Tangani Kes Buli Secara Berkesan

PENDEDAHAN beberapa video yang memaparkan kejadian buli di asrama pelajar menunjukkan budaya membuli di sekolah masih wujud di negara kita. Ironinya ini bukan kali pertama kita menonton video seumpama itu.

Sebelum ini pun pihak media telah mendedahkan kejadian seperti ini dan pihak berkuasa telah pun mengambil beberapa tindakan tegas namun hakikatnya perbuatan ini masih berterusan. Malah kes terbaru yang didedahkan memperlihatkan betapa perbuatan buli ini semakin serius dan membimbangkan.

Tindakan pelajar senior yang menyepak, menerajang, menumbuk dan membelasah cukup-cukup pelajar junior tanpa rasa kasihan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat. Rata-rata semua pihak yang menonton video buli yang tersebar dalam media sosial ini cukup geram dan marah dengan sikap dan perbuatan pelajar senior terbabit.

Mangsa diperlakukan sebagai hamba dan tidak dilepaskan walaupun merayu simpati. Tidak keterlaluan untuk kita melabelkan kumpulan pelajar senior ini memiliki sikap kebinatangan yang cukup melampau dan langsung tidak berperikemanusiaan. Justeru semua pihak menuntut agar pihak berkuasa menyiasat segera dan mengenalpasti semua pelaku buli terbabit seterusnya dibawa ke pengadilan.

Hal ini penting kerana kita tidak boleh bertolak ansur dengan perbuatan gila, ganas dan kejam seperti ini. Cuba kita bayangkan apa perasaan ibu bapa pelajar terbabit tatkala menonton video yang menyayat hati tentang kejadian yang menimpa anak mereka. Bagaimana pula dengan emosi dan mental mangsa itu sendiri?

Kita khuatir mangsa yang sedang menanggung malu dan juga kesakitan ini tidak mampu berfikir secara waras dan rasional serta sedang berhadapan dengan tekanan jiwa yang hebat. Akibatnya mangsa boleh bertindak di luar pemikiran yang rasional sekali gus menghancurkan masa depan malah boleh membahayakan nyawa sendiri.

Realitinya perbuatan buli bukanlah perkara baharu. Ia berlaku di semua peringkat baik di sekolah rendah, menengah mahupun di peringkat universiti dan kolej. Bezanya ialah sejauh mana ia membabitkan penderaan mental, fizikal dan didedahkan kepada umum. Ini kerana mangsa jarang tampil untuk membuat laporan kerana malu mahupun takut. Ini menyebabkan perbuatan ini masih berterusan dan tidak mampu dikekang. Ditambah pula dengan sikap pihak sekolah yang mahu menyembunyikan kes buli dari pengetahuan umum.

Oleh kerana kejadian buli semakin merisaukan adalah wajar pihak sekolah terutamanya sekolah asrama mengambil langkah proaktif untuk membendung gejala dan budaya negatif seperti ini. Dalam konteks ini kita sedar baik warden asrama mahupun pihak pengurusan sekolah tidak mampu untuk memantau setiap tingkah laku mahupun gerak geri pelajar mereka sepanjang masa apatah lagi ia berlaku dalam bilik secara senyap dan sembunyi. Justeru tidak wajar kita menyalahkan pihak warden dan sekolah sepenuhnya.

Namun pihak asrama perlu memainkan peranan yang berkesan bagi membendung kes seperti ini. Kebiasaannya pihak sekolah terutamanya warden kenal sikap dan tingkah laku para pelajar mereka kerana mempunyai hubungan yang rapat dengan pelajar. Justeru pihak warden wajar menggunakan kelebihan ini untuk memastikan kejadian buli tidak berlaku di asrama mereka.

Di samping itu, penerangan dan peringatan kepada pelajar tentang hukuman yang boleh dikenakan terhadap individu yang terlibat atau melakukan buli perlu menyeluruh dan diingatkan secara kerap terutamanya ketika pengambilan mahupun kemasukan pelajar baru.

Hukuman sedia ada juga perlu dinilai semula supaya pelajar nakal seperti ini akan takut untuk membuli junior mereka serta menjadi pengajaran dan pedoman kepada semua pelajar. Hal ini penting kerana ibu bapa sudah mula bimbang mengenangkan nasib anak-anak mereka di asrama.

Jangan terkejut andai satu hari nanti semua ibu bapa bertindak mengeluarkan anak-anak mereka dari asrama ataupun tidak mahu menghantar anak-anak mereka ke asrama kerana bimbang tentang tahap keselamatan anak mereka.

Pihak sekolah juga tidak boleh menyembunyikan kejadian buli kerana ia tidak membantu membendung budaya buli ini. Tidak perlu berasa malu untuk mendedahkan kejadian buli kerana sudah tentu ia berlaku di luar kawalan mereka. Kita pun sedia maklum bahawa tidak mungkin pihak sekolah boleh memantau 24 jam sehari.

Berdasarkan beberapa video buli yang kita tonton baru-baru ini memperlihatkan betapa pelajar yang membuli ini sedikit pun tidak rasa kasihan mahupun dapat mengawal diri mereka. Mereka bertindak seperti orang gila yang kena rasuk.

Perkara ini wajar dikaji secara mendalam. Apakah pemikiran dan emosi mereka tidak stabil dan jenis yang suka memberontak dan membalas dendam? Jika benar maka mereka sedang mengalami masalah mental yang cukup berat. Justeru mereka sebenarnya perlu dibantu dengan segera sebelum bertindak lebih teruk di luar batasan dan kawalan kita.

Pendekatan mencegah perlu diutamakan dari melakukan pembetulan mahupun hukuman kerana hukuman tidak akan menyelesaikan masalah buli ini dari berterusan.

Semoga kejadian buli seperti ini membuka mata semua pihak supaya tidak cepat melatah sebaliknya di samping mengambil tindakan ke atas pembuli yang terbabit, wajar juga mengkaji punca kejadian buli serta menghulurkan bantuan sewajarnya kepada para pembuli ini yang sebenarnya sedang ‘sakit’ secara mental, perasaan dan emosi. Mangsa pula perlu diberikan kaunseling dengan segera untuk memulihkan semangat dan motivasi mereka.

Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga