Meneladani Sifat Pemaaf Nabi Yusuf a.s

PENDERITAAN Nabi Yusuf bukan sedikit. Ia melibatkan derita fizikal dan luka jiwa. Hanya kerana ‘hasad cinta’ ayahanda mereka, Yusuf diperlakukan sedemikian rupa. Jika tidak kerana abangnya mengorak langkah membuangnya ke dalam perigi, pastinya Yusuf tidak akan merana tubuh dan hati terpisah dari ayah tercinta selama puluhan tahun. Yusuf pasti tidak derita malu dijual sebagai hamba. Yusuf pasti tidak akan derita digoda wanita Mesir. Paling perit sekali, Yusuf pasti tidak akan derita dikurung seperti haiwan dalam penjara Mesir tanpa sebarang kesalahan.

Nah! Pada hari itu, Yusuf berdiri tegak di hadapan para penzalimnya. Kuasa penuh di tangan baginda. Boleh sahaja mereka itu dihumbankan ke dalam perigi, kemudian mereka dijual penuh hina sebagai hamba. Tidak cukup dengan itu, Yusuf juga boleh memenjarakan mereka selama mungkin sehingga mereput dalam penjara tanpa khabar berita. Tapi bukan begitu lakunya Yusuf. Allah merekodkan ‘kisah agung sikap pemaaf’ yang sangat indah di akhir surah Yusuf:

Allah berfirman, maksudnya: Yusuf berkata: “Tahukah kamu (betapa buruknya) apa yang kamu telah lakukan kepada Yusuf dan adiknya, semasa kamu masih jahil (tentang buruknya perbuatan yang demikian)?” Mereka bertanya (dengan hairan): “Engkau ini Yusufkah? “ Dia menjawab: “Akulah Yusuf dan ini adikku (Bunyamin). Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmat-Nya kepada kami. Sebenarnya sesiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan (Yusuf :89-90).

Taqwa dan sabar! Itulah dua kunci yang membantu Yusuf bertahan dan bebas daripada segala ujian dunia yang dihadapinya selama ini. Setelah identiti Yusuf terdedah, rasa bersalah mulai menerjah masuk ke dalam hati abang-abang baginda, lalu dengan malu dan insaf mereka memohon maaf. Membalas dendam ketika kuasa penuh di tangan? Tidak sama sekali! Subhanallah! Memang Yusuf manusia kuat yang sangat hebat kerana mampu memaafkan kesilapan saudaranya ketika ‘mampu membalas dengan penuh kuasa’. Bahkan baginda tanpa bertangguh terus memaafkan mereka:

Allah berfirman, maksudnya: Mereka berkata: “Demi Allah! Sesungguhnya Allah telah melebihkan dan memuliakan engkau daripada kami (disebabkan taqwa dan kesabaranmu); dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah”. “Yusuf berkata: “Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah, semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dialah jua yang Maha Mengasihani daripada segala lain yang mengasihani.” (Yusuf:91-92).

Sejurus selepas pembukaan kota Mekah, para Musyrikin Quraisy yang dahulunya banyak menyakiti Rasulullah SAW tunduk kehinaan berbaris di hadapan baginda. Hati mereka gentar menanti apakah hukuman yang bakal dijatuhkan kepada mereka. Lantas jiwa mereka digegarkan dengan sikap pemaaf baginda:

“Aku berkata (kepada kamu semua wahai penduduk Mekah) sebagaimana ucapan (saudaraku nabi) Yusuf: “Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah, semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dialah jua yang Maha Mengasihani daripada segala lain yang mengasihani.” – Dala’il a-Nubuwwah Imam al-Baihaqi.

Mustahil untuk kita dilantik menjadi nabi selepas Yusuf AS dan Muhammad SAW, namun kita mampu memiliki akhlak ‘pemaaf ketika mampu membalas’ seperti mereka. Insya Allah, akhlak itu akan menjadi punca pengampunan dosa kita yang bertimbun dan menjadi sebab kita dikumpulkan bersama para nabi di akhirat kelak:

Allah berfirman, maksudnya: Dan janganlah orang-orang yang berharta dan lapang hidupnya daripada kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; “Dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan dan melupakan kesalahan orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (al-Nur:22).

Memaafkan kesilapan orang memang sukar dan pahit, manakala membiarkan hati dilamun benci dendam pula sangat enak rasanya kerana ia sudah direncahkan dengan perisa adunan syaitan. Walaupun sedap rasanya, kesan sampingan kepada jiwa juga parah sepertimana parahnya kesan sampingan perisa tersebut kepada fizikal. Memaafkan manusia memang pahit, namun percayalah ia adalah ubat berkesan untuk menenangkan jiwa dan mendapat rahmat Allah. Pilihlah yang pahit lagi menyihatkan hati dan tinggalkanlah yang sedap tapi bakal merosakkan jiwa.

Berbuat Baik Kepada Rakan

UNGKAPAN sebahagian daripada syair ini diolah oleh seorang Pendeta Melayu terkenal, Pendeta Zaaba yang mempunyai fikrah Islami yang baik.Secara lengkapnya syair ini berbunyi, “Berbuat baik ayuhai rakan. Kalau tidak dikenal insan. Ke dalam laut ia dicampakkan. Kalau tidak dikenal ikan. Tuhan tahu iakah bukan”.

Syair ini reflektif terhadap kualiti ihsan yang menjadi jalan terbaik kehidupan manusia. Keikhlasan kita dalam melakukan amal bukan untuk digahkan kepada orang lain supaya dapat pujian dan sanjungan tetapi ianya terjadi kerana ALLAH.

Meski dalam hidup kebaikan itu tidak diketahui oleh orang lain ia dikiaskan seolah-olah dicampakkan ke laut dan ikan juga tidak mengenali kebaikan itu tetapi ALLAH mengetahuinya. Perbuatan baik daripada manusia walaupun sebesar zarah tetap diketahui oleh ALLAH.Janganlah manusia bimbang dan gundah-gulana bahawa walaupun orang lain tidak tahu dan mengiktirafnya tetapi ALLAH tahu dan mengakui yang baik itu tetap baik.

Syair ini memberi pedoman kepada manusia selalu berlaku ikhlas, jujur, telus dan tulus seperti manusia terus melakukan kebaikan kepada diri sendiri dan orang lain supaya kita berjiwa ubudiyyah kepadaNya, tawaduk selalu dan bersifat merendah diri supaya diri ada contoh teladan yang baik untuk dijadikan sumber ikutan.

Memang bagi manusia yang kelupaannya tinggi sikap berbangga-bangga malah ego yang tinggi menjadi tabiat dan amalan.Hal yang sama terdapat manusia yang suka dipuji dan disanjung bila melakukan sesuatu. Ia menyebabkan sikap riak dan angkuh terjadi.

Amalan ini tidak baik bagi orang Islam kerana ego boleh membawa diri kepada lupakan ALLAH kerana jiwa rukuk dan sujud tidak dihayati.

Ada orang mempunyai ilmu yang banyak dan kelulusan yang tinggi tetapi suka berbangga-bangga dengannya menyebabkan berilmu disalahtafsirkan.Orang-orang berilmu seperti yang terungkap dalam pepatah Melayu kepada padi, semakin berisi semakin tunduk. Dalam bahasa mudah orang-orang berilmu harus memiliki sifat tawaduk kerana hakikatnya ilmu itu datang daripada ALLAH.

Ada orang yang mempunyai kedudukan dan pangkat dan berbangga-bangga dengannya. Pangkat dan kedudukan dalam Islam adalah amanah atau taklif. Pangkat dan kedudukan adalah peluang yang terbaik melakukan khidmat yang terbaik, adil, amanah dan bijaksana.

Ada orang mempunyai harta dan kekayaan dan menyebutnya di mana-mana. Harta dan kekayaan adalah amanah ALLAH dari sumber rahmah dan nikmah yang ALLAH kurniakan.Pada harta  dan kekayaan kita ada hak orang lain yang perlu ditunaikan. Menunaikan hak orang lain ibarat menunaikan hak ALLAH.

Terdapat suami yang bersikap kasar dan sombong kepada isteri dengan menyebut-nyebut rezeki yang dicari dan menyebabkan isteri terkedu selalu.Ia adalah tidak baik kerana isteri adalah pasangan yang perlu disantuni kerana isteri adalah pasangan hidup yang seharusnya digembirakan kerana peranannya adalah besar iaitu mengurus rumah tangga dan mendidik anak-anak.

Sebab itu syair di atas memberi peringatan kepada kita penting jiwa tawaduk yang mengembalikan diri kepada ALLAH dengan jiwa ihsan yang tinggi, bersifat menyantuni dengan pekerti kasih sayang dan belas kasihan yang baik.

Kasih sayang dan belas kasihan yang tinggi sesama Islam dan umat manusia adalah anjuran Islam. Antara faktor kejayaan dakwah Rasulullah SAW ialah Baginda amat merendah diri, tidak sombong dan amat bertimbang rasa kepada manusia khususnya orang miskin. Pekerti ini yang meruntun jiwa para sahabat untuk taat dan menghormatinya dan menyebabkan ramai umat manusia kembali kepada agama fitrah iaitu Islam.

Sayangnya sifat kasih sayang dan belas kasihan semakin hilang dari diri umat Islam sendiri.Akibat pengaruh kebendaan dan nafsu-nafsi watak Islami yang mampu mempengaruhi orang lain semakin pupus dan Islam dilihat sebagai agama ganas dan suka berseteru malah lebih dahsyat lagi agama berbunuhan sesama sendiri, sengketa yang tidak pernah terlerai dan sebahagiannya melihat kuasa politik adalah segala-gala.

Umat Islam harus kembali kepada maksud dan risalah Islam yang sebenar. Risalah nubuwah menanamkan rasa persaudaraan (innamal mukminu na’ikwah) yang tinggi sesama seagama dan pekerti teladan yang baik kepada yang tidak seagama supaya ketertarikan kepada Islam terjadi.Islam tidak dibina dengan sikap sombong dan serakah kerana ia boleh menimbulkan perpecahan dan permusuhan.

Keadaan ini adalah bencana bagi umat. Ini yang sedang terjadi kini dan sifat ihsan amat penting disuburkan supaya keyakinan kepada ALLAH dan ajaranNya mengatasi segala-galanya.

Rahsia Kalimah ‘ Jangan dekati’ Dalam Al-Quran

Apa salahnya jika terus sahaja disebut ‘jangan berzina atau jangan makan harta anak yatim’. Sebaliknya untuk dua dosa besar ini Allah mengubah struktur ayatnya menjadi ‘jangan dekati zina’ dan ‘jangan dekati harta anak yatim’.

Allah berfirman: “Dan janganlah kamu dekati zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)” – (al-Isra’:32).

Firman-Nya lagi: “Dan janganlah kamu dekati harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga dia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.” – (al-Isra’:34).

Dalam ayat lain Allah mengulang sebut larangan sama, juga dalam lafaz ‘jangan dekati’:

“Katakanlah: Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan Allah dengan sesuatu pun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa; dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; ‘dan janganlah kamu dekati kejahatan (zina) – yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya.”

“Dan janganlah kamu dekati harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya) sehingga dia baligh (dewasa dan layak mengurus hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil. Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu); dan perjanjian (perintah-perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu beringat (mematuhi-Nya).” – (al-An’am :151-152).

Pasti ada rahsianya yang boleh dirungkai kerana setiap patah kalam Allah ini berisi hikmah dan bukti keagungan Allah. Dalam bicara bahasa Arab, tegahan mendekati membawa maksud “larangan berganda daripada melakukan sesuatu perkara (Tafsir al-Alusi).” Sekiranya ada yang faham, “Allah hanya larang dekati zina sahaja tetapi berzina tak mengapa,” bermakna orang berfahaman sebegini perlu segera dirujuk kepada doktor sakit mental!

Maha suci Allah yang Maha Mengetahui kelemahan makhluk ciptaan-Nya. Larangan jangan dekati untuk dua dosa ini disebut kerana Allah memang mengetahui godaan zina dan harta anak yatim yang tiada audit rasmi, sangat sukar ditangkis oleh manusia. Kedua-dua dosa besar ini sangat kuat tarikannya.

Jika dikatakan zina dan memakan harta anak yatim itu kesannya berjarak, dalam jarak 10 meter daripadanya sahaja ‘daya tarikan atau medan magnetik godaannya’ sudah cukup kuat. Sesiapa yang masuk ke dalam lingkungan medan magnetik godaannya sukar bolos dan mudah tewas. Oleh itu, ‘cara terbaik untuk selamat adalah dengan menjauhinya seawal mungkin’. Umat terdahulu sudah lama tewas dengan tarikan magnetik dua dosa ini.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya dunia ini manis dan hijau (kuat tarikannya). Allah pula menjadikan kamu sebagai pentadbir padanya, lalu Dia akan melihat bagaimanakah tingkah laku kamu semua. Oleh itu, berhati-hatilah dengan (godaan) dunia dan wanita, kerana sesungguhnya ujian pertama (merosakkan) Bani Isra’il adalah pada (godaan wanita).” – Riwayat Muslim.

Janganlah berlagak alim, kononnya memiliki keperkasaan iman yang mampu melawan sapa mesra wanita asing atau pujian manis mulut lelaki berhidung belang. Juga jangan perasan kuat mampu menolak godaan harta tanpa audit seperti harta anak yatim yang tidak mampu membela diri. Kerana di belakangnya tersembunyi jerat Iblis yang sangat bahaya. Langkah paling selamat adalah jauhi dan halang segala pintu yang membawa ke arahnya.

Inilah yang disebut Islam sebagai pencegahan lebih baik daripada merawat. Percayalah! Allah lebih tahu yang terbaik untuk kita kerana Dia Pencipta kita. Jika dikata jangan dekati, maka jauhilah semampu mungkin kerana jauh itu bakal menjadi rahmat manakala dekat membawa laknat.

Drama Halalkan Perkara Haram

Mendedahkan aurat haram di sisi Islam. Sentuhan untuk menunjukkan kasih sayang atau melakonkan watak di kalangan bukan mahram juga haram di sisi Islam.

Ia pula seolah-olah diraikan dalam industri hiburan sehingga ada yang MENGHARUSKAN pembukaan aurat dan bersentuhan lelaki perempuan dalam nyanyian atau lakonan atas dua alasan iaitu menyampaikan mesej dan pengajaran dengan lebih berkesan juga mencari rezeki.

Malah, ada ‘ustaz’ menghalalkan segala perbuatan mereka itu dalam keadaan sekarang dengan mengkategorikannya sebagai darurat kerana: 

a. Sukar untuk memproduksikan karya hiburan yang Islamik kerana tenaga kerja seperti penulis skrip yang berbakat, pengarah, pelakon atau penyanyi malah penerbit yang sudi memproduksikan karya Islam masih belum wujud. Maka hukumnya sama seperti berurusan di bank konvensional ketika masih belum ada bank Islam.

b. Sukar untuk mendapat perhatian awam jika karya itu tidak ditayangkan perbuatan haram yang lazim berlaku dalam masyarakat. Karya yang mencerminkan realiti akan memberi impak nasihat lebih berkesan.

JAWAPAN UNTUK KOMEN DI ATAS 

Sewajarnya isu ini memerlukan huraian dan penulisan lebih jitu serta panjang. Namun secara ringkas. Ia mungkin tidak jitu dengan hujah dan komprehensif, namun diharap mampu memberi gambaran am berkenaan isu ditanyakan.

1. Pembaca boleh terus memberi pandangan, cuma jangan terlalu muktamad berasakan bahawa kita dan tafsiran kita dalam hal sebegini akan sentiasa lebih tepat daripada pihak berkelayakan (berilmu) yang lain.

2. Sejauh mana kebenaran kenyataan bahawa ada ‘ustaz’ yang menghalalkan. Kenyataan sebegini perlu dihindar kerana pasti tiada seorang ustaz pun yang akan menghalalkan yang haram.

Cuma apa yang ada mungkin, ‘ustaz’ yang terbabit melihat manfaat melebihi mudarat. Dia mungkin tersilap, tetapi belum muktamad dia silap kerana sememangnya di dalam Islam ada konsep ‘Tadarruj’ iaitu beransur ke arah kebaikan.

Seperti orang baru masuk Islam, kita tidak wajar hendak mengharap serta mengarah perubahan diri secara drastik dengan mewajibkan segala penunaian kewajipan agama dalam tempoh sehari. Ketika itu, ia tidak bermakna kita halalkan yang haram tetapi ia satu proses.

APA ITU TADARRUJ? Tadarruj adalah proses pembaikpulihan yang dibuat secara beransur-ansur. Hadis Rasulullah SAW: “Apabila aku perintahkan dengan sesuatu perintah, maka perbuatlah kamu sedaya upayamu, jika aku larang sesuatu perkara, jauhilah ia.” 

At-Tadarruj (beransur-ansur) juga lebih utama daripada membuat perubahan mendadak. 

Berkata Khalifah Umar Ab Aziz RA kepada anaknya apabila didesak untuk membuat perubahan drastik tatkala beliau memegang tampuk pemerintahan.

“Jangan tergesa-gesa, ya anakku, sesungguhnya Allah SWT mencela arak di dalam al-Quran dua kali, dan mengharamkannya di kali yang ketiga, dan aku bimbang kiranya aku membawa kebenaran ini kepada manusia secara sekali gus (drastik) maka mereka meninggalkannya juga sekali gus, maka berlakulah fitnah.” 

Ulama kontemporari mempunyai pelbagai pendapat terhadap isu Tadarruj dalam pelaksanaan hukum. Secara umum, mereka terbahagi kepada dua kumpulan: 

1. Tidak bersetuju dan wajib melaksanakannya segera apa saja yang wajib tanpa tangguh: Ia pandangan Syed Qutb, As-Syahid Abd Qadir Awdah dan Dr Said Ramadhan Al-Buti.

2. Bersetuju dengan Tadarruj berperancangan ketika tiada atau kurang kemampuan: Mereka adalah Abul A’la al-Mawdudi, Dr Yusof Al-Qaradhawi dan Dr Muhd Abd Ghaffar Syarif. 

Bagaimanapun, kumpulan berkenaan meletakkan beberapa syarat iaitu: 

1. Prinsip akidah tidak termasuk dalam bab Tadarruj ini.

2. Yakin mengenai kewajipan melaksanakan syariat Islam secara sempurna, dan wajib menyediakan suasana yang sesuai bagi melaksanakan tuntutan itu.

3. Bukanlah bermaksud Tadarruj, menjatuhkan hukuman kepada si lemah dan meninggalkan si kaya dan yang berpangkat.

MUDARAT DAN MANFAAT DRAMA ISLAMIK 

Proses ukuran manfaat daripada tema dan mesej drama kepada orang awam dan mudarat hasil pembukaan aurat serta sentuhan artis juga memerlukan kepada pertimbangan teliti.

Namun ia boleh saja membuka perbezaan ijtihad dan telahan yang membawa kepada satu pihak mengharam dan yang lain mengharus.

Mungkin saja pihak yang mengharuskan berpendapat ‘ketiadaan drama bermesej Islamik di pasaran lebih besar mudarat berbanding pembukaan aurat pelakon dalam drama Islamik’.

Atau mungkin ada yang berpandangan ‘kebaikan yang mampu disebarkan melalui mesej filem itu melebihi daripada tumpuan orang kepada aurat pelakon’.

Kita boleh tidak bersetuju atau sebaliknya. Sebagai panduan, Islam menggariskan beberapa kaedah dalam menyelesaikan pertembungan ini seperti berikut: “Menolak keburukan/mudarat diutamakan daripada memperoleh maslahat.” 

Itu apabila kedua-duanya sama berat. Namun jika satu daripadanya berat, maka perlu mengikut kaedah lain: “Kemudaratan yang kecil tidak diambil kira dalam usaha meraih kemaslahatan yang besar.” Kaedah itu mungkin diguna pakai oleh ustaz yang mengharuskan drama bermesej Islam tetapi mempunyai serba sedikit kecacatan akibat lakonan pelakonnya.

Seterusnya kaedah: “Tidak diambil kira keburukan yang terputus-putus dalam usaha meraih kemaslahatan yang kekal dan berterusan.” “Tidak harus meninggalkan maslahat yang pasti kerana takutkan kemudaratan yang tidak pasti dan menurut andaian yang lemah.” Darurat yang disebut itu mungkin sukar untuk saya terima kerana ia kurang menepati takrif darurat. Selain itu, drama bukan satu perkara yang dianggap asasi, berbeza dengan perbankan yang sangat diperlukan oleh ramai.

KESIMPULAN 

Oleh itu,pertimbangan proses Tadarruj mungkin perlu dalam hal ini. Namun kritikan boleh diteruskan kerana peningkatan kepada yang lebih baik sentiasa memerlukan kritikan membina.

Jauhi kritikan menyesat dan menghentam. Jauhi juga tuduhan ustaz yang menyokong menghalalkan yang haram dan sepertinya.

Jika benar hujah Tadarruj digunakan dan mesej dakwah disasarkan, pihak pengkarya drama Islam mesti sentiasa berusaha meminimumkan atau meniadakan terus unsur yang tidak menepati hukum Islam.

Akhir sekali, bawalah contoh karya Islam yang tidak memerlukan adegan tidak halal tetapi berdaya saing dan terkenal. Dengan itu, ia lebih memudahkan penerbit dan pengarah untuk mendapat gambaran.

Isteri lihat Kekurangan Diri Pasti Temui Banyak Kelebihan Suami

DALAM kehidupan rumah tangga, suami dan isteri harus belajar menerima pasangan dengan seadanya.

JIKA kita seorang lelaki atau wanita yang baik dan beriman berniat untuk mendapatkan pasangan soleh serta solehah, kita akan dapat sebagaimana yang diniatkan. Jika kita sudah berusaha menjadikan diri soleh atau solehah, Allah SWT akan menggerakkan hati orang yang beriman mendekati kita. Itu yang saya perkenalkan dalam konsep pemikiran ‘reset minda’ dengan formula ‘Ada – Beri – Dapat’.

Insya-Allah kita akan dapat orang yang sama seperti kita, kecuali Allah hendak menguji dengan memberikan pasangan yang bertentangan sikap, perangai, bagi menguji kesabaran, ketakwaan dan keimanan. Atau kita ditakdirkan Allah SWT menjadi ‘ejen pengubah’ kepada pasangan. Wanita yang memiliki suami, anak, rumah tangga aman bahagia, sihat tubuh badan dan harta secukupnya, ia adalah nikmat tidak terhingga. Ibarat telah mendapat syurga di dunia.

Bersyukur kepada Allah SWT jika kita tergolong dalam kategori wanita bertuah seperti itu. Ada wanita yang nasibnya tidak sebaik kita. Mereka dikurniakan suami kacak, baik, berkerjaya bagus, berharta dan agamanya terjaga, tetapi walaupun sudah bernikah bertahun-tahun pasangan itu tidak dikurniakan anak. Ada wanita pula, hasil perkahwinan dengan suami tercinta, dikurniakan ramai anak tetapi ekonomi mereka tidak kukuh. Tidak kurang juga wanita yang berasa tidak bahagia, walaupun dikurniakan beberapa orang anak kerana anaknya semua perempuan, sedangkan suami teringin hendak anak lelaki.

Elak membandingkan diri

Lebih dahsyat lagi ujian Allah SWT, ada pasangan mempunyai anak lelaki dan perempuan tetapi anaknya cacat pula. Dalam hidup ini, apabila kita fokus kepada apa yang dimiliki, kita akan bersyukur. Tetapi, jika fokus kepada yang tidak ada, akan rasa kekurangan kerana asyik membandingkan diri dengan orang lain. Hasil daripada perbandingan itu, yang akan terserlah hanyalah rasa terkilan dan tidak puas hati kerana hidup tidak seindah atau sebahagia orang lain. Ingatlah jika asyik membandingkan dan bersaing dengan orang lain, mengharapkan penghargaan manusia dan sentiasa fikir apa orang kata, hidup tidak akan tenang. Demikianlah permasalahan rumah tangga, jika tidak berpunca daripada anak, mungkin daripada sikap suami atau isteri sendiri. Apabila kita berhadapan dengan masalah, kita tidak perlu cari punca masalah. Carilah segera penyelesaian masalah dan pada masa sama cari jalan untuk menguatkan jiwa supaya tabah menghadapi serta berhadapan masalah atau musibah.

Analoginya, apabila susu tertumpah di atas meja adakah kita akan segera mengambil kain dan mengelap bagi mengelak susu tumpah ke lantai yang menyebabkan banyak lagi tempat perlu dibersihkan. Atau kita bising-bising mencari siapa dan bagaimana susu itu tertumpah? Fikirkan mana satu pilihan perlu diambil. Dalam kehidupan rumah tangga, cabaran sering ditemui ialah isteri berasa dirinya tidak dihargai, tidak dilayani dengan baik dan tidak mendapat kasih sayang daripada suami. Andai berhadapan masalah ini, pertama, tanyalah diri adakah kita telah melayan suami dengan baik? Cari kesilapan sendiri Kita tidak akan membersihkan jiwa selagi hanya sibuk melihat keburukan dalam diri orang lain. 

Salah satu cara Allah SWT memberi kebaikan atau hidayah kepada seseorang adalah apabila dia sibuk melihat kesilapan diri dan melihat kebaikan orang lain hingga tidak sempat melihat keburukan orang. Jika hendak mencari kesilapan suami tentu kita akan temui banyak kesilapannya kerana kita akan dapat apa yang difokuskan. Tetapi jika kita muhasabah mencari kekurangan diri, akhirnya kita akan dapat menerima suami seadanya dan menemui banyak kebaikan suami untuk disyukuri. Manusia paling lemah ialah mereka yang menyembunyikan keburukan diri tetapi sibuk mencanangkan keburukan orang lain dan berasakan dirinya lebih baik daripada orang lain.

Jika ingin diri disayangi dan dihormati, kita terlebih dahulu perlu menyayangi serta menghormati. Ingatlah dunia melayan kita sebagaimana kita melayan diri sendiri. Harga diri yang tinggi bergantung kepada ketakwaan kepada Allah SWT dan akhlak yang terkawal. Cabaran seterusnya biasa dihadapi isteri adalah berhadapan dengan suami yang ego. Hakikatnya, suami adalah ketua keluarga dan kerana itu perlu mempunyai ego tetapi janganlah berlebihan keegoan hingga menggugat hubungan suami isteri. Tanda orang yang tinggi sifat egonya, suka marah, cakap semua hendak betul dan panas baran. Orang yang marah kepada dirinya akan marah kepada orang lain. Kemarahan keluar daripada hati yang suka marah. Oleh itu, perlu pastikan kemarahan disebabkan oleh apa dan kepada siapa.

Ada sejarah hitam

Orang yang ego sebenarnya kurang keyakinan diri dan mempunyai sejarah hitam semasa kecil yang mempengaruhi kehidupan dewasanya. Isteri berhadapan suami yang berimej negatif perlu menghargai dan melayan suami dengan kasih sayang. Puji dan hargai kehadirannya dalam hidup kita, sebut selalu kebaikannya. Tukar fokus kepada mencari kebaikan suami. Tonjolkan kebaikan, jangan sengaja mencari dan mengungkit kelemahan suami. Ramai yang suka menghukum berdasarkan perkara yang lepas. Allah SWT lebih suka orang yang berdosa tetapi bertaubat daripada orang yang kuat beramal tetapi riak. Jangan fikir sejarah silam suami jika berniat ingin membawanya ke jalan yang baik kerana Allah SWT. Insya Allah akan dipermudahkan urusan kita. 

Apabila suami mendapat pujian dan penghargaan isteri, keyakinannya semakin tinggi. Pada masa sama, suami tidak berasa perlu menunjukkan kehebatan dan kemampuan dirinya (keegoan) kerana sudah mendapat pengiktirafan daripada isterinya. Akaun emosi suami akan melonjak tinggi apabila suami mendapat kasih sayang dan penghargaan daripada orang terdekat dengannya iaitu isteri. Dalam proses hendak mengambil dan menambat hati suami, jangan menghukum atau bersangka buruk kepada suami. Sebaliknya, berterus terang dan cakap dari hati ke hati apa yang patut atau tidak patut dilakukan. 

Semarakkan rasa cinta dan jadilah isteri yang sentiasa bersyukur serta menghargai kehadiran seorang lelaki bergelar suami.

Seorang Lelaki Menjawab Persoalan 7 Wanita

Kaum hawa selalu mengeluh dan melafazkan “susahnya jadi wanita”, mereka telah digoda dan diperdaya oleh syaitan dan hawa nafsunya sendiri, seperti yang kita lihat dialog dibawah, bagaikan mempersoalkan ketentuan Allah terhadap mereka. Dengan kata lain yang agak kasar, Allah berat sebelah dan meletakkan kaum wanita dalam keadaan tertindas.

Keluhan remaja perempuan A:

“Aduh, situ tutup, sini tutup. Susah la gini. Apasal laki-laki mudah saja. Tak pakai baju pun takpe. Perempuan auratnya lagi banyak.”

Keluhan isteri A:

“Kenapa la kita para isteri ni nak keluar kena minta izin dari suami kita, padahal suami kita nak keluar ke mana-mana pun tak bagitau kita takpe pulak.”

Keluhan remaja perempuan B:

“Jika kita ikut faraid dalam hal pusaka, rugilah kita. Sebab bahagian harta pusaka perempuan lagi sedikit berbanding harta yang anak lelaki dapat. Kami mahu keadilan!”

Keluhan isteri B:

“Kenapa Allah jadikan wanita mengandung dan rasa sakitnya nak melahirkan anak. Suami kita rileks saja? Masa buat anak carilah kita, masa nak beranak kita tanggung sendiri!”

Keluhan isteri C:

“Islam kata kita perempuan wajib taat pada suami, tapi ada Islam cakap suami perlu taat pada isterinya? Mana keadilan pada kaum hawa?”

Keluhan isteri D:

“Bila nak cerai je, suami yang boleh jatuhkan talak. Kenapa isteri tak bolek ceraikan suaminya? Kenapa?”

Keluhan remaja perempuan C:

“Wanita tak boleh nak beribadat macam lelaki, sebab bila kita ada haid dan nifas, takleh nak solat dan puasa. Ingat perempuan ni suka ke tak solat dan puasa?”.

Dan kemudian datanglah pertubuhan dan organisasi yang membela kaum wanita, dan menuntut hak samarata antara gender, mengekploitasi fahaman wanita yang terjejas akidahnya dek kerana disogok pertanyaan.

Mereka sebenarnya membunuh wanita dan institusi kekeluargaan

Kaum lelaki pula cakap, “Ah, mujur aku ni lelaki!”

Tunggu..! Istighfarlah pada wanita yang ada perasaan seperti di atas. Mujur ada seorang lelaki yang bukanlah seorang ustaz namun amat yakin bahawa Allah itu Maha Adil. Dia tidak mampu menuturkan sabda Rasulullah s.a.w dan petikan dari ayat Al-Quran, namun dengan keimanan dan ilmu sedikit yang dia ada ,diolah sebaiknya untuk menjawab soalan-soalan melampau itu.

Lelaki beriman menjawab keluhan remaja perempuan A:

“Cik adik, Islam lah yang mengangkat aurat wanita. Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan ditempat yang teraman dan terbaik. Awak ada emas dan permata, adakah awak nak letak terdedah ditepi laluan lalu lalang atau disimpan dirumah agar tiada siapa melihat perhiasan itu? Ok, jika awak letakkan perhiasan tadi dikalangan orang, agaknya apa akan jadi dengan barang perhiasan tadi? Lelaki, yang utama hanyalah bawah pusat ke lutut tapi awak? Saya tidak dapat melihat kulit anda pun kecuali muka dan tangan! Awak tak mungkin akan terangsang nafsu tengok saya hanya berseluar pendek ke lutut kan? Tapi kalau sebaliknya, jangankan saya, tapi tok imam pun akan tercabut serbannya jika tengok awak pakai hanya seluar pendek!”

Lelaki beriman menjawab keluhan isteri A:

“Ok, isteri perlu taat pada suami. Jadi, lelaki apa? Suami perlu wajib taat juga kepada ibunya tiga kali lebih utama dari ayahnya, walaupun dia sudah berkeluarga. Isteri tidak perlu lagi, taatnya hanya pada suami. Kenapa awak perlu taat pada suami? Kerana suami kalian lah yang menanggung dosa yang kalian lakukan!”

Lelaki beriman menjawab keluhan remaja perempuan B:

“Betul ke wanita menerima warisan pusaka lagi sedikit daripada lelaki? Tapi kan, harta itu memang hak untuk wanita itu dan dia berhak lakukan apa saja yang dia mahu. Shh.. jangan kongsi dengan sesiapa walaupun suami. Tak kesian pada lelaki ke, dia perlu membahagikan harta pusaka itu kepada isteri dan anak-anaknya. Kalau isteri dia ramai, anak dia ramai, harta pulak secebis, tak merasa lah jawabnya!”

Lelaki beriman menjawab Keluhan isteri B:

“Tahniah la sebab awak dapat mengandung dan melahirkan. Setiap kali awak begitu, wanita itu didoakan oleh sekalian makhluk dan malaikat! Beruntungnya awak! Andaikan awak meninggal pula masa beranak tu, percayalah… itu mati syahid dan ganjarannya syurga. Ya, syurga menanti awak malah beranak 15 kali pun sihat sampai ke tua! Sebab tu tak ramai orang wanita meninggal masa melahirkan”

Lelaki beriman menjawab Keluhan isteri C:

“Akhirat nanti, saya dan lelaki lain di dunia ini akan diminta bertanggungjawab ke atas empat jenis wanita. Siapa? Mereka ialah isteri saya, ibu saya, anak perempuan saya dan adik perempuan saya. Tahu maksudnya? Awak nanti di akhirat, awak akan dibantu oleh empat lelaki! Siapa mereka? Mereka ialah suami, ayah, adik atau abang malah anak lelaki awak!”

Lelaki beriman menjawab Keluhan remaja perempuan C:

“Nak beribadat macam lelaki? Ingat mudah ke nak dapat syurga? Sedarlah, awak sebagai wanita boleh masuk sebarang pintu syurga yang awak sukai. Ya, dah la syurga, ada pilihan pula hanya dengan empat cara. Apa itu? Solat lima waktu, berpuasa bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dan tahu apa satu lagi? Taat pada suami awak. Itu saja asasnya!”

Lelaki beriman menjawab Keluhan isteri D:

“Saya, seorang lelaki wajib berjihad fisabilillah. Awak, seorang wanita jika taat akan suaminya,dan menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah, maka awak akan turut menerima pahala setara seperti pahala orang pergi berjihad fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata!”

Lelaki beriman bertanya, “Sebenarnya, apa lagi yang awak mahu, wahai kaum hawa?”

Namun, wanita-wanita tadi menangis dan salah seorangnya berkata, “MasyaAllah, sayangnya Allah pada wanita, namun kami sendiri yang mengheret diri ke neraka yang mana ramainya kaum kami berbanding kaum lelaki.”

Demikianlah dialog wanita-wanita yang curiga itu dengan seorang lelaki biasa namun beriman. Musuh Islam tidak akan berhenti melakukan segala upaya, sampai kita ikut dan tunduk kepada cara-cara dan peraturan yang dipromosikan dan diperjuangkan mereka.

Allah, yang menciptakan kita, maka sudah pasti Dia yang Maha Tahu pada manusia, sehingga segala hukumNya malah peraturanNya, tentulah yang terbaik bagi manusia dibandingkan dengan segala peraturan yang dicipta manusia.

Wahai lelaki, jagalah isterimu kerana dia perhiasan, pakaian dan ladangmu, sebagaimana Rasulullah s.a.w pernah mengajarkan agar kaum lelaki berbuat baik selalu (lembut) terhadap isteri anda sekalian.

Berbahagialah wahai para muslimah. Tunaikan dan tegakkan agamamu, nescaya syurga menanti.

Anak Amanah Allah

BUKAN semua pasangan yang berkahwin dikurniakan zuriat. Selain ia adalah amanah Allah, anak-anak juga adalah kurnia paling berharga selepas iman dan Islam. Anak adalah antara faktor yang mendekatkan diri kita kepada Allah dan Rahmat-Nya.

Ini sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Anak-anakmu adalah penduduk-penduduk kecil syurga. (Riwayat Bukhari dan Muslim). Anak juga adalah terhasil daripada rasa kasih dan cinta melalui hubungan suami isteri yang disebut dalam al-Quran sebagai perhiasan di dunia ini.

Malangnya, masih ada dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat yang tidak faham akan nikmat kurniaan Allah ini. Sehinggakan mereka tergamak mendera anak masing-masing. Kes dera di Kuala Terengganu melibatkan penderaan kanak-kanak berusia empat tahun, Isnin lalu.

Baru-baru ini dua beradik berusia lapan dan lima tahun didera ibu tiri di Jelutong, Pulau Pinang dengan menggunakan lesung batu sehingga lebam di mata. Pada 4 Ogos lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut di Ampang, Selangor dipercayai didera teman lelaki ibunya.

Membaca kes-kes begini, menimbulkan pertanyaan di mana letaknya kasih sayang yang Allah limpahkan dalam diri individu terbabit. Ikutkan hati, mahu sahaja kita ikat individu yang mendera itu di tengah padang dan orang ramai pakat bagi pelempang atau luku kepala sekali seorang.

Bukan tidak boleh memukul bertujuan mendidik anak tetapi ia perlu bersebab dan tidak berlebihan. Anak-anak bukan tempat melepaskan kemarahan (punching bag) ibu bapa.

Anak-anak mangsa dera akan terkesan jiwa mereka. Mereka akan menjadi orang yang kacau bilau jiwanya, merasa rendah diri dan serba kekurangan. Selain itu, mereka juga berkemungkinan mewarisi sifat keras hasil penderaan dan mempraktikkannya kepada orang lain pada masa akan datang.

Dalam hal memukul anak, Imam al-Ghazali berkata, sebelum dipukul biarlah anak itu diberi peluang memperbaiki dirinya dan ibu bapa perlu banyak bersabar. Jika dia masih melakukannya biarlah dia diajar secara tersembunyi,

Jika dia masih terus membuat kesalahan, hukumlah dia secara sembunyi supaya orang lain tidak tahu dan tidak memalukannya di depan orang ramai. Akhirnya, jika masih tidak berubah, pukullah dia.

Kepada mereka yang tidak menyayangi anak-anak, ingatlah pesan Rasulullah SAW yang bermaksud: Bukanlah daripada golongan kami orang yang tidak menyayangi kanak-kanak dan yang tidak mengetahui kemuliaan orang tua. (Riwayat at-Tirmidzi).

Dalam usaha mengekang perbuatan dera ini, masyarakat perlu memainkan peranan ‘menjaga tepi kain’ orang lain. Laporkan kepada pihak berkuasa jika mendapati jiran tetangga kita melakukan penderaan ke atas anak-anak mereka. Ini juga termasuk dalam bekerjasama melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Kepada ibu bapa, contohilah kasih sayang yang dipamerkan oleh Nabi SAW. Baginda pernah mendukung cucunya Umamah binti al-‘Ash semasa solat. Ketika bangkit baginda mendukungnya dan apabila sujud, baginda meletakkannya.

Demikian juga apabila cucu baginda Saidina Hasan dan Husein yang menunggang belakang Nabi SAW ketika baginda solat (sujud). Nabi SAW memanjangkan solat baginda supaya kedua-duanya puas menunggang dan tidak jatuh.

Kebahagiaan hidup di dunia adalah bermula di rumah yang selalu kita sebut rumahku syurgaku. Rumah tangga yang bahagia akan melahirkan masyarakat yang bahagia. Masyarakat bahagia akan melahirkan negara yang sejahtera, insya-Allah

Usah Anggap Beban Jaga Ibu Bapa

KISAH ibu bapa diabaikan anak pasti menjadi isu yang menyayat hati siapa sahaja. Tidak hairan saban tahun iklan perayaan sering menggunakan sentimen ini bagi meraih simpati dan perhatian masyarakat. Hakikatnya, dalam kehidupan terlalu mencabar dan sukar ini, kebaktian terhadap orang tua acap kali diabaikan. Secara sengaja atau tidak, memelihara orang tua menjadi beban kepada anak sama ada yang masih bujang, malah yang sudah berkeluarga.

Yang bujang akan beralasan, mereka baru bekerja dan tidak mempunyai pendapatan cukup bagi memelihara ibu bapa yang tua. Anak yang berkeluarga juga memberikan alasan kos sara hidup semakin mencengkam dan rumah yang sempit tidak memungkinkan mereka memelihara ibu bapa. 

Lebih sukar apabila pasangan tidak sukakan ibu bapa mentua bersama mereka. Lalu episod luka ibu bapa yang disisihkan anak ini berterusan saban tahun tanpa ada kesudahannya.

Benar sebagaimana bidalan menyatakan, ibu bapa mampu mengasuh sepuluh anak, tetapi sepuluh anak belum tentu mampu menjaga ibu bapa. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan Tuhanmu memerintahkan supaya kamu tidak menyembah kecuali kepada-Nya dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa dengan sebaik-baik kebaktian. Sekiranya salah seorang atau kedua-duanya telah tua dalam peliharaanmu, jangan sesekali kamu berkata kepada mereka ‘ah’, dan jangan kamu membentak mereka. Bercakap dengan mereka perkataan yang mulia. Rendahkan diri kamu di hadapan mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucapkan, ‘Wahai Tuhan! Kasihilah mereka berdua sebagaimana mereka berdua mengasihi daku semasa kecilku.” (Surah al-Isra', ayat 23-24)

Kewajipan memelihara ibu bapa Ayat Allah SWT menyebutkan keimanan kepada-Nya diikuti kebaktian terhadap orang tua, menunjukkan memelihara ibu bapa adalah kewajipan besar selepas ketaatan kepada Allah SWT. Ia juga membuktikan bahawa hanya orang yang beriman kepada Allah SWT akan memelihara ibu bapa mereka dengan baik. Baginda Rasulullah SAW menegaskan, keredaan Allah SWT kepada seorang hamba bergantung keredaan ibu bapanya. Sabda baginda: “Keredaan Allah terletak pada keredaan kedua orang tua, dan murka Allah juga terletak pada murka mereka.” Bererti ibu bapa kita adalah penyebab kita ditempatkan di syurga atau dihumban ke neraka.

Rasulullah SAW berkata apabila ditanya mengenai hak ibu bapa terhadap anak mereka: “Mereka berdua (ibu bapa) adalah syurgamu dan nerakamu.”

Sebagai ibu bapa, pernahkah merasakan anak yang baru meningkat remaja mula bersikap biadap dan enggan mendengar kata. Anda mungkin tertanya bagaimana anak yang diasuh dengan penuh kasih sayang itu tega memperlakukan ibu bapa mereka sedemikian rupa. Masalah biasa yang dialami oleh ibu bapa ini mungkin berpunca daripada kederhakaan mereka terhadap emak dan ayah mereka.

Penderhakaan yang dilakukan anak terhadap ibu bapa mereka menyebabkan anak mereka juga menjadi biadap dan menderhakai mereka. Ini jelas berdasarkan sabda Baginda SAW yang dilaporkan oleh At-Thobari, “Berbaktilah kepada kedua orang tua kamu, nescaya anak kalian juga akan berbakti kepada 

Baginda juga berkata, “Lakukan apa sahaja yang kamu mahu, tetapi apa sahaja yang kamu lakukan kepada orang lain, kamu juga akan diperlakukan perkara yang sama.”

Kelapangan rezeki, masa Justeru, bagi ibu bapa yang berhadapan dengan anak luar biasa degil dan biadap terhadap mereka, mungkin perlu muhasabah kembali hubungan dengan ibu bapa mereka. Jika mereka masih hidup, mohon ampun dan berbaktilah kepada mereka sebagaimana mereka pernah berbakti kepada kita. Dalam psikologi pendidikan, anak yang melihat ibu bapa menghormati dan menjaga datuk serta nenek mengajar mereka untuk melakukan perkara sama kepada ibu bapa mereka. Berbeza dengan pandangan zahir yang melihat ibu bapa sebagai beban yang menyusahkan anak dan menyempitkan kewangan mereka, sebaliknya ibu bapa adalah sumber rezeki Allah SWT. 

Rasulullah mendedahkan perkara ini dalam sabdanya, “Siapa yang mahu dipanjangkan usianya dan ditambahkan rezekinya, hendaklah dia berbakti kepada kedua orang tuanya dan menyambung silaturahim.”

Begitu juga dalam laporan Tsauban, Baginda SAW bersabda, “Seorang itu tidak memperoleh rezeki kerana dosa yang dilakukannya. Takdir tidak akan tertolak melainkan dengan doa. Tiada yang dapat menambah usia melainkan dengan berbakti kepada kedua ibu bapa.”

Justeru, bagi anak yang berasa sukar berbakti kepada orang tua kerana kewangan yang sempit, percayalah rezeki itu datangnya daripada Allah SWT. Kebaktian seorang anak kepada ayah dan ibunya tidak bergantung kepada kekayaan dan kelapangan masa. Ia manifestasi kasih sayang anak kepada orang tua yang pernah berbakti dengan penuh kasih sayang. Kebaktian kepada ibu bapa juga menjadi asbab Allah SWT mengampunkan dosa. 

Salah satu cara untuk bertaubat atas kesalahan dilakukan kepada Allah SWT adalah berbakti kepada ibu bapa yang masih hidup.

Dicatatkan, seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW dan mengaku telah melakukan dosa dan meminta cara bertaubat. Baginda bertanya jika dia masih mempunyai ibu, tetapi ibunya telah meninggal dunia. Lalu baginda bertanya jika dia mempunyai ibu saudara dan dia mengakuinya. Baginda mengarahkannya berbakti kepada ibu saudaranya sebagai taubat kepada Allah SWT.

Dilema pilih isteri, ibu bapa

Dilema biasa bagi lelaki sepanjang zaman apabila terpaksa memilih antara isteri dan ibu bapa, siapa perlu didahulukan? Dalam banyak keadaan, lelaki akan lebih berpihak kepada isterinya dibandingkan dengan ibu bapa yang sudah tua. Dilema seperti ini berlaku sejak zaman Nabi Ibrahim bersama anaknya Nabi Ismail dan malah pada zaman Nabi Muhammad SAW. Dilaporkan, anak Umar al-Khattab pernah mempunyai seorang isteri yang tidak disenangi oleh ayahandanya, lalu diarahkan menceraikan isteri itu, tetapi dia enggan. 

Lalu Umar menceritakan perkara itu kepada baginda dan dia mengarahkan anak Umar menceraikan isterinya. Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai siapa lebih berhak ke atas seorang wanita, lalu dia menjawab, suaminya. Aisyah bertanya pula mengenai lelaki, lantas Rasulullah menjawab, ibunya. Ia tidak bererti seorang lelaki perlu membuat pilihan antara dua wanita yang disayanginya. Sebaiknya dia sepatutnya bijak membimbing isterinya bagi menghormati ibunya dan memberikan tumpuan lebih kepada ibunya tanpa perlu meninggalkan tanggungjawab terhadap isteri.

Jiwa Kembali Kepada Ilahi Tenang Hadapi Masalah

KEHIDUPAN di dunia seperti pengembara atau musafir yang penuh ujian dan perlu menyediakan bekalan secukupnya. Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerangkan, kehidupan ini adalah perjalanan yang bermula dari Allah SWT dan menuju kepada Allah SWT. Pencerahan itu dikongsikan dalam program Islam Itu Indah pada Rabu lalu, di IKIM.fm. Beliau memetik hadis daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW memegang bahuku lalu bersabda: “Jadilah kamu di dunia ini seperti seorang pengembara atau perantau di jalan.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Katanya, dari Allah SWT kita datang dan kepada-Nya kita kembali. Ketika bermusafir itu akan ada penderitaan dalam usaha membawa diri keluar daripada kebiasaan bagi membina hasil yang luar biasa. Ia juga menuntut kerja keras yang membangkitkan keletihan, kepedihan, rasa jemu serta kesusahan. Sesungguhnya kehidupan sinonim dengan ujian menepati firman Allah SWT yang bermaksud: “Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang yang bertaubat).” (Surah al-Mulk, ayat 2)

Hidup berdepan masalah silih berganti Pahrol berkata, hidup ini adalah untuk menghadapi dan menangani masalah. Perjalanan hidup itu akan menempuh pelbagai masalah silih berganti sehingga bertemu dengan suatu ketentuan bernama mati. Sering berlaku, kewujudan masalah akan menimbulkan tekanan selagi masalah itu tidak ditangani dengan tuntas dan penuh kebijaksanaan. Sebab itu, kehidupan dicipta dengan masalah yang tidak putus untuk melihat cara individu itu merungkainya. Manusia dicipta sempurna dengan watak dan personaliti berbeza. Begitu juga dengan cara menanganinya berbeza. Terkadang timbul rasa berat untuk bersolat, sukar menghulur sedekah, malas menyelak lembaran al-Quran apatah lagi membacanya, suami susah memberi sayang pada isteri, isteri culas menyerah taat pada suami dan banyak lagi masalah lain.

Mereka yang sedar wujudnya masalah harus bersyukur, tetapi ada sesetengah individu tidak melihat permasalahan itu sebagai masalah. Mereka menganggap miliki kereta kecil, rumah tidak mewah, pakaian tidak mengikut peredaran masa sebagai masalah yang sebenar dan merumitkan kehidupan. Masalah hadir silih berganti dan terkadang bertimpa-timpa umpama sampah dan kotoran yang dibuang ke dalam sungai, tidak pernah berhenti selagi arus sungai mengalir. Masalah juga terkenal dengan tamsilan benang yang sangat kusut dan bersimpul. Sememangnya adat kehidupan, masalah datang dan pergi dalam skala kecil mahupun besar sehingga masalah itu membelenggu hati, emosi serta fikiran.

Masalah ini perlu dirungkai perlahan-lahan dan penuh kesabaran kerana ada waktu meleraikannya mengambil masa yang panjang. Jika tidak miliki kesabaran pasti benang direntap dan natijahnya benang akan putus serta tidak dapat memberi faedah bukan sahaja pada orang lain, malah diri individu itu sendiri. Orang tua ada memperturunkan petua, “jika benang kusut, cari puncanya. Dari puncanya, maka ungkailah perlahan-lahan sehingga terlerai keseluruhannya”. Justeru, jika berlaku masalah yang bertimpa-timpa kembalilah kepada teras dan asas.

Pahrol berkata, dengan pendekatan kembali kepada asas akan mendorong diri membina keikhlasan yang menemukan mereka kepada Allah SWT. Saat itu Allah akan titipkan kekuatan, maka berbekalkan kekuatan itulah langkah dapat diteruskan dengan lebih tabah dan gagah. Apabila kembali kepada teras, masalah kewangan yang tidak berpenghujung walaupun gaji sudah bertambah dapat diatasi. Saat itu kita sedar tujuan asal bekerja untuk mencari sumber rezeki. Begitu juga masalah di tempat kerja akan dapat diatasi. Melihat kembali tujuan bekerja akan mengembalikan semula ketenangan dalam urusan kehidupan kerana segala dilakukan adalah kerana Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku. Aku tidak menghendaki rezeki sedikitpun daripada mereka dan Aku tidak menghendaki supaya memberi Aku makan. Sesungguhnya Allah Dialah Maha Pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh.” (Surah adz-Dzariyaat, ayat 56-58)

Bentuk niat baharu Perkahwinan, kekeluargaan, pekerjaan, persahabatan dan banyak lagi aktiviti dalam ruang lingkup kehidupan adalah wadah untuk mencapai tujuan menjadi hamba Allah SWT. Semua ada kaitan dengan niat kerana Allah SWT. Justeru, pada saat diri tersedar kesilapan maka bentuk niat yang baharu. Selain itu, ada individu memasang niat yang betul dari awal, tetapi lama-kelamaan niat itu mula tersasar, hanyut dan hilang jejak. Maka, kembalilah kepada jalan yang benar. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Bandingan orang yang menjadikan benda yang lain daripada Allah sebagai pelindung adalah seperti labah-labah yang membuat sarang, sesungguhnya sarang-sarang yang paling reput ialah sarang labah-labah, sekiranya mereka orang yang mengetahui.” (Surah al-Ankabut, ayat 41)

Allah SWT itu sentiasa ada, tetapi masalahnya adakah Allah ada di hati, rumah tangga dan pekerjaan kita? Susun kehidupan kita dengan meletakkan Allah SWT dari awal permulaan supaya tidak sangkut pada pertengahan dan tersungkur pada pengakhiran.

Surah al-Fatihah

SURAH al-Fatihah atau juga disebut Ummul Quran yang kita baca setiap kali dalam sembahyang mengandungi perintah Allah SWT untuk mempelajari sejarah. Mungkin ramai yang tidak menyedari dan mempunyai kesedaran untuk membaca, mengkaji dan mendalami sejarah Islam.

Bermula daripada doa yang kita baca dan ucap setiap harinya yang bermaksud: ‘Tunjukilah kami jalan yang lurus (betul)’. (al-Fatihah: 6) dan jalan lurus, yang dimaksudkan di atas oleh para ahli tafsir itu adalah agama Islam.

Kemudian digambarkan ayat seterusnya dengan maksud: ‘(Iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula) jalan mereka yang sesat,’. (al-Fatihah: 7)

Di sinilah perintah tersirat dan tersurat untuk mempelajari sejarah itu boleh kita fahamkan dan ia digambarkan melalui tiga golongan yang disebutkan dalam ayat terakhir itu iaitu;

1. Golongan yang telah diberi nikmat oleh Allah SWT.

2. Golongan yang dimurkai-Nya.

3. Golongan yang sesat.

Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya (Tafsir Ibnu Kathir 1/140, al-Maktabah al-Syamilah) menjelaskan bahawa golongan yang merasakan nikmat Allah ini dijelaskan lebih lengkap dalam surah an-Nisaa’ ayat 69-70 yang bermaksud:

‘Dan barang siapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu : Nabi-nabi, para siddiqin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya,’.

Ada kata penghubung yang sama antara ayat ini dengan ayat dalam al-Fatihah. Iaitu kata An’am iaitu mereka yang telah dianugerahi nikmat. Sehingga Imam Ibnu Kathir mentafsirkan ayat dalam al-Fatihah tersebut dengan ayat ini.

Mereka adalah para nabi, para siddiqin, para syuhada dan para solihin yang telah meninggal dunia tetapi perjalanan hidup mereka tercatat rapi dalam ukiran sejarah untuk dibaca dan difahami oleh kita semua.

Tolak kebenaran

Sementara itu, bagi golongan yang dimurkai Allah, Imam Ibnu Kathir menjelaskan bahawa mereka adalah golongan atau kelompok yang mempunyai ilmu tetapi kehilangan amalan, sehingga mereka dimurkai dan dilaknati.

Golongan ini diwakili oleh Yahudi. Sejarah memang mencatat bahawa mereka menentang Nabi Muhammad SAW walaupun mengetahui dengan yakin bahawa baginda adalah nabi yang dijanjikan hadir dalam kitab suci mereka sendiri.

“Demi Allah, sungguh telah jelas bagi kamu semua bahawa dia adalah Rasul yang diutus. Dan dialah yang sesungguhnya yang kamu jumpai dalam kitab kamu….”

Kata-kata itu bukanlah kalimah seorang sahabat yang sedang berdakwah di hadapan Yahudi tetapi pernyataan Ka’ab bin Asad, seorang pemimpin Yahudi Bani Quraizah.

Benarlah, Yahudi telah memiliki ilmu yang matang, tetapi mereka tidak mahu mengikuti kebenaran tersebut. Inilah yang disebut oleh surah al-Fatihah sebagai masyarakat yang dimurkai.

Para ulama menjelaskan bahawa tidaklah kaum Bani Israel itu diberi nama ‘Yahudi’ dalam al-Quran melainkan kerana setelah menjadi masyarakat yang rosak.

Rangkaian doa kita setiap hari dalam surah al-Fatihah tersirat kepentingan mempelajari sejarah.

Untuk dapat mengetahui secara lengkap bangsa dimurkai tersebut, bagaimana mereka, apa kederhakaan mereka dan lain-lainnya dalam menutup mata hati mereka sehingga mereka berbuat tidak selari dengan ilmu kebenaran.

Kerugian nyata

Bagi golongan ketiga iaitu mereka yang sesat, para ulama tafsir menjelaskan bahawa ia adalah masyarakat Nasrani. Ini kerana mereka itu seperti orang yang hendak berjalan menuju suatu lokasi tetapi tidak mempunyai ilmu tentang lokasi yang dituju.

Golongan itu kehilangan ilmu walaupun mereka masih beramal. Mereka mengikuti para pemimpin agamanya tanpa ilmu sehingga para pemimpin agama mereka itu boleh berbuat sesuka hati.

Allah berfirman yang bermaksud:

‘Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) Al-Masih anak Maryam, pada hal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan,’. (at-Taubah:31).

Kisah ‘Adi bin Hatim lebih menguatkan pernyataan ayat di atas. Daripada ‘Adi bin Hatim ra berkata: Aku mendatangi Nabi SAW dan di leherku ada salib dibuat daripada emas, aku kemudian mendengar Baginda membaca ayat:

“Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah. Aku menyatakan: Ya Rasulullah sebenarnya mereka tidak menyembah rahib-rahib itu. ‘Nabi menjawab: Benar. Tetapi para rahib itu menghalalkan untuk mereka apa yang diharamkan Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkan Allah, maka itulah peribadatan kepada para rahib itu. (riwayat Tirmizi dan Baihaqi).

Oleh itu, sangat penting kita menghayati kandungan surah al-Fatihah. Inilah doa yang selama ini kita mohonkan dalam kehidupan seharian kita agar tidak tersesat. Al-Fatihah merupakan surah yang pertama yang kita baca dalam solat. Surah yang mengandungi doa yang sering kita pohonkan kepada Allah SWT setiap masa.

‘Tunjukilah kami jalan yang lurus ?(iaitu) jalan orang-orang yang telah ?Engkau beri nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula) jalan mereka yang sesat. (al-Fatihah: 6-7).

Syifa'ul Qalbi

Listen to Quran

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga