Anak Boleh Gembirakan Roh Ibu Bapa

Kelompok manusia yang kufur kepada Allah SWT, siang dan malam yang dilalui sepanjang kehidupannya di alam kubur adalah sangat menggerunkan. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada di alam barzakh) dan pada hari berikutnya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): Masukkanlah Firaun dan pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!” (Surah al-Ghafir, ayat 46)

Huzair Ibnu Abi Syaibah menyatakan, roh Firaun berserta orang kafir itu sentiasa berada di dalam perut burung berwarna hitam, berulang-alik ke neraka dan diperlihatkan keadaan kepada dirinya, setiap hari pada waktu siang dan malam.

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati di IKIMfm setiap Khamis, jam 5.15 petang, berkata perkara kedua yang diperlihatkan ialah amalan orang yang hidup kepada roh orang Mukmin yang ketika itu sedang berada di Illiyeen melalui saat indah dalam keadaan tertentu. Berdasarkan hadis daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya amal kalian itu diperlihatkan kepada kaum kerabat dan keluarga kalian yang sudah meninggal dunia. Jika amal itu baik, mereka akan berasa gembira, dan jika sebaliknya mereka akan memohon: Ya Allah jangan kamu matikan mereka sehingga Kamu berikan petunjuk kepada mereka.”

Elak khianati orang meninggal dunia

Diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dalam kitab Nawadir al-Usul, Abdul Ghafur Ibnu Abdul Aziz menuturkan bahawa ayahnya pernah menerima riwayat daripada datuknya dan menceritakan Rasulullah SAW bersabda: “Amal perbuatan itu diperlihatkan pada hari Isnin dan Khamis kepada Allah, manakala amalan nabi serta ibu bapa mereka diperlihatkan pada Jumaat.”

Baginda SAW juga berpesan supaya jangan sekali-kali melakukan khianat kepada orang yang telah meninggal dunia dengan amalan buruk dan keji. Alangkah sedih dan kecewanya orang yang meninggal dunia apabila melihat tingkah laku kita yang melanggar syariat Allah SWT. Selain itu, antara perkara yang dapat membantu kita menjaga dan menghormati mereka yang telah meninggal dunia ialah dengan menyambungkan silaturahim. 

Ibnu al-Mubarak meriwayatkan daripada Uthman Ibn Abdillah Ibn Ash bahawa Said bin Jubir pernah berkata kepadanya: “Mintalah izin kepada puteri saudaraku, dia adalah isteri Uthman, puteri Amru bin Ash. Kemudian dia berangkat dan meminta izin supaya dapat menemuinya. Setelah dia masuk, kemudian bertanya bagaimana perlakuan suaminya terhadap dirinya, sama ada baik atau tidak. Lalu dijawab: “Ya, dia sentiasa berbuat baik kepadaku. Kemudian dia berpesan: Uthman, berbuat baiklah kepadanya (isterinya) kerana kamu tidak berbuat sesuatu kepadanya melainkan ia akan diketahui oleh Amru bin Ash.”

Pada ketika itu Amru bin Ash sudah meninggal dunia. Lalu menantunya bertanya: “Apakah orang yang meninggal dunia dapat mendengar mengenai orang yang masih hidup? Dia menjawab: “Ya. Tidaklah seorang yang sudah meninggal dan memiliki keluarga terdekat melainkan akan datang pada amalnya perbuatan keluarga yang masih hidup. Jika dia berbuat baik, dia akan merasa senang. Jika melakukan keburukan, dia akan berdukacita.”

Bunyi roh berterbangan seperti lebah

Rasulullah SAW menceritakan keadaan roh akan datang menziarahi sahabatnya yang telah meninggal dunia. Di dalam keadaan roh yang kesunyian ketika berada di alam kubur, pada waktu itu mula terdengar bunyi roh yang berterbangan, seumpama bunyi lebah. Apabila disoal dari mana datangnya bunyi itu, malaikat menjawab itulah bunyi roh yang telah meninggal dunia sebelum ini. Sayup-sayup kedengaran dari jauh, roh itu berbicara sesama mereka dan menyatakan bahawa lebih baik roh yang baharu meninggal dunia itu dibiarkan beristirahat dahulu kerana dia mungkin keletihan. Namun roh itu berkata, dia tidak letih malah dengan bangganya memperlihatkan kain kapan dipakaikan kepadanya oleh anaknya yang salih ketika menyempurnakan jenazahnya. Sesungguhnya setiap mayat itu bergembira dengan kain kapan yang dipakaikan kepadanya. Kemudian roh yang lain akan datang bertanya keadaan anak mereka, sama ada mereka datang menziarahi ketika hidupnya. Jika roh yang baharu meninggal dunia itu menjawab dia tidak pernah diziarahi oleh anak dan kaum keluarga setelah ketiadaan mereka, roh itu akan berasa sangat sedih kerana mungkin sahaja anaknya tidak lagi menyambung silaturahim dan dihumban ke dalam neraka Hawiyah.

Apabila timbul persoalan bagaimana ingin melakukan kebaikan kepada mereka yang telah meninggal dunia terutamanya ibu bapa, suami atau isteri, anak serta keluarga terdekat kita, Abu Usaid al-Saidi berkata, “Ada seorang yang datang berjumpa dengan Rasulullah SAW dan berkata: “Ya Rasulullah, apakah masih mungkin saya berbuat baik kepada kedua orang tua saya yang telah meninggal dunia, kerana saya tidak tahu bagaimanakah keadaan yang dilalui mereka setiap hari. Baginda menjawab: “Ya, ada empat cara yang boleh kamu terus lakukan walaupun mereka telah meninggal dunia. 

Pertama, jangan tinggalkan di dalam doa kamu supaya sentiasa menyebut mengenai mereka. 

Kedua, tunaikanlah janji yang ingin dipenuhi oleh mereka ketika hidup dahulu, tetapi tidak berkesempatan untuk melakukannya. Pahala daripada amalan perbuatan baik yang dilakukan akan sampai pahalanya kepada mereka yang sudah meninggal dunia. 

Ketiga, muliakanlah sahabat dan teman yang baik terhadap arwah sewaktu dia hidup dahulu, kerana dengan berbuat demikian, Allah akan tunjukkan amalan itu kepada arwah. 

Keempat, sambung silaturahim yang menjadikan kamu dan dia tidak mendapat kasih sayang, melainkan daripada kedua-duanya.”

Elak Jadi Muflis Akhirat

SETELAH hampir setiap hari bertungkus lumus bekerja melakukan pelbagai tugas bagi menambah pendapatan, namun secara tiba-tiba diisytiharkan muflis atau jatuh bankrap. Apa perasaan anda? Pasti ia merupakan perkara paling digeruni oleh setiap individu.

Ini kerana, segala usaha yang dilakukan bagi mengejar impian dan memperoleh kesenangan hidup di dunia itu akhirnya hilang begitu sahaja kerana kecuaian atau kesilapan diri sendiri dalam menguruskan kewangan.

Walau bagaimanapun, hidup perlu diteruskan selagi masih bernyawa, pelbagai langkah boleh dilakukan bagi memperbaiki kekhilafan tersebut demi masa depan diri sendiri dan juga tanggungan masing-masing.

Jika muflis dunia dianggap membimbangkan, hakikatnya muflis di akhirat lebih berbahaya kerana tidak mempunyai peluang kedua untuk mengubah hala tuju kehidupan akhirat sama ada syurga atau neraka.

Begitulah ditekankan oleh ulama terkemuka, Habib Umar Muhammad al-Hafiz ketika menyampaikan ceramah dalam program Kembara Dakwah di pekarangan Jakel Mall, Kuala Lumpur yang dihadiri kira-kira 10,000 umat Islam daripada seluruh negara.

Beliau berkata, ini sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya bermaksud: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?” Sahabat menjawab: “Orang yang muflis di kalangan kami ialah seseorang yang tidak memiliki dirham (wang) dan juga tidak memiliki harta.”

Lalu Nabi SAW bersabda: “Sebenarnya orang yang muflis daripada kalangan umatku ialah seseorang yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat, tetapi (dahulunya sewaktu di dunia) ia pernah mencaci maki si fulan, menuduh si fulan, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan, dan pernah memukul si fulan. Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi dan begitu pula seterusnya terhadap orang lain yang pernah teraniaya , ia akan diberikan pula daripada pahala kebaikan orang tadi, sehingga apabila telah habis pahalanya sedangkan bebanan dosa penganiayaannya belum lagi dijelaskan (belum dapat dibayar semua), maka akan diambil daripada kesalahan orang yang teraniaya itu lalu dibebankan kepada orang tersebut, maka selanjutnya orang itu akan dicampakkan ke dalam api neraka.” – Riwayat Muslim

Mengulas lanjut hadis Rasulullah SAW tersebut, pemegang ranking ke-28 bagi tokoh Muslim berpengaruh oleh buku 500 Most Influential Muslim itu berkata, umat Islam perlu menjauhi diri daripada sikap suka memburuk dan melabelkan orang lain dengan panggilan negatif.

“Sebagai Muslim, kita adalah bersaudara. Sifat suka memburuk-burukkan orang lain adalah satu daripada punca sebagaimana yang dikatakan oleh Rasulullah SAW menyebabkan seseorang itu menjadi muflis di akhirat. Segala pahala yang dilakukan sebanyak-banyaknya akan diberikan kepada orang dikejinya itu dan jika masih kurang, dosa orang itu pula perlu ditanggung,” katanya.

Beliau berkata, sebaliknya umat Islam digalakkan untuk bersifat berlapang dada dalam berdepan dengan sesuatu perbezaan sama ada pandangan, pegangan atau cara hidup.

Ia tambahnya kerana, orang yang sering didakwa salah tidak semestinya salah, begitu juga mereka yang gemar melabelkan orang lain salah tidak semestinya sentiasa betul dan tepat di sisi Allah SWT.

“Jika kita tidak bersetuju dengan seseorang itu maka abaikanlah apa yang mereka lakukan. Jika benar salah, maka tegur dengan berhikmah, jangan pula diburuk-burukkan, sebaliknya tinggalkan amalan yang mereka lakukan dan lakukanlah amalan kamu sendiri.

“Lebih-lebih lagi bagi golongan sahabat Rasulullah SAW dan juga ahli keluarga baginda, kerana merekalah yang membawa ajaran Islam daripada Rasulullah SAW kepada kita sehingga kini,” jelasnya.

Program Kembara Dakwah ke seluruh negara itu dimulakan dengan Solat Maghrib berjemaah sebelum diikuti solat hajat memohon perlindungan dan kesejahteraan Malaysia dan zikir sebelum diakhiri solat Isyak berjemaah.

Sementara itu, baru-baru ini lebih 5,000 umat Islam dari seluruh negara termasuk Singapura dan Indonesia membanjiri Masjid Jamek Sultan Ismail, Batu Pahat bagi menghadiri jelajah Kembara Dakwah Habib Umar di Johor Bahru, Johor.

JAUHI GOLONGAN TAGHUT

Dalam pada itu, Habib Umar berkata, umat Islam turut dinasihatkan agar tidak mengikut jejak sifat golongan yang kufur terhadap perintah Allah SWT atau dikenali sebagai Taghut.

“Kita perlu membersihkan diri daripada dosa dan memperkukuhkan keimanan kepada Allah SWT. Sebaliknya jangan sesekali mengingkari Allah SWT dengan mengikuti jejak golongan Thagut.

“Peliharalah mata daripada melihat perkara-perkara yang dibenci oleh Allah SWT, elak daripada melayari laman web yang bertentangan dengan syariah yang menjadi medium penyebaran fahaman golongan Thagut ini,” jelasnya.

Gejala Fitnah Siber

FITNAH mempunyai ceritanya tersendiri di dalam sejarah tamadun manusia. Ia menjadi punca pergeseran di dalam masyarakat malahan berupaya meruntuhkan sesebuah negara.

Al-Quran merakamkan bahawa Nabi Yusuf a.s. pernah menjadi mangsa fitnah, sirah merakamkan peristiwa fitnah hadis al-Ifki (berita bohong) terhadap Saidatina Aisyah r.a. isteri Rasulullah SAW. Fitnah menjadi faktor kejatuhan Khilafah Uthmaniah, empayar Islam yang unggul satu ketika dahulu. Khalifah Uthman Ibn Affan r.a. dibunuh dengan kejam kerana angkara fitnah, juga kejatuhan empayar Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511 kerana fitnah dan permusuhan dalaman.

Teknologi pemangkin tamadun manusia hari ini, tanpa disedari masyarakat bergantung sepenuhnya kepada teknologi. Teknologi membantu memudahkan kehidupan. Namun tidak semua teknologi diguna sebaiknya.

Melalui Internet, jarak dan masa bukan lagi penghalang dalam perhubungan. Ramai dalam kalangan kita menyalahgunakan kemudahan ini dengan menyebarkan fitnah. Inilah fitnah siber di mana teknologi memudahkan kita memuat naik, menghebahkan dan mudahnya memilih suka (like) mahupun tidak suka (dislike) perkara yang belum pasti kesahihannya. Lebih ramai berkomunikasi, lebih besarlah kemungkinan fitnah itu tersebar secara meluas.

Maruah individu perlu dijaga

Maruah seseorang Islam amat tinggi dan mulia. Rasulullah SAW menerangkan balasan baik individu yang menjaga diri daripada mendedahkan keaiban Muslim yang lain. Rasulullah SAW bersabda bermaksud :

“Sesiapa yang menutup keaiban saudara Islamnya, Allah SWT menutup keaibannya di dunia dan di akhirat, Allah SWT menolong hamba-Nya selagi ia menolong saudaranya,”- Riwayat Muslim.

Senario hari ini boleh dikategorikan sebagai fitnah akhir zaman yang merupakan sebesar-besar ujian yang berlaku sebagaimana dinyatakan Rasulullah SAW:

“Hai sekalian manusia, sesungguhnya sejak Allah meramaikan keturunan Adam, tiada di muka bumi ini fitnah yang lebih besar dari fitnah Dajjal. Allah tidak mengutus seorang nabi kecuali ia memperingatkan kaumnya daripada (bahaya) Dajjal. Aku adalah nabi terakhir dan kalian umat terakhir. Dajjal pasti muncul di tengah-tengah kalian,”- Riwayat Ibnu Majah dan al-Hakim.

Sabda baginda lagi: “Bergegaslah kamu melakukan amal soleh sebelum datangnya fitnah seperti malam yang gelap gelita,” – Riwayat Muslim.

Fitnah yang dimaksudkan ialah manusia diuji dengan sesuatu yang tidak jelas, gelap gelita. Manusia keliru dan tidak nampak apa yang benar dan apa yang salah. Dalam usaha membangunkan negara dan merealisasikan Wawasan 2020 mengikut acuan kita sendiri, masyarakat mestilah bersedia menangani gejala fitnah siber ini daripada menjadi penyakit yang serius dalam kalangan masyarakat. Masyarakat perlu peka dengan perkara-perkara sensitif yang perlu dipelihara agar keharmonian dapat dikekalkan.

Selidik terlebih dahulu

Islam mengisyaratkan umatnya memastikan dan menyelidik (tabayyun) kesahihan setiap sumber agar tidak menghebahkan perkara yang boleh mendatangkan fitnah dan permusuhan kepada orang lain. Allah SWT berfirman maksudnya:

“Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa berita, maka selidikilah (menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum perkara yang tidak diingini kerana kejahilan kamu (mengenainya) sehingga kamu menyesali apa yang kamu lakukan,” (Surah al-Hujurat: 6)

Allah SWT mencela tindakan orang beriman yang terikut-ikut mempercayai, bahkan menyebarkan sesuatu khabar angin itu. Seharusnya apabila mendengar sesuatu pertuduhan, kenapa secara spontan tidak mendahulukan prasangka baik kepada sesama Muslim dan menyatakan bahawa itu adalah tuduhan semata-mata.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang yang beriman lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang) mereka sendiri dan berkata : Ini ialah tuduhan dusta yang nyata,” (Surah an-Nur : 12).

Jika sememangnya ia benar, pihak yang menuduh harus mendatangkan empat orang saksi. Jika tidak, ia merupakan tuduhan semata-mata, apatah lagi jika orang yang dituduhkan itu sama sekali tidak melakukannya. Allah SWT merakamkan perkara ini dalan firman-Nya yang berikut :

“Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka di sisi hukum Allah, adalah orang yang dusta,” (Surah an-Nur : 13).

Rasulullah SAW mengisyaratkan pembohongan dan ghibah (menyebut keburukan orang lain walaupun benar) merupakan satu kesalahan. Sabda baginda SAW bermaksud :

“Rasululah SAW ditanya, Wahai Rasulullah, apakah itu ghibah? Lalu jawab Baginda : Menyebut sesuatu yang tidak disukai oleh saudaramu di belakangnya! Kemudian baginda ditanya lagi : Bagaimana sekiranya apa yang disebutkan itu benar? Jawab baginda : Jika sekiranya apa yang disebutkan itu benar, maka itulah ghibah, tetapi jika sekiranya perkara itu tidak benar, maka engkau telah melakukan buhtan (pembohongan besar),”- Riwayat Muslim, Abu Daud dan Tirmizi.

Masa Adalah Makhluk Allah Yang Ajaib

MASA adalah satu makhluk Allah yang ajaib. Ia tidak perlu menonjolkan dirinya bagi membuktikan kewujudannya di alam ini. Apabila jam berdetik, masa dinamakan saat. Apabila matahari jatuh di ufuk barat, masa dinamakan pula hari. Apabila kitaran bumi sudah lengkap mengelilingi matahari dalam kiraan 365 hari, masa bertukar nama menjadi tahun. Tiada siapa yang mampu terlepas daripada cengkamannya. Manusia yang dulunya muda belia menjadi tua lemah apabila diselubungi masa. Masa juga mampu mematangkan manusia dengan himpunan pengalaman.

Pun begitu, masa kadangkala boleh dikalahkan dengan ilmu. Manusia yang mempunyai ilmu mampu mengubah kuasa masa dengan kenderaan berkelajuan tinggi yang mereka miliki. Perjalanan dengan kapal terbang berbeza dengan memandu kereta. Prinsip isu ini disebut Allah ketika menceritakan mukjizat Nabi Sulaiman a.s. yang berkenderaan angin mampu memotong masa dari sebulan menjadi sehari. Saya kira kenderaan angin baginda boleh dikiaskan pada kapal terbang pada hari ini:

“Dan Kami kurniakan kepada Nabi Sulaiman kuasa menggunakan angin untuk perjalanannya: “sepagi perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan dan sepetang perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan,” (Saba’[34:12]).

Bukan setakat itu sahaja, para malaikat yang dicipta Allah daripada cahaya memiliki kemampuan bergerak pantas merentas masa. Seakan dikata, masa berurusan dengan teknologi malaikat dalam kerangka lain berbeza dengan kemampuan manusia:

“Para malaikat dan Jibril ke pusat pemerintahan-Nya (untuk menerima dan menyempurnakan tugas masing-masing, terutama) pada satu masa yang adalah tempohnya (dirasai oleh orang yang bersalah) sungguh panjang selama 50,000 tahun,” (al-Ma’arij [70:4]).

MAKHLUK TERAWAL

Masa juga antara makhluk awal ciptaan Allah kerana dalam banyak ayat Allah menyebut penciptaan awal langit dan bumi dalam enam masa: “Dan Dialah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa, sedang “Arasy-Nya, berada di atas air,” (Hud [11:7]).

Masa hanya di dunia dalam kiraan naik turunnya matahari dan munculnya bulan. Di alam barzakh lain pula halnya. Tiada lagi ukuran masa seperti di dunia. Oleh itu, manusia yang mati sejak zaman nabi Adam atau mati sehari sebelum berlakunya kiamat tetap berada dalam satu ruang masa yang sama bersesuaian dengan kuasa Allah selaku “Pencipta masa.”

Pernah saya terbaca dialog-dialog orang tabi’in (murid sahabat yang tidak sempat bertemu dengan Rasulullah SAW) yang bertemu dalam mimpi. Abdullah bin al-Mubarak berkata: “Aku bermimpi bertemu Sufyan al-Thawri (yang sudah meninggal dunia). Aku lalu bertanya kepadanya: Apa yang diperlakukan Allah padamu?” Sufyan menjawab: “Aku bertemu dengan Muhammad SAW dan puaknya (para sahabat),” Apa-apa pun, mimpi ini tetap tidak boleh menjadi hujah.

Masa adalah makhluk Allah yang terikat dengan izin Penciptanya. Ia wajib akur kepada kehendak Allah sebagaimana sang api pernah akur ketika menyelamatkan nabi Ibrahim a.s.: “Kami berfirman: “Hai api, jadilah engkau sejuk dan selamat sejahtera kepada Ibrahim!,” (al-Anbiya’ [21:69]).

HAKIKAT MASA

Sepanjang sejarah manusia, kuasa masa pernah ditarik oleh Allah beberapa kali seperti dalam kisah tujuh pemuda soleh yang tidur dalam gua: “Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka: 300 tahun (dengan kiraan Ahli Kitab), dan (tambah) sembilan lagi (dengan kiraan kamu),” (al-Kahf[18:25]).

Walaupun masa sudah berlalu selama 300 tahun, jasad tujuh wali Allah ini kekal remaja seperti waktu awal mereka tidur. Begitu juga kisah pemuda Bani Israel yang tidur selama 100 tahun:

“Atau (tidakkah engkau pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: “Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)? “ Lalu ia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama 100 tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya: “berapa lama engkau tinggal (di sini)?” Dia menjawab: “aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari”. Allah berfirman:” (tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama 100 tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah untuk) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan Kami) bagi umat manusia; dan lihatlah kepada tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging “. Maka apabila telah jelas kepadanya (apa yang berlaku itu), berkatalah dia: Sekarang aku mengetahuinya (dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu,” (al-Baqarah [2:259]).

Kisah ini jelas menunjukkan penguasaan mutlak Allah terhadap masa. Jasad dan makanan lelaki ini tidak terjejas kerana masa tidak dibenarkan untuk menyentuhnya, manakala si keldai hancur menjadi tulang kerana Allah membenarkan masa mengenakan kuasa pemusnahnya kepada si keldai. Maha Suci Allah!

Sama perihalnya dengan Nabi Isa a.s. Pada perkiraan biasa, baginda sudah berusia lebih 2,000 tahun, tetapi keremajaan baginda kekal seperti waktu baginda diangkat ke langit. Baginda menjadi kebal masa dan tidak dimamah usia kerana Allah menghalang masa daripada menyentuh baginda.

Semoga bicara ringkas pada kali ini akan membuka luas mata hati kita betapa makhluk Allah yang bernama masa sebenarnya sangat ajaib. Inilah antara sebab mengapa Allah bersumpah menggunakan masa dalam al-Quran:

“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian – Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan dengan kebenaran serta berpesan dengan sabar,” (al-‘Asr [103:1-3]).

Manfaatkan makhluk Allah ini sebaik mungkin kerana ia akan menjadi sebab bahagia atau duka kita di akhirat kelak. Kita akan berbahagia jika bijak menggunakan masa bagi mengisi hidup dengan ketaatan kepada Allah, manakala kita bakal derita jika terlalu banyak membuang masa untuk aktiviti dosa yang tidak berfaedah.

Pengukuhan Tauhid dan Pendidikan

PENGUKUHAN asas tauhid amat memainkan peranan yang penting dalam membentuk akhlak Muslim. Pendekatan Islam dalam amalan dan pendidikan akhlak amat menekankan penanam­an akidah atau rohani yang mantap. Manusia ibarat sepohon pokok dengan akarnya akidah, batangnya adalah kefarduan dan daun-daunnya pula adalah amalan sunat, maka buah atau bunganya ialah yang dikatakan akhlak.

Oleh itu, membentuk jati diri manusia yang berakhlak dalam Islam bermaksud orang yang menyempurnakan agama Islam itu sendiri. Ini kerana akhlak melambangkan keindahan Islam itu sendiri.

Perilaku akhlak dapat mengukur betapa kuat dan lemahnya iman seseorang. Iman yang kuat akan menunjukkan akhlak yang mulia manakala iman yang lemah akan melahirkan akhlak yang buruk dan keji. Secara tidak langsung hubung­an ini amat berkait rapat dan mempengaruhi corak kehidupan seha­rian yang mampu membina persepsi atau paradigma yang le­bih jelas tentang makna kehidupan yang sebenar.

Pertimbangan nilai ini selari dengan kehendak pendidikan yang adalah proses membentuk diri seseorang manusia untuk menjadi seorang yang berpekerti mulia dan berkualiti serta menghambakan diri kepada Allah. Matlamat pendidikan dalam Islam dikaitkan dengan konsep keperibadian secara total dan gagasan pengabdian total kepada Allah SWT.

Ini bermakna peribadi seseorang individu Muslim mempunyai perkaitan secara langsung dengan konsep tauhid kepada Allah SWT. Apabila ia bergerak seiring dan dipupuk dengan baik, maka ia akan melorongkan manusia kembali kepada jalan kebenaran dan mencari kebaikan. Apatah lagi neraca ilmu dan timbangan hati menjadikan akhlak sebagai dukungan dan ia menjadi penting kerana meletakkan manusia dalam fitrah.

Ini bermakna penerapan nilai akhlak bermula daripada tauhid untuk melahirkan insan yang soleh dan berakhlak mulia. Oleh itu, kekuatan akidah mestilah diutamakan dan ia adalah tunjang utama dalam proses membentuk akhlak Muslim yang berpaksikan tauhid kepada Allah SWT. Akhlak mempunyai hubungan dengan akidah melalui proses pendidikan malahan boleh diibaratkan akidah sebagai kekuatan dalaman dan akhlak sebagai kecantikan luaran.

Setiap individu Muslim mestilah memelihara keindahan akhlaknya kerana ia akan menggambarkan perangai atau tingkah laku individu sama ada baik ataupun buruk. Tambahan pula, setiap perilaku atau perbuatan kita akan dinilai oleh Allah SWT yang akan melorongkan kehidupan abadi kita di akhirat sama ada di syurga atau sebaliknya.

Perincian ini adalah antara sisi pandang penulis dalam menghubungkan antara pengukuhan akidah dan keindahan akhlak Muslim yang mulia berteraskan pendidikan dalam Islam.

Justeru, fokus perbincangan penulis di sini adalah bagaimana peranan guru, ibu bapa, pegawai agama, orang dewasa dalam membantu dan mendorong pelajar, remaja, anak-anak dan masyarakat Islam untuk memiliki akhlak yang mulia. Selari dengan matlamat persekolahan iaitu mencorak dan membentuk sumber manusia yang berpotensi menjana pembangunan negara.

Dalam konteks pendidikan, proses pembentukan akhlak dapat diperkembangkan melalui proses pendidikan yang berterusan sehingga melahirkan insan yang mengamalkan sifat-sifat mahmudah. Pendidikan adalah penting untuk membangunkan potensi manusia dan seterusnya menghasilkan mo­dal insan yang memenuhi ciri-ciri Islam dan meningkatkan peradaban ummah. Tanggungjawab semua pihak amat penting untuk membentuk akhlak Muslim dan ini memerlukan kesedaran, pengetahuan dan kefahaman tentang konsep tauhid dalam pendidikan.

Pengajaran hendaklah berlaku secara berperingkat, bertahap dan pengulangan. Secara asasnya, pengajaran mesti disusun secara bertahap mengikut langkah demi langkah, dimulai dengan mengajar persoalan pokok diikuti dengan isi-isi kecil. Keterangannya harus diberikan secara umum dahulu kemudian diikuti secara terperinci.

Fokus pertama dalam memberikan pengetahuan kepada murid, guru hendaklah memahami dan memperhatikan kemampuan akal murid-murid. Tahap ini juga dinamakan tahap permulaan. Pada tahap ini ilmu diberikan secara sederhana. Murid diajarkan masalah-masalah yang dianggap utama bagi tiap-tiap bab manakala pada tahap kedua, setelah masalah-masalah yang umum dari pengetahuan tadi dibentangkan kepada murid, sete­rusnya guru membahaskan secara lebih dalam dan terperinci.

Pelajaran lebih ditingkatkan daripada tahap pertama. Huraian diperluas dan diperincikan sedang perbezaan pendapat mulai disentuh. Pada langkah terakhir, guru menyam­paikan pengetahuan kepada murid secara lebih terperinci dan menyeluruh dalam usaha membahas semua persoalan agar murid memperoleh kefahaman yang sempurna. Pada akhirnya murid menamatkan ilmu tersebut dengan mempelajari perkara asas hingga kepada perkara yang terperinci.

Tegasnya, guru hendaklah membantu murid mengulangi ilmu tersebut dan dengan memberi ulasan dan penjelasan secara menyeluruh. Pada peringkat ini, guru sudah boleh membahaskan ilmu secara terbuka kepada murid dan membuat perbincangan secara berasas.

Apa sahaja permasalahan yang ditimbulkan pada peringkat awal pengajaran bolehlah diperjelaskan pada peringkat ini manakala pada peringkat menyeluruh pula, guru dikehendaki untuk mengulangi isi pelajaran sebanyak tiga kali. Melalui proses pengulangan ini, dari permulaan pelajaran sehinggalah keseluruhannya, maka murid akan dapat memahami ilmu tersebut secara keseluruhan dan dalam masa yang sama dapat mendidik murid secara tidak langsung untuk menghayati ajaran Islam.

Pendidikan berdasarkan kepada kaedah al-Quran, adalah saranan dari Allah SWT sendiri yang menekankan tentang pentingnya pendi­dikan di mana segala potensi sedia ada dalam diri murid dapat dikembangkan dan dibangunkan dengan maksimum secara sedikit demi sedikit (tadarruj).

Pendekatan dan kaedah Qur’ani menjelaskan bahawa pengajaran dan pembelajaran yang berkesan adalah pengajaran yang menggunakan pendekatan, kaedah dan teknik secara bertahap-tahap (tadrij), beransur-ansur atau sedikit demi di samping itu mengambil kira tahap kemampuan murid.

Hasil pendidikan dan pengajar­an yang berkesan akan melahirkan generasi pelajar yang dapat mening­katkan pemahaman, pembahasan, kemampuan berdiskusi, pengamal­an dan penghayatan. Kecintaan kepada ilmu dapat dipupuk untuk dihayati dalam kalangan pelajar hasil usaha pendidikan yang dapat memecahkan masalah kebuntuan ilmu sebagai persediaan menjadi hamba Allah yang soleh dan muslih

Fitnah alam Maya Cetus Permusuhan, Kehancuran

Internet sering disalah guna sebagai medium menyebarkan fitnah oleh pihak tidak bertanggungjawab. 

MELIHAT perkembangan sekarang merungkai persoalan masyarakat hari ini berkomunikasi. Gejala fitnah siber melalui penghantaran gambar separuh bogel, hasutan, penipuan, komen menghina dan penyuntingan fakta serta banyak lagi kontroversi disebarkan menerusi internet dan laman sosial, dilakukan dengan niat buruk mengaib dan menjatuhkan kerjaya. 

Pencerobohan privasi ini memberi kesan mendalam. Ada mangsa yang mengambil pil tidur dan terpaksa dikejarkan ke hospital, mengurung diri tanpa tampil di khalayak dalam jangka masa yang lama, mengambil tindakan mahkamah dan sebagainya.

Hari ini di negara kita, pemimpin negara, artis malahan ulama pun menjadi mangsa fitnah. Golongan ini hanya akan berpuas hati sekiranya orang yang difitnah menanggung malu. Ini semua adalah dorongan hawa nafsu dan syaitan. Manusia adalah makhluk yang sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain dan memerlukan antara mereka. 

Masyarakat primitif dan haiwan turut mempunyai cara tersendiri berkomunikasi untuk kelangsungan hidup. Pendekatan tanpa komunikasi tidak wujud kehidupan yang bermakna. Komunikasi antara individu dan kelompok sosial melahirkan perkembangan peradaban manusia. Kecuaian mewujudkan komunikasi yang baik antara sesama manusia akan mendapat kemurkaan Allah SWT. 

Allah SWT berfirman bermaksud: “Ditimpakan kehinaan di mana saja mereka berada, melainkan mereka yang menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia.” (Surah al-Imran, ayat 112).

Fitnah mempunyai ceritanya tersendiri di dalam sejarah tamadun manusia. Fitnah menjadi punca pergeseran di dalam masyarakat malahan berupaya meruntuhkan sesebuah negara. Al-Quran merakamkan Nabi Yusuf pernah menjadi mangsa fitnah, sirah merakamkan peristiwa fitnah hadis al-Ifki (berita bohong) terhadap Saidatina Aisyah, isteri Rasulullah SAW. Fitnah menjadi faktor kejatuhan Khalifah Uthmaniah, empayar Islam yang unggul satu ketika dulu. Khalifah Uthman Ibn Affan dibunuh dengan kejam kerana angkara fitnah, juga kejatuhan empayar Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511 kerana fitnah dan permusuhan dalaman.

Teknologi pemangkin tamadun manusia hari ini, tanpa disedari masyarakat bergantung sepenuhnya kepada teknologi. Teknologi membantu memudahkan kehidupan. Namun tidak semua teknologi diguna sebaiknya. Terpulang pada kebijaksanaan untuk menilai dan menggunakannya sebaik mungkin. Melalui talian internet, jarak dan masa bukan lagi penghalang dalam perhubungan. Internet menjadi platform maklumat berjuta-juta pengguna di seluruh dunia dan turut membenarkan maklumat dan gosip disebarkan secara bebas.

Salah guna kemudahan

Ramai dalam kalangan kita yang menyalahgunakan kemudahan ini dengan menyebarkan fitnah. Inilah fitnah siber di mana teknologi memudahkan kita memuat naik, menghebahkan (share) dan mudahnya memilih suka (like) mahupun tidak suka (dislike) perkara yang belum pasti kesahihannya, secara berperingkat ia tersebar ke saluran rasmi sehingga dilaporkan secara sensasi dan viral di serata daerah. 

Lebih ramai berkomunikasi, lebih besarlah kemungkinan fitnah itu tersebar secara meluas. Islam mengisyaratkan umatnya menyelidik (tabayyun) kesahihan setiap sumber agar tidak menghebahkan perkara yang boleh mendatangkan fitnah dan permusuhan kepada orang lain. 

Allah SWT berfirman maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa berita, maka selidikilah (menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum perkara yang tidak diingini kerana kejahilan kamu (mengenainya) sehingga kamu menyesali apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Allah SWT mencela tindakan orang beriman yang terikut-ikut mempercayai, bahkan menyebarluaskan sesuatu desas-desus tersebut. Seharusnya apabila mendengar sesuatu pertuduhan, kenapa secara spontan tidak mendahulukan prasangka baik kepada sesama Muslim dan menyatakan bahawa itu adalah tuduhan semata-mata. 

Allah SWT berfirman maksudnya: “Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang yang beriman lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang) mereka sendiri dan berkata: Ini ialah tuduhan dusta yang nyata.” (Surah an-Nur , ayat 12).

Jika sememangnya ia benar, pihak yang menuduh harus mendatangkan empat orang saksi. Jika tidak, ia adalah tuduhan semata-mata, apatah lagi jika orang yang didakwa itu sama sekali tidak melakukannya. Allah SWT merakamkan perkara ini dalam firman-Nya yang berikut: “Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka di sisi hukum Allah, adalah orang yang dusta.” (Surah an-Nur, ayat 13).

Rasulullah SAW mengisyaratkan pembohongan dan ghibah (menyebut keburukan orang lain walaupun benar) adalah satu kesalahan. Sabda Baginda SAW bermaksud: “Rasulullah SAW ditanya, wahai Rasulullah, apakah itu ghibah? Lalu jawab Baginda: Menyebut sesuatu yang tidak disukai oleh saudaramu di belakangnya! Kemudian Baginda ditanya lagi: Bagaimana sekiranya apa yang disebutkan itu benar? Jawab Baginda: Jika sekiranya apa yang disebutkan itu benar, maka itulah ghibah, tetapi jika sekiranya perkara itu tidak benar, maka engkau telah melakukan buhtan (pembohongan besar). (Riwayat Muslim, Abu Daud dan At-Tarmizi)

Maruah seseorang Islam amat tinggi dan mulia. Rasulullah SAW menerangkan balasan baik individu yang menjaga diri daripada mendedahkan keaiban Muslim yang lain. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang menutup keaiban saudara Islamnya, Allah SWT menutup keaibannya di dunia dan di akhirat, Allah SWT menolong hamba-Nya selagi ia menolong saudaranya. (Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW menggambarkan senario hari akhirat dalam hadis Baginda mafhumnya: “Rasulullah SAW bertanya: Adakah kamu mengetahui orang yang muflis? Para sahabat menjawab: Orang yang muflis adalah orang yang tidak memiliki dirham dan harta benda. Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya orang yang muflis dari kalangan umatku adalah mereka yang datang pada Hari Kiamat dengan (pahala) solat, puasa, zakat dan dia juga datang dengan (dosa) mencaci maki orang, menuduh (memfitnah) orang, memakan harta orang (dengan jalan yang salah), menumpahkan darah (bukan dengan jalan syarak), memukul orang dan sebagainya. Maka diberikan pahala-pahalanya kepada orang sekian dan pahala-pahalanya kepada orang sekian (kerana perbuatan buruknya terhadap orang lain) sebelum diselesaikan urusannya, lalu diambil dosa-dosa mereka (iaitu mereka yang diperlakukan perbuatan buruk), kemudian dosa-dosa itu dilemparkan ke atas orang tadi, lalu dia dihumban ke neraka.” (Riwayat Muslim).

Fitnah akhir zaman

Senario hari ini boleh dikategorikan sebagai fitnah akhir zaman yang adalah sebesar-besar ujian yang berlaku sebagaimana dinyatakan Nabi SAW mafhumnya: “Hai sekalian manusia, sesungguhnya sejak Allah meramaikan keturunan Adam, tiada di muka bumi ini fitnah yang lebih besar dari fitnah dajal. Allah Azza wa Jalla tidak mengutus seorang Nabi kecuali ia memperingatkan kaumnya dari (bahaya) dajal. Aku adalah Nabi terakhir dan kalian umat terakhir. dajal pasti muncul di tengah-tengah kalian.” (Riwayat Ibnu Majah dan al-Hakim).

Rasulullah SAW bersabda lagi: “Bergegaslah kamu melakukan amal salih sebelum datangnya fitnah seperti malam yang gelap gelita.” (Riwayat Muslim).

Fitnah yang dimaksudkan ialah manusia diuji dengan sesuatu yang tidak jelas, gelap gelita. Manusia keliru dan tidak nampak apa yang benar dan apa yang salah

Tiada Siapa Terlepas Daripada Himpitan Kubur

Kubur rumah terakhir manusia sebelum diadili di padang Masyar.

Selepas tiba saat kita kembali menghadap Allah SWT, perkara yang perlu diingat ialah jasad sudah tiada lagi nilainya, walaupun semasa hayat banyak masa dan wang ringgit dihabiskan demi menjaga jasad. 

Hakikatnya, walaupun jasad sudah tidak mampu bergerak roh akan terus melalui perjalanan. Sekiranya berjaya melalui alam barzakh dengan berada di dalam taman syurga, maka ia satu kenikmatan kepada kita. Tetapi sebaliknya jika kematian penuh dengan fitnah dan azab, maka kita akan menjadi manusia yang penuh kekecewaan.

Menurut perkongsian Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani melalui segmen Mau’izati di IKIMfm pada Khamis, jam 5.15 petang, pada malam pertama ketika berada di alam barzakh, jasad akan mulai busuk dan bahagian badan yang pertama mengalaminya ialah perut serta kemaluan. 

Kemudian jasad akan mula berubah warna hijau dan cenderung menjadi lebih gelap. Malam berikutnya, seluruh organ dalaman seperti paru-paru, hati dan limpa mula menjadi busuk. Pada malam ketiga di alam barzakh, segala lendiran dan cecair mula keluar dari mata, telinga, malah jasad semakin berbau busuk. Sehinggalah tiba hari ketujuh hingga ke -10, tubuh membengkak dan sangat busuk serta mula didatangi ulat. Selepas dua minggu, jasad dipenuhi ulat serta dimakan cacing.

Dalam tempoh enam bulan, sudah tiada lagi isi dan daging, yang tinggal hanyalah tulang serta rangka. Tetapi Nabi, syuhada dan orang salih termasuk dalam kalangan mereka yang menghafaz al-Quran diberi keistimewaan oleh Allah SWT. 

Selepas 25 tahun meninggal dunia, nama kita sudah tidak lagi disebut-sebut dan apa yang tinggal hanyalah tulang kecil daripada bahagian punggung. Kita akan dibangkitkan pada hari akhirat kelak daripada tulang sekecil itu.

Bermula sejak diturunkan jasad ke liang lahad, setiap roh akan melalui suasana yang berbeza antara satu sama lain bergantung kepada amalannya ketika hidup di dunia. Sebagai orang Mukmin, perkara pertama yang akan dilalui ialah himpitan kubur yang tidak akan ada sesiapa terlepas daripada mengalaminya. Kemudian melihat malaikat yang berwarna hitam kebiru-biruan iaitu Mungkar dan Nakir berada di hujung kaki. Jasad mula diletakkan sama dengan tanah dan akan kedengaran suara yang menyebut: “Selamat datang wahai hamba Allah, kamu akan lihat bagaimana akan aku lakukan kepada kamu sebentar lagi.”

Kalimah itu benar-benar mengejutkan sehingga menyebabkan kita tercari-cari dari manakah datangnya suara itu, sedangkan ia sebenarnya datang daripada tanah tempat kita disemadikan. Apabila jenazah mula ditutup, datang pula malaikat Roman meminta si mati menulis semua amalan baik dan buruk yang sudah dilakukan ketika hidup di dunia dengan menggunakan cebisan kain kapan, lalu segala catatan itu akan digantung pada leher si mati. 

Selepas itu, datang pula malaikat Mungkar dan Nakir yang mula menghalau segala amalan solat, puasa dan zakat yang berada di sekitar si mati untuk menghalang kedua-dua malaikat daripada memulakan sesi soal jawab kepada si mati. Hanya al-Quran sahaja yang mampu menjadi pelindung kepada kita pada saat itu.

Soal jawab Mungkar Nakir berbeza

Berdasarkan kitab karangan Imam Qurtubi dan Imam Jalaluddin al-Suyuti, soal jawab oleh malaikat Mungkar dan Nakir berbeza kepada setiap manusia berdasarkan amalan di dunia. Ada yang disoal mengenai Rasulullah SAW sahaja dan apabila mampu menjawabnya dia akan terlepas daripada soalan lain. 

Oleh itu berusahalah untuk mengenali dan mencintai Rasulullah SAW dan beriman dengan apa yang dibawa Baginda. Selepas berjaya menjawab mengenai Rasulullah SAW, malaikat akan terus menunjukkan tempatnya di dalam neraka Allah SWT. 

Oleh kerana Allah SWT tetapkan hati orang beriman dengan kata-kata yang tegas di dalam dirinya dan mampu menjawab pertanyaan daripada malaikat, lalu diperlihatkan di sebelah kirinya syurga Allah SWT dan ditukarkan tempatnya untuk berada di dalam syurga. Ada juga dalam kalangan manusia akan disoal: “Siapakah Tuhan kamu?” Apabila dijawab: “Allah Tuhanku.” 

Keadaan kuburnya akan terus berubah.

Malah ada diajukan soalan yang panjang, siapakah Tuhan kamu, siapa nabimu, apakah agamamu, di manakah kiblatmu dan soalan lain yang menyebabkan dia akhirnya gagal. Didakwa di alam kubur Rasulullah SAW berpesan, mereka yang banyak diajukan soalan oleh malaikat nanti, pasti dia akan diazab dan didakwa di dalam kubur sebelum diadili di Padang Mahsyar kelak. 

Walaupun ketika hidup si mati adalah orang yang sentiasa mengerjakan amalan salih tetapi diajukan banyak soalan oleh malaikat Mungkar dan Nakir, kerana ada perkara tertentu yang pernah dilakukan.

Perkara pertama ialah cuai terhadap solat, menangguhkan waktu untuk mendirikan solat atau tidak menjaga solat dengan sempurna.

Kedua, golongan boleh membaca al-Quran tetapi tidak mengamalkannya.

Ketiga, tidak memastikan diri suci daripada hadas kecil.

Golongan keempat ialah mereka yang sentiasa berbohong,

Kelima, tidak membayar zakat, seterusnya ialah golongan yang suka membazir, memakan riba, terbabit rasuah, memfitnah sesama Muslim dan tidak amanah terhadap tanggungjawab yang diberikan.

Bayangkan jika kita kembali menghadap Allah SWT dalam keadaan sentiasa melakukan kemaksiatan, sudah tentunya pada malam pertama ketika berada di alam barzakh, kita sudah tiada kekuatan dan kelebihan, roh berada di awang-awangan sehinggalah selesai urusan soal jawab kubur. 

Beruntunglah jika kita mampu menjawab dengan lancar segala soalan diajukan, pada ketika itulah kubur akan dilapangkan dan sebagaimana disebut oleh Rasulullah SAW, Allah SWT akan memperlihatkan kepada kita keadaan terbenamnya mentari pada hari itu dan kita terpaku melihat suasana ketika itu.

8 Nilai Bentuk Akhlak Mulia

PELAKSANAAN ibadah yang betul adalah bukti tunduknya seseorang hamba selepas mengaku beriman kepada Tuhannya. Ibadah yang dimaksudkan di sini termasuklah ibadah khusus yang menyentuh fardu ain dan juga fardu kifayah yang merangkumi hubungan manusia sesama manusia. Sehubungan itu, bagi individu yang berperibadi unggul seluruh hidupnya baik hubungannya dengan Pencipta atau masyarakat adalah dianggap ibadah, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Mu’minun, ayat 1 hingga 6 yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya dan mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia; dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu) dan mereka yang menjaga kehormatannya, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela.”

Hasil daripada pelaksanaan ibadah yang betul, sempurna dan ikhlas, akan terbentuk akhlak yang mulia. Akhlak mulia dan peribadi unggul boleh dihasilkan daripada keimanan yang kental. Ini disebabkan tali ikatan yang menjalinkan hubungan antara individu dengan masyarakat terbentuk melalui nilai dan disiplin yang diamalkan oleh anggota masyarakat tersebut. Sekiranya nilai yang diamalkan itu positif maka akan lahirlah sebuah masyarakat yang aman, damai, harmoni dan diselubungi roh Islam. 

Rasulullah adalah contoh utama pembentukan akhlak sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”

Antara nilai yang baik dalam akhlak Islam yang menjadi tonggak amalan bagi melahirkan individu unggul ialah:

1. Amanah.

Amanah adalah sifat mulia yang mesti diamalkan oleh setiap orang. Ia adalah asas ketahanan umat, kestabilan negara, kekuasaan, kehormatan dan roh keadilan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 283, yang bermaksud: “Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati juru tulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang). Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepada-Nya dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya dan janganlah kamu (wahai orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya dan (ingatlah), Allah SWT sentiasa mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”

2. Ikhlas.

Ikhlas adalah inti pati setiap ibadah dan perbuatan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Bayyinah, ayat 5 yang bermaksud: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar.”

Ikhlas akan menghasilkan kemenangan dan kejayaan. Masyarakat yang menampakkan sifat ikhlas akan mencapai kebaikan dunia dan akhirat, bersih daripada sifat kerendahan dan mencapai perpaduan, persaudaraan, perdamaian dan kesejahteraan. 

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Bahagialah dengan limpahan kebaikan bagi orang yang bila dihadiri (berada dalam kumpulan) tidak dikenali, tetapi apabila tidak hadir tidak pula kehilangan. Mereka itulah pelita hidayah. Tersisih daripada mereka segala fitnah dan angkara orang yang zalim.”

3. Tekun.

Islam menggalakkan umatnya supaya tekun dalam melakukan sesuatu pekerjaan sehingga selesai dan berjaya. Sifat tekun akan meningkatkan produktiviti ummah, melahirkan suasana kerja yang aman dan memberi kesan yang baik kepada masyarakat. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT menyukai apabila seseorang kamu bekerja dia melakukan dengan tekun.” (Riwayat Abu Dawud)

4. Berdisiplin.

Berdisiplin dalam menjalankan sesuatu pekerjaan akan dapat menghasilkan mutu kerja yang cemerlang. Hasrat negara untuk maju dan cemerlang akan dapat dicapai dengan lebih cepat lagi kerana dengan disiplin seseorang itu dapat menguatkan pegangannya terhadap ajaran agama dan menghasilkan mutu kerja yang cemerlang.

5. Bersyukur.

Bersyukur dalam konteks peribadi unggul berlaku dalam dua keadaan:

Pertama, sebagai tanda kerendahan hati terhadap segala nikmat yang diberikan oleh Pencipta sama ada sedikit ataupun banyak.

Kedua, bersyukur sesama makhluk sebagai ketetapan daripada Allah SWT supaya kebajikan sentiasa di balas dengan kebajikan. Firman Allah SWT dalam Surah Ibrahim, ayat 7 yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.”

6. Sabar.

Di dalam menghadapi cabaran hidup, kesabaran amat penting untuk membentuk peribadi unggul seperti yang dikehendaki Allah SWT melalui firman-Nya dalam Surah Al ‘Imran, ayat 200 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara yang berkebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah SWT supaya kamu berjaya mencapai kemenangan.”

7. Adil.

Adil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Para ulama membahagikan adil kepada beberapa peringkat iaitu adil terhadap diri sendiri, orang bawahan, pemimpin atasan dan juga sesama saudara. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Tiga perkara yang menyelamatkan seseorang itu daripada kemurkaan Allah SWT iaitu takut kepada Allah SWT ketika bersendirian dan di khalayak ramai; berlaku adil ketika suka dan marah; serta berjimat cermat ketika susah dan senang. Tiga perkara yang membinasakan iaitu mengikut nafsu, terlampau bakhil dan kagum seseorang dengan dirinya sendiri.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

8. Patuh dan Taat.

Setiap pengikut mesti taat kepada pemimpinnya. Walau bagaimanapun patuh dan taat ini hendaklah dilaksanakan selama mana seseorang pemimpin itu berada di landasan Islam yang betul daripada segi matlamat, tindakan dan pengurusan peribadinya. Prinsip ini boleh dirumuskan dari pelaksanaan solat berjemaah, di mana makmum (pengikut) tidak perlu mengikuti imam (pemimpin) yang tidak mengikut rukun solat. 

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Wajib ke atas setiap orang Islam mendengar dan mematuhi (perintah ketua/pemimpin) di dalam perkara yang disukai atau dibencinya, selagi tidak disuruh mengerjakan maksiat. Apabila disuruh mengerjakan maksiat tidak lagi ia diwajibkan mendengar dan taat.”

Dalam pada itu, ulama menggariskan tiga keadaan mewajibkan pengikut patuh dan taat kepada pemimpinnya iaitu:

1. Pemimpin yang melaksanakan ajaran Islam.
2. Pemimpin yang adil dalam pengurusan dan tindakan terhadap semua orang.
3. Pemimpin yang tidak menyuruh melakukan perkara jahat atau maksiat. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Kamu tidak ada hak untuk mentaati orang yang tidak taat kepada Allah.”

Sebagai tanda kepatuhan dan ketaatan, menghormati pemimpin yang akan membawa kepada kehebatan dan keagungan yang sepatutnya. Sifat ini akan membawa kepada kecemerlangan sesebuah organisasi dan keamanan serta kedamaian sesebuah negara. 

Perlu juga ditekankan bahawa dalam usaha kita untuk menjadi insan atau individu yang terbaik khususnya mencapai kesempurnaan dalam aspek ibadah, kesediaan berkorban dalam erti kata bersedia menyumbang jiwa dan harta, masa dan nyawa serta segala-galanya demi mencapai matlamat juga penting. 

Di dunia ini tiada jihad yang tidak menuntut pengorbanan. Segala pengorbanan yang disumbangkan demi gagasan ini tidak akan disia-siakan, sebaliknya akan dibalas dengan ganjaran yang lebih besar dan pahala yang lebih baik.

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga