Sempena cuti persekolahan, ramai kalangan ibu bapa mengambil kesempatan mengkhatankan anak-anak lelaki mereka. Di Malaysia, lazimnya amalan mengkhatankan anak lelaki dilakukan secara berkumpulan atau dikenali majlis berkhatan beramai-ramai. Rasionalnya, selain daripada melaksanakan tuntutan syarak, amalan sebegini mampu mengeratkan hubungan sesama anggota masyarakat.
Sebenarnya, berkhatan beramai-ramai bukanlah satu perkara janggal. Banyak kelebihan bila program itu dilakukan. Selain mengeratkan hubungan sesama masyarakat, berkhatan dengan cara sebegini dapat meningkatkan rasa keberanian kepada anak-anak yang dikhatankan. Di sesetengah tempat, ia bagaikan suatu perayaan. Kanak-kanak diarak dan dimandikan secara beramai-ramai sebelum dikhatankan.
Hukum berkhatan
Kebanyakan ulama seperti al-Sya‘bi, Rabi‘ah, al-Azra‘i, Yahya bin Sa‘ad al-Ansari, Malik, al-Syafi‘i dan Ahmad memberitahu, amalan berkhatan wajib bagi kaum lelaki.
“Banyak hadis Rasulullah SAW yang menunjukkan pensyariatan khatan.
Antaranya, diriwayatkan Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah bersabda,bermaksud, “Ada lima perkara yang dikategorikan sebagai fitrah (sifat semula jadi) seseorang manusia iaitu berkhatan, mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan menggunting misai” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
“Al-Khattabi pula berpendapat, meskipun khatan selalu disebut bersama dengan perkara-perkara sunat seperti mencukur bulu ketiak dan memotong kuku, namun kebanyakan ulama’ mengiranya sebagai wajib. Ini kerana ia merupakan syiar Islam dan pembeza antara Muslim dan kafir.
“Sekiranya terdapat seorang yang berkhatan mati dalam kalangan sekumpulan manusia yang tidak berkhatan, maka hendaklah disembahyangkan dan dikuburkan di tanah perkuburan Islam,” kata Mohd Shukri Hanapi.
Beliau yang merupakan Felo Rancangan Latihan Kakitangan Akademik, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia berkata, khatan wajib ketika seseorang anak itu sudah hampir baligh.
Ini kerana tidak berapa lama lagi anak tersebut akan menjadi mukalaf untuk mematuhi segala hukum syariat dan perintah Allah.
Hikmah berkhatan
Setiap amalan yang disyariatkan Allah tidaklah sia-sia, malah ada hikmah dan kelebihannya. Justeru, amalan berkhatan mempunyai banyak faedah terutama daripada aspek kesihatan.
Menurut Dr. Sobri al-Qubbani di dalam bukunya Hayatuna al-Jinsiyyah, antara faedah terpenting berkhatan ialah, seseorang lelaki itu akan dapat menghindari penyakit kulit yang disebabkan peluh-peluh berkumpul dalam kulit qulfah itu.
Perkara ini dibuktikan Dr Gerald Weiss yang menegaskan, tanpa khatan,bahagian di bawah kulit yang menutupi kepala zakar akan menjadi tempat takungan pelbagai jenis kuman. Hal ini meningkatkan risiko mendapat infeksi. Kadangkala keadaan ini akan mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan.
Sebagaimana dijelaskan Dr. Danial Zainal Abidin dalam bukunya ‘Perubatan Islam Kontemporari’, terdapat banyak kajian dilakukan menunjukkan khatan mencegah pelbagai jenis penyakit, antaranya:
Risiko wanita menghidap barah pangkal rahim tinggi jika pasangannya tidak berkhatan. Satu kajian dilakukan di Lembah Kashmir pada 1993 menunjukkan,amalan berkhatan di tempat ini menyebabkan peratus barah pangkal rahim rendah jika dibandingkan dengan kawasan-kawasan lain di India.
Dr Edgar J Shoen dalam bukunya Circumcision A Lifetime of Medical Benefits, seorang pakar kanak-kanak terkenal, luka yang sering berlaku di kulit penutup zakar ketika melakukan persetubuhan memudahkan lelaki yang tidak berkhatan dijangkiti kuman penyakit jangkitan seksual, terutamanya siplis, chancroid dan genital herpes.
Berdasarkan hasil-hasil kajian di atas, jelaslah lelaki yang berkhatan akan dapat menikmati kesihatan baik dan terhindar daripada berbagai-bagai penyakit merbahaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan