Sabar Berdepan Suami Panas Baran

Melayani isteri dengan baik dari aspek tingkah laku dan percakapan adalah kewajipan seorang suami kepada isterinya. Suami yang panas baran dan melepaskan kemarahan kepada isteri dan anak-anak dengan caci maki dan perkataan jelek melakukan dosa dan termasuk dalam kategori suami yang nusyuz.

Dalam buku al-Fiqh al-Manhaji karangan Dr Mustafa al-Khin, Dr Mustafa al-Bugho dan Ali asy-Syarbaji, menjelaskan bahawa seseorang suami itu dianggap nusyuz apabila dia menzalimi isteri dengan tidak menunaikan hak isteri dalam pembahagian giliran bermalam atau hak nafkah atau bercakap atau bertindak kasar terhadap isteri.

Sekiranya seorang isteri mendapati suaminya melakukan nusyuz seperti selalu bercakap dengan suara yang kasar dan memaki hamun, dia boleh mengingatkan suaminya dengan hak yang diabaikannya.

Ini seperti yang jelaskan Allah dalam surah an-Nisa, ayat ke-19 yang bermaksud: “Dan bergaullah dengan mereka secara baik. Kemudian jika kamu bencikan mereka, kerana mungkin kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).”

Saya menyarankan kepada isteri yang berdepan dengan suami yang panas baran dan celupar agar banyak bersabar dan bertenang. Ini kerana ketika marah, suami dalam keadaan tertekan dan tahap ego paling tinggi. Jika isteri pula membalas makian suami dengan emosi dan saling memaki hamun, keadaan akan menjadi buruk.

Kemungkinan besar ia meleret menjadi pergaduhan dan perkelahian yang berakhir dengan kecederaan. Justeru, elakkan menegur suami ketika dia sedang marah. Ambil masa beberapa lama sehingga dia bertenang, selesa dan lebih mesra sebelum berbincang isu ini.

Mohon kepadanya dengan lembut agar tidak mengulangi perbuatannya. Jelaskan juga kepadanya perasaan puan yang terasa hati dan sedih dengan tindakannya. Jika tidak berani bersemuka dengan suami, e-melkan atau hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepadanya dengan bahasa yang baik.Isteri perlu mengelakkan daripada berbincang dengan suami dalam keadaan suami sedang kepenatan ketika baru pulang dari kerja, sedang kelaparan, sibuk bekerja, berada bersama orang ramai atau keluarga.

Sekiranya, teguran kepada suami tidak berhasil atau isteri terlalu takut untuk menegurnya, gunakan bantuan orang ketiga bagi berbincang dan menegur suami. Ini disarankan Allah dalam surah an-Nisa, ayat ke-128 yang bermaksud: “Dan jika seorang wanita bimbang nusyuz atau sikap tidak acuh daripada suaminya, maka tidak mengapa bagi kedua-duanya mengadakan sulh yang sebenar-benarnya dan sulh itu lebih baik (bagi mereka)…”

Orang tengah yang dilantik sebagai pendamai antara suami isteri sebaiknya dipilih daripada orang yang dihormati daripada keluarga suami dan seorang daripada keluarga isteri. Ini bagi memastikan majlis pendamaian atau sulh ini dilakukan dengan adil dan dapat diterima oleh kedua-dua pihak. Kaedah ini adalah berdasarkan firman Allah dalam surah an-Nisa, ayat 35 yang bermaksud: “Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantik seorang pendamai daripada keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan.

Jika kedua-dua pendamai itu menghendaki perdamaian, nescaya Allah berikan taufik kepada suami isteri itu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuan-Nya.”

Sekiranya usaha damai ini berhasil, suami isteri boleh meneruskan kehidupan mereka sebagai suami isteri seperti biasa dan mengambil pengajaran daripada peristiwa ini tetapi sekiranya persefahaman tidak dapat dicapai, orang tengah boleh mencadangkan supaya kedua-duanya berpisah dan menjalani hidup sendiri. Sekiranya suami enggan menceraikan isteri tetapi masih meneruskan sikap panas baran, isteri boleh melaporkannya kepada Mahkamah Syariah untuk tindakan selanjutnya.

Bagi suami yang bersikap kasar terhadap isteri dan anak-anak, ingatlah pesanan Rasulullah SAW: “Berhati-hati dengan doa orang yang teraniaya, kerana antara dia dan Allah tidak ada hijab yang menghalang makbulnya doa.”

Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga