Adab memotong kuku

Perlu diketahui bahawa memotong kuku adalah amalan sunat.

Walaupun tidak ada hadis sahih berkenaan persoalan mengerat kuku dan boleh mengerat kuku tanpa mengikut hari-hari tertentu. Tetapi, pada hari Isnin, Khamis dan Jumaat adalah hari yang diutamakan untuk melakukan ibadat sunat. Oleh yang demikian, sunat memotong kuku pada hari-hari tersebut.

Jadi, kerat kuku bukan sebarang kerat tapi ada kaedahnya. Walaupun ia hanya kuku tapi ia adalah sebahagian dari badan kita yang perlu kita hormati. Misalnya, kerat kuku ada adabnya selain ikut hari, kita juga perlu buang kuku itu pada tempat yang tidak kotor sebagaimana yang diajar, eloklah buang ke tanah kerana kita juga adalah unsur tanah, Bukannya tong sampah sekalipun tong sampah tu bersih.

Mulakan kerat kuku tu mulai dengan Bismillah dan selawat Nabi dan potong start jari telunjuk sebelah kanan sampai habis tangan kanan, kemudian jari kelingking sebelah kiri sampai ibu jari tangan kiri dan Last sekali ibu jari tangan kanan.

Kalau kaki pula, mulakan dengan jari kelingking kaki kanan sampai kelingking kaki kiri. Itulah sunnah yang paling kuat dipegang selama ini walaupun ada banyak khilafnya.

MENURUT SEBUAH KITAB JAWA (Primbon)

Janganlah memotong kuku pada hari Sabtu, kerana akan mendatangkan halangan atau rintangan bagi anda.

Janganlah memotong kuku pada hari Ahad, kerana akan mendapat bencana,

Janganlah memotong kuku pada hari Isnin, kerana akan ada orang yang dengki atau irihati,

Potonglah kuku pada hari Selasa kerana akan disukai orang banyak.

Potonglah kuku pada hari Rabu kerana akan membawa keselamatan dan perlindungan dari Tuhan.

Potonglah kuku pada hari Khamis dan anda akan mendapat rezeki.

Potonglah kuku pada hari Jumaat kerana akan membuat anda disukai dan dicintai orang.

SEELOK-ELOKNYA POTONGLAH KUKU PADA HARI KHAMIS ATAU JUMAAT

Ada juga golongan yang mempertikaikan riwayat-riwayat di atas. Apapun secara amnya sunat memotong kuku pada hari Isnin, Khamis dan Jumaat. Ada juga riwayat mengatakan siapa potong kuku setiap hari Rabu miskinlah ia. (Kesahihannya wallahua’lam). Seboleh-bolehnya elakkan dari mengekalkan memotong kuku pada hari Rabu (sekali-sekala tidak apa). Ini kerana isteri nabi iaitu Siti Khadijah pernah bertanya bagaimanakah caranya untuk menghabiskan harta beliau yang banyak. Maka jawab Nabi s.a.w. potonglah kuku pada setiap hari Rabu.

Nabi juga pernah berkata, jangan panjangkan kuku kerana syaitan berlari di atas kuku yang panjang. Begitu juga misai yang melebihi bibir mulut.

Kaedah yang paling mudah ialah:-

KUKU TANGAN

1. Mulai dari Jari Telunjuk tangan kanan.
2. Jari Tengah tangan kanan
3. Jari Manis tangan kanan
4. Jari Kelingking tangan kanan (Tinggalkan Ibu Jari tangan kanan)
5. Jari Kelingking tangan kiri
6. Jari Manis tangan kiri
7. Jari Tengah tangan kiri
8. Jari Telunjuk tangan kiri
9. Ibu Jari tangan kiri
10. Ibu Jari tangan kanan

Mula dari kanan, penghabisan juga sebelah kanan.

KUKU KAKI - Mula dari kanan, penghabisan sebelah kiri iaitu kelingking kiri. Mulai dari Kelingking Kanan dan bergerak ke jari-jari lain di sebelah kiri jari kelingking kanan .

HUKUM, HIKMAT POTONG KUKU

Kuku yang dicipta oleh Allah swt mempunyai peranan dan kepentingannya kepada manusia. Dalam Islam, kuku berperanan dalam beberapa hukum yang tidak seharusnya diabaikan oleh umat Islam. Walaupun dilihat seolah-olah perkara kecil, kadang-kadang ia menjadi perkara besar. Contohnya ketika seseorang masih dalam ihram haji atau umrah didenda membayar dam kerana memotong kuku. Demikian juga kuku boleh menyebabkan tidak sah wuduk atau mandi junub, jika air tidak atau terhalang sampai ke kuku.

Hukum dan Hikmat Memotong Kuku

Memotong kuku termasuk dalam amalan sunat. Hal ini disebut dalam hadis iaitu daripada Saidatina Aisyah yang maksudnya “Sepuluh perkara yang dikira sebagai fitrah (sunnah) iaitu memotong misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke dalam hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air (beristinjak). Berkata Zakaria “Aku lupa yang ke-10 kecuali berkumur” (riwayat Muslim)

Memotong kuku adalah sunat bagi lelaki dan perempuan sama ada kuku kaki atau tangan. Adapun hikmat daripada pensyariatan memotong kuku adalah menghilangkan kekotoran yang melekat atau berkumpul di celahnya. Kotoran itu jika tidak dibersihkan akan dan boleh menghalang air ketika bersuci. Selain itu, jika kuku dibiarkan panjang segala kekotoran atau najis akan terlekat padanya dan nescaya ia menjejaskan kesihatan.

Cara dan benda untuk memotong kuku.

Sunat memotong kuku bermula daripada tangan kanan, kemudian tangan kiri, memotong kuku kaki kanan,kemudian kaki kiri. Menurut Imam Nawawi, sunat memotong kuku bermula dari jari tangan kanan keseluruhannya dari jari telunjuk hingga ke jari kelingking dan diikuti ibu jari. Kemudian tangan kiri bermula dari jari kelingking hingga ibu jari. Sementara kuku kaki pula bermula dari kaki kanan daripada jari kelingking hingga ibu jari. Kemudian kaki kiri daripada ibu jari hingga kelingking.

Harus seseorang memotong menggunakan gunting, pisau atau benda khas seperti alat pemotong kuku supaya tidak memudaratkan kuku atau jarinya. Selesai memotong kuku segeralah membasuh tangan dengan air. Ada riwayat mengatakan bahawa makruh memotong kuku dengan menggunakan gigi kerana boleh mewarisi penyakit kusta.

Waktu Memotong Kuku

Islam juga mengambil kira waktu memotong kuku yang tidak tertakluk kepada panjang kuku tersebut. Kuku harus dipotong pada bila-bila masa. Walau bagaimanapun, jangan membiarkan kuku tidak dipotong melebihi 40 hari. Hal ini diriwayatkan daripada Anas bin Malik yang bermaksud “Sudah ditentukan waktu bagi kami memotong misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu ari-ari agar kami tidak membiarkannya lebih daripada 40 malam”. (riwayat Muslim)

Menurut Imam Syafie dan ulamaknya, sunat memotong kuku sebelum mengerjakan solat Jumaat seperti disunatkan mandi, bersugi, berharuman, berpakaian kemas sebelum ke masjid.

Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri dan Abu Hurairah katanya, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, bersugi, berwangian jika memilikinya dan memakai pakaian yang terbaik, kemudian keluar rumah hingga sampai ke masjid, dia tidak melangkahi orang yang bersaf, kemudian mengerjakan solat sunat, dia diam ketika imam keluar (berkhutbah) dan tidak berkata apa-apa hinga selesai solat, maka jadilah penebus dosa antara Jumaat itu dengan Jumaat sebelumnya” (Riwayat Ahmad).

Daripada Abu Hurairah maksudnya “Nabi saw memotong kuku dan menggunting misai pada hari Jumaat sebelum baginda keluar untuk solat” (Riwayat al-Bazzar dan al-Tabrani).

Sementara itu, menurut Ibnu Hajar, sunat memotong kuku pada Khamis, pagi Jumaat atau Isnin.

Menanam Potongan Kuku

Islam sangat prihatin terhadap memuliakan anak Adam, termasuklah anggota badanya. Kuku yang dipotong, sunat ditanam dalam tanah sebagai tanda hormat kerana ia adalah anggota manusia.

Memotong Kuku Ketika Haid, Nifas dan Junub

Kitab al-Ihya’ ada menyatakan bahawa jika seseorang dalam keadaan junub atau berhadas besar, jangan memotong rambut, kuku atau mengeluarkan darah atau memotong sesuatu yang jelas daripada badannya sebelum mandi junub. Ini kerana potongan itu akan kembali kepadanya dengan keadaan junub.

Memanjangkan Kuku

Tabiat memanjangkan kuku bertentangan dengan sunnah Rasulullah saw yang menggalakkan supaya memotong kuku. Jika dibiarkan kuku panjang, nescaya banyak perkara yang membabitkan hukum seperti wuduk, mandi wajib dan sebagainya. Selain itu, antara perkara sunat dilakukan kepada orang sakit atau nazak adalah mengelokkan diri iaitu dengan memotong kuku, misai, mencabut bulu ketiak, cukur bulu ari-ari, bersugi, mandi, berwangian dan memakai pakaian bersih.

Imam Syafie tidak menyatakan dalam kitabnya sunat memotong kuku mayat, tetapi beliau menyatakan perselisihan pendapat antara gurunya dalam menggalakkan dan meninggalkan perbuatan memotong kuku mayat. Beliau memilih dan mentarjih pendapat untuk meninggalkan perbuatan memotong kuku mayat.

Pendapat yang betul adalah membiarkan kuku mayat kerana segala anggota mayat itu dimuliakan dan tiada hadis sahih yang menggalakkan memotong kuku mayat. Malah makruh hukumnya jika berbuat demikian. Demikian juga pendapat ibnu Hajar, pendapat yang azhar adalah makruh memotong kuku mayat.

Adapun orang yang meninggal ketika dalam ihram haji atau umrah, haram dipotong kuku mayat itu, seperti haram mewangikan tubuh badan dan memotong rambutnya. Ini diibaratkan keadaannya masih hidup, dengan haram di atasnya memotong kuku ketika masih hidup, dengan haram potong kuku ketika ihram. Namun jika kuku mayat itu menyukarkan tukang mandi untuk membersihkannya, tidak mengapa jika dipotong dan tidak juga dikenakan dam ke atas orang yang memotong kuku itu.

al-Ustaz Abdullah Zuqail menyebut beberapa perkara yang tidak ada dalil tentang memotong kuku, antaranya :

- Mengkhususkan hari Jumaat untuk memotong kuku.
- Makruh memotong kuku pada malam hari.
- Orang yang sedang berpuasa tidak boleh memotong kuku.
- Larangan orang yang sedang haid dan janabah dari memotong kuku.
- Memotong kuku dengan cara-cara tertentu.

Berkata Ibn Daqiq al-’Ied : “Apa yang tersebar tentang memotong kuku dalam cara-cara tertentu, tidak ada asal baginya di dalam syariat. Adapun memulakannya dengan tangan kanan kemudian tangan kiri, maka ianya termasuk di dalam keumuman sabda Nabi s.a.w. …”

Dr. Abdul Wahab pula berkata :

“Memotong kuku HARUS pada bila-bila masa dan tidak mengapa.”

Disebutkan di dalam syarah al-‘Iqna’ Matan Abi Syuja’ ( 1/60 ), menurut Imam al-Ghazzali di dalam Ihya Ulumiddin, bahawa tidak seharusnya seseorang yang berjunub memotong kuku atau mencukur bulu dan rambutnya kerana semua tadi akan dikembalikan di hari akhirat nanti dalam keadaan junub ( tidak bersih) .

Bagaimanapun, setelah diteliti asas kepada pendapat ini, maka tiada didapati sebarang dalil yang menyokongnya kecuali logik aqal semata-mata tadi. Demikian menurut Syeikh Sayyid Sabiq, Syeikh Atiyyah Saqar dan Dr. Rif`at Fawzi, professor Syariah di Univ. Kaherah

Soalan ini pernah di tujukan kepada Imam Ibn Taymiah di dalam kitabnya “Ghiza’ al-albab, 1/382 ) maka beliau menjawab : “ Tidak aku ketahui hukum makruh membuang rambut dan bulu dan kuku ketika junub, bahkan Nabi SAW bersabda : “ Sesungguhnya seorang mukmin tidak najis (tubuhnya) samada hidup ataupun mati”, malah Nabi memberitahu : “ buangkan darimu bulu-bulu kufur (yang tidak dicukur semasa kafir) dan berkhatanlah (apabila masuk Islam) “ maka arahan Nabi tidak menunjukkan sebarang tangguh cukur selepas mandi. Demikian juga diperintah wanita haid agar menyikat rambutnya semasa mandi junub, yang mana diketahui bahawa dengan menyikat ini boleh menggugurkan rambut (sebelum tamat mandi)..justeru apa yang dikatakan sebenarnya tiada asalnya.”

Tiada sebarang halangan untuk memotong kuku secara junub. Pandangan ini juga datang dari tokoh ulama Tabien iaitu Ato’ bin Abi Rabah. ’Ata disebut pernah menyatakan seseorang boleh melakukannya dalam keadaan junub, malah dalam keadaan junub dan tidak berwudu’ (Riwayat al-Bukhari)

Sebagai makumat tambahan, kemestian menanam rambut, kuku yang dipotong dan sebagainya juga tiada sebarang dalil (kecuali jika dibimbangi akan diambil dan disihirkan), demikian juga larangan memotong kuku di waktu malam.

Wallahu a’lam

Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga