Kita sering kali mengatakan niat adalah apa yang terlintas di hati untuk kita lakukan dan niat melakukan sesuatu yang baik juga mendapat pahala walaupun ianya tidak dilakukan. Kenyataan ini ada benarnya, namun ada jua yang tersalah mentafsirkannya. Kenapa? Ini kerana mereka terkeliru antara niat dan azam melakukan sesuatu. Agaknya apakah hikmah Islam mensyariatkan niat dalam kehidupan kita?
Niat disyariatkan untuk membezakan antara perbuatan-perbuatan yang merupakan ibadah dan perbuatan-perbuatan yang merupakan adat kebiasaan. Contohnya, mandi, kekadang ia boleh menjadi ibadah apabila seseorang itu mandi daripada hadas besar. Namun, ia boleh menjadi ada kebiasaan apabila seseorang itu mandi untuk membersihkan diri dari kekotoran, peluh, daki dan sebagainya.
Meneliti dua contoh di atas, jelas niat adalah perkara yang sangat penting untuk membezakan di antara dua perbuatan yang sama sifatnya tetapi berlainan hukumnya. Melalui niat, kita dapat menentukan mana satu mandi yang wajib dilakukan hingga berdosa jika tidak dilakukannya dan mandi yang merupakan adat kebiasaan yang hukumnya harus di sisi syara’.
Disyariatkan juga niat untuk membezakan antara darjat atau kedudukan sesuatu ibadah. Misalnya, tayammum kerana hadas besar dan tayammum kerana hadas kecil. Kedua-dua tayammum berikut cara pelaksanaannya adalah sama iaitu menggunakan debu dengan menyapu di muka, tangan dan kaki. Walau bagaimanapun, niat di antara keduanya telah membezakan nilai dan kedudukannya yang mana lebih utama. Niat penting untuk membezakan sesuatu ibadah itu kedudukannya sama ada kecil, besar, fardhu, wajib, sunat, harus dan sebagainya.
Justeru, apabila membicarakan niat ada beberapa perkara yang perlu kita teliti agar tidak keliru antara niat dan azam. Hakikatnya niat adalah qasad untuk melakukan sesuatu amalan yang disertai dengan pelaksanaannya terus. Jika amalan itu tidak dilaksanakan serentak atau seiring dengan niat, maka ia hanyalah azam atau cita-cita. Secara umumnya, niat dalam perkara ibadah adalah wajib dan tempat niat adalah di hati dan melafazkannya melalui lidah adalah sunat. Lazimnya masa berniat adalah pada permulaan melakukan sesuatu ibadah kecuali pada ibadah puasa dan zakat. Apa yang penting di sini, niat ialah untuk membezakan antara amalan ibadah yang dianjurkan agama atau amalan yang biasa dilakukan oleh manusia sebagai adat kebiasaan.
Apabila seseorang berniat untuk berbuat sesuatu, hendaklah diniatkan kerana melakukan perkara-perkara yang baik yang boleh mendatangkan kebaikan kepada diri sendiri atau insane sekelilingnya supaya dia diberikan pahala dan balasan yang baik oleh Allah. Berbuat perkara-perkara yang jahat hendaklah dijauhi walaupun hati telah berniat untuk melakukannya. Kerana hati perlu dipelihara dari niat-niat yang buruk agar tidak dikotori dengan cita-cita jahat. Bila niat di dalam hati sentiasa baik, tidak senanglah syaitan mempengaruhinya. Namun, jika dibiarkan sewenang-wenangnya tanpa kawalan dikhuatiri kelak akan menyebabkan kita terperangkap dengan tipu daya syaitan hingga tergelincir ke dalam maksiat yang dirancang oleh hati kita sendiri. Maka, hendahlah kita sentiasa berhati-hati dengan niat hati kita.
Berhenti dari melakukan perkara-perkara maksiat adalah perkara yang tidak perlu diniatkan terlebih dahulu seperti berniat untuk meninggalkan zina atau arak. Bahkan hendaklah kita terus meninggalkan perkara-perkara maksiat serta-merta apabila telah timbul kesedaran.
Bertaubatlah sebelum terlewat kerana syaitan tidak pernah berputus asa dari tipu dayanya. Jika ada seseorang berniat mahu meninggalkan sesuatu perkara maksiat tetapi tidak terus melakukannya, maka ketahuilah bahawa niat itu tidak berguna dan ianya hanyalah sia-sia kerana ia bukannya niat sebaliknya adalah “AZAM”.
Mari perhatikan pula beberapa keadaan tentang azam atau cita-cita. Kita bahagikannya kepada empat bahagian:
1.Seseorang yang berazam hendak melakukan sesuatu kebaikan kemudian terus melakukannya, maka Allah mengganjarinya dengan dua pahala. Satu pahala kerana keazamannya yang baik dan satu pahala lagi kerana kebaikan yang sudah dilakukannya.
2.Seseorang yang hendak melakukan kebaikan tetapi tertangguh kerana halangan seperti tidak ada kemampuan, sakit, sudah terlewat atau sebagainya; maka Allah mengganjarinya satu pahala kerana keazamannya yang baik itu.
3.Seseorang yang berazam hendak melakukan sesuatu maksiat dan tatkala melakukannya dia teringatkan Allah lalu gementar dirinya kerana takutkan kemurkaan Allah, lantas beristighfar dan bertaubat, maka Allah mengganjarinya satu pahala kerana dia tidak meneruskan keazaman jahatnya.
4.Seseorang yang berazam hendak melakukan maksiat, lalu dilakukannya tanpa segan silu, maka berdosalah ia. Oleh kerana demikian, dia akan menerima balasan yang setimpal dengan dosa yang dilakukannya.
Keazaman untuk melakukan sesuatu perkara baik sebelum melakukannya lagi sudah diberi pahala. Apatah lagi jika kita melakukannya, maka kita akan memperolehi dua pahala; iaitu pahala cita-cita atau keazaman dan pahala melaksanakan keazaman baik itu. Amatilah keempat-empat contoh di atas dan kita akan dapati betapa toleransinya Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan