Kawal Cinta Ikut Agama

ISTILAH cinta adalah satu pengertian yang terlalu besar dan luas maknanya. Cinta lahir dari hati yang suci. Cinta juga lahir dari akal dan emosi.

Cinta juga sering dikaitkan dengan cita-cita. Cinta dikatakan pembakar semangat untuk mencapai cita-cita. Tapi sebagai manusia biasa kita harus ingat ada kalanya melalui cinta juga akan membuatkan hidup resah gelisah.

Melalui cinta juga mampu meruntuhkan institusi keluarga. Melalui cinta juga ada yang jatuh tertiarap ke jurang dosa.

Sebagai manusia berakal fikiran yang waras, seharusnya kita mengetahui apakah jenis cinta yang boleh membuatkan kita berjaya mencapai cita-cita dan seharusnya kita mengetahui mahligai cinta yang manakah mampu membuatkan kita berjaya dan bahagia hingga ke syurga.

Mana satukah cinta yang membawa kejayaan dan adakah cinta yang membawa kepada kehancuran?

Seperti yang dijelaskan secara ringkas di atas, cinta adakala membawa kita berjaya mencapai cita-cita, ada kalanya cinta mampu membawa kita ke jurang kehancuran. Di sini dapat kita bahagikan cinta kepada tiga bahagian:
i.    Cinta kepada ALLAH SWT
ii.   Cinta kepada Rasulullah SAW
iii.  Cinta kepada manusia
iv.   Cinta kepada alam

Jika dilihat kepada pembahagian kategori cinta tersebut, seharusnya manusia tahu apakah keutamaan cinta yang perlu didahulukan mengikut hierarkinya. Dalam percaturan hidup manusia, memang tidak dinafikan manusia memerlukan cinta dalam memenuhi fitrahnya.

ALLAH berfirman: “Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh, ALLAH yang melimpah rahmat-Nya akan menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang…” (Surah Maryam: 96)

ALLAH menerangkan lagi dalam firman-Nya: “Dan ketahuilah! Bahawasanya dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah dia menurut kehendak kamu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi (Rasulullah SAW tidak menurut melainkan perkara yang diwahyukan kepadanya, dan kamu wahai orang-orang yang beriman hendaklah bersyukur kerana) ALLAH menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta diperhiaskannya dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus…” (Surah Al-Hujurat: 7)

Daripada dua ayat di atas jelaslah sebagai manusia yang dianugerahkan akal fikiran kita seharusnya mengutamakan cinta kepada ALLAH dan Rasul-Nya mendahului cinta kepada manusia. Kerana ALLAH yang menciptakan kita. ALLAH juga menciptakan cinta dan hati. Jadi untuk memiliki cinta dan menakluki hati maka kita seharusnya mencintai Pencipta Cinta dan Pemilik Hati.

SELEPAS tertanam kuat dalam hati mencintai ALLAH dan kekasih-Nya sebagai yang utama, cinta kepada manusia pasti lahir dengan fitrah semula jadi yang dihiasi reda-Nya.

Dalam Surah Ar-Rum ayat 21 dan Surah At-Tahrim ayat 6, ALLAH menjelaskan setiap pasangan itu dikurniakan kasih sayang yang dianugerahkan ALLAH dan sebagai orang yang beriman kita bertanggungjawab menjaga dirinya dahulu untuk mencintai ALLAH dan rasul dan mentaati segala arahan serta menjauhkan segala yang dilarang.

Cinta diredai

Pendakwah dan perunding motivasi, Siti Fatahiyah Mahamood berkata, setelah jiwa dan iman kita kuat barulah kita berfikir untuk berkeluarga dan mendidik keluarga ke jalan yang diredai dengan penuh cinta dan kasih sayang. Perlu dititikberatkan didikan tersebut juga perlu didasari dengan perasaan cinta dan kasih sayang.

“Tanpa kasih sayang, kita tidak akan mungkin dapat mendidik insan yang disayangi dengan ikhlas dan sepenuh hati. Di sini dapat kita lihat sekali lagi Islam menitikberatkan peranan perasaan kasih sayang dalam dakwah dan juga pendidikan.

“Berbalik kepada perbincangan berkaitan inti pati Surah Ar-Tahrim di atas, bagaimanakah seharusnya kita mendidik jiwa seseorang dan mendidik keluarga agar kita dapat kecapi kedua-dua cinta dan cita-cita?,” katanya kepada Rehal.

Menurutnya, untuk menghuraikan persoalan bagaimana mendidik jiwa seseorang itu untuk mencintai ALLAH dan rasul, Muslim itu hendaklah:

Mengawal akal fikirannya untuk memilih jalan yang diredai ALLAH melalui ibadat dan menjauhkan segala larangan kemaksiatan.

Melakukan segala ibadat dengan ikhlas niat kerana ALLAH tanpa menyekutukan-Nya.

Mendidik akal dan hati kita agar dapat mengamalkan Islam sebagai cara hidup secara sepenuhnya bukan hanya mengikuti separuh sahaja.

Beliau yang juga pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari (Acis), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam menjelaskan untuk mendidik ahli keluarga pula, pemimpin keluarga hendaklah:

Menunjukkan contoh teladan yang baik dalam semua aspek kehidupan. Ayat al-Quran di atas jelas menunjukkan bagaimana seseorang itu perlu mendidik akal dan jiwanya untuk mentaati ALLAH dan Rasul-Nya. Dalam hadis Rasulullah SAW juga banyak mendidik kita dalam semua aspek kehidupan agar dicontohi.

Memberi arahan atau nasihat mengikut waktu yang bersesuaian. Dalam hadis Rasulullah SAW banyak mengajar ibu bapa supaya menasihat ahli keluarga berkaitan hal yang umum secara terang-terangan di hadapan orang ramai atau pun secara bersendirian bagi menjaga penghormatan dan aibnya bagi perkara yang khusus. Rasulullah juga mengajar kita supaya mendidik dengan positif tanpa perasaan marah. ALLAH berfirman: “Disebabkan rahmat ALLAHlah engkau berlemah lembut. Sekiranya engkau berkeras hati nescaya mereka akan lari daripada sekitarmu. Maafkanlah mereka dan minta ampun untuk mereka…” (Surah Ali Imran: 159)

Mendoakan perkara yang baik untuk ahli keluarga dan menjauhkan mendoakan sebarang perkara keburukan. Riwayat Abu Daud dalam sabda Rasulullah SAW: “Janganlah kamu mendoakan perkara keburukan ke atas diri kamu, anak-anak kamu atau pembantu-pembantu kamu atau harta kamu kerana jika ketika bertepatan waktu dengan waktu ALLAH menurunkan pemberian kalian, sehingga doa kalian dimakbulkan ALLAH. Dalam Kitab Ihya Ulumuddin, Imam al-Ghazali juga melarang seorang ayah mendoakan keburukan ke atas anaknya yang durhaka.

Menguatkan minda dan fikiran anak-anak melalui pengajian al-Quran dan kisah-kisah yang terdapat di dalamnya.

Sentiasa memastikan keturunan kita keturunan yang beriman yang menjadikan al-Quran dan al-hadis sebagai rujukan utama dalam semua aspek kehidupan.

Mendidik ahli keluarga mencintai ilmu kerana melalui ilmu yang mampu membawa sesorang itu ke arah kejayaan. Ilmu yang berlandaskan syarak akan membawa kejayaan yang sempurna dalam mencapai kesempurnaan hidup dan dalam mencapai keredaan ALLAH.

Jelaslah untuk mencapai kejayaan dalam hidup seharusnya kita mendidik hati dan akal agar membawa cinta sebenarnya sebagai pembakar kepada cita-cita.

Marilah bersama kita amalkan garis panduan yang diberikan agar kejayaan yang dicitakan berlandaskan akar cinta kepada Pencipta sebagai yang utama. Jadikan diri kita contoh terbaik dalam mengejar cita-cita melalui reda cinta Pencipta agar mahligai cinta dan cita-cita membawa kejayaan dan kebahagiaan hingga ke hujung nyawa dan dibawa terus hingga ke syurga.

Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga