Mengapa Kita Tak Kaya-kaya?

Artikel kali ini mungkin kata-kata yang biasa kita dengar dalam kehidupan seharian kita. Namun suka untuk saya kongsikan juga sebagai peringatan. Manusia itu kan mudah lupa, jadi harus diingatkan selalu. Mungkin sesetengah orang akan bertanya pada Allah "kenapa aku masih hidup miskin sedangkan aku bekerja kuat dan tak putus-putus berdoa".

Kenapa agaknya?

Kalau soalan "kenapa" tentu hanya Allah yang boleh menjawabnya. Tapi soalan saya "kenapa agaknya".

Dari segi logik akal kenapa Allah tidak memakbulkan doa kita untuk menjadi kaya?

Mungkin,

1. Allah tahu jika kita menjadi kaya kita akan menjadi sombong
2. Allah tahu jika kita menjadi kaya kita akan lupa berdoa kepadanya
3. Allah masih mahu menguji kita sejauh mana kita akan bersabar dengan ujian berada di dalam kemiskinan / kesederhanaan sama ada kita merungut, atau tidak
4. Belum masanya Allah mahu berikan kita kesenangan kepada kita dengan kemewahan

Terlalu banyak kemungkinan yang kadang-kala tidak terjangkau oleh pemikiran kita. 

Allah tahu sesuatu yang kita tidak ketahui.

Allah mahu kita sentiasa meminta dan merayu kepadaNya. Tetapi jangan pula kita meminta yang bukan-bukan. Jika sekadar meminta dan berdoa pun tanpa usaha jangan bermimpi Allah akan tunaikan hasrat kita. Allah akan memberi mengikut kemampuan kita. Tapi tidak mustahil juga Allah akan memberi sesuatu kepada hambaNya walaupun hambaNya kurang usaha dan itu dinamakan Istidraj. Itu juga adalah salah satu bentuk ujian.

Manusia kadang-kala nampak kekayaan itu hanya dari segi material sahaja. Kaya harta belum tentu bahagia. Kebahagiaan itu juga adalah satu kekayaan. Pernah tidak kita rasa "mudahnya urusan aku" , satu perkara selesai tanpa ada masalah yang serius. Mungkin doa kita dah dimakbulkan cuma dalam bentuk yang lain.

Allah tak berikan kita kekayaan tapi Allah permudahkan urusan kita. Apa guna banyak duit tapi banyak kesulitan dalam hidup? Apa guna gaji besar tapi hutang keliling pinggang. Pernahkah kita terasa duit yang ada pada kita sekejap sahaja habis dan kita tidak nampak apa yang kita beli? Mungkin ini juga ada kaitan dengan keberkatan. Ada orang gajinya kecil namun mampu membeli macam-macam. Simpanannya, juga sudah banyak berbanding kita yang gaji lebih besar tapi langsung tak ada simpanan. Fikir-fikirkan.

Allah menurunkan ujian kerana Allah mahu kita sentiasa ingat padaNya. Contohnya, ujian perasaan. Kadang-kala kita merintih kenapa Allah seksa jiwa dan perasaan kita kerana masih ingatkan kisah cinta yang mungkin dah berakhir 4 atau 5 tahun lepas sehingga kita tutupkan hati kita pada orang lain.

Sedangkan si dia dah bergembira bersama orang lain? Kenapa? Manusia sering bertanya kan. Persoalan-persoalan yang dicipta itu sangat bagus jika kita fikirkan sebab musababnya. Bukan merintih kenapa dan terus merintih. Kerana Allah mahu kita sentiasa dekat padaNya. Sentiasa menyebut namaNya. Percayalah suatu hari nanti pasti Allah akan gantikan perasaan itu kepada insan yang benar-benar layak untuk kita.

Kita juga kena ingat dan terapkan dalam diri kita, kekayaan itu satu ujian. Memang saya pun kalau boleh inginkan harta yang banyak, nak beli apa pun boleh tetapi kalau dengan menjadi kaya mampu membuatkan saya melupakan Allah, saya redha jika saya hanya berada di level sederhana. Cukup makan dan pakai serta boleh membahagiakan keluarga.

Letakkan keyakinan dan kepercayaan pada Allah swt. Put your belive in Allah. Insya-Allah.

Mengapa Allah Sebut Mati Dahulu Sebelum Hidup?

Dalam Al-Quran Allah berfirman:Maksudnya:

"Tuhan yang menjadikan mati dan hidup supaya menguji manusia siapa di kalangan mereka itu yang baik amalannya." (al Mulk: 2)

Di sini ada dua perkara yang akan dihuraikan:

1.Tuhan jadikan mati dan hidup
2.Tuhan jadikan manusia di dunia untuk diuji, siapakah yang baik amalannya.

Kalaulah kita yang sebut ayat ini, bukan Tuhan yang menyebutnya tentu kita berfikir secara lojik akal, kita akan sebut hidup dahulu baru mati. Memang kenyataannya kita hidup dahulu baru mati. Tapi Tuhan sebut mati dahulu baru sebut hidup. Tuhan tidak sebarangan menyebutnya, walau pun satu huruf ada maksud dan hikmah, ada nilai yang besar di sisi Tuhan. Secara lojik akal tentu kita berfikir, tidak kisahlah yang mana dahulu, hidup atau mati. Menurut lojik akal, kita tidak kira yang mana dahulu tapi Tuhan tidak begitu. Satu huruf pun yang Tuhan sebut ada maksud, tidak secara suka-suka.

Mengapakah Tuhan menyebut mati dahulu dan tidak memilih hidup dahulu baru mati. Ini menunjukkan Tuhan hendak tarik perhatian manusia supaya kita memandang besar perkara mati, lebih daripada soal hidup. Mengapa? Sebab hidup di dunia hanya sementara. Hidup di Akhirat selama-lamanya kekal abadi. Hidup di dunia, sudahlah tidak lama, masa yang ada pun hanya sekejap sangat.

Cuba kita analisa tempoh hidup kita di dunia. Kita tidak usah fikirlah masa dalam kandungan, bayi, kanak-kanak dan sebelum baligh, itu tidak ada erti apa-apa. Kehidupan seorang manusia itu sejak lahir sahaja hingga menjelang baligh, tidak ada erti apa-apa. Sebab masa itu manusia tidak ada kebebasan, hidupnya betul-betul bergantung pada ibu dan ayahnya. Sebahagian masa kita sedar, sebahagiannya tidak. Sejak waktu bayi sampai usia lima tahun kita tidak sedar. Dari lima tahun hingga baligh baru sedar, itupun tidak indah, keadaannya terkongkong oleh ibu dan ayah. Masa yang kita hendak ambil kira ialah sejak mula baligh, secara puratanya umur 12 tahun.

Kita akan kira dari umur kita 12 tahun. Paling lama berapa tahun manusia hidup? Katalah hidupnya 100 tahun. Jadi hidup prime time kita kira 100 kurang 12 tahun, iaitu 88 tahun. Tapi katalah dari umur 80 hingga 100 tahun sudah nyanyuk, jadi 20 tahun itu sudah tidak di kira. Kita tolak lagi 88 dengan 20, jadi tinggal 68 tahun sahaja. Hidup selama 68 tahun itu pun jarang dapat, mungkin dalam 1000 orang, seorang sahaja. Tapi pada umumnya, panjang masa manusia dapat hidup adalah sekitar 40 hingga 50 tahun sahaja masa primanya, setelah itu mati. Jadi kita hendak bahaskan masa yang 50 tahun

Di sini Tuhan hendak mengambil perhatian kita supaya besarkan Akhirat. Walaupun kita hidup istimewa, sejak lahir sahaja sudah berada dalam kekayaan, 50 tahun hidup dalam kekayaan. Nampak hebatlah, rumah besar, makan besar, pangkat besar dan di besar-besarkan orang sampai ke mati. Kalau dalam masa 50 tahun ini, kita tidak ikut disiplin Tuhan, dalam masa itu diuji oleh Tuhan 50 tahun hidup istimewa, lepas itu kena hidup dalam Neraka selama-lamanya. Bila kita gagal berhadapan dengan ujian Tuhan walaupun hidup istimewa, tapi kita akan berhadapan dengan 4 penderitaan.

1. Penderitaan sewaktu mati

Mati ini kita tidak boleh ukur pada pandangan lahir semata-mata. Kalau di ukur secara lahir, kadang-kala orang berkata, "Si Polan itu nampaknya senang matinya, bagus matinya, nampak elok sahaja, mudah sahaja," itu kata kita yang menilai lahirnya sahaja sedangkan di waktu itu dia sudah berada di alam lain, bukan di alam kita. Kita tidak boleh mengukur alam syahadah dengan alam lain. Penderitaan yang dihadapi oleh orang yang hendak mati bukan kita tahu.

Rasulullah SAW pernah berkata bahawa orang yang mati dalam penderitaan itu ada tanda-tandanya, di antaranya ialah:

- mata terbeliak
- telinga kembang
- berbunyi macam kerbau berdengkur

Itulah di antara ciri-ciri orang yang mati di dalam azab. Jadi orang yang gagal ujian Tuhan walau dia kaya sekalipun, hidup senang, dilayan istimewa, tidak pernah susah hanya sekitar 50 tahun, tapi selepas itu tetap tidak akan terlepas daripada penderitaan mati. Itu nisbah seorang yang kaya raya, kita tidak cakap tentang orang biasa, yang kadangkala susah, kadangkala senang hidupnya. Ini kita cakap tentang orang yang 50 tahun hidup dengan penuh istimewa sungguh, dunianya syurga, tidak pernah sakit, tidak pernah susah tidak pernah orang kata, tidak pernah orang hasad dengki. Tapi bila gagal menjalani ujian Tuhan, selepas itu yang pertama dihadapi adalah penderitaan mati.

Hadis juga ada menceritakan sakit mati itu bagaikan 300 tetakan pedang. Bayangkan kalau sekali orang sembelih kita, walaupun kita tidak pernah alami, tentu terasa sakitnya, sedangkan sakit mati itu ialah 300 kali ganda. Walaupun nampak macam sekejap sahaja hilang nyawa tapi sebenarnya macam dapat 300 tetakan.

2. Penderitaan di alam kubur

Sewaktu di tanam, Hadis mengatakan, apabila orang yang mengiringi jenazah sudah balik, setelah tujuh langkah bermulalah penderitaan kubur. Pertama kejahatan kita itu dilembagakan. Kerana busuknya kalaulah tercium, orang di dunia boleh mati, bahkan akan mati makhluk seluruh dunia. Kemudian orang yang mati itu akan bertanya, "Kau siapa?" Lembaga itu akan menjawab, "Aku ini kejahatan engkau." Lepas itu barulah malaikat datang, bertanya pula, bila tidak dapat jawab, disebat hingga terperosok ke dalam tanah 70 hasta, setiap kali ditanya dan tidak boleh jawab malaikat akan sebat dan terperosok lagi sampailah kiamat, apakah mampu menanggung azab itu?

3. Penderitaan Padang Mahsyar

Antara penderitaan Padang Mahsyar, bagi orang jahat, matahari berada di atas ubun-ubun. Kerana banyaknya manusia di Padang Mahsyar, dalam Quran diceritakan betis-betis bertindih macam rokok dalam kotaknya, rapat, padat, ketat. Tuhan biarkan beratus tahun dalam keadaan begitu hingga peluh keluar dan manusia tenggelam dalam peluhnya. Sanggupkah?

4. Penderitaan Neraka

Penderitaan paling dahsyat adalah Neraka. Manusia nanti kena meniti Siratal Mustaqim. Orang yang jahat akan jatuh ke Neraka. Penderitaan Neraka di antaranya; kaki dengan tangan diikat, dicantum pada tengkok dan dibelenggu. Api membakar, menyala, panasnya 90 kali ganda api yang ada di dunia. Api yang paling kuat di dunia dianggap satu, di Neraka ditambah power 90 kali ganda lagi panas, apakah larat? Disebat setiap hari oleh malaikat, bila lapar diberi makan zakum, iaitu bara api Neraka. Apakah larat? Bagi orang kafir, kekal selamanya dalam Neraka, bagi orang Islam yang buat dosa, tidak kekal, tapi mungkin sejuta tahun, 3000 tahun, seribu tahun. Apakah larat?

Jadi orang yang waktu hidup di dunia tidak ikut disiplin Tuhan kemudian dia tidak tahan diuji Tuhan, maka ada empat penderitaan tadi yang akan ditempuh. Oleh itu kalaulah orang tahu hakikat ini, maka kerana Tuhan, susah di dunia pun tidak mengapa. Kesusahan 50 tahun di dunia tidak sama dengan susah yang empat jenis tadi itu. Di dunia ujian paling susah mungkin kena langgar kereta dan mati, jatuh ke laut, mati lemas, sakit kuat lalu mati. Tapi tidaklah tersiksa sangat berbanding dengan kesusahan di Akhirat nanti. Sebab itulah tidak pelik mengapa Tuhan sebut tentang Akhirat dahulu baru dunia.

Cuba kita lihat realiti yang berlaku hari ini, bila disebut antara dunia dan Akhirat, manusia lebih cenderung untuk memikirkan tentang yang dekat iaitu dunia berbanding Akhirat yang jauh. Lebih mengambil berat tentang dunia berbanding Akhirat. Ertinya kalau nisbah dunia dan Akhirat kita fikir yang dekat iaitu dunia. Tapi kalau di antara dunia dengan dunia kita tidak fikir yang dekat, kita fikir jauh. Di dunia seseorang itu akan fikir untuk masa depannya, sanggup belajar jauh di luar negara, jual tanah, jual aset, dan berfikir biar susah dahulu asalkan senang kemudian.

Nisbah kehidupan di dunia, manusia cenderung untuk fikir yang jauh, tidak fikir yang dekat, tapi nisbah Akhirat dia tidak fikir yang jauh, padahal itu lagi berat. Akhirat lagi utama kerana ia kekal selama-lamanya. Untuk masa depan di dunia orang sanggup susah payah belajar, ambil PhD di Amerika, pinjam duit merata-rata, tapi tidak mengapa susah dahulu, nanti senang kemudian. Pandai pula berfikir susah dahulu senang kemudian. Mengapa tidak buat untuk Akhirat begitu?

Penderitaan dunia dan Akhirat itu jauh bezanya. Nisbah penderitaan dunia dengan Akhirat, susah di dunia ini macam digigit nyamuk, manakala di Akhirat macam dibaham singa. Walaupun sebenarnya kadarnya bukan sebegitu tapi itu sahaja yang boleh kita cuba bandingkan. Yang kita takut sangat nyamuk gigit sampai sanggup ambil risiko dibaham singa mengapa? Sebenarnya bandingannya entah berapa ribu kali ganda.

Nikmat dunia ini apalah sangat? Nisbah makan, apa yang paling sedap? Katalah durian. Lepas makan durian ke mana? Tak ke istana tapi ke tandas. Tapi nisbah makanan di Akhirat, katalah kita makan epal, kita gigit kali pertama, lain rasanya, gigit lagi kali ke dua sudah lain pula rasa, bertambah sedap, bertambah sedap lagi, sudahlah bertambah sedap, tidak sakit perut, tidak ke tandas selepas itu. Tapi orang tidak nampak itu semua, orang nampak durian di dunia, tidak nampak durian di Akhirat. Katalah ada 100 jenis buah, dalam sekelip mata boleh makan 100 jenis itu. Tidak sakit perut, tidak ke tandas! Betapa indahnya Akhirat!

Di Syurga, orang yang paling lemah iman dapat 50 bandar, bukan bandar macam Kuala Lumpur atau New York, tapi tidak dapat digambarkan keindahannya. Kalau di dunia, katalah orang hadiah kita 50 bandar macam Kuala Lumpur, itu malah menyusahkan. Yang kedua, bolehkah lawat semua? Hari ini secara detail kita tidak boleh melawat semua. Tidak mampu. Kalau mampu pun tentu letih, jemu, fed-up, apa indahnya lagi? Sedangkan di Akhirat, teringat sahaja sesuatu, tidak sampai seminit semua dapat lihat. Yang imannya lebih tinggi lagi banyak dapat bandar. Bila mahu melawat dalam sekelip mata boleh lawat semua. Ingat sahaja, katalah kita ingat sesuatu di New York, niat sahaja sudah sampai. Teringat sesuatu di Kuala Lumpur, niat sahaja sudah sampai. Katalah hendak lawat dengan kapal terbang, kapal terbang tidak jatuh. Kalau kita minta dijatuhkan sedap pula dijatuhkannya. Tak takut.

Kalau isteri, ada seribu, 2000, 3000, di antaranya bidadari. Walaupun bidadari istimewa, isteri kita besok ketua isteri-isteri, kalau isteri kita masuk Syurga sama. Kalau tidak masuk Syurga sama, habislah. Jadi ketua isteri itu isteri kita yang solehah. Di Syurga kehidupannya tidak pernah bergaduh, berkasih sayang sepanjang masa. Teringat gaduh pun tak. Tenggelam dalam nikmat dan tidak jemu.

Di Akhirat penderitaannya dahsyat, nikmatnya pun dahsyat, sebab itu Tuhan sebut mati dahulu. Sebab is besar, sedangkan dunia kecil tidak ada harga. Sebab itu di sisi Tuhan dunia ini kalau ada nilai setakat sebelah sayap nyamuk, dan orang jahat tidak akan dapat apa-apa.

Kerana dunia ini tiada nilai di sisi Tuhan, maka orang jahat diberi banyak, siapa paling jahat dapat lebih banyak, yang baik-baik, makin tidak dapat. Macam Rasul-rasul, Tuhan tidak bagi kekasih-Nya perkara yang tidak ada nilai. Dunia ini untuk orang jahat, sila ambil. Untuk para kekasih Tuhan, Tuhan berkata: "Engkau kekasih-Ku, Aku hendak simpan di Syurga."

Setelah kita buat perbandingan dunia Akhirat, munasabahlah Tuhan sebut mati dahulu sebelum Akhirat supaya kita bagi tumpuan pada Akhirat daripada dunia. 

Kisah JUHA

Juha Al-Kufi Al-Fazzari, juga dikenali sebagai Abul Ghusn adalah seorang yang terlalu pelupa dan lurus walaupun cerdik, sehingga perjalanan hidupnya banyak yang aneh. Ibunya adalah khadam kepada ibu Anas bin Malik, sahabat Nabi SAW.

Al-Jauhari di dalam kitab menamakannya Juha. Pengarang kitab “Al-Qamus” mengatakan bahawa Juha adalah gelarannya, sedang namanya yang sebenar adalah Dajin bin Thabit. Akan tetapi Ibnu Hajar di dalam kitab “Lisanul Mizan” menafikan bahawa Juha adalah Dajin bin Thabit. Selain Juha Al-Kufi yang berbangsa Arab ini, ada lagi orang bernama Juha, tapi berasal dari Turki. Sehingga kadang-kadang kisah kedua-dua Juha itu bercampur.

Belakang Bererti Hadapan

Abu Bakar Al-Kalbi menceritakan pengalamannya ketika bertemu dengan Juha* di Kufah. Ketika itu dia sengaja datang ke Kufah untuk pergi ke rumah hakim. Sesampainya di sana dia berjumpa dengan seorang syeikh sedang duduk berjemur di panas matahari.

“Wahai Syeikh! Di mana rumah tuan hakim?” Tanya Abu Bakar Al-Kalbi kepada Syeikh itu.. “Wara’aka (di belakangmu).” Jawab Syeikh itu. Maka Abu Bakar pun berpatah balik ke belakang untuk mencari rumah yang dimaksud. “Subhanallah, mengapa engkau berbalik ke belakang?” Tegur Syeikh itu tiba-tiba.. “Tuan kata “di belakangmu”, jadi saya balik ke belakanglah.” Jawab Abu Bakar.. “Dengarlah saudara. Ikramah telah mengkhabarkan kepadaku dari Ibnu Abbas mengenai firman Allah ....” Lalu Syeikh itu membaca surah Al-Kahfi, ayat 79 yang ertinya:

“Kerana di belakang mereka ada seorang raja yang mengambil setiap perahu dengan paksa.”

“Ikramah berkata,” Kata syeikh itu lagi. “Di belakang mereka maksudnya di hadapan mereka.” Barulah Abu Bakar Al-Kalbi faham bahawa rumah tuan hakim yang sedang dicarinya ada di hadapannya. “Subhanallah......” Kata Abu Bakar kagum. Kemudian dia bertanya: “Syeikh ini Abu siapa......?” . “Abul Ghusn.” Jawabnya.. “Nama yang sebenar?” Tanya Abu Bakar lagi.
“Juha.” Jawabnya.

Ubbad bin Suhaib juga menceritakan pengalaman yang sama dengan Abu Bakar Al-Kalbi ketika datang ke Kufah. Dia datang ke kota itu untuk mendengarkan tilawah Al-Quran dari Syeikh Ismail bin Abi Khalid. Ketika dia sedang tercari-cari tiba-tiba bertemu dengan seorang Syeikh sedang duduk-duduk. “Wahai syeikh, di mana rumah Ismail bin Abi Khalid?” Tanya Ubbad bin Suhaib. “Terus ke belakang.” Jawab orang tua itu. “Jadi aku mesti berpatah balik?” Tanya Ubbad. “Aku cakap di belakangmu, mengapa mesti berpatah balik.” “Tuan cakap wara’aka, bererti kan di belakangku.” Kata Ubbad bin Suhaib. “Bukan begitu. Ikramah telah mengkhabarkan kepadaku tentang firman Allah “Wa kana wa ra’ahum”, maksudnya “di hadapan mereka.”

Ubbad kagum akan kecerdikan orang tua itu..“Siapa nama tuan?” Tanya Ubbad.. “Nama saya Juha.” Jawab orang tua itu.


Pekikan Jubah 

Abul Hasan menceritakan pula bahawa seorang lelaki telah mendengar suara orang berteriak dan mengadu kesakitan di rumah Juha.
.
“Aku mendengar suara pekikan di rumah tuan, apa gerangan?” Tanya lelaki itu kepada Juha. “Jubahku jatuh dari atas rumah.” Jawab Juha. “Err..hanya jubah jatuh pun sampai terpekik-pekik?” “Engkau ini bodoh. Jika engkau sedang memakai jubah, dan jubah yang dipakaimu jatuh, bukankah engkau ikut jatuh bersamanya?” Kata Juha.


Kubur Di Atas Tanah 

Suatu hari seorang jiran Juha meninggal dunia, maka Juha bertanggung jawab ke atas pengkebumiannya. Dia lalu pergi kepada tukang gali kubur untuk memesan sebuah kuburan. Akan tetapi terjadi pertengkaran antara Juha dan tukang gali kubur berkenaan dengan upah menggalinya.

Tukang gali kubur meminta upah sekurang-kurangnya lima dirham, dan kalau tidak, dia tidak mahu menggali kubur. Juha tidak setuju akan bayaran sebanyak itu. Tiba-tiba dia pergi ke pasar membeli beberapa biji kayu papan dengan harga dua dirham dan dibawanya ke perkuburan..“Buat apa kayu itu?” Tanya orang ramai.

“Tukang gali kubur tidak mahu menggali kuburan kalau tidak dibayar sekurang-kurangnya lima dirham. Aku beli papan ini dengan harga dua dirham sahaja. Aku akan tutup saja mayat jiranku itu dengan papan ini dan akan diletakkan di atas tanah perkuburan. Aku masih untung tiga dirham. Di samping itu, si mayat tidak terkena himpitan kubur dan terhindar dari pertanyaan Malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur.


Unta Minta Upah? 

Suatu ketika Juha pergi keluar untuk membeli gandum. Setelah gandum dapat, lalu dinaikkan ke atas untanya untuk dibawa balik. Tiba-tiba unta yang dikenderainya lari dengan membawa gandum yang baru digiling itu. Setelah beberapa hari kemudian, Juha menjumpai untanya. Akan tetapi Juha mengelak daripada dilihat oleh untanya.

“Mengapa engkau menyembunyikan diri dari untamu?” Tanya seseorang kepadanya. “Aku khuatir unta itu meminta wang tambang kepadaku. Oleh kerana itulah aku bersembunyi daripadanya.” Jawab Juha.

Pada suatu musim haji, ayah Juha keluar ke Makkah untuk mengerjakan ibadah haji.
Ketika ayahnya akan berangkat, Juha berpesan: “Ayah jangan terlalu lama pergi. Usahakan ada di sini semula pada Hariraya Aidiladha agar kita dapat menyembelih kurban bersama.”


Kambing Ajaib

Semasa remajanya, Juha pernah disuruh ke pasar oleh ayahnya untuk membelikan kepala kambing bakar. Dia pun pergi dan membeli sebuah kepala kambing bakar yang baik dan dibawanya pulang. Di tengah perjalanan, Juha berhenti dan membuka kepala kambing itu, lalu dimakannya kedua-dua matanya, kedua-dua telinganya, lidahnya dan otaknya. Kemudian sisanya yakni tengkorak- tengkoraknya dibawa pulang dan diserahkan kepada ayahnya.

Sudah tentu ayahnya sangat terkejut kerana kepala tersebut sudah kosong dan bahagian-bahagian lainnya juga hilang. “Celaka kamu, apa ini?” Kata ayahnya.. “Itulah kepala yang ayah minta.” Jawab Juha. “Mana kedua-dua matanya?” Tanya ayahnya lagi.. “Ia adalah kambing buta.” Jawab Juha.. “Mana kedua-dua telinganya.” . “Kambingnya tuli.” Jawab Juha. “Lidahnya juga tidak ada, ke mana?” Tanya ayahnya. “Kambing itu kelu agaknya.” Jawab Juha. . “Sampai pada otaknya juga tidak ada, ke mana?” “Kambingnya botak.” Jawab Juha. Ayahnya tidak dapat menerima kepala kambing yang tidak sempurna itu kerana merasa rugi. “Celaka engkau Juha. Sila kembalikan kepala kambing ini kepada penjualnya, dan tukar dengan yang lain.” Kata ayahnya. .“Pemiliknya telah menjual kambing itu tanpa sebarang cacat.” Jawab Juha.


Membeli Bangkai

Suatu hari Juha melihat budak-budak mempermain-mainkan seekor burung yang sudah mati. “Boleh jual kepadaku burung itu?” Tanya Juha. “Burung sudah mati akan engkau beli, buat apa?” Tanya budak-budak itu. “Aku memang ingin memilikinya.” . “Kalau nak juga, sila beli.” Kata budak-budak itu.

Juha membayar burung mati itu dengan harga satu dirham kemudian dibawanya pulang. Sesampainya di rumahnya, ibu hairan dan marah. “Hai Juha! Buat apa kau bawa burung yang sudah jadi bangkai itu?” Tanya ibunya. “Diamlah bu. Jika burung itu hidup, aku tidak sanggup mengeluarkan seratus dirham untuk membeli makanannya.” Jawab Juha.

Wuduk dan El Nino

Sebelum ini negara mengalami cuaca panas melampau dengan sesetengah kawasan mencatatkan suhu mencecah 37 hingga 40 darjah Celsius. Ia berpunca daripada fenomena El Nino yang melanda negara sejak Ogos 2015.

Pendedahan kepada cuaca panas memberi kesan terhadap kesihatan manusia seperti strok haba yang membawa kematian. Masyarakat perlu bersiap sedia dan mengambil tindakan yang sewajarnya menghadapi fenomena ini. Maklumat bagi krisis ini boleh dilayari melalui laman web Kementerian Kesihatan dan membuat pemantauan suhu di kawasan persekitaran melalui laman web Jabatan Meteorologi.

Dalam menangani situasi kepanasan melampau sebegini, ibadah wuduk disyariatkan Allah SWT sebagai amalan harian, bahkan diwajibkan untuk mendirikan solat lima waktu. Amalan ini mempunyai kelebihan luar biasa yang bertindak balas dengan diri manusia. Mengambil wuduk atau membasahkan diri dapat mengimbangi haba dan suhu badan. Ia boleh disifatkan sebagai ejen penyejuk yang boleh menyegarkan kembali tubuh badan. Penyejukan ini diperlukan bagi mengelak daripada berlakunya kepanasan badan melampau.

Penjelasan berkaitan wuduk dinyatakan secara jelas oleh Allah dalam Surah al-Maidah, ayat 6 yang menjelaskan anggota wuduk wajib dan cara mengerjakannya serta Surah an-Nisa’ ayat 43 yang menyatakan air sebagai agen penyucian wuduk serta perkara yang membatalkannya.

HIKMAH BERWUDUK

Wuduk mendidik umat Islam bertanggungjawab dalam memelihara kebersihan diri. Setiap hari anggota tubuh manusia pasti melakukan banyak aktiviti yang menjadi punca kekotoran dan jangkitan penyakit. Anggota yang paling banyak melakukan pekerjaan ialah tangan, kaki, mulut dan hidung. Anggota lain yang biasanya terdedah kepada debu dan kuman ialah muka, telinga serta kepala.

Justeru, wuduk dilakukan dengan menyapukan air ke bahagian-bahagian ini agar kuman dan kotoran yang menjadi punca pelbagai penyakit tidak bertapak lama pada anggota tubuh manusia. Wuduk merupakan satu agen penyucian fizikal manusia. Bahagian tubuh yang dibersihkan ketika berwuduk merupakan bahagian terdedah yang sentiasa menjadi tumpuan mikro organisma pembawa penyakit. Apabila berwuduk, bahagian kulit tersebut dibersihkan sekali gus berupaya menghindari jangkitan penyakit.

Penyucian fizikal yang dilakukan pada bahagian anggota wuduk, tidak dapat dipisahkan dengan penyucian rohani terhadap anggota tersebut. Oleh itu, umat Islam seharusnya sentiasa berusaha untuk berwuduk sekali gus menunaikan ibadah solat lima waktu seperti yang disyariatkan. Anggota-anggota yang sering berdosa disucikan dengan wuduk. Rasulullah SAW bersabda bermaksud :

“Apabila seorang hamba Muslim atau Mukmin berwuduk, lalu dia membasuh mukanya maka keluarlah dari mukanya segala dosa yang disebabkan oleh penglihatan matanya bersama dengan air atau bersama titisan air yang terakhir. Apabila dia membasuh kedua tangannya maka keluarlah dari kedua-dua tangannya segala dosa yang disebabkan oleh perbuatan kedua-dua tangannya bersama dengan air atau bersama titisan air yang terakhir. Apabila dia membasuh kedua-dua kakinya maka keluarlah dari kedua-dua kakinya segala dosa yang dilakukan oleh kedua-dua kakinya bersama dengan air atau bersama titisan air yang terakhir sehingga ia keluar dalam keadaan bersih dari segala dosa,” – Riwayat Muslim.

Wuduk mampu memberi kesan positif terhadap tubuh manusia sama ada secara jasmani mahupun rohani. Wuduk yang dilaksanakan mengikut tertib berupaya menghindarkan umat Islam daripada pelbagai penyakit yang berkaitan dengan fizikal manusia. Ia juga boleh menjadi terapi terbaik untuk kesihatan diri.

Secara fizikal, wuduk memberi kesan positif kepada jasmani manusia khususnya dari sudut kebersihan tubuh badan seseorang. Penggunaan air untuk berwuduk menunjukkan bahawa ibadah ini sangat berkait rapat dengan kebersihan dan kesihatan diri secara langsung kerana air mutlak yang digunakan merupakan air yang suci lagi menyucikan.

Oleh itu, umat Islam seharusnya sentiasa berusaha untuk berwuduk dan mengekalkannya selagi tiada keuzuran yang menghalang, malahan digalakkan memperbaharui wuduk.

Inilah wasatiyyah seorang Muslim yang sentiasa beristiqamah melaksanakan perintah Allah SWT, di samping menangani situasi bahang panas El Nino yang dihadapi.

Sama-sama kita berdoa kepada Allah supaya menurunkan hujan bagi mengatasi kemarau dan terhindar daripada kesan kepanasan melampau, semoga cuaca negara kita kembali pulih seperti sediakala.

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga