Pengajaran Nabi Yusof Jadikan Iktibar

SIAPA tidak suka gambar atau status dimuat naik dalam laman sosial mendapat ribuan like, di samping komen pujian bertalu-talu daripada rakan yang terdapat dalam saluran tersebut.

Mufti Zimbabwe, Ismail Musa Menk bagaimanapun mengingatkan masyarakat terutama umat Islam supaya berhati-hati memuat naik status atau gambar di media sosial yang boleh menjadi tatapan umum.

Sebaliknya, pendakwah terkemuka antarabangsa itu menasihatkan umat Islam agar menghayati pengajaran kisah Nabi Yusuf a.s. yang ditunjukkan ayahnya, Nabi Yaakub a.s., supaya merahsiakan kelebihan dikurniakan oleh Allah SWT kepada dirinya daripada umum termasuk abangnya sendiri.

“Allah berfirman bermaksud: “Yusuf berkata kepada ayahnya, “Wahai ayahku, sesungguhnya aku telah bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan, ku lihat semuanya sujud kepada ku.” (Yusuf: 4)

“Ketika Nabi Yusuf bertanya kepada bapanya iaitu Nabi Yaakub, baginda telah pun mengetahui bahawa Allah ingin mengangkat darjat anak ini (Nabi Yusuf sebagai tanda kenabian), tetapi Nabi Yaakub tidak memberi tahu perkara sebenar, sebaliknya mengambil pendekatan berbeza iaitu meminta Nabi Yusuf merahsiakan mimpinya itu.

“Dia (Nabi Yaakub) berkata, “Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, mereka akan membuat tipu daya (untuk membinasakanmu). Sungguh, syaitan itu musuh yang jelas bagi manusia.” (Yusuf: 5),” katanya.

Mengaitkan pengajaran tersebut dengan fenomena yang berlaku kini, Mufti Menk berkata, perkara itu penting bagi mengelakkan manusia daripada mendapat penyakit buruk atau kesan negatif yang wujud daripada pengaruh ain (penyakit akibat pandangan).

“Semua yang berlaku dalam kehidupan harian, kamu ceritakan kepada orang lain dengan memuat naik gambar dan menulis pelbagai perkara termasuk hal peribadi. Sehingga setiap kali selepas makan kita menggantikan profil gambar dan status ‘aku makan di sini, aku berada di hotel itu dan ini.’

“Berhati-hatilah. Telah ramai orang yang menderita dan ditimpa nasib malang akibat penyakit yang dinamakan ain. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud; “Pengaruh ‘ain’ itu benar, sekiranya ada sesuatu yang boleh mendahului takdir, ‘ain’ lah yang dapat melakukannya.” – Riwayat Muslim

“Apa yang dimaksudkan dengan penyakit ‘ain’ ini antaranya adalah hasad dengki. Adakah kamu percaya semua pelayar media yang melihat gambar kamu itu suka dan tidak berasa cemburu dengan kegembiraan yang kamu nikmati? Inilah yang mengundang kepada penyakit ‘ain’,” jelasnya.

Mula menghafal al-Quran pada usia sembilan tahun, Mufti Menk menghabiskan hafalan 30 juzuk al-Quran pada usia 12 tahun. Beliau mempelajari bahasa Arab, Urdu dan mendalami Mazhab Hanafi sejak kecil bersama bapanya, Musa Menk yang menamatkan pengajian di Mazahirul Uloom Shahjahanpur, India.

Setelah mengkaji mazhab, Mufti Menk melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Madinah dalam pengajian Ijazah Syariah mazhab yang empat.

Mufti Menk berkata, al-Quran telah menggariskan panduan kepada manusia untuk dijadikan rujukan agar setiap perbuatan yang dilakukan bertepatan dengan syariat, di samping mengelakkan sebarang kebinasaan berlaku.

“Terdapat dua pengajaran yang boleh diambil menerusi kisah tersebut iaitu pertama, ketika saudara-saudara Nabi Yusuf memasuki istana untuk mendapatkan makanan, Nabi Yaakub berkata, ‘masuklah secara berasingan’. Ulama menjelaskan menerusi kitab tafsir, antara alasan perbuatan itu adalah agar orang ramai tidak melihat kesenangan mereka, sekali gus mengundang perasaan dengki.

“Di sini juga, Nabi Yaakub berkata kepada Nabi Yusuf supaya tidak menceritakan mimpi itu kepada saudara-saudaranya. Mengapa?, supaya mereka tidak merancang sesuatu yang buruk kepada baginda,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, tidak salah untuk memuat naik sebarang status atau gambar, tetapi perlulah digunakan dengan perkara yang membawa kebaikan kepada diri sendiri dan orang lain.

“Ini bukan bermakna kita perlu menjauhi atau membuang terus teknologi dalam hidup kita, tetapi apa yang ingin saya sampaikan adalah gunakanlah kemudahan ini dengan sebaik mungkin. Berkongsilah sebarang maklumat yang boleh memberi manfaat.

“Tidak salah juga kadang-kala kita ingin berkongsi kegembiraan bersama orang lain, tetapi cukuplah sekadar mereka yang kamu percayai atau orang terdekat seperti suami kepada isteri, anak kepada ibu bapa dan saudara mara.

“Hayatilah kisah Nabi Yusuf, abangnya sendiri mempunyai hasad dengki terhadapnya. Ini kerana, bukan semua orang baik atau ikhlas terhadap kita.

“Ada orang baik tetapi boleh bertukar menjadi sebaliknya, jika hasutan buruk masuk ke dalam hati mereka, disebabkan perkara tertentu,” katanya.

Sepuluh Ganjaran Kebaikan Bagi Orang Yang Sabar

Sekiranya kita diuji dengan fitnah daripada orang yang iri hati diatas kejayaan kita , diuji dengan kemiskinan, diuji dengan keretakan rumah tangga hingga berlaku perceraian sebagai suami-isteri, diuji dengan penyakit dan mendapat kemalangan, diuji dengan kematian insan yang dikasihi atau diuji dengan kerugiaan dalam perniagaan maka bersabarlah ini semuanya ada hikmah yang baik untuk diri kita sendiri sedangkan kita tidak mengetahui hikmah Allah berikan ujian tersebut . 

Ianya mungkin kafarah atau penghapusan dosa-dosa kita yang pernah kita lakukan kepada Allah SWT atau ianya sebagai satu cara Allah SWT ingin meningkatkan iman dan takwa kita kepada-Nya dan Dia mengasihi kita supaya dapat memasuki syurga-Nya nanti kerana salah satu jalan seseorang dimasukkan kedalam syurga kerana adanya kerana sifat sabar semasa di dunia.

Terdapat sepuluh kebaikan-kebaikan yang akan Allah SWT kurniakan pada hamba-hamba-Nya yang sabar. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut 

Pertama: Diampunkan Dosa Untuknya

Dalam hadis qudsi berkata Syaddad bin Aus r.a. bahwasanya Nabi SAW. bersabda maksudnya : “Allah telah berfirman: 'Sekiranya Aku uji salah seorang hamba-Ku yang mukmin, lalu ia memuji-Ku seraya bersabar atas (penderitaan) apa yang Aku mengujinya. Maka ia akan bangun dari tempat pembaringannya, bagaikan anak yang baru dilahirkan oleh ibunya, bersih dari dosa. Lantas Tuhan akan memerintahkan malaikat Pencatat Amal: Sesungguhnya Aku telah menahan hamba-Ku ini dan Aku telah mengujinya, maka kini catatkanlah baginya apa yang kamu selalu catatkan sebelum itu dari pahala-pahala amalannya.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Sayyidatina Aishah ada berkata, bahawa baginda Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: "Tidak menimpa ke atas seorang mukmin satu kecelakaan, biarpun duri,ataupun lebih daripada itu, melainkan Allah akan menggugurkan dengannya satu dosa." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslirn)

Kedua: Allah merasa malu kepadanya Semasa Dineraca Timbangan Dan Membuka Catatan Untuknya Di Akhirat 

Berkata Anas ra. bahawasanya Nabi SAW bersabda maksudnya : ”Allah telah berfirman:

'Jika Aku menimpakan suatu mushibah ke atas salah seorang hamba-Ku pada badannya, atau hartanya, atau anaknya, lalu dia menerima mushibah itu dengan penuh kesabaran, nescaya di hari kiamat Aku malu akan menegakkan baginya neraca timbangan atau membuka buku catatan amalnya.” (Hadis riwayat Qudha’i, Dailami, Hakim dan Tirmidzi) - hadis qudsi.

Ketiga: Allah SWT Ingin Mendengar Sendiri Ucapan Hamba Yang Di Uji-Nya (mukmin tersebut sentiasa memuji-muji kebesaran Allah SWT dengan dia bersabar dan tidak mengeluh)

Berkata Abu Umamah ra. bahwasanya Nabi SAW bersabda maksudnya : ”Allah telah berfirman: 'Wahai malaikat-ku. Pergilah kepada hamba-Ku, dan timpakan ke atasnya bala'. Maka para malaikat pun menimpakan bala ke atasnya dan orang itu memuji Allah. Para malaikat lalu kembali mengatakan, 'Wahai Tuhan kami ! Kami telah menimpakan atasnya sebagaimana yang Engkau perintahkan'. Berfirman Tuhan: 'Kembali semula kepadanya, Aku ingin mendengar apa katanya'.” (Hadis riwayat Thabarani) - hadis qudsi.

Keempat: Dibebaskan Dari Seksa Api Neraka

Dari Abu Hurairah ra. bahawasanya ia bersama dengan Rasulullah SAW menjenguk orang yang sakit kerana demam, lalu Rasulullah SAW. bersabda maksuanya : “Bergembiralah, kerana Allah telah berfirman: 'Itu adalah api-Ku, yang Aku kuasakan terhadap hamba-Ku yang mukmin di dunia agar menduduki (sebagai pengganti) bagian apinya di akhirat'.”(Hadis riwayat Ibnu Majah) - hadis qudsi.

Kelima: Diberikan Kesihatan Yang Lebih Baik Dari Sebelumnya

Dari Abu Hurayrah r.a., bahwasanya Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Berfirman Allah Ta’ala: 'Apabila Aku menimpakan bala ke atas hamba-Ku yang mukmin, lalu ia bersabar (atas penderitaan itu), tiada ia mengadu atau mengeluh kepada pengunjung-pengunjungnya, nescaya akan Aku lepaskan dia dari tahanan-Ku (penderitaan itu), kemudian Aku tukarkan dagingnya dengan daging yang lebih baik, dan darahnya dengan darah yang lebih baik, sehingga ia dapat bekerja semula (yakni: setelah semua dosa dan kesalahan yang lalu Allah ampunkan semuanya)'.”(Hadis riwayat Hakim)

Keenam: Diberikan Ganjaran Pahala Tanpa Batas

Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya orang yang bersabar akan diberikan pahala mereka tanpa hisab (tanpa batas) " (Surah az-Zumar ayat 10).

Dalam sebuah hadis lain Rasulullah SAW. juga pernah bersabda yang bermaksud:

"Rintihan orang sakit tercatat sebagai tasbih, kegelisahan dan jeritannya sebagai tahlil, nafasnya seumpama sedekah, tidurnya sebagai ibadah dan kegelisahannya,daripada satu,bahagian ke satu bahagian lain adalah bagaikan jihad kerana Allah SWT dan ditulis baginya sebaik-baik amalan yang pernah dilakukan semasa sihat." 

Ketujuh: Mendapat Selawat Dan Rahmat Daripada ALLAH SWT

Allah SWT berfirman maksudnya : "Dan berilah khabar gembira kepadaorang-orang yang sabar; (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: 'Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.' Mereka itu ialah orang-orang yang menerima selawat dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 155-157).

Kelapan: Mendapat Balasan Syurga

iriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda didalam Hadis Qudsi: Allah SWT berfirman yang maksudnya :"Tidak ada balasan kecuali syurga bagi hambaku yang beriman yang telah Aku ambil kembali kekasihnya (Aku mematikan seseorang yang disayanginya seperti anak, adik-beradik dan sesiapa sahaja yang di sayangi oleh seseorang) dari kalangan penghuni dunia dan dia hanya mengharapkan pahala daripadaKu (dengan bersabar). "
(Hadis riwayat Bukhari).

Kesembilan:Jaminan Mendapat Pertolongan Allah SWT

Ya (cukup), jika kamu semua bersabar dan bertakwa. Dan (seandainya) mereka menyerang kamu semua seketika itu juga, nescaya Allah akan menolong kalian dengan lima ribu malaikat yang memakai tanda." (Surah Ali-Imran ayat 125). 

Kesepuluh: Diberikan Oleh ALLAH Dengan Sifat Penyabar

Sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Dan sesiapa yang bersabar, maka Allah akan menjadikan dirinya penyabar, dan tiada pemberian yang (Allah) berikan kepada seseorang yang lebih baik dan lebih luas (manfaatnya) daripada kesabaran.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Berikut adalah sepuluh ganjaran kebaikan bagi orang-orang yang sentiasa bersabar. Semoga kita beramal dengan ilmu bermanfaat ini daripada-Nya. 

Kepentingan Memerangi Kejahilan Dalam Diri Kita

Kejahilan merupakan sesuatu penyakit hati dan sosial yang perlu dibanteras oleh setiap individu. Ia amat merbahaya dan boleh membawa implikasi buruk terhadap kehidupan individu , masyarakat dan negara. Dalam hal ini, Seorang yang jahil tidak dapat membezakan diantara kebenaran dan kepalsuan, sedangkan kebenaran dan kepalsuan amatlah berbeza. Untuk mengenal sesuatu kebenaran, Seseorang itu mesti mempunyai ilmu dan menghayati kebenaran tersebut.. Begitu juga jika mengetahusesuatu itu palsu (tidak benar) ia mestilah mengetahui apakah ciri-ciri kepalsuan apakah ciri-ciri kesesatan. Dengan cara ini seseorang itu tidak mudah terjerumus dalam kancah kepalsuan dan kesesatan.

Menurut islam, bagi menentukan sesuatu ilmu itu benar atau sesat maka kita hendaklah berpandukan sepenuhnya dengan Al-Quran, As-Sunnah, Ijmak Ulama' dan Qiyas, sekiranya sesuatu itu benar bertentangan dengan satu daripada empat-empatnya, maka itu adalah karut dantidak benar. Ini semua memerlukan kepada ilmu. Didalam Al-Quran Allah SWT telah menjelaskan bahawa islam adalah agama yang benar. Ia adalah jalan lurus yang boleh menyampaikan kehidupan kita kepada keredaan-Nya bagi mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan hidup dunia dan akhirat.
                  
Mafhum Firman Allah S.W.T

"Sesungguhnya agama (yang diredhai) disisi Allah hanyalah Islam,Tiada berselisih orang yang telah diberi al-kitab kecuali datang pengetahuan kepada mereka" Surah Ali-'Imran : Ayat 19

Tetapi malang sekali bagi kita yang tidak memiliki Ilmudan tidak memahami isi kandunga Al-Quran, tentulah kebenaran agama Islam yang suci itu tidaklah akan diketahui dan difahami, Jauh sekali untuk menghayatinya malahan boleh menimbulkan rasa ragu-ragu dan hilang keyakinan terhadap kebenaran dan kesuciannya. Apabila hilang keyakinan dan keimanan seorang muslim, sudah tentu iman yang menjadi benteng pertahanan dihati dan jiwanya akan menjadi lemah dan menunggu masa untuk roboh

Mereka mengakui diri mereka islam, tetapi jarang-jarang solat yang telah difardhukan keatas setiap orang muslim. Dengan kata-kata lain mereka melanggar hukum islam dan mudah terpengaruh dengan gejala-gejala negatif yang boleh meruntuhkan akhlak. Kejahilan itu menjadikan insan itu bodoh , tidak dapat berfikir menolak segala kebaikkan  dan tidak dapt mengenal nilai-nilai kemanusiaan.

Individu dan masyarakat yang jahil tidak mampu untuk menguruskan masalah diri. Apa lagi menentukan perancangan dan pengurusan lain termasuk keluarga, Masyarakat dan negara. Ia tidak akan mengerti tanggungjawab tersebut. Dalam kehidupan bermasyarakat pula kejahilan akan mengakibatkan manusia boleh bertindak tidak waras  iaitu mencetuskan suasana yang tidak sihat seperti menipu, membunuh dan fitnah. Semua kelakuan ini akan membawa pergaduhan dan perpecahan dikalangan ummah dan akhirnya siapa yang rugi ?

Mafhum firman Allah S.W.T :

"Telah timbul berbagai kerosakkan dan bala bencana didarat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan  manusia: (Timbulnya yang demikian kerana Allah hendak merasakkan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan, Supaya mereka kembali insaf (Surah Ar-Rum : Ayat 41)

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga