3 Penyakit Yang Ditakuti Manusia

TUA, lemah dan mati! Itulah tiga penyakit yang sangat ditakuti manusia. Kerana kemuncak kegentaran itu, pelbagai usaha dilakukan bagi menjamin jasad fana mereka tidak dijamah sakit tua, lemah dan mati. Natijahnya, banyak produk kecantikan anti penuaan muncul dalam pasaran. Manusia sanggup berhabis wang ringgit bagi mengelakkan dipandang lemah atau tua. Jika ada produk kebal mati pun manusia akan bertambah ghairah mengejarnya. Takut atau berani, mahu atau enggan, manusia tetap tidak dapat lari daripada sumpahan tua, lemah dan mati:?

“Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Dia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Dia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa,” (ar-Rum [30:54]).?Sering kita saksikan bagaimana penyakit tua menampakkan kelemahan manusia.

Orang berusia lanjut ada yang nyanyuk dan berperangai seperti kanak-kanak. Jika kanak-kanak senang didokong apabila meragam, namun jasad orang tua yang bersikap seperti kanak-kanak bukan mudah mahu ditatang. Berikutan itu, Rasulullah SAW mengajarkan kita doa bagi mengelakkan tua nyanyuk:?

“Ya Allah! Aku mohon perlindungan-Mu daripada (sifat) bakhil. Aku juga mohon perlindungan-Mu daripada (sifat) penakut, Aku juga mohon perlindungan-Mu daripada dilanjutkan usia sehingga tua nyanyuk. Aku juga mohon perlindungan-Mu daripada ujian dunia dan aku juga mohon perlindungan-Mu dari azab kubur,” – Sahih Bukhari).

SUDUT POSITIF

Walaupun tua kelihatan lemah, namun ada kebaikan padanya. Jiwa mereka tenang, pengalaman panjang meniti usia membantu mereka mengenal mana garam, gula, kaca dan permata sebenar.

Sebut sahaja ketakutan manusia kepada tua, lemah dan mati, rupanya masyarakat purba pernah membicarakan kewujudan kisah “air ajaib” yang boleh melanjutkan usia dan mengekalkan keremajaan. Ia dikhayalkan dengan nama “ainul hayat” (air kehidupan), air atma jiwa dan fountain of youth. Kisah pencarian fountain of youth turut diepikkan dalam filem Pirates of Carribean lakonan Johnny Depp. Soalannya, adakah ia benar wujud dan apa kata al-Quran dan Sunnah tentang khayalan ini.

PENJELMAAN SEMULA

Bila sains berkembang dengan pesat, cerita hikayat ainul hayat semakin dilupakan. Pun begitu, ia tetap menjelma dalam dimensi lain yang lebih agresif iaitu kebanjiran produk kecantikan “lupa mati” yang dislogankan dengan keajaiban anti penuaan. Bukanlah saya ingkar ilmu Allah pada perkembangan Sains, tapi usahlah begitu ghairah membelai fizikal kerana bimbang dihinggapi penyakit tua, lemah dan mati sehingga lupa akhirat. Nak mati atau tak mahu mati, semua manusia tetap akan mati walau sekuat mana sekalipun sistem kawalan peribadi dilakukan:?

“Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng yang tinggi lagi kukuh,” (an-Nisa’ [4:78])

Jangan terlalu berangan-angan ingin hidup lama. Apa guna hidup lama jika hanya dosa dihimpun memenuhi “memori kad amalan” kita? Jangan sampai amaran Rasulullah SAW ini terkena kepada kita. Sabda baginda:?“Hati orang berusia (tua) sentiasa muda pada dua perkara iaitu cintakan dunia dan angan-angan yang panjang,” – Sahih Bukhari.

Yang gugur bukan semuanya tua dan masak. Banyak sekali yang gugur akibat dipukul ribut dan angin kencang. Jika yang muda boleh gugur bila-bila masa sahaja, yang tua pastinya lebih mudah tercabut tangkai dek lemahnya otot di badan.

Jika melihat kedut wajah atau uban rambut di cermin, usahlah kalut mahu mencari ainul hayat atau produk anti penuaan. Sebaliknya bersyukurlah kerana Allah memberikan peluang hidup di dunia bagi menyimpan bekal dibawa ke alam sana. Jangan takut tua, lemah atau mati sebaliknya takutlah kerana tidak bersedia untuk bertemu Allah.

Tanda hati sihat

DALAM jasad kita, ada seketul daging yang berpe­ranan penting menentukan baik buruknya peribadi seseorang. Sebab itu, dalam masyarakat Melayu ada istilah baik hati dan busuk hati. Kalau disebut orang itu baik hati maka ramai yang suka berkawan dengannya. Sebaliknya, kalau disebut busuk hati sudah tentu masyarakat menjauhkan diri daripadanya.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang maksud­nya: “Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging (segumpal darah), jika baik maka baiklah seluruh anggota dan jika rosak maka rosaklah seluruh anggota, itulah hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Soalnya, bagaimana cara untuk kita melihat dan menentukan hati itu sejahtera atau sebaliknya. Sebabnya, kedudukan hati itu di dalam diri dan tidak boleh dilihat secara fizikal. Namun yang pasti, manusia bersetuju ba­hawa hati dan perasaan haruslah dijaga daripada sifat-sifat yang merosakkan.

Seorang yang tubuhnya segar-bugar belum pasti memiliki hati yang sihat. Jika fizikalnya sahaja yang sihat tetapi masih berat atau liat beribadat maknanya hati seseorang itu sedang sakit. Jika orang itu mampu tercegat di depan televisyen selama berjam-jam malah berjaga hingga larut malam menonton perlawanan bola sepak tetapi gagal me­laksanakan solat tahajud yang memakan masa hanya lima minit, maka yakinlah bahawa hatinya sedang sakit.

Seorang tabien dan ulama sufi, Imam Hasan al-Basri berkata: “Rasakanlah kemanisan dalam tiga perkara: ketika melakukan solat, membaca al-Quran dan ketika berzikir. Jika engkau merasakannya, maka bergembiralah. Namun jika kau tidak merasakannya, maka ketahuilah bahawa pintu hatimu telah tertutup.”

1. Semasa solat – Orang yang hatinya sihat akan merasai nikmat dan manisnya solat berjemaah waima bacaan imamnya panjang. Analoginya, ibarat orang sihat yang sedang lapar. Sudah pasti dia makan dengan penuh berselera berbanding orang yang sakit. Kita bawakan pelbagai jenis makanan kepadanya tetapi dia hanya mampu melihat ke­rana tidak ada selera makan.

2. Semasa baca al-Quran – Antara mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW adalah al-Quran yang di dalamnya terkandung petunjuk kepada orang beriman. Orang yang hatinya sihat, tidak akan jemu untuk membaca al-Quran secara istiqamah. Makin dibaca makin rasa seronok dan terasa nikmatnya. Jika sehari tidak dapat baca al-Quran maka hidupnya resah gelisah.

3. Semasa berzikir – Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya dengan mengingati Allah (zikir) hati jadi tenang.” (ar-Ra’d: 28)

Ada banyak zikir yang boleh kita amalkan dalam kehidupan seharian. Antara yang amat di­anjurkan adalah membaca penghulu segala istighfar yang dibaca selepas subuh dan asar. Begini bacaannya; “Ya Allah, Engkaulah Rabbku tiada tuhan yang layak disembah melainkan Engkau. Engkau telah menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Dan aku tetap di atas perjanjian dan taat setia terhadap-Mu dengan segala kemampuanku. Aku berlindung dengan-Mu daripada kejahatan yang aku lakukan. Aku mengakui segala nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosa yang aku lakukan, oleh itu ampunilah dosaku. Sesungguhnya tiada yang dapat mengampunkan dosa melainkan Engkau.”

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mengucapkannya pada siang hari (pagi) dengan penuh keyakinan dengannya lalu dia meninggal dunia pada hari tersebut sebelum petang maka dia dalam kalangan ahli syurga. Dan sesiapa yang mengucapkannya pada waktu malam (petang) dengan penuh keyakinan dengannya lalu dia meninggal dunia maka dia dalam kalangan ahli syurga.” (Riwayat al-Bukhari).

Marilah kita segera mengubat hati kita yang sakit. Ubat hati adalah hikmah dan ilmu yang memperkenalkan ­tuhannya, hakikat dirinya dan tugasan yang mesti dilakukan di dunia sebagai hamba Allah.

Seorang ulama, Ibrahim Al-Khawas berkata: “Ubat hati lima perkara: Membaca al-Quran sambil memahami maknanya, mengosongkan perut, solat malam, berdoa pada waktu fajar dan bergaul dengan orang soleh”.

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga