Umat Islam Dituntut Sentiasa Bersedia Hadapi Kematian

Doa anak yang soleh menjadi bekalan si mati menempuh alam akhirat.

Kata Imam al-Ghazali, “Yang singkat itu waktu, yang menipu itu dunia, yang dekat itu adalah kematian, yang besar itu adalah hawa nafsu, yang berat itu amanah, yang sulit itu adalah ikhlas, yang mudah itu adalah berbuat dosa, yang susah itu adalah bersabar, yang sering dilupa adalah bersyukur.”

Demikianlah hakikatnya, hidup di dunia ini amat singkat, selepas mati kita akan hidup di alam kubur dan hidup yang kekal adalah di akhirat. Kematian suatu yang menakutkan bagi orang yang lalai perintah -Nya. Saat akan mati, kita berhadapan dengan sakratulmaut. Susah atau senang sakratulmaut bergantung kepada amalan kita. Oleh itu, bagi menghilangkan rasa takut kepada kematian hendaklah kita mempertingkatkan amalan.Manusia ini pelbagai sikapnya, seperti kata pepatah Melayu, “Rambut sama hitam, hati masing-masing berlainan.”

Ada tujuh peringkat sikap manusia, pertama ialah manusia kehaiwanan, iaitu kehidupan manusia pada tahap akhlak paling rendah. Kedua, manusia yang hidup dalam kesedaran ikut-ikutan. Manusia tidak ada pendirian, suka mengikut arus kehidupan atau mengikut apa yang orang ramai suka buat. Ketiga, manusia yang menyedari dirinya seorang yang berbeza, unik dan terlalu berprinsip. Keempat, manusia tidak tahu tujuan hidup, tidak ada keyakinan diri, malas mencuba dan cepat berputus asa. Kelima, manusia yang hidup dengan disiplin sangat kuat, terlalu dominan dan teratur. Keenam, manusia yang percaya disiplin memberi pengalaman hidup iaitu yang bercita-cita ingin berubah memperbaiki diri. Ketujuh, manusia yang mengawal diri dan kehidupan dari dalam ke luar.

Manusia makrifatullah, iaitu Allah SWT adalah segala-gala dalam hidup. Kepelbagaian sikap itu meletakkan manusia pada tahap yang berbeza kedudukan serta hasil kehidupan semasa di dunia atau akhirat. Manusia makrifatullah mengutamakan mencari makna dan tujuan akhirat lebih daripada keduniaan. Sesiapa yang tidak memberatkan akhirat hidupnya akan sukar di sana nanti. Hal ini pernah diperkatakan oleh Umar Abdul Aziz kepada Anbasah, “Seringlah mengingati mati, sebab jika hidupmu mudah, ia akan membuatnya sukar. Dan jika hidupmu sukar ia akan membuatnya mudah.”

Biarlah kita penat di dunia, memanfaatkan waktu untuk memperbanyak amal soleh, seperti sabda Nabi SAW: “Ambil kesempatan lima sebelum lima, iaitu sihatmu sebelum sakitmu, waktu lapangmu sebelum sibukmu, kayamu sebelum fakirmu, mudamu sebelum tuamu dan hidupmu sebelum matimu.”

Meninggal mengejut Apabila sampai waktunya, kita akan pergi ke alam abadi menemui Ilahi. Cara kematian dan bila itu menjadi rahsia Ilahi. Sakit dan tua bukan syarat untuk mati, ada meninggal dunia tanpa sebarang sakit, umurnya habis ketika tidur, ada meninggal secara mengejut kerana kemalangan. Nabi SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah: “Secerdik-cerdik manusia ialah orang yang paling banyak mengingati mati dan paling bersungguh-sungguh bersiap sedia. Mereka ialah orang yang benar-benar cerdik, mereka pergi (ke alam baqa) dengan membawa kemuliaan dan kemuliaan akhirat.”

Kemuliaan semasa hayat bukan sahaja hubungan kita dengan Tuhan, tetapi juga hubungan sesama insan. Sentiasa berkasih sayang dan menghargai antara satu sama lain terutama kepada orang yang banyak berjasa kepada kita, orang yang rapat dan penting dalam hidup (ahli keluarga). Sentiasa bermurah hati memberi senyuman, mengucapkan sayang, berterima kasih, menghargai. Jauhi sikap berdendam, berdengki, berprasangka buruk dan berperasaan negatif supaya orang sekeliling berasakan ketika kita ada menguntungkan, ketiadaan kita satu kehilangan dan disebut-sebut kebaikan kita. Perpisahan disebabkan kematian adalah sesuatu yang perit untuk diterima.

Apatah lagi kematian yang tidak disangka-sangka, akan berbekas kesedihan mendalam dan berpanjangan kepada ahli keluarga yang ditinggalkan. Jika tidak dikawal dan dirawat dengan baik, menyebabkan kemurungan berpanjangan. Berbanding kehilangan orang tersayang yang sakit berbulan-bulan, keluarga telah bersedia untuk menerima hakikat mereka akan kehilangannya. Kesedihan itu berganda kerana kita berasa belum puas berkasih sayang, tiba-tiba disentap Allah SWT dalam keadaan kita tengah sayang dan belum bersedia untuk kehilangan mereka.

Kedua, kita berasa ralat dan terkilan. Jika tahu itu pertemuan terakhir, tentulah kita melakukan sesuatu terbaik untuknya. Ketiga, kerana tidak ada peluang kedua. Kita mahu dia tahu kita amat menghargai dan menyayanginya tetapi tidak sempat dan berpeluang untuk menyatakannya. Sunnatullah, orang yang mati tidak akan kembali lagi ke dunia, sama seperti bayi yang dilahirkan tidak akan kembali ke perut ibunya. Bagaimanakah hendak mentadbir takdir Allah SWT, menerima kematian orang tersayang? Percaya kepada qada dan qadar Allah SWT. Terima hakikat kita orang yang terpilih untuk menerima ujian daripada-Nya. Pujuk hati sendiri menerima hakikat orang yang kita sayangi telah tiada. Menangislah, jangan ditahan air mata kerana menangis itu satu terapi. Tetapi, jangan sampai hilang punca hingga mempersoalkan ketentuan Allah SWT. Terima hakikat Lain orang lain penerimaannya. Ada yang kelihatan seolah-olah dia menerima hakikat kehilangan itu tetapi selepas seminggu atau lebih, dia tidak boleh menipu dirinya, menafikan orang yang disayanginya telah tiada, ketika itu emosinya terganggu dan menangis semahu-mahunya.

Fahami makna kematian yang sebenar supaya kita boleh menerima hakikat ia hanya satu peralihan atau berpindah alam. Terima hakikat di mana kita bermula dan di mana kita berakhir. Walaupun, hubungan antara jasad berakhir, tetapi hubungan roh masih terjalin. Justeru, doakan mereka daripada anak yang soleh.

Peranan orang terdekat dan masyarakat untuk memulihkan semangat keluarga yang kematian orang tersayang. Dengar curahan hati mereka, cuba faham, berikan semangat dan jangan menghukum mereka dengan tuduhan tidak sepatutnya, apatah lagi menyebar fitnah di laman sosial. Hidup lawannya mati. Beringatlah, jangan sampai tiba-tiba maut datang, segala-galanya sudah terlambat untuk menyesali apa yang telah kita kerjakan ketika hidup di dunia. Saidina Abu Bakar berkata, “Sesiapa masuk kubur tanpa bekalan, maka seperti mengharungi laut tanpa perahu!”

Tiada siapa terlepas himpitan kubur

Manusia akan mengalami himpitan kubur selepas dimasukkan ke liang lahad.Huzaifah berkata, Rasulullah SAW pernah mendatangi satu jenazah. Ketika sampai di kubur, Baginda duduk di tepi liang kubur dan Rasulullah SAW berkali-kali memandang ke dalam kubur itu lalu bersabda: “Di dalam kubur ini seorang Mukmin dihimpit dengan himpitan kubur yang menghancurkan anggota tubuhnya. Sementara pada kubur orang kafir penuh dengan api neraka. Satu perkara yang perlu anda ingat dalam hidup kita, apabila tiba saat liang lahad terbuka dan jasad kita diturunkan ke dalamnya, satu perkara yang perlu kamu ingat ialah di mana akan berlakunya himpitan kubur.”

Ada perbezaan antara himpitan kubur dan azab kubur. Himpitan kubur berlaku pada saat awal sebelum liang lahad ditutup dan hampir semua manusia akan melaluinya kecuali Nabi serta Rasul. Riwayat Aisyah menyebut, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya kubur itu memiliki himpitan. Kubur ini, jika mayat itu turun berlaku himpitan. Lalu jika ada orang yang terselamat daripada himpitan kubur ini, nescaya Saad bin Muadz orang pertama yang terlepas daripada himpitan kubur.”

Saad bin Muadz adalah antara sahabat Rasulullah SAW yang ketika gugur syahid, bergegar Arasy Allah SWT, malah malaikat juga turut menangis. Faktor alami himpitan kubur Berdasarkan perkongsian Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani menerusi program Mau’izati di IKIMfm setiap Khamis, jam 5.15 petang, ada beberapa faktor yang menyebabkan manusia mengalami himpitan kubur.

Menurut Rasulullah SAW, perkara pertama menyebabkan berlakunya himpitan kubur kerana cuai terhadap air kencing yang tidak dicuci dengan bersih dan ada kalanya terkena kepada pakaian yang kemudiannya dipakai untuk mengerjakan solat. Menerusi hadis Rasulullah SAW yang dirujuk dalam kitab karangan Imam Jalaludin al-Suyuti, ketika Saad bin Muadz dikebumikan, Rasulullah SAW bertasbih diikuti sahabat Baginda. Apabila sahabat diam, Rasulullah SAW bertakbir, dituruti oleh sahabat. Kemudian sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW kenapa Baginda bertasbih dan bertakbir. Baginda menjawab, kubur orang salih itu telah dihimpit lalu Allah melapangkannya kembali.

Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, selepas Rasulullah SAW mengebumikan Saad bin Muadz, Baginda SAW berucap di tepi kuburnya: “Jika ada di antara kamu yang boleh selamat daripada himpitan kubur, nescaya Saad bin Muadz lah yang pertama terlepas daripada himpitan kubur.”

Himpitan kubur seperti disebut oleh Muhammad al-Taimi yang diriwayatkan Ibnu Abi al-Dunya, adalah seumpama himpitan seorang ibu kerana dari sanalah seseorang itu diciptakan atau seperti seorang ibu yang memeluk anaknya. Lalu anak itu merungkaikan pelukan itu dan menghilang. Setelah itu kembali semula kepada ibunya dan dipeluk semula seperti pelukan orang tua kepada anaknya. Himpitan dialami berbeza antara satu sama lain berdasarkan amalan. Oleh itu, sesiapa yang taat kepada Allah SWT akan mengalami himpitan penuh kelembutan dan kasih sayang tetapi mereka hidup dalam kemaksiatan, akan dihimpit dengan himpitan keras kerana bencinya Allah SWT kepadanya.

Terdapat perbezaan himpitan kubur yang dialami antara orang Mukmin dan orang kafir. Abu al-Qassim al-Said mengatakan, tidak ada seorang pun sama ada baik atau jahat yang akan terselamat daripada himpitan kubur. Bagi orang kafir, himpitan kubur berlaku buat selama-lamanya, bermula selepas dimasukkan ke dalam kubur sehinggalah tiba hari akhirat. Bagi orang Mukmin, himpitan kubur hanya dialami pada waktu mula-mula dimasukkan kemudian akan menjadi lapang selepas selesai urusan pengebumiannya. Faktor kedua yang menyebabkan berlakunya himpitan kubur ialah akibat melakukan kesalahan lalu membiarkan kesalahan itu berpanjangan dan menangguhkan waktu untuk bertaubat.

Seterusnya, kurangnya rasa bersyukur kepada Allah SWT adalah faktor ketiga berlaku himpitan kubur. Jarang sekali kita menyebut Alhamdulillah seperti sejurus selepas bangun daripada tidur atau memanjatkan rasa syukur kerana dikurniakan pasangan hidup yang baik. Gerakan pada kedua-dua kaki Setelah jasad diturunkan ke liang lahad, terasa gerakan pada kedua-dua kaki. Ibnu Abi al-Dunya meriwayatkan daripada Al-Walid bin Amru bin Muadz, katanya, “Pernah sampai kepadanya satu berita yang menyebut bahawa hal pertama akan dirasakan oleh mayat ketika turun ke liang kubur itu, dirasakan gerakan kedua-dua kakinya. 

Lalu dia bertanya, siapa kamu? Kemudian dia menjawab, aku amalanmu. Lalu amal itu akan memukul paha kirinya, sambil berkata: Aku adalah amal perbuatan kamu ketika hidup di dunia dahulu. Kemudian apabila jasad itu bertanya di mana keluarga serta apa yang diberikan Allah kepadanya sebelum ini, lalu amal itu berkata: Kamu telah meninggalkan keluarga dan segala kurniaan Allah, tiada apa yang mengikut kamu kecuali aku. Mayat itu seterusnya menyebut: Seandainya aku mengetahui hanya amal yang akan mengikutku, maka aku akan mengutamakan kamu (amal) di atas dunia berbanding keluargaku dan segala yang diberikan kepadaku, tetapi sebaliknya aku sibuk dengan semua itu sehingga aku tertinggal amalan yang sepatutnya aku kerjakan.”

Kemudian kita akan diperlihatkan malaikat Mungkar dan Nakir yang berwarna hitam kebiru-biruan berada hujung kaki untuk memulakan pertanyaan soalan azab kubur. Saat diperhatikan malaikat itu, datang perasaan amat takut kepada Allah SWT kerana ketika di dunia kita hanya takut kepada perkara selain-Nya.

Usah Salahguna Gajet Untuk Keburukan

Setiap Muslim perlu berhati-hati dalam menggunakan saluran media sosial untuk berdakwah.

Sejak akhir-akhir ini, gajet komunikasi banyak disalahgunakan apabila aplikasi yang sepatutnya memudahkan perhubungan dijadikan medan menyebar maklumat mengelirukan, berbaur fitnah, gambar serta berita tidak dipastikan kesahihannya. 

Segelintir pengguna semakin teruja dan seronok menulis, mengubah suai, menghantar gambar berunsur negatif, yang dikongsi dengan tujuan mencari keseronokan tanpa mengambil kira sensitiviti agama, bangsa, masyarakat atau individu terbabit.

Rantaian penyebaran sesuatu berita secara salin dan hantar, diubah suai dengan fakta tambahan. Tindakan itu boleh dikira sebagai menyebarkan berita yang tidak benar dan membawa fitnah. Menyiarkan sesuatu berita tanpa dasar kebenaran, bertujuan mencemarkan nama baik seseorang adalah fitnah. Perbuatan tercela itu dilarang oleh Allah SWT dan orang yang membuat fitnah akan ditimpa azab yang amat pedih. Dakwah media elektronik Allah SWT berfirman bermaksud: 

“Sesungguhnya orang yang mendatangkan fitnah kepada orang Mukmin lelaki dan perempuan, kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab jahanam dan bagi mereka azab (neraka) yang sangat pedih.” (Surah al-Buruj, ayat 10)

Memaparkan berita berunsur keagamaan dianggap sebagai dakwah alam siber bagi sesetengah pengguna. Penyebaran berita seperti nasihat, larangan dan suruhan berlandaskan tuntutan agama serta hadis, kerap diterima malah sudah menjadi amalan. Tidak dapat dinafikan, banyak kebaikan berdakwah menerusi media elektronik, namun seseorang itu haruslah berhati-hati dengan lambakan hadis palsu dikaitkan dengan Nabi Muhammad SAW. Hadis itu sengaja direka untuk menimbulkan kekeliruan terhadap agama Allah SWT. Penyebaran hadis palsu adalah dusta terhadap nama Nabi SAW dan hukumnya berdosa. Daripada al-Mughirah bin Syu’bah, Nabi SAW bersabda: 

“Sesungguhnya berdusta kepadaku tak sama dengan orang yang berdusta atas orang lain. Barang siapa berdusta atas namaku dengan sengaja maka hendaklah dia bersiap-siap (mendapat) tempat duduknya di neraka.” (Riwayat al-Bukhari)

Firma Allah bermaksud: “Hai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Allah SWT melarang hamba-Nya yang beriman percaya kepada khabar angin. Allah SWT menyuruh Mukminin memastikan kebenaran berita yang sampai kepada mereka kerana tidak semua berita itu benar. Islam telah meletakkan syarat bagi mengelakkan kesan buruk akibat berita yang disampaikan. 

Pastinya kita biasa menerima mesej, ‘Sila sebarkan SMS ini. Jika tidak kamu akan ditimpa bencana daripada Allah Subhanahu wa Taala’ atau ‘Jika anda mahukan kejayaan yang akan dikurniakan Allah SWT maka jangan tunggu lama-lama untuk sebarkan e-mel ini kepada 20 orang. Sudah pasti akan datang ganjaran tanpa anda duga.’ 

Mesej berkenaan boleh membuatkan seseorang berasa ragu-ragu untuk tidak melakukan apa yang diugut oleh penghantar. Kepercayaan terhadap perkara itu boleh menjejaskan akidah.

Kini dosa bukan hanya dilakukan secara bersendirian, tetapi secara perkongsian (berantai) hingga menjadi fitnah secara meluas. Jalinan perkongsian itu kemudian disebarkan secara lebih luas lagi melalui prinsip tolong-menolong oleh orang yang tersangkut dalam rantaian terbabit. Sedar atau tidak, pengguna mungkin terjerat dengan penyebaran hadis palsu. Untuk mengelak perkara itu, tindakan pertama adalah merujuk kepada teks hadis yang diiktiraf sahih. Amalan sedemikian dapat menyelamatkan seseorang dari jatuh ke jurang kehinaan.

Tindakan mendatangkan dosa

Sekalipun tidak menyebarkan cerita palsu, namun jika cerita yang sebarkan itu berniat jahat, untuk mengadu domba atau memburukkan pihak lain tanpa sebarang sebab dibolehkan syarak, maka ia sudah cukup untuk mendatangkan dosa. Masing-masing ghairah ingin menjadi ‘yang pertama’ menyebarkan berita baharu diterima. Selain menjejaskan kredibiliti, ia mendedahkan tahap pemikiran seseorang pelaku yang kerap menonjolkan tindakan negatif. Pemantauan tidak dapat mengawal perbuatan suka ‘menyalin dan menghantar’.

Sehingga kini, pelbagai cara dilakukan pihak berkuasa, namun perkara negatif itu tetap berleluasa. Berhati-hatilah menggunakan saluran media sosial dan gunakan dengan cara berhemah dan mengikut landasan ditentukan syarak. Jangan kita cemari kemudahan disediakan dengan perkara yang hanya akan mendatangkan dosa kepada kita semua.

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga