Sifat Nabi Muhammad s.a.w dalam Taurat dan Injil

FIRMAN Allah SWT dalam Hadis Qudsi bermaksud: “Allah telah memberi wahyu kepada Musa, Nabi Bani Israel, bahawa barang siapa bertemu dengan Aku, pada hal ia ingkar kepada Ahmad (Nabi Muhammad), nescaya Aku masukkan dirinya ke neraka. Musa berkata: Siapakah Ahmad itu, wahai Tuhanku? Allah berfirman: Tidak pernah Aku ciptakan satu ciptaan yang lebih mulia menurut pandangan-Ku daripadanya.

Telah Ku tuliskan namanya bersama nama-Ku di Arasy sebelum Aku ciptakan tujuh lapis langit dan bumi. Sesungguhnya syurga itu terlarang bagi semua makhluk-Ku, sebelum ia dan umatnya terlebih dahulu memasukinya. Musa berkata: Siapakah umatnya itu?

Firman-Nya: Mereka yang banyak memuji Allah sambil naik, sambil turun dan pada setiap keadaan. Mereka mengikat pinggang (menutup aurat) dan berwuduk membersihkan anggota badan. Mereka berpuasa siang hari, bersepi diri dan berzikir sepanjang malam.

Aku terima amal yang dikerjakan dengan ikhlas, meskipun sedikit. Akan Ku masukkan mereka dalam syurga kerana kesaksiannya tiada Tuhan yang sebenar disembah melainkan Allah. Musa berkata lagi: Jadikanlah saya nabi umat itu.

Allah berfirman: Nabi umat itu daripada mereka sendiri. Musa berkata: Masukkanlah saya dalam golongan umat nabi itu. Lalu Allah menerangkan: Engkau lahir mendahului nabi dan umat itu, sedangkan dia lahir kemudian. Aku berjanji kepadamu untuk mengumpulkan engkau bersamanya di Darul Jalal (syurga).” (riwayat Abu Nu’iam).

Perhatikan betapa kuatnya keinginan Nabi Musa AS untuk meminta dimasukkannya ke dalam lingkungan umat Nabi Muhammad SAW setelah mengetahui bahawa ia tidak dapat dijadikan rasul-Nya, kerana rasul-Nya harus daripada keturunan Ismail, daripada golongan bangsa Arab sedangkan dia daripada golongan dan keturunan Yaakob, daripada golongan Bani Israel.

Adapun sifat-sifat umat Nabi Muhammad SAW itu sebahagiannya seperti berikut

* Suka memuji Tuhannya, walaupun di mana sahaja dan dalam apa jua keadaan. Lisan mereka selalu basah kerana berzikir kepada Tuhan serta menghormati kehadiran Allah di dalam hati mereka.

* Suka menjaga diri dengan memelihara kehormatan, dimulai daripada suka menutup aurat, berkain, berpakaian dan sebagainya sesuai dengan tuntutan syariat Islam.

* Suka berwuduk, bersuci daripada hadas kecil dan diiringi dengan melakukan sembahyang serta menjaga diri daripada kekotoran maknawi. Nur Ilahi sentiasa di wajahnya sehingga mukanya selalu kelihatan berseri-seri. Nur Ilahi itu bersinar terus sehingga nyata kelihatan pada anggota wuduknya di hari kiamat.

* Suka berpuasa pada siang hari, terutama pada bulan Ramadan dan hari-hari yang tertentu oleh agamanya, menahan hawa nafsu, menjaga kesihatan badan rohani dan jasmani, sering mengingat kehidupan fakir miskin, sering mengutamakan kepentingan umum daripada kepentingan diri sendiri dan mengetahui bahawa Allah Maha Mengetahui dan Maha Melihat segalanya.

* Suka beribadat pada malam hari, jauh daripada riak dan benar-benar ikhlas pada Tuhannya, suka munajat dan menyatakan hasrat langsung ke hadrat Ilahi tanpa perantaraan dan sebarang wasilah yang menghalanginya.

Mengenai sifat-sifat Nabi Muhammad SAW seperti digambarkan di dalam riwayat at-Tabarani dan az-Zubair bin Bakar bermaksud: “Sifatnya bersesuaian dengan erti namanya Ahmad (yang terpuji) lagi tawakal. Tempat lahirnya Mekah al-Mukarramah dan tempat hijrahnya iaitu Tayybah (Madinah al-Munawwarah).

Beliau tidak keras dan kasar peribadinya, tidak pula pemarah orangnya. Membalas kebaikan dengan kebaikan dan tidak melayani keburukan dengan keburukan.

Umatnya suka memuji Tuhannya. Mereka berkain terikat pada pinggangnya, menjaga kehormatan aurat, suka berwuduk menjaga kebersihan badan, kitab suci mereka berada dalam hatinya, suka menghafaz ayat-ayat suci dan mengamalkannya.

Mereka bersaf-saf melakukan solat berjemaah seperti juga mereka suka berbaris menyusun kekuatan menegakkan dan membela agama Allah dengan harta benda dan jiwa raga mereka. Korban mereka sampai titisan darahnya dilakukan untuk bertaqarub (mendekatkan diri kepada Allah). Mereka bersemadi pada malam hari dalam keadaan tenang, hening sepi, sunyi dan jauh daripada riak, tekun munajat dan memanjatkan doa harapan rahmat dan reda Tuhan Yang Maha Kuasa. Namun mereka laksana seekor singa lapar pada siang hari dan siap sedia bertempur perang fisabilillah.”

Saidina Ali bin Abu Talib berkata: “Ketika Nabi SAW duduk bersama sahabat Muhajirin dan Ansar, tiba-tiba datang rombongan orang-orang Yahudi, lalu berkata: Ya Muhammad, kami akan tanya kepadamu kalimah-kalimah yang telah diberikan Allah kepada Musa AS yang tidak diberikan kecuali kepada nabi-nabi utusan Allah atau malaikat muqarrabin. 

“Silakan bertanya,” jawab Nabi SAW. Lalu mereka berkata: Terangkan kepada kami tentang sembahyang lima waktu yang diwajibkan Allah atas umatmu?

Jawab Nabi SAW: “Adapun sembahyang Zuhur jika tergelincir matahari, bertasbih segala sesuatu kepada Tuhannya, adapun sembahyang Asar maka itulah waktu (saat) Nabi Adam makan buah khuldi, adapun sembahyang Maghrib maka itulah saatnya Allah memberi taubat (menerima taubat nabi Adam), maka setiap Mukmin yang sembahyang Maghrib dengan ikhlas lalu memohon sesuatu pada Allah pasti diterima-Nya. Adapun sembahyang Isyak, maka itulah sembahyang yang telah dikerjakan oleh para rasul sebelumku.

Adapun sembahyang Fajar (Subuh) maka kerana matahari bila terbit, terbitnya di antara dua tanduk syaitan dan waktu itu sujudlah setiap orang kafir.”

Mereka berkata: Benar Muhammad, maka apakah pahala orang yang bersembahyang itu? Jawab Nabi SAW: “Jagalah waktu-waktu sembahyang yang pertengahan, maka tiada seorang mukmin yang mengerjakan sembahyang 40 hari dalam berjemaah melainkan diberi oleh Allah dua kebebasan, kebebasan dari neraka dan kebebasan daripada nifaq (munafik).” Maka orang Yahudi itu berkata: Benar engkau ya Muhammad.

Kemudian Allah berfirman yang menggambarkan sifat-sifat Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya yang perlu umat Islam contohi: Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang yang bersama dengannya bersikap tegas terhadap orang yang tiada beriman, bersifat kasih sayang antara sesama mereka, engkau lihat mereka rukuk dan sujud mencari kurnia dan reda Tuhan, pada wajah mereka terdapat tanda-tanda bekas sujud (membayang cahaya keimanan dan kesucian batin), itulah perumpamaan mereka di dalam Taurat.

Sedangkan perumpamaan mereka di dalam Injil, bagaikan tanaman yang mengeluarkan tunasnya yang lembut, kemudian bertambah kuat dan bertambah besar, dapat tegak di atas batangnya menyebabkan orang-orang yang menanam menjadi takjub, menjadikan orang yang tiada beriman itu marah kerananya. Tuhan telah menjanjikan kepada orang-orang beriman dengan mengerjakan amalan baik di antara mereka akan memperoleh ampunan dan pahala ganjaran yang besar (syurga). (al-Fath: 29)


Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga