Hukum Mengembalikan Selaput Dara

Apakah maksud mengembalikan selaput dara? Mengembalikan selaput dara ialah proses untuk menampal semula selaput dara yang telah terkoyak atau proses untuk mewujudkan selaput dara yang baru bagi menggantikan selaput dara yang telah terkoyak. Selaput dara ini atau di dalam Bahasa Inggerisnya disebut hymen ialah lapisan membran yang nipis dan lembut yang terletak di antara mulut vagina bagi seseorang perempuan. Secara teorinya, selaput dara yang terkoyak sebelum perkahwinan disebabkan oleh beberapa faktor tertentu. Jika difikirkan secara negatif, tentulah koyakan selaput dara ini disebabkan berlakunya hubungan kelamin yang diharamkan oleh syarak. Tetapi jika difikirkan secara positif, koyakan selaput dara ini mungkin disebabkan oleh berlakunya sesuatu kemalangan yang mengakibatkan kecederaan di bahagian tersebut atau seseorang itu sejak dari azali lagi tidak mempunyai selaput dara.

Masyarakat dunia berbeza pandangan mengenai kepentingan selaput dara ini iaitu sebagai lambang keperawanan bagi seseorang wanita. Sebagaimana masyarakat Islam dunia berpendapat selaput dara ini merupakan lambang mahkota sejati bagi seseorang wanita, masyarakat barat pula beranggapan wanita yang memiliki dara ialah golongan yang tidak mempunyai pengalaman di dalam melakukan hubungan seksual dan mereka ini seolah-olah tidak berkeinginan untuk melakukan perkara tersebut.

Pada dasarnya, pembedahan untuk mengembalikan selaput dara ini merupakan isu baru yang muncul selepas berkembangnya ilmu sains perubatan ini. Kejayaan kepada pembedahan ini mengundang kepada kekusutan apabila wanita-wanita yang mengalami kekoyakan selaput dara sebelum menempuhi gerbang perkahwinan antara golongan awal yang melakukan pembedahan ini. Malah di dalam masyarakat Islam kini, wanita-wanita yang mampu untuk menempuhi gerbang perkahwinan tanpa sebarang halangan sama ada halangan dari keluarga atau masyarakat setempat juga memohon untuk melakukan pembedahan ini. 

Hal ini membuatkan para doktor yang melakukan pembedahan ini merasa bingung kerana mereka ini telah bersubahat dengan golongan wanita tersebut kerana menipu bakal-bakal suami mereka sepertimana golongan doktor ini berasa terpanggil untuk menyelamatkan golongan wanita ini dari sebarang skandal atau dibunuh akibat di pandang serong oleh masyarakat apabila dikatakan telah menjual kehormatan diri mereka. Sebenarnya, pembedahan untuk mengembalikan selaput dara ini bukan sahaja dilakukan oleh wanita-wanita yang belum berkahwin, bahkan juga dilakukan oleh golongan janda dan juga wanita-wanita yang telah diceraikan. 

Selain itu, hal ini juga mengundang kepada sesetengah golongan isteri untuk melakukan pembedahan ini agar sentiasa merasakan diri itu masih dara dan mengingatkan kepada pasangan suami isteri itu kepada malam pertama perkahwinan mereka.

Ahli-ahli Feqah kontemporari telah berselisih berpendapat berkaitan hukum melakukan pembedahan untuk mengembalikan selaput dara ini iaitu :

PENDAPAT PERTAMA :

Dibolehkan untuk mengembalikan selaput dara ini secara mutlak iaitu dalam apa jua keadaan sekalipun bagi wanita-wanita yang menginginkannya.

Golongan ini berhujjah dengan mengatakan tiada nas syarak yang melarang aktiviti ini. Aktiviti ini juga memungkinkan wanita itu untuk bertaubat atau mengelak dirinya dari kefasadan jika pembedahan mengembalikan selaput dara itu mempunyai tujuan yang tertentu. Selain itu, hal ini juga dapat memberikan kepuasan kepada pasangan suami isteri itu dalam melakukan hubungan seks. Ini kerana suami tersebut telah mengetahui status si isteri tersebut sama ada si isteri itu isteri yang telah dikahwininya atau seorang janda atau seorang yang telah diceraikan suaminya. Tetapi jika pembedahan itu dilakukan untuk membohongi suaminya bukan sahaja pembedahan itu diharamkan bahkan juga diharamkan untuk mendedahkan apa saja yang dilarang.

PENDAPAT KEDUA :

Diharamkan secara mutlak untuk melakukan pembedahan mengembalikan selaput dara ini.

Ini kerana antara perkara negatif yang akan berlaku ialah boleh meruntuhkan institusi perkahwinan yang dibina dan juga boleh mengundang kepada berlakunya jenayah pembunuhan. Selain itu, antara perkara negatif lain ialah berlakunya kecurangan, melihat aurat yang dilarang tanpa ada keperluan yang memaksa dan membuka kepada pintu penipuan. Jika wanita itu melakukan perkara tersebut kerana kesalahan dari dirinya sendirinya, maka dia perlu dijatuhi hukuman dan diberi peringatan dan teguran kepada wanita-wanita yang lain. Tetapi jika wanita itu tidak mampu untuk memelihara daranya atas sebab-sebab tertentu maka wanita itu diberi sijil kesihatan dari pihak doktor agar dapat membersihkan namanya dan keluarga dari dipandang serong oleh masyarakat.

PENDAPAT KETIGA :

Golongan ini melihat kepada permintaan untuk melakukan pembedahan ini terbahagi kepada 2 kategori :

PERTAMA : Golongan yang diharamkan untuk melakukan pembedahan mengembalikan selaput dara ini. Golongan ini terdiri daripada 4 golongan.

1) Pelacur yang dikenali dengan sifat buruknya itu. Ini kerana menyembunyikan perkara ini tidak membawa apa-apa manfaat kepadanya sedangkan dia bersenang-senang dengan sesiapa sahaja yang diinginkannya. 

2) Janda yang kematian suami selepas disetubuhi. Ini kerana golongan ini tidak berhajat untuk mengembalikan daranya kerana dia mampu untuk menjalinkan hubungan dengan orang lain selepas dikahwininya. 

3) Wanita yang diceraikan suaminya selepas disetubuhi. agar ikatan perkahwinan itu terbina secara terang-terangan. 

4) Isteri yang ingin mengingatkan suaminya saat malam pertama perkahwinan mereka. Ini kerana perbuatan ini bukan untuk bersenang-senang semata-mata dan dalam masa yang sama golongan isteri ini akan mendedahkan aurat mereka yang dilarang tanpa ada sebarang kemudharatan.

KEDUA : Golongan yang dibolehkan untuk melakukan pembedahan mengembalikan selaput dara. Golongan ini terdiri daripada 2 golongan. 

1) Sesiapa yang mengalami koyakan selaput dara bukan dari jalan maksiat. Koyakan selaput dara ini membuatkan golongan wanita itu dipandang serong oleh masyarakat. 

2) Sesiapa yang mengalami koyakan selaput dara itu melalui jalan yang dikeji tetapi perbuatannya itu tidak diketahui oleh sesiapapun. Pembedahan mengembalikan selaput dara ini membuka pintu taubat bagi wanita tersebut. Ini kerana Allah SWT telah menyembunyikan perkara tersebut dari diketahui oleh umum maka tiada larangan baginya untuk melakukan perkara tersebut. Hal ini seperti Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang berbunyi :

Seorang hamba yang menyembunyikan perihal hamba yang lain di dunia, Allah SWT akan menyembunyikan perihalnya pada hari Qiyamat.

Jadi jelaslah perubahan di dalam arus masyarakat dan perkembangan dari segi ilmu pengetahuan dan pemikiran membuatkan ahli-ahli Fiqh memerlukan usaha yang lebih mendalam dalam meletakkan sebarang kawalan dan undang-undang yang membezakan di antara kebebasan individu dan juga kesejahteraan masyarakat.

Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga