Kesan Solat Cegah Kemungkaran

SOLAT adalah identiti umat Islam. Ibadah ini dilakukan di rumah, surau (musalla) atau masjid. Saya pernah melihat di suatu kawasan pinggir bandar, semua pekedai akan menutup kedai pada tengah hari Jumaat kerana hendak pergi solat. Kedai hanya dibuka semula pada jam 3 petang.

Persoalannya, mengapa budaya umat Islam tidak sama ketika dalam solat dan di luar solat? Dalam solat, kita boleh merendahkan hati dan merendahkan diri di hadapan Pencipta. Tetapi di luar solat, mengapa kita tidak mampu menjaga hati dan diri sebaik dalam solat?

Solat itu pendidik peribadi dan bukan sekadar rutin semata-mata yang ditunaikan sebaik azan berkumandang.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umat mu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal kebajikan (terutama solat) itu menghapuskan kejahatan. Perintah ALLAH sedemikian adalah menjadi peringatan bagi orang yang mahu beringat.” (Surah Hud: 114)

Ini bermakna, solat mendisiplinkan kita untuk menguruskan masa dan menghapus kejahatan. Jika seseorang itu menghayati solatnya, terutama dari segi bacaan dan perbuatan, maka tubuh zahir dan jiwa raganya akan dipenuhi dengan pelajaran yang berguna untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Contohnya, kita sujud dua kali pada setiap rakaat. Solat yang empat rakaat mengandungi lapan kali sujud. Sujud pula merupakan kedudukan paling rendah antara hamba dengan Tuhannya. Mengapa kita lebih banyak sujud daripada berdiri tegak?

Pelajarannya ialah kita ini hamba. Walau setinggi mana pun pangkat kedudukan kita dalam kalangan manusia, kita tetap rendah di sisi Ilahi.

Dalam solat, kita wajib menutup aurat. Itulah penanda aras kesopanan yang diajar solat. Kita berasa selamat dalam pakaian tersebut, dan berbangga dengan identiti agama kita ketika melakukan ibadat solat.

Bagaimanapun, saya hairan mengapa selepas selesai solat, ada wanita menayangkan auratnya kepada lelaki ajnabi. Kenapa dalam solat boleh menutup aurat tetapi tidak di luar solat? Adakah kehidupan orang Islam ini berbeza ketika solat dan di luar solat?

Pendinding penyakit 

Hakikatnya, solatlah kehidupan kita. Apa yang kita buat dalam solat, itulah yang diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Solat sepatutnya membentuk keperibadian mulia, terutama sekali penjagaan hati dan lidah. Sesungguhnya hati dan lidahlah yang menjadi penyebab goyangnya akidah, permusuhan, pergaduhan dan pecah belah.

Jika ada insan suka sangat mengumpat, mengutuk, menghina atau mengadu domba walaupun solat awal waktu, walaupun tidak pernah meninggalkan solat berjemaah, terbuktilah solatnya masih belum berjaya membentuk keperibadian diri.

Kita perlukan ilmu dan usaha untuk khusyuk dalam solat. Solat itu kehidupan kita, maka wajiblah menunaikannya sebaik mungkin. Daripada 50 waktu, ALLAH meringankannya ke lima waktu sahaja. Itulah bukti kasihnya ALLAH SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW.

Tidak adil jika kita masih berkira atau malas menunaikan solat sedangkan kita boleh duduk menghadap komputer berjam-jam lamanya. Sedarlah… solat tidak lama, sekadar lima minit sahaja.

Antara sifat orang munafik ialah mereka melakukan solat dalam keadaan malas. Antara sifat orang fasik ialah mereka kekal melakukan dosa (tidak mahu solat). Antara sifat orang mukmin pula ialah mereka melakukan sesuatu perkara dengan tekun. Jadi, mana satu pilihan anda?

Kajian saintifik membuktikan solat sangat bermanfaat dari segi kesihatan. Kebanyakan orang bersolat, tidak nyanyuk atau menderita penyakit sendi atau otot ketika tua. Solat boleh menyihatkan tubuh badan, menjadi pendinding penyakit fizikal dan mental.

Solat ditetapkan mengikut waktu tertentu. Perantaraan waktu bagi setiap solat ada hikmah yang tertentu. Perubahan waktu dari pagi hingga ke malam memberikan kita tenaga yang berbeza melalui spektrum warna cahaya.

Jika orang Islam sendiri tidak suka solat, orang bukan Islam bertepuk tangan. Kata mereka, apabila orang Islam meninggalkan solat sebagai ibadat paling penting, maka mudahlah untuk menjatuhkan dan menghina mereka.

Dalam solat ketika duduk antara dua sujud, terdapat doa ringkas tetapi penuh pengharapan dan pergantungan terhadap Ilahi. Doa tersebut bermaksud “Tuhan ampunilah aku, sayangilah aku, cukupilah kekurangan ku, Tinggikanlah darjat ku, berikanlah aku rezeki, berikanlah aku petunjuk, sihatkanlah aku, maafkanlah aku.”

Jiwa lebih tenteram

Solat Jumaat diwajibkan kepada golongan lelaki. Lelaki adalah ketua kepada wanita, ketua keluarga, ketua syarikat dan ketua jabatan. Tujuan khutbah Jumaat pula untuk memberikan peringatan kepada lelaki mengenai tanggungjawab mereka memakmurkan institusi rumah tangga dan syarikat masing-masing.

Solat dan khutbah Jumaat perlu diniatkan untuk mendapatkan ilmu dan menambahkan iman. Maklumlah, yang datang ke masjid itu ketua pegawai eksekutif, pengurus dan orang berjawatan penting dalam syarikat. Gaji pula mahal.

Sedangkan khatib yang membaca khutbah bukanlah sesiapa… tiada pangkat, gaji pun rendah sahaja. Jadi, apa kelas pegawai atasan mendengar nasihat daripada khatib berstatus jaguh kampung, bukan?

Alangkah bagusnya kumpulkan semua inti pati khutbah Jumaat yang didengar itu untuk dijadikan rujukan dan penambahbaikan amal ibadat. Bayangkan jika ada 52 minggu setahun, maka 52 khutbah kita dengar. Jika semua lelaki Islam memanfaatkan khutbah Jumaat sebagaimana yang diajar oleh agama, tentulah indeks jenayah akan susut.

Pihak lelaki mendengar khutbah untuk dirinya, kemudian balik ke rumah dan mengulanginya semula kepada anak dan isteri. Inilah antara bentuk bimbingan suami kepada isteri, juga bapa kepada anak.

Dengan cara ini, dakwah berjalan. Dengan cara ini institusi kekeluargaan boleh dikukuhkan. Dengan cara ini jenayah, maksiat dan gejala sosial boleh dibendung bermula dari dalam rumah lagi.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila ditimpa kesusahan dia sangat resah gelisah. Dan apabila beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut.” (Surah Al-Maarij: 19-21)

Oleh itulah Islam datang sebagai pengantara untuk menyeimbangkan diri manusia antara resah dan bakhil. Penyelesaiannya ialah bersikap sederhana. Tidak sampai ke tahap fakir ataupun terlalu kaya yang bakhil. Dengan kesederhanaan, hati lebih tenang dan jiwa lebih tenteram.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Kecuali orang yang melaksanakan solat, mereka yang tetap setia melaksanakan solat.” (Surah Al-Maarij: 22-23).

Ayat ini merupakan sambungan daripada ayat 19-21 yang menyatakan bahawa orang yang mengerjakan solat merupakan orang yang boleh menghindari tabiat resah gelisah dan bakhil kedekut.

Jika hati resah, ambillah wuduk kemudian lakukan solat dengan khusyuk. Selepas solat, insya-ALLAH rasa resah gelisah itu akan hilang dan rasa tenang pula datang sebagai pengganti.

Jika kita merasakan sukar untuk menderma kerana bimbang harta akan berkurangan, ambillah wuduk kemudian lakukanlah solat tahajud, solat hajat atau solat tasbih.

Melalui solat tersebut, hati akan berasa sayu lalu mengakui tiada yang lebih hebat, tiada yang lebih berkuasa, tiada yang lebih kaya melainkan ALLAH SWT.

Apa yang kita miliki tentang harta keduniaan, tidak sedikit pun sebanding dengan apa yang ALLAH SWT miliki di langit dan bumi. Malah, tubuh badan kita pun dicipta oleh-Nya. Sekaya mana pun kita, jika jatuh sakit tetap memerlukan pertolongan-Nya jua.

Oleh itu, janganlah kita bersolat sebagai rutin atau meneruskan tradisi keluarga semata-mata. Galilah dan manfaatkanlah apa yang ada di dalam solat itu. Mudah-mudahan hidup kita lebih bermakna, berkat solat yang kita tunaikan sepanjang usia.

Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga