Hukum Melakukan Pembedahan Kosmetik


Pembedahan kosmetik atau lebih dikenali sebagai pembedahan plastik mula dikenali pada pertengahan era perubatan moden. Pembedahan plastik ini merangkumi dua keadaan iaitu :

PERTAMA : Pembedahan untuk merawat pemandangan luaran manusia yang disebabkan keaiban atau kecacatan semulajadi yang berlaku atau disebabkan oleh faktor luaran seperti kemalangan dan kebakaran.

KEDUA : Pembedahan yang bertujuan untuk menambahkan kecantikan luaran manusia berdasarkan kehendak nafsu semata-mata seperti membesarkan atau mengecilkan buah dada, menegangkan kulit dan sebagainya.

Pembedahan plastik ini telah melalui satu peringkat perkembangan yang amat menakjubkan. Hal ini membawa kepada meningkatnya nisbah kejayaan pembedahan plastik yang dilakukan oleh doktor-doktor pakar ini di negara-negara maju sejak kebelakangan ini. Perkembangan di dalam bidang perubatan ini juga membawa kepada keinginan manusia itu sendiri untuk melakukan pembedahan plastik yang lain seperti mengecilkan lubang hidung, dagu, telinga, membesarkan atau mengecilkan bibir dan lain-lain lagi.

Sebenarnya istilah pembedahan plastik ini berasal daripada perkataan Yunani iaitu "plastikos" yang bermaksud acuan atau membentuk. Tetapi istilah tersebut bukanlah maksud yang sebenar yang digunapakai oleh para doktor pada masa kini. Maksud yang sebenar bagi pembedahan plastik ini seperti yang telah dinyatakan di atas iaitu mengembalikan rupa bentuk asal manusia atau menambahkan kecantikan luaran manusia bagi memperolehi rupa atau anggota yang diingini. Secara logiknya, pembedahan plastik ini merupakan satu lagi isu yang amat penting dan berbahaya yang melanda umat manusia khususnya bagi golongan muda-mudi. Isu ini sebenarnya telah wujud sejak zaman dahulu lagi yang mana golongan Cina dan Hindu telah melakukan amalan bertindak di hidung dan telinga sejak tahun 700 Masihi lagi.

Di dalam syariat Islam pula, isu ini mula timbul pada akhir kurun ke-6 Hijrah yang mana Rasulullah SAW sendiri telah melakukan beberapa perkara yang berkaitan dengan isu kecantikkan ini seperti mewarnakan rambut dan sebagainya sepertimana yang diriwayatkan oleh Al-Tibrani daripada Aisyah R.A yang berbunyi :

Maksudnya : Daripada Aisyah R.A katanya, Rasulullah SAW telah bersabda : ubahlah rambut uban dan jangan menyamai kaum Yahudi dan Nasrani.

Antara perkara lain yang berkaitan dengan isu ini yang berlaku pada zaman awal kemunculan Islam ialah memelihara kehalusan kulit tangan wanita sepertimana hadis diriwayatkan di dalam sebuah Hadis yang berbunyi :

Maksudnya : Daripada Sokhrah bin Said daripada datuknya daripada seorang wanita dari kalangan mereka telah berkata : Rasulullah SAW telah masuk kepadaku dan bersabda : warnakanlah, kamu meninggalkan khidhob (mengecat dengan inai) hingga tangan kamu menyamai tangan lelaki.

Selain itu, antara perkara lain lagi yang berlaku ialah mengimplan benda lain sebagai ganti kepada anggota sepertimana Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi yang berbunyi:

Maksudnya : Daripada Abd Rahman bin Tarafah sesungguhnya kulit hidung Arfajah bin As'ad telah terpotong pada hari peperangan Kulab pada zaman Jahiliyyah, maka dia menggantikan hidungnya yang rompong itu dengan perak lalu berbau busuk, lalu Nabi Rasullullah SAW memerintahkan agar digantikannya dengan emas.

Secara dasarnya, kebanyakan daripada para penyelidik dan ahli-ahli Fiqh kontemporari tidak melihat pembedahan plastik ini sebagai suatu yang dilarang sekiranya bertujuan untuk merawat keaiban atau kecacatan yang dialami oleh para pesakit. Keaiban dan kecacatan ini boleh membawa kepada gangguan mental pesakit tersebut sekiranya tidak dijalankan pembedahan plastik ini. Secara logiknya, gangguan mental ini lebih teruk jika dibandingkan dengan kesakitan pada anggota badan. Sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Usamah bin Syarik ada berbunyi :

Maksudnya : Sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda : wahai hambda-hamba Allah sekalian, berubatlah kamu sesungguhnya Allah SWT tidak menjadikan sesuatu penyakit itu melainkan dijadikannya ubat kecuali penyakit tua.

Namun, sebahagian kecil daripada ahli-ahli Fiqh berpendapat haram dilakukan pembedahan plastik ini kerana ianya menolak ketentuan dan takdir Allah dan pembedahan plastik ini juga mengubah ciptaan Allah SWT dan perkara ini merupakan amalan syaitan sepertimana potongan ayat Al-Quran yang berbunyi :

Maksudnya : Dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah.

Selain itu, Hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas'ud ada menyatakan :

Maksudnya : Allah SWT melaknat orang-orang yang membuat tatu dan yang meminta untuk dibuat tatu, dan orang-orang yang menipiskan bulu kening dan orang-orang yang meminta untuk dinipiskan bulu kening, dan orang-orang yang merenggangkan gigi untuk tujuan kecantikan yang mana perkara ini mengubah ciptaan Allah.

Sebuah lagi Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim ada berbunyi :

Maksudnya : Daripada Asma' sesungguhnya seorang perempuan datang kepada Nabi lalu berkata : aku ada seorang anak perempuan yang baru melangsungkan perkahwinan, dia telah jatuh sakit lalu rambutnya telah gugur. Adakah boleh bagiku untuk menyambungkan rambutnya itu dengan benda lain (dengan diberi cemara dan sebagainya), lalu Nabi SAW berkata : Allah SAW melaknat orang yang menyambung rambut dan orang-orang yang meminta untuk menyambung rambut.

Jadi isu ini sebenarnya tidak memerlukan kepada kajian yang mendalam dari segi Fiqh untuk menyelesaikan masalah ini. Yang penting adalah dapat membezakan tujuan dilakukan pembedahan ini sama ada tujuannya untuk sia-sia atau kesejahteraan ataupun suatu perkara keperluan atau kemudharatan. Sesungguhnya hukum Syarak itu mendatangkan kesenangan bagi umat manusia dalam meniti perjalanan hidup seharian sepertimana Firman Allah SWT yang berbunyi :

Maksudnya : Sesungguhnya Allah mendatangkan kesenangan kepada umat manusia dan bukan mendatangkan kesusahan kepada mereka.

Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga