Hantaran pertunangan merupakan suatu perkara yang mula mendapat tempat di kalangan masyarakat sejak beberapa dekad yang lalu. Hantaran yang bertujuan untuk mendekatkan hati pihak perempuan dengan pihak lelaki yang meminangnya sebelum melalui detik-detik manis berumahtangga umpama adat yang tidak dapat dipisahkan lagi dari masyarakat kita masa kini.
Kebiasaannya pihak perempuan akan menerima perhiasan-perhiasan yang berharga dari pihak lelaki sebagai gantirugi sebelum mendapat mas kahwin sebagai modal persiapan kelengkapan dan isi rumah bakal isteri tersebut dan juga sebagai permulaan kepada perkongsian hidup dan saling bantu membantu antara mereka.
Menurut istilah dari Akademi Bahasa Arab hantaran pertunangan ini bermaksud hadiah yang diberikan dari pihak lelaki kepada pihak perempuan yang ingin dikahwininya sebagai tanda pertunangan antara mereka sebelum termeterainya ikatan yang sah antara mereka. Secara kelazimannya, hantaran pertunangan ini meliputi barang-barang yang berharga dan adakalanya pula meliputi perhiasan-perhiasan yang bernilai atau sejumlah wang ringgit. Nilai hantaran ini pula berbeza-beza bergantung kepada kemampuan pihak lelaki dalam menyediakan hantaran tersebut.
Sebenarnya Ahli-ahli Feqah terdahulu telah membincangkan mengenai hukum hadiah pertunangan yang diberikan pihak lelaki kepada wanita yang dipinanginya tetapi golongan Ahli Feqah ini tidak pula membincangkan berkaitan hantaran pertunangan ini. Ini kerana perkara ini hanya berlaku sejak beberapa dekad kebelakangan ini sahaja. Jika melihat kepada nilai hantaran tersebut Ahli-ahli Feqah kontemporari berselisih pendapat adakah hantaran tersebut dikategorikan sebagai hadiah atau mas kahwin atau ada hukum yang khas baginya khususnya apabila terputusnya ikatan pertunangan sebelum termeterai ikatan perkahwinan antara mereka.
Sepertimana yang disebut oleh Ijmak hantaran pertunangan ini akan menjadi hak si isteri sepenuhnya apabila terjalinnya ikatan perkahwinan antara mereka. Ijmak juga ada menyebut sekiranya berlakunya perpisahan sebelum termeterai ikatan perkahwinan dibolehkan diadakan perbincangan di antara kedua-kedua pihak di dalam pembahagian hantaran pertunangan tersebut mengikut keredhaan masing-masing berdasarkan syarat dan perjanjian di antara mereka. Hal ini bertepatan dengan dalil yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang berbunyi :
Orang-orang Islam itu mempunyai ikatan dengan syarat-syarat mereka. Tetapi sekiranya tiada apa-apa perjanjian dan syarat antara mereka apabila berlakunya konflik tersebut, maka Ahli-ahli Feqah masa kini berselisih pendapat siapakah yang lebih berhak ke atas hantaran pertunangan tersebut.
PENDAPAT PERTAMA : Pihak perempuan mempunyai hak secara mutlak ke atas barang-barang hantaran pertunangan tersebut. Ini merupakan pendapat dari sebahagian Ahli Fiqh.
Hujjah pertama bagi pendapat ini ialah berdasarkan apa yang disebut oleh pendapat yang masyhur dari Al-Maliki bersandarkan kepada hukum hibah yang meletakkan hak sepenuhnya kepada si penerimanya. Hantaran pertunangan ini dikira sebagai hibah dan tiada mempunyai ikat kepada akad perkahwinan. Ini kerana tanpa hantaran pertunangan ini juga akad perkahwinan tetap dikira sah. Hibah ini dikategorikan sebagai hukum yang umum bagi Jumhur Ulama' tetapi berbeza bagi Hanafiah yang mengkategorikan hibah ini sebagai akad pemberian yang lazim yang tidak boleh diambil semula dari si penerimanya. Hal ini bersandarkan dalil yang dikeluarkan oleh Al-Bukhari yang berbunyi :
Individu yang mengambil semula barang pemberiannya umpama seekor anjing yang muntah kemudian menjilat semula muntahnya sendiri.
PENDAPAT KEDUA : Hantaran pertunangan tersebut merupakan hak pihak lelaki secara mutlak. Ini juga merupakan pendapat dari sebahagian Ahli Fiqh.
Hujah bagi pendapat ini ialah seperti yang disebut oleh Mazhab Shafie bagi hukum hadiah pertunangan. Mazhab Shafie berpendapat hadiah pertunangan tidak dikira sebagai hukum hibah secara mutlak. Ini kerana hadiah pertunangan sebagai syarat untuk menyempurnakan ikatan perkahwinan. Jika ikatan perkahwinan tidak dapat disempurnakan maka wajib bagi pihak perempuan mengembalikan hadiah yang diterimanya dari pihak lelaki tersebut. Ini kerana sebahagian dari Ahli Feqah dan Mahkamah Asasi Mesir beranggapan hantaran pertunangan tersebut hanya sebagai hadiah bukan sebagai tanda atau tali pengikat kepada akad perkahwinan. Akad perkahwinan tetap sah walaupun tidak disertai dengan hantaran tersebut.
PENDAPAT KETIGA : Hantaran pertunangan tersebut menjadi hak pihak lelaki jika tiada penghalang untuk dikembalikan hibah tersebut. Ini merupakan pendapat sebahagian Ahli Feqah dan dipraktikkan oleh Mahkamah Sivil Mesir.
Hujjah bagi pendapat ini ialah sepertimana yang disebut oleh Mazhab Hanafi bagi hukum kembalikan barang hibah. Ini kerana hantaran tersebut dikira sebagai hibah sebagai tanda pertunangan. Pertunangan pula bukanlah satu rukun atau syarat sah untuk termeterainya ikatan perkahwinan. Dan sekiranya berlaku pertengkaran di antara kedua-dua pihak ini ketika waktu pertunangan tersebut ianya tidak terikat dengan ikatan perkahwinan.
Apabila perkara ini berlaku hantaran pertunangan itu akan menjadi milik bakal isteri pihak lelaki tersebut kecualilah adanya penghalang untuk mengembalikan hibah tersebut bersandarkan apa yang disebut oleh Mazhab Hanafi yang dipraktikkan oleh Undang-undang Sivil Mesir pada kanun yang ke-500 yang menyebut :
" Si pemberi dibolehkan mengambil semula barangan pemberiannya dari pihak penerima sekiranya pihak penerima itu membenarkannya. Tetapi sekiranya pihak penerima tersebut tidak membenarkan maka si pemberi boleh menuntut haknya dari pihak berkuasa untuk dikembalikan barangan tersebut kepadanya selagi tiada penghalang baginya untuk mengambil semula pemberiannya itu ".
Menurut kanun yang ke 502 permohonan untuk dikembalikan barangan pemberian akan ditolak sekiranya adanya penghalang-penghalang seperti berikut :
PERTAMA - Mati salah satu pihak bagi akad hibah tersebut. KEDUA - Barangan pemberian itu telah rosak ketika berada di tangan si penerimanya. KETIGA - Hibah tersebut dikira sebagai sedekah dan amal jariah dari pihak pemberinya.
PENDAPAT KEEMPAT : Hantaran pertunangan itu hak yang berkaitan dengan mas kahwin. Ketika di dalam tempoh pertunangan sebelum berlakunya akad perkahwinan pihak lelaki berhak ke atas hantaran tersebut. Ketika di dalam tempoh akad tetapi masih belum melakukan hubungan kelamin hantaran tersebut hak bersama di antara suami dan isteri tersebut. Tetapi apabila berlakunya hubungan antara mereka hantaran tersebut menjadi hak si isteri sepenuhnya. Ini merupakan pendapat yang dikeluarkan oleh Dar Al-Ifta' Mesir melalui fatwa yang ke-31 pada tahun 1970 dan juga merupakan pendapat kebanyakan Ahli Feqah masa kini.
Hujjah bagi pendapat ini ialah sudah menjadi kebiasaan seperti yang diamalkan oleh kebanyakan negara-negara Arab menjadikan hantaran pertunangan itu sebahagian dari mas kahwin bahkan sudah menjadi kebiasaan masyarakat mengurangkan nilai mas kahwin dengan nilai hantaran yang diberikan jika dipersetujui oleh pihak perempuan dan akan menambah nilai tersebut sekiranya tidak dipersetujui oleh pihak mereka.
Hujjah kedua bagi pendapat ini ialah hantaran ini sebagai tanda pertunangan antara kedua-dua pihak dan ianya bukanlah rukun bagi akad perkahwinan tersebut. Tetapi ianya merupakan ikatan kepada permulaan hubungan yang sah di antara mereka. Maka wajib dikategorikan hantaran itu sebagai hukum yang berkaitan dengan akad pernikahan bukannya sebagai hibah secara mutlak. Dan mas kahwin juga bukannya dari rukun akad perkahwinan tersebut tetapi ianya mempunyai ikatan dengan hukum tersebut.
Jadi jelaslah di sini perkembangan pengetahuan manusia memberi impak yang cukup besar dengan wujudnya beberapa isu fiqh kemasyarakatan yang penting ini dan di antara isu tersebut ialah isu hantaran pertunangan ini khususnya apabila berlakunya pertelingkahan di antara kedua-dua pihak dan dalam masa yang sama tiada perjanjian yang disepakati di antara mereka sehingga menyebabkan impian untuk mendirikan rumahtangga tersebut musnah sama sekali. Jika kita lihat perselisihan dari segi Fiqh dan Undang-undang telah menatijahkan pandangan yang berbagai sehingga masih lagi ragu-ragu dalam meletakkan hukum hantaran itu kepada kategori hadiah atau mas kahwin.
Undang-undang Mesir memilih pendapat yang ketiga iaitu meletakkan hukum hantaran itu kepada hibah yang boleh dikembalikan kepada si pemberinya jika tiada sebarang halangan sepertimana yang disebut oleh Ahli Feqah dari Mazhab Hanafi. Tetapi pendapat yang keempat iaitu melihat hantaran pertunangan itu sebahagian dari mas kahwin merupakan pendapat yang terpilih bagi isu ini berdasarkan kekuatan dalil dan hujjah yang dikeluarkan. Ini kerana pemberian hantaran pertunangan tidak membataskan pihak lelaki untuk memberi hadiah-hadiah yang lain apabila menyambut perayaan-perayaan kemasyarakatan yang lain. Terbuktilah hantaran pertunangan itu tidak dikategorikan sebagai hukum hibah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan