Hukum Pertukaran & Pengesahan Jantina


Pertukaran jantina bermaksud kecenderungan untuk melakukan pembedahan bagi menukar jantina sama ada pertukaran dari lelaki kepada perempuan atau sebaliknya. Perkara ini merupakan seburuk-buruk amalan yang bercanggah dengan sifat semulajadi manusia. Secara dasarnya jantina mereka itu telah jelas lelaki ataupun perempuan tetapi disebabkan kecenderungan mereka yang inginkan jantina yang diimpikan atau kebencian kepada jantina asal semasa dilahirkan serta dikuasai keinginan untuk menjalani kehidupan seks songsang namun kesemua perkara ini kembali kepada satu sebab yang utama iaitu kurangnya didikan agama. Kaedah perubatan sudah tidak mampu lagi merawat sebahagian dari golongan ini yang mana hasil kajian yang telah dijalankan ke atas kebanyakan dari mereka membuktikan rawatan ke atas mereka adalah suatu perkara yang mustahil. 

Pembedahan ini telah bermula di negara barat kemudian telah mula merebak ke dalam masyarakat Islam kita. Pembedahan ini dilakukan dengan membuang zakar dan membentuk faraj serta memperbesarkan buah dada bagi golongan yang ingin menukar jantina lelaki kepada perempuan. Bagi golongan perempuan yang ingin bertukar kepada lelaki pula mereka akan melakukan pembedahan dengan membuang buah dada dan juga saluran kemaluan wanita lalu membentuk anggota sulit lelaki yang dicipta atau dibentuk dari daging paha dengan menggunakan kaedah mekanikal agar alat itu berfungsi.

Maksud pengesahan jantina pula ialah melakukan pembedahan bagi menentukan jantina mereka sama ada mereka itu tergolong di dalam golongan khunsa musykil (tidak jelas) atau khunsa wadhih (jelas). Tidak semua golongan ini dicela. Ada sebahagian dari mereka dilahirkan dengan mempunyai dua alat kelamin (zakar dan faraj). Sebahagiannya pula dilahirkan tanpa ada alat kelamin secara mutlak cuma terdapat lubang yang keluar padanya air kencing. Dan sebahagiannya pula ketika dilahirkan telah jelas jantinanya sama ada lelaki atau perempuan namun pembentukan dalaman badan mereka didominasi oleh kelenjar atau hormon jantina lain. Kemungkinan hal ini tidak akan dapat dilihat kecuali pada peringkat umur yang semakin meningkat. Berdasarkan pemerhatian sebahagian dari pakar perubatan di dalam pengesanan rutin mereka terhadap golongan wanita yang pada zahirnya adalah wanita namun jelas dia adalah lelaki bukannya perempuan. Ini kerana terdapat padanya testis dan juga hormon lelaki yang terlalu tinggi tetapi ianya tidak berfungsi disebabkan tiada sel-sel yang khusus pada kulitnya. Begitu juga pemerhatian terhadap golongan lelaki yang mampu melahirkan anak kerana terdapat padanya rahim dan juga ovum. Inilah yang dinamakan kekeliruan jantina dan menuntut kepada individu yang mengalaminya untuk mengesahkan jantina mereka berdasarkan sel yang hakiki yang ditentukan oleh pakar perubatan masa kini.

Sesungguhnya Fiqh Islam telah berijmak bahawa haram melakukan pembedahan penukaran jantina semata-mata berdasarkan keinginan atau sesuka hati. Ini kerana perbuatan ini adalah sia-sia kerana mengubah struktur badan manusia tanpa ada sebarang hajat. Perbuatan ini juga merupakan salah satu kemusnahan kepada sistem seksual manusia. Hal ini menjadikan seseorang wanita itu tidak mampu untuk melahirkan anak begitu juga dengan golongan lelaki. Pembedahan pertukaran jantina ini dikaitkan dengan aspek luaran bukannya dari aspek dalaman.

Fiqh Islam juga telah berijmak sesungguhnya dibolehkan untuk melakukan pembedahan pengesahan jantina bagi golongan khunsa musykil yang tidak tahu sama ada mereka itu lelaki ataupun perempuan. Ini kerana ianya merupakan kaedah rawatan mengikut kaedah semulajadi. Mengikut fitrah semulajadi manusia, manusia itu dilahirkan samada lelaki ataupun perempuan berdasarkan firman Allah Taala yang berbunyi :

Maksudnya : Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Atau ia mengurniakan kedua-duanya anak lelaki dan perempuan dan ia juga menjadikan sesiapa yang dikehendaki-Nya mandul. Sesungguhnya Ia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.

Para Fuqaha' kontemporari telah berselisih pendapat berkaitan hukum pertukaran jantina bagi golongan yang mengalami gangguan psikiatri dengan jantina yang lain iaitu golongan lelaki yang mengalami gangguan psikologi untuk bertukar kepada wanita atau golongan wanita yang ingin bertukar kepada lelaki. Fuqaha' juga berselisih pendapat berkaitan hukum pengesahan jantina bagi golongan khunsa yang jelas iaitu golongan lelaki yang jelas kelakiannya tetapi terdapat baginya rahim dan juga ovum. Begitu juga dengan golongan perempuan yang jelas kewanitaannya tetapi terdapat baginya testis. Perselisihan ini terbahagi kepada dua iaitu :

PENDAPAT PERTAMA

Dibolehkan untuk melakukan pembedahan pertukaran jantina tersebut. Ini kerana pada hakikatnya ianya untuk mengesahkan jantina dan merawat penyakit psikologi yang dialami sama kepentingnya dengan merawat kesakitan anggota. Allah telah berfirman :

Maksudnya : Sesiapa yang menjaga keselamatan manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.

Sesungguhnya lelaki atau wanita itu merupakan fitrah semulajadi. Jika berubah salah satunya kepada jantina yang lain tidak akan berlaku kejanggalan kepada fitrah semulajadi tersebut.

PENDAPAT KEDUA

Haram untuk melakukan pembedahan pertukaran atau pengesahan jantina. Ini merupakan pendapat dari kebanyakan Fuqaha'. Golongan wanita yang pada zahirnya adalah wanita namun memilki dua testis dibolehkan untuk membuangnya dan tidak diharuskan untuk membiarkan dua testis tersebut dan membuang organ yang zahir padanya. Begitu juga dengan golongan lelaki yang pada zahirnya adalah lelaki tetapi memiliki rahim dan ovum diharuskan untuk membuang tanda-tanda kewanitaan tersebut dan tidak diharuskan untuk melakukan sebaliknya. Selagi sesuatu organ itu mampu untuk menjalankan fungsinya maka ia perlu dilindungi. Ini kerana pertukaran jantina tidak akan mengubah fungsi sistem semulajadi manusia malah akan menghilangkan fungsinya dan sesiapa yang melakukan pertukaran jantina ini tidak akan memperolehi fungsi jantina yang lain. Pembedahan pertukaran jantina ini akan mendatangkan konflik kepada fungsi semulajadi manusia terutamanya apabila ia mengganggu kestabilan imbangan masyarakat dan hak-hak yang berkaitan dengan lelaki perempuan seperti hak warisan, aurat di tandas lelaki dan wanita serta selainnya.

Dan wajib untuk melakukan apa jua demi untuk merawat mereka-mereka yang sakit ini tanpa ada sebarang penyelewangan terhadap status jantina mereka yang zahir. Jika berlaku sebaliknya, ia merupakan ikutan kepada amalan syaitan di dalam mengubah ciptaan Allah SWT sepertimana Firman Allah SWT yang berbunyi :

Maksudnya : Aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu, dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil syaitan sebagai pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang dan nyata.

Sesungguhnya Nabi SAW melaknat golongan-golongan yang menyerupai kaum lain dan memerintahkan agar dikeluarkan mereka dari rumah-rumah kerana tiada kefasadannya dan para pemerintah perlu meyediakan pusat-pusat rawatan kepada golonghan ini. Imam Bukhari telah meriwayatkan daripada Ibn Abbas katanya : Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai kaum wanita dan wanita yang menyerupai kaum lelaki. Dan Nabi SAW berkata : keluarkan mereka dari rumah-rumah mereka.

Seharusnya, masih banyak fakta-fakta perubatan perlu dikaji agar golongan ahli Fiqh dapat menyelesaikan dua isu penting ini iaitu pertukaran dan pengesahan jantina dengan bukti dan hujah-hujah yang relevan.

Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga