Beza antara Mimpi Benar atau Mainan Tidur

SETIAP manusia mahu mimpinya ditafsirkan. Mungkin kerana desakan keinginan untuk mengetahui makna di sebalik mimpi tersebut atau sekadar mahu mengiakan apa yang terbuku dalam jiwa selama ini.

Apa tidaknya, mimpi adalah pengalaman bawah sedar yang melibatkan penglihatan, pendengaran, fikiran atau perasaan ketika sedang menikmati tidur.

Ditambah pula, apa yang berlaku dalam mimpi itu biasanya mustahil boleh terjadi dalam dunia nyata.
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Abdullah Bukhari Abdul Rahim Al-Hafiz berpendapat, mimpi tidak seharusnya menjadi keutamaan dalam kehidupan seseorang umat Islam.

“Ini kerana, mimpi tidak boleh dijadikan hujah untuk membicarakan sesuatu perkara atau bidang dalam kehidupan manusia,” katanya ketika ditemui di Jabatan Tilawah al-Quran, Pusat Bahasa dan Perkembangan Akademik Pra Universiti UIAM, baru-baru ini.

Begitu pun, Islam tetap menyediakan garis panduan (parameter) untuk penganutnya mengurus mimpi supaya selari dengan kehendak syariat.

Parameter itu penting kerana jika kita terlalu menolak mimpi bermakna kita juga menolak sebahagian ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Juga sekiranya seseorang itu menerima bulat-bulat mimpi, boleh menjadikan kita mundur sedangkan tiada suatu kepastian mutlak pada mimpi.

Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa mimpi orang Islam adalah satu bahagian daripada 45 bahagian kenabian.

Dalam satu hadis baginda yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud: Apabila kiamat semakin dekat, hampir sahaja mimpi seorang Muslim tidak mendustainya. Orang yang paling benar mimpi, paling benar lidahnya.

Refleksi jiwa

Abdullah Bukhari menyatakan bahawa mengikut al-Quran, mimpi boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu Ru’ya dan Ahlam.

Andai diterjemahkan dalam bahasa Melayu, kedua-duanya adalah mimpi tetapi daripada segi takrifan agama, kedua-duanya mempunyai perbezaan yang ketara.

Ru’ya adalah mimpi positif (daripada Allah SWT), manakala Ahlam adalah lebih kepada mimpi mainan syaitan atau kesan psikologi seseorang manusia.

“Berdasarkan kesimpulan yang dibuat oleh para ulama, takrifan kedua-dua jenis mimpi itu adalah sekumpulan kepercayaan atau rasa-rasa atau rasa yang Allah SWT campakkan ke dalam hati hamba-Nya melalui perantaraan malaikat atau syaitan,” katanya.

Justeru, Abdullah Bukhari menyatakan mimpi seseorang manusia adalah refleksi apa yang ada dalam minda atau jiwa seseorang manusia sebelum dia tidur.

“Sekiranya semasa sedar, dia kerap menipu, maka mimpinya tidak boleh diterima,” katanya yang kini tampil dengan sebuah buku tafsir al-Quran ringkas bertajuk, Berjalan…Melihat…Mentafsir, ceritera wartawan al-Quran yang diterbitkan oleh PTS Sdn. Bhd.

Rasulullah SAW dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Muslim bersabda yang bermaksud: Mimpi itu ada tiga jenis, iaitu mimpi yang benar adalah perkhabaran gembira daripada Allah, mimpi gangguan daripada syaitan (untuk menyedihkan) dan mimpi yang dipengaruhi oleh jiwa seseorang (psikologi). Selain itu, satu lagi hadis yang bermaksud: Sekiranya kamu bermimpi sesuatu yang tidak kamu sukai, maka bangunlah bersolat dan usahlah diceritakan mimpi itu kepada manusia.

Jelas Abdullah Bukari, mimpi yang dialami oleh manusia biasa tidak boleh dikatakan 100 peratus benar. Kecuali yang dialami oleh para nabi dan rasul sahaja.

Sementara itu, manusia biasa yang tergolong daripada kalangan mereka yang bergelar ulama atau orang soleh juga perlu dinilai melalui beberapa kriteria tertentu.

“Kriteria itu bukan sesuatu yang mutlak tetapi boleh memperlihatkan apa yang tergambar dalam minda atau jiwa seseorang manusia itu sebelum dia tidur.

“Antaranya dikenal pasti terlebih dahulu aktivitinya sebelum tidur. Adakah dia daripada kalangan yang gemar menipu atau tidak? Bilakah waktu tidurnya? Di mana tempat dia tidur,” katanya.

Firman Allah SWT dalam surah An Nur ayat 58 yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, budak belum akil baligh, kalau hendak masuk bilik kamu, dia kena meminta izin kepada ayahnya dalam tiga waktu iaitu sebelum Subuh, waktu tengah hari dan selepas solat Isyak.

Tiga waktu tidur yang disebutkan dalam ayat di atas ini adalah sebenarnya mempunyai signifikan berkaitan mimpi. Ini kerana bermimpi dalam tiga waktu itu, besar kemungkinan mempunyai alamat atau petanda tertentu.

“Jika orang soleh sebelum tidurnya itu, dia ada membaca al-Quran atau berdoa dan dia tidur dalam tiga waktu itu, maka boleh jadi mimpinya mempunyai alamat tertentu.

“Itu satu kriteria mudah. Berbeza kalau selain daripada itu, ia boleh jadi mimpi mainan syaitan atau kesan pengaruh psikologi manusia itu sendiri,” terang Abdullah Bukhari. 

Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga