Pengguguran ialah membuang janin yang terdapat di dalam rahim seseorang wanita yang hamil yang mana janin tersebut masih belum cukup sifat atau masih belum cukup tempoh yang memungkinkannya untuk hidup. Sebenarnya pengguguran ini merupakan suatu masalah yang telah lama melanda sejarah tamadun manusia dan juga perundangannya. Namun selepas berlakunya perkembangan khususnya di dalam bidang ilmu sains dan pengetahuan, isu ini merupakan antara isu kontemporari yang cuba dibasmi oleh semua pihak.
Selain itu, janji para doktor kepada kepada semua individu masyarakat yang akan membantu agar janin-janin ini dapat hidup sejak dari peringkat permulaan kehamilan iaitu ketika bercantumnya benih lelaki (sperma) dan benih wanita (ovum) membuktikan isu ini tidak sepatutnya berlaku. Ini kerana pada peringkat permulaan ini, sel-sel manusia akan membentuk objek-objek yang berbeza yang akan melalui tempoh-tempoh tertentu sehingga lahirnya bayi tersebut. Menurut pandangan syarak janin ini perlu dipelihara di dalam semua peringkat perkembangannya kerana kehidupan yang dimiliki oleh janin adalah suatu kehidupan yang mesti dihormati. Ia dianggap makhluk hidup yang wajib dipelihara dan dijaga sebaiknya. Lalu hukum syarak itu sendiri telah menetapkan agar tidak boleh melakukan penganiayaan ke atas janin ini dengan menggugurkannya kecuali di dalam keadaan darurat atau berdasarkan keperluan perubatan.
Ahli-ahli Fiqh telah bersepakat dengan menyatakan haram melakukan pengguguran janin ini untuk tujuan penganiayaan atau melakukan kezaliman dalam apa jua keadaan sekalipun berdasarkan Firman Allah SWT yang berbunyi :
Dan janganlah kamu menceroboh(menganiaya) kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh(orang yang melakukan penganiayaan).
Tetapi jika pengguguran itu dilakukan secara terpaksa kerana berlakunya sesuatu kemudharatan maka perbuatan itu tidak mendatangkan dosa sepertimana sebuah Hadis Nabi SAW yang berbunyi :
Tidak dikira segala amalan umat-umatku yang dilakukan kerana tersalah, terlupa atau terpaksa melakukannya.
Selain itu Allah SWT juga telah berfirman di dalam Al-Quran yang berbunyi :
Kemudian sesiapa yang terpaksa (kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
Dalam apa jua keadaan pengguguran sekalipun, setiap waris yang menggugurkan janin itu diwajibkan untuk mengeluarkan denda (diyat) atau harta pampasan yang dikenali sebagai "ghurrah". Nilai diyat yang dikenakan ialah 150 Dinar jika dihitung dengan nilai emas iaitu kira-kira 425 gram emas atau 600 Dirham jika dihitung dengan nilai perak iaitu kira-kira 1740 gram perak. Tetapi jika pengguguran tersebut dilakukan pada suatu tempoh tertentu di dalam waktu kehamilan, maka waris janin tersebut tidak perlu membayar denda (diyat) tersebut.
Namun para Fuqaha' berselisih pendapat berkaitan tempoh tersebut. Menurut pendapat Imam Malik, hak bagi janin tersebut tersabit sejak hari pertama kehamilan lagi. Ini kerana kesempurnaan janin tersebut tidak akan berlaku jika tidak dipeliharanya sejak dari permulaan penciptaan janin tersebut. Menurut pendapat dari Jumhur Fuqaha' pula, hak janin itu tersabit apabila ditiup ruh kepadanya iaitu apabila menjangkau hari yang ke 120 sejak dari permulaan kehamilan. Ini kerana sebelum dari tempoh tersebut, janin itu masih dikategorikan sebagai segumpal darah dan isi. Hal ini berdasarkan sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang berbunyi :
Daripada Ibn Mas'ud sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda : kejadian seseorang manusia itu dikumpulkan di dalam perut ibunya selama 40 hari. Setelah genap 40 hari kedua, terbentuklah segumpal darah beku. Manakala genap 40 hari ketiga, berubah pula menjadi segumpal daging. Kemudian Allah SWT mengutuskan seorang Malaikat untuk meniupkan ruh kepadanya.
Bagi pendapat yang masyhur di kalangan Mazhab Hanbali pula menyatakan hak janin itu tersabit apabila telah sempurna penciptaannya di dalam perut ibu iaitu selepas berlalunya tempoh 6 bulan dari awal kehamilan. Ini kerana golongan ini berpendapat jika sebelum sampai tempoh tersebut, janin itu tidak mungkin dapat hidup jika dilahirkan.
Jadi jelaslah di sini, kemajuan di dalam bidang perubatan ini membuka prospek di dalam bidang Fiqh berkaitan dengan janin ini. Antaranya ialah tempoh yang ditetapkan untuk menggugurkan janin yang cacat iaitu pada minggu-minggu pertama kehamilan dengan melakukan pengguguran yang bukan bertujuan untuk melakukan penganiayaan dengan nasihat dan dilakukan oleh doktor pakar.
Selain itu, antara prospek lain ialah pengguguran yang dilakukan di dalam keadaan seseorang ibu yang hamil itu tidak mampu untuk melahirkan anak tersebut atau mengalami kesukaran ketika mengandungkan bayi tersebut yang boleh mendatangkan kebinasaan atau meragut nyawa ibu itu. Adakah para Jumhur Fuqaha' akan berpegang dengan pendapat yang menyatakan tiupan ruh kepada janin itu menjadi asas utama untuk menghormati janin tersebut dan diwajibkan ke atas sesiapa yang menggugurkan janin itu untuk membayar denda (diyat) seperti yang dinyatakan di atas? Ataupun jelas bagi mereka kebijaksanaan Imam Malik dalam melontarkan pendapat yang mensabitkan penghormatan pada janin itu sejak dari hari pertama kehamilan lagi? Ini semua bukanlah pengakhiran kepada kajian dari segi perubatan ini. Ini kerana Imam Malik bersandarkan kepada penelitian dari segi akal dalam mengeluarkan pendapatnya.
Manakala bagi golongan perubatan moden pula mereka bersandarkan kepada penelitian dari sudut ilmu sains itu sendiri dalam mengeluarkan pendapat mereka. Jadi secara dasarnya perkara ini masih memerlukan kajian dan perbahasan yang lebih mendalam agar segala kemungkinan yang berkaitan dengan isu ini dapat dikenalpasti dan di atasi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan