aidil fitri di antara adat dan ibadat


Umat Islam sekarang walaupun dalam era kebangkitan Islam lebih memberikan keutamaan kepada sambutan Aidil Fitri berbanding dengan ketibaan bulan Ramadhan yang mewajibkan ibadah puasa. Malah sebelum Ramadhan menjelang tiba, persiapan hari raya sudah terlebih dahulu diatur.

Walaupun dalam kegawatan ekonomi ketika ini, tiga atau empat bulan sebelumnya, persiapan pakaian untuk keluarga dan anak-anak sudah difikirkan dan sejumlah wang juga diperuntukkan untuk tujuan tersebut. Jika persiapan dibuat di saat akhir, berbagai kesulitan akan timbul dan harga pakaian sudah melambung.

Tabiat umat Islam ketika menghadapi hari raya ini sudah difahami oleh golongan peniaga. Maka tidak hairanlah kenapa promosi jualan dan iklan besar-besaran untuk perayaan Aidil Fitri diadakan lebih awal lagi iaitu sebelum menjelang Ramadhan. Mereka akan meraih keuntungan besar dan lumayan hasil dari sikap dan tabiat kaum muslimin yang ‘aneh’ dalam menghadapi hari raya saban tahun.

Kekeliruan terhadap Aidil Fitri di kalangan umat Islam menyebabkan hari ibadah sudah bertukar menjadi tradisi, hampir menyamai tradisi kaum lain yang menyambut hari raya mereka. Biasanya, penganut agama lain mengadakan pesta hari raya, bersukaria dengan berbagai acara hiburan dan pesta makan minum dan majlis tari menari.

Keadaan yang sama akan ditemui sewaktu majlis sambutan Aidil Fitri di kalangan umat Islam walaupun boleh juga dibanggakan kehadiran kaum muslimin untuk menunaikan solat Aidil Fitri raya itu. Mereka turut bertakbir dan mengumandangkannya di masjid-masjid dan surau-surau serata pelosok. Malah ada yang menitiskan air mata mendengar alunan takbir hari raya yang begitu menyayukan.

Malangnya air mata yang mengalir itu bukan lahir dari keinsafan. Ia hanya disebabkan alunan takbir yang sesekali didengar itu mempengaruhi perasaan dan mencuit emosi. Tidak dinafikan ada manusia ada yang perasaannya mudah tersentuh dengan kesedihan irama lagu, tetapi bersikap tidak peduli apa yang terkandung di dalam lafaz takbir itu seperti juga orang yang menghafal ‘Asma ul-Husna’ kerana didorong oleh lagunya yang amat menarik, sementara sifat-sifat Allah yang terkandung dalam lafaz itu tidak dihiraukan.

Tidak ramai yang berusaha menghayati lafaz-lafaz dalam takbir dan tahmid hari raya itu. Walaupun diulang-ulang setiap kali tibanya hari raya, namun tidak banyak yang mengambil tahu maksud dan pengertian lafaz yang diucapkan. Sedangkan antara maksudnya ialah:

"Tiada tuhan melainkan Allah, kami tidak menyembah kecuali kepada-Nya, dengan ikhlas untuk agama (Islam), walaupun dibenci oleh golongan yang menyengutukan Allah.

"Tiada tuhan melainkan Allah Yang Esa yang benar janji-Nya, yang memuliakan tentera-tenteraNya (tentera Muslimin) yang menolong hamba-Nya (dengan) mengalahkan tentera Ahzab (tentera bersekutu yang diketuai oleh kaum musyrikin serta kaum Yahudi dan Nasrani) dengan keesaan-Nya."

"Tiada tuhan melainkan Allah yang Maha Besar Allah Yang Maha Besar dan untuk Allah-lah segala puji-pujian."

Andainya mereka dapat menginsafi maksud ucapan takbir dan tahmid itu, tidak mungkin persiapan hari raya itu dilakukan begitu rupa, berbelanja besar untuk persiapan yang tidak perlu sehingga ke tahap membazir. Allah yang sedang dipuji sangat membenci perbuatan membazir.

Jika benar seperti pengakuannya bahawa dia menyembah Allah yang Esa dan yang Benar segala janji-janjiNya, mengapa pula mereka menjadi hamba kepada tuhan-tuhan ciptaan manusia? Mereka sebenarnya tidak bersedia membantu agama Allah untuk mendaulatkannya di muka bumi ini, walaupun lidah mereka mengaku untuk ikhlas terhadap agama Allah itu.

Jika benar mereka sedar akan laungan sanjungan terhadap Allah yang telah menghancurkan tentera Ahzab (tentera bersekutu kuffar) di zaman Rasulullah sehingga tentera Islam mencapai kejayaan, tetapi kini mengapa tentera bersekutu yang diketuai oleh golongan kuffar diundang dan diberi kepercayaan untuk menyelesaikan pertikaian umat Islam?

Jika demikian keadaannya, sesungguhnya ucapan takbir dan tahmid hari raya tidak lagi dihayati menurut sewajarnya, tetapi ia hanya sekadar senandung irama sayu di pagi raya, yang meruntun hati lantas terbit rasa pilu dan sedih semata-mata kerana suasana dan iramanya. Sedang maksud lafaz sebenarnya terus dilupakan.

Betapa Allah (SWT) menciptakan Aidil Fitri suatu ibadah dapat diukur dengan pengharaman puasa pada hari tersebut. Walaupun puasa itu adalah suatu ibadah, tetapi kerana agungnya Aidil Fitri itu maka Allah (SWT) melarang ibadah puasa dilakukan pada hari tersebut. Ini sebagai anugerah terhadap hambaNya yang telah sanggup berlapar dan dahaga juga menahan kemahuan seksnya di siang hari puasa sepanjang bulan Ramadhan.

Bagaimanapun larangan berpuasa itu tidak boleh ditafsirkan sebagai isyarat untuk berpesta makanan, mengadakan segala macam jamuan dengan beranika juadah sehingga melampaui batas-batas kesederhanaan yang dituntut oleh Islam dalam semua keadaan.

Apabila meninjau budaya berhari raya di kalangan masyarakat Islam di kalangan masyarakat Islam di rantau Nusantara kebelakangan ini, ia memperlihatkan ibadah Aidil Fitri itu semakin tidak nyata. Ia sudah bercampur-baur dengan segala resam hidup masyarakat setempat dan juga budaya import.

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga