Mencari Keberkatan Dalam Kerja

ISLAM menggalakkan umatnya supaya berusaha dan tekun dalam pekerjaan supaya berjaya dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. Prinsip kehidupan umat Islam adalah kukuh jika mereka bersandarkan kepada pe­rintah Allah dan panduan daripada para nabi dan rasul. Umat Islam sepatutnya memahami bahwa kehidupan di dunia ini satu perjalanan yang berakhir dengan kematian.

Kehidupan di dunia ini adalah terlalu pendek dan pantas sehingga manusia menjadi letih dan penat jika mereka gagal mengimbangi keperluan kehidupan di dunia dan di akhirat.

Bagi mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat, niat dan matlamat dan kehidupan seharian perlu dijuruskan kepada keberkatan dan keredaan Allah. Apabila hati dan pemikiran tertumpu kepada ganjaran dan pembalasan Ilahi maka umat Islam dapat membentuk keperibadian yang mulia bersesuaian dengan fitrah kejadian mereka. Setiap umat Islam sepatutnya mempersoalkan diri sendiri ‘kenapa’ dan ‘mengapa’ mereka melakukan sesuatu.

Jika seorang individu tekun be­kerja sehingga bertentangan de­ngan fitrah jasadnya yang memerlukan kerehatan yang mencukupi dengan tujuan menjadi seorang yang kaya, berkuasa dan bermegah maka adakah kehidupan begini kebahagiaan yang hakiki?

Jika matlamat kehidupan bermotifkan kekayaan dan kemegahan maka umat Islam sering terbabas dalam melaksanakan tugas mereka sebagai hamba Allah yang diberkati. Umat Islam yang terlalu ghairah dengan pangkat dan kekayaan sehingga terlupa bahawa semakin hari mereka kian hampir ke alam kubur sering berlumba-lumba me­ngumpul harta dengan tujuan di­sanjung, dihormati dan dipuja.

Fenomena ini melanda keba­nyak­an umat Islam kini apabila ­ingin meletakkan diri mereka sebagai orang yang mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat.

Peristiwa individu yang menobatkan diri sebagai sultan dan memberi anugerah kepada individu tertentu dengan mengaitkan keturunan dan salasilah keluarganya pada masa lampau walaupun kerajaan tersebut sudah tidak wujud adalah salah satu contoh umat Islam terlalu ghairah dengan kemegahan dan kekayaan tanpa melihat kepada realiti kehidupan masyarakat masa kini.

Islam menyeru umatnya supaya menyembah dan mengagungkan Allah, Tuhan semesta alam. Kekuat­an akidah dan kefahaman konsep memperhambakan diri kepada Allah adalah asas atau fundamental pengajaran Islam. Setiap individu Islam perlu gigih dan tekun bekerja untuk mendapat keberkatan dan keredaan Ilahi tanpa mengharapkan pangkat dan sanjungan daripada manusia.

Jika prinsip begini diserapkan ke dalam minda dan hati nurani umat Islam maka peristiwa memuja manusia berdasarkan kepada status dan pangkat dapat dikikis daripada pemikiran dan hati sanubari umat Islam.

Umat Islam dalam era ini perlu menilai sesuatu berdasarkan kepada realiti kehidupan masa kini. Pangkat dan kedudukan individu tertentu semakin hari kian pupus kerana di antara ciri-ciri globalisasi ialah penghapusan institusi kemasyarakatan di mana dunia semakin hari menjadi semakin kecil dan gaya hidup serta corak pemikiran manusia lebih menjurus kepada universaliti dan budaya metropolitan.

Oleh itu perkara-perkara ber­kaitan dengan kehebatan manusia berdasarkan kepada salasilah keturunan kian lupus dalam pemikiran masyarakat era globalisasi.

Islam adalah agama yang meng­anuti konsep universaliti iaitu kehebatan manusia berdasarkan kepada sejauh manakah mereka dapat memperhambakan diri kepada Allah dan ketekunan mereka mencari keredaan dan keberkatan Allah dalam kehidupan seharian.

Umat Islam yang mempunyai tahap keimanan yang tinggi tidak mengharapkan kemuliaan dan san­jungan manusia. Setiap pekerjaan dan sumbangan mereka kepada masyarakat dan negara bukan mengharapkan pengiktirafan pangkat dan kurniaan daripada manusia kerana semua manusia adalah hamba Allah yang setaraf dengan dirinya.

Konsep ketauhidan iaitu menyembah Allah Yang Maha Esa mampu menggerakkan umat Islam berfikiran tajam, meletakkan diri mereka sebagai hamba Allah yang berwibawa dan bertamadun.

Konsep ‘manusia adalah sama kecuali orang yang paling tinggi ketakwaannya kepada Allah’ mampu membentuk masyarakat Islam menjadi satu ummah yang kukuh serta berganding bahu menyahut seruan Ilahi melaksanakan tugas sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.

Sejauh manakah konsep sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi ini dilaksanakan oleh umat Islam adalah persoalan yang sukar untuk dijawab masa kini. Umat Islam hilang prinsip kehidupan yang berteraskan kepada keberkatan dan keredaan Ilahi. Apabila prinsip begini lenyap dalam minda dan hati nurani umat Islam maka pelbagai kepincangan dan kerosakan wujud dalam masyarakat Islam.

Setiap individu berlumba-lumba untuk mendapatkan kedudukan dan pangkat sehingga terlupa bahawa pertarungan yang wujud adalah di antara umat Islam dengan umat Islam.

Suasana begini menjadi simbol kemusnahan umat yang amat dimurkai oleh Allah. ‘Siapa yang betul’ dan ‘siapa yang salah’ sukar untuk diperkatakan kerana ke­pincangan yang wujud boleh diibaratkan sebagai ‘telur di hujung tanduk’.

Apabila suasana begini wujud maka setiap individu Islam sepatutnya menumpukan perhatian kepada kegiatan membangunkan diri secara gigih dan melakukan sumbangan kepada masyarakat dan negara secara berhemah dan berdedikasi tanpa mengharapkan sebarang pengiktirafan dan pangkat daripada manusia kerana kekuatan dan kehebatan Allah mengatasi kehebatan manusia.

Oleh itu bekerja dan berkhidmat secara telus demi keberkatan dan keredaan Ilahi perlu dijadikan prinsip kehidupan umat Islam. Perkhidmatan begini adalah satu pelaburan yang paling tinggi nilainya di sisi Allah. Kebahagiaan kehidupan di alam akhirat adalah kebahagiaan yang hakiki dan berkekalan.

HILANG MENGANTUK PADA WAKTU TENGAH HARI

Mengantuk pasti sering berlaku kepada seseorang terutamanya pelajar ketika menghadirkan diri ke kelas mahupun ke dewan kuliah. Ini terjadi kerana kurangnya tidur yang cukup pada sebelah malam.
Namun ada juga yang mendapat cukup tidur tetapi masih mengalami masalah ini. Keadaan itu akan membuatkan penumpuan seseorang terhadap pembelajaran di kelas atau kuliah semakin berkurangan dan tidak konsisten.

Punca mengantuk pada waktu tengah hari boleh dikaitkan dengan pelbagai sebab, antaranya kurang tidur pada waktu malam, keletihan kerana pelbagai perkara, kurang oksigen di bahagian otak dan sebagainya.

Untuk mengatasi masalah ini, terdapat beberapa cara yang boleh diambil bagi memastikan keesokan hari, kita dapat kekal produktif dan bertenaga dalam menghadapi apa jua perkara.

Ruangan Kesihatan minggu ini berkongsi beberapa tip yang boleh digunakan untuk mengelakkan kita mengantuk pada waktu siang, sekali gus memaksimumkan tenaga untuk menyelesaikan pekerjaan yang sedang dilakukan.

Cukup tidur

Orang dewasa memerlukan tidur antara tujuh hingga lapan jam setiap hari, manakala kanak-kanak dan remaja memerlukan tidur sehingga sembilan jam sehari. Kadangkala pelbagai aktiviti yang dijalankan pada sebelah malam terutamanya sebelum tidur misalnya bercukur, melipat baju dan sebagainya mengambil masa tidur yang sepatutnya. Jadi, pastikan segala kerja telah dilakukan dan tidur tepat pada waktunya.

Tetapkan waktu

Cuba disiplinkan diri pada waktu tidur dan bangun tidur agar perjalanan kehidupan kita akan lebih teratur dan bertenaga. Penetapan waktu ini mampu memberikan kita masa tidur secukupnya dan mengelakkan mengantuk pada waktu siang.

Makan ikut masa

Waktu makan adalah antara perkara yang akan menentukan kita tidur dengan cukup serta memberikan kita tenaga sepanjang hari. Makan pada waktu makan perlu dirancang dengan teliti agar tidak mengganggu waktu tidur. Jika makan malam agak lewat, sudah pasti kita akan tidur lewat, begitu juga waktu makan lain.

Senaman

Lakukan rutin senaman setiap hari sekurang-kurangnya 30 minit sehari agar badan dapat mempunyai stamina mencukupi pada waktu siang dan ia akan memudahkan seseorang itu dapat tidur dengan cukup.

Jangan tidur jika belum mengantuk

Ramai orang beranggapan ketika badan letih adalah masa yang sesuai untuk tidur tetapi sebenarnya, masa paling sesuai untuk mula tidur adalah apabila kita mengantuk. Ini kerana ketika letih, belum tentu mata dapat dilelapkan, membuatkan kita sukar tidur dan akan menyebabkan badan terasa letih apabila bangun dari tidur.

Jangan tidur sekejap

Kadangkala ada di antara kita akan tidur sekejap pada waktu petang untuk menghilangkan keletihan. Namun cara ini adalah salah kerana ia akan mengganggu waktu tidur sebenar pada waktu malam. Jadi, lebih baik lakukan aktiviti lain yang sesuai seperti bersenam dan sebagainya.

Didik Hati Agar Sentiasa Dalam Ketakwaan

Berdoa tanda pengharapan, permohonan dan pergantungan kita hanya kepada Allah SWT. Ramai orang hanya celik mata fizikal atau mata zahir, iaitu melihat sesuatu kejadian Allah SWT di dunia ini dengan menggunakan kedua-dua belah mata sebagai pancaindera sahaja. Tetapi, tidak ramai yang celik mata hati, iaitu kita melihat sesuatu dengan perasaan. Mata hati itu nur, iaitu cahaya hati kita yang dapat memberikan pencerahan kepada fikiran yang diterjemahkan melalui tindakan.

Mata fizikal melihat makhluk, objek dan sebagainya dari sudut fizikal seperti besar, kecil, cantik, hodoh, banyak atau sedikit. Mata hati melihat rahsia Allah SWT yang terselindung daripada apa yang kita nampak secara zahirnya. Maknanya, jika biasanya kita melihat peringkat kehidupan dengan pandangan biasa, kita nampak apa yang di hadapan mata sahaja, celik mata hati memandang dengan perasaan, jiwa, emosi dan roh. Setiap apa yang kita pandang memberikan nilai dan kesan perasaan kepada diri.

Banyakkan berdoa supaya mata zahir tidak menutup mata hati sehingga hilang keyakinan kepada Allah SWT, sebaliknya hanya yakin kepada manusia serta sanggup memperhambakan diri kepada manusia. Doa adalah tanda pengharapan, permohonan dan pergantungan kita hanya kepada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonanmu. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada ibadah dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina.” (Surah al-Mukmin, ayat 60) 

Mencari hidayah Allah SWT Orang yang sombong dan takbur, mata hatinya tertutup untuk mengingati akhirat. Orang yang mata hatinya sentiasa berzikir bagaikan pernafasan yang tidak terhenti kecuali mati, adalah orang yang mencari hidayah Allah SWT. Didik hati supaya merasakan Allah SWT segala-galanya dan semua makhluk nampak tidak ada apa-apa kelebihannya serta hentikan memuja makhluk. Baik atau buruk perangai manusia itu bergantung kepada hatinya. 

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya, tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotorlah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan itu ialah hati”.

Jika buta mata hati, kita tidak akan nampak kesalahan dan kelemahan diri sendiri. Perubahan diri ke arah kebaikan, daripada amalan hidup negatif kepada positif bergantung kepada hati. Kesedaran membuat perubahan diri akan timbul apabila hati kita bersih.

Oleh itu, kita perlu bersihkan hati daripada 10 penyakit hati dan jiwa yang menyerlahkan perasaan negatif dalam diri.

Pertama, perasaan iri hati dan dengki. Selalunya orang akan mengata atau mengumpat orang yang mereka dengki.

Kedua, ujub iaitu perasaan kagum terhadap diri sendiri, berasa diri kita terlalu baik dan hebat berbanding orang lain. Ubatlah penyakit hati ini dengan bermuhasabah mencari kekurangan serta berusaha menambah ketakwaan. Elakkan daripada menjadi pemerhati orang lain dengan tujuan menilai, menghukum dan membuat perbandingan dengan diri sendiri. Ikhlaskan diri dalam segala amalan kerana Allah SWT dan jangan mengharapkan penghargaan manusia.

Ketiga, perasaan sombong iaitu tinggi hati, angkuh, riak dan bongkak. Berasa segala kejayaan kerana kehebatan diri hingga melupakan kuasa Allah Yang Tinggi. Berani melakukan dosa dan meninggalkan suruhan-Nya. Menurut al-Bukhari, orang yang jahat akan melihat dosanya seperti lalat yang hinggap di hidungnya, dengan santai dapat diusirnya hanya dengan mengibaskan tangannya. Adapun orang Mukmin melihat dosanya bagaikan dia duduk di bawah kaki gunung yang akan menghempapnya.

Keempat, bersangka buruk. Orang yang bersih hatinya akan hidup penuh ikhlas dan memperbanyak kasih sayang kepada dirinya serta orang lain. Membuang semua perasaan negatif dan tidak sekali-kali berfikir negatif terhadap sesiapa. Sibuk memperbaiki diri hingga tidak nampak keburukan orang lain. 

Diriwayatkan oleh Abu Daud, Rasulullah SAW bersabda: “Ada tiga perkara yang setiap umat tidak terlepas daripadanya iaitu hasad dengki, buruk sangka dan berselisih faham. Mahukah aku tunjukkan kepada kamu jalan keluar daripada tiga perkara itu? Apabila hasad, janganlah bertindak kejam, apabila berburuk sangka, janganlah kamu kuatkan buruk sangkamu itu, dan apabila engkau berselisih faham, maka janganlah engkau menyakiti.”

Kelima, perasaan ego. Orang yang ego sebenarnya ada perasaan rendah diri yang tersembunyi dalam dirinya. Oleh itu, bina keyakinan diri dengan mencari reda Allah SWT, supaya dapat menghilangkan rasa ego dan sombong.

Keenam, perasaan marah. Orang yang hebat bukanlah orang yang dapat membandingkan diri dengan kekuatan. Orang yang hebat ialah orang yang mampu mengendalikan nafsu marahnya ketika marah.

Ketujuh, perasaan takut dan risau. Lebih takut dan risau kepada peraturan manusia daripada hukum Allah SWT. Risau dengan dunia adalah kegelapan hati dan risau dengan akhirat adalah cahaya bagi hati. Ramai orang tersalah jalan tetapi berasa tenang kerana ramai teman yang sama-sama salah. Perasaan dendam Beranilah untuk menjadi benar walaupun kita bersendirian mengikut jalan yang lain. Jangan mengharap dunia berubah sebelum kita berubah.

Kelapan, perasaan dendam yang berpanjangan akan menjadi racun, menjejaskan secara perlahan-lahan kesihatan diri. Sabar, reda dan maafkan semua kesalahan orang, itulah jalan keluar daripada penyakit hati dendam. Sabar itu pahit tetapi buahnya manis.

Kesembilan, bakhil dan kikir. Salah satu kunci syurga ialah murah hati dan baik budi. Sikap pemurah hati meluaskan rezeki, memanjangkan silaturahim dan menghindarkan musibah.

Ke-10, terlalu mengikut perasaan. Segala tindakan tidak berlandaskan fikiran, bukan atas penilaian mata hati. Oleh itu, rawatan hati mesti melalui lima perkara iaitu mengawal apa yang kita dengar melalui telinga, mengawal apa yang kita fikirkan melalui minda, mengawal apa yang kita perkatakan melalui mulut dan lidah serta mengawal apa yang kita bicarakan dalam hati. 

Sesungguhnya otak mempengaruhi emosi kita dan apa yang kita lihat dan dengar semua masuk pada mata kita. Maka jagalah lima pancaindera ini dengan ketakwaan dan amalan iman sebagai makanan rohani yang akan menyihatkan fizikal supaya lebih kuat dan rajin beribadah.

Kasih Sayang Asas Penyatuan Ummah

Hubungan sesama manusia adalah sebahagian daripada kehidupan kita yang mengimpikan kesejahteraan dan kemakmuran. Kita melihat bagaimana Islam mengajar umatnya berinteraksi sesama manusia dengan cara yang baik dan akhlak mulia. Islam mengajar kita bahawa seorang Muslim yang beriman akan memegang prinsip asas di mana jika kita tidak dapat memberi manfaat kepada seseorang, maka jangan memudaratkan mereka. Jika kita tidak dapat menggembirakan, maka jangan sedihkan mereka.

Jika kita tidak dapat memuji, janganlah mengeji.

Islam menekankan bahawa menggembirakan orang lain adalah satu kewajipan. Kata-kata pujangga menyebut: “Lakukanlah kebaikan kepada sesiapa sahaja. Jika kebaikan dilakukan pada orang yang betul, maka benarlah kamu. Dan jika dilakukan kepada orang yang salah maka kamu juga sebahagian daripada kebaikan.” Kasih sayang terbina atas sifat rahmat Allah SWT terhadap hamba-Nya dan kerana itulah manusia diciptakan. Firman Allah SWT: “Jika Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat. Melainkan mereka yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah (kasih sayang) mereka diciptakan.” (Surah Hud, ayat 118-119)

Allah SWT menciptakan manusia supaya dapat berkasih sayang antara satu sama lain. Namun, jika persengketaan menjadi pilihan, maka Allah SWT akan menghukum mereka dengan kehinaan. Oleh itu, kita melihat nama ar-Rahman adalah salah satu nama dan sifat Allah SWT. Mereka yang bersifat demikian, berhak mendapat rahmat daripada-Nya kerana menepati konsep acuan Allah SWT. 

Hadis Qudsi menyebut: “Jika kamu inginkan rahmat-Ku, maka kasihanilah makhluk ciptaan-Ku.” Kebanyakan sifat kesempurnaan datangnya daripada sifat rahmah (kasihan belas). Kita berlemah lembut, memuliakan orang lain kerana adanya sifat rahmah. Segala-galanya bertolak daripada sifat rahmah. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka disebabkan rahmat daripada Allah SWT kamu berlemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi kasar, sudah tentu mereka akan menjauhkan diri darimu.” (Surah Ali Imran, ayat 159)

Inilah prinsip Baginda SAW sehingga tiada seorang manusia pun merasa jemu dan sentiasa ingin menghampirinya. Inilah sifat yang perlu dicontohi supaya kita sentiasa disenangi dan dihormati masyarakat walau di mana kita berada. Kasih sayang erat hubungan Sifat kasih dan sayang mesti menjadi satu fenomena penting bagi umat mengembalikan mereka kepada penyatuan sebenar. Sifat kasih sayang akan mencetuskan perasaan gembira pada orang lain serta menghilangkan kesedihannya. 

Sudah menjadi sunnatullah, tidak semua manusia dilahirkan dalam keadaan sempurna. Kelompok yang tidak sempurna ini atau orang kurang upaya (OKU) adalah sebahagian daripada entiti masyarakat yang perlu dihormati kerana Islam tidak pernah membelakangi mereka. OKU dan orang normal adalah sama dari sudut ibadah serta kedudukan di sisi Allah SWT dan mereka juga ditaklifkan dengan kewajipan sama. Mereka sentiasa dilayan oleh Allah SWT sebagai seorang hamba, turut diraikan ketika solat lima waktu sebagai menjaga kepentingan mereka. 

Sabda Baginda SAW: “Apabila kamu menjadi imam pada solat jemaah, maka ringankanlah bacaan di dalam solat dengan tidak memanjangkan bacaan. Ini kerana mungkin dalam kalangan kamu ada mereka yang sakit, lemah, cacat atau orang tua.” (Riwayat Nasai’)

Kehadiran mereka yang kurang upaya adalah rahmat kepada orang lain untuk mensyukuri nikmat kesempurnaan dikurniakan kepada mereka. Bahkan, mereka berpeluang meraih ganjaran apabila menghulurkan bantuan kepada yang lemah. Kita juga harus sedar kesabaran yang ada di jiwa OKU akan memudahkan mereka mendapat syurga Allah SWT di akhirat kelak berbanding kita yang sempurna. 

Ibnu Qayyim berkata, orang beriman akan melihat wajah Allah SWT kerana ia adalah kemuncak kepada kerinduan penghuni syurga. Beliau mentafsirkan mengenai ayat kelebihan yang diperoleh oleh ahli syurga adalah melihat wajah Allah SWT. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bagi orang yang berbuat baik, ada pahala yang baik (syurga) dan tambahannya. Dan muka mereka tidak ditutupi debu hitam dan tidak (pula) kehinaan. Mereka itulah penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya.” (Surah Yunus, ayat 25-26)

Kata-kata ‘tambahan’ di sini ditafsirkan sebagai melihat Allah SWT. Namun, mereka yang lemah diharuskan berdoa kepada Allah SWT bagi menghilangkan kekurangan, tetapi kesabaran yang dapat dijelmakan dalam jiwa adalah yang terbaik kerana ganjarannya sangat lumayan.

Pernah datang seorang lelaki yang cacat penglihatannya kepada Baginda SAW dan meminta Baginda mendoakan untuknya supaya penglihatannya kembali pulih. Jawab Baginda SAW: “Jika kamu mahu aku akan mendoakan untukmu dan jika tidak, kamu boleh bersabar dan ia adalah baik bagi kamu. Jawab lelaki itu, baiklah aku akan bersabar.”

Demikian juga seorang wanita yang cacat bertemu Baginda SAW untuk didoakan. Jawab Baginda SAW: “Jika kamu bersabar, balasannya adalah syurga. Jawab wanita itu: Baiklah aku akan bersabar wahai Rasulullah demi syurga yang abadi.”

Setiap umat miliki kehebatan Sesungguhnya kekuasaan Allah SWT tiada batasan dan setiap manusia ciptaan-Nya mempunyai kelebihan tertentu. Mungkin dilihat sebagai kelemahan pada satu sudut, tetapi dari sudut yang lain, mereka lebih menyerlah daripada orang yang sempurna. Malah, ada yang berkebolehan luar biasa sehingga mengatasi mereka yang sempurna.

Justeru, golongan kurang sempurna ini mestilah diangkat kerana ada antara mereka yang berkebolehan. Inilah yang dilaksanakan Baginda SAW kepada Ibnu Ummi Maktum sebagaimana hadis daripada Anas Bin Malik: “Bahawasanya Baginda SAW pernah melantik Ibnu Ummi Maktum bagi menggantikan Baginda mentadbir Kota Madinah sebanyak dua kali.” (Riwayat Abu Daud)

Kesatuan umat bertolak daripada sifat Allah SWT itu arrahim dan dengan sifat itulah manusia dapat menjelmakan sifat terpuji lain sehingga diangkat oleh Allah SWT sebagai hamba yang mulia disisi-Nya.

Pendidik Mesti Hidupkan Budaya Islam Di Sekolah

Guru berperanan menghidupkan suasana beragama di kalangan pelajarnya.

Dakwah itu mengajak kepada kebaikan dan meninggalkan kemungkaran. Ia suatu tugas yang harus dipikul oleh seluruh ahli masyarakat. Apa pun, proses menyediakan suasana beragama (iklim dini) juga sebenarnya menyediakan persekitaran yang menyokong usaha dakwah. Maka, sekolah adalah institusi pendidikan yang sangat memerlukan suasana beragama, khususnya bagi menyediakan anak dengan persekitaran kondusif untuk menyebarkan kebaikan.

Ahmad Zabidi Abdul Razak melalui artikel jurnalnya bertajuk Ciri Iklim Sekolah Berkesan: Implikasinya Terhadap Motivasi Pembelajaran memberikan suatu analisis yang menarik. Analisis kajiannya menunjukkan, ciri sekolah agama menengah berkesan antaranya disebabkan pelaksanaan amalan hidup Islam dalam setiap pembelajaran dan pekerjaan, manakala pengamalan sifat muraqabah (merasakan Allah SWT sentiasa memerhati) dinyatakan menyokong ciri keberkesanan sekolah. Dapatan itu menerangkan perlunya hubung kait antara pelaksanaan amalan hidup Islam dalam menentukan keberkesanan dan kejayaan dalam hidup.

Mewujudkan amalan cara hidup Islam harus bermula dengan penerapan nilai agama pada persekitaran sekolah. 

Kesedaran kewujudan Allah SWT yang memerhatikan setiap tindakan akan memberi kesan kepada amalan seharian. Merasai konsep ihsan memungkinkan pelajar menyedari gerak lakunya diperhatikan Allah SWT. Dakwah di sekolah Usaha berdakwah di sekolah adalah usaha yang murni. Pengajaran dalam kelas semata-mata belum mampu untuk menerapkan nilai murni hidup beragama secara menyeluruh. Justeru, program dakwah sama ada secara rasmi atau tidak tetap memainkan peranan.

Selain itu, persekitaran yang baik juga penting dalam usaha menjana akhlak yang baik dalam kalangan murid sebagai memenuhi perintah Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, merekalah orang yang beruntung.” (Surah Ali-Imran, ayat 104)

Dakwah dilaksanakan bagi memastikan Islam tersebar luas di seluruh muka bumi. Semoga usaha dakwah dapat melimpahkan rahmat-Nya, keamanan, kedamaian serta kemakmuran. Ini bertepatan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan kami tidak mengutus kamu, melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui.” (Surah Saba’, ayat 28)

Menurut Zakiah Ariffin menerusi kajian ilmiah sarjananya bertajuk Pembudayaan Iklim Dini di sebuah sekolah di Perak, pengetua dan guru berperanan penting membentuk serta menjana pelaksanaan iklim dini. Ini bermakna kepemimpinan pengetua mempunyai hubung kait dengan kesungguhan melaksanakan iklim dini di sekolah atau institusi pendidikan, manakala guru berperanan merancang dan melaksanakan pengisian dalam mengimplimentasikan iklim dini di sekolah.

Zakiah juga menambah, rendahnya penghayatan agama dan nilai murni dalam kalangan pelajar berpunca daripada kurangnya penekanan kepada suasana persekitaran yang Islami, termasuk program budaya ilmu, kesedaran ukhuwah Islamiah, keceriaan kawasan fizikal sekolah serta penghayatan Islam bersepadu.

Mahi Din melalui artikelnya bertajuk Iklim Dini di Sekolah dalam Jurnal Dakwah Kementerian Pelajaran Malaysia menyatakan, iklim dini merujuk kepada amalan dan kebiasaan seseorang atau masyarakat yang mengamalkan dan mempraktikkan ajaran Islam dalam kehidupan harian. Ia termasuk menghayati akhlak mulia melalui suasana persekitaran.

Mohd Kamal Hassan dalam bukunya Pendidikan dan Pembangunan: Satu Perspektif Bersepadu, menyatakan matlamat pendidikan Islam tidak terkeluar daripada tujuan asal manusia dijadikan untuk mendapatkan kebaikan di dunia dan akhirat. Suasana dan kesedaran beragama dapat diwujudkan melalui proses pengajaran dan pembelajaran, oleh itu iklim dini secara tidak langsung dapat diwujudkan melalui penganjuran program dakwah seperti Israk Mikraj, Maulidur Rasul, Ihya’ Ramadan dan lain-lain.

Poster dan papan tanda doa, tazkirah, selawat dan adab Muslim mampu memberikan kesan terhadap amalan hidup beragama di sekolah. Kempen kesedaran menutup aurat, senyum dan salam bakal mewujudkan suasana harmoni dan Islami. Selain itu, pengajaran merentas kurikulum juga boleh diamalkan seperti menghubungkan kejadian alam dan atmosfera dengan kekuasaan Allah SWT sebagai pencipta dalam pengajaran sains untuk meningkatkan kesedaran aspek tauhid kepada pelajar. Malah, banyak lagi aspek pengajaran yang boleh mewujudkan kesedaran beragama seperti pengajaran nilai dalam mata pelajaran sivik, kajian tempatan, Bahasa Malaysia dan lain-lain.

Peranan ini dipikul oleh semua guru dan pendidik, bukan hanya dipertangungjawabkan kepada guru Pendidikan Islam semata. Gaya hidup Islam di sekolah Ustaz dan ustazah harus mengambil inisiatif untuk menerajui usaha membentuk persekitaran serta gaya hidup Islami di sekolah. Budaya hidup Islami juga boleh diterapkan di rumah oleh ibu bapa membina budaya positif dan diterapkan terhadap pembinaan jati diri serta akhlak anak. 

Budaya positif ini akan diteruskan kesinambungannya dengan kewujudan suasana Islami di sekolah. Usaha ini juga perlu dibantu oleh masyarakat serta media untuk mewujudkan persekitaran dan gaya hidup beragama kerana pembinaan modal insan yang kental akidah dan jati diri harus dijadikan keutamaan demi mencipta kelompok pemimpin negara pada masa akan datang. Kita perlu menyokong usaha membina suasana beragama di sekolah untuk menyemai benih kebaikan dalam hati anak. Baik guru mahupun pegawai di kementerian perlu berjiwa besar dalam mengangkasakan Islam sebagai agama yang unggul.

Akhlak Remaja Melayu Makin Parah

Perlu tawan hati mereka dengan kasih sayang

PROSES mendidik dan membentuk anak-anak mengikut acuan ajaran Islam bukanlah perkara mudah. Ini menuntut komitmen serta kesabaran tertinggi daripada ibu bapa.

Terdapat ulama yang berpandangan untuk membangunkan peribadi solehah anak-anak perempuan adalah melalui penghayatan dan pemahaman intipati yang terkandung dalam surah an-Nur.

Surah ini sangat sesuai untuk membangunkan jiwa dan rohani remaja wanita kerana di dalamnya banyak menyebut tentang penjagaan maruah dan hukum-hukum penting tentang kekeluargaan.

Manakala, bagi anak lelaki pula pasakkan jiwa mereka dengan kefahaman daripada surah al-Maidah. Dalam surah itu Allah banyak menjelaskan tentang peranan dan tanggungjawab lelaki, kepimpinan, hubungan dengan orang bukan Islam atau ahli kitab serta perkara berkaitan dengan nafkah.

Realitinya, walaupun dalam al-Quran Allah telah meletakkan garis panduan untuk diambil teladan bagi mendidik generasi soleh seperti pesanan Lukman al-Hakim, tetapi kes penzinaan dan pembuangan bayi yang dilakukan oleh remaja Muslim di negara ini semakin bertambah saban hari.

Tambah menyedihkan, terdapat remaja lelaki dan wanita yang baru berusia belasan tahun tanpa segan silu memaparkan aksi panas dan mesra mereka kepada khalayak ramai.

Persoalannya, di manakah hilang sifat malu seorang wanita dan sensitiviti sebagai lelaki yang berfungsi untuk menjaga kaum hawa yang bersifat lemah lembut?

Sedangkan dalam Islam, sejak kanak-kanak perempuan belum mencapai usia baligh, mereka telah diasuh agar menjaga maruah dan kehormatan diri. Tidak cukup dengan itu, Islam turut memberi saranan agar dipisahkan tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan.

Namun, teladan itu seumpama mencurahkan air di daun keladi lantaran jiwa mereka yang kosong dan tidak mempunyai hala tuju jelas dalam hidup.

AMAT SERIUS

Perkara ini diakui oleh Kaunselor Berdaftar, Hushim Salleh, dari firma Hushim Motivational & Counselling ketika ditemui di pejabatnya di Klang, Selangor baru-baru ini.

Tegas Hushim, kes keruntuhan moral remaja Melayu seperti penzinaan, mengandung anak luar nikah dan membuang anak kini berada pada tahap yang serius.

“Secara purata lapan daripada 10 orang yang datang berjumpa saya untuk mendapatkan nasihat mengaku pernah berzina dan ada di antara mereka sudah hilang dara.

“Tambahan baru-baru ini Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan kenyataan seramai 50 orang anak luar nikah dilahirkan setiap hari. Statistik ini tidak mengambil kira anak luar nikah kaum lain seperti Cina dan India.

“Kita sekarang ingin menjadi seperti negara Barat dan berbangga dengan cara hidup mereka. Seolah-olah tidak akan maju jika tidak mengikuti mereka.

“Sedangkan malu itu adalah sifat orang beriman. Jika dahulu Melayu Islam menjadi kuat dengan pegangan akidah, agama, sopan santun, dan berbudi bahasa, tetapi remaja sekarang sudah hilang sifat-sifat tersebut dalam diri mereka,” katanya.

Kewujudan rumah urut, pusat judi dan arak yang semakin bercambah di dalam negara menjadi penyumbang kepada pertambahan jumlah kerosakan akhlak remaja Melayu, gejala sosial dan budaya hedonisme.

“Kerajaan dan pihak bertanggungjawab perlu menjalankan tugas mereka dengan telus serta tidak melihat kepada keuntungan semata-mata. Tempat seperti ini perlu digempur habis-habisan tidak kira sama ada halal atau haram.

“Tambahan, sekarang ada pula hotel bajet di seluruh negara yang menawarkan harga murah dengan hanya RM9.80 untuk satu jam. Sudah tentu sasarannya adalah golongan remaja yang menjadikannya sebagai tempat untuk melampiaskan nafsu.

“Pencegahan ini bukan hanya terletak kepada ibu bapa sahaja tetapi turut melibatkan semua pihak termasuk orang agama dan ahli politik. Jangan hanya tahu bercakap sahaja tetapi tiada tindakan dilakukan untuk mencegahnya.

Kita tidak mahu suatu masa nanti orang Islam sudah tidak kenal nasab mereka sendiri sehingga menyebabkan adik-beradik berkahwin sesama sendiri,” jelasnya.

Ramai remaja perempuan hari ini sanggup menyerahkan tubuh kepada lelaki asing kerana suara dan emosi mereka tidak didengari oleh ibu bapa dan kekosongan itu diisi oleh teman lelaki.

“Proses mendengar luahan emosi dan perasaan anak-anak amat penting. Terdapat ibu bapa enggan berbuat demikian kerana beranggapan anak-anak yang meningkat remaja dan masuk universiti sudah besar dan mampu menyelesaikan masalah sendiri.

“Sebab itu tidak hairan hari ini ada remaja pandai dari segi akademik tetapi sanggup melakukan perkara tidak bermoral. Ibu bapa hanya mengambil berat kecerdasan mental anak-anak mereka (IQ) seperti menjadi risau jika anak mendapat markah rendah dalam peperiksaan, tetapi berapa ramai ibu bapa memberi perhatian kepada masalah emosi anak-anak (EQ)? Oleh kerana perhatian dari segi emosi tidak ada maka anak-anak akan mudah merasa sedih, kurang perhatian dan keseorangan.

“Ibu bapa juga turut mengabaikan kecerdasan rohani dan pembangunan jiwa anak-anak mereka seperti solat dan hubungan dengan Pencipta. Apabila ilmu ini tiada mereka mudah dirasuk dengan pujukan syaitan untuk melakukan penzinaan,” kata Kaunselor Berdaftar, Hushim Salleh, dari firma Hushim Motivational & Counselling.

Seiring dengan kecanggihan teknologi, ibu bapa perlu mengubah corak dan cara didikan anak-anak terutamanya dalam aspek pendidikan seks dengan menekankan mengenai bahaya seks bebas dan elakkan daripada melihat gambar ‘kotor’ kerana akan menyebabkan pemikiran dan jiwa menjadi rosak.

“Apabila anak-anak meningkat usia 13 hingga 15 tahun, masa ini adalah sesuai untuk jelaskan kepada mereka. Sekarang kita tidak boleh mengelak lagi untuk menerangkan tentang pendidikan seks berikutan gambar dan video itu boleh dilihat dengan mudah di dalam media sosial seperti telefon dan komputer.

“Tidak dinafikan ada ibu bapa merasa malu untuk bercakap tentang seks kepada anak-anak. Mereka ini jika tidak tahu perlu mencari ilmu dan membawa anak berjumpa dengan kaunselor,” kata Hushim Salleh.

Tambahnya, berdasarkan kes-kes yang pernah dikendalikan, kanak-kanak berusia lapan tahun antara yang termuda mengalami ketagihan menonton video lucah.

Tambah Hushim, dalam membesarkan anak-anak, ibu bapa bertanggungjawab memberi didikan terbaik, tetapi sebaliknya yang berlaku apabila anak-anak tidak mendapat kasih sayang dan perhatian sewajarnya kerana mereka terlalu sibuk dengan pekerjaan.

“Ada ibu bapa yang bekerja dari pagi sehingga lewat malam atau bekerja secara shif kerana kos sara hidup di bandar semakin meningkat. Golongan seperti ini perlu korbankan masa berkualiti dengan anak-anak demi mencari wang. Kesannya apabila pulang ke rumah mereka sudah penat dan tiada masa untuk anak-anak,” katanya.

Katanya, kesibukan ibu bapa menyebabkan mereka tertinggal elemen penting iaitu model keibubapaan dalam mencorak peribadi dan akhlak Islam kepada anak-anak.

“Walaupun didikan dan penerangan ilmu agama menjadi subjek wajib diajar di sekolah tetapi persoalannya kenapa kes penzinaan, mengandung anak luar nikah, liwat dan gejala sosial semakin meningkat? Jawapannya adalah kerana kasih sayang sudah tiada.

“Contohnya, amalan solat berjemaah, makan bersama-sama sudah tidak diamalkan. Sedangkan dua waktu itu adalah masa paling sesuai untuk bercakap dan memberi nasihat supaya tidak bergaul bebas antara lelaki dan perempuan.

“Ukuran kasih sayang yang diberikan oleh ibu bapa zaman sekarang berbeza berbanding dahulu kerana nilai itu dilihat melalui material seperti pemberian makanan, wang ringgit serta memanjakan anak-anak dengan gajet. Sebaliknya kasih sayang yang diperlukan oleh anak-anak adalah komunikasi dan sentuhan mereka,” katanya.

Hushim berkata: “Ibu bapa perlu bijak menguruskan masa dengan anak-anak. Mereka tidak boleh berkata penat. Jadikan hari cuti sebagai masa terbaik untuk merancang aktiviti bersama-sama.

“Senjata untuk mengelakkan penzinaan dan gejala sosial adalah melalui kasih sayang. Orang yang mempunyai kasih sayang susah untuk menyerahkan dirinya kepada orang lain.

“Biasanya orang yang tidak memiliki kasih sayang akan mudah dipujuk, dibelai kerana jati diri mereka tidak kuat. Buktinya berapa ramai yang datang jumpa dengan saya sedang mengandung anak luar nikah dan ada yang mengaku sudah hilang dara,” katanya.

7 Aktiviti Mudah Atasi Stress

Hidup ini ada kala amat menyesakkan dada. Sebagai manusia normal, tekanan adalah perkara biasa. Hanya manusia kurang normal yang mungkin tidak merasai tekanan. Namun begitu, bagaimanakah cara kita menghadapi tekanan?

Setiap orang pasti mempunyai cara tersendiri menghadapi tekanan di tempat kerja, sekolah, dengan pasangan dan sebagainya. Perkara ini penting untuk membuatkan minda kita melupakan seketika segala kesukaran yang dihadapi, membantu kita bertenang dan memberi semula kekuatan untuk menghadapi tekanan (stres) itu.

Setiap orang mempunyai caranya yang tersendiri. Saya juga mempunyai cara tersendiri yang ingin dikongsi bersama pembaca sekalian.

1. Bersukan

Jika terlalu banyak ‘beban’ dalam kepala pada satu masa, saya mengambil masa untuk bermain badminton bersama teman. Dengan bersukan, ia membantu mengurangkan tekanan dengan banyak cara.

Bukan sahaja melepaskan endorfin dan membantu melancarkan peredaran darah, malah memberi saya ruang untuk berfikir dan mencari ilham. Malah saya seperti ‘terlupa’ sebentar perkara yang membebankan kepala ketika itu.

Selalunya saya meninggalkan rumah dengan kepala yang serabut, tetapi pulang semula ke rumah dengan penyelesaian kepada masalah sebelum itu. Oleh itu amalkan bersukan, sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu.

2. Rehat dan tidur

Tidur yang cukup dan pada waktu yang ideal memainkan peranan yang penting dalam mengimbangi emosi dalam kehidupan seharian kita.

Tidur yang cukup umpama mengecas tenaga kita sepenuhnya dan mengekalkan kestabilan emosi. Malah boleh menjadikan kita seorang yang optimis selain membuatkan kita segar selepas mendapat tidur yang cukup.

Saya mencadangkan anda supaya mengamalkan tidur seketika pada waktu siang iaitu sebelum masuk waktu Zuhur. Malah ia adalah sunah yang diamalkan Baginda SAW. Tidur ini tidak lama, hanya sekitar 15 hingga 30 minit sahaja.

Mengikut kajian, satu minit Qailulah kualitinya bersamaan dengan 45 minit waktu tidur kita pada waktu malam. Jadi, cukup sekadar dapat 15 minit Qailulah, ia mampu mengembalikan banyak tenaga kepada badan kita.

Namun, jika di pejabat dan waktu rehat kita adalah jam 1 hingga 2 petang, jangan pula tidur dengan alasan mahu mengamalkan sunah. Sebaliknya, ambil masa selepas makan tengah hari dengan bersandar di kerusi dan melelapkan mata sebentar.

Tetapi harus diingat, tidur berlebihan akan memberi impak yang kurang baik kepada anda dan mungkin menjadi lebih stres selepas itu.

3. Luangkan masa dengan keluarga dan sahabat

Meluangkan masa dengan sahabat dan keluarga akan ‘mencairkan’ masalah. Orang yang membawa kita kegembiraan mungkin tidak tahu tentang beban sebesar gunung yang kita tanggung apabila hanya duduk di meja dan bersandar merenung siling.

Ketawa, bercerita dan berkongsi tekanan yang kita hadapi ketika itu akan membuatkan kita lebih baik dan masalah akan lebih terkawal.

Jika kita masih mempunyai ibu dan ayah, lawatlah mereka. Jika tidak mampu, telefon mereka bertanya khabar. Insya-Allah, tiada apa yang lebih menenangkan dan mampu meleraikan keserabutan di kepala melainkan suara mereka yang tercinta.

4. Bersolat dan berdoa

Solat adalah antara perkara mudah yang sering dirasakan susah oleh sesetengah orang. Ia adalah cara paling mudah dan efisien untuk mengadu terus segala masalah kita yang sebesar gunung kepada Sang Pencipta.

Apabila kita bersolat, kita berhubung secara terus dengan Allah dan Allah mendengar segala perkara yang kita keluhkan. Pada ketika bersujud berdoalah bersungguh-sungguh kerana pada ketika sujudlah Allah paling hampir dengan kita.

Selesai solat, tarik nafas dan pejamkan mata. Kemudian berselawatlah dan beristighfar. Insya-Allah diberikan ketenangan.

5. Membaca al-Quran

Mulakan hari kita dengan membaca al-Quran. Sebaik-baiknya selepas solat Subuh, pada waktu pagi sebelum memulakan kerja.

Al-Quran adalah mukjizat yang terbesar, insya-Allah dengan membacanya pasti mampu melunakkan hati dan memberi ketenangan kepada sesiapa yang membacanya. Kita juga boleh mendengar bacaan ayat al-Quran di tempat kerja.

Dalam Islam, bukan membaca al-Quran saja yang menjadi ibadat dan amal yang mendapat pahala dan rahmat, malah mendengarnya pun mendapat balasan. Malah, sebahagian ulama mengatakan bahawa, mendengar orang membaca al-Quran, pahalanya sama dengan orang yang membacanya.

Mendengar bacaan al-Quran dengan baik, dapat menghiburkan perasaan sedih, menenangkan jiwa yang gelisah dan melunakkan hati yang keras serta mendatangkan petunjuk. Itulah yang dimaksudkan dengan rahmat Allah, yang diberikan kepada orang yang mendengarkan bacaan al-Quran dengan baik.

6. Bersedekah

Bersedekah adalah antara cara terbaik untuk kita bermuhasabah. Bersedekah mengajar kita untuk melihat kembali orang di bawah kita.

Ketika kita sering mengeluh tertekan dengan kerja dan sering membanding-bandingkan dengan orang lain di atas kita, bersedekah ‘memaksa’ kita untuk tunduk dan melihat orang lain.

Ketika kita tertekan, kita masih mempunyai wang untuk makan dan menguruskan diri. Bagaimana pula dengan mereka yang terpaksa meminta-minta hanya kerana untuk meneruskan kelangsungan hidup?

7. Berjalan-jalan melihat alam

Melangkahlah keluar rumah, hirup udara sedalamnya dan lihatlah langit. Nikmatilah bagaimana waktu matahari tenggelam. Anda pasti terpaku dan kagum dengam keindahan lukisan Allah.

Insya-Allah perkara ini akan lebih membuatkan kita mengingati Allah, kagum terhadap kekuasaan-Nya dan kita akan berasa bersyukur terhadap segala nikmat yang telah dilimpahkan.

Lama-kelamaan, rasa bersyukur dan takjub terhadap nikmat Allah ini akan membawa pergi rasa tekanan secara perlahan-lahan, jauh daripada kepala kita.

Ibadah Nabi Daud a.s Selalu Jadi Contoh

Allah turut memuji ketekunan ibadah baginda

POKOK berdoa agar diterima ibadahnya seperti Nabi Daud a.s.? Aneh dan pelik bunyinya, namun itulah kisah mimpi seorang sahabat Rasulullah SAW:

“Seorang lelaki (Abu Said al-Khudri r.a.) datang bertemu Rasulullah lalu berkata: Wahai Rasulullah aku bermimpi seakan aku sedang bersolat di belakang sebatang pokok kemudian aku bersujud, lalu pokok tersebut turut bersujud dan aku mendengar pokok itu berdoa “Ya Allah! Tuliskanlah bagiku dengan sujud ini pahala di sisi-Mu, dan hapuskan bagiku dengan sujud ini satu kesalahan, dan jadikan sujudku ini simpanan ganjaran di sisi-Mu dan terimalah ibadahku ini sebagaimana engkau menerima ibadah hamba-Mu Daud a.s.” Ibn ‘Abbas kemudiannya menyebut: Apabila Rasulullah membaca ayat yang mempunyai tanda sujud (tilawah), baginda akan bersujud dan membaca doa yang sama dibaca oleh pokok tersebut.” – Sunan al-Tirmizi, Sunan Ibn Majah.

Pada mata zahir kita, pokok adalah makhluk Allah yang beku dan tidak berjiwa. Lain pula kata Allah, pokok adalah antara makhluk-Nya yang sangat patuh dan sentiasa bersujud kepada Allah dalam bahasanya tersendiri:

“Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan (di antaranya termasuklah) matahari, bulan, bintang-bintang, gunung-ganang, pokok-pokok kayu dan binatang-binatang serta sebahagian besar daripada manusia? Dan banyak pula (di antara manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufurannya dan maksiatnya); dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka ia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkan-Nya.” (al-Hajj [22:18]).

Mengapa agaknya nama nabi Daud menjadi sebutan doa si pokok dalam mimpi di atas? Pastinya ibadah baginda begitu istimewa sehingga mendapat pengiktirafan makhluk beku seperti si pokok. Rupanya ketekunan nabi Daud dalam ibadat dipuji secara khusus oleh Allah:

“Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberikan kepada Nabi Daud limpah kurnia daripada Kami (sambil Kami berfirman): Hai gunung-ganang, ulang-ulangilah mengucap tasbih bersama-sama dengan Nabi Daud, dan wahai burung-burung (bertasbihlah bersama-sama dengannya)! Dan juga telah melembutkan besi baginya; (Serta Kami wahyukan kepadanya): Buatlah baju-baju besi yang luas labuh dan sempurnakanlah jalinannya sekadar yang dikehendaki; dan kerjakanlah kamu (Wahai Daud dan umatmu) amal-amal yang soleh, sesungguhnya Aku Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan”. (Saba [34.10]

Ia juga diiktiraf oleh Rasulullah SAW dalam banyak sabda baginda. Pengiktirafan ini tidak lain bertujuan menggalakkan umat baginda agar mencontohi nabi Daud:

“Ibadah puasa yang paling disukai Allah adalah puasa nabi Daud, baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari. Dan solat yang paling disukai Allah juga adalah solat nabi Daud, baginda tidur setengah malam kemudian bangun bersolat pada sepertiga malam dan tidur kembali pada satu per enam yang berbaki.” – Sahih Bukhari, Muslim.

Bukan setakat kualiti ibadat, kehebatan doa nabi Daud turut dipuji oleh Rasulullah:

“Antara doa nabi Daud adalah: “Ya Allah! Aku mohon cinta-Mu, cinta orang yang mencintai-Mu dan amalan yang boleh menyampaikan aku kepada cinta-Mu. Ya Allah! Jadikan cinta-Mu lebih aku cintai daripada diriku, keluargaku dan daripada “air yang sangat sejuk.” Abu Darda’ juga menyebut: “Setiap kali menyebut perihal nabi Daud, Rasulullah SAW akan mengatakan bahawa baginda (nabi Daud) adalah manusia yang paling kuat beribadat (pada zamannya).” – Sunan al-Tirmizi.

Tambah manis, ketekunan tersebut turut menjadi budaya rumah tangga nabi Daud:

“(Setelah itu kami perintahkan): “Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!” dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hamba-Ku yang bersyukur.” (Saba’[34:13]).

Ketekunan dan kerajinan ibadat baginda a.s. dan keluarganya tidak lain bertujuan menjiwai rasa syukur atas segala nikmat kurniaan Allah kepada mereka. Marilah kita sama-sama mencontohi dan merindui kerajinan ibadah yang dipamerkan oleh nabi Daud dan ahli keluarganya. Siapa tahu cinta kita itu bakal menjadi sebab kita dikumpulkan bersama mereka di akhirat kelak:

“Anas bin Malik menceritakan (pada suatu hari) seorang lelaki bertanya kepada baginda SAW bilakah tarikh berlakunya kiamat. Baginda menyoalnya: “Apakah yang engkau sediakan untuk menghadapinya?” Lelaki itu menjawab: “ Aku tidak bersedia untuknya dengan banyak melakukan solat, puasa atau sedekah, akan tetapi aku sangat sayangkan Allah dan Rasul-Nya.” Baginda bersabda: “Kalau begitu, engkau pasti akan bersama dengan siapa yang engkau cintai.” – Sahih Bukhari, Muslim

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga