Hilang Lazat Ibadah Kerana Mata

MAKSIAT yang masuk melalui mata akan menggelapkan hati sekali MAKSIAT yang masuk melalui mata akan menggelapkan hati sekali gus menghilangkan rasa lazat beribadat.

BAYANGKAN apa akan terjadi jika nikmat pandangan mata kita ditarik Allah buat seketika. Usah lama! Katakanlah dalam lima minit sahaja. Kita langsung tidak mampu untuk berjalan tanpa melanggar atau tergelincir. Itulah hakikat kelemahan manusia yang sering terlupa nikmat mata dipinjamkan Allah kepada mereka di dunia ini. Apa yang pasti, nikmat mata pasti akan diaudit pada hari kiamat kelak:

“Selain daripada itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya),” (at-Takathur[102:8]).

Pernah seorang teman saya bercerita: “Sepulangnya saya dari Mekah, ibadat terasa sangat lazat. Solat sangat khusyuk. Bila mata meneliti baris al-Quran jiwa berasa tenang. Solat Dhuha dan solat malam terasa ringan dilakukan. Pada suatu hari, segala rasa lazat itu menjadi tumpul. Solat dan ibadah lain terasa tawar. Puas dicari rasa lazat dahulu tetapi tidak ditemukan. Setelah lama berfikir, saya perasan rasa lazat itu hilang selepas menonton adegan romantik melampau dalam sebuah rancangan televisyen.”

Memang mata adalah pintu utama kebahagiaan dan kesengsaraan. Rasulullah SAW ketika menziarahi jenazah Abu Salamah r.a. menyebut bahawa mata mengikut keluarnya roh manusia:

“Ummu Salamah menceritakan Rasulullah SAW masuk menziarahi Abu Salamah yang baru meninggal dunia sedang matanya terbeliak. Rasulullah kemudiannya menutup mata beliau dan bersabda: Apabila roh manusia meninggalkan jasadnya, ia akan diikuti oleh mata,” – Sahih Muslim dan Sunan Ibn Majah.

Maksiat yang masuk melalui mata akan mengaburkan jiwa dan menggelapkan hati. Hati yang kelabu dek titik dosa daripada pandangan mata akan menghilangkan rasa lazat ibadat. Jika mata dijaga rapi daripada melihat yang terlarang, jiwa akan terang dan tenang. Inilah sebabnya Allah menyuruh agar kita menjaga sebahagian pandangan mata:

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada lelaki beriman supaya mereka menyekat sebahagian daripada pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara (seluruh) kemaluan mereka. Yang demikian itu ?lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan,” (an-Nur[24:30]).

Asal pandangan mata manusia adalah halal melainkan sebahagian yang terlarang. Ayat di atas menuntut agar kita menjaga sebahagian pandangan terlarang itu kerana faedahnya akan kembali kepada kita iaitu membantu proses penyucian hati. Ia disebut dalam ungkapan ayat “yang demikian itu lebih suci bagi mereka.” Kisah teman saya yang tumpul rasa lazat ibadatnya memang berpunca dari mata. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya pandangan mata (kepada sesuatu yang haram) adalah satu panah Iblis yang beracun. Sesiapa yang meninggalkannya kerana takutkan Aku (Allah), maka Aku akan “menggantikannya dengan iman yang dirasai kemanisan dalam hatinya,” – Mu’jam al-Kabir Imam al-Tabrani.

Dalam hadis lain Rasulullah SAW berpesan kepada Sayidina Ali k.w. agar racun pandangan sekilas tidak dipanjangkan kerana ia akan merosakkan hati. Bagai dikata, sakit digigit seekor tebuan mudah hilang, tetapi jika berterusan disengat ratusan tebuan, kelak boleh pendek umur! Sabda Rasulullah SAW:

“Rasulullah SAW bersabda kepada Ali (bin Abi Talib): Janganlah diikuti satu pandangan (yang haram) dengan pandangan lain, kerana pandangan (tanpa sengaja) pada kali pertama adalah milikmu (tanpa tanggungan dosa) dan tidak pula (halal) bagimu pandangan berikutnya,” – Musnad Ahmad, Sunan Abu Dawud dan Tirmizi.

Marilah kita sama-sama menjaga amanah mata pinjaman Allah, kerana ganjaran orang yang menjaga mata sangat banyak seperti kelazatan ibadah, kesucian jiwa dan satu daripadanya adalah kurniaan bidadari syurga yang bermata cantik!

“Mereka memakai pakaian daripada kain sutera yang halus dan kain sutera tebal yang bersulam; (mereka duduk di tempat perhimpunan) sentiasa berhadap-hadapan (di atas pelamin masing-masing). Demikianlah keadaannya; dan Kami jadikan kawan teman mereka bidadari yang putih melepak, lagi luas cantik matanya,” (ad-Dukhan [44:53])

Hati Tak Tenteram Selagi Diselubungi Dosa

Mukmin yang beriman akan berusaha bersungguh-sungguh menjauhi maksiat kerana perasaan malu kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Seorang hamba apabila melakukan sesuatu kesalahan (dosa), maka dititikkan dalam hatinya satu titik hitam. Apabila ia meninggalkannya dan meminta ampun serta bertaubat, hatinya dibersihkan. Apabila ia kembali (berbuat maksiat), maka ditambahkan titik hitam itu hingga menutupi hatinya. Itulah diistilahkan ‘ar-Raan’ yang Allah sebutkan dalam firman-Nya (mafhumnya): ”sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka”. (Riwayat at-Tirmizi)

Rasulullah SAW menerangkan menerusi sabdanya itu bahawa amalan maksiat amat berpengaruh terhadap hati Mukmin di mana ia menjadi punca hati Mukmin itu menjadi hitam dan gelap, dapat merosakkan sendi keimanan dan menghapuskan pahala yang dikumpul Mukmin. Adat manusia mengisi waktunya siang dan malam dengan amalan maksiat, sama ada maksiat kepada Allah dan Rasul-Nya iaitu meninggalkan perintah Allah seperti solat lima waktu, ataupun melakukan larangan Allah seperti berjudi, berzina, minum arak dan sebagainya. 

Maksiat juga berpunca daripada anggota tubuh seperti suka ghibah, memfitnah, menipu, menatap lawan jenis (tidak halal) dengan bernafsu, sumbang mahram, mengadu domba, membuat tuduhan liar dan pelbagai perbuatan tercela lainnya.

Seseorang Mukmin yang benar-benar beriman pasti bersungguh-sungguh menjauhi sebarang bentuk maksiat. Pertama kerana beliau tahu Allah SWT murka terhadap sebarang bentuk perbuatan maksiat dan kejahatan. Kedua, perasaan malunya kepada Allah SWT kerana melakukan amalan yang dibenci-Nya sedang dia tahu bahawa Allah SWT Maha Melihat dan sentiasa mengawasinya setiap saat.

Bahayakan hati, fizikal

Ulama’ mengatakan bahawa maksiat sangat berbahaya terhadap hati dan fizikal. Sesiapa yang masih hidup dengan bergelumang maksiat, dia hanya akan merosak kehidupannya dan membawa kecelakaan di dunia dan akhirat. Banyak pengaruh buruk akibat maksiat antaranya seseorang itu akan menemukan perasaan terasing, yakni antara pelaku maksiat dengan Allah SWT. Seseorang Mukmin yang bergelumang maksiat tidak mungkin dapat melakukan ketaatan kepada Allah. Sebaliknya, dia akan menjadi hamba syaitan, dan dia akan menjadi terasing dan akan jauh daripada mendapat petunjuk. Keterasingan itu tidak akan dapat diganti dengan segala bentuk kenikmatan apapun di dunia ini. Apa juga kelazatan walau disatukan, tetap tidak akan dapat memberinya kepuasan. Akibatnya, ia akan terasa hidupnya sangat sengsara.

Seorang ahli makrifat mengatakan: “Jika kamu menemukan keterasingan dalam dirimu disebabkan perbuatan dosa, maka bersegera tinggalkan dosa dan maksiat. Tiada hati yang tenteram dengan perbuatan dosa”. Seorang Mukmin juga tidak akan mendapat menggapai takwa selagi maksiat menjadi amalan hidupnya. Insaflah bahawa segala amal kejahatan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah di akhirat dan pelakunya akan menerima azab seksaan Allah SWT. Pelaku maksiat sentiasa resah Saidina Ali berkata: “Hari ini (di dunia) adalah masa beramal (soleh) dan tidak ada hisab padanya, manakala hari esok pula (di akhirat) adalah waktu perhitungan (hisab) dan tidak ada peluang untuk beramal”.

Pelaku maksiat juga akan sentiasa berperasaan resah, dihantui dosa. Sementara akal tidak lagi berfikiran jernih. Orang yang bergelumang maksiat dibimbangi mati dalam keadaan menimbun dosa dan tidak sempat bertaubat. Maka, seorang Mukmin jangan menganggap remeh suatu dosa atau maksiat yang diperbuat kerana dibimbangi kebaikan dan ibadahnya akan terhapus disebabkan perbuatan dosanya.

Terpedaya dengan syaitan

Mukmin yang menganggap remeh suatu dosa, bererti dia telah terpedaya oleh syaitan walaupun orang berkenaan telah banyak beramal. Tsauban berkata, Nabi SAW bersabda (mafhumnya) : “Aku benar-benar melihat di antara umatku pada hari kiamat nanti, ada yang datang dengan membawa kebaikan sebesar gunung Tihamah yang putih, lalu Allah menjadikannya seperti debu berterbangan (kebaikan itu tiada nilainya), Tsauban bertanya, ya Rasulullah, jelaskan kepada kami siapa mereka itu agar kami tidak seperti mereka sementara kami tidak mengetahui! Baginda bersabda, mereka adalah saudara kalian dan sebangsa dengan kalian, mereka juga bangun malam seperti kalian, akan tetapi apabila mendapat kesempatan untuk berbuat dosa, mereka melakukannya”. (Riwayat Ibnu Majah).

Gosip, Dedah Aib Orang Cetus Permusuhan

RASULULLAH SAW menjelaskan tanda orang munafik ada tiga iaitu, jika ia berbicara ia berdusta, jika berjanji ia mengingkari dan jika diberi amanah ia khianat.” (Riwayat Bukhari).

Abu Hurairah berkata, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda, bermaksud: “Sesungguhnya seorang hamba berbicara dengan kata-kata yang diredhai Allah tanpa dia menaruh perhatian padanya, maka Allah mengangkatnya lantaran ucapannya itu beberapa darjat. Dan sesungguhnya seorang hamba berbicara dengan kata-kata yang dimurkai Allah tanpa memikirkannya maka ia menjerumuskannya ke dalam neraka jahanam.” (Riwayat Al-Bukhari).

Dua hadis ini disebut Ustaz Muhamad Abdullah al-Amin dalam rancangan Pesona D’ Zahra yang bersiaran di IKIMfm pada Isnin , jam 10.15 pagi. Ustaz Muhamad Abdullah al-Amin menyentuh perkara mengenai berita benar, tetapi bahaya yang terbahagi kepada lima.

Pertama, pandangan Islam terhadap kaedah muslihat dalam peperangan. Dalam Islam, muslihat mempunyai kaedah yang dibenarkan sama ada bersifat strategi atau pun taktikal. Semua itu bergantung kepada alternatif yang dibenarkan oleh syarak. Di dalam al-Quran sendiri, terdapat banyak kalimah sinonim dengan muslihat atau makar, tipu daya atau pun merangka helah yang bukan sahaja dinisbahkan kepada musuh Islam, tetapi juga kepada Allah. Hapus perkara mudarat Begitupun maksud ayat berkenaan adalah Allah mengatur semua urusan hamba-Nya kerana Dia Pemilik Yang Mengurus dan tiada satu pun pengurus berada di luar pengurusan-Nya.

Kedua, perkara yang mudarat hendaklah dihapuskan. Maksudnya, segala kemudaratan yang berlaku wajib dihapuskan. Kaedah ini menunjukkan bahawa apabila berlaku sesuatu kemudaratan yang menimpa mana-mana pihak, maka ia wajib dihilangkan daripada terus ditanggung.

Ketiga, yang boleh menyebabkan pergaduhan atau menjadi batu api. Sesiapa yang menjadi ‘batu api’ tidak masuk syurga. Jika kita sentiasa melakukan sesuatu atau menyebut sesuatu semata-mata untuk menimbulkan kekacauan antara orang, maka kita menjadi batu api. Jika kita menjadi penyebab berlakunya pertengkaran atau perbalahan, maka kita menempah kedudukan yang merugikan di akhirat kelak. 

Keempat, sembunyikan aib orang. Apabila kita menutup air orang lain, Allah memberi jaminan akan menutup aib kita. Allah berfirman bermaksud: “Dan janganlah kamu mengintip atau mencari kesalahan dan keaiban orang,” (Surah Al-Hujuraat, ayat 12).

Ayat ini menjelaskan larangan umum untuk mencari keburukan orang lain, mencakupi pelbagai ‘tajassus’ (mencari kesalahan, mengintai, mencuri dengar, mencuri pandang dan seumpamanya). Menurut ulama tafsir, tajassus adalah mencari aib kaum Muslimin. Bererti kita dilarang mencari aib saudara sesama Muslim, malah diperintah menutupinya. “Dan sesiapa yang menutupi aib seorang Muslim, Allah akan menutupi aibnya pada Hari Kiamat”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Jika dilihat budaya di Malaysia hari ini, orang ramai mungkin lebih kenal perkataan gosip daripada aib. Sebabnya gosip sudah ada tempat tersendiri dalam dunia media. Ia sudah diangkat menjadi rancangan televisyen, blog, kolum khas di surat khabar atau majalah.

Kelima, hal yang negatif dan boleh mendatangkan keburukan. Hakikatnya, seseorang digalakkan memberikan nasihat secara diam-diam, tidak terang-terangan di hadapan orang lain. Manusia pada umumnya tidak mahu menerima nasihat di hadapan orang lain kerana hal itu memalukannya. Matang cara berfikir Kematangan bukan terletak pada umur, kematangan seseorang itu dapat dilihat daripada cara pemikiran, percakapan dan secara langsung adalah dengan cara perbuatannya iaitu akhlaknya. Dari segi cara percakapan mereka juga amat berbeza, kerana kematangan seseorang ini juga mampu mengubah dari segi cara percakapannya yang mana mereka akan menggunakan bahasa lembut, pandai menyesuaikan diri dengan cara bercakap dalam keadaan hormat kepada orang lain. Orang yang matang juga tidak akan bercakap dalam bahasa kasar malah mereka pandai menjaga hati dan perasaan orang lain. 

Akhir sekali adalah dengan cara perbuatan mereka yang mana tindakan atau akhlak mereka sangat baik kerana orang yang matang adalah orang yang sangat menjaga akhlak dan sangat bijak dalam mengambil tindakan.

Kesimpulannya, Rasulullah SAW pernah ditanya mengenai faktor membolehkan orang masuk syurga. Nabi menjawab, manusia perlu bertakwa kepada Allah dan sentiasa berakhlak mulia. Nabi juga ditanya mengenai sebab yang mengakibatkan orang masuk neraka, maka Nabi menjawab, ia disebabkan mulut dan kemaluan. (Riwayat Tirmidzi).

Sebab itu kita lahir dengan dua mata, dua telinga tetapi hanya satu mulut supaya kita lebih banyak melihat dan mendengar daripada bercakap. Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin dalam program Pesona D’Zahra, menyentuh mengenai tindakan sesetengah pihak yang gemar membuat teguran secara terbuka sehingga mengaibkan orang lain. Islam menggalakkan umatnya supaya memberi nasihat secara diam-diam dan tidak melakukannya secara terang-terangan kerana fitrah manusia yang tidak mahu menerima nasihat di hadapan orang lain kerana akan mengaibkan dirinya.

13 Fakta Usman bin Affan

Usman bin Affan merupakan salah satu sahabat Nabi yang sudah dijamin masuk syurga. Ada beberapa fakta mengenai Usman. Berikut beberapa di antaranya yang dikumpulkan dari pelbagai sumber.

1. Beliau menjadi Khalifah selama 12 tahun iaitu pada tahun 23-35 Hijrah (644-656 Masehi) setelah Amirul Mukminin Umar bin Khatab ra meninggal dunia.

2. Beliau masuk Islam setelah Abu Bakar ra.

3. Beliau termasuk Sahabat Rasulullah yang terkaya dan dermawan, rendah hati dan penyayang namun dibenci dan dikritik hebat oleh Kaum Syiah kerana dianggap merampas tampuk pemerintahan dari tangan Ali Bin Abi Talib ra. Padahal Ali Bin Abi Talib ra meluluskan Usman bin Affan ra sebagai Khalifah.

4. Beliau mendapat gelaran Dzun Nurain (orang yang mempunyai 2 cahaya) kerana beliau dinikahkan 2 kali oleh Rasulullah dengan puteri Rasulullah. Isteri beliau yang pertama adalah Ruqayyah, setelah isteri beliau wafat, Rasulullah menikahkan Ummu Kulsum dengan Usman bin Affan ra.

5. Beliau hidup dengan harta yang banyak semenjak kecil hingga wafat namun tidak membuat beliau menjadi kikir, tamak atau sombong.

6. Jasa-jasa beliau di antaranya seperti melanjutkan pembangunan Masjid Nabawi; membentuk angkatan laut; memperluas daerah-daerah Islam seperti Khurasan, Armenia, Tunisia, Azarbaijan; berjaya mencipta al-Quran sehingga disebut Mushaf Usmani dan menyumbang harta peribadi yang sedemikian banyaknya untuk kemajuan dakwah Islam.

7. Apabila beliau membaca al-Quran di rumahnya, kaum pemberontak berjaya menyelinap masuk dan membunuh beliau hingga wafat pada tahun 35 Hijrah (656 Masihi) dalam usia 82 tahun.

8. Imam Muslim telah meriwayatkan dari 'Aisyah, seraya berkata, "Pada suatu hari Rasulullah sedang duduk dimana peha beliau terbuka, maka Abu Bakar meminta izin kepada beliau untuk menutupinya dan beliau mengizinkannya, lalu peha beliau tetap dalam keadaan semula (terbuka). Kemudian Umar minta izin untuk menutupinya dan beliau mengizinkannnya, lalu peha beliau tetap dalam keadaan semula (terbuka), ketika Usman meminta izin kepada beliau, maka beliau melepaskan pakaiannya (untuk menutupi peha terbuka). Ketika mereka telah pergi, maka aku (Aisyah) bertanya, 'Wahai Rasulullah, Abu Bakar dan Umar telah meminta izin kepadamu untuk menutupinya dan engkau mengizinkan keduanya, tetapi engkau tetap berada dalam keadaan semula (membiarkan pehamu terbuka), sedangkan ketika Usman meminta izin kepadamu,maka engkau melepaskan pakaianmu (dipakai untuk menutupinya). 'maka Rasulullah menjawab,' Wahai Aisyah, Bagaimana aku tidak merasa malu dari seseorang yang malaikat saja merasa malu kepadanya.

9. Ibnu 'Asakir dan yang lainnya menjelaskan dalam kitab "Fadhail ash Sahabah" bahawa Ali bin Abi Talib ditanya tentang Usman, maka beliau menjawab, "Usman itu seorang yang mempunyai kedudukan yang terhormat yang dipanggil dengan Dzunnuraini, di mana Rasulullah menikahkannya dengan kedua-dua anak perempuannya.

10. Dalam sejarah umat islam adalah beliau membukukan Al-Quran dalam satu versi bacaan dan membuat beberapa salinannya yang dihantar ke beberapa negeri negeri Islam. Serta memerintahkan umat Islam agar berpedoman kepadanya dan memusnahkan mushaf yang dianggap bertentangan dengan salinan tersebut. Atas Izin allah Subhanahu wa ta'ala, melalui tindakan beliau ini umat Islam dapat memelihara keaslian Al-Qur'an sampai sekarang ini. Semoga Allah membalasnya dengan balasan yang terbaik.

11. Diriwayatkan dari oleh Imam Ahmad bin Hanbal dalam kitab Musnadnya dari Yunus bahawa ketika al Hasan ditanya tentang orang yang berehat pada waktu tengah hari di masjid? Maka ia menjawab, "Aku melihat Usman bin Affan berehat di masjid, padahal beliau sebagai Khalifah, dan ketika ia berdiri nampak sekali bekas batu kerikil pada bahagian rusuknya, sehingga kami berkata, 'Ini amirul mukminin, Ini amirul mukminin'."

12. Diriwayatkan oleh Abu Na'im dalam kitabnya "Hulyah al Auliyah" dari Ibnu Sirin bahawa ketika Usman terbunuh, maka isteri beliau berkata, "Mereka telah sanggup membunuhnya, padahal mereka telah menghidupkan seluruh malam dengan Al-Quran."

Ibnu Abi Hatim telah meriwayatkan dari Abdullah bin Umar, seraya ia berkata dengan firman Allah. "(Apakah kamu hai orang musyrik yang lebih beruntung) ataukah orang yang beribadat di waktu-waktu malam dengan sujud dan berdiri, sedang ia takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah: 'Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?' Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran, "(Az-Zumar: 9) yang dimaksud adalah Usman bin Affan.


13. Ia wafat pada tahun 35 H pada pertengahan tasyriq tanggal 12 Dzul Hijjah, dalam usia 80 tahun lebih, dibunuh oleh kaum pemberontak.

14 Fakta Umar bin Khattab

UMAR bin Khattab adalah salah satu sahabat Rasulullah yang sudah dijamin masuk syurga. Hal itu ditegaskan dalam banyak keterangan hadis sahih. Ada beberapa yang menjadi fakta soal Umar ini. Berikut di antaranya.

1. Umar adalah penduduk Syurga yang berjalan di muka bumi. Hal ini dikatakan oleh Nabi Muhammad SAW. Beliau bersabda:

"Sewaktu tidur, aku bermimpi seolah-olah aku berada di Syurga. Kemudian aku melihat seorang wanita berwudhuk di samping sebuah istana, maka aku bertanya, 'Milik siapa istana ini?' Mereka menjawab, 'Milik Umar'. Maka aku teringat akan iri hati Umar sehingga aku menjauhi istana itu ". Umar menangis dan berkata, "Demi Allah mana mungkin aku akan cemburu kepadamu, wahai Rasulullah," (HR. Bukhari).

2. Syaitan takut padanya. Ia adalah manusia yang begitu ditakuti syaitan. "Wahai Ibnul Khattab, demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidaklah syaitan bertemu denganmu di suatu jalan melainkan ia akan mengambil jalan yang lain dari jalanmu," (HR. Bukhari, no.3480).

3. Masuk Islam didoakan oleh Rasul. Suatu hari Rasulullah saw berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala: "Ya Allah, muliakan Islam dengan salah satu dari dua orang yang engkau cintai yaitu Abu jahal bin Hisyam atau Umar bin Khattab." Maka yang lebih Allah cintai dari kedua-duanya adalah Umar bin Khattab. (Lihat Sahih Sunan Ibnu Hibban 12/305)

4. Diberikan ilham, padahal bukan nabi. Umar juga termasuk seorang yang mendapat ilham, perkataannya sering bersesuaian dengan wahyu. Rasulullah Saw berkata, "Sesungguhnya orang-orang sebelum kalian dari Bani Israil ada yang diberikan ilham walaupun mereka bukan Nabi, jika salah seorang dari umatku mendapatkannya, maka Umar lah orangnya," "(HR. Bukhari)

5. Beliau masuk Islam setelah adiknya iaitu Fatimah binti Khattab dan suaminya membaca al-Quran Surah Thoha ayat 1-8

6 .Beliau adalah Khalifah ke-2 selepas Abu Bakar ra wafat selama 10 tahun iaitu pada 13-23 Hijrah (634-644 Masehi)

7. Beliau membahagi daerah kekuasaan seperti gabenor saat memerintah

8. Beliau membentuk dewan-dewan seperti dewan pembendaharaan negara dan dewan angkatan perang

9. Beliau membina bangunan sebagai Baitul Mal yang dulu Baitul Mal berada di Masjid Nabawi

10. Jasa-jasa beliau di antaranya seperti menakluk Syria, Palestin, Mesir, Iraq dan Parsi; menetapkan tahun Hijriyah sebagai Tahun Islam; sistem pos malam diadakan untuk mengetahui keadaan Kaum Muslimin; membina dan membesarkan masjid-masjid seperti Masjid al Haram di Mekah, Masjid Nabawi di Madinah, Masjid al-Aqsa di Yerussalem dan Masjid Amru di Mesir

11. Pada masa beliau sedang memimpin solat Subuh, beliau ditikam oleh Abu Lu'luah (seorang Majusi dari Parsi) dan beliau meninggal dunia pada 23 Hijrah (644 Masehi). Abu Lu'lu'ah kemudian dianggap pahlawan oleh Kaum Syiah kerana dia menikam Umar bin Khattab ra hingga meninggal dunia. Padahal Kaum Syiah mengaku sebagai orang Islam tetapi anehnya mereka memuji Abu Lu'luah yang telah membunuh Amirul Mukminin Umar bin Khattab ra.

12 .Beliau dipanggil untuk pertama kali sebagai Amirul Mukminin (Pemimpin orang-orang beriman) dan diluluskan oleh para Sahabat Rasulullah termasuk Ali Bin Abi Talib ra

13. Beliau dibenci dan dikritik hebat oleh Kaum Syiah kerana dianggap merampas tampuk pemerintahan dari tangan Ali Bin Abi Talib ra. Padahal Ali Bin Abi Talib ra meluluskan Umar bin Khatab ra sebagai Khalifah

14. Umar sangat kaya. Ketika wafat, Umar bin Khattab meninggalkan ladang pertanian sebanyak 70.000 ladang. Itu bermakna, Umar meninggalkan warisan sebanyak RM 11.2 trilion. Setiap tahun, rata-rata ladang pertanian saat itu menghasilkan 233 bilion sebulan.

Bila Pudarnya Budi Bahasa

AMAT ketara sekali budi bahasa dan nilai-nilai murni di Malaysia telah merosot. Ketika ekonomi negara maju dan masyarakat kita semakin mewah, budi bahasa, nilai-nilai murni dan etika seolah-olah diabaikan.

Apabila sesebuah negara maju, institusi keluarga mungkin menjadi mangsa pertama di mana kanak-kanak tidak mendapat perhatian dan bimbingan secukupnya daripada ibu bapa mereka yang sibuk dengan kerjaya masing-masing. Ini boleh menimbulkan pelbagai gejala sosial dalam kalangan remaja.

Tidak ada nilai kemajuan ekonomi yang boleh memperkukuhkan fabrik sosial kita kecuali kita berjaya meningkatkan modal sosial di negara ini. Itulah sebabnya penting bagi Malaysia untuk mengimbangi pertumbuhan ekonomi yang pesat dengan nilai-nilai komuniti, moral dan etika. Nilai-nilai tersebut adalah asas kepada masyarakat bertamadun.

Penerapan nilai-nilai moral dan murni dalam kalangan rakyat Malaysia di tengah arus pemodenan yang pesat serta perubahan gaya hidup adalah cabaran utama di masa kini. Satu usaha kolektif daripada segenap lapisan masyarakat adalah diperlukan untuk mencapai matlamat ini.

Melihat kepada tingkah laku dan sikap sebilangan besar masyarakat sekarang, saya merasa ragu tentang keberkesanan kempen kita untuk menggalakkan budi bahasa dalam kalangan rakyat dan menjadikannya sebahagian daripada cara hidup. Walaupun kita mencapai kemajuan teknologi, kita berhadapan dengan isu kemerosotan moral dalam kehidupan seharian.

Kuala Lumpur berada di tangga ke-34 daripada senarai 36 ‘Bandar yang paling kurang sopan’ di dunia, yang disediakan oleh majalah Readers Digest lebih daripada tiga tahun lalu. Walaupun kita tidak pasti asas yang digunakan untuk senarai tersebut, hakikatnya masih terdapat ramai rakyat yang bersikap kurang sopan yang membuatkan Malaysia mendapat respon yang negatif.

Tingkah laku negatif seperti pembuli jalan raya, melanggar peraturan lalu lintas, membuang sampah me­rata-rata, tidak menghormati warga emas dan lain-lain membuktikan dengan jelas bahawa kita masih tidak mempunyai budi bahasa serta kesopanan yang sewajarnya.

Masanya telah tiba bagi semua rakyat Malaysia untuk bertanya sama ada apa yang mereka lakukan adalah cukup untuk memastikan kejayaan kempen kebangsaan dalam menggalakkan budi bahasa dan nilai-nilai mulia dalam kalangan masyarakat kita.

Berdasarkan pemerhatian saya, budi bahasa, kesopanan, kesabaran, rendah hati, bertoleransi dan saling menghormati masih belum menjadi sebahagian daripada cara hidup kita.

Banyak lagi yang perlu dilakukan untuk menerapkan nilai-nilai tersebut dalam kalangan rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda hari ini.

Penekanan terhadap kempen memupuk budi bahasa dan nilai murni adalah sangat penting memandangkan kemerosotan nilai-nilai tersebut, terutamanya dalam kalangan gene­rasi muda Malaysia. Ramai pelajar sekolah masa kini tidak mengucapkan ‘terima kasih’ apabila mereka diberi ganjaran sebagai pengiktirafan kepada pencapaian mereka. Ramai yang seolah-olah tidak mengamalkan budi bahasa walaupun mempelajarinya di sekolah.

Sebagai contoh, saya telah beberapa kali menyampaikan sijil atau anugerah kepada pelajar sebagai pengiktirafan kepada pencapaian akademik mereka, kecuali beberapa orang pelajar, kebanyakan mereka hanya beredar tanpa menyatakan terima kasih. Mereka seolah-olah mengambil mudah perkara ini.

Sudah menjadi kebiasaan di negara kira untuk melihat pemandu kenderaan tidak bertimbang rasa, kenderaan berada di petak kuning di jalan raya, meletakkan kenderaan di tempat yang dikhaskan kepada Orang Kurang Upaya (OKU) atau berhampiran dengan pili bomba, membuang sampah di merata-rata tempat, merosakkan harta benda awam, memotong barisan dan tidak mengucapkan ‘maaf’ walaupun membuat kesilapan.

Tingkah laku kurang sopan lain termasuk bercakap kasar kepada pelanggan, merokok di kawasan larangan merokok, meludah di khalayak ramai dan tidak memberi tempat duduk kepada warga emas, OKU dan wanita mengandung semasa berada dalam pengangkutan awam. Banyak lagi contoh jika hendak disenaraikan.

Dengan integrasi teknologi digital dalam kehidupan seharian, ramai orang menjadi terlalu asyik dengan diri sendiri hinggakan tidak menghiraukan orang di sekeliling. Ahli keluarga yang asyik membelek tele­fon bimbit masing-masing semasa makan bersama keluarga kini menjadi lumrah di restoran dan rumah. Menghabiskan masa berkualiti de­ngan keluarga telah diganti dengan sentiasa memeriksa peranti mudah alih. Ini adalah sikap kurang sopan.

Media sosial menggalakkan tingkah laku yang baik seperti merapatkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan serta menggalakkan sikap murah hati apabila pengguna media sosial menyambut baik kempen mengutip derma. Namun, budi bahasa dan sikap menghormati orang lain dilupakan apabila sesetengah rakyat menggunakan komputer dan menyebarkan kenya­taan berniat jahat, menghina, memfitnah dan mencela melalui media sosial.

Sudah tiba masanya bagi semua rakyat Malaysia untuk menangani isu ini dan bertanya kepada diri sendiri sejauh mana kita berbudi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai murni.

Menjalankan kempen untuk menggalakkan budi bahasa dan nilai-nilai murni adalah penting tetapi apa yang lebih mustahak adalah mempraktikkan amalan tersebut dalam kehidupan harian. Kepimpinan melalui teladan adalah penting untuk menjayakan kempen. Dalam hal ini, semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan perlu memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kakitangan mereka.

Kejayaan kempen berbudi bahasa mesti bermula dari peringkat sekolah, di mana budi bahasa dan nilai-nilai murni diajar kepada murid sekolah. Dalam hal ini, Pendidikan Moral di sekolah perlu diperkukuhkan untuk menekankan pentingnya mempelajari dan mengamalkan 36 nilai murni di sekolah. Adalah tidak wajar jika murid sekolah menghafal 36 nilai murni semata-mata untuk lulus subjek tersebut. Apa yang kita mahu capai adalah pengamalan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.

Saya percaya bahawa memupuk akhlak yang baik, nilai-nilai moral dan murni harus bermula dari usia muda seperti di rumah dan di tadika dan seterusnya diperkukuhkan semasa di sekolah rendah. Ini kerana apabila masuk ke sekolah mene­ngah, nilai-nilai yang dipelajari sebelum itu sudah lekat dalam fikiran mereka dan sukar bagi mereka untuk berubah.

Matlamat Wawasan 2020 bukan sahaja untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju sepenuhnya dari segi ekonomi tetapi juga untuk memastikan ia dibangunkan sepenuhnya dari semua dimensi, terutamanya dari aspek moral, etika dan penyayang.

Bahaya Strok Haba

Strok haba adalah antara penyakit yang biasa berlaku ketika cuaca panas melampau. Disebabkan peningkatan suhu sekeliling, strok haba atau heat stroke berisiko tinggi menyerang mereka yang mengalami peningkatan suhu badan mencecah 40.5 darjah Celsius.

Kebiasaannya, strok haba akan mengakibatkan tubuh badan manusia menghasilkan peluh secara berlebihan sehingga menyebabkan air dalam badan berkurangan. Selain itu, tubuh badan juga terdedah kepada dehidrasi, sawan, kekeliruan, kerosakan otak dan organ dalam badan, koma seterusnya kematian.

Antara mereka yang berisiko adalah warga emas, pesakit diabetes dan mereka yang mengalami masalah obesiti. Pada masa sama, strok haba juga berisiko menyerang haiwan peliharaan.

Tanda-tanda awal seseorang itu di serang strok haba ialah mengalami sakit kepala berdenyut, merasa mual dan muntah, kurang berpeluh walaupun dalam suhu panas, denyutan nadi menjadi pantas, otot lemah dan kejang, kulit kering dan kemerahan, sawan, pitam, serta tangan dan kaki menjadi sejuk.

Walau bagaimanapun, terdapat langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil antaranya mengelakkan daripada melakukan aktiviti riadah yang terdedah kepada cuaca panas.

Selain itu, minum air dalam kuantiti yang banyak sekurang-kurangnya 2.5 liter sehari. Di samping itu, elakkan daripada melakukan aktiviti di atas permukaan yang panas seperti di atas simen.

Strok haba boleh dielakkan jika kita mengelak daripada kerap terdedah dengan persekitaran luar dan mengikuti langkah-langkah pencegahan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan.

PETUA MENGHADAPI CUACA PANAS

FENOMENA suhu panas melampau perlu digunakan sebaik-baiknya untuk menjalankan aktiviti bersama keluarga di rumah seperti solat berjemaah dan membaca al-Quran beramai-ramai. 

SUHU panas yang berpunca daripada fenomena El Nino boleh memberikan kesan buruk kepada tubuh antaranya menyebabkan demam dan dehidrasi.

Bagi mengatasi masalah ini, kita perlu minum air secukupnya dengan mengamalkan minum air masak sebanyak lapan gelas sehari untuk mengelakkan kesan dehidrasi.

Minum juga minuman isotonik yang boleh menggantikan garam dan mineral di dalam tubuh badan yang hilang akibat berpeluh. Namun elakkan minuman mengandungi gas.

Minuman mengandungi kafein dan gula perlu dikurangkan kerana boleh menyebabkan badan seseorang itu menjadi lesu dan tekak sentiasa berasa dahaga.

Kurangkan aktiviti luar sama ada kerana tujuan kerja atau beriadah serta banyak berehat di rumah bagi mengelakkan mengalami dehidrasi.

Dalam pada itu, fenomena suhu panas melampau perlu digunakan sebaik-baiknya untuk menjalankan aktiviti bersama keluarga di rumah seperti solat berjemaah dan membaca al-Quran beramai-ramai.

Jika ingin juga keluar berjalan pada waktu panas terik, kita digalakkan melindungi diri dengan menggunakan payung, topi atau losen pelindung sinaran ultralembayung (UV).

Selain itu, pakai pakaian longgar untuk memudahkan pengudaraan. Jangan pakai pakaian berwarna hitam kerana warna itu akan menyerap haba dan orang ramai digalakkan mengenakan pakaian terang yang boleh memantulkan haba.

BANYAK KHASIAT POKOK KELAPA

KETIKA musim panas sekarang yang berpunca daripada fenomena El Nino, seelok-eloknya minum air yang banyak bagi mengelak badan kita mengalami masalah kekurangan air. Salah satu caranya adalah dengan meminum air kelapa muda.

Selain air kelapa muda yang dapat menghilangkan dahaga, terdapat banyak bahagian lain pada pokok itu yang boleh digunakan untuk tujuan perubatan.

Akar kelapa yang ditumbuk lumat boleh digunakan untuk mengubati penyakit kelamin. Ada penduduk yang tinggal di pulau-pulau sekitar Mersing, Johor meminum air rebusan akar kelapa yang telah dijemur di bawah panas matahari untuk melegakan cirit-birit.

Akar pokok itu juga boleh digunakan untuk mengubati demam panas, masalah keputihan, melawaskan buang air kecil, jangkitan paru-paru, masalah hati dan rawatan pendarahan.

Dalam pada itu, air kelapa muda yang diminum mampu dijadikan penawar racun, meredakan cirit-birit, mengubati demam panas, melawaskan buang air kecil dan air besar. Terdapat juga dakwaan air kelapa muda yang dicampur dengan beberapa bahan lain mampu mengubati penyakit batu karang.

Air kelapa muda juga boleh diminum dengan ditambah perahan air limau nipis bagi menghilangkan keletihan. Minuman itu boleh dicampur dengan ais supaya terasa lebih segar.

Meminum air kelapa muda turut mampu mengubati jangkitan cacing pada anak-anak dengan menambah sedikit jus asam limau dan satu sudu minyak zaitun. Minumlah tiga kali sehari.

Air buah kelapa hijau jika dibandingkan dengan kelapa jenis lain mengandungi banyak tanin atau bahan antiracun yang paling tinggi. Komposisi kandungan kimia lain yang terdapat dalam air kelapa ialah asid askorbik atau vitamin C, protein, asid lemak Omega 3, karbon terhidrat dan kalsium.

Mineral yang terkandung dalam air kelapa ialah zat besi, fosforus dan gula yang terdiri dari glukosa, fruktosa serta sukrosa.

Minyak kelapa yang disapu pada gigi atau gusi yang sakit mampu mengurangkan kesakitan begitu juga dengan kulit bermasalah. Bahan itu juga akan menjadikan rambut subur, hitam dan berkilat.
Santan kelapa yang diminum mampu mengubati masalah muntah-muntah, batuk berdarah, busung, demam panas dan penawar racun.

Isi buah kelapa pula mempunyai banyak khasiat. Isi buah kelapa yang sudah tua mengandung kalori yang tinggi sebanyak 359 kal per 100 gram, kelapa setengah tua sebanyak 180 kal per 100 gram dan kelapa muda mengandung 68 kal per 100 gram.

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga