Jaga Solat Awal Waktu

Solat adalah amalan paling utama dan yang pertama ditanya semasa di mahkamah Allah kelak. Jika lulus dalam perhitungan di situ, insya-Allah kita akan termasuk dalam golongan al-yamin (kanan) dan mendapat nikmat menjadi ahli syurga.

Beruntunglah bagi mereka yang istiqamah menunaikan solat kerana solat itu membezakan antara orang mukmin dan kafir. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Perbezaan antara hamba (yang beriman dan kafir) ialah meninggalkan solat. (Riwayat Muslim)

Sebagai sesi muhasabah marilah kita melihat kualiti pengibadatan kita kepada Allah SWT. Alhamdulillah bagi orang yang solat tetapi adakah kita solat di awal waktu atau sering melewatkan solat akibat kesibukan bekerja atau dilalaikan dengan urusan dunia?

Secara ringkasnya dalam Mazhab Syafie, waktu solat terbahagi kepada empat iaitu;

Pertama; Waktu Terbaik, iaitu awal waktu.

Kedua; Waktu Ikhtiyar, iaitu hingga sepertiga waktu.

Ketiga; Waktu Jawaz (harus), iaitu hingga sebelum tamatnya waktu (sebelum masuk waktu solat yang lain kecuali subuh di mana waktu tamatnya ialah sebelum terbit matahari).

Keempat; Waktu Hurmah (waktu haram), iaitu menangguh solat hingga ke saat terlalu hujung waktu di mana waktu yang masih tinggal tidak cukup untuk menyempurnakan keseluruhan rakaat solat. Solat jika sempat ditunaikan di dalam waktu sekurang-kurangnya satu rakaat maka ia dikira tunai secara keseluruhannya (sekalipun rakaat selebihnya dilakukan setelah habis waktu). Jika tidak sempat satu rakaat maka keseluruhannya dikira qada.

Solat pada awal waktu amat digalakkan supaya kita memperolehi fadilat selain mengelak daripada kelalaian sehingga terbabas dan berlalunya waktu solat. Dalam hal ini Rasulullah SAW pernah ditanyakan: “Apakah perbuatan-perbuatan yang lebih utama?” Baginda bersabda: “Sembahyang pada awal waktunya”. (Riwayat Abu Daud)

Bagi orang lelaki, afdal untuk mereka solat berjemaah di masjid atau surau yang mana pahalanya memang diketahui berlipat kali ganda berbanding solat bersendirian. Walaupun harus melambatkan solat fardu tetapi adalah haram melambat-lambatkannya sehingga ke suatu waktu yang tidak cukup masa untuk memenuhi semua rukun yang fardu dalam sembahyang.

Andainya memulai pekerjaan sembahyang pada ketika itu, maka tidak harus baginya melakukan yang sunat-sunat, bahkan wajib terus kepada perkara-perkara wajib sahaja dan berniat sembahyang ada’an (tunai), kiranya baki waktu yang tinggal hanya cukup satu rakaat sahaja.

Melewatkan solat juga melibatkan seseorang itu melakukan perkara yang makruh atau sebahagian ulama mengatakan perkara yang haram, iaitu meninggalkan solat berjemaah.

Begitu juga dengan persoalan ajal atau maut. Kita tidak tahu bila saatnya kita akan dijemput menghadap Allah. Yang paling dibimbangi, maut menjemput sebelum sempat solat kerana tidak menunaikannya pada awal waktu.

Tidak dinafikan dalam kesibukan kadangkala ada antara kita yang lalai atau sengaja menggabungkan solat Asar dengan Maghrib (solat di akhir waktu Zuhur dan diikuti solat Maghrib sebaik sahaja masuk waktunya). Renungkan hadis Rasulullah SAW di bawah yang menghalang perbuatan tersebut.

Saad bin Abi Waqas bertanya kepada Nabi SAW mengenai orang yang melalaikan sembahyangnya maka jawab baginda: “Iaitu mengakhirkan waktu sembahyangnya dari waktu asalnya hingga sampai waktu sembahyang lain. Mereka telah mensia-siakan dan melewatkan waktu sembahyangnya, maka mereka diancam dengan neraka wail”.

Ibn Abbas dan Said bin Al-Musaiyib turut mentafsirkan hadis di atas “Iaitu orang yang melengah-lengahkan sembahyang mereka sehingga sampai kepada waktu mereka neraka jahanam tempat kembalinya”.

Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mengumpulkan dua sembahyang tanpa ada halangan, maka sesungguhnya dia telah memasuki pintu besar dari pintu dosa-dosa besar”. (Riwayat Al-Hakim)

Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga