Mengharap Syafaat Rasulullah, Doa Malaikat

Mendoakan kebaikan kepada orang lain menjadi amanah Rasulullah yang kurang kita amalkan. Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin berkongsi cara untuk mendapat syafaat Rasulullah dan doa dari malaikat dalam program Pesona D’Zahra, di IKIMfm. Sifat manusia itu lemah dan terbatas kemampuannya. Dalam menghadapi rintangan kehidupan, mereka sentiasa memerlukan bantuan dan sokongan daripada Yang Maha Berkuasa. Allah SWT memerintahkan setiap hamba-Nya bergantung harap, bantuan dan petunjuk menerusi doa. Doa ialah ibadah dan senjata Mukmin. Doa tanda kelemahan hamba yang memerlukan pertolongan dan bantuan Allah SWT dalam menghadapi cabaran kehidupan. 

Kebiasaannya, doa yang kita panjatkan ke hadrat Allah SWT adalah untuk kebaikan diri sendiri atau sekadar ahli keluarga terdekat sahaja. Mendoakan orang lain bukan satu keutamaan dan amalan kita, sedangkan mendoakan kebaikan bagi orang tanpa pengetahuannya adalah sunah yang diamalkan oleh Nabi dan diikuti oleh orang salih.

Mencari Doa Daripada Orang Lain dalam Rancangan Pesona D’Zahra yang bersiaran setiap Isnin jam 10 pagi, minggu lalu mengupas berkenaan doa sesama Muslim. Ustaz Muhamad Abdullah al-Amin memetik sabda Rasulullah SAW: “Tidak beriman salah seorang antara kalian sehingga dia mencintai untuk saudaranya apa-apa yang dicintai untuk dirinya sendiri.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kejayaan dicapai berkat doa Merenung apa yang dikecapi hari ini, mungkin kita tidak menyangka kejayaan dicapai adalah hasil doa ikhlas orang lain buat kita. Walaupun berdoa itu satu keperluan dan rahmat untuk mengadu serta meminta sesuatu, Nabi Muhamad SAW juga mengajarkan umatnya supaya mendoakan orang lain. Malah nabi menjadikannya amalan dalam kehidupan mereka. Nabi Ibrahim juga mendoakan untuk zuriatnya sehingga muncul ramai nabi daripada keturunannya. Ia terakam dalam al-Quran: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung daripada orang yang salih!” (Surah as-Saffat, ayat 100)

Muhamad berkata, untuk mencari kejayaan dalam hidup, kita dianjurkan mencari doa orang lain selain mendoakan diri sendiri. Antara doa orang lain yang perlu dicari adalah doa daripada Nabi Muhammad SAW seperti mana hadis menyatakan syafaat Nabi Muhamad SAW itu benar-benar ada. Zahirkan cinta Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW amat sayang dan banyak berdoa untuk umatnya.

Cara mendapatkan doa daripada Nabi Muhammad SAW adalah dengan memiliki rasa cinta dan menzahirkan perasaan sayang serta cinta itu. Menunjukkan kita benar-benar beriman dengan Nabi Muhammad SAW adalah memperbanyakkan ucapan selawat kepada Baginda SAW. Mereka yang menyintai sesuatu atau seseorang akan selalu menyebut namanya maka sebutkanlah selawat ke atas Baginda dengan sebanyak-banyaknya. Selain itu, kita juga perlu berusaha mengamalkan sunah Nabi Muhammad sebagai menzahirkan rasa cinta kepada Baginda.

Antara sunah yang mudah diikuti dan diamalkan adalah senyum, memakai cincin, memanggil pasangan dengan panggilan yang baik, menunjukkan rasa kasih kepada isteri dan anak. Selain itu, menganjur majlis ilmu serta lain-lain amalan yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW. Usaha ini supaya kita dikurniakan nikmat paling bahagia iaitu apabila kita sekeluarga dimasukkan ke syurga bersama-sama.

Doa malaikat

Doa seterusnya yang perlu dicari adalah daripada malaikat kerana malaikat mendoakan kita pada setiap pagi dengan doa supaya Allah SWT menggandakan harta seseorang yang beramal salih. Selain itu, ketika kita berdoa bagi kebaikan orang lain, malaikat juga akan mendoakan dengan mengucapkan, “Amin dan bagi engkau apa yang engkau doakan.”

Malaikat juga mendoakan ketika kita berada dalam majlis ilmu. Oleh itu, jika tidak dapat menganjurkan sesuatu majlis, sekurang-kurangnya hadirlah ke majlis ilmu. Di situ malaikat akan melaporkan kepada Allah SWT dan meminta supaya mengampunkan dosa kita yang menganjurkan dan atas keikhlasan mereka yang hadir. Selain itu, malaikat turut mendoakan mereka yang menjaga adab. Contohnya mereka yang menjaga adab dalam majlis ilmu, adab makan, adab berkawan dan lain-lain. Jadi berusahalah mempelajari ilmu dalam berakhlak mulia supaya kita mendapat rezeki antara mereka yang didoakan oleh malaikat.

Perkongsian mencari doa orang lain akan bersambung minggu hadapan dalam rancangan Pesona D’Zahra dengan lebih banyak lagi saluran kebaikan dunia dan akhirat menerusi doa yang dipohon oleh orang lain untuk kita. Sementara itu, perbanyakkan bermujahadah supaya ikhlas dalam mendoakan kebaikan buat orang lain sebagaimana yang kita mahukan untuk diri sendiri supaya ia menjadi asbab kita mendapat doa daripada malaikat. Jauhi sifat putus asa dalam mengharap kasih dan rahmat Allah SWT, serta jadikan doa sebagai senjata menghadapi setiap ujian dalam kehidupan. Sentiasa ringankan lidah berzikir dan berdoa semoga dengannya kita beroleh kebaikan berpanjangan dan husnul khatimah.

Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga