11 Akibat Berbuat Maksiat

1) Maksiat Menghalangi Ilmu Pengetahuan

Ilmu adalah cahaya yang dipancarkan ke dalam hati. Namun, kemaksiatan dalam hati dapat menghalangi dan memadamkan cahaya tersebut. Ketika Imam Malik melihat kecerdasan dan daya hafal Imam Syafi'e yang luarbiasa, beliau (Imam Malik) berkata, "Aku melihat Allah telah menyiratkan cahaya di dalam hatimu, wahai anakku. Janganlah engkau padamkan cahaya itu dengan maksiat".

2) Maksiat menghalangi Rezeki

Jika ketakwaan adalah penyebab datangnya rezeki, maka meninggalkannya bererti menimbulkan kefakiran. "Seorang hamba dicegah dari rezeki akibat dosa yang diperbuatnya". (HR Ahmad)

3) Maksiat Menimbulkan Jarak dengan Allah

Diriwayatkan ada seorang lelaki yang mengeluh kepada seorang arif tentang kesunyian jiwanya. Sang arif berpesan, "Jika kegersangan hatimu akibat dosa-dosa, maka tinggalkanlah (perbuatan dosa itu). Dalam hati kita, tak ada perkara yang lebih pahit daripada kegersangan dosa di atas dosa".

4) Maksiat Menjauhkan Pelakunya Dari Orang Lain

Terutama dari golongan yang baik. Semakin berat tekanannya, maka semakin jauh pula jaraknya hingga berbagai manfaat dari orang yang baik terhalangi. Kesunyian dan kegersangan ini semakin menguat hingga berpengaruh pada hubungan dengan keluarga, anak-anak dan hati nuraninya sendiri. Seorang salaf berkata, "Sesungguhnya aku bermaksiat kepada Allah, maka aku lihat pengaruhnya pada perilaku binatang(kenderaan) dan isteriku".

5) Maksiat Menyulitkan Urusan

Jika ketakwaan dapat memudahkan segala urusan, maka pelaku maksiat akan menghadapi kesulitan dalam menghadapi segala urusannya.

6) Maksiat menggelapkan hati

Ketaatan adalah cahaya, sedangkan maksiat adalah gelap-gulita. Ibnu Abbas RA berkata, "Sesungguhnya perbuatan baik itu mendatangkan kecerahan pada wajah dan cahaya pada hati, kekuatan badan dan kecintaan. Sebaliknya, perbuatan buruk itu mengundang ketidakceriaan pada raut muka, kegelapan di dalam kubur dan di hati, kelemahan bada n, susutnya rezeki dan kebencian makhluk".

7) Maksiat Melemahkan Hati dan Badan

Kekuatan seorang mukmin terpancar dari kekuatan hatinya. Jika hatinya kuat maka kuatlah badannya. Tapi bagi pelaku maksiat, meskipun badannya kuat, sesungguhnya dia sangat lemah jika kekuatan itu sedang dia perlukan, hingga kekuatan pada dirinya sering menipu dirinya sendiri. Lihatlah bagaimana kekuatan fizik dan hati kaum muslimin yang telah mengalahkan kekuatan fizik bangsa Persia dan Romawi.

8) Maksiat Menghalangi Ketaatan

Orang yang melakukan dosa dan maksiat akan cenderung untuk memutuskan ketaatan. Seperti selayaknya orang yang satu kali makan tetapi mangalami sakit yg berpanjangan dan menghalanginya dari memakan makanan lain yang lebih baik.

9) Maksiat Memendekkan Umur dan Menghapus Keberkahan

Pada dasarnya umur manusia dihitung dari masa hidupnya. Sementara itu tak ada yang namanya hidup kecuali jika kehidupan itu dihabiskan dengan ketaatan, ibadah, cinta dan zikir kepada Allah serta mementingkan keredhaanNya.

10) Maksiat Menumbuhkan Maksiat Lain

Seorang ulama salaf berkata bahawa jika seorang hamba melakukan kebaikan, maka hal tersebut akan mendorong dia untuk melakukan kebaikan yang lain dan seterusnya. Dan jika seorang hamba melakukan keburukan, maka dia pun akan cenderung untuk melakukan keburukan yang lain sehingga keburukan itu menjadi kebiasaan bagi si pelaku.

11) Maksiat Mematikan Bisikan Hati Nurani

Maksiat dapat melemahkan hati dari kebaikan dan sebaliknya akan menguatkan kehendak untuk berbuat maksiat yang lain. Maksiat juga dapat memutuskan keinginan seseorang untuk bertaubat.

" Wahai hamba-hambakKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah Mahamengampuni dosa-dosa semuanya. Sungguh, Dialah yang Maha Pemgampun, Maha Penyayang." 
[39 : 53]

Sabar Penawar Selesai Masalah

IMAM al-Ghazali dalam kitab al-Arba’in fi Usul al-Din menyatakan “Bermula hakikat sabar itu keteguhan yang membangkitkan agama ketika melawan keinginan hawa nafsu.”

Sabar adalah menahan diri daripada marah kepada perkara yang tidak disukai dan menahan lidah daripada mengadu kepada selain Allah. Perkataan sabar sering diungkap dalam pelbagai situasi kurang menyenangkan menimpa seseorang. Menutur sabar itu mudah, tetapi tidak semudah itu ia mampu melunturkan perasaan gundah dan negatif seseorang pada situasi yang dihadapinya terutama kepada yang masih buntu penyelesaian.

Memandangkan senario masa kini memerlukan kesabaran yang tinggi bagi kebanyakan orang, maka Usrah Nurani yang bersiaran pada jam 5.15 petang Jumaat lalu berkongsi pandangan tentang sifat sabar ini. Ustaz Shahrizan Daud at-Turabi yang bertindak selaku naqib menyifatkan perkataan sabar terlalu mudah untuk diluahkan.

Ketahanan aras tinggi Ia mudah disebut di bibir tanpa menghadirkan rasa simpati yang tinggi dalam hati. Tanpa disedari, sabar sebenarnya suatu sifat yang menuntut kepada mujahadah dan ketahanan pada aras tinggi. Bukan mudah untuk bersabar dan jauh lebih sukar untuk mempertahankan kesabaran. Jika dapat melepasi tahap sabar, maka sabar itu bisa menjadi penawar paling mujarab dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi.

Dalam mengadun resipi untuk istiqamah dalam bersabar, rakan usrah di konti iaitu Dr Ahmad Faudzi Muharriri dan Farah Asyikin juga berkongsi pengalaman dan idea mereka. Ketika berjaya melepasi cabaran sabar untuk bersabar, ia akan melahirkan kepuasan kepada diri, di samping mampu menjadi inspirasi kepada yang lain bahawa tiada sesuatu perkara yang mustahil untuk ditempuhi. Sabar sangat hampir dengan keimanan seperti firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang bersabar dalam musibah, penderitaan dan peperangan, mereka itulah orang yang benar imannya dan mereka itulah orang yang bertakwa.” (Surah Al-Baqarah, ayat 177).

Sesungguhnya, sabar itu akan membawa diri mendekati Allah SWT. Tidak dinafikan, majoriti manusia mampu bersabar pada peringkat awal berlaku sesuatu musibah. Ada juga golongan yang tidak sabar pada permulaan, tetapi selepas diingat-ingatkan berkenaan sabar akhirnya individu itu menzahirkan perasaan sabarnya.

Namun, ada segelintir yang bersabar dari permulaan, tetapi gagal untuk mengekalkan sabar hingga ke penghujung. Konsep sabar terbahagi kepada beberapa konsep.

Pertama adalah sabar dalam menjalankan perintah dan ketaatan kepada Allah SWT seperti firman-Nya mafhumnya, “Dan perintahkanlah kepada keluargamu untuk mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya, kami tidak meminta rezeki kepadamu kamilah yang memberi rezeki kepadamu dan akibat yang baik itu adalah bagi orang yang takwa.” (Surah Toha, ayat 132).

Menahan diri agar tetap istiqamah dalam menjalankan perintah Allah SWT adalah sebahagian daripada suruhan Allah SWT. Belajar untuk kekal bersabar kerana Allah telah menjanjikan syurga bagi hamba-Nya yang mentaati perintah-Nya dengan baik sesuai syariat yang telah Allah SWT turunkan. Ibadah seperti solat, zakat, puasa, dakwah, dan lain-lain perlu dilaksanakan dengan sabar jika berkeinginan untuk mengecapi kejayaan seperti yang telah termaktub dalam al-Quran maksudnya: “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang yang khusyuk.” (Surah Al-Baqarah, ayat 45).

Selain itu, perlu juga sabar kepada perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Bukan mudah untuk bersabar dalam meninggalkan kemaksiatan. Sabda Nabi SAW bermaksud, “Sesungguhnya syurga itu dikelilingi oleh perkara-perkara yang tidak disukai, manakala neraka pula dikelilingi oleh perkara-perkara yang memuaskan syahwat” (Riwayat Imam al-Tirmizi).

Sabar dalam meninggalkan kemaksiatan kebiasaannya berdepan dengan dugaan dan cabaran yang besar. Sering kali individu yang cuba berubah kepada kebaikan akan menerima kata-kata sinis, cemuhan dan fitnah yang boleh menggoyahkan kesabaran untuk kekal dalam kebaikan dan perubahan dilakukan. Sesungguhnya, semua itu adalah godaan dan mainan syaitan untuk mematahkan semangat berjuang dalam meninggalkan kemaksiatan. Sebagai umat Islam harus bersabar pada setiap larangan yang digariskan oleh Allah SWT. Perlu wujudkan keyakinan bahawa semua larangan itu ada hikmah tersembunyi.

Iman tinggi kawal diri buat, ulangi dosa

Menerusi keimanan yang tinggi kepada Allah maka akan lahir sifat sabar yang akan mengawal diri daripada berbuat atau mengulangi dosa. Akhir sekali adalah bersabar terhadap perkara yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT. Contohnya, jika ditentukan lahir dalam keadaan fizikal yang berbeza daripada yang sepatutnya, maka bersabarlah. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT berfirman: jika hambaku diuji dengan kedua-dua matanya dan dia bersabar, maka Aku akan mengganti kedua matanya dengan syurga” (HR Bukhari). 

Selain itu, Allah SWT juga berfirman, “Sesungguhnya harta benda dan anak kamu adalah ujian dan pada Allah juga pahala yang besar.” (Surah al-Taghabun, ayat 15).

Justeru, harta benda dan anak-pinak juga adalah ujian. Jika tidak hadir sabar, maka akan lahir sifat bakhil terhadap harta dimiliki. Ujian anak pula datang saat mereka jauh daripada syariat Islam. Ia akan mencabar kesabaran untuk mengatur dan membentuk keluarga dan anak untuk kembali kepada-Nya. Sesungguhnya Allah berserta dengan orang yang sabar. Allah SWT menyebut bahawa orang yang bersabar akan mendapat kegembiraan, petunjuk, keberkatan dan rahmat daripadanya. Oleh itu, setiap orang mesti bersabar dalam menghadapi segala cabaran hidup. Janji dan jaminan Allah SWT kepada orang yang bersabar adalah bukti kebaikan yang tidak ada tolok-banding dan tidak akan dipersiakan.

Al-Quran Jadi Pedoman, al-Fatihah Doa Terhebat

“TUNJUKILAH kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang yang sesat. Inilah doa yang wajib diminta daripada Allah SWT sekurang-kurangnya 17 kali sehari.

Kekuatan ayat surah al-Fatihah (juga dinamakan mufassir sebagai surah solat) itu dibincangkan Ustaz Zul Ramli M Razali menerusi Usrah Nurani yang bersiaran jam 5.15 petang, Jumaat lalu, bersama rakan di konti iaitu Heliza Helmi dan Rosli Mohd Nordin.

Ulama’ menjelaskan, hidayah mendapat petunjuk jalan yang lurus adalah hidayah memeluk agama Islam dan meninggalkan agama selain Islam. Adapun hidayah dalam meniti shiratal mustaqim mencakup seluruh ilmu dan pelaksanaan ajaran agama Islam secara terperinci.

Kepentingan doa dalam setiap rakaat solat Katanya, doa untuk mendapat hidayah ini termasuk doa yang paling lengkap dan paling bermanfaat bagi hamba. Oleh itu wajib bagi setiap orang untuk memanjatkan doa ini dalam setiap rakaat solat kerana kepentingan doa ini. Saat melafazkan doa supaya ditunjukkan jalan yang lurus pasti akan ada getar di hati kecil kerana tidak mungkin akan tercapai permintaan itu jika tidak dikabulkan oleh Yang Maha Kuasa.

Perkataan ‘kami’ dalam ayat menunjukkan jika seorang tidak melafazkannya pasti ia akan diungkap sejumlah besar yang lain. ‘Kami’ juga memberi tamsilan kepada keseluruhan anggota tubuh yang serentak meminta dikurniakan jalan yang lurus saat lidah melafazkan. Seolah-olah setiap pancaindera, organ malah setiap helaian rerambut di tubuh berdoa untuk meraih petunjuk jalan yang lurus yang termasuk dalam ‘kami’ itu.

Tiada siapa yang mampu memberi petunjuk melainkan Allah SWT. Ketika doa permohonan dipinta, individu itu sudah punya matlamat yang jelas dalam jalan hidupnya. Sesungguhnya, telah wujud fitrah pada setiap manusia perasaan mahu kepada Penciptanya tanpa mengira keadaan dirinya.

Firaun yang saat tenggelam di Lautan Merah, ketika tercungap berjuang sebelum kelemasan berkata, “Aku beriman kepada Tuhan sekalian alam”.

Terbukti, kompas dalaman dirinya telah diset oleh Allah SWT bahawa dia berkehendak dan mahu kepada Allah SWT. Justeru, destinasi hidup manusia sangat jelas iaitu menuju Allah SWT iaitu matlamat yang menjanjikan kepuasan seperti mufassir juga menterjemahkan Allah sebagai ‘kepuasan’.

Ia membayangkan betapa puasnya manusia saat dapat menyebut kalimah Allah dan tiada kepuasan lebih tinggi melainkan waktu seseorang itu kembali kepada Allah SWT. Contohnya, saudara baharu yang kembali kepada agama fitrah ini, ketika syahadah dilafazkan, maka Allah memenuhi setiap sudut rongga hatinya.

Buya Hamka pernah mengungkapkan, “Istananya telah kulihat, tetapi di manakah jalannya?” Sekadar melihat istana, belum menjanjikan untuk sampai ke sana. Oleh itu, perlu kepada tahu dan mahu untuk menjejak setiap jalan menuju Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi? Sudah tentu mereka akan menjawab: Yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.” (Surah az-Zukhruf, ayat 9)

Semua manusia dalam dirinya mengakui berkehendak kepada Allah SWT, namun bukan rezeki mereka untuk bertemu jalan hidayah yang akan membawanya kepada Allah SWT. Oleh itu, penting untuk meminta kepada Allah SWT supaya diberikan hidayah petunjuk jalan yang akan membawa kepada-Nya. Imam Abu Ja’far bin Juraih berkata, ahli tafsir telah sepakat seluruhnya bahawa shiratal mustaqim adalah jalan yang jelas yang tidak ada penyimpangan di dalamnya. Petunjuk menuju agama Penggunaan perkataan shirat (jalan) dari sudut bahasa bermaksud menelan. Ia menggambarkan jalan yang dilalui semestinya jalan yang menempatkan diri keseluruhannya di atas jalan itu, bukan jalan ‘iwaja (bengkok), tetapi mustakima (lurus).

Ulama’ menjelaskan, ada empat perkataan ulama mengenai makna shiratal mustaqim. Pertama, ia bermaksud kitabullah. Pada pendapat Ibnu Mas’ud, ia memberi makna agama Islam. Selain itu, Abu Shalih daripada sahabat Ibnu ‘Abbas dan Mujahid memberi maksud jalan petunjuk menuju agama Allah SWT. Dinukilkan daripada Ibnu ‘Abbas ia membawa maksud jalan (menuju) syurga.

Mustaqim pula berasal daripada perkataan yang membawa maksud menegakkan atau mendirikan dengan lurus. Suatu ketika Rasulullah SAW pernah membuat satu garis lurus, kemudian beliau bersabda: Ini adalah jalan Allah. Kemudian beliau membuat garis-garis yang banyak di samping kiri dan kanan garis yang lurus itu. Selepas itu beliau bersabda: Ini adalah jalan-jalan (menyimpang). Di setiap jalan ada syaitan yang menyeru kepada jalan (yang menyimpang) itu.” (Riwayat Ahmad)

Justeru, sentiasa semak dan amati setiap langkah yang dilalui ketika meniti jalan kehidupan supaya tidak terkeluar daripada garis yang telah ditetapkan. Panduan terbaik adalah al-Quran, doa terhebat adalah surah al-Fatihah yang dimohon menerusi solat yang didirikan.

Pendirian 5 Golongan Mengenai Solat

MENUNAIKAN solat lima waktu dengan penuh rasa insaf dan ketakwaan menandakan kita ingat kepada Allah Yang Maha Pencipta dan solat penuh ikhlas serta khusyuk mampu menghalang daripada perbuatan keji atau mungkar.

Menurut Ulama’ dalam menjelaskan mengenai 5 golongan yang menunaikan solat.

Pertama, mu’aqab bermaksud golongan yang diazab iaitu yang menunaikan solat, tetapi tidak melaksanakannya dengan sempurna. Kumpulan atau individu daripada kelompok ini banyak mengabaikan perkara berkait rapat aspek syarat sah solat serta perkara berhubung rukun solat. Selain itu, aspek taharah, wuduk dan penyucian diri tidak dipelihara dengan baik. Mereka hanya sekadar menunaikan solat dan sering melambat-lambatkan solat, ada kala tidak melaksanakannya. Golongan itu termasuk apa yang disebut dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka kecelakaan besar bagi orang ahli sembahyang (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya, (Juga bagi) orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadah dan bawaannya).” (Surah al-Maun, ayat 4-6)

Muhasab ialah golongan yang dihisab yang rajin melaksanakan solat, menjaga atau menunaikan solat pada waktunya, menyempurnakan segala syarat, rukun dan aspek zahir solat dengan sempurna. Aspek kebersihan diri, pakaian, tempat dan waktu cukup sempurna. Gagal khusyuk Satu aspek yang mencacatkan ibadah solat mereka ialah dari segi kekhusyukan atau kehadiran hatinya. Gagal khusyuk dan fokus terhadap ibadah solat yang dilakukan, sebaliknya hati, perasaan dan tumpuan hilang entah ke mana menyebabkan hilang khusyuk.

Tahap ketiga ialah mukaffar anhu yang bermaksud diampunkan dosanya. Mereka ini lebih baik kerana sentiasa menjaga segala aspek berkaitan solat, melaksanakan segala yang wajib, rukun, sunat serta bersungguh-sungguh menjaga kesempurnaan solatnya. Mereka sentiasa berwaspada menjaga kesempurnaan solat dengan memastikan hati, perasaan dan jiwa khusyuk supaya dapat mengatasi gangguan syaitan yang sekali gus boleh merosakkan solat mereka.

Keempat, mutsab iaitu orang yang diberi pahala kerana menunaikan solat serta diampuni oleh Allah SWT terhadap dosa mereka kerana golongan itu menunaikan solat dengan erti kata yang sebenar-benarnya, bukan sekadar menunaikan solat secara zahir sahaja. Golongan bersolat dengan sempurna, menjaga segala syarat, rukun serta menjaga hati dalam solat. Pada tahap ini seluruh anggota tubuh, fikiran dan hatinya berzikir kepada Allah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.” (Surah Taha, ayat 14)

Kelima, muqarrib min rabbi yang bermaksud golongan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Tahap ini adalah tahap paling sempurna dalam menunaikan solat. Mereka pada tahap ini menunaikan solat seolah-olah mereka bertemu atau berhadapan dengan Allah SWT. Bersih daripada sifat was-was Mereka meletakkan hati di hadapan Allah SWT penuh keikhlasan dan khusyuk. Hati mereka bersih dan jauh daripada sifat was-was atau gangguan syaitan. Mereka adalah golongan yang disebut oleh Nabi SAW sebagai golongan muhsinin. Menjadi harapan kita untuk meningkatkan kualiti solat sebagai tanda kepatuhan, kesyukuran dan keimanan terhadap Allah SWT. Dalam keadaan usia kian meningkat, maka menjadi kualiti solat juga semakin meningkat. Oleh itu, rugi dan malanglah bagi yang bersolat, tetapi solatnya tidak berkualiti disebabkan kelalaian serta tiada ilmu. Sewajarnya kita memperbaiki kualiti solat serta menghayati firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi masa! Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal salih serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.” (Surah al-Asr, ayat 1-5)

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga