Utamakan Kebersihan, Kesihatan dalam Pemakanan

KITA sememangnya cukup obses dengan amalan pemakanan yang mengikut sunnah. Apa sahaja yang diperkatakan berkaitannya, lebih-lebih lagi produk-produk melibatkan makanan sunnah yang banyak berada di pasaran, pasti kita akan berusaha untuk memilikinya.

Bahkan aspek istiqamah dalam menjadikan ia satu amalan harian jatuh di tangga kedua, malah bukan satu persoalan penting kerana sikap itu wujud disebabkan setiap daripada Muslim mengetahui akan kelebihan dan kebaikan pengambilannya yang menjadi ikutan sejak 1, 400 tahun lalu.

Ini sejajar mengapa Rasulullah SAW diutuskan oleh Allah SWT sebagai rasul terakhir-Nya iaitu untuk membawa rahmat kepada seluruh isi alam ini. Di samping membawa perkara yang disifatkan sebagai penyempurnaan akhlak manusia.

Di antara perbuatan baginda yang perlu diikuti dan dihayati bersama adalah daripada aspek etika pemakanan ataupun tatacara pemakanan sihat.

Dalam hal itu, Rasulullah SAW merupakan seorang yang amat mementingkan khasiat dan kualiti makanan yang diambil, sekali gus manfaat daripadanya.

Ini selaras dengan hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmidzi yang bermaksud: “Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya (tulang punggung), melainkan jika ia tidak dapat mengelak. Maka isilah sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya dan sepertiga untuk nafasnya.”

Ditambah pula, etika Rasulullah SAW itu selari dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Makan dan minumlah tetapi jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebihan. (al-A’raf: 31)

Ketaksuban umat Islam itu diakui Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim ketika ditemui di pejabatnya di Bangi, baru-baru ini.

Pakar pemakanan Islam itu menyatakan bahawa sikap itu wujud kerana umat Islam di merata dunia mahu menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai contoh teladan dalam kehidupan mereka.

“Begitulah juga dalam soal pemakanan (atau minuman), kita akan berusaha mengikuti apa yang menjadi amalan Rasulullah SAW.

“Sebab kita tahu setiap makanan atau cara Nabi makan itu ada kebaikan. Contohnya, Nabi SAW banyak makan buah dan terbukti daripada segi saintifik, ia sesuai dengan makanan kesihatan,” kata Mohd. Izhar Ariff yang juga merupakan ahli Jawatankuasa Panel Halal Selangor.

Pada masa sama, Mohd. Izhar Ariff berkata, keterujaan umat Islam itu telah mendorong kepada pertumbuhan sebegitu banyak syarikat menjual produk berasaskan makanan sunnah dalam pelbagai bentuk.

Berdaya saing

Syarikat tersebut sama ada berskala kecil atau sederhana bukan hanya bersaing menawarkan produk yang terbaik tetapi menggunakan pelbagai pendekatan bagi menjadikan produk mereka lebih berdaya saing.

Ekoran daripada itu, banyak makanan atau minuman sunnah yang sebelum ini sukar didapati atau hanya ada mengikut musim tertentu, kini lebih mudah diperoleh, bahkan dijual dengan harga yang berpatutan.

Antara yang popular adalah kurma, minyak zaitun, susu kambing, madu, habatus sauda dan buah delima.

Selain dijadikan makanan harian, ia juga menjadi pilihan yang sangat digemari dalam menu diet sihat masa kini.

“Saya tidak menyalahkan ikhtiar pengusaha syarikat tersebut kerana ia memudahkan masyarakat Islam mengamalkan sunnah Nabi dalam soal makanan (atau minuman),” katanya.

Namun, beliau menegaskan bahawa pengusaha syarikat itu perlu memastikan setiap apa yang mereka dakwa itu seharusnya berasaskan dalil yang sahih.

Ini kerana, tambahnya ia berkait rapat dengan sifat amanah yang cukup dipentingkan oleh Islam sendiri.

“Selain itu, aspek penjagaan kebersihan dan kesihatan juga perlu menjadi keutamaan, sama ada semasa dalam proses penyediaan, pembungkusan mahupun penghantaran kepada pembeli.

“Ini kerana, saya khuatir mungkin disebabkan kecuaian terhadap aspek tersebut akan mengakibatkan produk tersebut tercemar atau kotor dan akhirnya, menyebabkan pengguna mengalami keracunan atau lebih teruk lagi, ia membawa kepada kematian,” katanya.

Kegagalan para pengusaha syarikat tersebut akan memberi gambaran atau imej yang tidak baik kepada amalan pemakanan sunnah itu.

“Hal ini turut membuka peluang dan ruang kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sewenang-wenangnya melabelkan imej secara negatif, walaupun yang bersalah itu adalah pelakunya,” kata Mohd Izhar Ariff.

Pikul amanah Allah

TIDAK dinafikan aspek kebersihan dan kesihatan dalam kitaran penghasilan produk makanan atau minuman sunnah bukanlah sesuatu yang baharu dalam kalangan organisasi perniagaan, sama ada ia berskala besar, sederhana atau kecil-kecilan, aspek di atas mesti menjadi penekanan utama. Lebih-lebih lagi, kredibiliti logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mampu melariskan jualan produk mereka itu.

Bagi pengusaha produk coklat kudapan berasaskan kurma, Choc Lyshanza, Ahmad Suhaimi menyifatkan kepatuhan tersebut bukan hanya kerana undang-undang negara tetapi tanggungjawab pihaknya sebagai seorang Muslim.

Beliau berkata, pengabaian aspek tersebut akan menimbulkan perspektif negatif bukan hanya dalam kalangan umat Islam tetapi bukan Islam terhadap amalan pemakanan sunnah.

“Saya menganggap ia sebagai satu tanggungjawab kerana ia adalah imej kepada Islam sendiri.

“Jika kotor dan tidak bersih, orang akan kata ia disebabkan oleh Islam dan bukannya manusia itu sendiri,” katanya ketika ditemui di kedainya di Klang, baru-baru ini.

Selain coklat kurma, syarikat Tebrau Takzim itu turut menawarkan produk berasaskan coklat yang sesuai untuk majlis perkahwinan, hari jadi atau kudapan sampingan kanak-kanak.

Selaras dengan pendirian tersebut, Ahmad menegaskan bahawa setiap biji kurma yang digunakan itu akan dibelah dua, bukan hanya supaya ia mudah disalut dengan coklat.

Tetapi, beliau menambah, apa yang lebih penting adalah untuk melihat keadaan bahagian dalam kurma.

Lagipun, kebanyakan buah kurma yang dipetik langsung dari pokoknya tidak akan dibersihkan bagi mengelakkannya kerosakan apabila diperap dalam kontena untuk tujuan eksport.

“Setakat ini hampir tiga hingga lima peratus, buah kurma itu kami terpaksa buang bagi mengelakkan wujudnya keracunan kepada pembeli,” katanya.

Dalam masa sama, Ahmad berkata, pihaknya turut memastikan pembekal bahan coklat itu memiliki sijil halal daripada Jakim memandangkan syarikat pembekal itu beribu pejabat di Belgium.

“Sijil halal itu amat penting bagi kami. Selain Jakim, kami turut merujuk kepada Lembaga Koko Malaysia kerana mereka ada senarai yang halal dan tidak halal,” katanya.

Begitu pun, beliau menafikan kitaran proses itu akan menyebabkan bebanan kos kerana semua itu boleh diatasi jika jadual pemprosesannya dipatuhi dengan teliti dan rapi.

“Bebanan kos sukar dielakkan jika pengusaha gagal mematuhi jadual kitaran pemprosesan produk mereka. Sebagai pengusaha, mereka perlu sentiasa inovatif dan kreatif dalam memastikan jadual kitaran pemprosesan dipatuhi semaksimum mungkin.

“Saya percaya jika kita berjaya mematuhinya, sudah pasti tidak akan ada pembaziran yang ketara,” jelas Ahmad.

Wujud pengabaian

Hakikatnya, umat Islam perlu memahami bahawa sunnah Nabi adalah merupakan perkara atau perbuatan yang berasaskan prinsip bukan hanya baik dan halal tetapi suci dan bersih.

Sejajar dengan itu, umat Islam perlu berpegang kepada prinsip tersebut dalam mengamalkan sunnah Nabi, termasuklah berkaitan dengan pemakanan atau minuman yang diamalkan oleh Rasulullah SAW.

Namun ada beberapa kes yang ditemui oleh jawatankuasa panel halal itu yang menunjukkan masih wujud pengabaian daripada aspek kebersihan dan kesihatan produk itu.

“Contohnya, ketika meluluskan pensijilan halal untuk produk-produk makanan sunnah, kita dapati ada kuman pada produk air atau makanan sunnah tersebut.

“Malah ada juga kes yang kita temui di mana para ustaz atau ustazah yang menghasilkan air Ruqyah tanpa menjaga kebersihan sehingga apabila melalui ujian makmal, ia didapati kotor atau ada kuman,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd. Izhar Ariff menyeru umat Islam supaya memastikan keinginan mendalam kepada aspek pemakanan sunnah sehingga kita mengambil mudah dan meremehkan perihal prinsip amalan itu.

Beliau percaya bahawa usaha itu juga akan menjadikan amalan pemakanan sunnah Rasulullah SAW dihormati dan diyakini, bukan hanya oleh umat Islam tetapi bukan Islam.

“Pada masa sama, masyarakat juga perlu memahami dengan jelas supaya mereka tidak mudah diperbodohkan oleh golongan yang suka mengambil kesempatan.

“Sekiranya mereka mahu membeli produk sunnah, maka perlu dipastikan terlebih dahulu tentang dalil dan sijil halal produk tersebut,” katanya

Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga