Melawan Sihir Cinta!

Di Subuh yang hening ini, saya teringin untuk berkongsi sebuah artikel yang saya baca melalui sebuah majalah tempatan. Artikel bermanfaat ini berkaitan dengan cinta. Namun cinta ini berbeza dengan jenis cinta yang lainnya di dunia ini kerana cinta ini menggunakan pengaruh sihir dalam prosesnya. Keji bukan? Anda pernah mendengar tentangnya? Jika belum pernah, mari sama-sama kita fahami isi artikel ini.

SIHIR itu ada, sebab ia tertulis di dalam al-Quran. Oleh itu, kita semua perlu bersedia supaya tidak terkena sihir. Seseorang yang terkena sihir tidak lagi berdiri sebagai insan normal. Tindakan keterlaluan ataupun terlalu kurang daripada tahap manusia yang biasa.

SIHIR adalah perbuatan yang berkaitan dengan jin yang menyebabkan perubahan secara mendadak tanpa diketahui sebabnya. Sihir juga merupakan perantaraan di antara tukang sihir dan syaitan  yang mensyaratkan si tukang sihir tersebut agar melakukan perbuatan haram dan syirik di samping menyerahkan segala ketaatan kepadanya demi memperoleh bantuan dan pertolongan yang dihajatkan.

CINTA termasuk dalam sihir yang boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Sihir cinta kadang-kadang lebih menyayat hati – dia cantik tetapi tiada siapa yang ingin berkahwin dengannya. Kalau berkahwin pun tidak lama sudah bercerai. Apa yang tidak kena?

Apabila seseorang itu suka bersendirian, pendiam, tidak suka berjumpa dengan orang, fikirannya meracau, selalu juga pening, lesu dan tidak bermaya serta hilang semangat tanpa ketahui punca sebenarnya, ini dinamakan sihir membuat orang tidak suka.

Sihir menahan pernikahan itu pula adalah apabila seseorang menghadapi pening kepala yang berterusan, sekalipun telah mengambil ubat tapi dada terasa sesak terutama selepas Asar hingga tengah malam.

Dia melihat orang yang datang melawat sebagai bermuka hodoh. Fikirannya kerap melayang, apabila tidur selalu gelisah dan tidak nyenyak, perut juga selalu berasa sakit, demikian juga di bahagian bawah tulang punggung.

Lindungi Diri

Bagaimana sihir ini boleh berlaku? Mengikut seorang pengamal perubatan Islam dalam laman webnya, jin akan ditugaskan melakukan satu di antara dua:

* Masuk ke dalam tubuh wanita berkenaan menyebabkan dia benci kepada setiap calon suami yang melamarnya.

* Menukarkan wajah lelaki yang ingin melamarnya hingga berwajah buruk.

Kita semua berhak melindungi diri daripada terkena sihir. Ibarat kita semua berhak memandu kereta juga berhak mengelak dari sebarang tragedi. Kita berhak hidup di dunia ini justeru berhak menangkis dan menepis semua perbuatan ghaib yang jahat daripada menmpa diri kita. Lindungilah diri kita bersama dengan:

* Banyak-banyakkan berzikir dengan zikir yang diwariskan oleh Nabi Muhammad SAW umpamanya Zikir al-Mathurat.

* Menyebut nama ALLAH dalam setiap pekerjaan.

* Menyebut nama ALLAH setiap kali masuk ke tempat gelap.

* Jangan menyakiti binatang seperti anjing dan kucing.

* Jangan tidur bersendirian, jika terpaksa berwuduklah dan membaca doa sebelum tidur.

* Jangan membuang air kecil ke mana-mana lubang atau takungan air.

* Jangan membunuh ular yang masuk ke dalam rumah sewenang-wenangnya.

* Jangan mendedahkan aurat kasar di dalam rumah dan jangan selalu bersolek dan berhias kerana ditakuti timbul rasa ghairah jin jantan terhadap wanita berkenaan.

Amalan dan Doa Ketika Sakit

* Diriwayatkan daripada Siti Aisyah r.a bahawa Rasulullah s.a.w apabila hampir ke tempat tidurnya, beliau mengumpulkan kedua telapak tangannya, lalu menghembuskan kepadanya seraya membaca:

a) Surah al-Ikhlas
b) Surah al-Falaq
c) Surah an-Nas

Kemudian menyapu kedua telapak tangan tadi keseluruhan badannya, yakni mana yang tersampai, dimulakan dari kepala dan wajahnya dan mana yang sampai dari badanya, dibuatnya begitu sampai tiga kali. Berkata Aisyah lagi: Apabila beliau sakit disuruhnya aku membuat semacam itu kepadanya (Riwayat Bukhari dan Muslim)

* Kami meriwayatkan daripada Siti Aisyah r.a. bahawa Nabi s.a.w apabila ada orang yang mengadu sakit, ataupun ada tumbuh bisul atau ada tanda luka, beliau meletakkan hujung jari telunjuknya ke bumi, sebagaimana yang diberitakan oleh Sufyan bin Uyainah perawi Hadis ini, kemudian diangkatnya seraya mengucapkan:

Ertinya: Dengan nama Allah, tanah bumi kita, dengan air ludah sesama kita, sampai sembuh pesakit kita, dengan izin Tuhan kita.(Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud dan lain-lain)
 
* Dalam riwayat lain: Adalah Rasulullah s.a.w. seringkali menjampi dengan mengucapkan:
 
Ertinya: Lenyapkanlah kepayahan daripadanya, duhai Tuhan manusia! Di tanganMulah penyembuhan itu, tiada yang dapat melenyapkan penyakit itu melainkan Engkaulah saja!

* Kami meriwayatkan daripada Anas r.a. bahawa dia telah berkata kepada sahabat Tsabit r.a. Mahukah engkau, aku menjampimu dengan jampian Rasulullah s.a.w? Jawab Tsabit: tentu sekali! Maka Anas pun membacakan jampiannya begini:

Ertinya: Ya Allah, Tuhan manusia, wahai Tuhan yang menghilangkan kepayahan! Sembuhkanlah dia kerana Engkaulah penyembuh, tiada penyembuh lain melainkan Engkaulah saja, suatu penyembuhan yang tiada meninggalkan penyakit. (Riwayat Bukhari)
 
* Kami meriwayatkan daripada Usman Bin Abul-Ash r.a. bahawa dia pernah mengadukan suatu penyakit yang menimpa dirinya kepada Rasulullah s.a.w., maka beliau pun mengatakan: Letakkan tanganmu di tempat yang kau rasakan sakit pada badanmu, kemudian bacalah: Bismillah sebanyak (3 kali), lalu ucapkanlah doa ini sebanyak 7 kali:

Ertinya: Aku berlindung diri dengan keperkasaan Allah dan kekusaanNya daripada bahaya yang aku temui dan aku takut.
 
* Kami meriwayatkan dengan isnad yang sahih daripada Ibnu Abbas r.a. daripada Nabi s.a.w. beliau bersabda: Barangsiapa yang menziarahi pesakit yang belum tiba ajalnya, lalu dia mengucapkan doa ini sebanyak (7 kali):

Ertinya: Aku memohon kepada Allah yang Maha Agung, Pemilik arasy yang agung, mudah-mudahan Dia menyembuhkanmu! – melainkan Allah s.w.t. akan menyembuhannya daripada penyakit itu.
 
* Kami meriwayatkan daripada Abu Umamah r.a. dia berkata: Telah bersabda Rasulullah s.a.w :

Ertinya: “ kesempurnaan ziarah pesakit, iaitu hendaklah seseorang kamu meletakkan tangannya ke atas dahi pesakit, atau pada tangannya, lalu menanyakan keadaannya, bagaimana dia?!”

Apa yang diucapkan si pesakit kepala atau demam atau selainnya daripada penyakit

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. pernah mengajar para sahabat doa untuk menghilangkan derita sakit dan daripada sakit demam panas, beliau membaca:

Ertinya: Dengan nama Allah yang Maha Agung, kami berlindung diri dengan Allah yang Maha Agung, daripada keluhan urat yang berbisa, dan daripada penderitaan panas sakit yang membakar. Hendaklah membacakan
(1) Al-Fatihah ke atas dirinya sendiri bila sakit dengan:
(2) Al-Ikhlas
(3) Al- Mu’awwidzatain

Kemudian ditiupkannya pada kedua belah tanganya serta menyapukan ke seluruh badannya, seperti yang telah disebutkan terdahulu dari ini. Kemudian hendaklah dia berdoa untuk menjauhkan bencana dari dirinya.                                                                     
Makruh mencita-citakan mati kerana sesuatu bahaya yang menimpa diri

Mencita-citakan mati kerana sesuatu bahaya yang menimpa diri adalah makruh hukumnya, tetapi jika ia takut fitnah terhadap agamanya, Maka mencita-citakan yang demikian adalah harus hukumnya.Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: telah bersabda Nabi s.a.w. Jangan sekali-kali seseorang kamu menginginkan mati kerana sesuatu bahaya yang menimpanya, dan kalau pun dia terpaksa melakukannya, maka hendaklah dia mengatakan:

Maksudnya: Ya Allah, ya Tuhanku! Hidupkanlah aku selama kehidupanku baik bagi diriku, dan wafatkanlah aku apabila wafat itu baik bagi diriku!                                                                
Membolehkan seseorang berdoa supaya matinya di tanah suci

Diriwayatkan daripada Ummul Mukminin Hafshah binti Umar r.a. dia berkata: telah berucap Umar r.a.:

Yakni: Ya Allah, ya Tuhanku! Kurnikanlah aku mati syahid pada jalanMu, dan biarlah kematianku berlaku pada negeri RasulMu s.a.w.!- Maka berkata Siti Hafshah kepada ayahnya: Apakah ini boleh berlaku? Jawab Umar: Jika dikehendaki Allah, semuanya akan berlaku!   
                                      
Anjuran melunakkan hati pesakit dengan kata-kata yang menghiburkan

Diriwayatkan daripada Abu sa’id Al-Khudri r.a katanya: telah bersabda Rasulullah s.a.w:

“ Jika kamu datang menjenguk orang sakit, hendaklah kamu melapangkan dirinya dari hal ajalnya, kerana yang demikian itu tiada mengubah sesuatu (yang sudah ditakdirkan baginya), tetapi itu akan melunakkan hatinya. (Riwayat Termizi dan Ibnu Majah dengan Isnad dhaif)   
                              
                                       
Memuji pesakit tentang amalan-amalannya yang baik dan sebagainya
                                                  
Apabila terdapat kebimbangan pada diri pesakit, bolehlah dipuji tentang amalan-amalannya yang baik untuk menghapuskan perasaan bimbang itu daripada dirinya, dan supaya menimbulkan perasaan sangka baiknya terhadap Tuhannya s.w.t.

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a.bahawa dia pernah mengatakan kepada Saiyidina Umar bin Al-Khattab r.a. ketika dia ditikam oleh Abu Lu’luah (orang majusi dari Iran) dan kelihatanya dia sangat mengeluh.

Berkata Ibnu Abbas: Wahai amirul Mukminin! Jangan Engkau ingat apa-apa! Engkau telah bersahabat dengan Rasulullah s.a.w dan engkau telah memperelokkan persahabatanmu dengan beliau, kemudian beliau telah meninggalkanmu sedang beliau redha dengan apa yang engkau lakukan. Kemudian engkau telah bersahabat dengan kaum muslimin, dan engkau telah memperelokkan persahabatanmu dengan mereka, maka jika engkau meninggalkan mereka pun, engkau akan meninggalkan mereka sedang mereka redha dengan segala perbuatanmu itu dan seterusnya. Umar menjawab: memang itu semua daripada kurniaan Allah Ta’ala.                                                  

Apa yang dikatakan untuk membuka selera pesakit

Diriwayatkan daripada Anas r.a. dia berkata: sekali peristiwa datang Nabi s.a.w. kepada seorang lelaki yang sedang sakit, lalu beliau bertanya: Apakah engkau perlu apa-apa? Engkau hendak makan kuih? Orang itu menjawab: Saya, wahai Rasulullah s.a.w. Maka beliau pun memintakan kuih untuknya (Riwayat Ibnu Majah dan Ibnus-Sunni dengan isnad dha’if)

# Diriwayatkan daripada Uqbah bin Amir, dia berkata bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda:

Ertinya: “ Jangan kamu memaksa pesakit-pesakit kamu untuk makan, kerana sesungguhnya Allah memberinya makan dan minum.”(Riwayat Termizi dan Ibnu Majah- berkata Termizi Hadis hasan)

Para pengunjung kepada pesakit memohon doa daripadanya
                                
Diriwayatkan daripada Maimun bin Mahran daripada Umar bin Al-Khattab r.a. dia berkata: telah bersabda Rasulullah s.a.w. :

Ertinya: “ Jika engkau datang menjenguk pasakit, maka mohonkanlah dia berdoa untukmu, kerana doanya sama seperti doa para Malaikat.”(Riwayat Ibnu Majah dan Ibnus – Sunni dengan isnad sahih)             

Apa yang disebut oleh orang yang tidak ada harapan untuk hidup terus
                                                    
Diriwayatkan daripada Siti Aisyah r.a. dia berkata: Saya menyaksikan hari-hari terakhir Rasulullah s.a.w. sedang beliau menghadapi maut, dan di tangannya ada sebuah bekas air, beliau mencelupkan tangannya ke dalam bekas air itu, kemudian disapukan air itu ke wajahnya seraya mengucapkan:

Yakni: Ya Allah, ya Tuhanku! Bantulah aku untuk menghadapi kepayahan-kepayahan maut dan sakaratul-maut.

# Dianjurkan supaya dia memperbanyak membaca Al-Quran dan membawa zikir dan wirid. Makruh dia mengeluh, berkelakuan buruk, memaki- maki orang, bertengkar dan bergaduh pada hal-hal yang tiada berkaitan dengan urusan agama.

# Mensyukuri Allah Ta’ala dengan hatinya dan lisannya, serta mengingat bahawa masa itu adalah detik-detik terakhir dari hayatnya di dunia ini, agar di dapat mengakhiri hayatnya di dunia ini dengan membuat perkara-perkara yang baik.

# Mengembalikan hak-hak orang kepada orang empunyanya: seperti amanah, wadi’ah dan pinjaman.

# Meninggalkan pesanan tentang urusan anak-anaknya jika mereka tidak mempunyai datuk.

# Selalu mengingatkan dirinya dengan membaca ayat-ayat Al-Quran yang menyimpulkan harapan kepada Allah, dan dia membacanya dengan suara-suara yang perlahan-lahan ataupun disuruhkan orang lain membacanya dan dia mendengarnya.

# Hendaklah dia berusaha mengakhiri detik-detik umurnya itu dengan membuat hal-hal yang sempurna.

# Bersabar atas sakitnya

# Berbelas kasihan kepada orang-orang yang ditinggalkannya seperti anak yang kecil, pembantu, jariah dan selainnya.

# Berpesan untuk meninggalkan apa yang biasa dibuat dari berbagai-bagai bid’ah pada ketika ada jenazah di rumah dan diambil janji tidak akan melakukannya.

Dianjurkan supaya dia mengatakan kepada mereka dari masa ke masa kata-kata ini: Bila kamu mendapati aku mencuaikan sesuatu, maka hendaklah kamu mengingatkan aku tentang kecuaianku.

Dan apabila menghadapi nazak hendaklah memperbanyak membaca: Laa Ilaaha Illallaah! Supaya menjadi kalimat yang terakhir diucapkan ialah kalimat itu, kerana kami telah meriwayatkan daripada Mu’az bin Jabal, dia berkata: telah bersabda Rasulullah s.a.w. :

Ertinya: Barangsiapa penghabisan bicaranya kalimah Laa Ilaaha Illallaah, niscaya akan memasuki syurga”
                   
Apa yang patut dikatakan sesudah memejamkan mata si mayat
                    
Diriwayatkan daripada Bakar Bin Abdullah, seorang tabi’in yang mulia, dia berkata: apabila engkau memejamkan mata si mayat bacalah:

Yakni: dengan nama Allah dan di atas kepercayaan Rasulullah s.a.w!- Dan jika engkau mengangkatnya bacalah Bismillah lalu bertasbihlah selama engkau masih mengangkatnya.                     
        
Apa yang patut diucapkan pada si mayat
              
* Diriwayatkan daripada Ummi Salamah r.a. dia berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

Ertinya: “ jika kamu menziarahi pesakit atau orang yang mati, maka hendaklah kamu mengatakan yang baik, kerana para Malaikat mengaminkan apa yang kamu ucapkan itu.”

* Ummi Salamah r.a. meneruskan bicaranya: Apabila Abu Salamah meninggal dunia, aku segera datang kepada Rasulullah s.a.w. dan berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya Abu Salamah telah meninggal dunia. Beliau lalu mengajarku katanya, ucapkanlah:

Yakni: Ya Allah, Ya Tuhanku! Ampunilah aku dan dia, dan gantikanlah dia buatku dengan gantian yang baik! – maka aku pun mengucapkannya seperti yang diajarkannya, lalu Allah telah menggantikan dia buatku dengan orang yang lebih baik daripadanya ( Abu Salamah), iaitu dengan Nabi Muhammad s.a.w (Riwayat Muslim)
        
Apa yang diucapkan tuan rumah yang di rumahnya ada mayat
                    
Diriwayatkan daripada Ummi Salamah r.a dia berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Tiada seorang hamba yang ditimpa suatu musibah, lalu dia mengucapkan:

Maksudnya: Sesungguhnya kita ini kepunyaan Allah dan kepadaNyalah nanti kita akan kembali. Ya Allah, ya Tuhanku! Berilah aku pahala kerana musibah yang menimpaku ini dan gantikan aku apa yang lebih baik daripadanya! – melainkan Allah Ta’ala akan memberikan pahala atas musibahnya itu dan menggantikan buatnya apa yang lebih baik daripadanya.Berkata Ummi Salamah seterusnya: Apabila Abu Salamah (suaminya yang pertama) meninggal dunia, aku mengucapkan seperti apa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Maka Allah telah mengantikan buatku apa yang lebih baik daripada Abu Salamah. Iaitu Rasulullah s.a.w.               

Apa yang diucapkan bila menerima berita kematian sahabat
                    
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a dia berkata: telah bersabda Rasulullah s.a.w. : kematian itu menakutkan, maka apabila seseorang kamu mendapat berita kematian saudaranya, hendaklah dia mengucapkan:

Maksudnya: Sesungguhnya kita ini kepunyaan Allah dan kepadaNyalah kita akan kembali. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kita akan menghadap. Ya Allah, ya Tuhanku! Catitkanlah dia di sisi Engkau antara orang-orang yang baik, dan jadikanlah catitan amalannya dalam golongan orang-orang yang di tingkat tinggi, dan gantikanlah apa yang baik bagi kaum keluarganya yang ditinggalkan, dan janganlah Engkau haramkan kami dari pahalanya dan jangan Engkau memfitnahi kami sesudah kepergiannya!                         

Haram melolong ke atas mayat dan mengucapkan cara Jahiliah
              
Seluruh Ummat sepakat mengharamkan menangis dengan melolong ke atas mayat dan menarik-narik suara seperti dilakukan oleh orang-orang zaman jahiliah, serta menjerit-jerit, tanda tidak rela atas kematiannya dengan mengucapkan kata-kata yang menunjukkan putus asa.Kami meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a. dia berkata: Telah berkata Rasulullah s.a.w:

Ertinya: “ Bukanlah daripada golongan kami sesiapa yang menampar-nampar pipi, mengoyak-ngoyakkan pakaian serta berteriak dengan teriakan kaum jahiliah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Adapun hadis-hadis sahih yang memberitakan bahawa si mayat akan disiksa kerana tangisan kaum keluarganya ke atasnya, bukanlah maksudnya pada maknanya yang zahir dan tidaklah mutlak, tetapi dia mesti ditakwilkan.

Berkata para sahabat kami: Menangis sebelum mati dan sesudahnya adalah harus (boleh), tetapi sebelumnya adalah lebih utama, kerana ada sebuah hadis sahih yang bermaksud: Apabila telah datang kematian janganlah hendaknya ada yang menangis lagi!Imam syafi’e rahimahullah dan para sahabatnya telah menaskan bahawa tangisan sesudah mati itu adalah makruh tanzih (makruh yang dilarang) dan tidak haram. Mereka mentakwilkan maksud Hadis yang berbunyi “ janganlah hendaknya ada yang menangis lagi” sebagai makruh hukumnya saja.

Dinukil dari kitab kumpulan doa dan zikir “ Al-Azkar” Oleh Imam Nawawi        

5 Peringkat Golongan yang Lalai dalam Laksana Solat

PERNAHKAH kita bersedih kerana tertinggal sembahyang, terlewat mengerjakannya atau pernahkah perasaan rugi kerana tidak sempat melakukan solat secara berjemaah?

Pernahkah kita terasa berdosa tidak ‘beradab’ menghadapi Allah? Jawapannya ada pada diri kita sendiri. Kali ini penulis ingin menyentuh soal lalai dalam solat.

Lawan lalai ialah khusyuk dan ia bukan setakat dapat menumpukan perhatian dan faham apa yang dibaca dalam sembahyang tetapi menimbulkan rasa-rasa dengan Tuhan.

Kalau tidak ada rasa-rasa yang berubah dalam sembahyang seperti gerun, hebat, cinta, takut, berharap kepada Tuhan maka itu tanda tidak khusyuk.

Lalai dalam sembahyang ada beberapa peringkat seperti berikut:

1. Lalai habis. Takbir sahaja sudah ingat perkara lain di luar sembahyang yang tidak ada kena mengena langsung dengan sembahyang. Ia berterusan sampai salam. Tidak ada rasa apa-apa dengan Tuhan sepanjang sembahyang. Malahan sedar pun tidak.

2. Dalam sembahyang. Ada masa lalai dan ada masanya ingat dan sedar bahawa dia sedang bersembahyang. Sembahyang diselang-seli dengan lalai dan mengingat hal-hal dunia.

3. Boleh ikut dan menyorot apa yang dia baca dalam sembahyang tetapi tidak faham akan maksud apa yang dibaca dan dilafazkan. Kalau hendak diukur dengan nisbah khusyuk, ini masih dianggap lalai.

Bila tidak faham, masakan boleh menghayati. Kalau tidak menghayati, masakan boleh merasa apa-apa dengan Tuhan.

4. Boleh faham segala apa yang dibuat, dibaca dan dilafazkan di dalam sembahyang. Sembahyang seperti ini sudah agak baik. Namun ini masih dianggap lalai mengikut kehendak dan tuntutan sembahyang kerana belum ada apa-apa rasa dengan Tuhan. Khusyuk adalah rasa bukan setakat tahu atau faham.

5. Faham akan segala apa yang dibaca dan dilafazkan dalam sembahyang dan kadang-kadang ada rasa tetapi tidak pada sepanjang masa dan waktu di dalam sembahyang.

Walaupun ini sudah baik tetapi masih ada lalai. Walaupun tidak membawa dunia ke dalam sembahyang tetapi rasa-rasa dengan Tuhan tidak wujud sepanjang waktu dalam sembahyang.

6. Sembahyang yang tidak lalai itu ialah yang sentiasa mempunyai rasa dengan Tuhan yang berubah-ubah dari satu rasa ke satu rasa yang lain mengikut apa yang dibaca dan apa yang dilafazkan, bermula dari takbiratul ihram hinggalah kepada salam. Inilah sembahyang yang tidak lalai. Inilah sembahyang yang benar-benar khusyuk.

Lalai berpunca daripada pengaruh dunia. Kalau dunia berada di hati amat sukar untuk mendapat khusyuk dalam sembahyang. Dunia akan terbawa dalam sembahyang.

Sebab itu kalau dalam sembahyang hanya ada rasa-rasa keduniaan seperti seronok baru berjumpa kawan, teringat polis saman kereta kita salah parking atau bimbang tak sempat pergi ke bank sebelum bank tutup dan sebagainya.

Rasa-rasa ini ialah rasa dunia yang melalaikan, bukan rasa-rasa khusyuk. Sekiranya kita tidak kenal Tuhan, hanya setakat tahu dan percaya sahaja,
kita tidak akan dapat rasa khusyuk.

Paling tinggi ketauhidan kita hanya di peringkat akal atau fikiran sahaja kerana tahu dan percaya itu perkara akal. Kita dikatakan orang yang berfikiran tauhid, bukan yang berjiwa tauhid.

Mengenal Tuhan ialah langkah pertama untuk mendapat khusyuk. Setelah mengenali Tuhan barulah kita akan dapat merasakan kehebatan dan keagungan Tuhan di hati kita kerana kenal itu perkara hati.

Barulah kita akan dapat rasa bertuhan. Selagi hati kita tidak dapat rasa bertuhan, ia tidak akan dapat rasa kehambaan dan ia tidak akan dapat rasa khusyuk.

Ada hadis berbunyi: “Awal-awal agama adalah mengenal Allah” Maksudnya, selagi kita tidak kenal Allah, agak sukar untuk kita beragama. Kita tidak akan boleh khusyuk.

Selagi kita tidak boleh khusyuk kita sebenarnya belum berjiwa Tauhid. Kalau kita belum berjiwa Tauhid kita tidak akan mampu mengamalkan dan menegakkan syariat Islam secara lahir dan batin.

Mungkin kita boleh laksanakan syariat lahir tetapi batinnya kosong. Tidak ada khusyuk, tidak ada roh dan tidak ada jiwa. Padahal Islam itu mesti ada lahir dan batinnya.

Kebaikan Solat untuk Kesihatan

BEGITU hebat rahsia di sebalik ibadah solat yang umat Islam lakukan setiap hari.

Solat bukan ibadat biasa, tetapi ia manifestasi hebat yang dianugerahkan kepada manusia – zahir dan batin.

SUJUD DENGAN SEMPURNA….kajian membuktikan apabila seseorang sujud rongga dada akan bertambah besar dan paru-paru akan berkembang dengan baik bagi menghirup udara bersih selain melancarkan pengaliran darah.

Jangan terkejut amalan solat yang dilakukan setiap hari adalah terapi paling berkesan merawat pelbagai penyakit berbahaya.

Kajian saintifik membuktikan kesahihan perkara itu. Penyakit berpunca daripada makanan kita makan setiap hari dan tabiat buruk yang diamalkan. Dalam soal pemakanan, Nabi Muhammad s.a.w adalah manusia yang amat teliti dan bijak mengatur pola makanan seharian.

Nabi Muhammad turut menekankan ibadah yang pintar bermula dengan wuduk yang menyimpan 1001 rahsia.

Melalui wuduk, kesihatan bertambah baik, wajah berseri-seri dan tampak awet muda jika dilaksanakan dengan sempurna.

Dalam buku 365 Tip Sihat Gaya Rasulullah karya Dr Mohammad Ali Toha, Prof Dr Syahathah dari Fakulti Perubatan, Universiti Alexandria, Mesir membuat kajian bahawa ‘istinsyaq’ atau memasukkan air melalui hidung ketika berwuduk membersihkan hidung daripada kuman.

Cara melakukannya ialah dengan memasukkan air seperti menarik nafas dengan kekuatan sederhana kemudian mengeluarkan air itu dengan hembusan yang kuat.

Kaedah itu jika dilakukan dengan sempurna mampu mencegah 17 penyakit berbahaya, antaranya mata, telinga kulit, radang kerongkong, batuk dan penyakit paru-paru dan penyakit mental. Percayalah, jika Allah memerintahkan sesuatu ibadah itu, pasti ada hikmah dan manfaat kepada manusia.

Apakah kesan langsung dalam setiap pergerakan yang dilakukan ketika kita menunaikan solat lima waktu? Di dalam sebuah kitab fiqh ada menyentuh mengenai solat iaitu Muniyatul Musalli. Ia menggambarkan solat adalah persembahan terbaik kepada Khaliq (Allah). Solat yang tidak khusyuk ibarat persembahan hadiah yang tidak bernilai. Justeru, setiap Muslim perlu mempunyai hati yang bersih bagi khusyuk dalam solat. Pernahkah kita berfikir mengapa perintah bersolat lebih awal dari ibadat puasa atau amalan lain? Dalam peristiwa Israk dan Mikraj, Allah memberikan perintah bersolat kepada Nabi Muhammad s.a.w. secara terus tanpa perantaraan sesiapa di Sidratul Muntaha. Kelebihan bersolat dibuktikan sendiri Rasulullah, apabila ditimpa kesukaran dan kesedihan, Baginda akan berkata kepada Bilal: “Tenteramkanlah hatiku, wahai Bilal.” Maka Bilal pun mengalunkan azan. Kemudian mereka mengerjakan solat secara berjemaah.

Pakar perubatan mengakui solat yang khusyuk adalah amalan meditasi yang ideal. Bacaan dalam solat menyebabkan manusia berada dalam keadaan antara jaga dan tidur.

Cuba praktikan kepada diri sendiri, apabila menghadapi masalah, kerjakan solat sunat dua rakaat dan lihat hasilnya.

Malah, pergerakan dalam solat mempunyai maksud penghambaan kepada Allah apabila dilakukan dengan fokus dan toma’ninah.

Ia lebih mujarab jika kita memahami setiap bacaan dalam solat. Memang bukan mudah untuk khusyuk dalam solat kerana syaitan sering mengganggu dan melalaikan manusia.

Oleh itu, Nabi Muhammad s.a.w menganjurkan kita jangan tidur selepas makan, tetapi berzikir dan bersolat.

Diceritakan, suatu hari Abu Hurairah sakit perut lalu Nabi berkata: “Bangkit dan bersolatlah kerana sesungguhnya ada perubatan dalam solat.”

Menurut kajian penyelidik dari Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya (UM) solat boleh merawat pelbagai penyakit kronik.

Ketua Penyelidiknya, Profesor Madya Dr Fatimah Ibrahim, berkata setiap gerakan solat mempunyai manfaat besar yang mampu meningkatkan kesihatan manusia secara optimum. “Hasil kajian membuktikan gerakan dalam solat seperti berdiri betul, takbiratul ihram, iktidal, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud, tahiyat menyamai senaman ringan.

“Solat yang lengkap lima kali sehari semalam, memahami makna bacaan, rukuk dengan betul serta melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahiyat akhir akan mendapat komposisi tubuh yang baik.

“Berbeza dengan mereka yang tidak melakukan perkara berkenaan komposisi tubuh mereka kurang baik,” katanya.

“Keputusan kajian juga mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, melakukan rukuk pada kedudukan 90 darjah, sakit pinggang berkurangan,” katanya.

Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Jika kamu rukuk, letaklah kedua-dua tanganmu pada kedua-dua lututmu, kemudian renggangkanlah jari-jarimu, kemudian tenanglah sampai ruas tulang belakangmu mantap di tempatnya.” (Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban)

Selain itu, pergerakan sujud pula membuatkan seseorang bukan saja menjadikan otot besar dan kuat, tetapi saluran darah seperti arteri, vena serta urat limfa akan terurus.

Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Aku diarahkan untuk sujud di atas tujuh anggota sujud: di atas dahi dan Nabi menunjukkan ke arah dahinya (termasuk hidung) dan kedua-dua belah tangan dan kedua-dua lutut dan kedua-dua hujung kaki.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dengan mengamalkan jari kaki membengkok ketika gerakan sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyat akhir mendapati ia mampu membakar lemak dalam badan selain mengurangkan risiko penyakit jantung.

Fatimah berkata setiap pergerakan dalam solat iaitu bermula dari berdiri tegak sehingga selesai memberi salam mempunyai kelebihan dan keistimewaan masing-masing. “Memberi salam ke kanan dan ke kiri adalah amalan baik bagi menyelesaikan masalah kerapuhan tulang tengkuk,” katanya.

Bagi Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas, solat yang dilaksanakan lima kali sehari cukup dijadikan asas senaman rutin. “Solat boleh dianggap senaman fizikal yang istimewa kerana di dalamnya mengandungi pergerakan yang menyamai senaman regangan otot.

“Ia memberi kesan positif terhadap psikologi, tulang otot dan serebral. Semasa bersolat, otot dan sendi turut bergerak,” katanya. Sementara itu, seorang lagi penyelidik, Ng Siew Cheok menyifatkan ibadah solat yang dilakukan seorang Muslim menghasilkan keadaan otak yang tenang.

“Keadaan itu dicapai sebelum seorang itu bergerak untuk sujud. Selain itu, solat dapat meningkatkan penumpuan dan daya ingatan seseorang. “Ketika toma’ninah (berhenti seketika) di dalam solat adalah waktu seseorang itu dijangkakan akan berada dalam keadaan tenang. Justeru, setiap perbuatan dalam solat perlu dilakukan dengan teratur dan tidak tergesa-gesa,” katanya.

Kesimpulan, solat menyimpan 1001 rahsia yang perlu dikaji dan dipelajari kerana jika perintah itu datang dari Allah, pasti ia mempunyai kebaikan untuk manusia.

Tiru Cara Hidup Sihat Nabi S.A.W

Firman Allah Ta'ala ;
Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu akhlak teladan yang baik bagimu, (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah. (Al-Ahzab; 33 : 21).

Segala sesuatu yang dicontohkan atau disuruh oleh Rasulullah SAW pasti mempunyai manfaat dan kebaikan yang banyak. Kerana sesuai dengan kedudukan beliau sebagai uswatun hasanah, tidaklah beliau berbuat atau berbicara melainkan atas petunjuk dan bimbingan Allah, bukan kerana nafsu ataupun keinginannya sendiri.

Salah suatu kebiasaan yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW yang mudah2an tidak sulit untuk kita tiru adalah:

Tidur Mengiring ke Kanan

Posisi tidur Nabi SAW adalah mengiring ke sebelah kanan, kemudian beliau berbalik bertumpu sedikit pada sisi kiri agar proses pencernaan lebih cepat kerana condongnya lambung di atas hati. Kemudian beliau kembali tidur bertumpu pada sisi kanan lagi, agar makanan segera larut dari lambung. Jadi posisi permulaan dan posisi terakhir tidur bertumpu pada sisi kanan. Selain bermanfaat bagi pencernaan, ada 3 manfaat lain yang dapat diambil dari posisi tidur mengiring ke sebelah kanan.

Ibnu Qayyim berkata: “Barangsiapa yang memperhatikan pola tidur dan bangun beliau, nescaya mengetahui bahawa tidur beliau tersebut paling profesional dan paling bermanfaat untuk badan, organ, dan kekuatan

Bangun di Sepertiga Malam

Para pakar kesihatan menyatakan bahawa udara sepertiga malam terakhir sangat kaya dengan oksigen dan belum dikotori oleh zat-zat lain, sehingga sangat bermanfaat untuk optimalisasi metabolisme tubuh. Hal ini jelas sangat besar pengaruhnya terhadap kehidupan seseorang dalam aktivitinya selama seharian penuh.

Contohlah Rasulullah, yang setiap subuh selalu mendapat sedutan udara segar. Beliau bangun sebelum subuh dan melaksanakan qiyamullail. Biasanya orang yang memulai kehidupan di pagi hari dengan bangun subuh, akan menjalani hari dengan penuh semangat dan optimisme. Berbeza dengan orang yang tidak bangun di subuh hari, biasanya lebih mudah terserang rasa malas untuk beraktiviti.

Gosok dan Bersih Gigi dengan Siwak

Untuk menjaga kesihatan mulut dan giginya pada pagi hari, Rasulullah SAW biasa menggunakan siwak. Siwak mengandung flour yang sangat bermanfaat dalam menjaga kesihatan gigi dan gusi. Mulut dan gigi merupakan organ tubuh yang sangat berperanan dalam mengunyah makanan. Apabila mulut dan gigi sakit, maka biasanya proses pengunyahan makanan menjadi terganggu.

Menu Makan Nabi

“Kita masyarakat yang tidak mengamati dan tidak mencontohi adab makan yang diajarkan Islam, akhirnya menderita banyak penyakit. Mereka yang mematuhi kebiasaan makan menurut Islam akan sihat, dan mereka yang meniru cara makan Barat yang buruk akan sakit. Kebiasaan sihat dalam adab makan Islam seharusnya ditiru oleh masyarakat Barat” (Profesor Hans-Heinrich Reckeweg, M.D., ahli toksikologi, Biological Therapy Vol.1 No.2, 1983)

“Sumber dari segala ubat adalah menjaga makanan” (Hadis Sahih)

“1/3 perut untuk makanan, 1/3nya lagi untuk minuman, dan 1/3 sisanya untuk udara”. Kita mungkin sudah akrab dengan diet anjuran Rasul yang satu ini. Namun sudah tahukah kita, kalau berbagai penelitian masa kini menemukan bahawa diet tersebut dapat memperpanjang umur seseorang?

Amalkan di waktu Pagi dengan Minuman Madu

Rasulullah saw membuka menu sarapannya dengan air dingin yang dicampur dengan madu. Dalam Al Qur’an, madu merupakan syifaa (ubat) yang diungkapkan dengan isim nakiroh, menunjukkan erti umum dan menyeluruh. Pada dasarnya madu boleh menjadi ubat atas berbagai penyakit. Madu berfungsi untuk membersihkan lambung, mengaktifkan usus-usus, dan menyembuhkan sembelit, buasir, luka bakar, dan peradangan.

Kunyahan Snack Sihat

Tujuh butir kurma ajwa (matang) menjadi kebiasaan Rasulullah saw menjelang siang. Beliau pernah bersabda, “Barang siapa yang makan tujuh butir kurma, maka akan terlindungi dari racun.” Hal ini terbukti ketika seorang wanita Yahudi menaruh racun dalam makanan Rasulullah pada sebuah percubaan pembunuhan di perang Khaibar, racun yang tertelan oleh beliau kemudian boleh dihapuskan oleh zat-zat yang terkandung dalam kurma. Sementara itu Bisyir ibu al Barra’, salah seorang sahabat yang ikut makan racun tersebut akhirnya meninggal, tetapi Rasulullah saw selamat dari racun tersebut. Rahsianya adalah tujuh butir kurma yang biasa dikunyah Rasulullah saw.

Menu Petang Hari

Menjelang petang hari, menu Rasulullah biasanya adalah cuka dan minyak zaitun. Tentu saja tidak hanya cuka dan minyak zaitun, tetapi diadun dengan makanan asas seperti roti. Manfaatnya banyak sekali, diantara mencegah lemah tulang, melancarkan sembelit, menghancurkan kolesterol, dan melancarkan pencernaan.

Menu Malam Hari

Di malam hari, menu utama makan malam Rasulullah adalah sayur- sayuran. Secara umum, sayuran memiliki kandungan zat dan fungsi yang sama, iaitu menguatkan daya tahan tubuh dan melindunginya dari serangan penyakit.

Aktiviti Sebelum Tidur

Setelah makan malam Rasulullah tidak langsung tidur. Beliau beraktiviti terlebih dahulu supaya makanan yang dikunyah masuk lambung dengan cepat dan mudah dicerna. Caranya boleh juga dengan solat. Rasulullah saw bersabda:

“Cairkan makanan kalian dengan berzikir kepada Allah dan solat, serta janganlah kalian langsung tidur setelah makan, kerana dapat membuat hati kalian menjadi keras.”

Panduan mendidik hati bersih jauhi perasaan dengki, khianat

SUDAH menjadi lumrah, ada sesetengah manusia yang berasa kurang senang apabila melihat kelebihan nikmat dikurniakan Allah kepada orang lain. Untuk menghapuskan perasaan negatif itu, kita seharusnya mengikuti panduan digariskan Nabi SAW.

Diceritakan kepada sahabatnya, Abu Zarr Al-Ghifari, katanya Nabi SAW pernah suatu hari berpesan kepadanya: “Lihatlah kepada orang yang berada di bawah mu dan jangan melihat orang yang berada di atas mu kerana yang demikian lebih patut supaya kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang diberikan kepadamu.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan at-Tirmidzi)

Ini satu panduan terbaik buat kita menelusuri kehidupan di dunia dengan tidak menyimpan perasaan hasad dengki dan iri hati terhadap orang lain. Memang benar, ada manusia diberikan nikmat kurniaan dalam bentuk limpahan kekayaan kebendaan ataupun anak yang ramai.

Dalam hal pemilikan harta kekayaan dunia, seharusnya kita meneliti bagaimana orang itu mendapat hasilnya. Mungkin kerana kecekapan dan kegigihan usaha penuh dedikasi sehingga memperoleh nikmat Allah itu. Kita fikir dan renunglah sebagai iktibar supaya turut sama berusaha gigih.

Kita dilarang keras melakukan sebarang pengkhianatan ataupun perbuatan sabotaj terhadap usaha dan perolehan mereka.

Cubalah kita membawa mata hati berfikir dan melihat kepayahan hidup orang lain yang lebih rendah daripada kita. Sudah tentu pada ketika itu kita berasa sangat bersyukur kerana berada dalam keadaan lebih baik.

Ini sebenarnya inti pati hadis Nabi SAW yang mengajak seluruh umatnya bersyukur atas segala nikmat dimiliki dan tidak melihat kepada golongan yang sudah kaya dan mewah hidupnya sehingga terkocak dalam hati rasa dengki.

Rasulullah SAW meminta kita sentiasa bersikap syukur atas nikmat diberikan Allah dan bersifat qanaah, iaitu berasa cukup kurniaan Allah.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya sangat beruntunglah orang yang memeluk Islam, diberikan rezeki yang cukup, dan Allah menjadikannya berasa puas terhadap apa yang Dia berikan kepadanya.” (Hadis riwayat Muslim, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Namun, dalam aspek ibadah, kita harus melihat kepada orang yang lebih baik daripada kita. Jika ada kalangan sahabat atau ahli masyarakat yang hebat amal ibadat wajib mahupun sunat, perlu dijadikan ikutan supaya kita juga tergolong dalam kategori mukmin salih dan kuat beribadah.

Ingat pesanan Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak daripada sebahagian yang lain. Kerana bagi orang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan dan bagi wanita pun ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan.” (Surah An-Nisa’, ayat 32)

Selain itu, perbuatan berdengki dengan nikmat dimiliki orang lain akan membawa kepada kemurkaan Allah dan menyebabkan si pelaku hilang pahala segala amalnya. Oleh itu, kita sewajarnya mendidik hati supaya bersih daripada tompokan rasa dengki.

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga