Gejala Fitnah Siber

FITNAH mempunyai ceritanya tersendiri di dalam sejarah tamadun manusia. Ia menjadi punca pergeseran di dalam masyarakat malahan berupaya meruntuhkan sesebuah negara.

Al-Quran merakamkan bahawa Nabi Yusuf a.s. pernah menjadi mangsa fitnah, sirah merakamkan peristiwa fitnah hadis al-Ifki (berita bohong) terhadap Saidatina Aisyah r.a. isteri Rasulullah SAW. Fitnah menjadi faktor kejatuhan Khilafah Uthmaniah, empayar Islam yang unggul satu ketika dahulu. Khalifah Uthman Ibn Affan r.a. dibunuh dengan kejam kerana angkara fitnah, juga kejatuhan empayar Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511 kerana fitnah dan permusuhan dalaman.

Teknologi pemangkin tamadun manusia hari ini, tanpa disedari masyarakat bergantung sepenuhnya kepada teknologi. Teknologi membantu memudahkan kehidupan. Namun tidak semua teknologi diguna sebaiknya.

Melalui Internet, jarak dan masa bukan lagi penghalang dalam perhubungan. Ramai dalam kalangan kita menyalahgunakan kemudahan ini dengan menyebarkan fitnah. Inilah fitnah siber di mana teknologi memudahkan kita memuat naik, menghebahkan dan mudahnya memilih suka (like) mahupun tidak suka (dislike) perkara yang belum pasti kesahihannya. Lebih ramai berkomunikasi, lebih besarlah kemungkinan fitnah itu tersebar secara meluas.

Maruah individu perlu dijaga

Maruah seseorang Islam amat tinggi dan mulia. Rasulullah SAW menerangkan balasan baik individu yang menjaga diri daripada mendedahkan keaiban Muslim yang lain. Rasulullah SAW bersabda bermaksud :

“Sesiapa yang menutup keaiban saudara Islamnya, Allah SWT menutup keaibannya di dunia dan di akhirat, Allah SWT menolong hamba-Nya selagi ia menolong saudaranya,”- Riwayat Muslim.

Senario hari ini boleh dikategorikan sebagai fitnah akhir zaman yang merupakan sebesar-besar ujian yang berlaku sebagaimana dinyatakan Rasulullah SAW:

“Hai sekalian manusia, sesungguhnya sejak Allah meramaikan keturunan Adam, tiada di muka bumi ini fitnah yang lebih besar dari fitnah Dajjal. Allah tidak mengutus seorang nabi kecuali ia memperingatkan kaumnya daripada (bahaya) Dajjal. Aku adalah nabi terakhir dan kalian umat terakhir. Dajjal pasti muncul di tengah-tengah kalian,”- Riwayat Ibnu Majah dan al-Hakim.

Sabda baginda lagi: “Bergegaslah kamu melakukan amal soleh sebelum datangnya fitnah seperti malam yang gelap gelita,” – Riwayat Muslim.

Fitnah yang dimaksudkan ialah manusia diuji dengan sesuatu yang tidak jelas, gelap gelita. Manusia keliru dan tidak nampak apa yang benar dan apa yang salah. Dalam usaha membangunkan negara dan merealisasikan Wawasan 2020 mengikut acuan kita sendiri, masyarakat mestilah bersedia menangani gejala fitnah siber ini daripada menjadi penyakit yang serius dalam kalangan masyarakat. Masyarakat perlu peka dengan perkara-perkara sensitif yang perlu dipelihara agar keharmonian dapat dikekalkan.

Selidik terlebih dahulu

Islam mengisyaratkan umatnya memastikan dan menyelidik (tabayyun) kesahihan setiap sumber agar tidak menghebahkan perkara yang boleh mendatangkan fitnah dan permusuhan kepada orang lain. Allah SWT berfirman maksudnya:

“Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa berita, maka selidikilah (menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum perkara yang tidak diingini kerana kejahilan kamu (mengenainya) sehingga kamu menyesali apa yang kamu lakukan,” (Surah al-Hujurat: 6)

Allah SWT mencela tindakan orang beriman yang terikut-ikut mempercayai, bahkan menyebarkan sesuatu khabar angin itu. Seharusnya apabila mendengar sesuatu pertuduhan, kenapa secara spontan tidak mendahulukan prasangka baik kepada sesama Muslim dan menyatakan bahawa itu adalah tuduhan semata-mata.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang yang beriman lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang) mereka sendiri dan berkata : Ini ialah tuduhan dusta yang nyata,” (Surah an-Nur : 12).

Jika sememangnya ia benar, pihak yang menuduh harus mendatangkan empat orang saksi. Jika tidak, ia merupakan tuduhan semata-mata, apatah lagi jika orang yang dituduhkan itu sama sekali tidak melakukannya. Allah SWT merakamkan perkara ini dalan firman-Nya yang berikut :

“Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka di sisi hukum Allah, adalah orang yang dusta,” (Surah an-Nur : 13).

Rasulullah SAW mengisyaratkan pembohongan dan ghibah (menyebut keburukan orang lain walaupun benar) merupakan satu kesalahan. Sabda baginda SAW bermaksud :

“Rasululah SAW ditanya, Wahai Rasulullah, apakah itu ghibah? Lalu jawab Baginda : Menyebut sesuatu yang tidak disukai oleh saudaramu di belakangnya! Kemudian baginda ditanya lagi : Bagaimana sekiranya apa yang disebutkan itu benar? Jawab baginda : Jika sekiranya apa yang disebutkan itu benar, maka itulah ghibah, tetapi jika sekiranya perkara itu tidak benar, maka engkau telah melakukan buhtan (pembohongan besar),”- Riwayat Muslim, Abu Daud dan Tirmizi.

Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga