BACALAH AL-QURAN DENGAN AKAL & JIWAMU JUA

 

Tahun pertama belajar di negara “Ardul Kinanah”, seperti senior lain saya jua menghabiskan cuti semester dengan mengikuti kelas-kelas talaqqi. Di antara kelas talaqqi yang diikuti, kelas al-Quran di rumah seorang syeikh bernama Zaki di celah-celah Syari’ Syuhada’ sangat mengimbau kenangan dan menyedarkan saya erti kehidupan dan berkawan dengan al-Quran.

Setiap pagi sampai di rumah Syeikh Zaki, beliau akan tunggu kami di atas kanabah (sofa ) sandarnya dengan sebilah jarum insulin. Siapa yang awal sampai akan bantu Syeikh Zaki untuk cucuk insulin. Saya memang elak masuk rumah beliau awal kerana sangat penakut dengan jarum. Suatu hari, ketika saya melangkah masuk, Syeikh Zaki panggil dan minta saya berdiri di sisi sahabat yang sedang membantu beliau cucuk insulin.

“Anakku, penyakit ini hanya asbab dan insulin ini hanya wasilah. Jika Allah tidak izinkan jarum ini menembusi lenganku maka tiada apa yang dapat menghalang-Nya. Justeru, jangan kau takuti jarum ini kerana ia jua makhluk Allah seperti kita.” Terkedu seketika dan tidak disangka bahawa Syeikh Zaki dapat mengagak yang saya takutkan jarum. Perlahan saya mengambil tempat di barisan belakang sekali sambil memikirkan bicara beliau sebentar tadi.

Sambil menunggu giliran membaca al-quran di hadapan Syeikh, saya berbual-bual dengan rakan di sebelah. Kononnya nak elak mengantuk. Sedang rancak berborak, suara garau Syeikh Zaki jelas kedengaran. “Apa yang kalian bualkan di belakang sana? Kenapa mulut kalian tidak digunakan untuk ulang bacaan al-Quran? Apa yang kalian nak jawab di hadapan Allah kelak dengan mulut yang asyik bicara kosong? Apakah kalian mahu aku dan rumahku ini menjadi saksi kelak? kalau datang ke rumahku hanya untuk bertemu kawan; pulanglah. Aku bimbang kalian penyebab aku di heret ke neraka.Dan jangan jadikan mashaf al-Quran di tanganmu mencemuh memakimu.”

“Bacalah al-Quran dengan akal dan jiwamu, bukan hanya dengan mulut dan matamu. Jiwamu akan hidup dan bercahaya bila al-Quran adalah rakanmu. Suluhi hidupmu dengan cahaya al-Quran.Hidupkan hatimu dengan al-Quran bukan dengan teman yang melupakanmu dengan al-Quran. Tak guna kau memiliki sekeping sijil berkelulusan agama tetapi kaulah orang yang menghina agama dengan perbuatan sia-siamu.Sungguh merugikan kau menjadi agamawan tapi di mulutmu jauh sekali di hatimu untuk tadabbur al-Quran.”

Usai menghabiskan bacaan di hadapan Syeikh Zaki saya bangun untuk pulang. Bicara dan teguran beliau sebentar tadi masih berbisa dan berbekas di hati. Sungguh jauh diri ini dengan cahaya al-Quran. Betapa banyak kelemahan yang harus diperbaiki. Saat saya melangkah keluar, Syeikh Zaki berpesan dengan nada kebapaannya. “ Anakku, saat kau melintas jalan masukkanlah tanganmu dalam poket jubahmu dan jangan kau biarkan tanganmu terawang-awang. Silangkan begmu dicelah leher dan ketiakmu agar ia bisa membantumu kelak.” Saya hanya mengangguk kepala dan meminta diri untuk beredar pulang. Bagi saya, itu hanyalah pesanan yang biasa seorang bapa pada anak gadisnya.

Dalam perjalanan pulang, ketika melintas jalan menuju ke stesen bas, tiba-tiba tangan kanan saya dilanggar tramco namun tiada sebarang kecederaan kerana tangan saya tersangkut di celah beg. Alhamdulillah. Lama saya merenung tangan kanan saya dan pesanan Syeikh Zaki tadi bagaikan terngiang-ngiang di telinga. Ya Allah, benarlah janjimu. Di saat kita menjadikan al-quran sebagai rakan dan membacanya dengan jiwa, Al-Quran akan menerangi dan menghidupkan jiwa.

Hingga kini aku bukanlah “al-Quraan bergerak” tetapi aku cuba menjadi pencinta Kalam Allah itu. Membaca al-Quran itu indah tetapi peluang memahami al-Quran adalah anugerah terindah Allah. Aku sentiasa berdoa agar aku ditemani cahaya al-Quran dan insan-insan yang mendambakan cahaya al-Quran.

DOA YANG DIMAKBULKAN DALAM BENTUK YANG TIDAK DISUKAI

 Doa seseorang itu BOLEH sahaja dimaqbulkan oleh Allah swt dalam bentuk yang TIDAK disukainya, contohnya berdoa agar hati lebih tenang dan khusyu' solat, lalu Allah swt rugikan bisnesnya sehingga bankrup kerana tidak disedari bisnesnya itulah penghalang hati tenang dan khusyu', tanpanya (atau dengan bisnes lain yang lebih baik) apa yang dipohonnya boleh diperolehi.

Begitulah seterusnya, sebahagian musibah dan bala yang datang adalah untuk memaqbulkan doa kita sendiri. Justeru sama-sama kita bersabar dan tidak cepat putus asa, terlalu bersedih dengan apa yang hilang atau melenting membenci taqdir. Carilah positif darinya nescaya hidup lebih tenang. Itula sifat Mukmin sejati sabdaan Nabi salla allahu 'alaihi wasallam:-

عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Ertinya : Ajaib urusan orang mukmin itu, apa yang berlaku semua baginya kebaikan, tiada seorang kecuali mukmin yang apabila ditimpa kebaikan lalu bersyukur maka kebaikan baginya, apabila ditimpa keburukan maka bersabar, maka kebaikan baginya juga ( Hadis sohih Muslim)


-Dr.Zaharuddin Abd Rahman-

JANGAN TINGGALKAN AL-QURAN

 Jangan tinggalkan Al-Qur’an. Kena tautkan diri kita dengan Al-Qur’an sentiasa. Sentiasalah membaca dan mengkajinya (tadabbur) dan dalam masa yang sama, terus melakukan ibadah.


Kita yang sudah mula belajar tafsir Al-Qur’an ini pun, tentulah tidak boleh mengaku yang kita telah sempurna atau kita telah melakukan semua ajaran dan anjuran dalam Al-Qur’an ini. Kita amalkan sebanyak mungkin yang kita mampu dan terus berusaha untuk mengamalkan mana yang kita tidak amalkan lagi. Kerana kita ini semuanya manusia dan memang akan ada perkara yang kita lalai dan lupa untuk lakukan.

Tapi, kalau kita sentiasa membaca dan tadabbur Al-Qur’an, Al-Qur’an ini akan sentiasa mengingatkan kita dengan perkara-perkara yang kita perlu lakukan. Kalau kita selalu baca, barulah perasan ada perkara yang kita tertinggal atau terlupa lakukan. Kalau sekali sekala sahaja baca, macam mana nak tahu?









Mensyukuri Nikmat Turunnya Hujan

Apabila Allah memberi nikmat hujan, dianjurkan bagi seorang muslim dalam rangka bersyukur kepada-Nya untuk membaca do'a,

"Allahumma soyyiban naafi'aa (Ya Allah, turunkanlah pada kami hujan yang bermanfaat)."

Itulah yang Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam ucapkan ketika melihat turunnya hujan. Hal ini berdasarkan hadits dari Ummul Mukminin, 'Aisyah radhiyallahu' anha,

"Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam ketika melihat turunnya hujan, beliau mengucapkan," Allahumma soyyiban nafi'an "(Ya Allah turunkanlah pada kami hujan yang bermanfaat)." (HR. Bukhari no. 1032, Ahmad no. 24190, dan An Nasai no. 1523).

Ibnu Batthal berkata, "Hadis ini berisi anjuran untuk berdo'a ketika turun hujan agar kebaikan dan keberkahan semakin bertambah, begitu pula semakin banyak kemanfaatan."

Al Khottobi mengatakan, "Air hujan yang mengalir adalah suatu karunia." (Syarh Al Bukhari, Ibnu Batthal, 5/18, Asy Syamilah).

Turunnya Hujan, Kesempatan Terbaik untuk Memanjatkan Do'a

Ibnu Qudamah dalam Al Mughni mengatakan, "Dianjurkan untuk berdo'a ketika turunnya hujan, sebagaimana diriwayatkan bahawa Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda,

'Carilah do'a yang mustajab pada tiga keadaan: [1] Bertemunya dua pasukan, [2] Menjelang solat dilaksanakan, dan [3] Saat hujan turun. "(Dikeluarkan oleh Imam Syafi'i dalam Al Umm dan Al Baihaqi dalam Al Ma 'rifah dari Makhul secara mursal ).

Begitu juga terdapat hadits dari Sahl bin Sa'ad, beliau berkata bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda,

"Dua do'a yang tidak akan ditolak: [1] do'a ketika azan dan [2] do'a ketika ketika turunnya hujan." (HR. Al Hakim dan Al Baihaqi.).

Ketika Terjadi Hujan Lebat

Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam suatu saat pernah meminta diturunkan hujan. Kemudian ketika hujan turun begitu lebatnya, beliau memohon pada Allah agar cuaca kembali menjadi cerah. Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam berdo'a,

[Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami, bukan untuk merosakkan kami. Ya Allah, turukanlah hujan ke dataran tinggi, gunung-gunung, bukit-bukit, perut lembah dan tempat tumbuhnya pepohonan]. "(HR. Bukhari no. 1014).

Ibnul Qayyim mengatakan, "Ketika hujan semakin lebat, para sahabat meminta pada Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam supaya berdo'a agar cuaca kembali menjadi cerah. Akhirnya beliau membaca do'a di atas. "(Zaadul Ma'ad, Ibnu Qayyim Al Jauziyah, 1/439, Muassasah Ar Risalah, cetakan ke-14, tahun 1407 H)

Syaikh Solih As Sadlan mengatakan bahawa doa di atas dibaca ketika hujan semakin lebat atau khawatir hujan akan membawa dampak bahaya. (Lihat zikru wa tazkir, Solih As Sadlan, hal. 28, Asy Syamilah).

Dianjurkan Berwudhuk dengan Air Hujan

Ibnu Qudamah mengatakan, "Dianjurkan untuk berwudhuk dengan air hujan apabila airnya mengalir deras."

Dari Yazid bin Al Hadi, apabila air yang deras mengalir, Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam mengatakan,

"Keluarlah kalian bersama kami menuju air ini yang telah dijadikan oleh Allah sebagai alat untuk bersuci." Kemudian kami bersuci dengan air tersebut dan memuji Allah atas nikmat ini. "(Dikeluarkan oleh Al Baihaqi dalam Sunan Al Kubro (3/359) dan Tuhfatul Muhtaj (1/567)

Fiqh Tabayyun,Selidik Sebelum Sebar Maklumat

LAMAN sosial merupakan medium penyebaran maklumat alaf baru yang LAMAN sosial merupakan medium penyebaran maklumat alaf baru yang perlu diselidiki.

KEMELUT hari ini menyaksikan fitnah sudah beralih kepada media sosial yang membolehkan sesiapa sahaja melayarinya di seluruh dunia pada sepanjang masa.

Kecanggihan pelbagai alat komunikasi dibantu media sosial seperti WhatsApp, Facebook, Twitter, Flicker, Instagram, blog, dan sebagainya mempercepat penyampaian segala maklumat.

Kesannya, sesetengah masyarakat saling berprasangka, menempelak dan tuduh menuduh antara satu sama lain kerana pertentangan politik, merebut pangkat serta kedudukan.

Oleh itu, sewajarnya skop fikah dikembangkan kepada fiqh tabayyun dalam memastikan setiap maklumat yang disebar tepat, bersesuaian dan diperoleh daripada sumber sahih serta boleh dipercayai.

Bukannya diambil daripada cakap dengar yang tidak diketahui hujung pangkalnya atau dicedok terus daripada sembang kedai kopi.

Fiqh tabayyun perlu diarusperdanakan dalam menghadapi isu-isu era teknologi maklumat hari ini. Semua pihak perlu membuat penapisan bagi mengelak mencipta dan menyebar fitnah.

Allah SWT memerintahkan golongan Mukmin memeriksa dengan teliti berita yang disampaikan sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai orang beriman, jika datang kepada kamu orang yang fasik membawa berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum dengan tidak mengetahui, maka jadilah kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Al-Hujurat: 6)

Firman Allah menggunakan perkataan “fatabayyanu” yang bererti “maka periksalah dengan teliti.”

Ayat ini diturunkan berhubung dengan al-Walid bin Uqbah yang diutuskan oleh Rasulullah SAW memungut zakat Bani al-Mustaliq.

Setelah berita itu sampai kepada Bani al-Mustaliq, mereka gembira sehingga keluar beramai-ramai untuk menyambut kedatangan utusan tersebut. Sebelum sampai ke sana, ada seorang munafik memberitahu al-Walid bahawa kabilah tersebut murtad, menolak dan tidak mahu membayar zakat, bahkan berhimpun di luar kota menghalang kedatangannya.

Setelah menerima berita itu, dia segera kembali ke Madinah melaporkan situasi tersebut. Rasulullah sangat marah mendengarnya lalu menyiapkan sepasukan tentera untuk memerangi mereka.

Sebelum tentera itu berangkat, datang utusan mengadap Rasulullah: “Wahai Rasulullah, kedatangan kami ke sini untuk bertanya mengapa utusan Rasulullah tidak sampai untuk memungut zakat, bahkan kembali dari tengah perjalanan?

“Kami mempunyai dugaan bahawa timbul salah pengertian antara utusanmu dengan kami.” Justeru, turunlah ayat tersebut.

Ayat ini merupakan larangan keras agar tidak mudah percaya terhadap berita dibawa, yang memburukkan seseorang mahu pun sesebuah organisasi.

Janganlah perkara itu langsung saja diterima atau ditolak, melainkan diselidiki terlebih dahulu dengan saksama sama ada benar atau tidak.

ELAK TERBURU-BURU

Jangan sampai kerana terburu-buru menjatuhkan keputusan, pihak yang diberitakan itu dihukum, pada hal kemudian ternyata bahawa tidak ada sama sekali salahnya dalam perkara tersebut.

Masyarakat perlu berhati-hati dan berwaspada apabila mencatat sesuatu ungkapan melalui platform laman sosial. Di sinilah pentingnya fiqh tabayyun ketika mendapat sesuatu perkhabaran mahupun maklumat. Pastikan mempunyai nilai kebaikan dan manfaat kepada masyarakat.

Tidak menyebar maklumat atau komentar yang boleh menimbulkan ketegangan dalam soal agama, maruah dan hubungan kemasyarakatan.

Jika menyebarkan berita yang mempunyai kebaikan maka dibolehkan, tetapi sekiranya membawa keburukan lebih banyak daripada kebaikan, maka tidak perlu disebarkan.

Allah SWT memberi peringatan supaya berhati-hati dalam semua perkataan dan tindakan yang dilakukan yang akan dipertanggungjawabkan sebagaimana firman-Nya bermaksud:

“Sesungguhnya, kami menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya dan kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. (Ingatlah) ketika dua malaikat mencatatkan (perbuatannya), yang satu duduk di sebelah kanan dan yang lain di sebelah kiri. Tidak ada suatu kata yang diucapkan melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang selalu siap (mencatat).” (Qaf: 16-18)

Sunah merakamkan fiqh tabayyun dilaksanakan sebagaimana diriwayatkan dalam hadis, Umar ketika ada perkhabaran Rasulullah menceraikan isteri-isteri baginda. Sayidina Umar r.a. meminta izin berjumpa baginda bagi mendapat kepastian, lalu beliau bertanya kepada Rasulullah: “Adakah anda telah menceraikan isteri-isteri? Lalu Nabi menjawab: Tidak. Aku pun berdiri di depan pintu masjid, lalu aku menyeru dengan suara yang kuat: Rasulullah tidak menceraikan isteri-isterinya.” – Riwayat Muslim

Inilah prinsip fiqh tabayyun terutama apabila berhadapan dengan isu yang berkait dengan kepentingan umum. Masyarakat hendaklah mengambil prinsip fiqh tabayyun terlebih dahulu dan tidak menyebarkannya dengan mudah.

Jika masyarakat sudah tidak tabayyun, fitnah akan dianggap sebagai maklumat yang benar dan dipercayai.

Setiap medium perlu diaplikasikan sebagai perantara menyebar ilmu, dakwah dan maklumat berfaedah, medan interaksi intelek dan akhlak serta komunikasi berdasarkan perspektif agama dan undang-undang, bukan berlandaskan hawa nafsu dan kepentingan peribadi.

Hasil inovasi dan penyelidikan semasa, perbincangan ilmu fiqh dilanjutkan kepada ruang yang baru seperti fiqh al-Bii-ah (fiqh alam sekitar), fiqh al-Waqi’ (fiqh realiti), fiqh uli al-Amri wa al-Hukumah (fiqh pemerintahan dan kerajaan) dan sebagainya.

Fahami fiqh tabayyun

Tidak terburu-buru sebar berita, maklumat.
Tangguh sehingga pasti kesahihannya.
Tidak sebar berita negatif, umpatan, gosip.
Tidak turuti perkara yang tiada pengetahuan.
Percaya, beramal dengan apa yang diyakini, difahami.
Tidak sebar berita daripada pihak tidak dikenali atau dikenali sebagai pembohong.
Tidak sebar berita mengaibkan, memburukkan, menghina sesetengah pihak.
Mengadakan pertemuan secara langsung dengan pembawa berita.
Bertanya langsung kepada pihak pelaku utama.
Mendengar dengan saksama maklumat kedua-dua belah pihak.
Melakukan penyelidikan berdasarkan pengamatan peristiwa yang berlaku.
Merujuk pihak berkuasa untuk mendapatkan kepastian.
Ingat malaikat sentiasa mencatat setiap amalan baik dan buruk dilakukan.

Elak Jadi Muflis Akhirat

DEMI mengejar kemewahan dan kesenangan dunia, ramai dilihat sanggup melakukan apa sahaja walaupun terpaksa bersengkang mata serta mengorbankan masa termasuk bersama keluarga atau kepada diri sendiri.

Malah, dalam mengejar kesenangan hidup, ada dalam kalangan kita yang seakan lupa dengan tanggungjawab sebenar diturunkan ke muka bumi iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Tanpa ada perasaan takut, golongan ini dengan sesuka hati mengabaikan solat dengan sengaja, tidak membayar zakat, tidak menunaikan fardu haji walaupun berkemampuan dan tidak prihatin kepada hak sesama manusia, golongan fakir miskin serta anak yatim.

Lebih menyedihkan ada juga sanggup menzalimi sesama manusia dan melakukan jenayah seperti merosakkan harta benda, merompak, menyamun, mencuri, menipu dan sebagainya demi mencari kemewahan di samping mengelakkan daripada menjadi muflis di dunia.

Tidak dinafikan, ada yang berjaya mencapai kemewahan dunia menerusi cara bertentangan syariat itu, tetapi adakah segala kesenangan itu dapat menjamin kemewahan hidup selepas mati atau sebaliknya menjadi muflis di akhirat?

Jika miskin di dunia, masih ada lagi orang yang bersimpati dan membantu tetapi bagaimana jika muflis di akhirat? Siapakah yang akan dapat menolong dan menyelamatkan kita daripada azab seksaan api neraka Allah?

Hakikatnya, ramai yang menikmati pelbagai kemewahan kurniaan Allah di dunia tetapi kurang bersyukur, sebaliknya mengabaikan tanggungjawab sebagai hamba Allah malah ada kalanya mengkhianati amanah sesama manusia.

Justeru, kita hendaklah berusaha memelihara diri daripada melakukan kezaliman antara sesama manusia bagi memastikan tidak tergolong sebagai orang muflis di akhirat.

TINGKAT AMALAN AKHIRAT

Umat Islam juga perlu menyedari bahawa kehidupan di akhirat adalah kehidupan sebenar dan kekal abadi yang perlu diberi keutamaan. Kesejahteraan di akhirat memerlukan persiapan dan usaha lebih terancang dan amalan istiqamah (berterusan).

Bukan sahaja untuk dunia, tetapi pengorbanan masa, fikiran dan tenaga juga perlu diluangkan bagi mempersiap bekalan ke alam akhirat. Persiapan dan bekalan yang mencukupi dapat membantu seseorang Muslim menghadapi perjalanan menuju ke destinasi akhir iaitu bermula di alam kubur seterusnya padang mahsyar sehinggalah ke akhirat.

Allah berfirman maksudnya: “Dan orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke syurga secara berkumpulan, sehingga apabila mereka sampai ke syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-ngalukan mereka dengan berkata: “Salam sejahtera kepada kamu! Berbahagialah kamu! Maka silalah masuk ke dalam syurga ini, dengan keadaan kamu tinggal kekal di dalamnya.” (az-Zumar: 73)

Cuba kita hayati bersama kisah yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Qayyim mengenai seorang anak perempuan yang meninggal dunia kerana penyakit taun. Ayahnya telah melihatnya dalam mimpi, lalu dia bertanya: “Wahai anakku! Khabarkan kepadaku tentang akhirat.” Anak perempuan itu menjawab: “Kami telah melalui peristiwa yang sangat besar,dan sesungguhnya kita telah mengetahui, tetapi kita tidak mengamalkannya. Demi Allah satu ucapan tasbih atau satu rakaat solat yang tertulis dalam lembaran amalku lebih aku suka daripada dunia dan seluruh isinya.”

Sebagai seorang Muslim, kita juga seharusnya bijak mengatur kehidupan mengikut petunjuk yang digariskan oleh al-Quran dan hadis supaya sentiasa berada dalam keredaan dan keampunan Allah.

Banyak ayat al-Quran menggambarkan mereka yang melakukan dosa akan menjadi cemas, takut dan merana apabila dibentangkan buku catatan amalan mereka di padang mahsyar. Ini kerana, segala amalan di dunia ini akan di adili di akhirat walaupun sekecil zarah.

Setiap amalan dan tingkah laku di dunia akan dicatat oleh malaikat yang ditugaskan oleh Allah sebagaimana firman Allah bermaksud: “Pada hal sesungguhnya ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala perbuatan kamu, (mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi yang ditugaskan menulis (segala amalan kamu).” (al-Infitar: 10 dan 11)

Bagaimanapun, untuk memperoleh peribadi mulia dalam memperjuang kebenaran Islam memerlukan ilmu yang benar dan tepat. Sumbernya mestilah daripada al-Quran dan hadis, ijmak ulama dan kias.

Walaupun ilmu itu benar, namun jika tidak memberi kesan baik kepada hati, nafsulah yang akan menguasai diri. Janganlah jadi seperti Barsyisya yang melahirkan ribuan ahli abid dan mampu beribadah di atas awan serta terapung di atas air, tetapi akhirnya mati dalam kesesatan, iaitu mati menyembah nafsu dan syaitan.

Haiwan ternak ‘turun’ dari langit?

KEWUJUDAN haiwan ternak memudahkan manusia mengabdikan diri kepada KEWUJUDAN haiwan ternak memudahkan manusia mengabdikan diri kepada Allah melalui ibadat korban, akikah. –

MEMANG pelik jika dikatakan haiwan ternak seperti kambing, biri-biri, lembu dan unta asalnya turun dari langit. Semua sedia maklum bahawa semua binatang ini sudah sedia ada di bumi ketika kita dilahirkan. Bagaimana persoalan ini boleh timbul? Apa faedahnya berbincang perihal turun atau tidaknya haiwan ini? Sesiapa yang menelaah al-Quran pasti menemui perbincangan tentangnya.

Firman Allah: “Dia mencipta kamu daripada diri (spesis) yang satu (Adam), kemudian Dia menjadikan daripadanya – isterinya (Hawa); “dan Dia menurunkan untuk kamu binatang ternak lapan ekor: (empat) pasangan (jantan dan betina).” Dia menciptakan kamu dalam kandungan ibu kamu (berperingkat-peringkat) daripada satu kejadian ke satu kejadian. Dalam tiga suasana yang gelap-gelita. Yang demikian (kekuasaan-Nya) ialah Allah Tuhan kamu; bagi-Nya kekuasaan yang mutlak; tiada Tuhan melainkan Dia; oleh itu bagaimana kamu dapat dipesongkan (daripada mematuhi perintah-Nya)?.” (az-Zumar [39:6]).

Perkataan “dan Dia menurunkan untuk kamu” dalam ayat di atas memang menimbulkan perbincangan dalam kalangan ulama tafsir. Mudahnya terdapat dua pandangan mengenai maksud ayat di atas:

1 Turunnya haiwan ternak dalam ayat ini adalah suatu “kiasan dan bukannya hakiki.” Ini kerana kewujudan haiwan ternak di dunia ini berdasarkan kehendak dan takdir Allah yang ditetapkan di Luh Mahfuz atau kitab induk alam semesta. Urusan kewujudan haiwan ternak ini kemudiannya direalisasikan Allah di bumi. Oleh itu, kewujudan haiwan tersebut diibaratkan seperti “turun”.

Selain itu, ada juga pendapat mengatakan ia adalah kiasan kepada makanan haiwan yang berasal daripada tumbuhan bumi. Tumbuhan seperti rumput subur kerana hujan yang turunnya dari langit. Oleh itu, ia disifatkan sebagai turun dari langit kerana tanpa tumbuhan dan air hujan, ia tidak akan hidup atau wujud (Tafsir al-Alusi, Tafsir al-Razi dan Tafsir al-Qurtubi). Pandangan berkaitan makanan agak logik kerana apabila kemarau panjang, haiwan ternak antara makhluk yang sukar meneruskan hidup kerana ketiadaan makanan.

Jika diperhatikan, Allah juga menggunakan perkataan “turun” untuk pakaian manusia sebagaimana firman-Nya: “Wahai anak Adam! Sesungguhnya “Kami telah menurunkan kepada kamu” (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah daripada tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).” (al-A’raf [7:26]).

Ayat ini juga “suatu kiasan” kerana pakaian manusia berasal daripada pokok atau bulu binatang. Kedua-dua bahan itu pula tumbuh dan hidup kerana adunan air hujan yang turun dari langit dan tumbuhan yang menjadi makanan haiwan ternak (Tafsir al-Razi).

BESI TURUT TIDAK TERKECUALI

Bukan hanya haiwan ternak dan pakaian, Allah turut menggunakan “turun” pada besi:

“Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus para rasul Kami dengan membawa bukti dan mukjizat yang jelas nyata dan “Kami menurunkan bersama mereka kitab suci dan keterangan” yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan “Kami menurunkan besi” dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (Dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah itu dalam kehidupan mereka seharian) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahan agama Allah serta menolong para rasul-Nya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa,.” (al-Hadid [57:25]).

Ayat ini menjelaskan Islam ditegakkan dengan hujah daripada kitab dan dengan jihad yang digerakkan oleh besi. Setelah hujah kitab ditolak, besi memainkan peranan bagi menyekat manusia kufur. Ayat ini menyifatkan besi “diturunkan” kerana arahan jihad juga diturunkan Allah dari langit. Walaupun begitu perbincangan mengenai turunnya besi dalam ayat ini ada perbincangan khusus yang panjang lebar. Ia tidak akan disentuh di sini.

2 Haiwan ternak tersebut memang secara hakiki berasal dari langit atau syurga. Selepas dicipta di langit, ia diturunkan untuk mendiami bumi secara kekal. Ada juga para ulama berpandangan dengan pendapat ini. Ia dikiaskan kepada Nabi Adam a.s. yang asalnya di langit kemudian diturunkan ke bumi untuk menjadi khalifah. Ia turut berlaku kepada kambing, biri-biri, lembu dan unta pertama yang dicipta Allah (Tafsir al-Alusi, Tafsir al-Razi dan Tafsir al-Qurtubi). Walaupun begitu, Imam al-Alusi mengatakan pandangan ini tidak disandarkan pada nas yang sahih (Tafsir al-Alusi).

Apa yang penting bagi kita ketika meneliti ayat ini, bukannya sibuk mencari asal usul haiwan ternak tersebut tetapi mensyukuri segala nikmat kurniaan Allah untuk manusia di bumi. Bayangkan apa bakal terjadi jika semua haiwan ternak ini tidak wujud. Manusia pasti sukar menjalani hidup dengan tenang kerana tidak memiliki protein mencukupi bagi meneruskan hidup. Dengan kewujudan haiwan ternakan, tamadun manusia berkembang pesat. Kewujudannya juga memudahkan kita beribadat kepada Allah dengan ibadat korban, akikah dan sebagainya. Subhaanallah dan Alhamdulillah!

Isu: Haiwan ternak ‘turun’ dari langit

Terdapat dua pandangan ulama tafsir

1. Kiasan, bukannya hakiki

Makanannya di bumi iaitu rumput hidup bergantung kepada air hujan yang turun dari langit
Allah juga menggunakan perkataan ‘turun’ untuk pakaian manusia, kiasan kerana keperluan itu berasal daripada pokok atau bulu binatang yang hidup kerana adunan air hujan.
’Turun’ turut dirujuk kepada besi (Surah al-Hadid, ayat 25)
2. Haiwan ternak memang secara hakiki berasal dari langit atau syurga.

Ia dikiaskan kepada Nabi Adam a.s. yang asalnya di langit kemudian diturunkan ke bumi untuk menjadi khalifah.
Imam al-Alusi mengatakan pandangan ini tidak disandarkan pada nas yang sahih.
Rasulullah SAW pernah berpesan agar kita benar-benar menunaikan hak sesama Muslim dalam sabdanya: “Muslim sejati adalah orang yang selamatkan Muslim lainnya daripada (kejahatan) lidah dan tangannya,” – Sahih Bukhari dan Muslim

Subhanallah,peristiwa unik laungan Azan

Apabila telah dikumandangkan azan, wajib hukumnya bagi umat muslim di dunia untuk melaksanakan solat. Disebalik merdunya suara Azan yang berkumandang, ada keistimewaan tersendiri dari azan sehingga bagi muazzin (orang yang menyeru azan) sekalipun, Allah telah menjanjikan pahala kepadanya. Di balik keistimewaannya, azan juga menyimpan fakta yang mengkagumkan.

1. Kalimat penyeru yang mengandungi kekuatan dahsyat

Apabila azan berkumandang, kaum muslim yang benar-benar beriman dan bertakwa kepada Allah akan bergegas ke masjid menunaikan solat. Tanpa sedar saraf akan memerintahkan tubuh untuk segera menunaikan solat. Simpulan kesedaran psiko-religius dalam otak umat muslim akan bergetar, berhubung secara serentak dan dengan jumlah kesedaran seorang hamba (abdi). Seakan suara khas azan telah tertanam dalam alam bawah sedar setiap muslim. Sehingga ketika mendengarnya, pancaindera tubuh mereka lalu bergerak untuk solat. Suara azan seakan telah menyentuh fitrahnya untuk beribadah.

2. Ramai bukan muslim yang mendapat hidayah setelah mendengar azan

Banyak kisah perjalanan hidup kaum mualaf hingga akhirnya mendapat hidayah yang seringkali menyentuh nurani. Apabila suara azan yang didengar mereka telah menggetarkan hati dan kesedaran untuk mengucap syahadah. Seakan fitrah Islam dalam diri mereka terbangkitkan melalui alunan azan itu.

Kementerian Hal Ehwal Agama Turki pernah melapokan sekurang-kurangnya 634 orang telah masuk Islam selama tahun 2011, termasuk 467 wanita, yang berusia rata-rata 30 hingga 35 tahun dan berasal dari negara yang berbeza  Jerman, Maldiva, Belanda, Perancis, China, Brazil, AS, Romania dan Estonia. Mereka adalah pelancong-pelancong yang melancong ke Turki.

Di bandar Kayseri Turki sendiri, sekurang-kurangnya 14 orang telah masuk islam selama empat tahun berturut, termasuk 10 wanita. Mufti bandar Kayseri, Syaikh Ali Marasyalijil menyebutkan umumnya mereka masuk Islam setelah tersentuh mendengar alunan azan.

Rapper dari Amerika Syarikat, Chauncey L Hawkins yang popular dipanggil Loon mengakui masuk Islam setelah mendengar suara azan ketika berkunjung ke Abu Dhabi, Dubai.

3. Perintah azan datang melalui mimpi

Pada awalnya Rasulullah SAW tidak tahu dengan cara yang digunakan untuk mengingatkan umat muslim bila waktu salat tiba. Ada sahabat yang menyampaikan idea untuk mengibarkan bendera, menyalakan api di atas bukit, meniup terompet dan membunyikan loceng. Semua cadangan itu dianggap kurang sesuai.

Hingga datanglah sahabat, Abdullah bin Zaid yang bercerita jika dia mimpi bertemu dengan seseorang yang memberitahunya untuk mengumandangkan azan dengan menyerukan lafaz-lafaz azan seperti ketika ini. Lalu dikabarkanlah perihal mimpi ini kepada Rasulullah. Umar bin al-Khattab mendengar hal itu dan ternyata dia juga mengalami mimpi yang sama. "Demi Tuhan yang mengutusmu dengan Hak, ya Rasulullah, aku benar-benar melihat seperti yang dia lihat (di dalam mimpi)". Lalu Rasulullah bersabda: "Segala puji bagimu." Rasulullah bersetuju untuk menggunakan lafaz-lafaz azan itu sebagai tanda waktu salat tiba.

4. Dikumandangkan saat peristiwa-peristiwa bersejarah

Selain digunakan untuk menunjukkan waktu solat, azan juga dikumandangkan semasa peristiwa penting dan bersejarah. Misalnya ketika seorang bayi lahir. Peristiwa penting yang berlaku dalam Islam juga azan dikumandangkan. Ketika pasukan Rasulullah berjaya menguasai Mekah dan berhala-berhala di sekitar Kaabah dihancurkan, Bilal bin Rabbah mengumandangkan azan dari atas Kaabah.

Peristiwa lain, ketika Konstantinopel jatuh ke tangan pasukan Ottoman yang mengakhiri Empayar Rom Timur, beberapa perajurit Ottoman masuk ke dalam lalu mengumandangkan azan sebagai tanda kemenangan mereka.

5. Bilal tak kuat meneruskan azan

Setelah Rasul wafar, Bilal lagi mahu untuk mengumandangkan azan kerana selalu menangis setiap kali mengingat Rasul.

6. Berbilion kali dikumandangkan sejak 14 abad lalu

Azan dikumandangkan 5 kali sehari. Semenjak azan pertama kali dikumandangkan 14 abad lalu hingga saat ini. Tidak boleh dikira berapa juta kali azan telah berkumandang.

Anggaplah setahun 356 hari. Jika 14 abad adalah 1400 tahun, maka 1400 tahun x 356 hari = 511000 hari. Dalam satu hari, azan 5 kali dikumandangkan. Sehingga sekurang-kurangnya azan telah dikumandangkan 2.555.000 kali. Jika dalam satu hari ada 1 juta muslim di dunia yang mengumandangkan azan, jadi azan telah dikumandangkan sebanyak 2.555.000.000.000 kali. Subhanallah!

7. Tidak berhenti dikumandangkan hingga kiamat

Bumi berbentuk bulat. Ini menyebabkan berlaku perbezaan waktu solat pada setiap kawasan. Ketika azan telah selesai berkumandang di satu kawasan, maka selanjutnya azan berkumandang di kawasan lain.

Subhanallah, rahsia azan subuh dari aspek ilmiah

"Ash solaatu khairum minan naum". Jika kita terjemahkan, akan bererti "Solat itu lebih baik daripada tidur". Tetapi cuba perhatikan baik baik. Mengapa kalimat itu hanya dikumandangkan saat azan Subuh saja?

Dalam kalimat itu Allah SWT ternyata sedang memberikan isyarat kasih sayangnya pada kaum muslimin, sebuah isyarat yang sering kita abaikan maknanya.

Lalu mengapa isyarat itu justru dikumandangkan hanya pada azan solat Subuh, tatkala kita semua sedang terlelap, dan bukan pada azan untuk solat lain?

Pada kajian MILIS, kajian GISSI 2 dan kajian-kajian lain di luar negeri, yang dipercayai sebagai suatu kajian yang meyakinkan mendapati sebuah kesimpulan jika puncak terjadinya serangan jantung sebahagian besar bermula pada pukul 06.00 hingga pukul 12.00.

Mengapa demikian? Kerana pada saat itu sudah terjadi perubahan pada sistem tubuh dimana terjadi kenaikan voltan saraf simpatetik (istilah Cina: Yang) dan penurunan voltan saraf parasimpatis (YIN).

Tegangan simpatis yang meningkat akan menyebabkan kita siap tempur, tekanan darah akan meningkat, denyutan jantung lebih kuat dan sebagainya.

Pada tegangan saraf parasimpatis yang meningkat maka terjadi penurunan tekanan darah, denyut jantung kurang kuat dan ritmenya melambat. Terjadi peningkatan aliran darah ke perut untuk menggiling makanan dan pengurangan aliran darah ke otak sehingga kita merasa mengantuk, pokoknya yang cenderung kepada keadaan rehat.

Pada permulaan waktu pagi buta (mulai pukul 3 pagi) sampai siang itulah secara diam-diam tekanan darah beransur naik, terjadi peningkatan adrenalin yang memberi kesan meningkatkan tekanan darah dan penyempitan pembuluh darah (kesan vasokontriksi) dan meningkatkan sifat agregasi trombosit (sifat saling menempel satu sama lain pada sel platelet agar darah membeku) walaupun kita tertidur.

Aneh bukan? Hal ini terjadi pada semua manusia. Hal seperti ini disebut sebagai ritme Circardian atau ritme sehari-hari, yang secara kodrati diberikan Allah SWT kepada manusia.

Furchgott dan Zawadsky pada tahun 1980 dalam kajiannya mengeluarkan sekumpulan sel dinding arteri sebelah dalam pada pembuluh darah yang sedang diselidikinya (dikerok).

Pembuluh darah yang normal yang tidak dibuang sel-sel yang melapisi dinding bahagian dalamnya akan melebar bila ditetesi suatu bahan kimia iaitu Asetilkolin.

Pada kajian ini terjadi keanehan, dengan dikeluarkannya sel-sel daripada dinding sebelah dalam saluran darah itu, maka pembuluh tadi tidak melebar kalau ditetesi asetilkolin.

Penemuan ini tentu saja menimbulkan kegemparan dalam dunia perubatan. "Jadi inilah yang menentukan melebar atau menyempitnya pembuluh darah, suatu penemuan baru yang sudah sekian lama, sekian puluh tahun diteliti tapi tidak ketemu".

Kajian itu akan diikuti penelitian yang lain di seluruh dunia untuk mengetahui zat apa yang ada di dalam sel bahagian dalam pembuluh darah yang mampu mengembangkan / melebarkan pembuluh itu. Dari sekian ribu penelitian maka zat tadi ditemui oleh Ignarro dan Murad dan disebut NO / nitrik Oksida. Ketiga penyelidik itu Furchgott dan Ignarro dan Murad mendapat hadiah Nobel tahun 1998.

Zat NO selalu dihasilkan, dalam keadaan rehat tidur pun selalu dihasilkan, namun pengeluaran dapat dipertingkatkan oleh ubat golongan Nifedipin dan nitrat dan lain-lain tetapi juga dapat ditingkatkan dengan bergerak dan sukan.

Kesan nitrik Oksida yang lain adalah mencegah kecenderungan membekunya darah dengan cara mengurangkan sifat agregasi atau sifat melekat satu sama lain dari trombosit dalam darah kita.

Jadi, sebenarnya kalau kita kita bangun tidur pada pagi buta dan bergerak, maka hal itu akan memberikan pengaruh baik pada pencegahan gangguan kardiovaskular.

Menaikkan kadar NO dalam darah kerana exercise, iaitu wudhu dan solat sunat dan wajib, apalagi bila disertai berjalan ke masjid merupakan perlindungan bagi pencegahan kejadian kardiovaskular, tanpa manusia menyedarinya.

Selain itu patut dicatat bahawa pada kedudukan rukuk dan sujud terjadi proses mengejang, kedudukan ini meningkatkan tonus parasimpatis (yang melawan kesan tonus simpatis).

Dengan gerakan itu, tubuh menghasilkan NO untuk melawan peningkatan kadar zat adrenalin di atas yang memberi kesan menyempitkan pembuluh darah dan membuat sel platelet darah kita jadi bertambah liar dan saling merangkul.

Sejak awal kedatangan Islam, Allah menyeru solat Subuh. Hanya saja Allah tidak secara jelas menyatakan manfaat akan hal ini kerana tahap ilmu pengetahuan manusia belum sampai dan masih harus mencarinya sendiri walaupun harus melalui tempoh waktu ribuan tahun.

Petunjuk bagi kemaslahatan umat adalah tanda kasih-Nya pada hamba-Nya. Bukti manfaat Arahan Allah baru datang 1400 tahun kemudian. Allahu Akbar.

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga