Senyum Kepada Anak Berpahala

Rasa sayang kepada kanak-kanak adalah fitrah semula jadi manusia. Orang yang tidak beragama sekalipun menyayangi anaknya. Bahkan haiwan yang tidak berakal pun sangat sayang kepada anak dan selalu bersiap sedia melindunginya.

Islam ialah agama fitrah. Maknanya, ajaran-ajaran Islam sejalan dengan fitrah manusia yang cinta dan kasih kepada kanak-kanak. Justeru, Islam mewajibkan ibu bapa bukan hanya menyediakan nafkah zahir bagi anak-anak, tetapi juga mewajibkan kedua-duanya mencurahkan perhatian dan kasih sayang kepada mereka.

Perlakuan kita kepada anak-anak menandakan darjat iman kita. Ketinggian iman selalu beriringan dengan sikap lembut kepada anak-anak kecil. Dan kerendahan iman selalu ditunjukkan dengan sikap keras dan kasar kepada anak-anak.

Satu hari Rasulullah mencium cucunya yang bernama Hasan bin Ali. Melihat perlakuan ini, Aqra bin Habis berkata: “Saya memiliki 10 orang anak, namun aku tidak pernah mencium seorang pun daripada mereka.”

Rasulullah memandang wajah orang ini. Lalu baginda bersabda: “Siapa yang tidak menyayangi, maka ia tidak akan disayangi.” (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Istimewa

Anak-anak mendapat tempat istimewa dalam Islam. Mereka wajib dilayan dengan baik, didengar keluhan mereka dan dipenuhi keperluannya.

Setiap ibu bapa yang gagal melakukan tugasan ini dikira berdosa.

Rasulullah bersabda: “Cukuplah satu dosa apabila kita mengabaikan orang yang menjadi tanggungan kita.” (riwayat al-Bukhari)

Pada saat yang sama, Islam tidak menyukai kekerasan hati. Islam membenci manusia-manusia yang ramah apabila di pejabat, namun bersikap dingin kepada anak isterinya di rumah.

Allah SWT tidak menyukai kaki pukul walaupun ia selalu hadir dalam solat berjemaah dan sentiasa melakukan puasa sunat.

Pernah satu ketika Rasulullah menjadi imam dalam satu solat berjemaah. Apabila beliau sujud, beliau tidak mengangkat kepalanya dalam masa yang cukup lama.

Selepas solat, para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, mengapa tuan memanjangkan sujud? Adakah wahyu telah diturunkan kepada tuan?”

Rasulullah menjawab: “Tidak. Akan tetapi cucuku menaiki bahuku apabila aku tengah sujud. Aku membiarkannya bermain-main hingga ia puas.” (riwayat al-Nasa’i)

Hak mereka

Dalam konteks moden di mana kedua-dua ibu bapa bekerja di luar, mereka mesti pandai mengatur suasana hatinya.

Mereka kerunsingan dalam pekerjaan dan ini tidak boleh mempengaruhi perilakunya apabila berinteraksi dengan anak-anak di rumah.

Sepenat mana pun bekerja, kita mesti meluangkan masa untuk mereka bermanja.

Sebab bermanja dan perhatian ialah salah satu hak mereka yang wajib dipenuhi ibu bapa.

Sekali lagi, ibu bapa bukan hanya wajib memberi nafkah zahir, namun juga nafkah batin.

Teladanilah sikap para sahabat Nabi yang bernama Zaid bin Thabit. Al-Zahabi menceritakan bahawa tokoh sahabat ini sangat berwibawa apabila berada di tengah masyarakat. Namun sangat kelakar apabila bersama keluarganya.

Justeru, senyumlah kepada anak sebab ia berpahala.

Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga