Sifat Malu Halang Kemungkaran

Ajaran Islam diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW adalah panduan hidup yang lengkap untuk manusia mengenal dan mengakui Tuhan yang Maha Esa (akidah), melaksanakan fungsi dan tanggungjawab (ibadah) serta menghiasi peribadi dengan nilai kebaikan (akhlak).

Panduan ini dirangkum dalam ilmu asas Islam atau disebut sebagai ilmu fardu ain. Hakikatnya, ketiga-tiga ilmu ini saling berkaitan antara satu sama lain.

Dalam ilmu akhlak terdapat satu sifat yang menjadi teras kepada ajaran Islam iaitu sifat malu atau bahasa Arab disebut ‘al-haya’. Sifat malu mendorong manusia untuk tidak melakukan perkara yang dibenci atau tercela.

Kepentingan sifat malu

Islam mementingkan sifat malu kerana ia mengukuhkan lagi pegangan akidah dan memandu pelaksanaan ibadah seorang Muslim. Perkara ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah SAW: “Malu dan iman sentiasa bersama. Apabila salah satunya dicabut, maka hilanglah yang lainnya.” (Riwayat al-Hakim)

Jelaslah implikasi sifat malu adalah untuk mengukuhkan iman seseorang Muslim. Semakin tinggi iman seseorang, maka semakin tinggi harga dirinya. Apatah lagi, dengan sifat malu juga seseorang Muslim dapat menghindarkan diri daripada melakukan perbuatan yang ditegah oleh Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya antara perkara yang telah diketahui manusia daripada kalimat kenabian terdahulu adalah, jika engkau tidak malu, berbuatlah sesukamu.” (Riwayat Bukhari)

Sesuatu kemungkaran yang berlaku sebenarnya didasarkan kepada ketiadaan sifat malu dalam diri manusia. Kehilangan sifat ini akan menyebabkan seseorang berani melakukan maksiat secara terang-terangan baik di khalayak ramai, apatah lagi di depan Allah SWT.

Sifat malu seharusnya dipupuk sejak kecil oleh ibu bapa kerana sifat itu akan menjaga diri anak apabila meningkat dewasa dan berjauhan daripada ibu bapa kelak. Antara cara memupuk sifat malu adalah dengan memberi kefahaman mengenai sifat ihsan.

Nabi Muhammad SAW menjelaskan maksud ihsan iaitu: “Engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu.” (Riwayat Muslim).

Secara umumnya, sifat ini perlu ada pada semua umat Islam namun, sifat malu diibaratkan seperti perhiasan buat wanita khususnya. Malah dalam hadis sahih Imam Muslim, sifat malu Rasulullah SAW digambarkan melebihi seorang wanita perawan.

Dalam al-Quran sifat pemalu ini disebutkan oleh Allah SWT dalam kisah salah seorang daripada anak Nabi Syu’aib yang diminta menjemput Nabi Musa selepas membantu memberi minum haiwan ternakan mereka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kemudian salah seorang daripada perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu malu sambil berkata: Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternakan kami.” (Surah al-Qasas, ayat 25)

Sifat malu sebahagian fitrah wanita

Sifat malu ini adalah sebahagian daripada fitrah seorang wanita yang mendorong mereka untuk memelihara kehormatan dirinya dan batas pergaulan apabila berhadapan khalayak masyarakat. Sifat itu juga membantu mereka menghindarkan diri daripada perkara negatif.

Rasulullah SAW digambarkan sebagai seorang yang pemalu. Abu Said al-Khudri berkata, “Rasulullah SAW itu tinggi sifat malunya. Bahkan lebih malu berbanding anak dara yang baru dikahwinkan dengan suami yang tidak dikenalinya. Jika Rasulullah SAW melihat perkara yang tidak menyenangkan hatinya, kita dapat melihat perubahan riak wajahnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitulah pentingnya sifat malu dan sewajarnya kita memiliki sifat itu. Malu bukan kerana kekurangan atau kelemahan diri di mata manusia sahaja, tetapi malu tanda iman kepada Allah SWT yang menyebabkan kita sentiasa ingin melakukan amalan yang diredai Allah SWT.

Perkembangan dalam masyarakat hari ini, sewajarnya memiliki sifat malu itu ditekankan kerana banyak perkara yang menyalahi syariat berlaku boleh dikatakan berpunca daripada sifat malu yang semakin terhakis dalam keperibadian umat.

Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga