Sifat Malu Halang Kemungkaran

Ajaran Islam diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW adalah panduan hidup yang lengkap untuk manusia mengenal dan mengakui Tuhan yang Maha Esa (akidah), melaksanakan fungsi dan tanggungjawab (ibadah) serta menghiasi peribadi dengan nilai kebaikan (akhlak).

Panduan ini dirangkum dalam ilmu asas Islam atau disebut sebagai ilmu fardu ain. Hakikatnya, ketiga-tiga ilmu ini saling berkaitan antara satu sama lain.

Dalam ilmu akhlak terdapat satu sifat yang menjadi teras kepada ajaran Islam iaitu sifat malu atau bahasa Arab disebut ‘al-haya’. Sifat malu mendorong manusia untuk tidak melakukan perkara yang dibenci atau tercela.

Kepentingan sifat malu

Islam mementingkan sifat malu kerana ia mengukuhkan lagi pegangan akidah dan memandu pelaksanaan ibadah seorang Muslim. Perkara ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah SAW: “Malu dan iman sentiasa bersama. Apabila salah satunya dicabut, maka hilanglah yang lainnya.” (Riwayat al-Hakim)

Jelaslah implikasi sifat malu adalah untuk mengukuhkan iman seseorang Muslim. Semakin tinggi iman seseorang, maka semakin tinggi harga dirinya. Apatah lagi, dengan sifat malu juga seseorang Muslim dapat menghindarkan diri daripada melakukan perbuatan yang ditegah oleh Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya antara perkara yang telah diketahui manusia daripada kalimat kenabian terdahulu adalah, jika engkau tidak malu, berbuatlah sesukamu.” (Riwayat Bukhari)

Sesuatu kemungkaran yang berlaku sebenarnya didasarkan kepada ketiadaan sifat malu dalam diri manusia. Kehilangan sifat ini akan menyebabkan seseorang berani melakukan maksiat secara terang-terangan baik di khalayak ramai, apatah lagi di depan Allah SWT.

Sifat malu seharusnya dipupuk sejak kecil oleh ibu bapa kerana sifat itu akan menjaga diri anak apabila meningkat dewasa dan berjauhan daripada ibu bapa kelak. Antara cara memupuk sifat malu adalah dengan memberi kefahaman mengenai sifat ihsan.

Nabi Muhammad SAW menjelaskan maksud ihsan iaitu: “Engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu.” (Riwayat Muslim).

Secara umumnya, sifat ini perlu ada pada semua umat Islam namun, sifat malu diibaratkan seperti perhiasan buat wanita khususnya. Malah dalam hadis sahih Imam Muslim, sifat malu Rasulullah SAW digambarkan melebihi seorang wanita perawan.

Dalam al-Quran sifat pemalu ini disebutkan oleh Allah SWT dalam kisah salah seorang daripada anak Nabi Syu’aib yang diminta menjemput Nabi Musa selepas membantu memberi minum haiwan ternakan mereka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kemudian salah seorang daripada perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu malu sambil berkata: Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternakan kami.” (Surah al-Qasas, ayat 25)

Sifat malu sebahagian fitrah wanita

Sifat malu ini adalah sebahagian daripada fitrah seorang wanita yang mendorong mereka untuk memelihara kehormatan dirinya dan batas pergaulan apabila berhadapan khalayak masyarakat. Sifat itu juga membantu mereka menghindarkan diri daripada perkara negatif.

Rasulullah SAW digambarkan sebagai seorang yang pemalu. Abu Said al-Khudri berkata, “Rasulullah SAW itu tinggi sifat malunya. Bahkan lebih malu berbanding anak dara yang baru dikahwinkan dengan suami yang tidak dikenalinya. Jika Rasulullah SAW melihat perkara yang tidak menyenangkan hatinya, kita dapat melihat perubahan riak wajahnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitulah pentingnya sifat malu dan sewajarnya kita memiliki sifat itu. Malu bukan kerana kekurangan atau kelemahan diri di mata manusia sahaja, tetapi malu tanda iman kepada Allah SWT yang menyebabkan kita sentiasa ingin melakukan amalan yang diredai Allah SWT.

Perkembangan dalam masyarakat hari ini, sewajarnya memiliki sifat malu itu ditekankan kerana banyak perkara yang menyalahi syariat berlaku boleh dikatakan berpunca daripada sifat malu yang semakin terhakis dalam keperibadian umat.

Adab Tuntut Ilmu Mendapat Berkat

Rancangan Tarbiah kali ini berkongsi adab menuntut ilmu yang perlu diamalkan oleh setiap Muslim, Ustaz Nazrul Abdul Nasir mengambil ibrah kisah Nabi Khidir dan Nabi Musa untuk menunjukkan peranan murid terhadap guru.

Menuntut ilmu satu kewajipan bagi setiap manusia. Melalui ilmu manusia dapat mengenal kehidupan dan seterusnya menjalani hidup ini menurut aturan serta tatacaranya. Bagi yang terpesong daripada landasan kehidupan, sebenarnya mereka gagal memahami ilmu.

Hukum menuntut ilmu itu wajib bagi setiap Muslim dan wajib pula mengikuti adab susila menuntut ilmu supaya datangnya barakah bagi sesuatu ilmu dipelajari.

Melalui rancangan Tarbiah yang bersiaran setiap Jumaat, jam 10.15 pagi di IKIMfm, Ustaz Nazrul Abdul Nasir berkongsi adab bagi seorang Muslim dalam menuntut ilmu dengan turut mengambil ibrah kisah Nabi Khidir dan Nabi Musa.

Kisah antara Nabi Musa dan Nabi Khidir adalah contoh terbaik untuk dijadikan teladan ketika menuntut ilmu. Ini kerana tertib dan adab menuntut ilmu jika dipelihara sebaiknya membolehkan seseorang mendapat keberkatan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Lalu mereka dapati seorang daripada hamba-hamba Kami yang telah Kami kurniakan kepadanya rahmat daripada Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; daripada sisi Kami. Nabi Musa berkata kepadanya: ‘Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku daripada apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?’ Ia menjawab: ‘Sesungguhnya engkau (Wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku. Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara meliputi?’ Nabi Musa berkata: ‘Engkau akan dapati aku, Insya-Allah: Orang yang sabar; dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu’. Ia menjawab: ‘Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah engkau bertanya kepadaku akan sesuatu pun sehingga aku ceritakan halnya kepadamu’. Lalu berjalanlah keduanya sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, ia membocorkannya. Nabi Musa berkata: ‘Patutkah engkau membocorkannya sedang akibat perbuatan itu menenggelamkan penumpangnya? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perkara yang besar.” (Surah al-Kahfi, ayat 65-72)

Ibrah daripada ayat suci al-Quran itu adalah berkaitan akhlak seseorang murid yang barangkali dirinya itu lebih mulia dan lebih salih daripada seorang guru, tetapi itu tidak melayakkan seseorang murid untuk membantah atau tidak menghormati gurunya.

Dengan kata lain, seseorang yang bergelar guru bukan sahaja wajar mendapat penghormatan daripada anak muridnya, tetapi seseorang anak murid itu harus memuliakan gurunya.

Pengajaran lain yang boleh dijadikan iktibar dalam adab menuntut ilmu adalah seseorang murid perlu bersabar dengan tindakan gurunya, tidak terlalu gopoh menghukum atau menilai perlakuan gurunya sedangkan ia tidak mempunyai pemahaman mendalam mengenai apa yang dilakukan.

Walaupun anak murid mempunyai pandangan bercanggah atau tidak senang dengan guru, tetapi berasaskan rasa hormat, anak murid tidak wajar menegur guru mereka. Seseorang Muslim ditegah mencerca guru kerana keberkatan ilmu bergantung kepada sejauh mana guru reda terhadap ilmu dicurahkan kepada seseorang.

Muslim yang baik juga tidak boleh sombong atau bangga diri dengan gurunya walaupun barangkali jawatan disandang lebih tinggi daripada gurunya kerana Islam sangat menitikberatkan untuk menghormati ilmu yang ada pada diri seseorang supaya ilmu itu tidak menjadi barang dagangan yang diperlekehkan.

Begitu juga dalam kita mencari dan menuntut ilmu, setiap ilmu yang diperoleh hendaklah diamalkan kerana berapa banyak ilmu yang kita ada bukan ukuran mendekatkan diri dengan Allah SWT, tetapi sejauh mana kita beramal dengan ilmu yang dipelajari.

Keberkatan ilmu juga bergantung kepada amalan kerana jika hanya menuntut, tetapi tidak beramal boleh menghilangkan keberkatan ilmu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.” (Surah as-Saff, ayat 2-3)

Selain itu, perkara pokok yang menjadi tunjang utama dalam adab menuntut ilmu adalah adanya rasa keikhlasan hanya kepada Allah SWT, bukan bertujuan untuk mendapat gelaran dan pangkat. Sebaiknya ilmu dimanfaatkan untuk agama Allah SWT, bukan sekadar perhiasan dunia.

Justeru, tetapkan niat yang betul serta berdoa kepada Allah SWT supaya diberi hidayah untuk bersama memanfaatkan ilmu dipelajari. Inilah juga cara kita mendekatkan diri di sisi Allah SWT.

Tanpa jasa guru yang sabar serta setia mencurah bakti mengajar dan mendidik, siapalah kita hari ini. Oleh itu, tinggalkan pangkat dan darjat yang membaluti, tinggalkan kemuliaan yang menyelimuti diri dan bersabarlah berhadapan guru kerana kesabaran dan rasa hormat itulah datangnya keberkatan ilmu

Syifa'ul Qalbi

Listen to Quran

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga