Kemajuan Teknologi Landasan Sebar Fitnah Tanpa Sedar

KEMAJUAN teknologi komunikasi jika tidak digunakan sebaiknya mampu menjadi punca masalah kepada masyarakat.

PENYEBARAN fitnah sememangnya mudah berlaku dalam era teknologi komunikasi moden sekarang. Kemudahan khidmat pesanan ringkas (SMS), laman web serta e-mel membolehkan penyebaran maklumat dilakukan dengan mudah, cepat, meluas dan murah.

Sepatutnya semakin ramai golongan berpendidikan maka tidak ramai yang terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Namun sebaliknya, bahkan ada golongan berpendidikan turut menjadi penyambung kepada lidah fitnah yang disebarkan itu. Berita diterima perlu dipastikan kesahihannya.

Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran sepatutnya menjadikan kita tidak mudah terpedaya dengan fitnah yang tidak diasaskan daripada kebenaran tetapi bertujuan mencemarkan nama baik orang lain. Bagi pemfitnah, semakin luas sebaran maklumat yang ditulis bermakna keuntungan diharapkan telah diperoleh. Namun, mereka lupa keuntungan dinikmati di dunia ini boleh menjadikan mereka muflis di akhirat. 

Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda: “Tahukah kamu siapakah dia orang muflis? Sahabat menjawab: Orang muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda. Nabi SAW bersabda: Sebenarnya orang muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat, sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu, memakan harta orang ini, menumpah darah orang itu dan juga memukul orang. Maka akan diambil dari amal kebajikannya serta diberi kepada orang ini dan orang itu, kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis dibayar kesalahan-kesalahan yang ditanggungnya, akan diambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang dianiayakannya serta ditimpakan ke atasnya, kemudian ia dihumbankan ke dalam neraka.” (Riwayat Muslim dan Tirmizi)

Sejarah Islam menunjukkan bukti yang nyata di mana tiga khalifah Islam menjadi korban fitnah menyebabkan Khalifah Umar al-Khattab, Khalifah Uthman bin Affan dan Khalifah Ali bin Abi Talib terbunuh. Rasulullah SAW mengingatkan kita melalui sabda Baginda: “Orang Mukmin bukan seorang pencela, bukan seorang pengutuk, bukan seorang yang keji dan bukan seorang yang berkata kotor (maki-hamun).” 

Bercakap perkara baik sahaja Rasulullah SAW juga berwasiat kepada Saidina Ali: “Wahai Ali, janganlah engkau mencaci-maki orang Islam atau mencaci-maki binatang kerana cacian itu akan kembali dirimu sendiri. Wahai Ali, kuasailah lisanmu dan biasakanlah dia mengucapkan yang baik kerana tidak ada yang lebih berbahaya bagi manusia pada hari kiamat yang melebihi ketajaman lisannya. Wahai Ali, jauhilah tukang caci-maki kerana ia suka membuka aib orang dan ia tidak akan masuk syurga.”

Tidak dinafikan ada antara kita menjadikan penulisan berbaur fitnah serta dakwaan tanpa bukti kukuh sebagai kerjaya kerana ada yang menerima ganjaran daripada tugasan itu. Disebabkan itu, mereka terlupa etika penulisan dan hukuman terhadap pihak yang membuat fitnah atau berita palsu. Bahayanya sangkaan buruk diingatkan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu patuhilah larangan itu) dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Golongan itu semakin berani apabila bilangan mereka kian bertambah melalui komen diberi menggunakan bahasa kasar yang menyokong tindakan atau kata-kata mereka. Kini bukan sahaja tulisan, gambar turut disebar luas sesuka hati tanpa memikirkan kesan aib kepada pihak berkenaan. Fitnah dan tohmahan tidak mengenal siapa dan bagi yang suka menabur fitnah, kepuasan ialah apabila hasrat menjatuhkan seseorang itu tercapai. Apatah lagi jika ada ganjaran dalam bentuk material, tugas itu lebih bermakna. Rasulullah SAW pernah bertanya sahabatnya: “Adakah aku belum pernah menerangkan kepadamu orang yang paling jahat daripada kamu? Sahabat menjawab: Belum. Lalu Nabi SAW bersabda: Mereka yang berjalan ke sana ke mari membawa fitnah, mereka yang membuat kerosakan antara sesama sahabat dan mereka yang mencari-cari kekurangan pada orang yang tidak bersalah.” (Riwayat Ahmad)

Kesan buruk kepada komuniti Keadaan yang berlaku hari ini menampakkan kegagalan masyarakat memikirkan kesan daripada perbuatan mereka terhadap orang lain. Ia juga memperlihatkan kejahilan mereka mengenai ajaran Islam yang melarang menyakiti saudara kerana umat Islam sepatutnya menyayangi saudara sebagaimana dia menyayangi dirinya. Kebebasan bersuara serta hak asasi yang diagung-agungkan kelompok tertentu juga menjadikan perbuatan memfitnah, membuat dakwaan palsu sebagai suatu yang boleh diterima atau tidak salah. Undang-undang juga nampaknya gagal mengekang kumpulan yang terus merasakan diri mereka kebal melakukan kesalahan. Tindakan itu sebenarnya menghilangkan rasa kasih sayang dalam jiwa umat dan menyebabkan terputusnya silaturahim yang sepatutnya menjadikan masyarakat kuat. Ia juga menjatuhkan martabat sesama kita dalam masyarakat.

Rasulullah SAW memberi amaran, sesiapa yang mendedahkan aib saudaranya maka Allah SWT akan mendedahkan aibnya di dunia lagi. Baginda Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa menutupi (aib) seorang Muslim, maka Allah menutupi aibnya di hari kiamat.” (Riwayat Muslim)

Gejala Fitnah Runtuhkan Ummah

FITNAH bermaksud tuduhan yang diada-adakan sama ada berbentuk gambar, berita, kisah-kisah dan sebagainya yang boleh memburukkan atau memusnahkan seseorang individu, institusi atau kumpulan. Dalam zaman serba moden dan era teknologi ini, penyebaran fitnah mudah berlaku sama ada melalui ucapan, khidmat pesanan ringkas, emel, laman sesawang atau blog, Whatsapp, Facebook, Instagram dan sebagainya.

Penyebaran berita fitnah berlaku dengan cepat, meluas dan mudah tanpa sebarang kewaspadaan untuk menyelidik maklumat yang diterima seterusnya tanpa teragak-agak disampaikan kepada yang lain.

Sikap ini amat ditegah oleh Islam yang menganjurkan umatnya agar setiap berita yang disampaikan terutamanya melalui orang yang digolongkan sebagai fasik iaitu mereka yang tidak mempedulikan perintah Allah SWT, sepatutnya perlu diselidiki terlebih dahulu sebelum disebarkan kepada yang lain.

Firman Allah dalam surah al-Hujurat, ayat 6: “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

BUDAYA TABUR FITNAH

Budaya menabur fitnah, menyebarkannya dan berkongsi fitnah dan istilah moden hari ini disebutkan share dan like adalah sesuatu yang keji dan amat dibenci oleh Islam sehingga ia dikategorikan sebagai dosa besar dalam Islam.

Firman Allah dalam surah an-Nur, ayat 19: “Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang yang beriman, mereka akan beroleh azab yang amat pedih di dunia dan di akhirat serta Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui.”

Menabur fitnah dengan mengumpat dan sebagainya berlaku sama ada disedari atau tidak, termasuk dalam sikap buruk apabila seseorang menyebut atau menceritakan keburukan seseorang tanpa menyiasat terlebih dahulu.

PERBUATAN KEJI

Antara ancaman dan dosa fitnah serta penabur fitnah yang disebutkan oleh al-Quran dan al-Sunah ialah:

Penabur fitnah yang tidak dapat membawa saksi atas segala dakwaan mereka (fitnah), Allah memerintahkan supaya dihukum dengan 80 sebatan. Firman-Nya dalam surah an-Nur, ayat 4: “Dan orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka (penyebar fitnah) 80 kali sebat, dan janganlah kamu menerima penyaksian mereka itu selama-lamanya, kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.”

a) Penabur fitnah dan pengumpat disifatkan sebagai sekeji-keji manusia.

Hadis daripada Abdul Rahman Bin Ghanmin r.a.bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sekeji-keji manusia ialah mereka yang berjalan menabur fitnah, mereka yang melaga-lagakan di antara insan yang berkasih sayang dan mereka yang mencari-cari kesalahan terhadap orang yang tidak bersalah.” – Riwayat Imam Ahmad.

Menabur fitnah dan mengumpat diumpamakan seperti memakan daging saudaranya sendiri. Sesungguhnya manusia yang waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.

Firman Allah dalam surah al-Hujurat, ayat 12 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah berdosa; janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”

b) Penabur fitnah dan pengumpat diseksa di dalam kubur.

Hadis daripada Ibn Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya mereka berdua (penabur fitnah dan pengumpat) diazab dan tidaklah mereka berdua diazab disebabkan dosa-dosa besar yang mereka lakukan tetapi disebabkan salah seorang mereka tidak dapat membersihkan air kencingnya dan seorang lagi memecahbelahkan masyarakat dengan berjalan menabur fitnah.” – Riwayat Bukhari.

KEBURUKAN DALAM HIDUP BERMASYARAKAT

Fitnah juga membawa keburukan dalam kehidupan bermasyarakat. Antaranya ialah:

Dosa pembuat dan penyebar fitnah disifatkan sebagai dosa sesama manusia. Dosa ini tidak akan diampunkan kecuali orang yang difitnah memaafkan perbuatan tersebut.

Fitnah memecahbelahkan rumahtangga dan merosakkan masyarakat. Kerana fitnah, hubungan adik beradik, suami isteri, jiran tetangga dan sebagainya akan hancur dan membawa kepada permusuhan yang berkekalan.

Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan. Banyak pihak yang terbabit dengan penyebaran fitnah ini terkadang tidak mempunyai sebarang kepentingan. Tetapi, disebabkan kerana menjadi kebiasaan, walaupun ia hina namun dapat memberi satu kepuasan kepada pelakunya.

Budaya menabur fitnah boleh mengganggu gugat kestabilan dan keamanan negara.

PENGAJARAN

Umat Islam dilarang membuat dan menyebarkan fitnah kerana ia merupakan antara dosa-dosa besar yang dikutuk oleh Allah dan Rasul-Nya.

Setiap individu Muslim wajib memperhalusi setiap berita yang diterima terutamanya khabar atau berita yang dilabelkan sebagai “khabar angin” atau “dengar khabar” supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah.

Umat Islam hendaklah menghindarkan diri dari budaya menabur fitnah kerana ia adalah sikap yang amat keji dan bakal meruntuhkan keharmonian rumahtangga, merosakkan masyarakat dan menjejaskan kestabilan serta keamanan negara.

Umat Islam hendaklah menyedari bahawa segala persengketaan dan kekeliruan tidak akan dapat diselesaikan melalui budaya menabur fitnah.

Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga