Alam Perkahwinan

Perkahwinan sekufu, antara bahagia atau dilema?

PERKAHWINAN merupakan satu jalinan kasih sayang atau hubungan antara lelaki dan perempuan yang sah di sisi Islam. Perkahwinan juga menjadi satu ibadah dan kewajipan kepada semua umat Islam apabila seseorang itu mampu untuk memikul tanggungjawab sama ada bergelar seorang suami atau isteri.

Apabila seseorang itu sudah berkahwin, maka telah sempurna separuh agamanya. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW mafhumnya: Apabila seorang hamba menikah, maka sungguh dia telah menyempurnakan separuh agamanya.

Maka hendaklah dia bertaqwa kepada ALLAH pada separuh yang selebihnya. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi. Hal ini jelas menggambarkan bahawa perkahwinan ini merupakan satu tuntutan kepada umat Islam.

Selari dengan peredaran zaman pada masa kini, perkahwinan sekufu menjadi satu trend dalam menentukan jodoh sama ada bersesuaian dengan kedudukan atau pangkat seseorang.

Sekufu pada amnya hanyalah ungkapan orang tua yang mahu cari persamaan, pasangan yang sepadan dari segi pendidikan ,kecantikan, pangkat, keturunan, agama dan lain-lain. Dalam erti lain kufu bermaksud sama atau setaraf.

Dari sudut istilah pula Kufu bermaksud satu aspek yang ketiadaannya akan mencacatkan kedua mempelai. Aspek kufu dalam mazhab syafei ada enam iaitu, Islam, merdeka, agama, keturunan, kerjaya dan sejahtera dari sebarang kecacatan.

Sebahagian ahli-ahli feqah pada masa kini yang mengikut mazhab Shafei mengambil kira usia juga termasuk ke dalam aspek kufu. Mereka menghukumkan seorang gadis remaja tidak sekufu dengan seorang lelaki tua.

Dalam masa yang sama, Imam Shafei juga menegaskan bahawa perkahwinan mereka yang tidak sekufu tidaklah haram. Oleh sebab itu,sekiranya persetujuan antara pengantin perempuan dan walinya telah dicapai maka perkahwinan itu dihukumkan sah meskipun tidak sekufu antara bakal pengantin.

Selain itu, dalam perkahwinan sekufu juga,faktor pembentukan keluarga memainkan peranan penting dalam agama Islam. Jadi apabila Islam menggalakkan sekufu, ini bermakna Islam melihat lebih jauh lagi mengenai peranan sesuatu keluarga itu.

Ini kerana perbezaan yang terlalu banyak dan ketara di antara pasangan suami dengan isteri dalam pelbagai perkara kemungkinan akan menimbulkan pelbagai masalah untuk meneruskan kehidupan berkeluarga yang akan dibina kelak. Bahkan sekiranya tiada sekufu antara kedua-duanya, maka isteri atau walinya berhak menuntut fasakh selepas perkahwinannya.

Ia berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: Tidak berhak mengahwinkan seorang anak perempuan kecuali dengan wali, dan tidak berhak mengahwinkan wanita kecuali dengan lelaki yang sekufu dengannya. Sekiranya seorang lelaki itu mengambil seorang isteri yang lebih rendah pendidikannya atau yang lebih sedikit hartanya dan sebagainya, ia biasanya tidak menimbulkan sebarang masalah kemudian hari.

Berlainan pula seandainya seorang isteri bersuamikan seorang lelaki yang jauh lebih rendah daripadanya dalam semua perkara. Sebagai contoh si suami merupakan seorang pekebun biasa malahan si isteri merupakan seorang doktor perubatan.

Terdapat perbezaan yang begitu ketara antara pasangan tersebut dari sudut pangkat, pendidikan, pendapatan dan selainnya. Hal ini berkemungkinan akan menimbulkan masalah besar seperti si suami akan berasa rendah diri terhadap isteri.

Dalam hal inilah, Islam melihat “kafaah” sebagai satu aspek yang perlu dijaga. Menurut ulama fiqah, keseluruhan mereka mengambil kira kepentingan sekufu, sehingga di dapati mazhab Shafie meletakkan sekufu sebagai hak seorang perempuan dan hak walinya.

Sementara bagi mazhab Hanafi, walaupun tidak ada wali mujbir (wali yang boleh memaksa anaknya untuk berkahwin atau tidak berkahwin, misalnya ayah dan datuk) seorang perempuan itu boleh mengahwinkan dirinya tanpa wali.

Namun wali mujbirnya iaitu bapanya contohnya, masih berhak untuk membubarkan perkahwinan itu sekiranya mendapati pasangan tersebut tidak sekufu. Sebagaimana dijelaskan di atas bahawa sekufu merupakan hak kepada wanita dan walinya, maka sekiranya salah seorang daripada orang yang berhak ini menghalang perkahwinan disebabkan tidak sekufu, maka perkahwinan itu tidak boleh dilangsungkan.

Contohnya, seorang perempuan membawa calon suaminya tetapi tidak dipersetujui oleh bapanya sebagai seorang wali mujbir dengan alasan lelaki tersebut tidak sekufu dengan anaknya, maka alasan itu dianggap munasabah dan hak bapanya sebagai wali tidak boleh dipindahkan kepada wali hakim atau wali selepasnya.

Begitu juga sekiranya seorang perempuan yang dipaksa berkahwin oleh wali mujbirnya, sama ada bapa ataupun datuk tetapi dia menolak dengan alasan bahawa perkahwinan ini tidak sekufu, maka dia berhak untuk menghalang perkahwinan ini.

Jelas di sini, mazhab Shafei meletakkan sekufu sebagai satu perkara yang penting. Jumhur mengatakan, sekufu adalah syarat untuk meneruskan perkahwinan, bukannya syarat sah perkahwinan.

Wajar cari pasangan sekufu, bina rasa kendiri

PERKAHWINAN ketara beza dari segi fizikal seperti pasangan muda dan tua, tinggi-rendah, warna kulit gelap dan cerah atau orang normal dengan OKU dan sebagainya dilihat sebagai satu rahmat dan anugerah.

Secara psikologi penerimaan manusia adalah unik dan subjektif. Semuanya bergantung pada bagaimana gaya asuhan dan persekitaran didikan manusia tersebut. Ada boleh terima secara terbuka dan pelbagai cita rasa membuatkan mereka selesa dengan keadaan yang telah biasa dilalui.

Ia baik kerana membantu individu tersebut menghargai, menerima dan fokus pada kasih sayang sebenarnya bukan rupa paras atau harta.

Namun ada juga pemilihan ini diletakkan prioriti dalam diri seperti biarlah rendah atau tua, OKU atau kulit gelap dan sebagainya asalkan berharta, kaya, mampu beri kehidupan selesa dan pelbagai alasan lagi.

Kenyataan ini adalah kasih sayang yang dibina dengan syarat iaitu mesti ada harta maka yang lain-lain akan ikut.

Memilih secara prioriti ini juga bergantung kepada tahap iman dan ilmu seseorang. Prioriti ini membimbing  buat keputusan terima pasangan dalam pelbagai kategori dan keadaan.

Apa pun, sepatutnya kita perlu mencari pasangan setaraf dan sekufu kerana ia bantu mind set kita untuk berlapang dada dan bina rasa hormat dalam diri. Pentingnya rasa ini untuk bina penghargaan kendiri dalam diri kita bagi menyatakan pasangan kita juga sama dengan kita. Jika tak setaraf, akan wujud rasa rendah diri, menghina, diskriminasi membawa pada rasa hati serta gangguan emosi pasangan.

Wajar kita cari pasangan sekufu mengikut tafsiran kebahagiaan diri kita sendiri. Rasulullah SAW juga menyarankan panduan empat perkara semasa cari jodoh iaitu berdasarkan pada rupa, harta, keturunan dan iman.

Jika dahulukan iman, kriteria lain akan melengkapi pemilihan tersebut.

Untuk cari titik persamaan dan perbezaan ini pula sebenarnya ada dalam diri masing-masing semasa pemilihan pasangan dibuat. Apa yang pasti setiap pasangan cuba bentangkan kelebihan dan terima kelemahan diri masing-masing serta jadikan sebagai pelengkap dalam kehidupan.

Isu jadi konflik bila lihat kelemahan dan lupa kelebihan pasangan. Ini sebabkan mereka sentiasa cari salah dan malukan diri dan pasangan.

Oleh itu sangat penting mengenali, faham dan terima kelebihan dan kelemahan pasangan masa dalam proses pemilihan, di peringkat awal perkahwinan serta semasa usia perkahwinan kurang dari empat tahun.

Sekiranya pasangan boleh sesuaikan diri maka konflik akan kurang berlaku. Sebaliknya jika pada usia perkahwinan melebihi empat tahun juga pasangan masih tidak faham serta asyik ungkit kelemahan diri pasangan, mereka perlu mendapatkan bantuan menyelaraskan cara komunikasi kedua-duanya agar penerimaan dan reda boleh dibentuk.

Soal cakap-cakap atau diganggu oleh pihak ketiga pula tidak akan jadi masalah jika pasangan mempunyai ketegasan dan ada pendirian dalam mengambil keputusan.

Semua gangguan ini hanya berjaya jika pasangan tak percaya satu sama lain, dengar hasutan orang dan sentiasa berprasangka buruk pada pasangan.

Pasangan tak ada pendirian diri selalunya akan bermasalah dengan diri sendiri dan sering mudah tergoda dengan cakap-cakap orang lain. Pasangan perlu ada batasan dan mengawal diri daripada mendengar hasutan serta jujur dengan pasangan. Perbezaan juga tidak jadi masalah kerana kata-kata orang adalah permainan persepsi masing-masing yang tidak pernah akan hilang selagi manusia bernafas.

Melainkan kata-kata nasihat dari orang yang benar-benar nampak kesalahan kita, maka kita perlu fikirkan secara positif  kerana kata-kata nasihat yang ikhlas dan baik adalah satu petunjuk kepada kita agar lakukan perubahan.

Pasangan perlu yakin dengan pemilihan. Setia dan buktikan pilihan itu yang terbaik untuk dirinya. Yang penting ikhlas dalam memikul amanah diberikan.

Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga