5 Perkara

Dari Ibnu Umar Ra. ia berkata: Rasulullah Saw mendatangi kami (pada suatu hari) kemudian beliau bersabda,' "Wahai kaum Muhajirin, lima perkara kalau kamu telah diuji dengannya (kalau kamu telah mengerjakannya), maka tidak ada kebaikan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah SUBHANAHU wa Ta'ala, semoga kamu tidak menemui zaman itu. Perkara-perkara itu ialah:

1. Tidak nampak perzinaan pada suatu kaum sehingga mereka berani berterus terang melakukannya, melainkan akan berjangkit di kalangan mereka wabak penyakit menular (Tha'un) dengan cepat, dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pemah menimpa umat-umat yang terdahulu.

2. Dan tiada mereka mengurangkan sukatan / ukuran dan timbangan, kecuali mereka akan diuji dengan kemarau panjang dan kesulitan mencari rezeki dan kezaliman daripada kalangan pemimpin mereka

3. Dan tidak menahan mereka akan zakat harta benda kecuali ditahan untuk mereka air hujan dari langit. Jikalau tidak ada binatang (yang juga hidup di atas permukaan bumi ini) tentunya mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala

4. Dan tiada mereka menyalahi akan janji Allah dan Rasul-Nya, kecuali Allah akan menurunkan ke atas mereka musuh yang akan merampas sebahagian dari apa yang ada di tangan mereka

5. Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam Al-Qur'an dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan, maka (di waktu itu) Allah akan menjadikan bencana di kalangan mereka sendiri. "(HR. Ibnu Majah)

Keterangan Hadits di atas menerangkan bahawa:

1. Penyakit Tha'un (berjangkit seperti kolera dan Aids) adalah disebabkan banyaknya terjadi perzinaan.

2. Sukar mencari rezeki dan kezaliman pimpinan adalah disebabkan dari rakyat yang mengurangkan sukatan, ukuran dan timbangan.

3. Kemarau panjang disebabkan tidak mengeluarkan zakat.

4. Kuasa musuh mengambil sebahagian dari apa yang dimiliki kaum Muslimin (seperti hilangnya Tanah Palestin dari tangan kaum Muslimin) disebabkan mereka mengkhianati janji-janjinya kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.

5. Perang saudara yang berlaku di kalangan kaum Muslimin disebabkan mereka mengabaikan hukum-hukum Allah Subhanahu wa Ta'ala dan tidak menjadikan Al-Qur'an sebagai undang-undang di dalam kehidupan.

Umat akhir zaman cabar kuasa Ilahi

Dunia semakin hari semakin tua meniti usia penghujungnya. Namun, semakin tua usia dunia ini, semakin banyak kerosakan dilakukan manusia sebagai penghuninya.

Kerosakan dilakukan termasuk yang zahir dan tersembunyi.

Zahir boleh dilihat jelas melalui mata kasar adalah pembinasaan khazanah bumi seperti hutan dan gunung- ganang yang ditarah untuk merealisasikan impian dunia moden dengan mendirikan pelbagai bangunan di atasnya.

Jika bumi itu boleh disifatkan dengan jasad manusia, tentu kita dapat melihat satu bentuk tubuh yang mengalami kecacatan di sana sini. Mungkin bumi pada hari ini umpama manusia yang tidak mempunyai tangan dan kaki yang lengkap.

Semakin kita dekat dengan hari kiamat, semakin berani pula manusia mencabar Allah dengan pelbagai maksiat dilakukan.Jika bumi ini dapat berbicara, tentu sekali dia akan merintih atau merayu kepada manusia supaya dia dikasihani.

Sebagai makhluk yang patuh dan berzikir kepada Allah, tentu saja bumi ini akan mematuhi arahan Allah kepadanya.Dalam surah Al-Israa’, ayat 44, Allah berfirman yang bermaksud: 

“Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka.Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.” 

Bumi cuba memberikan peringatan kepada manusia supaya kembali kepada Allah dengan memberi peringatan demi peringatan.Pelbagai bencana alam yang berlaku seperti tsunami, tanah runtuh dan gempa bumi nampaknya belum berjaya membawa umat manusia kembali kepada Allah.

Malah, ada pula yang mengatakan bencana alam tiada kaitan dengan Penciptanya dan ia hanya tidak lebih daripada hukum alam.

Lebih mendukacitakan lagi adalah manusia yang tahu mengenai wahyu yang disampaikan kepadanya.Mereka tahu apa yang halal dan haram tetapi mereka tidak berusaha meninggalkannya.

Apabila di ketengahkan isu ini di Facebook, antara maklum balas yang banyak diterima adalah situasi ini sebenarnya ‘biasa’ di negara kita pada hari ini.

Pemandangan orang Melayu dan Islam bermain judi bukan sesuatu yang janggal, malah mereka juga tidak kekok dan tidak segan silu melakukannya.Dan kita percaya, mustahil untuk mereka mengatakan tidak tahu judi itu haram.

Malah, di pintu kedai judi itu juga menyatakan: “Orang Islam dilarang berjudi.” Namun begitulah realiti sekarang, semakin kita menuju ke dunia akhir zaman, manusia semakin berani mencabar kekuasaan Allah.

Kita sebenarnya hidup di dunia dengan rahmat Allah.

Jika tidak kerana rahmat-Nya, nescaya kita dibinasakan dengan azab-Nya seperti mana yang menimpa umat terdahulu.

Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga