Hukum Mengembalikan Selaput Dara

Apakah maksud mengembalikan selaput dara? Mengembalikan selaput dara ialah proses untuk menampal semula selaput dara yang telah terkoyak atau proses untuk mewujudkan selaput dara yang baru bagi menggantikan selaput dara yang telah terkoyak. Selaput dara ini atau di dalam Bahasa Inggerisnya disebut hymen ialah lapisan membran yang nipis dan lembut yang terletak di antara mulut vagina bagi seseorang perempuan. Secara teorinya, selaput dara yang terkoyak sebelum perkahwinan disebabkan oleh beberapa faktor tertentu. Jika difikirkan secara negatif, tentulah koyakan selaput dara ini disebabkan berlakunya hubungan kelamin yang diharamkan oleh syarak. Tetapi jika difikirkan secara positif, koyakan selaput dara ini mungkin disebabkan oleh berlakunya sesuatu kemalangan yang mengakibatkan kecederaan di bahagian tersebut atau seseorang itu sejak dari azali lagi tidak mempunyai selaput dara.

Masyarakat dunia berbeza pandangan mengenai kepentingan selaput dara ini iaitu sebagai lambang keperawanan bagi seseorang wanita. Sebagaimana masyarakat Islam dunia berpendapat selaput dara ini merupakan lambang mahkota sejati bagi seseorang wanita, masyarakat barat pula beranggapan wanita yang memiliki dara ialah golongan yang tidak mempunyai pengalaman di dalam melakukan hubungan seksual dan mereka ini seolah-olah tidak berkeinginan untuk melakukan perkara tersebut.

Pada dasarnya, pembedahan untuk mengembalikan selaput dara ini merupakan isu baru yang muncul selepas berkembangnya ilmu sains perubatan ini. Kejayaan kepada pembedahan ini mengundang kepada kekusutan apabila wanita-wanita yang mengalami kekoyakan selaput dara sebelum menempuhi gerbang perkahwinan antara golongan awal yang melakukan pembedahan ini. Malah di dalam masyarakat Islam kini, wanita-wanita yang mampu untuk menempuhi gerbang perkahwinan tanpa sebarang halangan sama ada halangan dari keluarga atau masyarakat setempat juga memohon untuk melakukan pembedahan ini. 

Hal ini membuatkan para doktor yang melakukan pembedahan ini merasa bingung kerana mereka ini telah bersubahat dengan golongan wanita tersebut kerana menipu bakal-bakal suami mereka sepertimana golongan doktor ini berasa terpanggil untuk menyelamatkan golongan wanita ini dari sebarang skandal atau dibunuh akibat di pandang serong oleh masyarakat apabila dikatakan telah menjual kehormatan diri mereka. Sebenarnya, pembedahan untuk mengembalikan selaput dara ini bukan sahaja dilakukan oleh wanita-wanita yang belum berkahwin, bahkan juga dilakukan oleh golongan janda dan juga wanita-wanita yang telah diceraikan. 

Selain itu, hal ini juga mengundang kepada sesetengah golongan isteri untuk melakukan pembedahan ini agar sentiasa merasakan diri itu masih dara dan mengingatkan kepada pasangan suami isteri itu kepada malam pertama perkahwinan mereka.

Ahli-ahli Feqah kontemporari telah berselisih berpendapat berkaitan hukum melakukan pembedahan untuk mengembalikan selaput dara ini iaitu :

PENDAPAT PERTAMA :

Dibolehkan untuk mengembalikan selaput dara ini secara mutlak iaitu dalam apa jua keadaan sekalipun bagi wanita-wanita yang menginginkannya.

Golongan ini berhujjah dengan mengatakan tiada nas syarak yang melarang aktiviti ini. Aktiviti ini juga memungkinkan wanita itu untuk bertaubat atau mengelak dirinya dari kefasadan jika pembedahan mengembalikan selaput dara itu mempunyai tujuan yang tertentu. Selain itu, hal ini juga dapat memberikan kepuasan kepada pasangan suami isteri itu dalam melakukan hubungan seks. Ini kerana suami tersebut telah mengetahui status si isteri tersebut sama ada si isteri itu isteri yang telah dikahwininya atau seorang janda atau seorang yang telah diceraikan suaminya. Tetapi jika pembedahan itu dilakukan untuk membohongi suaminya bukan sahaja pembedahan itu diharamkan bahkan juga diharamkan untuk mendedahkan apa saja yang dilarang.

PENDAPAT KEDUA :

Diharamkan secara mutlak untuk melakukan pembedahan mengembalikan selaput dara ini.

Ini kerana antara perkara negatif yang akan berlaku ialah boleh meruntuhkan institusi perkahwinan yang dibina dan juga boleh mengundang kepada berlakunya jenayah pembunuhan. Selain itu, antara perkara negatif lain ialah berlakunya kecurangan, melihat aurat yang dilarang tanpa ada keperluan yang memaksa dan membuka kepada pintu penipuan. Jika wanita itu melakukan perkara tersebut kerana kesalahan dari dirinya sendirinya, maka dia perlu dijatuhi hukuman dan diberi peringatan dan teguran kepada wanita-wanita yang lain. Tetapi jika wanita itu tidak mampu untuk memelihara daranya atas sebab-sebab tertentu maka wanita itu diberi sijil kesihatan dari pihak doktor agar dapat membersihkan namanya dan keluarga dari dipandang serong oleh masyarakat.

PENDAPAT KETIGA :

Golongan ini melihat kepada permintaan untuk melakukan pembedahan ini terbahagi kepada 2 kategori :

PERTAMA : Golongan yang diharamkan untuk melakukan pembedahan mengembalikan selaput dara ini. Golongan ini terdiri daripada 4 golongan.

1) Pelacur yang dikenali dengan sifat buruknya itu. Ini kerana menyembunyikan perkara ini tidak membawa apa-apa manfaat kepadanya sedangkan dia bersenang-senang dengan sesiapa sahaja yang diinginkannya. 

2) Janda yang kematian suami selepas disetubuhi. Ini kerana golongan ini tidak berhajat untuk mengembalikan daranya kerana dia mampu untuk menjalinkan hubungan dengan orang lain selepas dikahwininya. 

3) Wanita yang diceraikan suaminya selepas disetubuhi. agar ikatan perkahwinan itu terbina secara terang-terangan. 

4) Isteri yang ingin mengingatkan suaminya saat malam pertama perkahwinan mereka. Ini kerana perbuatan ini bukan untuk bersenang-senang semata-mata dan dalam masa yang sama golongan isteri ini akan mendedahkan aurat mereka yang dilarang tanpa ada sebarang kemudharatan.

KEDUA : Golongan yang dibolehkan untuk melakukan pembedahan mengembalikan selaput dara. Golongan ini terdiri daripada 2 golongan. 

1) Sesiapa yang mengalami koyakan selaput dara bukan dari jalan maksiat. Koyakan selaput dara ini membuatkan golongan wanita itu dipandang serong oleh masyarakat. 

2) Sesiapa yang mengalami koyakan selaput dara itu melalui jalan yang dikeji tetapi perbuatannya itu tidak diketahui oleh sesiapapun. Pembedahan mengembalikan selaput dara ini membuka pintu taubat bagi wanita tersebut. Ini kerana Allah SWT telah menyembunyikan perkara tersebut dari diketahui oleh umum maka tiada larangan baginya untuk melakukan perkara tersebut. Hal ini seperti Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang berbunyi :

Seorang hamba yang menyembunyikan perihal hamba yang lain di dunia, Allah SWT akan menyembunyikan perihalnya pada hari Qiyamat.

Jadi jelaslah perubahan di dalam arus masyarakat dan perkembangan dari segi ilmu pengetahuan dan pemikiran membuatkan ahli-ahli Fiqh memerlukan usaha yang lebih mendalam dalam meletakkan sebarang kawalan dan undang-undang yang membezakan di antara kebebasan individu dan juga kesejahteraan masyarakat.

Pengguguran Janin Dari Prospek Perubatan Menurut Perspektif Islam

Pengguguran ialah membuang janin yang terdapat di dalam rahim seseorang wanita yang hamil yang mana janin tersebut masih belum cukup sifat atau masih belum cukup tempoh yang memungkinkannya untuk hidup. Sebenarnya pengguguran ini merupakan suatu masalah yang telah lama melanda sejarah tamadun manusia dan juga perundangannya. Namun selepas berlakunya perkembangan khususnya di dalam bidang ilmu sains dan pengetahuan, isu ini merupakan antara isu kontemporari yang cuba dibasmi oleh semua pihak. 

Selain itu, janji para doktor kepada kepada semua individu masyarakat yang akan membantu agar janin-janin ini dapat hidup sejak dari peringkat permulaan kehamilan iaitu ketika bercantumnya benih lelaki (sperma) dan benih wanita (ovum) membuktikan isu ini tidak sepatutnya berlaku. Ini kerana pada peringkat permulaan ini, sel-sel manusia akan membentuk objek-objek yang berbeza yang akan melalui tempoh-tempoh tertentu sehingga lahirnya bayi tersebut. Menurut pandangan syarak janin ini perlu dipelihara di dalam semua peringkat perkembangannya kerana kehidupan yang dimiliki oleh janin adalah suatu kehidupan yang mesti dihormati. Ia dianggap makhluk hidup yang wajib dipelihara dan dijaga sebaiknya. Lalu hukum syarak itu sendiri telah menetapkan agar tidak boleh melakukan penganiayaan ke atas janin ini dengan menggugurkannya kecuali di dalam keadaan darurat atau berdasarkan keperluan perubatan.

Ahli-ahli Fiqh telah bersepakat dengan menyatakan haram melakukan pengguguran janin ini untuk tujuan penganiayaan atau melakukan kezaliman dalam apa jua keadaan sekalipun berdasarkan Firman Allah SWT yang berbunyi :

Dan janganlah kamu menceroboh(menganiaya) kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh(orang yang melakukan penganiayaan).

Tetapi jika pengguguran itu dilakukan secara terpaksa kerana berlakunya sesuatu kemudharatan maka perbuatan itu tidak mendatangkan dosa sepertimana sebuah Hadis Nabi SAW yang berbunyi :

Tidak dikira segala amalan umat-umatku yang dilakukan kerana tersalah, terlupa atau terpaksa melakukannya.

Selain itu Allah SWT juga telah berfirman di dalam Al-Quran yang berbunyi :

Kemudian sesiapa yang terpaksa (kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

Dalam apa jua keadaan pengguguran sekalipun, setiap waris yang menggugurkan janin itu diwajibkan untuk mengeluarkan denda (diyat) atau harta pampasan yang dikenali sebagai "ghurrah". Nilai diyat yang dikenakan ialah 150 Dinar jika dihitung dengan nilai emas iaitu kira-kira 425 gram emas atau 600 Dirham jika dihitung dengan nilai perak iaitu kira-kira 1740 gram perak. Tetapi jika pengguguran tersebut dilakukan pada suatu tempoh tertentu di dalam waktu kehamilan, maka waris janin tersebut tidak perlu membayar denda (diyat) tersebut. 

Namun para Fuqaha' berselisih pendapat berkaitan tempoh tersebut. Menurut pendapat Imam Malik, hak bagi janin tersebut tersabit sejak hari pertama kehamilan lagi. Ini kerana kesempurnaan janin tersebut tidak akan berlaku jika tidak dipeliharanya sejak dari permulaan penciptaan janin tersebut. Menurut pendapat dari Jumhur Fuqaha' pula, hak janin itu tersabit apabila ditiup ruh kepadanya iaitu apabila menjangkau hari yang ke 120 sejak dari permulaan kehamilan. Ini kerana sebelum dari tempoh tersebut, janin itu masih dikategorikan sebagai segumpal darah dan isi. Hal ini berdasarkan sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang berbunyi :

Daripada Ibn Mas'ud sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda : kejadian seseorang manusia itu dikumpulkan di dalam perut ibunya selama 40 hari. Setelah genap 40 hari kedua, terbentuklah segumpal darah beku. Manakala genap 40 hari ketiga, berubah pula menjadi segumpal daging. Kemudian Allah SWT mengutuskan seorang Malaikat untuk meniupkan ruh kepadanya.

Bagi pendapat yang masyhur di kalangan Mazhab Hanbali pula menyatakan hak janin itu tersabit apabila telah sempurna penciptaannya di dalam perut ibu iaitu selepas berlalunya tempoh 6 bulan dari awal kehamilan. Ini kerana golongan ini berpendapat jika sebelum sampai tempoh tersebut, janin itu tidak mungkin dapat hidup jika dilahirkan.

Jadi jelaslah di sini, kemajuan di dalam bidang perubatan ini membuka prospek di dalam bidang Fiqh berkaitan dengan janin ini. Antaranya ialah tempoh yang ditetapkan untuk menggugurkan janin yang cacat iaitu pada minggu-minggu pertama kehamilan dengan melakukan pengguguran yang bukan bertujuan untuk melakukan penganiayaan dengan nasihat dan dilakukan oleh doktor pakar. 

Selain itu, antara prospek lain ialah pengguguran yang dilakukan di dalam keadaan seseorang ibu yang hamil itu tidak mampu untuk melahirkan anak tersebut atau mengalami kesukaran ketika mengandungkan bayi tersebut yang boleh mendatangkan kebinasaan atau meragut nyawa ibu itu. Adakah para Jumhur Fuqaha' akan berpegang dengan pendapat yang menyatakan tiupan ruh kepada janin itu menjadi asas utama untuk menghormati janin tersebut dan diwajibkan ke atas sesiapa yang menggugurkan janin itu untuk membayar denda (diyat) seperti yang dinyatakan di atas? Ataupun jelas bagi mereka kebijaksanaan Imam Malik dalam melontarkan pendapat yang mensabitkan penghormatan pada janin itu sejak dari hari pertama kehamilan lagi? Ini semua bukanlah pengakhiran kepada kajian dari segi perubatan ini. Ini kerana Imam Malik bersandarkan kepada penelitian dari segi akal dalam mengeluarkan pendapatnya. 

Manakala bagi golongan perubatan moden pula mereka bersandarkan kepada penelitian dari sudut ilmu sains itu sendiri dalam mengeluarkan pendapat mereka. Jadi secara dasarnya perkara ini masih memerlukan kajian dan perbahasan yang lebih mendalam agar segala kemungkinan yang berkaitan dengan isu ini dapat dikenalpasti dan di atasi.

Pengguguran Bayi Bagi Ibu Yang Menghidap AIDS

Setiap hari kita dapat mendengar berita-berita dari media massa berkaitan penularan wabak AIDS. Menurut kajian dari pihak perubatan dan sains, nisbah berpindahnya wabak AIDS dari seorang ibu yang mengandung kepada kandungannya ketika waktu hamil hanya satu nisbah yang sangat kecil iaitu tidak melebihi 10 peratus. Dan perkara ini tidak berlaku kecuali pada bulan-bulan akhir kehamilan.

Akibat dari perkara inilah telah timbul satu masalah di dalam masyarakat pada masa kini iaitu menggugurkan kandungan tersebut bagi ibu yang menghidap AIDS ini untuk mengelakkan lahirnya seorang bayi yang djangkiti virus AIDS ini. Ini kerana virus ini akan lebih cepat merebak kepada bayi tersebut berbanding ibunya kerana antibodi badannya yang masih lemah dan belum kuat untuk melawan virus tersebut. Perubatan moden masa kini menimbulkan kemungkinan proses penguguran ini dilakukan lebih awal untuk memelihara masyarakat dari turut dijangkiti virus ini.

Ahli-ahli Feqah pada masa kini berbeza pendapat mengenai masalah pengguguran bayi bagi ibu yang menghidap penyakit AIDS ini :

PENDAPAT PERTAMA : Dibolehkan bagi ibu yang menghidap AIDS ini menggugurkan kandungannya sebelum peringkat ditiupkan roh iaitu sebelum sampai tempoh 40 hari kehamilannya. Dan ada juga pendapat yang mengatakan sebelum tempoh 120 hari. Pendapat ini merupakan pendapat yang dikeluarkan oleh Dar Al-Ifta' Mesir di dalam himpunan fatwa-fatwa mereka.

Hujjah mereka bagi pendapat yang pertama ini ialah janin yang masih belum ditiupkan roh ini dihukumkan hanya sebagai gumpalan darah, cairan atau hanya sebagai ketumbuhan sepertimana mengikut pendapat jumhur mazhab. Darah dan cairan ini haram untuk di ganggu ketika di dalam rahim ibu. Tetapi jika terbukti si ibu tersebut menghidap AIDS maka bayi tersebut turut terdedah kepada virus AIDS ini. Bagi mengelakkan perkara ini berlaku maka dibolehkan menggugurkan darah (janin) tersebut.

PENDAPAT KEDUA : Tidak dibolehkan sama sekali untuk menggugurkan bayi tersebut kecuali di dalam keadaan darurat dengan tujuan untuk menyelamatkan ibu tersebut. Pendapat ini dikeluarkan oleh Pertubuhan Perubatan Islam pada Muktamar mereka yang ke-7 yang diadakan di Kuwait pada tahun 1993 kemudian dijadikan sebagai satu resolusi oleh Pertubuhan Persidangan Islam melalui persidangan mereka yang ke-9 pada tahun 1995.

Hujjah mereka bagi pendapat ini ialah melalui dalil larangan untuk membunuh individu seperti yang termaktub di dalam Al-Quran

Selain itu mereka juga menyatakan berpindahnya virus AIDS ini dari ibu yang mengandung kepada janinnya merupakan satu perkara yang jarang berlaku kecuali sampainya janin itu ke peringkat selepas ditiupkan roh. Maka tidak boleh untuk menjatuhkan hukum ke atas roh tsebut.

PENDAPAT KETIGA : Dibolehkan bagi ibu yang dijangkiti AIDS menggugurkan bayi tersebut sebelum sempurnanya penciptaan bayi itu iaitu sebelum berlalunya tempoh 6 bulan kehamilan. Pendapat ini dinyatakan oleh sebahagian dari ahli Feqah.

Hujah mereka bagi pendapat ini ialah seperti yang dikeluarkan dari pendapat Imam Ahmad yang masyhur yang menyatakan sesungguhnya janin ini tidak ada satu hak pun dari segi syarak kecuali telah sempurna padanya gambaran manusia.

PENDAPAT KEEMPAT : Bergantung kepada keadaan. Jika janin tersebut telah dijangkiti AIDS maka boleh digugurkan sebelum tempoh ditiupkan roh, tidak kira samada ibunya dijangkiti AIDS atau tidak. Tetapi jika janin tersebut selamat dari jangkitan tersebut maka tidak dibolehkan untuk menggugurnya.

Hujjah pendapat ini ialah setiap pengguguran yang berlaku selepas ditiupkan roh ditegah oleh syarak manakala pengguguran yang berlaku sebelum ditiupkan ruh juga pada asalnya di tegah kecuali jika ada maslahah yang membolehkannya.

Pendapat yang dipilih tentang masalah ini ialah pendapat yang pertama iaitu dibolehkan menggugurkan bayi bagi ibu yang dijangkiti AIDS sebelum tempoh 120 hari kehamilan kerana pada tempoh ini ia masih dikira sebagai darah dan ketumbuhan demi untuk memelihara nyawa ibunya.

Syifa'ul Qalbi

Listen to Quran

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga