KARAMAH PENDAMPING AL-QURAN

PEMBACA al-Quran atau dalam bahasa dikenali sebagai qurra mempunyai banyak kelebihan. Selain pahala yang berlipat ganda, mereka juga mendapat ketenangan jiwa dan rasa damai. Berapa ramai orang yang menghadapi masalah yang berkaitan keluarga, kewangan dan lain-lain dapat mengatasinya dengan membaca al-Quran.

Jika melihat lembaran sejarah, guru al-Quran yang berkhidmat mengajar dan hidup bersama al-Quran telah diberikan anugerah yang tidak terlintas pada akal manusia biasa. Istilah yang sesuai digunakan untuk perkara seperti itu ialah karamah.

Karamah daripada sudut bahasa adalah kemuliaan. Istilahnya ialah sesuatu perkara luar biasa yang berlaku daripada keikhlasan seorang hamba yang telah jelas kebaikannya kerana ketekunan di dalam mengikuti syariat nabi dan mempunyai akidah yang benar.

Apa yang ingin dibawakan dalam perbincangan ini ialah anugerah dan kemuliaan yang Allah SWT berikan kepada hamba-Nya yang selalu berdampingan dengan al-Quran. Cerita yang pelik ajaib berkaitan qurra sebenarnya banyak dicatat oleh Imam Ibnu al-Jazari melalui beberapa penulisannya antaranya Ghayah al-Nihayah fi Tabaqat al-Qurra.

Berbau wangi

Sebagai permulaan, saya membawa satu kisah berkaitan seorang guru Quran terkenal di Madinah al-Munawarrah iaitu Imam Nafi' al-Madani. Selain mengajar al-Quran beliau juga adalah imam di Masjid Nabi selama 70 tahun. Sumbangannya cukup besar dan salah seorang muridnya ialah Imam Malik Ibnu Anas pengasas mazhab Maliki.

Karamah atau kemuliaan yang Allah SWT berikan kepadanya ialah mulutnya sentiasa berbau wangi sehingga mereka yang berada di sekelilingnya merasakan Imam Nafi' memakai wangian sebelum sesi pengajaran. Lantas beberapa muridnya bertanya soalan dan beliau menjawab: Aku tidak pernah menyentuh wangian tetapi aku melihat Rasulullah SAW dalam mimpiku membaca al-Quran dan menghembus ke arah mulutku. Semenjak itu mulutku berbau wangi.

Buta tapi terang hati

Perkara pelik sebegitu tidak boleh berlaku kepada kebanyakan orang walaupun mereka berusaha mendapatnya, tetapi ia anugerah Allah SWT.

Bagi Imam Syatibi yang meninggal pada 590 Hijrah, walaupun beliau adalah seorang yang cacat penglihatan tetapi hatinya begitu terang dan bersih. Hatinya mampu melihat apa yang tidak nampak oleh mata.

Setiap hari Imam Syatibi mengajar al-Quran. Ramai yang datang untuk bertalaqqi dan musyafahah dengan beliau. Memandang kepada ramainya yang datang, Imam Syatibi menggunakan kaedah sesiapa yang datang awal, dialah orang yang pertama membaca. Setiap kali sesi pengajarannya, beliau akan menyebut perkara itu.

Terjadi kisah seorang pelajar yang ingin menjadi orang pertama membaca di hadapan Imam Syatibi. Tetapi beliau telah berhadas di waktu malamnya. Dek ingin membaca tempat yang pertama, pelajar tersebut terlupa untuk mengangkat hadasnya. Ketika Imam Syatibi mengambil tempatnya untuk memulakan sesi pengajaran Imam Syatibi mengubah skrip yang selalu diucap sebelum pengajaran dengan berkata siapa yang datang kedua membaca dahulu.

Si lelaki yang datang pertama merasa pelik dengan arahan Imam Syatibi dan melakukan muhasabah apakah dosa yang telah dilakukan sehingga gurunya tidak menyuruhnya membaca dahulu. Lantas beliau teringat peristiwa semalam dan bergegas pergi mengangkat hadas.

Selepas siap semuanya, Imam Syatibi pun berkata siapa yang datang pertama membaca dahulu. Lihat bagaimana karamah atau kemuliaan yang Allah berikan kepada Imam Syatibi yang boleh merasakan di hadapannya orang berhadas yang tidak boleh membaca al-Quran.

Kehebatan tersendiri

Cerita karamah sebegini adalah untuk memberi maklum kepada kita bahawa al-Quran adalah kalam Allah SWT yang mempunyai kehebatannya yang tersendiri. Mereka yang memahaminya dan berkhidmat untuknya diberikan kelebihan. Namun begitu mereka yang tidak diberi karamah walaupun banyak membaca al-Quran sebenarnya tersilap tafsir.

Hakikatnya membaca al-Quran itu adalah satu ibadat yang besar nilainya dan perlu selalu berdoa semoga Allah SWT sentiasa memberikan masa yang cukup untuk membaca al-Quran pada siang dan malam hari.

Kesan Bacaan Al-Quran Terhadap Otak dan Organ Manusia

Dr. Al Qadhi, melalui penelitiannya yang panjang dan serius di sebuah klinik di Florida Amerika Syarikat, berjaya membuktikan hanya dengan mendengar bacaan ayat-ayat Al-Quran, seorang Muslim baik mereka yang fasih berbahasa Arab ataupun bukan, dapat merasakan perubahan fisiologi yang sangat besar.

Bunyi yang bergerak dari telinga ke otak akan memberi kesan kepada sel-sel otak. Saintis baru-baru ini mendapati bahawa bunyi dari bacaan Al Quran mempunyai kuasa penyembuhan yang menakjubkan. Membaca Al-Quran mempunyai kesan menakjubkan pada sel-sel dan mampu mengembalikan keseimbangan mereka, otak adalah organ yang mengawal badan dan daripadanya perintah datang ke seluruh organ-organ badan terutama sistem imun. 

Penurunan kemurungan, kesedihan, memperoleh ketenangan jiwa, mengubati berbagai macam penyakit merupakan pengaruh umum yang dirasakan oleh orang yang terlibat dalam penyelidikan beliau. Penemuan doktor psikologi ini tidak menentu. 

Penelitiannya ditunjang dengan bantuan peralatan elektronik terbaru untuk mengesan tekanan darah, degupan jantung, ketahanan otot, dan ketahanan kulit terhadap aliran elektrik. 

Satu sel kanser meletup dengan menggunakan frekuensi bunyi bacaan dari Al Quran sahaja! Itulah sebabnya membaca Al-Quran mempunyai kesan yang hebat untuk merawat kanser merbahaya dan penyakit yang tidak boleh diubati!

Dari hasil uji kajinya dia membuat kesimpulan, bacaan Al-Quran berpengaruh besar hingga 97% dalam melahirkan ketenangan jiwa dan penyembuhan penyakit. 

Kajian Dr. Al Qadhi ini diperkuatkan pula oleh kajian lain yang dilakukan oleh doktor yang berbeza. Dalam laporan sebuah kajian yang disampaikan dalam Persidangan Perubatan Islam Amerika Utara pada tahun 1984, disebutkan, Al-Quran terbukti mampu mendatangkan ketenangan sehingga 97% bagi mereka yang mendengarkannya. 

Molekul air membentuk perubahan apabila terdedah kepada bunyi. Bunyi amat memberi kesan kepada air yang kita minum. Jika anda membaca Al-Quran di atas air, ciri-ciri air akan berubah dan ia akan membawa kesan Al-Quran kepada setiap sel dalam badan yang menyebabkan penyembuhan.

Kesimpulan hasil uji kaji tersebut diperkuatkan lagi oleh kajian Muhammad Salim yang diterbitkan oleh Universiti Boston. Objek penelitiannya terhadap 5 orang sukarelawan yang terdiri dari 3 lelaki dan 2 wanita. 

Kelima orang tersebut tidak tahu bahasa Arab dan mereka pun tidak diberi tahu bahawa yang akan diperdengarkannya adalah Al-Quran. Virus dan kuman juga bergetar dan sangat dipengaruhi oleh getaran bunyi terutama bunyi Al-Quran, ia menghalang mereka dan pada masa yang sama meningkatkan aktiviti sel-sel sihat dan menghidupkan sel-sel yang terganggu supaya menjadi sedia untuk melawan virus dan kuman. 

Kajian yang dilakukan sebanyak 210 kali ini terbahagi dua sesi, yakni membacakan Al-Quran dengan tartil dan membacakan bahasa Arab yang bukan dari Al-Quran. 

Kesimpulannya, responden mendapatkan ketenangan sampai 65% ketika mendengar bacaan Al-Quran dan mendapatkan ketenangan hanya 35% ketika mendengar bahasa Arab yang bukan dari Al-Qur'an.

Al-Qur'an memberikan pengaruh besar jika diperdengarkan kepada bayi. Hal tersebut diungkapkan Dr. Nurhayati dari Malaysia dalam Seminar Kaunseling dan Psikoterapi Islam di Malaysia pada tahun 1997.

Gambar sebenar sel darah yang telah didedahkan kepada bunyi dan mula berubah medan elektromagnet di sekitarnya, bunyi bacaan Al Quran mengubah maklumat sel ini dan menjadikan ia lebih mampu melawan virus dan kecacatan Akibat daripada penyakit malignan. 

Menurut kajian, bayi yang berusia 48 jam yang kepadanya diperdengarkan ayat-ayat Al-Quran dari tape recorder menunjukkan respons tersenyum dan menjadi lebih tenang. 

Sungguh suatu kebahagiaan dan merupakan kenikmatan yang besar, kita mempunyai Al-Quran. Selain menjadi ibadah dalam membacanya, bacaannya memberikan pengaruh besar bagi kehidupan jasmani dan rohani kita.

Jika mendengar muzik klasik boleh mempengaruhi kecerdasan intelektual (IQ) dan kecerdasan emosi (EQ) seseorang, bacaan Al-Quran lebih dari itu. Selain mempengaruhi IQ dan EQ, bacaan Al-Quran mempengaruhi kecerdasan spiritual (SQ). 

Allah yang telah berfirman, "Dan apabila dibacakan Al-Qur'an, semaklah dengan baik dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat" (7: 204).

Rebut Peluang Berbakti Kepada Ibu Bapa

Anak yang memberi layanan baik, bersabar menjaga orang tua dianugerahkan syurga.

Kasih ibu yang sejati tidak boleh dinilai dengan harta benda, mahupun wang ringgit dan emas permata.Mereka yang mempunyai anak pasti dapat menjiwai betapa hebat dan meluasnya kasih sayang ibu terhadap anak.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud "Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendak-Nya, hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati” – Riwayat al-Hakim

Rasulullah SAW bersabda: “Jaga baik-baik ibumu, kerana sesungguhnya syurga itu di bawah telapak kaki ibu.” ( Riwayat An-Nasa’ie dan Ahmad)

Pengorbanan ibu yang tiada bandingannya itu telah diiktiraf dan diperakui Rasulullah SAW melalui sabda Baginda: “Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.” (Riwayat Al- Hakim)

Rasulullah SAW juga membawa khabar gembira kepada mereka yang berbuat baik kepada ibu bapa di mana sebagai balasan, Allah SWT mengampuni mereka. Baginda juga membawa berita buruk kepada yang menderhaka ibu bapa kerana Allah SWT tidak akan memberi keampunan.

Imam al-Ghazali berkata, cara hidup kita di dunia adalah bayangan cara kehidupan di akhirat nanti. Maknanya, mereka yang memberi layanan buruk kepada kedua ibu bapa akan diberi layanan buruk juga di hari pembalasan kelak.

Binasalah mereka yang mempunyai ibu bapa yang sudah lanjut usianya, sedangkan mereka tidak berbakti terhadap kedua-duanya. Hal itu terus menjadi ujian kepada anak-anak yang menyebabkan mereka terhalang daripada mencium syurga Allah SWT.

Abdullah bin Amr berkata, seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah, aku datang untuk berjihad bersama Baginda kerana aku ingin mencari redha Allah dan hari akhirat. Tetapi aku datang ke sini dengan meninggalkan ibu bapaku dalam keadaan menangis. Lalu Baginda menasihati lelaki itu seraya bersabda: Pulanglah kepada mereka. Jadikanlah mereka tertawa seperti tadi engkau jadikan mereka menangis.” (Riwayat Ibnu Majah)

Islam memberi sanjungan yang tinggi buat seorang ibu. Anak dilarang keras menyergah atau menyakiti ibu sendiri apa lagi memaki hamun serta membiarkan ibu dalam keadaan merempat. Jika ini berlaku, anak telah menempah untuk menghuni neraka sejak hidup di dunia lagi.

Rasulullah SAW bersabda: “Tiga manusia tidak akan masuk syurga, iaitu orang yang menderhaka kedua-dua ibu bapanya, lelaki yang tidak menjaga maruah keluarganya (dayus) dan perempuan yang menyerupai lelaki.” (Riwayat Nasa’ie, Bazzar dan al-Hakim)

Ketika berada pada usia tua, ibu hilang semua tenaga, semakin lemah dan memerlukan penjagaan yang rapi. Mereka juga mudah tersinggung dan amat sensitif. Justeru, anak perlu faham keadaan ibu yang mengharapkan perhatian serta belaian anak.

Diriwayatkan, pernah seorang sahabat mengadu kepada Rasulullah SAW mengenai perangai ibunya yang suka meminta-minta kepadanya. Baginda marah kepada sahabat itu dan mengatakan bukan saja harta, malahan dalam dirinya sendiri ada hak ibu bapanya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Kami mewasiatkan (memerintahkan) kepada manusia itu supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan menderita kelemahan demi kelemahan, dan cerai susukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu. KepadaKu tempat kembali.” (Surah Luqman, ayat 14).

Mereka yang tidak berbakti kepada ibu bapa yang sudah lanjut usia, tindakan itu menyebabkan mereka terhalang daripada mencium bau syurga.

Ingatlah semua kita akan tua dan melalui hari-hari tua yang nasibnya tidak kita ketahui apakah akan berjalan baik atau sebaliknya. Jika kita mahukan anak berbakti kepada kita yang sudah tua nanti, tunjukkan contoh kepada anak dengan berbakti kepada ibu bapa kini.

Rebutlah peluang menjaga dan memelihara mereka supaya kita tidak dihantui penyesalan sepanjang hidup di dunia.

7 Perkara Seorang Pelajar Harus Tahu

Pertama, penuntut ilmu harus berniat tulus kerana Allah. Jika seorang pelajar menuntut ilmu dengan niat hanya ingin mendapat pekerjaan, dan lain-lain maka hal itu tidak dibenarkan dalam Islam. Sebabnya, segala sesuatu harus diniatkan kerana Allah. Dengan begitu ia akan mendapat dua keuntungan, iaitu pahala dari Allah dan ilmu itu sendiri. Rasulullah SAW menjelaskan hal ini dalam sabdanya:

"Siapa yang menuntut ilmu yang sepatutnya dipelajari hanya kerana Allah, tapi ia malah menuntutnya untuk mendapatkan material duniawi, maka ia tidak akan mencium bau syurga pada hari kiamat kelak." (HR. Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah).

Kedua, menghilangkan kebodohan daripada diri sendiri dan orang lain. Pada dasarnya, semua orang dilahirkan dalam keadaan bodoh. Sehingga, dituntut untuk mencari ilmu dan mengajarkannya kepada orang lain. Sebagaimana firman Allah,

"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur." (Surah An-Nahl: 78).

Ketiga, berlapang dada dalam menerima perbezaan pendapat. Semua pendapat ulama harus diterima dengan lapang dada selama tidak bertentangan dengan syari'at Islam. Misalnya, pendapat yang meyakini masih ada nabi selepas Nabi Muhammad SAW. Tentu, pendapat seperti ini tidak boleh diterima kerana bertentangan dengan pokok ajaran Islam.

Kerana, salah satu tujuan utama mencari ilmu adalah supaya dapat menelaah mana pendapat yang benar dan mana yang salah. Jika pendapat tersebut benar maka diterima, dan jika salah harus ditolak.

Keempat, mengamalkan ilmu yang telah dipelajari. Setiap pencari ilmu selalu dituntut untuk mengamalkan ilmu dan mengajarkannya kepada orang lain.

Menurut Bakr Abu Zaid dalam kitab Hilyah Tholibil Ilmi, semakin banyak orang mengamalkan ilmunya maka Allah akan menambah ilmu dan manfaatnya. Sebaliknya, semakin tinggi ilmu seseorang tapi tidak mahu mengamalkannya, maka ilmu itu akan berkurangan dan hanya akan menjadi perosak bagi dirinya sendiri. Rasulullah SAW bersabda,

"Wahai pembawa ilmu, beramallah dengan ilmu itu, kerana siapa yang selaras antara ilmu dan amalannya, maka mereka akan selalu lurus." (Riwayat Ad-Darimi).

Kelima, menghormati dan memuliakan ulama. Ulama adalah orang yang banyak berjasa, kerana telah bersedia mengamalkan ilmunya kepada para penuntut ilmu. Sebab itu, ulama wajib dihormati dan dimuliakan dalam segala hal, kecuali hal yang bertentangan dengan agama. Rasulullah SAW bersabda,

"Siapa menyakiti wali-Ku, maka Aku telah mengumumkan perang kepadanya." (HR. Bukhari).

Menurut Imam Syafie dan Imam Abu Hanifah, kata wali-Ku dalam hadis qudsi di atas ditafsirkan sebagai ulama. Kerana itu, Allah pasti akan murka jika penuntut ilmu menghina dan menyakiti para ulama '.

Keenam, sabar dalam menuntut ilmu. Seorang pencari ilmu dituntut untuk selalu bersabar dalam pelbagai hal, tidak pernah bosan dan selalu mengharap redha Allah. Sehingga, waktu akan menjadi hal yang sangat penting untuk tidak di sia-siakan. Sikap ini tergambar jelas dalam jejak para ulama terdahulu melalui karya-karya besar yang berjaya mereka tulis kerana selalu bersabar dan memanfaatkan masa dengan baik.

Dalam Kitab al-'Ilm karangan Syaikh Utsaimin, diceritakan bahawa ketika Ibnu Abbas ditanya, "Dengan apa anda boleh mendapatkan ilmu?" Beliau menjawab, "Dengan lisan yang selalu bertanya dan hati yang banyak memahami, serta badan yang tidak pernah bosan."

Selain itu, orang yang sudah merasakan nikmatnya menuntut ilmu maka dia akan selalu haus ilmu dan tidak pernah merasa puas. Sehingga, seluruh waktunya hanya digunakan untuk belajar. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW,

"Ada dua kumpulan manusia yang selalu lapar dan tidak pernah kenyang: orang yang lapar ilmu. Ia tidak pernah kenyang. Dan orang yang lapar dunia, juga tidak pernah kenyang pula. "(HR. Al Hakim dll dengan sanad tsabit)

Ketujuh, hikmah. Seorang penuntut ilmu harus menghias diri dengan hikmah. Kerana dengan memiliki hikmah maka dia akan meraih kebaikan yang sangat banyak. Allah berfirman dalam al-Quran,

"Dan siapa yang dianugerahi al-hikmah itu, maka ia benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak." (Surah Al-Baqarah: 269).

Penuntut ilmu dituntut untuk menjadi seorang al-Hakim (bijaksana). Kerana, dengan meraih ilmu yang semakin tinggi maka dia juga harus bijaksana dalam berbuat. Ertinya, mampu memempatkan sesuatu pada tempatnya. Sebagaimana firman Allah dalam al-Quran:

"Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik." (Surah An-Nahl: 125).

Secara garis besar, ada adab-adab yang perlu dipenuhi oleh setiap penuntut ilmu. Intinya, penuntut ilmu harus bersifat seperti padi. Semakin berisi, semakin menunduk. Ertinya, semakin tinggi ilmu seseorang maka harus semakin tawadhu '(rendah hati), kerana pada hakikatnya ilmu manusia hanyalah titisan air yang jatuh dari paruh burung berbanding ilmu Allah yang melebihi luasnya lautan. 

Dilarang untuk kita menuntut ilmu dari empat jenis manusia ini

Ibnu Sirrin berkata sesungguhnya ilmu itu akan menjadi agama bagi kita, maka berhati-hatilah dari siapa kita mengambil ilmu yang akan menjadi agama.

Imam Malik rahimahullah berkata, ada empat orang di mana kita dilarang mengambil ilmu dari mereka.

Pertama, jangan mengambil ilmu dari orang yang jelas kebodohannya. Mereka ini suka bercakap tanpa asas dan pengetahuan.

Kedua, Jangan mengambil ilmu dari orang yang suka mengikuti hawa nafsunya. Orang seperti ini biasanya hanya menggunakan ilmu sesuai dengan kepentingan hawa nafsu.

Ketiga, jangan mengambil ilmu dari orang yang suka berbohong. Walaupun dia tidak suka mendustakan Rasulullah SAW. Mengapa demikian? Ketahuilah bahawa sifat suka berbohong adalah intipati dari semua dosa.

Keempat, jangan mengambil ilmu dari orang-orang yang tidak faham apa yang dia sampaikan.

Senyum Kepada Anak Berpahala

Rasa sayang kepada kanak-kanak adalah fitrah semula jadi manusia. Orang yang tidak beragama sekalipun menyayangi anaknya. Bahkan haiwan yang tidak berakal pun sangat sayang kepada anak dan selalu bersiap sedia melindunginya.

Islam ialah agama fitrah. Maknanya, ajaran-ajaran Islam sejalan dengan fitrah manusia yang cinta dan kasih kepada kanak-kanak. Justeru, Islam mewajibkan ibu bapa bukan hanya menyediakan nafkah zahir bagi anak-anak, tetapi juga mewajibkan kedua-duanya mencurahkan perhatian dan kasih sayang kepada mereka.

Perlakuan kita kepada anak-anak menandakan darjat iman kita. Ketinggian iman selalu beriringan dengan sikap lembut kepada anak-anak kecil. Dan kerendahan iman selalu ditunjukkan dengan sikap keras dan kasar kepada anak-anak.

Satu hari Rasulullah mencium cucunya yang bernama Hasan bin Ali. Melihat perlakuan ini, Aqra bin Habis berkata: “Saya memiliki 10 orang anak, namun aku tidak pernah mencium seorang pun daripada mereka.”

Rasulullah memandang wajah orang ini. Lalu baginda bersabda: “Siapa yang tidak menyayangi, maka ia tidak akan disayangi.” (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Istimewa

Anak-anak mendapat tempat istimewa dalam Islam. Mereka wajib dilayan dengan baik, didengar keluhan mereka dan dipenuhi keperluannya.

Setiap ibu bapa yang gagal melakukan tugasan ini dikira berdosa.

Rasulullah bersabda: “Cukuplah satu dosa apabila kita mengabaikan orang yang menjadi tanggungan kita.” (riwayat al-Bukhari)

Pada saat yang sama, Islam tidak menyukai kekerasan hati. Islam membenci manusia-manusia yang ramah apabila di pejabat, namun bersikap dingin kepada anak isterinya di rumah.

Allah SWT tidak menyukai kaki pukul walaupun ia selalu hadir dalam solat berjemaah dan sentiasa melakukan puasa sunat.

Pernah satu ketika Rasulullah menjadi imam dalam satu solat berjemaah. Apabila beliau sujud, beliau tidak mengangkat kepalanya dalam masa yang cukup lama.

Selepas solat, para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, mengapa tuan memanjangkan sujud? Adakah wahyu telah diturunkan kepada tuan?”

Rasulullah menjawab: “Tidak. Akan tetapi cucuku menaiki bahuku apabila aku tengah sujud. Aku membiarkannya bermain-main hingga ia puas.” (riwayat al-Nasa’i)

Hak mereka

Dalam konteks moden di mana kedua-dua ibu bapa bekerja di luar, mereka mesti pandai mengatur suasana hatinya.

Mereka kerunsingan dalam pekerjaan dan ini tidak boleh mempengaruhi perilakunya apabila berinteraksi dengan anak-anak di rumah.

Sepenat mana pun bekerja, kita mesti meluangkan masa untuk mereka bermanja.

Sebab bermanja dan perhatian ialah salah satu hak mereka yang wajib dipenuhi ibu bapa.

Sekali lagi, ibu bapa bukan hanya wajib memberi nafkah zahir, namun juga nafkah batin.

Teladanilah sikap para sahabat Nabi yang bernama Zaid bin Thabit. Al-Zahabi menceritakan bahawa tokoh sahabat ini sangat berwibawa apabila berada di tengah masyarakat. Namun sangat kelakar apabila bersama keluarganya.

Justeru, senyumlah kepada anak sebab ia berpahala.

Laman Sosial Bukan Medan Bercakaran

Internet menjadi keperluan yang tidak dapat dielakkan oleh setiap manusia. Ia dianggap suatu yang memudahkan serta mempercepatkan urusan kehidupan.

Laman sosial seperti Facebook, Twitter dan MyFace memudahkan proses bermaklumat dan berkomunikasi sesama insan. Di antara kebaikan utama penggunaan lama sosial ialah bagi mempercepatkan penyaluran maklumat mahupun berita semasa.

Sesiapa yang mempunyai akaun laman sosial mampu mengetahui sesuatu berita dengan lebih cepat berbanding penduduk yang tidak mengaktifkan laman sosial mereka.

Janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka menjamah daging saudaranya yang telah mati sedangkan kamu semua membencinya dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah maha menerima taubat dan Maha Penyayang.” (Surah al-Hujurat ayat 12).

Dalam Islam penggunaan laman sosial untuk menyebarkan maklumat dan juga nasihat adalah digalakkan.

Rasulullah pernah bersabda, “Sesungguhnya agama itu adalah nasihat”. (Hadis riwayat Muslim).

Dengan penggunaan laman sosial, umat Islam digalak untuk berkongsi perkara yang baik dan tidak ditegah oleh agama.

Perkongsian maklumat dan juga perkara yang baik ini akan dinilai oleh Allah SWT sebagai suatu amalan yang soleh dan insya-Allah akan mendapat ganjaran pahala di sisi-Nya.

Di samping itu, jaringan sosial itu mampu merapatkan ukhuwah sesama manusia. Dengan penggunaan aplikasi seperti Facebook, umat Islam mampu merapatkan hubungan ukhuwah dan menjalinkan kembali hubungan persaudaraan dengan teman yang telah lama terpisah.

Tidak dinafikan penggunaan laman sosial mampu membawa kehidupan kepada perkara negatif dan pada masa yang sama mungkin juga boleh menjerumuskan seseorang Muslim ke lembah dosa.

Kesan negatif kepada pelajar

Penggunaan laman sosial ini boleh memberi kesan negatif kepada remaja sekolah apabila tiada kawalan dan bimbingan ibu bapa.

Pendek kata terdapat banyak perkara yang dilarang oleh agama dan perlu dielakkan oleh seseorang Muslim daripada melakukan perkara tersebut ketika mengaktifkan sebarang laman sosial.

Sewaktu melawati laman sosial, kita sering kali terbaca kata kesat yang dilemparkan oleh pengguna. Maki hamun, cacian dan kata-kata kesat ini semakin sinonim dengan jiwa sebahagian masyarakat kita dalam mengutarakan pandangan dan rasa hati.

Perlulah diingati bahawa walaupun seseorang itu berada pada pihak yang salah, namun sebagai seorang Muslim, kita dilarang untuk menggunakan bahasa dan istilah yang kesat dalam teguran dan kritikan kita terhadapnya.

Rasulullah SAW pernah menegur perbuatan isteri Baginda iaitu ‘Aisyah ra yang mempertikaikan Safiyyah ra iaitu madu beliau dengan menggelarnya si pendek. Maka Nabi SAW terus menegur ‘Aisyah dengan sabda Baginda: “Sesungguhnya kamu telah berkata suatu perkataan yang apabila ia bercampur dengan air laut nescaya ia akan mengotorinya”. (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmidzi).

Perdebatan kosong

Di samping itu, Islam menegah sebarang perdebatan dan pertelingkahan yang sia-sia. Perkara ini dapat dilihat di laman sosial masyarakat Islam yang kadang kala dihiasi dengan perdebatan kosong.

Ada kalangan mereka yang masih berhujah seperti menegakkan benang basah. Dalam hal ini Allah SWT berfirman: “Dan (orang beriman) apabila mereka diajak berdebat dengan orang yang jahil maka mereka berkata kami selamat (iaitu berlindung daripadanya).” (Surah al-Furqan ayat 63).

Bersabar daripada membalas kata-kata yang kesat adalah suatu sifat yang mulia dan terpuji. Apabila seseorang yang dicerca itu bertindak balas maka ketahuilah bahawa syaitan akan memainkan peranan dalam melagakan sesama umat Islam.

Dalam hadis yang dicatat oleh Imam Abu Daud diceritakan bahawa telah datang seorang lelaki kepada Abu Bakar ra dan bersama-sama beliau Rasulullah SAW dan sahabat lain.

Lelaki tersebut itu mencerca Abu Bakar sebanyak tiga kali dan Abu Bakar hanya membalas cercaan tersebut pada kali ketiga.

Lalu Nabi SAW bangun dan beredar daripada tempat duduk Baginda. Lantas Abu Bakar bertanya kepada Nabi SAW jikalau Baginda murka dengan beliau.

Maka Nabi Rasulullah SAW bersabda: “Telah turun malaikat untuk menidakkan kata-kata lelaki yang mencercamu. Namun apabila kamu membalasnya maka telah hadir pada ketika itu syaitan dan sesungguhnya aku tidak akan duduk dalam sesuatu majlis yang terdapat padanya syaitan.”

Daripada hadis ini jelas menerangkan kepada kita bahawa sebarang perbalahan yang berlaku walaupun di laman sosial mampu membuka pintu untuk syaitan menghasut dan memecahbelahkan persaudaraan anak Adam.

Perkara lain yang dilarang ketika menggunakan laman sosial ialah mengumpat serta menyebarkan fitnah dan juga berita palsu kepada individu mahupun masyarakat.

Mengumpat ialah apabila seseorang itu memperkatakan sesuatu keburukan saudaranya kepada orang lain tanpa pengetahuan saudaranya itu. Dosa umpatan ini telah dinyatakan oleh Allah SWT dengan berfirman:

“Janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka menjamah daging saudaranya yang telah mati sedangkan kamu semua membencinya dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah maha menerima taubat dan Maha Penyayang.” (Surah al-Hujurat ayat 12).

Fitnah dalam bahasa Arabnya lebih dikenali sebagai al-Buhtan iaitu menceritakan sesuatu perkara yang tidak benar tentang individu, kumpulan mahupun masyarakat. Malah dosanya adalah lebih besar daripada mengumpat.

Dalam hal ini Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang menuduh seseorang Muslim dengan niat memburukkannya maka Allah SWT akan mengurungnya di atas titi neraka jahanam sehinggalah keluar segala perkataan dusta.” (Hadis riwayat Abu Daud).

Pengguna laman sosial juga dinasihatkan agar menilai setiap berita yang datang kepada mereka.

Pastikan kesahihan berita tersebut dan menjauhi sebarang laman yang menyebarkan fitnah dan juga berita yang tidak jelas.

Seorang Muslim yang beretika dilarang untuk berkongsi mahupun menyebarkan maklumat yang tidak jelas dan berbaur fitnah.

Firman Allah SWT: “Wahai orang yang beriman apabila datang kepada kamu orang fasik maka selidikilah (berita tersebut).” (Surah al-Hujurat ayat 6).

Larangan ini juga disebutkan oleh Rasulullah dalam sabdanya, “Sudah dikira seseorang itu sebagai penipu apabila dia menceritakan segala yang dia telah dengari.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Sebar maklumat palsu

Di samping itu, penyebaran maklumat palsu mengenai agama Islam perlulah disekat dan dihindarkan. Adalah amat menyedihkan apabila didapati begitu banyak perkhabaran palsu mengenai agama Islam ini disebarkan terutama yang berkaitan dengan hadis Nabi Muhammad SAW.

Walaupun makna yang didatangkan itu baik, namun ia tetap dikira sebagai pembohongan ke atas Rasulullah dan dikira sebagai dosa besar jika seseorang itu menyedari akan kepalsuannya.

Rasulullah bersabda “Sesiapa yang berbohong ke atas ku maka dia telah menempah tempatnya dalam api neraka.” (Hadis Muttafaq ‘Alaih).

Pemalsuan mengenai syariat Islam ini jelas menunjukkan kebodohan umat Islam pada kaca mata bukan Muslim.

Perlulah diketahui bahawa Islam adalah agama yang benar dan syariatnya datang daripada sumber yang benar (al-Quran dan hadis). Maka tidak boleh ada sebarang pemalsuan dalam Islam walaupun atas niat yang baik.

Perkara lain yang menjadi kebimbangan dalam penggunaan laman sosial ialah keterbukaan masyarakat untuk melakukan dosa dan maksiat.

Amat membimbangkan apabila kita mendengar jenayah berat yang berlaku hasil daripada perhubungan sosial yang bermula daripada laman tertentu.

Malah, sudah beberapa kali kita mendengar kes rogol yang pada asalnya bermula daripada perkenalan di laman sosial ini.

Di samping itu, ada juga kes penipuan wang ringgit yang juga bermula daripada perkenalan di laman sosial.

Malah, lebih membimbangkan apabila masalah ini turut membabitkan remaja di bawah umur. Dalam menangani perkara ini setiap individu perlu sedar akan keterbukaannya untuk terjerumus ke lembah dosa.

Maka, gunakan laman sosial ini dengan meletakkan syariat sebagai garis panduan.

Kepada ibu bapa yang mempunyai anak di bawah umur hendaklah mereka memantau aktiviti penggunaan laman sosial oleh anak mereka.

Kawal anak agar tidak terbabit dengan perkara yang dilarang oleh agama. Ingatlah firman Allah SWT yang berbunyi: “Wahai orang yang beriman cegahlah diri kamu semua dan juga ahli keluarga kamu daripada azab api neraka.” (Surah al-Tahrim ayat 6).

Petikan al-Quran “Janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka menjamah daging saudaranya yang telah mati sedangkan kamu semua membencinya dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah maha menerima taubat dan Maha Penyayang.” (Surah al-Hujurat ayat 12).

Kebaikan Sujud Mengikut Kajian Sains

SUJUD adalah salah satu rukun solat dan amalan yang paling disukai ALLAH sebagaimana dalam satu hadis daripada Huzaifah bahawa Rasulullah SAW telah berkata, “Tiadalah keadaan seorang hamba yang paling disukai oleh ALLAH daripada Dia melihat hambaNya itu dalam keadaan bersujud, dengan meletakkan mukanya di tanah.” (Riwayat Tabrani)

Penulis buku keagamaan Karya Bestari, Dr Yazid Abdul Manap menjelaskan, dalam riwayat Bukhari dan Muslim, Nabi SAW bersabda,

“Aku diarahkan untuk sujud di atas tujuh anggota sujud: di atas dahi dan Nabi SAW menunjukkan ke arah dahinya (termasuk hidung) dan kedua-dua belah tangan dan kedua-dua lutut dan kedua-dua hujung jari.

“Dalam satu riwayat Muslim bahawa Rasulullah SAW bersabda  “Seorang hamba yang paling dekat dengan ALLAH iaitu ketika sedang sujud. Kerana itu, perbanyakanlah berdoa ketika anda sujud.”

Dalam satu riwayat ada mengatakan bahawa ALLAH mengangkat Nabi Ibrahim ke maqam yang tinggi dan menjadikan beliau ‘kawan karib ALLAH’ kerana Nabi Ibrahim lama dalam bersujud.

“ALLAH telah mewajibkan solat lima waktu sehari semalam yang dalamnya terkandung 17 rakaat dan 34 kali sujud. Setiap rakaat solat mengandungi dua kali sujud,”

Menurutnya, ketika Nabi SAW sampai ke langit ketiga sewaktu Israk dan Mikraj, Baginda SAW melihat para malaikat sedang bersujud selama-lamanya. Apabila Baginda SAW memberi salam kepada malaikat tersebut, semua malaikat bangun daripada sujud dan menjawab salam Baginda SAW.

Ini menunjukkan kemuliaan sujud di sisi ALLAH kerana para malaikat dan para Nabi turut bersujud.

Sujud bantu jantung rehat

Sesungguhnya sujud mempunyai 1001 hikmah yang menakjubkan. Dalam solat, cara bersujud mestilah mengikut kaedah paling sempurna iaitu semua anggota sujud menyentuh bumi dan jari kaki dibengkokkan.

Yazid berkata, keadaan ini memanjangkan umur jantung dan mengelakkan pengecutan salur-salur darah yang membawa kepada penyakit arteriosklerosis. Kadar denyutan yang paling rendah berlaku disebabkan kedudukan kepala yang lebih rendah daripada jantung ketika sujud.

“Pada keadaan ini jantung tidak perlu bekerja keras untuk mengepam darah ke bahagian otak di kepala kerana aliran darah dipengaruhi oleh daya tarikan graviti semula jadi.

Ketika ini lebih banyak darah mengalir ke otak dan menyebabkan otak menerima bekalan oksigen yang dibawa melalui darah.

“Otak akan menjadi lebih sihat dan cerdas kerana mendapat bekalan oksigen yang banyak.

Peter Russell dalam bukunya The Brain Book mengatakan kedudukan kepala di bawah meningkatkan kemampuan otak sebanyak 7 peratus lebih cepat dan 14 peratus lebih tepat. Dalam buku How to Increase Your Intelligence, Winger mengatakan kemampuan otak bertambah pada kedudukan kepala di bawah kerana peningkatan oksigen,” katanya.

Dalam satu hadis daripada Wail Ibnu Hajar dia berkata, “Aku melihat jika Rasulullah SAW sujud, Baginda SAW meletakkan kedua lutut sebelum kedua tangan.

Jika bangun, Baginda SAW mengangkat kedua tangan sebelum kedua lutut.”

Menurutnya, apabila seseorang menjatuhkan diri untuk sujud dengan kedua lututnya maka dia sebenarnya menjaga keseimbangan belakang badan dan tulang belakang serta menjaga lengkungannya.

Ini melindungi diri dari kemungkinan berlaku penyakit tergelincir tulang rawan.

Perbanyakanlah sujud

Memanjangkan masa sujud mampu mengembangkan unsur daya tahan otot terutama bagi otot-otot lengan dan leher. Ketika sujud dan bangun daripada sujud bahu, dada, leher, perut dan punggung.

Pergerakan otot ini akan menjadikan otot lebih kuat dan elastik dan akan memastikan kelancaran perjalanan darah. Inilah hikmah mengapa Rasulullah SAW menyarankan kepada umatnya untuk memperbanyakkan sujud dan memperbanyakkan doa dalam sujud.

Ketika turun bersujud tulang dada kita terangkat dan mara ke hadapan menyebabkan rongga dada kita membesar dan paru-paru akan mengembang bagi menghirup udara bersih.

Pakar sains mengatakan sujud ketika solat adalah waktu paling menggalakkan sistem pernafasan dan mengembalikan kedudukan organ ke tempat asalnya. Otot dan kumpulan urat juga turut membesar dan kuat bagi membantu pengaliran darah untuk memberi tenaga ke seluruh tubuh badan.

Hikmah sujud untuk wanita hamil

Ketika sujud wanita meletakkan perutnya pada kedua pahanya. Keadaan ini tidak menghasilkan penguatan pada otot-otot perut wanita. Syaikh Jalal Muhammad Syafi’i mengatakan wanita memerlukan otot-otot yang lentur dan mudah memanjang pada bahagian perut.

Ini supaya otot-otot memanjang ketika hamil terutama pada bulan-bulan terakhir sebelum bersalin. Wanita tidak memerlukan penguatan otot-otot perut seperti lelaki.

“Bagi wanita, pergerakan otot itu menjadikan buah dadanya lebih baik, mudah berfungsi untuk menyusukan bayi dan terhindar daripada sakit buah dada.

Pergerakan bahagian otot sewaktu sujud juga boleh memudahkan wanita bersalin.

“Banyak kajian perubatan moden membuktikan bahawa gerakan badan semasa solat banyak memberikan manfaat bagi ibu hamil. Ketika wanita bersolat, gerakan sujud dan rukuk secara semula jadi akan meningkatkan peredaran darah ke rahim.

Ini kerana keperluan sel-sel rahim dan ovari seperti sel-sel limpa yang menyedut banyak darah,” kata Yazid lagi. Menurutnya, bagi wanita yang hamil, rahim memerlukan darah yang cukup agar janin mendapatkan gizi yang cukup dan seimbang.

Jika seorang wanita hamil sujud ketika solat, akan membantunya membawa darah yang cukup ke janin. Keadaan ini amat baik bagi pertumbuhan dan perkembangan bayi dalam kandungan. Setiap yang ALLAH perintahkan atau larang pasti terdapat hikmah atasnya.

Solat adalah kewajipan ke atas mukmin lelaki dan wanita. Walau bagaimanapun bagi wanita yang haid diharamkan mengerjakan solat.

Kajian pakar perubatan membuktikan gerak badan dan otot dalam solat berbahaya bagi wanita haid. Bagi wanita yang bersolat, posisi ketika sujud dan rukuk akan meningkatkan peredaran darah ke rahim.

Ini mengakibatkan kehilangan darah bersih bersama darah haid secara terus menerus selama waktu haid. Kehilangan darah secara terus menerus ini mengakibatkan wanita lebih mudah terkena lelah, kadar emosi yang turun naik serta terkena penyakit anemia (kurang darah) kerana kehilangan mineral zat besi.

Jika wanita haid menunaikan solat, zat ketahanan tubuh akan hancur. Seseorang wanita yang bersolat ketika haid akan kehilangan darah dalam jumlah yang banyak dan mengakibatkan kehilangan sel darah putih.

Keadaan ini mengakibatkan seluruh organ tubuhnya seperti limpa dan otak akan mudah diserang penyakit. Mungkin inilah sebab wanita dalam haid dilarang bersolat.

Pengajaran Di Sebalik Kehidupan Serangga

Lebah, semut, saling bekerjasama dalam komuniti menunjukkan kepentingan berjemaah

Terdapat haiwan atau serangga istimewa disebut dalam al-Quran menjadikannya makhluk Allah yang istimewa lagi bermanfaat terutama bagi manusia yang mahu berfikir antaranya si kecil lebah dan semut.

Lebah disebut dalam surah An-Nahl sebagai serangga yang wujud dengan seribu satu kelebihan. Madunya bukan sekadar sumber makanan berkhasiat bahkan turut berfungsi sebagai penawar bagi pelbagai penyakit.

“Perumpamaan orang beriman itu bagaikan lebah. Ia makan yang bersih, mengeluarkan sesuatu yang bersih, hinggap di tempat yang bersih dan tidak merosak atau mematahkan yang dihinggapinya.” (Riwayat Ahmad, Al-Hakim dan Al-Bazzar)

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Buatlah sarang-sarang di bukit, di pohon kayu dan di tempat yang dibikin manusia. Kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan tempuhlah jalan Rabbmu yang telah dimudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Rabb) bagi orang yang memikirkan.” (Surah an-Nahl, ayat 68-69)

Keistimewaan lebah

Keistimewaan lebah bukan saja diangkat darjatnya oleh Allah SWT, malah turut disebut dalam hadis Rasulullah SAW: “Perumpamaan orang beriman itu bagaikan lebah. Ia makan yang bersih, mengeluarkan sesuatu yang bersih, hinggap di tempat yang bersih dan tidak merosak atau mematahkan yang dihinggapinya.” (Riwayat Ahmad, Al-Hakim dan Al-Bazzar)

Daripada Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda: “Kesembuhan dari penyakit itu dengan melakukan tiga hal: berbekam, minum madu dan dibakar dengan besi panas. Tetapi aku melarang umatku membakar dengan besi panas itu.” (Riwayat Shahih Bukhari)

Sementara itu, sang semut pula telah diabadikan kisahnya dalam surah An-Naml, “(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke Waadin-Naml, berkatalah seekor semut: Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari.”

Disebabkan keistimewaan makhluk kecil ini, komuniti kajian saintifik turut mengambil manfaat daripada kewujudannya dan ini terbukti dengan terhasilnya pelbagai teknik optimisasi diinspirasikan daripada tingkah laku sosial lebah dan semut.

Antaranya, Artificial Bee Colony (ABC) yang lahir pada 2005, hasil kajian ilmuwan Turki dan Ant Colony Optimization (ACO), hasil kajian saintis Itali pada 1995. Tenik ini turut dikelaskan sebagai kepintaran kawanan atau lebih dikenali sebagai Swarm Intelligence (SI).

SI adalah disiplin ilmu yang diinspirasikan daripada haiwan atau serangga dalam menyelesaikan masalah koloni seperti pencarian sumber makanan, mencari jalan terdekat ke sumber makanan dan lain-lain.

Ia dikelaskan sebagai SI hasil daripada beberapa ciri-ciri yang wujud dalam koloni serangga antaranya bagaimana populasi itu berinteraksi sesama mereka, mengendalikan tugas mudah akhirnya menghasilkan satu sistem yang kompleks dan teratur.

Proses interaksi dalam koloni lebah mencetuskan sesuatu yang bernas untuk difikirkan dan menarik diadaptasikan dalam ruang lingkup rutin harian manusia. Contohnya, serangga hidup secara berkumpulan, mereka bersatu padu mewujudkan budaya kerja berdisiplin mengumpul hasil makanan.

Sentiasa berada dalam jemaah

Hal ini dapat kita lihat dengan saranan dalam Islam hendaklah sentiasa berada dalam jemaah.

Sesungguhnya dengan jemaah kita akan kuat berbanding berseorangan. Apa yang menariknya, budaya kerja lebah dan semut tidak seperti budaya kerja segelintir manusia yang memerlukan penyeliaan tinggi demi meminimumkan budaya makan gaji buta atau curi tulang.

Pedih bukan apabila manusia yang punya akal dan diangkat sebagai makhluk Allah paling mulia ini dibandingkan dengan lebah dan semut yang tidak berakal yang letak duduknya bukanlah dalam rumah mewah, namun di mana-mana, baik di gua, tanah mahupun dahan pokok.

Kelebihan teknik optimisasi berasaskan serangga dapat dilihat dengan kebolehan teknik ini menyelesaikan masalah. Pasti tersembunyi seribu satu hikmah kenapa serangga kecil ini disebut dalam Kalamullah, disebut juga oleh Rasulullah SAW.

Pastinya bukan sekadar sumber makanan, sumber penawar (bagi lebah) atau sekadar teknik optimisasi yang aplikasinya telah menyumbang kepada lahirnya lambakan kertas kajian ilmiah. Pastinya si kecil ini mempunyai seribu satu keistimewaan yang hanya menunggu masa untuk dibongkar sepenuhnya. Jika tidak, masakan ia dinamakan kepintaran daripada al-Quran.

7 Cara Mudah Kempiskan Perut Buncit

Ramai yang mungkin sedar perubahan fizikal badan mempengaruhi cara pembawakan diri seseorang apabila berdepan dengan orang ramai. Perubahan fizikal seperti ‘perut buncit’ kadang-kadang membuatkan seseorang itu berasa malu atau tidak mempunyai keyakinan diri apabila ingin menonjolkan diri di khalayak ramai. Bukan itu sahaja, perut buncit juga merupakan tanda awal kepada pelbagai jenis penyakit berbahaya.

Malah, apabila tidak mempunyai fizikal yang menarik seperti artis atau pembina badan, mungkin akan membuatkan individu itu berasa lebih tersisih dan berfikir negatif setiap masa. Pun begitu, terdapat cara yang sesuai untuk lelaki mahu pun wanita untuk mengatasi masalah mempunyai perut buncit. Tidak salah untuk mencubakan? Antara cara-cara untuk mengempiskan perut adalah:

1. Minum Air Masak Yang Banyak.

Apabila tubuh badan kita menerima sumber air yang banyak, keadaan itu akan mencairkan kuantiti sodium dalam tubuh badan sehingga membolehkan kuantiti air yang keluar dari tubuh badan juga meningkat. Mendapatkan jumlah air yang banyak juga akan menjaminkan fungsi hempedu yang lebih efektif sewaktu proses pembuangan air berjalan dengan lancar.

2. Makan Perlahan-lahan.

Ketika menjamah makanan, kita tidak digalakkan makan dengan cepat kerana udara akan terkepung di dalam usus dan seterusnya membentuk gas yang menggalakkan perut menjadi perut buncit. Makanan yang tidak dikunyah sehingga kecil juga tidak dapat dicerna dengan sempurna yang seterusnya menyebabkan proses kembung perut berlaku.

3. Kurangkan Garam Dalam Makanan.

Terlalu banyak garam dalam proses diet akan menambah ekstrak sodium terhadap cairan dalam tubuh dan melambatkan mekanisme proses pengeluaran air dari sel badan. Akibatnya, perut akan menjadi kembung dengan gas-gas yang terbentuk. Lama kelamaan, perut buncit pun boleh berlaku.

4. Makan Makanan Yang Penuh Serat.

Ramai yang mungkin sedar perubahan fizikal badan mempengaruhi cara pembawakan diri seseorang apabila berdepan dengan orang ramai. Perubahan fizikal seperti ‘perut buncit’ kadang-kadang membuatkan seseorang itu berasa malu atau tidak mempunyai keyakinan diri apabila ingin menonjolkan diri di khalayak ramai. Bukan itu sahaja, perut buncit juga merupakan tanda awal kepada pelbagai jenis penyakit berbahaya (LINK).

Serat adalah elemen yang penting dalam piramid makanan. Untuk mengimbangi kuantiti air dalam tubuh badan, amalan memakan sayur-sayuran hijau dan buah-buahan seperti epal dan pear dapat membantu dalam proses penjagaan dari mendapat penyakit perut buncit ini.

5. Kesan Pengambilan Ubat.

Terdapat juga kajian yang dilakukan mengatakan, pengambilan pelbagai jenis ubat-ubatan menjadi salah satu punca perut menjadi perut buncit. Sebagai contoh, ubat Aspirin yang terlalu kerap di ambil akan menyebabkan timbulnya penyakit lain seperti sembelit.

6. Hindari Sembelit.

Sembelit berlaku apabila seseorang itu mengalami masalah dalam pembuangan danhanya membuang tidak lebih dari tiga kali seminggu. Sebagai akibat dari penyakit ini, perut akan mengumpul gas-gas yang berlebihan dan merangsang isi perut mengumpul lemak-lemak yang boleh menyebabkan kekembungan dan perut buncit. Oleh itu, pengambilan serat adalah digalakkan.

7. Lakukan Senaman atau Bersukan.

Bersukan sebanyak tiga kali seminggu dapat membantu meningkatkan kadar metabolisme dalam tubuh badan yang bagus untuk pembakaran dan pemecahan lemak.Bersukan akan membantu menggerakkan cairan berlebihan dalam perut dan dikeluarkan dari tubuh badan sebagai peluh. Ini seterusnya akan mengekalkan bentuk badan seseorang yang sesuai dengan ketinggian dan berat badan.

Kesan Solat Cegah Kemungkaran

SOLAT adalah identiti umat Islam. Ibadah ini dilakukan di rumah, surau (musalla) atau masjid. Saya pernah melihat di suatu kawasan pinggir bandar, semua pekedai akan menutup kedai pada tengah hari Jumaat kerana hendak pergi solat. Kedai hanya dibuka semula pada jam 3 petang.

Persoalannya, mengapa budaya umat Islam tidak sama ketika dalam solat dan di luar solat? Dalam solat, kita boleh merendahkan hati dan merendahkan diri di hadapan Pencipta. Tetapi di luar solat, mengapa kita tidak mampu menjaga hati dan diri sebaik dalam solat?

Solat itu pendidik peribadi dan bukan sekadar rutin semata-mata yang ditunaikan sebaik azan berkumandang.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umat mu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal kebajikan (terutama solat) itu menghapuskan kejahatan. Perintah ALLAH sedemikian adalah menjadi peringatan bagi orang yang mahu beringat.” (Surah Hud: 114)

Ini bermakna, solat mendisiplinkan kita untuk menguruskan masa dan menghapus kejahatan. Jika seseorang itu menghayati solatnya, terutama dari segi bacaan dan perbuatan, maka tubuh zahir dan jiwa raganya akan dipenuhi dengan pelajaran yang berguna untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Contohnya, kita sujud dua kali pada setiap rakaat. Solat yang empat rakaat mengandungi lapan kali sujud. Sujud pula merupakan kedudukan paling rendah antara hamba dengan Tuhannya. Mengapa kita lebih banyak sujud daripada berdiri tegak?

Pelajarannya ialah kita ini hamba. Walau setinggi mana pun pangkat kedudukan kita dalam kalangan manusia, kita tetap rendah di sisi Ilahi.

Dalam solat, kita wajib menutup aurat. Itulah penanda aras kesopanan yang diajar solat. Kita berasa selamat dalam pakaian tersebut, dan berbangga dengan identiti agama kita ketika melakukan ibadat solat.

Bagaimanapun, saya hairan mengapa selepas selesai solat, ada wanita menayangkan auratnya kepada lelaki ajnabi. Kenapa dalam solat boleh menutup aurat tetapi tidak di luar solat? Adakah kehidupan orang Islam ini berbeza ketika solat dan di luar solat?

Pendinding penyakit 

Hakikatnya, solatlah kehidupan kita. Apa yang kita buat dalam solat, itulah yang diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Solat sepatutnya membentuk keperibadian mulia, terutama sekali penjagaan hati dan lidah. Sesungguhnya hati dan lidahlah yang menjadi penyebab goyangnya akidah, permusuhan, pergaduhan dan pecah belah.

Jika ada insan suka sangat mengumpat, mengutuk, menghina atau mengadu domba walaupun solat awal waktu, walaupun tidak pernah meninggalkan solat berjemaah, terbuktilah solatnya masih belum berjaya membentuk keperibadian diri.

Kita perlukan ilmu dan usaha untuk khusyuk dalam solat. Solat itu kehidupan kita, maka wajiblah menunaikannya sebaik mungkin. Daripada 50 waktu, ALLAH meringankannya ke lima waktu sahaja. Itulah bukti kasihnya ALLAH SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW.

Tidak adil jika kita masih berkira atau malas menunaikan solat sedangkan kita boleh duduk menghadap komputer berjam-jam lamanya. Sedarlah… solat tidak lama, sekadar lima minit sahaja.

Antara sifat orang munafik ialah mereka melakukan solat dalam keadaan malas. Antara sifat orang fasik ialah mereka kekal melakukan dosa (tidak mahu solat). Antara sifat orang mukmin pula ialah mereka melakukan sesuatu perkara dengan tekun. Jadi, mana satu pilihan anda?

Kajian saintifik membuktikan solat sangat bermanfaat dari segi kesihatan. Kebanyakan orang bersolat, tidak nyanyuk atau menderita penyakit sendi atau otot ketika tua. Solat boleh menyihatkan tubuh badan, menjadi pendinding penyakit fizikal dan mental.

Solat ditetapkan mengikut waktu tertentu. Perantaraan waktu bagi setiap solat ada hikmah yang tertentu. Perubahan waktu dari pagi hingga ke malam memberikan kita tenaga yang berbeza melalui spektrum warna cahaya.

Jika orang Islam sendiri tidak suka solat, orang bukan Islam bertepuk tangan. Kata mereka, apabila orang Islam meninggalkan solat sebagai ibadat paling penting, maka mudahlah untuk menjatuhkan dan menghina mereka.

Dalam solat ketika duduk antara dua sujud, terdapat doa ringkas tetapi penuh pengharapan dan pergantungan terhadap Ilahi. Doa tersebut bermaksud “Tuhan ampunilah aku, sayangilah aku, cukupilah kekurangan ku, Tinggikanlah darjat ku, berikanlah aku rezeki, berikanlah aku petunjuk, sihatkanlah aku, maafkanlah aku.”

Jiwa lebih tenteram

Solat Jumaat diwajibkan kepada golongan lelaki. Lelaki adalah ketua kepada wanita, ketua keluarga, ketua syarikat dan ketua jabatan. Tujuan khutbah Jumaat pula untuk memberikan peringatan kepada lelaki mengenai tanggungjawab mereka memakmurkan institusi rumah tangga dan syarikat masing-masing.

Solat dan khutbah Jumaat perlu diniatkan untuk mendapatkan ilmu dan menambahkan iman. Maklumlah, yang datang ke masjid itu ketua pegawai eksekutif, pengurus dan orang berjawatan penting dalam syarikat. Gaji pula mahal.

Sedangkan khatib yang membaca khutbah bukanlah sesiapa… tiada pangkat, gaji pun rendah sahaja. Jadi, apa kelas pegawai atasan mendengar nasihat daripada khatib berstatus jaguh kampung, bukan?

Alangkah bagusnya kumpulkan semua inti pati khutbah Jumaat yang didengar itu untuk dijadikan rujukan dan penambahbaikan amal ibadat. Bayangkan jika ada 52 minggu setahun, maka 52 khutbah kita dengar. Jika semua lelaki Islam memanfaatkan khutbah Jumaat sebagaimana yang diajar oleh agama, tentulah indeks jenayah akan susut.

Pihak lelaki mendengar khutbah untuk dirinya, kemudian balik ke rumah dan mengulanginya semula kepada anak dan isteri. Inilah antara bentuk bimbingan suami kepada isteri, juga bapa kepada anak.

Dengan cara ini, dakwah berjalan. Dengan cara ini institusi kekeluargaan boleh dikukuhkan. Dengan cara ini jenayah, maksiat dan gejala sosial boleh dibendung bermula dari dalam rumah lagi.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila ditimpa kesusahan dia sangat resah gelisah. Dan apabila beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut.” (Surah Al-Maarij: 19-21)

Oleh itulah Islam datang sebagai pengantara untuk menyeimbangkan diri manusia antara resah dan bakhil. Penyelesaiannya ialah bersikap sederhana. Tidak sampai ke tahap fakir ataupun terlalu kaya yang bakhil. Dengan kesederhanaan, hati lebih tenang dan jiwa lebih tenteram.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Kecuali orang yang melaksanakan solat, mereka yang tetap setia melaksanakan solat.” (Surah Al-Maarij: 22-23).

Ayat ini merupakan sambungan daripada ayat 19-21 yang menyatakan bahawa orang yang mengerjakan solat merupakan orang yang boleh menghindari tabiat resah gelisah dan bakhil kedekut.

Jika hati resah, ambillah wuduk kemudian lakukan solat dengan khusyuk. Selepas solat, insya-ALLAH rasa resah gelisah itu akan hilang dan rasa tenang pula datang sebagai pengganti.

Jika kita merasakan sukar untuk menderma kerana bimbang harta akan berkurangan, ambillah wuduk kemudian lakukanlah solat tahajud, solat hajat atau solat tasbih.

Melalui solat tersebut, hati akan berasa sayu lalu mengakui tiada yang lebih hebat, tiada yang lebih berkuasa, tiada yang lebih kaya melainkan ALLAH SWT.

Apa yang kita miliki tentang harta keduniaan, tidak sedikit pun sebanding dengan apa yang ALLAH SWT miliki di langit dan bumi. Malah, tubuh badan kita pun dicipta oleh-Nya. Sekaya mana pun kita, jika jatuh sakit tetap memerlukan pertolongan-Nya jua.

Oleh itu, janganlah kita bersolat sebagai rutin atau meneruskan tradisi keluarga semata-mata. Galilah dan manfaatkanlah apa yang ada di dalam solat itu. Mudah-mudahan hidup kita lebih bermakna, berkat solat yang kita tunaikan sepanjang usia.

Perubatan Islam rawat Endometriosis

Penyakit endometriosis biasa berlaku di seluruh dunia. Dianggarkan seorang daripada setiap 100 orang wanita disah menghadapi endometriosis. Penyakit ini boleh terjadi dari saat seseorang mula mengalami haid sehingga proses menopaus bermula.

Lapisan dinding dalaman rahim dipanggil endometrium. Hormon wanita akan menyebabkan dinding endometrium menebal dan diselaputi saluran darah supaya seseorang itu bersedia untuk hamil.

Jika tiada persenyawaan berlaku di dalam rahim, kadar hormon akan jatuh dan menyebabkan endometrium luruh dan menjadi darah haid.

Pada sesetengah wanita, terdapat cebisan tisu seperti endometrium tumbuh di luar rahim, di bahagian ovari, usus atau pundi kencing. Tisu endometrium asing yang tumbuh di luar rahim dipanggil endometriosis.

Perubahan hormon pada setiap bulan menyebabkan tisu endometrium asing turut membesar seperti tisu endometrium di dalam rahim. Apabila lapisan endometrium di dalam rahim luruh sebagai darah haid, tisu endometriosis turut luruh tetapi pendarahan tersebut di dalam kawasan tertutup.

Maka, pendarahan menyebabkan keradangan di endometriosis dan menyebabkan kesakitan.

Simptom

Sebahagian pesakit endometriosis tidak mempunyai sebarang simptom tetapi ramai mempunyai satu atau lebih simptom berikut:

* Sakit teruk di bahagian pinggul (pelvik)

* Kesakitan semasa atau selepas hubungan kelamin

* Sakit semasa qada hajat dan/atau semasa haid

* Selalunya pendarahan haid yang banyak

* Pendarahan sedikit (spotting) di antara tempoh haid atau beberapa hari sebelum haid

* Kemandulan yang menyebabkan pesakit sukar mengandung secara semulajadi. Endometriosis merupakan faktor ketiga tertinggi menyebabkan kemandulan.

Diagnosis

Untuk mendiagnosis endometriosis, terdapat beberapa prosedur yang akan dilakukan oleh doktor. Antaranya pemeriksaan fizikal dan pinggul (pelvik) akan dilakukan untuk mencari punca lain yang memberikan kesakitan dan masalah.

Kemudian, laparoskopi mungkin dicadangkan untuk meneliti dan membantu dalam penyelesaian endometriosis.

Melalui laparoskopi, tisu-tisu endometriosis boleh disingkirkan. Tisu yang diambil akan dihantar ke makmal untuk kajian selanjutnya.

Laparoskopi adalah satu prosedur di mana doktor akan memasukkan alat kamera ke dalam tubuh pesakit melalui lubang yang dibuat di bahagian abdomen pesakit. Jika bahagian itu ada endometriosis, maka melalui alat laparoskopi, doktor akan memotong dan membuang tisu endometriosis tersebut.

Rawatan moden

Mengikut teori, endometriosis tidak dapat dihilangkan terus dari badan. Namun, simptomnya boleh dikawal. Kesakitan daripada endometriosis selalunya akan berkurangan semasa kehamilan dan selepas menopaus.

Jadi, bagi wanita yang tidak mahu hamil dalam jangka masa terdekat, rawatan akan difokuskan untuk mengurangkan keradangan atau memperkenalkan hormon memberhentikan seketika pengeluaran hormon wanita oleh ovari.

Ubat penahan sakit – seperti ibuprofen, naproxen atau asid mefenamic memberi kelegaan kepada lapan daripada 10 orang pesakit yang mengalami kesakitan abdomen.

Jika anda tahu haid akan bermula, ambil ubat penahan sakit sebelum haid atau apabila sakit abdomen baru bermula.

Pil Perancang Keluarga – Hormon daripada pil perancang keluarga akan menipiskan lapisan endometrium dan mengelakkan endometriosis daripada bengkak. Pil ini boleh digunakan secara berterusan agar tidak mendapat haid langsung.

Gonadotropin-releasing Hormone Agonists (GnRH) – GnRH adalah hormon yang membantu kitaran haid. Agonis GnRH yang digunakan lebih kuat daripada GnRH semula jadi di dalam badan. Ia mengurangkan paras hormon estrogen dengan memberhentikan fungsi ovari. Akibatnya, wanita mengalami menopaus. Ini hanya untuk sementara. Kesan sampingan seperti panas badan, sakit kepala, kekeringan faraj dan kerapuhan tulang.

Pembedahan – Untuk membuang tisu endometriosis, pembedahan mungkin dicadangkan. Pembedahan boleh dilakukan secara terbuka ataupun melalui laparoskopi. Bagi wanita yang mengalami endometriosis teruk dan sudah tidak mahu hamil lagi, pembedahan membuang rahim (histerektomi) boleh dilakukan.

Endometriosis dan mandul

Sehingga kini, belum ada penjelasan sebenar kenapa endometriosis boleh menyebabkan kemandulan.

Kemungkinan, endometriosis mengubah lapisan endometrium di dalam rahim hingga menyebabkan embrio tidak boleh melekat ke dinding rahim atau endometriosis mungkin menyebabkan saluran tiub fallopio tersumbat dan menghalang telur tersenyawa daripada sampai ke dinding rahim.

Pembedahan membuang ketumbuhan endometriosis selalunya sangat membantu untuk pesakit hamil. Bagi mereka yang masih belum hamil selepas rawatan endometriosis, rawatan kesuburan in-vitro fertilization atau IVF boleh dicadangkan.

Rawatan al-Quran

Ramai pesakit endometriosis mengalami perubahan positif ketara selepas mempraktikkan rawatan menggunakan ayat suci al-Quran. Mereka mengamalkan bacaan al-Quran secara konsisten setiap hari dan turut yakin akan keberkesanan rawatan menggunakan ayat al-Quran.

Seperti di dalam surah al-Mukminun ayat 111, Allah berfirman;Sesungguhnya Aku membalas mereka pada hari ini disebabkan kesabaran mereka; sesungguhnya mereka itulah orang yang berjaya.

Ayat yang selalu diamalkan untuk endometriosis adalah:

Surah Maryam ayat 77 hingga 98

Surah Ibrahim ayat 32 hingga 43

Cara amalan ayat al-Quran, pesakit membaca surah pertama iaitu surah Maryam tiga kali pada waktu malam dan surah kedua iaitu surah Ibrahim tiga kali pada waktu siang.

Pembacaan hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu memohon doa untuk penyembuhan.

Pesakit haruslah ingat bahawa apa-apa penyembuhan hanyalah dengan izin Allah.

Oleh itu, kita jangan berputus asa dan sentiasa berdoa kepada Allah. Seperti di dalam surah Yusuf ayat 12, Allah berfirman; .dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.”

Endmetriosis satu penyakit yang biasa berlaku di kalangan wanita Malaysia. Ramai pesakit menderita dalam diam sebab tidak tahu bahawa simptom yang mereka alami untuk sekian lama adalah tanda awal endometriosis. Saya menyeru kepada mereka yang mempunyai simptom seperti di atas, agar menjalani ujian endometriosis.

Jangan tunggu hingga endometriosis tambah teruk sehingga mengganggu ikhtiar mendapatkan zuriat. Buat pesakit endometriosis yang susah untuk baik daripada endometriosis, carilah bantuan dan ingatlah akan firman Allah swt dalam surah Al-Imran ayat 139:

Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman”

Ubati Strok Melalui al-Quran

Penyakit angin ahmar atau strok berlaku apabila bekalan darah ke sebahagian otak terputus tiba-tiba. Otak memerlukan bekalan oksigen berterusan daripada darah. Jika bekalan darah terputus, sel otak yang terjejas akan rosak atau mati.

Kadangkala strok dipanggil ‘serangan otak’. Terdapat dua jenis strok iaitu Strok Iskemia dan Strok Haemoragik.

Strok Iskemia berlaku bila terdapat darah beku di dalam saluran darah di otak menyebabkan tersumbat. Iskemia bermaksud pengurangan bekalan darah dan oksigen ke bahagian badan tertentu.

Dalam setengah penyakit strok, darah beku boleh terbentuk dalam saluran darah otak sendiri dan menyebabkan strok iskemia. Dalam kes strok iskemia lain, darah beku boleh terbentuk di luar otak dan bergerak ke otak seterusnya menyumbat saluran darah otak.

Strok Haemoragik (pendarahan) berlaku apabila saluran darah otak lemah, rosak dan pecah menyebabkan pendarahan dalam otak.

Terdapat dua jenis pendarahan otak iaitu Pendarahan Intracerebral dan Pendarahan Subarachnoid.

Pendarahan Intracerebral berlaku apabila saluran darah pecah di dalam otak kemudian mengalir ke dalam otak menyebabkan bekalan darah ke sel otak terputus dan sel otak akan rosak atau mati. Pendarahan jenis ini berlaku dalam satu daripada 10 kes strok.

Pendarahan Subarachnoid berlaku jika saluran darah pecah di ruang antara otak dan tengkorak. Ruang tersebut biasanya diisi cecair otak – cerebrospinal. Setiap satu daripada 20 kes disebabkan jenis ini.

Strok di Malaysia Menurut Persatuan Strok Kebangsaan Malaysia (NASAM), setiap seorang daripada enam orang di Malaysia akan diserang strok.

Setiap tahun dianggarkan 40,000 rakyat Malaysia mengalami strok. Strok adalah punca kematian ketiga terbesar selepas sakit jantung dan kanser. Strok menyerang sesiapa sahaja.

Punca Punca berisiko tinggi berlaku strok terbahagi kepada dua tidak boleh diubah dan boleh diubah.

Risiko tidak boleh diubah:

* Umur

* Genetik

* Jantina

* Sejarah serangan jantung atau strok Risiko boleh diubah:

* Tekanan darah tinggi

* Merokok

* Kencing manis

* Kolesterol

* Obesiti

Simptom serangan strok Setiap fungsi tubuh yang berbeza dikawal oleh bahagian otak berbeza. Oleh itu, setiap simptom strok berbeza mengikut bahagian otak terjejas dan saiz otak yang rosak.

Satu atau lebih simptom tiba-tiba:

1. Tangan kaki lemah atau lumpuh.

2. Sebelah muka lemah. Air liur sentiasa meleleh tanpa kawalan.

3. Masalah kestabilan, koordinasi badan,percakapan, penglihatan, sukar menelan.

4. Rasa pening atau sakit kepala

5. Kebas di sebahagian daripada badan

6. Pengsan atau menjadi keliru

Kesan jangka panjang Jenis dan kadar kelumpuhan disebabkan serangan strok berbeza mengikut kadar kerosakan otak selepas serangan strok.

Serangan teruk boleh menyebabkan kematian. Jenis kesan jangka panjang serangan strok adalah seperti berikut:

1. Sebelah badan lemah.

2. Masalah kestabilan, koordinasi badan.

3. Masalah menelan.

4. Masalah percakapan dan komunikasi.

5. Masalah penglihatan.

Apa yang tersenarai di atas adalah contoh yang mungkin berlaku selepas serangan strok. Setiap strok berbeza dan kesan strok harus diteliti untuk setiap seorang pesakit.

Minggu terawal selepas strok, bengkak di sekeliling bahagian otak yang rosak akan kurang. Sebahagian simptom mungkin kurang atau hilang. Dengan rehabilitasi dan terapi, keadaan pesakit mungkin bertambah baik.

Rawatan moden Rawatan untuk strok melibatkan rawatan kecemasan sebaik sahaja serangan strok berlaku dan rawatan rehabilitasi atau fisioterapi selepas pesakit strok stabil. Pesakit strok yang mengalami simptom awal serangan harus dihantar ke wad kecemasan secepat mungkin.

Rawatan segera penting untuk mengelak kematian. Rawatan kecemasan awal boleh mengurangkan kerosakan otak dan meningkatkan kesembuhan.

Rawatan kecemasan melibatkan penggunaan ubatan dan/atau pembedahan akan mengeluarkan darah beku dari otak.

Rawatan rehabilitasi dilakukan selepas pesakit stabil untuk membantu mendapat kekuatan fizikal, mengembalikan keupayaan fungsi badan dan membolehkan pesakit berdikari.

Rawatan al-Quran Ayat al-Quran memiliki mukjizat membantu penyembuhan strok. 
Ada juga pesakit yang mengalami unsur gangguan makhluk halus menyebabkan serangan strok.

Sejenis jin digelar Jin Ahmar masuk dalam badan pesakit dan merosakkan saluran darah dalam otak menyebabkan pendarahan dan mengakibatkan pesakit mendapat strok.

Perubatan moden mengakui strok disebabkan pendarahan dalam otak, tetapi sukar menerangkan puncanya. Kita selalu mendengar pesakit muda, tiada sejarah keluarga, sihat, tiada darah tinggi atau diabetes tetapi mendapat strok.

Dalam kes demikian selalunya mereka diganggu Jin Ahmar dan perlu dikeluarkan daripada badan pesakit sebelum dirawat.

Setiap pesakit strok yang datang berubat, akan diperiksa jika ada gangguan Jin Ahmar. Selalunya jin Ahmar berada di dalam otak atau tulang belakang pesakit. InsyaAllah ayat al-Quran yang dibaca pesakit dapat merangsang sel otak yang rosak akibat strok berfungsi semula.

Ayat-ayat tersebut adalah:

Surah Al-Israa’ ayat 40 hingga 55

Surah An-Nahli ayat 81 hingga 89

Surah Az-Zumaar ayat 24 hingga 37

Surah An-Nahli ayat 35 hingga 47

Cara amalan ialah, pesakit hendaklah membaca surah pertama tiga kali waktu malam dan surah kedua tiga kali pada siang. Pembacaan diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu.

Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu memohon doa penyembuhan kepada Allah.

Pesakit harus ingat penyembuhan hanya dengan izin Allah. Kita jangan berputus asa dan sentiasa berdoa kepada Allah. Seperti di dalam surah Yusuf ayat 12, Allah berfirman; “….dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yg kafir.”

Penutup Kita sebagai umat Islam yang diberi nikmat Islam dan iman harus berpegang teguh, beramal dan yakin mukjizat al-Quran.

Keistimewaan al-Quran pasti membantu setiap insan di dalam kehidupan dunia yang silih berganti antara bahagia dan sengsara.

Apabila kita atau insan tersayang ditimpa strok, kita kena kuat dan tabah. Kadangkala keluarga pesakit tertekan menjaga pesakit strok. Ramai keluarga pesakit mengadu susahnya menjaga pesakit strok.

Bersabar, berikhtiar dan percaya semua dugaan dan ujian Allah ada hikmahnya. Antara cara memperkuatkan rohani dan hati apabila dilanda penyakit hati akibat musibah strok adalah membaca al-Quran setiap hari.

Penawar rohani paling mujarab sudah lama diberi kepada manusia, iaitu al-Quran. Allah berfirman di dalam surah Yunus ayat 57: “Wahai manusia, telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi pengajaran daripada Tuhanmu dan penyembuhan bagi penyakit yang ada dalam dadamu (jiwa) dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman.”

Bacalah surat istimewa daripada Allah kepada hamba-Nya setiap hari. Jadikan amalan ini rutin, semoga kita mendapat keberkatan.

Amalan Rawat Sakit Tulang Belakang

Tulang belakang manusia terdiri daripada 24 tulang individu yang dipanggil vertebra yang disusun di atas satu sama lain. Di antara setiap tulang belakang terdapat perlindungan, pad bulat rawan (tisu perantara) yang dipanggil cakera. Cakera ini mempunyai gentian lembut, bahan seperti gel di dalamnya yang membantu untuk mengurangkan geseran di antara vertebra apabila berlaku pergerakan. Di dalam cakera ini terdapat saraf tunjang yang sangat sensitif dan ia melalui tengah-tengah ruang vertebra. Ia mengandungi sel-sel saraf yang menghubungkan otak ke semua bahagian anggota badan.

Slipped disc berlaku apabila bulatan tisu penghubung di sekitar cakera rosak. Ini menyebabkan bahagian lembut, seperti gel bahagian cakera membengkak dan menonjol keluar. Tidak jelas apa yang menyebabkan tisu penghubung untuk pecah. Walau bagaimanapun, penyusutan cakera sering berlaku hasil daripada peningkatan usia.

Tanda-tanda awal adalah seperti berikut:

1. Sakit di belakang, leher, atau bahagian bawah badan.

2. Kadang-kadang, seseorang yang mengalami slipped disc berasa kebas di bahagian-bahagian badan yang atas dan di bawah kawasan yang terjejas (secara umum, di kawasan yang dikawal oleh saraf tertentu). Secara beransur-ansur ini boleh membawa kepada keadaan lumpuh.

3.Dalam beberapa kes, bahagian bawah badan berasa lemah, dan ia menjadi sukar untuk pesakit berdiri.

4.  Penderitaan individu juga mungkin mengalami perasaan kurang selesa, gatal di kawasan kemaluan.

5. Individu juga mungkin mengalami sakit semasa bersin, batuk, berjalan, dan lainlain.

Gejala yang perlu diberi perhatian dengan segera:

1. Kelemahan sensasi atau berasa kebas di satu atau kedua-dua anggota badan yang lebih rendah.

2. Kehilangan ketangkasan dalam satu atau kedua-dua kaki.

3. Sakit belakang yang teruk dengan kesan darah dalam air kencing.

4. Sakit berdenyut pada bahagian dalam paha;

5. Sakit belakang yang bertambah teruk walaupun dalam keadaan berehat berbanding apabila anda bergerak.

6.Kelemahan berpanjangan dengan sensasi cucukan walaupun dalam keadaan berehat.

7.Lemah tenaga batin atau sukar untuk bersama.

8. Kesan yang berterusan boleh membawa kepada pesakit manjadi lumpuh (paralyse).

Kehadiran tanda-tanda yang disenaraikan di atas tidak semestinya bermakna anda mempunyai masalah slipped disc, walau bagaimanpun gejala-gejala ini perlu diberi perhatian serius dan berjumpalah doktor untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Rawatan moden

Dalam kebanyakan kes, slipped disc akhirnya akan mengecut kembali secara spontan.

Kesakitan biasanya akan berkurangan apabila cakera berhenti menekan pada saraf yang terjejas. Selalunya pihak hospital akan memberi ubat penahan sakit sebagai permulaan rawatan.

Selain itu, fisioterapi boleh membantu anda untuk mempercepatkan proses penyembuhan.

Fisioterapis akan melatih dan mengajar jenis-jenis senaman yang bersesuaian untuk anda lakukan. Sebaiknya senaman itu dilakukan setiap hari untuk keputusan yang lebih baik dan ianya boleh dilakukan di rumah juga.

Anda juga boleh berunding dengan pengamal osteopath, atau chiropractor untuk merawat keadaan ini. Kedua-dua kiropraktik dan osteopati menggunakan terapi manual, iaitu, manipulasi otot dan tulang melalui urutan dan teknik manual yang lain.

Pembedahan mungkin perlu jika rawatan lain tidak membuahkan hasil yang diharapkan, atau telah gagal untuk memperbaiki keadaan.

Rawatan penyakit slipped disc dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran ;

1. Surah Qaff ayat 16 hingga 45.

2. Surah Mukminun ayat 60 hingga 80.

3. Surah Shod ayat 34 hingga 61.

4. Surah Al-Ahqaaf ayat 21 hingga 28.

5. Surah Adz-Dzariyaat ayat 31 hingga 60.

Cara amalan ayat-ayat al-Quran tersebut ialah, pesakit hendaklah membaca surah pertama iaitu surah Qaff tiga kali pada waktu malam dan surah kedua iaitu surah Mukminun tiga kali pada waktu siang. Pembacaan ini hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu memohon doa kepada Allah SWT untuk penyembuhan. Selepas membaca dua surah pertama tadi, pesakit hendaklah mengulang amalan-amalan tersebut dengan surah-surah yang berikutnya.

Dari Jabir Bin Abdullah radhiallahu anhu, bahawa, Setiap penyakit pasti memiliki ubat. Bila sesuatu ubat bertepatan dengan penyakitnya maka dia akan sembuh dengan seizin Allah azza wa jalla.” (HR. Muslim) 

Syifa'ul Qalbi

Listen to Quran

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga