitan kita kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Apa yang dilarang ialah kita mengeluh dan mengadukannya kepada orang lain sesama manusia. Nabi Saw sendiri, para sahabat dan pengikut-pengikut mereka, pernah mengadukan kesakitan mereka. Diriwayatkan bahawa Al-Hasan Al-Basri sewaktu sahabat-sahabatnya datang ke rumahnya, mereka menemuinya sedang mengadukan sakit giginya kepada Allah Subhanahu Wa Taala dengan berkata yang ertinya :

Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada (yang lain) yang mengasihani.

Adapun yang dimaksudkan dengan larangan mengadukan kesakitan kepada sesama manusia itu ialah mengadukannya dengan cara merasa jemu dan benci dengan penyakit itu. Akan tetapi jika seseorang itu memberitahu atau menceritakan penyakitnya kepada kawan-kawannya supaya mereka dapat mendoakannya sembuh, maka dalam hal ini tidaklah menjadi satu kesalahan. Begitu juga jika seseorang itu mengeluh kerana sakit, tetapi keluhannya itu boleh mendatangkan kerehatan kepadanya atau boleh meredakan kesakitannya, maka tidaklah juga menjadi apa-apa.

Mencaci-maki Demam

Selaku seorang muslim yang beriman, sepatutnya memiliki sifat sabar dan tidak mengeluh apabila ditimpa demam. Orang yang tidak mempunyai sifat sabar semasa ditimpa demam, mungkin tidak akan dapat mengawal dirinya dari mencaci maki penyakit ini, sedangkan kita dilarang berbuat demikian oleh Nabi Saw. Ini bersandarkan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Jabir Ra yang maksudnya :

"Bahawasanya Rasulullah Saw telah berkunjung ke rumah Ummu Saib atau Ummu Musayyib, lalu Baginda bersabda:

"Apa halnya engkau wahai Ummu Saib atau Ummu Musayyib menggigil?

Dia menjawab: "Demam, semoga Allah tidak memberikan berkat kepadanya".

Nabi Saw bersabda: "Jangan engkau memaki penyakit demam, kerana dia menghilangkan kesalahan Bani Adam (manusia) sebagaimana landasan (tukang besi) menghilangkan kotoran (karat) besi".(Muslim)

Begitulah, segala apa jua yang datang daripada Allah, sama ada berupa rahmat, hendaklah kita syukuri, atau berupa musibah, maka hendaklah kita sabar menempuhinya.

Demam Penebus Dosa

Sebenarnya larangan mencaci maki demam itu mempunyai rahsia atau hikmat tertentu yang wajar kita ketahui dan ingati.

Begitu juga hadith yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Jabir Ra yang disebutkan sebelum ini, mempunyai maksud yang sama. Jelasnya, kedua-dua hadith ini menerangkan bahawa demam yang menimpa seseorang itu boleh menghapuskan dosa-dosanya yang telah lalu.

Jadi, ditimpa demam itu adalah sesuatu yang menguntungkan, kerana ia menghapuskan dosa, natijah yang lain, ia akan memantapkan keimanan.

Wuduk Sempurna Bercahaya Di Akhirat

WUDUK adalah perbuatan menggunakan air untuk membasuh anggota badan tertentu dengan niat untuk mengangkat hadas. Adapun wuduk dengan difathahkah huruf wau, yang dimaksudkan dengannya adalah air yang digunakan untuk wuduk.

Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah berkata, “Perkataan wuduk diambil daripada pecahan perkataan al-wadha-ah yang bererti bercahaya. Ia dinamakan demikian kerana orang yang mengerjakan solat menyucikan dirinya (dengan wuduk) sehingga menjadi bercahaya.”

Hal yang semakna dengannya disebutkan juga oleh Imam Al-Syaukani rahimahullah dalam Nailul Authar, Bab Sifat wuduk.

Keutamaan wuduk

1. Cahaya pada hari kiamat. Orang yang berwuduk sempurna akan mendapat cahaya pada wajah, hujung kedua tangan dan kedua kakinya pada hari kiamat kesan daripada dia berwuduk ketika di dunia.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari kiamat dalam keadaan wajah dan hujung kedua anggota tangan dan kaki mereka bercahaya hasil daripada kesan-kesan wuduk.” (Bukhari Muslim)

Apabila dikatakan umatku atau umat Nabi Muhammad, ia membawa dua maksud;

1. Umat Al-Dakwah (umat yang diseru yakni seluruh manusia), 2. Umat Al-Ijabah (umat yang menerima seruan yakni kaum Muslimin).

Yang dimaksudkan dengan umatku dalam hadis ini adalah umat Al-Ijabah iaitu umat Islam yang telah menerima dakwah Nabi Muhammad.

Pada hari akhirat kelak, mereka ini yang akan diseru dan mereka akan datang dalam keadaan wajah serta hujung kedua tangan dan kaki mereka bercahaya kerana hasil daripada ibadah wuduk yang mereka kerjakan ketika di dunia. Kesan anggota badan yang telah dibasuh atau disapu untuk wuduk itu akan menjadi tanda umat Nabi Muhammad pada hari kiamat kelak.

Manusia pada hari kiamat tidak memakai tanda nama yang menunjukkan mereka Muslim, tetapi cahaya kesan daripada wuduk ini menjadi tanda yang tidak boleh dipalsukan.

Dengan cahaya-cahaya ini umat Nabi Muhammad dikenali pada hari kiamat. Umat yang lain, jauh sekali orang kafir, mereka tidak ada cahaya ini.

2. Setengah daripada iman. Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Bersuci (berwuduk) adalah setengah daripada iman.” (Riwayat Muslim)

3. Menghapuskan dosa kecil dan meninggikan darjat. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Apabila seorang hamba Muslim itu berwuduk dan dia membasuh wajahnya, maka keluarlah semua kesalahan-kesalahan hasil daripada pandangan matanya bersama air sehinggalah ke titisan air yang terakhir.

Dan apabila dia membasuh kedua tangannya, maka keluarlah dari tangannya semua kesalahan yang dilakukan kedua tangan itu bersama air sehinggalah titisan air yang terakhir. Dan apabila dia membasuh kedua kakinya, keluarlah semua kesalahan kaki yang telah digunakan untuk berjalan bersama air sehinggalah ke titisan air yang terakhir. Sehinggalah akhirnya dia keluar (selesai wuduk) dalam keadaan dia suci daripada dosa-dosa.” (Riwayat Muslim)

Uthman RA berkata, “Aku melihat Rasulullah SAW berwuduk seperti wudukku ini, kemudian Baginda bersabda: “Barang siapa berwuduk seperti wudukku ini maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu. Manakala solat dan langkah kakinya menuju masjid menjadi tambahan (pahala).” (Muslim)

Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah seorang Muslim berwuduk dengan membaguskan wuduknya lalu mengerjakan solat, melainkan ALLAH akan mengampuninya antara solat itu dan solat berikutnya.” (Bukhari dan Muslim)

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah kalian aku tunjukkan sesuatu yang dengannya ALLAH akan menghapus kesalahan dan mengangkat darjat?” Mereka menjawab, “Tentu, wahai Rasulullah”.

Baginda bersabda, “Menyempurnakan wuduk pada keadaan yang dibenci (misalnya keadaan sangat sejuk), banyak berjalan ke masjid, dan menunggu solat berikutnya setelah solat. Maka itulah ribath, itulah ribath.” (Riwayat Muslim)

Ribath adalah amalan berjaga di daerah perbatasan antara daerah kaum Muslimin dengan daerah musuh. Maksudnya pahala amalan tersebut disamakan dengan pahala orang yang melakukan ribath.

4. Wuduk adalah amalan yang membawa ke syurga. Daripada Umar RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seseorang daripada kalian berwuduk secara sempurna lalu mengucapkan: Asy-hadu an laa ilaaha illallah wahduu laa syarika lah wa asy-hadu anna Muhammadan ‘abduhu wa rasuuluh (Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan kecuali ALLAH semata yang tiada sekutu bagiNya dan bahawa Muhammad adalah hamba dan utusanNya) melainkan kelak akan dibukakan untuknya lapan pintu syurga yang kepadanya dipersilakan untuk masuk melalui pintu mana saja yang dia sukai.” (Riwayat Muslim)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW berkata kepada Bilal RA setelah solat fajar: “Sesungguhnya aku mendengar suara terompahmu di hadapanku di syurga.” Bilal berkata, “Tidaklah aku mengamalkan suatu amalan yang lebih aku harapkan di sisiku, melainkan berwuduk pada malam atau siang hari dan terus mengerjakan solat yang dapat aku lakukan setelah itu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis disebutkan ini menunjukkan kelebihan wuduk. Keutamaan ini hanya dimiliki apabila wuduk dilakukan secara sempurna. Kesempurnaan wuduk ini tentu dikembalikan kepada dua syarat diterima ibadah secara mutlak; iaitu ikhlas kerana ALLAH, dan ittiba (mengikuti contoh daripada Rasulullah SAW), sebagaimana sabda Baginda: “Sesiapa yang berwuduk seperti wudukku ini, nescaya dosanya yang telah lalu akan diampuni.” (Riwayat Muslim)

Maka wajarlah kita mempelajari serta mengerjakan wuduk itu dengan sebaik dan sesempurna mungkin. Semoga kita tergolong dalam kalangan mereka yang mendapat fadilat ini.

Perkara mewajibkan wuduk

Ibadah wuduk diwajibkan dalam beberapa keadaan antaranya;

1. Solat. Wuduk adalah di antara syarat sah solat, di mana solat adalah ibadah yang paling utama bahkan ibadah pertama yang akan disoal kepada seseorang itu pada hari akhirat kelak.

Sekiranya solatnya diterima dan baik maka baiklah seluruh amalannya, mudahlah urusannya yang berikut. Adapun jika solatnya tidak baik maka sukarlah perjalanan yang akan dihadapi selepas itu di Padang Mahsyar kelak.

Wuduk menjadi syarat sah untuk apa jua solat yang ingin dikerjakan, baik solat fardu mahupun solat sunat.”

Hal ini sepertimana keumuman firman ALLAH SWT: “Wahai orang beriman, apabila kamu bangkit untuk solat maka basuhlah wajah kamu, dan kedua tangan kamu sehingga ke siku, dan sapulah kepala kamu, dan kedua kaki kamu sehingga dua buku lali.” (Surah Al-Maaidah: 6)

Antara hadis Nabi Muhammad SAW mengenai wuduk sebagai syarat sah untuk solat adalah Baginda SAW bersabda: “Tidak akan diterima solat seseorang yang berhadas sehingga dia berwuduk.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Seseorang yang mengerjakan solat dalam keadaan berhadas maka solatnya tidak diterima sehingga dia mengangkat hadas tersebut dengan berwuduk. Bahkan kalau dia sengaja solat tanpa wuduk, dia berdosa kerana solat dalam keadaan tidak suci (berhadas).

Hadas adalah satu sifat berbentuk hukum, di mana keberadaan hadas menyebabkan ibadah yang disyaratkan taharah (bersuci) menjadi tertolak. Jika seseorang melakukan juga ibadah yang disyaratkan taharah dalam keadaan berhadas, maka ibadah itu tidak diterima dan tidak sah.

2. Tawaf di Baitullah Al-Haram. Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Tawaf di Baitullah sama seperti solat, kecuali ALLAH membolehkan berbicara di dalamnya.” (Sahih. Riwayat At-Tirmidzi)

Hanya dalam beberapa keadaan ini kita diwajibkan berwuduk. Bagaimanapun, umat Islam disunnahkan untuk sentiasa dalam keadaan berwuduk demi meraih kebaikan yang boleh diperoleh kesan daripada ibadah wuduk tersebut.

Bahkan Rasulullah SAW tidak berzikir yakni menyebut nama ALLAH kecuali dalam keadaan Baginda berwuduk. Dan kita dituntut untuk sentiasa mengingati ALLAH dalam setiap keadaan.

Ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Al-Muhajir bin Qunfudz ra, dia pernah mendatangi Nabi Muhammad SAW ketika Baginda SAW sedang buang air kecil.

Dia mengucap salam kepada Baginda SAW namun Baginda tidak menjawab salamnya sehingga Baginda berwuduk lalu Baginda SAW berkata, “Sungguh aku tidak suka menyebut nama ALLAH melainkan dalam keadaan bersuci.” (Sahih. Abu Daud)

Pekerjaan yang Perlu Dijauhi Pada Akhir Zaman

Rasulullah Saw telah memberi amaran kepada umatnya untuk berwaspada dengan pekerjaan-pekerjaan yang haram ini. Rasulullah Saw menyebutkan salah satu tanda rosaknya akhlak umat manusia dengan ketidak pedulian mereka terhadap cara mencari harta kekayaan. Di antara mata pencarian yang dilarang adalah:

a. Pekerjaan yang berupa kesyirikan dan sihir, seperti dukun/bomoh , paranormal, peramal nasib, dan hal-hal yang sejenis dan semakna dengannya.

b. Pekerjaan yang menuju kesyirikan, seperti membuat patung, melukis gambar makhluk yang bernyawa, dan perkara-perkara yang sejenis dan semakna dengannya.

c. Menjual beli hal-hal yang diharamkan oleh syariat, seperti bangkai, babi, darah, anjing, patung, lukisan makhluk yang bernyawa, minuman keras, dadah, dan lain sebagainya.

Dari Abu Mas'ud al-Ansari ra bahawasanya Rasulullah Saw melarang harta dari harga jualan anjing, upah wanita pezinaan, dan upah seorang dukun. 

Dari Abu Juhaifah ra ia berkata: "Sesungguhnya Rasulullah Saw telah melarang harta hasil jualan darah, penjualan anjing, upah budak perempuan yang bekerja untuk berzina (upah mucikari). Beliau melaknat perempuan yang membuat tatu, perempuan yang meminta ditato, orang yang memakan harta riba, orang yang memberi riba, dan orang yang membuat patung. "

Dari Jabir bin Abdillah ra bahawasanya ia telah mendengar Rasulullah Saw bersabda di Mekah pada tahun penaklukkan Mekah: "Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan penjualan khamer, bangkai, babi, dan patung." Maka ada seseorang bertanya: "Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat anda tentang menjual lemak bangkai, kerana ia boleh digunakan untuk mengecat perahu, meminyaki kulit, dan orang-orang biasa menggunakannya untuk minyak lampu penerangan? "Maka beliau menjawab:" Tidak boleh menjualnya, ia tetap haram. "

Rasulullah Saw lantas bersabda: "Semoga Allah memerangi kaum Yahudi. Ketika Allah mengharamkan atas mereka lemak bangkai, mereka mencairkannya lalu menjualnya dan memakan harganya. "

Dari 'Aisyah radiyalaahu' anhuma ia berkata: "Ketika diturunkan ayat-ayat di akhir-akhir surat Al-Baqarah tentang riba (ayat 275 dan sebagainya), Nabi Saw keluar ke masjid dan membacakannya kepada masyarakat. Beliau Saw kemudian mengharamkan perdagangan khamer, minuman keras.)

d. Memakan harta riba.

Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah riba yang masih ada pada diri kamu, jika kamu benar-benar beriman. Jika kamu tidak mahu melakukannya, maka terimalah pengumuuman perang dari Allah dan Rasul-Nya. "( Al-Baqarah :278-279).

e. Menimbun bahan-bahan perdagangan ketika harganya murah dan diperlukan oleh masyarakat dengan tujuan meraih keuntungan yang berlipat kali ganda pada ketikaa harganya melambung tinggi. Dari Ma 'mar bin Abdullah al-Ansari ra dari Rasulullah Saw, beliau bersabda:

"Barang siapa menimbun, ia telah berbuat salah." Dalam lafaz yang lain: Tidak ada orang yang melakukan penimbunan selain orang yang berbuat salah. "

f. Perjudian.

Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak (minuman keras), perjudian, berkorban untuk berhala-berhala, dan mengundi nasib dengan anak panah adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan, maka jauhilah oleh kalian perbuatan-perbuatan tersebut agar kamu mendapat keberuntungan.Sesungguhnya syaitan bermaksud menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran meminum arak dan melakukan perjudian dan menghalang-halangi {melalaikan} kalian dari zikir kepada Allah dan dari solat. Maka mengapa kamu tidak mahu berhenti? (Surah Al-Maidah : 90-91).

g. Memakan harta anak yatim secara zalim.

Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka). (Surah An-Nisa ': 10).

i. Mencuri atau merompak.

Pencuri laki-laki dan pencuri perempuan, maka potonglah (pergelangan) tangan-tangan mereka sebagai hukuman dari Allah atas kejahatan mereka. (Surah Al-Maidah : 38).

j. Mengurangkan timbangan dan sukatan.

Kecelakaan bagi orang-orang yang melakukan penipuan dalam timbangan, iaitu kalau menyukat milik orang lain untuk dirinya, ia meminta disempurnakan. Namun, apabila mereka menyukat barang dagangan mereka untuk orang lain, ia merugikan orang lain (dengan mengurangkan sukatan). (Surah Al-Muthaffifin: 1-3).

k. Korupsi dan penipuan terhadap rakyat.

Dari Ma'qil bin Yasar ra ia berkata: Saya mendengar Nabi Shallallahu 'Alaihi wa Sallam telah bersabda: "Tidak ada seorang hamba pun yang diberi amanah oleh Allah untuk menjadi pemimpin sebuah masyarakat lalu ia tidak memimpin mereka dengan ketulusan (kejujuran), kecuali ia tidak akan mendapatkan bau syurga. "Dalam lafaz Muslim:" ... kecuali Allah mengharamkan syurga atasnya. "

l. Menunda-nunda bayaran gaji pekerja dan pekerja atau mengurangkan hak-hak mereka.

Dari Abu Hurairah ra dari Nabi SAW, beliau bersabda: "Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman' Ada tiga golongan yang Aku menjadi musuh mereka; orang yang memberikan sumpah setia dengan menyebut nama-Ku lalu ia mengkhianati, orang yang menjual orang merdeka lalu ia memakan hasil penjualannya, dan orang yang menggaji seorang pekerja lalu si buruh menyelesaikan pekerjaannya sementara ia tidak mahu membayar upahnya. "

Sabar Berdepan Suami Panas Baran

Melayani isteri dengan baik dari aspek tingkah laku dan percakapan adalah kewajipan seorang suami kepada isterinya. Suami yang panas baran dan melepaskan kemarahan kepada isteri dan anak-anak dengan caci maki dan perkataan jelek melakukan dosa dan termasuk dalam kategori suami yang nusyuz.

Dalam buku al-Fiqh al-Manhaji karangan Dr Mustafa al-Khin, Dr Mustafa al-Bugho dan Ali asy-Syarbaji, menjelaskan bahawa seseorang suami itu dianggap nusyuz apabila dia menzalimi isteri dengan tidak menunaikan hak isteri dalam pembahagian giliran bermalam atau hak nafkah atau bercakap atau bertindak kasar terhadap isteri.

Sekiranya seorang isteri mendapati suaminya melakukan nusyuz seperti selalu bercakap dengan suara yang kasar dan memaki hamun, dia boleh mengingatkan suaminya dengan hak yang diabaikannya.

Ini seperti yang jelaskan Allah dalam surah an-Nisa, ayat ke-19 yang bermaksud: “Dan bergaullah dengan mereka secara baik. Kemudian jika kamu bencikan mereka, kerana mungkin kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).”

Saya menyarankan kepada isteri yang berdepan dengan suami yang panas baran dan celupar agar banyak bersabar dan bertenang. Ini kerana ketika marah, suami dalam keadaan tertekan dan tahap ego paling tinggi. Jika isteri pula membalas makian suami dengan emosi dan saling memaki hamun, keadaan akan menjadi buruk.

Kemungkinan besar ia meleret menjadi pergaduhan dan perkelahian yang berakhir dengan kecederaan. Justeru, elakkan menegur suami ketika dia sedang marah. Ambil masa beberapa lama sehingga dia bertenang, selesa dan lebih mesra sebelum berbincang isu ini.

Mohon kepadanya dengan lembut agar tidak mengulangi perbuatannya. Jelaskan juga kepadanya perasaan puan yang terasa hati dan sedih dengan tindakannya. Jika tidak berani bersemuka dengan suami, e-melkan atau hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepadanya dengan bahasa yang baik.Isteri perlu mengelakkan daripada berbincang dengan suami dalam keadaan suami sedang kepenatan ketika baru pulang dari kerja, sedang kelaparan, sibuk bekerja, berada bersama orang ramai atau keluarga.

Sekiranya, teguran kepada suami tidak berhasil atau isteri terlalu takut untuk menegurnya, gunakan bantuan orang ketiga bagi berbincang dan menegur suami. Ini disarankan Allah dalam surah an-Nisa, ayat ke-128 yang bermaksud: “Dan jika seorang wanita bimbang nusyuz atau sikap tidak acuh daripada suaminya, maka tidak mengapa bagi kedua-duanya mengadakan sulh yang sebenar-benarnya dan sulh itu lebih baik (bagi mereka)…”

Orang tengah yang dilantik sebagai pendamai antara suami isteri sebaiknya dipilih daripada orang yang dihormati daripada keluarga suami dan seorang daripada keluarga isteri. Ini bagi memastikan majlis pendamaian atau sulh ini dilakukan dengan adil dan dapat diterima oleh kedua-dua pihak. Kaedah ini adalah berdasarkan firman Allah dalam surah an-Nisa, ayat 35 yang bermaksud: “Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantik seorang pendamai daripada keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan.

Jika kedua-dua pendamai itu menghendaki perdamaian, nescaya Allah berikan taufik kepada suami isteri itu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuan-Nya.”

Sekiranya usaha damai ini berhasil, suami isteri boleh meneruskan kehidupan mereka sebagai suami isteri seperti biasa dan mengambil pengajaran daripada peristiwa ini tetapi sekiranya persefahaman tidak dapat dicapai, orang tengah boleh mencadangkan supaya kedua-duanya berpisah dan menjalani hidup sendiri. Sekiranya suami enggan menceraikan isteri tetapi masih meneruskan sikap panas baran, isteri boleh melaporkannya kepada Mahkamah Syariah untuk tindakan selanjutnya.

Bagi suami yang bersikap kasar terhadap isteri dan anak-anak, ingatlah pesanan Rasulullah SAW: “Berhati-hati dengan doa orang yang teraniaya, kerana antara dia dan Allah tidak ada hijab yang menghalang makbulnya doa.”

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga