Mulut Punca Utama Masuk Neraka

IMAM al-Ghazali berkumpul dengan anak-anak muridnya dan bertanya enam soalan. Salah satu daripada soalannya adalah, “Apakah yang paling tajam di dunia ini?”.

Murid-muridnya menjawab dengan serentak, “pedang”. Benar kata Imam al-Ghazali, tetapi yang paling tajam adalah “lidah manusia”. Sebabnya, dengan lidah, manusia dengan begitu mudah menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.

Lidah yang tidak bertulang mudah menutur dan menghamburkan kata-kata. Dengan nikmat tersebut, manusia boleh menjalin hubungan kemasyarakatan dengan lebih mudah dan lancar. Namun, awas dengan amaran Allah terhadap mereka yang gagal menjaga lidahnya sehingga sering membuat dosa dengan mengumpat dan memfitnah.

Kita juga wajib menyakini bahawa setiap perbuatan atau perkataan di dunia ini akan dipersoalkan di hadapan mahkamah Allah di akhirat kelak.

Jangan kita lupa bahawa di bahu kiri dan kanan ada malaikat pencatat segala kebaikan dan keburukan yang dilakukan. Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: “Apa pun kata yang diucap pasti disaksikan oleh malaikat pengawas Raqib dan ‘Atid.” – (Qaaf:18)

Bahaya lisan itu sangat banyak. Sehinggakan pepatah Melayu pun ada menyebut ‘kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana’. Bahkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya seorang hamba apabila menuturkan satu-satu perkataan yang tidak dipastikan kebenarannya terlebih dahulu, akan membawanya ke neraka yang jarak keluasannya adalah lebih luas dari jarak antara timur dan barat.” – (Muttafaqun ‘Alaih).

Dalam era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kini, kelancangan lidah ini boleh disamakan dengan penyebaran maklumat tidak benar melalui Internet terutama melalui laman-laman sosial dan juga khidmat pesanan ringkas (SMS). Bak kata pepatah, ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’.

Memang tepat bidalan orang tua-tua dahulu. Perbuatan menyebar tohmah dan fitnah akan mencemarkan nama baik orang. Walaupun selepas itu kebenaran terserlah, kerosakan (damage) nama sudah pun berlaku. Ibarat luka, walaupun sembuh tetapi parutnya tetap ada.

Justeru elakkan membuat tohmahan, mengumpat, dakwaan apatah lagi menyebar fitnah. Bagi mengelak terjebak dalam dosa, eloklah kita mendiamkan diri. Ke­cualilah, kita mempunyai fakta yang menyokong sebarang dakwaan tentang kepincangan atau salah guna kuasa yang berlaku.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam…” – (Sahih Bukhari)

Kalimah, “… Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat” membawa maksud sesiapa beriman dengan ke­imanan yang sempurna, yang (keimanannya itu) menyelamatkannya daripada azab Allah dan membawanya mendapatkan reda Allah, “… Maka hendaklah ia berkata baik atau diam” kerana orang yang beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya tentu takut kepada ancaman-Nya, mengharapkan pahala-Nya, bersungguh-sungguh melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan-Nya.

Apa yang utama daripada semuanya itu ialah mengendalikan gerak-geri seluruh anggota badannya. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menurut sesuatu yang tiada dalam pengetahuan (ilmu). Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya kelak pasti akan diminta pertanggungjawabkan.” -(Isra’: 36)

Bersikap diam juga suatu kebijaksanaan dan keadilan, ilmu dan pengetahuan. Malah ada yang menyebutnya sebagai medium pendidikan yang amat bagus dan telah teruji.

Nabi SAW pernah menasihati Abu Zar r.a, “Hendaknya engkau lebih baik diam, sebab diam itu menyingkirkan syaitan dan penolong bagimu dalam urusan agamamu.” – (Musnad Imam Ahmad).

Dengan menghayati peringatan Allah dan Nabi SAW, masyarakat Islam akan menjadi umat yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Sebabnya, kita sudah tiada masa lagi untuk ‘dilalaikan’ dengan mengumpat, mengadu domba dan sebagainya. Dengan yang demikian, hubungan sesama insan bertambah baik dan negara akan bertambah maju dan makmur, insya-Allah.

Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga