Kesilapan Kita Sebagai Ibu Bapa dalam Mendidik Anak-Anak

1. Kesilapan pertama: Kurang Berdoa semasa mengandung. Antara doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa mengandung ialah :

* Sayyidul (penghulu) istighfar
* Doa memohon rahmat (Ali ‘Imran:8-9)
* Doa memohon zuriat yang baik (Ali ‘Imran :38) 
* Doa agar anak mengerjakan solat (Ibrahim :40-41)

Kurang berdoa semasa membesarkan anak. Doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa anak membesar ialah

* Doa agar anak patuh kepada Allah s.w.t (Al-Baqarah :128)
* Doa diberi zuriat yang menyejukkan hati (Al-Furqan :74)
* Doa supaya nama anak membawa kebaikan kepadanya.

2. Kesilapan kedua: Banyak memberi belaian Tarhib (menakutkan) daripada Targhib (didikan atau motivasi) seperti:

* menakutkan anak-anak dengan sekolah
* menakutkan dengan tempat gelap
* menakutkan dengan hutan rimba atau bukit bukau
* menggunakan kekerasan dan paksaan semasa menyuruh anak tidur.

3. Kesilapan ketiga: Tidak tegas dalam mendidik anak-anak

* Tidak menjadualkan kegiatan harian anak-anak
* Terlalu memfokuskan anak-anak kepada sesuatu aktiviti sahaja tanpa mengambil kira perasaan mereka.

4. Kesilapan keempat: Menegur mereka secara negatif

* Mengeluarkan kata-kata kesat dan maki hamun kepada anak-anak (terutama semasa marah)
* Membandingkan anak-anak dengan anak-anak lain atau anak orang lain.

5. Kesilapan kelima: Memberi didikan yang tidak seimbang antara jasmani (physical), rohani (spiritual) dan minda (intelektual)

* Ramai yang lebih mementingkan pendidikan minda dari pendidikan rohani.

6. Kesilapan keenam: Kurang memberi sentuhan kepada semua anak-anak

* Sedangkan Rasulullah kerap dilihat mendukung cucu-cucunya dan mencium mereka. Diriwayatkan oleh Aisyah r.a.: Pada suatu hari Rasulullah SAW mencium Al-Hassan atau Al-Hussien bin Ali r.a. Ketika itu Aqra’ bin Habis At-Tamimy sedang berada di rumah baginda. Berkata Aqra’: “Ya Rasulallah! Aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah mencium seorang pun daripada mereka.” Rasulullah melihat kepada Aqra’ kemudian berkata: “Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

7. Kesilapan ketujuh: Penampilan diri yang kurang anggun dan kurang kemas

* Ibu bapa tidak menunjukkan cara berpakaian yang kemas dan yang menepati syarak bila berada di rumah, iaitu berpakaian secara selekeh atau berpakaian seksi di hadapan anak-anak.

8. Kesilapan kelapan: Susunan rumahtangga yang tidak kemas

* Ini mengakibatkan anak-anak terikut-ikut dengan cara itu dan membesar menjadi pemalas dan selekeh.

9. Kesilapan kesembilan: Kurang menghidupkan sunnah di rumah

* Seperti memberi salam, makan berjemaah, beribadah bersama-sama dan sebagainya. Dalam menjawab salam, lazimkanlah menjawab salam dengan yang lebih baik dari salam yang diberi.

10. Kesilapan kesepuluh: Tidak menggantungkan rotan di tempat yang mudah dilihat oleh anak-anak

* Dalam Islam, merotan anak dengan tujuan mendidik adalah satu Sunnah.

11. Kesilapan kesebelas: Kurang mendedahkan anak-anak dengan model yang cemerlang

* Seperti para ulama’ dan orang-orang yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia. Anak-anak juga patut didedahkan dengan sembahyang jemaah, kuliah agama dan aktiviti-aktivi yang bersesuaian dengan akhlak Islam.

12. Kesilapan keduabelas: Bertengkar di depan anak-anak

* Ini akan menyebabkan anak-anak rasa tertekan dan membenci salah seorang dari ibu bapanya.

13. Kesilapan ketigabelas: Membenarkan orang yang tidak elok syahsiahnya masuk ke dalam rumah

* Samada dari kalangan sahabat sendiri ataupun sahabat anak-anak, kerana ini akan memberikan contoh yang tidak baik kepada anak-anak yang sedang membesar.

14. Kesilapan keempatbelas: Kurang mengawasi rancangan-rancangan yang ditonton

* Samada dari TV ataupun video. Pengawasan dalam hal ini adalah penting kerana kebanyakan rancangan dari media ini menonjolkan akhlak yang kurang baik seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pakaian yang tidak menepati syarak dan perbualan yang boleh merosakkan agama anak-anak.

15. Kesilapan kelimabelas: Terlalu bergantung kepada pembantu rumah untuk mendidik anak-anak

* Sebagai ibu bapa kitalah yang akan disoal di akhirat kelak akan anak-anak ini. Oleh itu adalah menjadi satu kepentingan kita untuk berusaha memastikan anak-anak terdidik dengan didikan Islam.

“Harta benda dan anak-anak kamu hanyalah menjadi ujian dan di sisi ALLAH ada pahala yang besar.”(At-Taghaabun :15)

NABI IDRIS A.S PERTAMA MENULIS DENGAN KALAM

NABI Idris a.s diutus oleh Allah SWT untuk mengingatkan umat keturunan Qabil yang telah bersikap derhaka. Idris merupakan keturunan keenam Nabi Adam a.s. Dalam kalangan bangsa Ibrani, ia dikenal dengan nama Khunuh. Idris belajar agama sejak kecil daripada Nabi Syits, anak lelaki Nabi Adam.Nabi Idris berdakwah kepada kaumnya dengan gigih sehingga menerima gelaran Asad al-usud, yang bererti "singanya singa”.

Ketika Nabi Muhammad SAW melakukan Israk Mikraj, baginda bertemu dengan Nabi Idris di langit keenam. Ketika itu Nabi Idris tidak banyak diceritakan di dalam al-Quran. Namanya hanya disebut dalam surah Maryam ayat 56-57 dan surah al-Anbiya' ayat 85-86.

Nabi Idris merupakan manusia pertama yang dapat menulis dengan kalam (alat tulis yang diperbuat daripada buluh). Idris dikurniai Allah SWT dengan beberapa kepandaian dan kemahiran. Ia menguasai ilmu hisab, ilmu haiwan, menunggang kuda, dan menjahit pakaian.

Selain itu, Idris jua amat tekun dalam sesuatu pekerjaan atau usaha yang dilakukannya. Ia belajar membaca dan menulis tanpa mengenal waktu dan tempat. Sejak kecil, Idris telah pandai membaca Sahifat (lembaran/helaian bertulis) yang diajarkan oleh Nabi Syits. Idris menerima wahyu daripada Allah SWT melalui Malaikat Jibril dengan 30 Sahifah. Isinya adalah ajaran agama yang harus disampaikan Idris kepada umatnya.

Dikunjungi Izrail

Malaikat Izrail pula amat mengagumi kepandaian Idris. Ia ingin mengenal Idris dengan lebih dekat. Dengan menyamar sebagai manusia, ia bertandang ke rumah Idris. Setelah berkenalan, Idris mempersilakan tamunya itu menginap di rumahnya. Mereka kemudiannya beribadah dengan tekun.

Idris meminta tamunya itu menikmati semua yang ada di rumahnya, tetapi Izrail menolaknya dan hanya ingin beribadah. Idris berasa hairan dan bertanya siapa sebenarnya tamunya itu. Si tamu menjawab bahawa dia adalah Izrail, malaikat pencabut nyawa.

Ketika umat Nabi Idris derhaka, Allah SWT menurunkan azab kepada mereka. Beberapa waktu negeri mereka dilanda kemarau. Aktiviti pertanian terhenti dan banyak haiwan ternakan yang mati. Untuk memperkukuhkan imannya, Idris memohon kepada Allah SWT agar diizinkan untuk melihat syurga dan neraka. Allah SWT memenuhi permohonan Idris itu.

Bersama Izrail, Idris mengunjungi neraka dan melihat api neraka yang menjulang serta berbagai-bagai bentuk seksaan di dalamnya. Kemudian Izrail membawa Idris ke syurga. Di sana Idris bertemu dengan Malaikat Ridzuan dan melihat nikmat yang diberikan Allah SWT kepada para penghuni syurga.

Oleh kerana sebahagian umatnya kufur, Idris mengajak para pengikutnya yang beriman meninggalkan negeri mereka. Pada awalnya mereka keberatan kerana khuatir negeri baharu yang akan mereka huni tersebut tidak sesubur negeri mereka.

Bagaimanapun, Idris dapat meyakinkan umatnya yang beriman itu sehingga mereka mengikut Idris berhijrah ke Mesir.

Tewaskan iblis

Pada suatu ketika Idris digoda syaitan/iblis. Ketika Idris sedang menjahit baju, tiba-tiba datang syaitan dengan menyamar sebagai seorang lelaki. Iblis itu membawa sebiji telur. Ia mencabar Idris supaya meminta Tuhannya memasukkan dunia ke dalam telur itu. Permintaan tersebut dimaksudkannya untuk membuat Idris berasa ragu-ragu akan kemampuan Tuhannya.

Bagaimanapun, dengan tegas Idris menjawab bahawa Tuhannya bukan sahaja mampu memasukkan dunia ke dalam telur, tetapi juga ke lubang jarum. Lalu dengan jarumnya, Idris mencucuk mata Iblis. Iblis mengalah dan terus menghilangkan diri.

Sunnah Nabi s.a.w Yang Diabaikan

SUNNAH adalah segala sesuatu yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW berkaitan percakapan, perbuatan mahupun senyap diamnya (persetujuan) oleh Nabi Muhammad SAW.

Ia juga bererti sesuatu yang pelakunya mendapat ganjaran pahala dan tidak berdosa bagi yang meninggalkannya.

Di antara perbuatan sunnah yang jarang dilakukan kaum muslimin adalah sebagai berikut.

1 Mendahulukan kaki kanan ketika memakai selipar

DIRIWAYATKAN daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Jika kamu memakai sandal/selipar, maka dahulukanlah kaki kanan dan jika melepaskannya dahulukanlah kaki kiri. Jika memakainya, maka hendaklah memakai kedua-duanya atau tidak memakai kedua-duanya sama sekali. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Dapatlah difahamkan memakai kasut/sepatu juga atau lain-lainnya hendaklah dimulakan dengan yang sebelah kanan, kerana ada keberkatannya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: ?Apabila seseorang daripada kamu makan, maka hendaklah ia makan dengan tangan kanannya, hendaklah ia minum dengan tangan kanannya, hendaklah ia mengambil dengan tangan kanannya dan hendaklah ia memberi dengan tangan kanannya.” (riwayat al-Hasan bin Sufiyan)

Daripada keterangan hadis-hadis yang lain, Nabi SAW telah mengamal dan membuktikan disiplin lebih luas iaitu meliputi kaki kanan, lambung kanan dan sebelah kanan. Nabi SAW memulakan langkahnya dengan kaki kanan dan melangkah kaki kiri apabila memasuki tandas dan melangkah kaki kiri apabila keluarnya. Baginda mendahulukan kaki tangan sebelah kanan apabila bersuci untuk wuduk dan menyisir rambut atau memakai kasut dan seumpamanya. Solat juga diakhiri dengan memulakan salam ke sebelah kanan. Displin didahulukan kanan adalah lambang gerak-geri para mukmin dalam semua aktiviti harian mereka yang mulia.

2 Menjaga dan memelihara wuduk

DIRIWAYATKAN daripada Thauban r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Istiqamahlah (konsistenlah) kamu semua (dalam menjalankan perintah Allah) dan kamu tidak akan pernah dapat menghitung pahala yang akan Allah berikan. Ketahuilah bahawa sebaik-baik perbuatan adalah solat, dan tidak ada yang selalu memelihara wuduknya kecuali seorang mukmin.” (riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

3 Bersiwak (menggosok gigi dengan kayu siwak)

DIRIWAYATKAN daripada Aisyah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Siwak dapat membersihkan mulut dan saranan untuk mendapatkan reda Allah.” (riwayat Ahmad dan an-Nasai)

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: Andai kata tidak memberatkan umatku necaya aku memerintahkan mereka untuk bersiwak setiap kali hendak solat. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Bersiwak disunnahkan setiap saat, lebih-lebih lagi ketika hendak berwuduk, bersolat, membaca al-Quran, ketika mulut berbau, pagi ataupun petang, ketika bangun daripada tidur dan hendak memasuki rumah. Bersiwak merupakan perbuatan sunnah yang hampir tidak pernah dilakukan oleh kebanyakan orang kecuali yang mendapat rahmat daripada Allah SWT dan mendapatkan pahala yang sangat besar dan mulia.

4 Solat istikharah

DIRIWAYATKAN daripada Jabir r.a. bahawa ia berkata: Rasulullah SAW mengajarkan kepada kita tatacara solat istikharah untuk segala urusan, sebagaimana Baginda mengajarkan surah-surah al-Quran kepada kami. (riwayat Bukhari)

Oleh itu, lakukanlah solat ini dan berdoalah dengan doa yang sudah lazim diketahui dalam solat istikharah.

5 Berkumur-kumur dan menghisap air ke hidung

DIRIWAYATKAN daripada Abdullah bin Zaid r.a. bahawa Rasulullah SAW berkumur-kumur dan menghisap/menghirup air ke hidung secara bersamaan daripada satu ceduk air dan itu dilakukan sebanyak tiga kali (ketika berwuduk). (riwayat Bukhari dan Muslim)

6 Berwuduk sebelum tidur dan tidur dengan posisi miring ke kanan

DIRIWAYATKAN daripada Al-Barra bin Azib r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Jika kamu hendak tidur, maka berwuduklah seperti hendak solat, kemudian tidurlah dengan posisi miring ke kanan dan bacalah: Ya Allah, aku pasrahkan jiwa ragaku kepada-Mu, aku serahkan semua urusanku kepada-Mu, aku lindungkan punggungku kepada-Mu, kerana sayang sekali gus takut kepada-Mu, tiada tempat berlindung mencari keselamatan daripada (murka-Mu) kecuali kepada-Mu, aku beriman dengan kitab yang Engkau turunkan dan dengan nabi yang Engkau utus.” Jika kamu meninggal, maka kamu meninggal dalam keadaan fitrah. Dan usahakanlah doa ini sebagai akhir perkataan kamu. (riwayat Bukhari dan Muslim)

7 Sujud syukur ketika mendapat nikmat atau terhindar daripada bencana

SUJUD ini hanya sekali dan tidak terikat oleh waktu. Diriwayatkan daripada Abu Bakrah r.a. ia berkata: Jika Rasulullah SAW mendapatkan sesuatu yang menyenangkan atau disampaikan khabar gembira, maka Baginda langsung sujud dalam rasa bersyukur kepada Allah.” (riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah).

8 Berlumba-lumba untuk mengumandangkan azan, bersegera menuju solat, serta berusaha untuk mendapat saf pertama

DIRIWAYATKAN daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Andai kata umat manusia mengetahui pahala di sebalik azan dan berdiri pada saf pertama kemudian mereka tidak mendapatkan bahagian kecuali harus mengadakan undian terlebih dahulu nescaya mereka membuat undian itu. Andai kata mereka mengetahui pahala bergegas menuju masjid untuk melakukan solat, nescaya mereka akan berlumba-lumba melakukannya.

Andai kata mereka mengetahui pahala solat Isyak dan Subuh secara berjemaah, nescaya mereka datang meskipun dengan merangkak. (riwayat Bukhari dan Muslim)

9 Berdoa ketika memakai pakaian baharu

DIRIWAYATKAN daripada Abu Said al-Khudri r.a. ia berkata: ?Rasulullah SAW jika mengenakan pakaian baharu, maka Baginda menamakan pakaian itu dengan namanya, baju, serban, selendang ataupun jubah, kemudian Baginda membaca: Ya Allah, hanya milik-Mu semua pujian itu, Engkau telah memberiku pakaian, maka aku memohon kepada-Mu kebaikannya dan kebaikan tujuannya dibuat dan aku berlindung kepada-Mu daripada keburukannya dan keburukan tujuannya dibuat.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

10 Mengucap salam kepada semua orang Islam

DIRIWAYATKAN daripada Abdullah bin Amru r.a. ia menceritakan: Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: Apa ciri keislaman seseorang yang paling baik? Rasulullah SAW menjawab: Kamu memberikan makanan (kepada orang yang memerlukan) dan mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan orang yang tidak kamu kenal. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan daripada Anas r.a. bahawa ia menuturkan: Rasulullah SAW berjalan melalui kumpulan kanak-kanak, lalu Baginda mengucapkan salam kepada mereka semua. (riwayat Muslim)

Ibnu Rajab menuturkan: Orang yang beramal sesuai ajaran Rasulullah SAW, meskipun amal itu sangat kecil, maka itu akan lebih baik daripada orang yang beramal tidak sesuai dengan ajaran Rasulullah SAW walaupun dia sangat bersungguh-sungguh.

Ya Allah, jadikanlah kami orang-orang yang mengikuti sunnah Rasul-Mu dan mengikuti jejaknya. Ya Allah, kumpulkan kami dan kedua orang tua kami dan kaum muslimin semuanya ke dalam syurga-Mu, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Bahlul Itu Wali Allah

Perkataan ‘Bahlul’ sering kita dengar diucapkan oleh masyarakat setempat terutamanya untuk menyatakan seseorang itu bodoh atau lurus bendul. Tapi tahukah anda asal usul perkataan Bahlul itu sendiri? Tahukah anda yang sebenarnya asal-usul orang-orang terdahulu melemparkan perkataan ‘Bahlul’ kepada seseorang itu adalah sebagai satu doa yang baik?

Bahlul merupakan satu perkataan yang berasal dari arab dan ia berasal dari satu nama jolokan yang diberikan kepada seseorang yang bernama Wahab ibn Amr. Wahab ibn Amr atau Bahlul hidup pada zaman Khalifah Harun Ar-Rasyid. Sebenarnya Wahab ibn Amr terkenal sebagai seorang hakim dan juga ilmuan Islam pada zamannya. Dia dikenali sebagai Bahlul kerana dia telah meninggalkan kekayaannya dan hidup dengan gaya yang selekeh.

Terdapat banyak kisah-kisah yang memaparkan kebijaksanaan Bahlul sendiri. Disini kami paparkan tiga cerita berkenaan bahlul.

Cerita 1

Pada suatu hari, Khalifah Harun Ar-Raysid bersama isterinya lalu dihadapan Bahlul yang sedang membuat rumah dari tanah liat. Maka Harun berlakukan dialog antara Ar-Rasyid, isterinya dan Bahlul.

Harun : Hey Bahlul, kau buat apa?
Bahlul : Aku sedang buat rumah rumah syurga.
Isteri Harun : Boleh aku beli?
Bahlul : Boleh..
Isteri Harun : Berapa?
Bahlul : 10 Dirham
Isteri Harun membayar jumlah tersebut kepada Bahlul.
Harun : Kau dah kena tipu hidup-hidup dengan Bahlul.
Pada malamnya Harun Ar-Rasyid bermimpi satu rumah besar yang tersangat cantik yang tertulis nama isterinya, Siti Zubaidah di dalam syurga. Harun cuba untuk masuk ke dalam rumah itu tetapi dihalang oleh pengawal di rumah itu.
Harun : Ini rumah isteri aku.
Pengawal : Memanglah, tapi ini bukan rumah kau.
Bangun pada pagi berikutnya Harun Ar-Rasyid bangun dan kelam kabut pergi mencari Bahlul.
Harun : Bahlul, aku nak beli rumah kau.
Bahlul : Boleh.
Harun : Berapa?
Bahlul : 10,000 Dirham.
Harun : Eh, kenapa semalam 10 Dirham?
Bahlul : Semalam kau tak nampak..Hari ni kau dah nampak!

Cerita 2

Pada suatu hari, Harun Ar-Rasyid memberikan Bahlul sebatang kayu dan berkata, “Batang kayu ini ya Bahlul, milik seorang lelaki yang paling bodoh atas muka bumi ini. Jika kamu terjumpa dengan seorang lelaki yang lebih layak memiliki kayu ini lebih dari kamu, berikanlah kepadanya”. Dan Bahlul mengambil batang kayu tersebut.

Beberapa tahun selepas itu, Harun Ar-Rasyid jatuh sakit dan tak ada sebarang ubat-ubatan yang boleh menyembuhkannya. Bahlul datang untuk melawat Harun Ar-Rasyid untuk bertanya khabar dan terjadi satu perbualan yang menakjubkan.

Harun : Tak ada apa yang boleh menyembuhkanku!
Bahlul : Kau mahu ke mana?
Harun : Aku akan pergi ke dunia lain.
Bahlul : Ke dunia lain? Berapa lama kau akan pergi? Bila kau akan balik?
Harun : Oh Bahlul! Tak ada siapa yang akan kembali selepas ke dunia itu.
Bahlul : Jadi kau mesti dah buat persiapan rapi untuk perjalanan ini. Perjalanan yang kekal. Kau dah siapkan tentera untuk tunggu kedatangan kau? Sebagai persiapan apabila kau sampai di sana?
Harun : Tak ada yang pergi dengan kau Bahlul. Dan aku tak membuat sebarang persiapan.
Bahlul : Ya Amirul Mukminin, sebelum ini kau menghantar tentera sebagai persiapan rapi untuk satu perjalanan yang hanya berjumlah sehari dua! Dan kini kau akan pergi ke satu tempat yang kau akan tinggal disitu selamanya. Dan kau tidak membuat sebarang persiapan untuk menghadapinya?
Bahlul : Nah ambil batang kayu ini. Nampaknya aku dah jumpa seseorang yang lebih layak untuk memilikinya.

Cerita 3

Berikut pula adalah kisah Bahlul dengan Sheikh Junid, seorang ulama sufi dan juga wali Allah. Satu hari Syeikh Junid Al-Baghdadi bertemu Bahlul lalu meminta nasihat. Bahlul lalu bertanya:
Bahlul: Bagaimana kamu makan?
Junid: (Menerangkan adab2 makan berdasarkan Sunnah dan doa2 makan)
Bahlul: Bagaimana kamu berpakaian?
Junid: (Menerangkan adab2 makan berdasarkan sunnah dan doa berpakaian)
Bahlul: Bagaimana kamu tidur?
Junid: (Menerangkan adab2 tidur mengikut sunnah dan doa2 tidur)
Bahlul: Sebenarnya jawapan2 kamu tidak tepat. Sekiranya kamu makan mengikut adab dan doa sekalipun tapi sekiranya makanan itu dari sumber yang haram buat apa? Sekiranya kamu berpakaian dengan adab dan doa tapi tidak menutup aurat serta sumbernya adalah haram buat apa? Sekiranya kamu tidur dengan adab dan doa tapi di hatimu masih menyimpan dendam dan kebencian sesama Muslim buat apa?

Sedutan dari jejak rasul yang memetik kisah Bahlul

Menurut dari tiga cerita ini jelas sekali Bahlul bukanlah seorang yang bodoh atau lurus bendul. Dia sebenarnya bijak . Sedangkan Sheikh Junaid sendiri pun datang mengadap Bahlul untuk mendapatkan nasihat dan dari cerita yang ketiga jelas Bahlul ini seorang wali Allah.

Hari ini penggunaan perkataan bahlul telah disalah ertikan oleh masyarakat yang menggunakan perkataan itu untuk menyatakan seseorang itu bodoh. Sebenarnya perkataan itu dilemparkan oleh orang-orang tua kepada seseorang seperti ibu kepada anak adalah sebagai satu doa yang baik. Mengharapkan orang itu menjadi seperti Bahlul. Namun apabila lama kelamaan perkataan itu disalah ertikan oleh masyarakat kita.

Jangan Buang Pahala Kerana Telefon Bimbit

TELEFON bimbit ibarat menjadi kemestian dalam hidup masa kini. Rasanya tidak sempurna hidup tanpa alat komunikasi itu. Lebih-lebih lagi dengan gajet pintar (smart phone) banyak gunanya. Jika sesat jalan, boleh menggunakan google earth bagi mencari destinasi tujuan.

Malah di Masjidilharam, orang Malaysia kini boleh mendengar khutbah dalam bahasa Melayu menggunakan smart phone. Ia hasil inisiatif Kerajaan Arab Saudi yang menyediakan penterjemah bagi kemudahan ratusan ribu umat Islam dari rantau ASEAN mengikuti khutbah secara langsung yang disampaikan dalam bahasa arab.

Demikian hebatnya teknologi membantu kita dalam memudahkan lagi pelaksanaan ibadat harian. Bagaimanapun, terlalu obses dengan gajet tersebut secara tidak disedari boleh menyebabkan pahala ibadat kita menjadi sia-sia terutama ketika solat Jumaat.

Solat Jumaat adalah masa di mana kaum muslimin berhimpun di masjid tanpa mengira pangkat, kedudukan atau bangsa. Khutbah pula adalah satu daripada lima syarat sah solat Jumaat. Justeru, ia adalah wasilah terbaik untuk menyampai dan menerima nasihat, peringatan serta mesej-mesej ukhrawi dan duniawi kepada masyarakat Islam.

Sebab itu, Rasulullah SAW menyuruh para jemaah supaya diam dan khusyuk mendengar khutbah. Sabda nabi SAW yang bermaksud: Jika engkau mengatakan kepada sahabatmu pada hari Jumaat ‘diam’ padahal imam pada ketika itu sedang berkhutbah, maka sesungguhnya engkau benar-benar berkata sia-sia. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Dapatlah difahami daripada hadis ini bahawa apa pun jenis kata-kata mahupun perbualan adalah dilarang sama sekali ketika khutbah Jumaat sedang dibacakan. Ini kerana jika kata-kata seorang jemaah yang menyuruh seorang jemaah lain supaya diam dan mendengar khutbah itu pun dikategorikan sebagai sia-sia, sedangkan perbuatan itu merupakan satu suruhan ke arah kebaikan, apatah lagi kata-kata biasa atau perbualan kosong semata-mata.

Malangnya, masih ada dalam kalangan umat Islam terutama remaja yang tidak boleh berenggang dengan telefon bimbit mereka. Sehinggakan semasa khatib berkhutbah pun, ada yang melayari internet, chatting dan bermain game.

Perbuatan sebegini tidak patut berlaku kerana ia menjejaskan kesempurnaan solat Jumaat. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Sesiapa yang berwuduk dan menyempurnakan wuduknya, kemudian dia (pergi ke masjid) untuk menunaikan solat Jumaat, lalu mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah disampaikan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jumaat itu dan hari Jumaat berikutnya dan ditambah tiga hari lagi. Dan sesiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu (ketika khutbah), maka dia telah berbuat sia-sia. (riwayat Muslim)

Adapun perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khatib membaca khutbah Jumaat boleh diqiaskan kepada maksud hadis di atas. Dalam hadis ini, Rasulullah SAW menegaskan sesiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu ketika khutbah Jumaat itu telah melakukan suatu perbuatan yang sia-sia.

Maksud ‘sia-sia’ dalam hadis ini adalah bertentangan dengan sunnah, adab dan mengakibatkan rugi pahala dan kelebihan-kelebihan solat Jumaat walaupun sembahyangnya masih dikira sah.

Menurut ulama, larangan itu tidak hanya terbatas terhadap bermain dengan anak batu sahaja tetapi menyeluruh terhadap semua perbuatan yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat. Jika dinilai dan diteliti, perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khutbah dibacakan adalah lebih buruk daripada perbuatan bermain dengan anak batu kerana perbuatan seperti bermain game, melayari halaman internet, berkomunikasi melalui halaman rangkaian sosial dan sebagainya itu adalah sangat jelas lebih menghilangkan kekhusyukkan dan menjejaskan tumpuan.

Akan tetapi tidak makruh ke atas orang yang mendengar khutbah Jumaat itu berkata-kata jika berlaku darurat misalnya kerana hendak menyelamatkan orang buta yang hampir jatuh ke dalam parit atau ternampak binatang berbisa seperti kala jengking atau ular menghampiri seseorang. Maka dalam hal sedemikian, tidaklah dilarang orang yang mendengar khutbah Jumaat itu berkata-kata, bahkan wajib baginya melakukan demikian. Akan tetapi lebih baik (sunat) baginya untuk menggunakan isyarat sahaja jika dia mampu mengelakkan daripada berkata-kata.

Marilah memastikan solat Jumaat kita terpelihara daripada sebarang hal yang lagha agar kita beroleh keampunan Allah seperti yang dijanjikan dalam hadis di atas.

Apa Pertalian Kita Dengan Tanah?

Makhluk-makhluk yang melata di muka bumi ini pada masa ini insyaAllah,berasal dari dalam tanah. Walaupun tidak secara langsung berasal dari tanah, tetapi semuanya memerlukan tanah. Sebagai contoh lihat pada perabot kayu, asalnya dari pokok, pokok pula dari biji benih yang dapat hidup dari dalam tanah dan mendapat makanan dari dalam tanah melalui akarnya.

Cuba lihat pula pada barangan logam seperti body kereta, sudu besi, peralatan komputer, pisau dan sebagainya. Logam itu pun berasal dari tanah yang mana kena gali terlebih dahulu untuk mendapatkannya.

Begitu juga dengan barangan plastik, getah, kaca, fibre glass dan sebagainya, di mana semuanya dikorek dari perut bumi. Itu secara ringkas yang menunjukkan manusia mencipta barang-barang daripada makhluk yang telah dijadikan oleh Allah. Manusia tidak boleh mencipta sendiri barang-barang tanpa makhluk-makhluk yang dijadikan oleh Allah S.w.t tadi. Lihatlah betapa kerdilnya manusia di sisi Allah yang selalu memerlukan kepada Allah sebagai tempat bergantung.

Kejadian nabi Adam diciptakan secara langsung oleh Allah dari tanah. Tetapi kejadian kita secara tidak langsung tetapi sebenarnya kita juga membesar dengan makan segala apa dari tanah. Oleh itu kita juga adalah tanah sebenarnya tetapi yang sudah mengalami proses perubahan bentuk. Sepertimana contohnya tepung gandum yang diadun dengan air dan bahan-bahan lain yang akhirnya sudah tidak menjadi tepung, tetapi menjadi roti, biskut dan sebagainya.

Sebagamana telah diketahui melalui kajian ilmiah dibidang sains, proses kejadian manusia di dalam rahim perempuan bermula apabila berlaku percantuman antara sperma (mani lelaki) dengan ovum (mani perempuan). Dan ini juga dibuktikan dengan dalil naqli dengan firman Allah S.w.t;

“Maka hendaklah manusia memperhatikan dari apakah dia diciptakan? Dia diciptakan dari air yang dipancarkan, yang keluar dari antara tulang sulbi laki-laki dan tulang dada perempuan.” Surah At Thariq : 5 – 7

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. ” Surah Al ‘Alaq : 1 – 2

Macam mana terhasilnya air mani ataupun segumpal darah yang telah berubah bentuk itu dalam tubuh manusia? Sudah tentulah ianya berlaku dari proses penukaran dari apa yang dimakan oleh manusia. Tanpa makanan adalah mustahil air mani itu akan terhasil secara sunnatullah. Kerana melalui proses penyerapan makanan ke dalam tubuh kita maka sel-sel atau anggota-anggota lain manusia dapat tumbesar dan menghasilkan bermacam-macam cecair, asid, air mani dn sebagainya dalam tubuh.

Dari mana pula datangnya makanan itu? Sudah tentulah sumber-sumbernya semua berasal dari dalam bumi yang dijadikan oleh Allah S.w.t Yang Maha Perkasa lagi Maha Berkuasa. Sebahagian besar makanan kita itu berasal dari dalam tanah secara langsung seperti buah-buahan, sayur-sayuran, koko dan sebagainya. Dan ada juga yang tidak secara langsung dari tanah iaitu seperti lembu, ayam, ikan, ketam dan sebagainya. Tetapi ketahuilah, apa yang dimakan oleh binatang-binatang tadi? Sudah tentulah mereka juga memakan makanan yang bersumber dari tanah seperti rumput, rumpai, dedaun kayu dan sebagainya.

Jadi pokok pangkalnya, semua kita ini datang dari Allah, tumbesar dari bahan yang sama, menetap sekarang pun di tempat yang sama, memerlukan kepada sumber-sumber pun yang sama, oleh itu mengapa perlu ada pergaduhan, perebutan, hasad dengki, fitnah, busuk hati, dan sebagainya? Tidak kah kita perhati , bahawa apa yang sesuai bagi kesamaan itu adalah hidup yang bersepadu dan berharmoni dengan mengabdikan diri kepada pencipta segala sesuatu yang satu?

“(Yang memiliki sifat-sifat yang) demikian itu ialah Allah Tuhan kamu; tidak ada Tuhan selain Dia; Pencipta segala sesuatu, maka sembahlah Dia; dan Dia adalah Pemelihara segala sesuatu.” Surah Al An’am : 102

“Dan Allah telah menciptakan semua jenis haiwan dari air, maka sebahagian dari haiwan itu ada yang berjalan di atas perutnya dan sebahagian berjalan dengan dua kaki sedang sebahagian (yang lain) berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” Surah An Nuur : 45

“Allah menciptakan segala sesuatu dan Dia memelihara segala sesuatu.” Surah Az Zummar : 62

Tangani Kes Buli Secara Berkesan

PENDEDAHAN beberapa video yang memaparkan kejadian buli di asrama pelajar menunjukkan budaya membuli di sekolah masih wujud di negara kita. Ironinya ini bukan kali pertama kita menonton video seumpama itu.

Sebelum ini pun pihak media telah mendedahkan kejadian seperti ini dan pihak berkuasa telah pun mengambil beberapa tindakan tegas namun hakikatnya perbuatan ini masih berterusan. Malah kes terbaru yang didedahkan memperlihatkan betapa perbuatan buli ini semakin serius dan membimbangkan.

Tindakan pelajar senior yang menyepak, menerajang, menumbuk dan membelasah cukup-cukup pelajar junior tanpa rasa kasihan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat. Rata-rata semua pihak yang menonton video buli yang tersebar dalam media sosial ini cukup geram dan marah dengan sikap dan perbuatan pelajar senior terbabit.

Mangsa diperlakukan sebagai hamba dan tidak dilepaskan walaupun merayu simpati. Tidak keterlaluan untuk kita melabelkan kumpulan pelajar senior ini memiliki sikap kebinatangan yang cukup melampau dan langsung tidak berperikemanusiaan. Justeru semua pihak menuntut agar pihak berkuasa menyiasat segera dan mengenalpasti semua pelaku buli terbabit seterusnya dibawa ke pengadilan.

Hal ini penting kerana kita tidak boleh bertolak ansur dengan perbuatan gila, ganas dan kejam seperti ini. Cuba kita bayangkan apa perasaan ibu bapa pelajar terbabit tatkala menonton video yang menyayat hati tentang kejadian yang menimpa anak mereka. Bagaimana pula dengan emosi dan mental mangsa itu sendiri?

Kita khuatir mangsa yang sedang menanggung malu dan juga kesakitan ini tidak mampu berfikir secara waras dan rasional serta sedang berhadapan dengan tekanan jiwa yang hebat. Akibatnya mangsa boleh bertindak di luar pemikiran yang rasional sekali gus menghancurkan masa depan malah boleh membahayakan nyawa sendiri.

Realitinya perbuatan buli bukanlah perkara baharu. Ia berlaku di semua peringkat baik di sekolah rendah, menengah mahupun di peringkat universiti dan kolej. Bezanya ialah sejauh mana ia membabitkan penderaan mental, fizikal dan didedahkan kepada umum. Ini kerana mangsa jarang tampil untuk membuat laporan kerana malu mahupun takut. Ini menyebabkan perbuatan ini masih berterusan dan tidak mampu dikekang. Ditambah pula dengan sikap pihak sekolah yang mahu menyembunyikan kes buli dari pengetahuan umum.

Oleh kerana kejadian buli semakin merisaukan adalah wajar pihak sekolah terutamanya sekolah asrama mengambil langkah proaktif untuk membendung gejala dan budaya negatif seperti ini. Dalam konteks ini kita sedar baik warden asrama mahupun pihak pengurusan sekolah tidak mampu untuk memantau setiap tingkah laku mahupun gerak geri pelajar mereka sepanjang masa apatah lagi ia berlaku dalam bilik secara senyap dan sembunyi. Justeru tidak wajar kita menyalahkan pihak warden dan sekolah sepenuhnya.

Namun pihak asrama perlu memainkan peranan yang berkesan bagi membendung kes seperti ini. Kebiasaannya pihak sekolah terutamanya warden kenal sikap dan tingkah laku para pelajar mereka kerana mempunyai hubungan yang rapat dengan pelajar. Justeru pihak warden wajar menggunakan kelebihan ini untuk memastikan kejadian buli tidak berlaku di asrama mereka.

Di samping itu, penerangan dan peringatan kepada pelajar tentang hukuman yang boleh dikenakan terhadap individu yang terlibat atau melakukan buli perlu menyeluruh dan diingatkan secara kerap terutamanya ketika pengambilan mahupun kemasukan pelajar baru.

Hukuman sedia ada juga perlu dinilai semula supaya pelajar nakal seperti ini akan takut untuk membuli junior mereka serta menjadi pengajaran dan pedoman kepada semua pelajar. Hal ini penting kerana ibu bapa sudah mula bimbang mengenangkan nasib anak-anak mereka di asrama.

Jangan terkejut andai satu hari nanti semua ibu bapa bertindak mengeluarkan anak-anak mereka dari asrama ataupun tidak mahu menghantar anak-anak mereka ke asrama kerana bimbang tentang tahap keselamatan anak mereka.

Pihak sekolah juga tidak boleh menyembunyikan kejadian buli kerana ia tidak membantu membendung budaya buli ini. Tidak perlu berasa malu untuk mendedahkan kejadian buli kerana sudah tentu ia berlaku di luar kawalan mereka. Kita pun sedia maklum bahawa tidak mungkin pihak sekolah boleh memantau 24 jam sehari.

Berdasarkan beberapa video buli yang kita tonton baru-baru ini memperlihatkan betapa pelajar yang membuli ini sedikit pun tidak rasa kasihan mahupun dapat mengawal diri mereka. Mereka bertindak seperti orang gila yang kena rasuk.

Perkara ini wajar dikaji secara mendalam. Apakah pemikiran dan emosi mereka tidak stabil dan jenis yang suka memberontak dan membalas dendam? Jika benar maka mereka sedang mengalami masalah mental yang cukup berat. Justeru mereka sebenarnya perlu dibantu dengan segera sebelum bertindak lebih teruk di luar batasan dan kawalan kita.

Pendekatan mencegah perlu diutamakan dari melakukan pembetulan mahupun hukuman kerana hukuman tidak akan menyelesaikan masalah buli ini dari berterusan.

Semoga kejadian buli seperti ini membuka mata semua pihak supaya tidak cepat melatah sebaliknya di samping mengambil tindakan ke atas pembuli yang terbabit, wajar juga mengkaji punca kejadian buli serta menghulurkan bantuan sewajarnya kepada para pembuli ini yang sebenarnya sedang ‘sakit’ secara mental, perasaan dan emosi. Mangsa pula perlu diberikan kaunseling dengan segera untuk memulihkan semangat dan motivasi mereka.

Bukan Anak Sahaja Perlu Jadi Soleh dan Solehah

BIASANYA menjelang hari ulang tahun kelahiran anak, si ibu atau bapa akan bersusah payah untuk membelikan hadiah, jika kedua-duanya daripada kalangan mereka yang berkemampuan, langsung tidak menjadi masalah tetapi bagaimana pula keadaannya jika perkara sebaliknya.

Tidak salah jika ditukar sedikit rutin sambutan iaitu bukannya kedua ibu bapa yang membelikan hadiah tetapi si anak pula yang memberikan hadiah sebagai menghargai penat lelah si ibu melahir dan membesarkan mereka.

Ibu yang mengandung dan melahirkan anaknya diibaratkan nyawanya seperti di hujung tanduk atau hanya bergantung kepada sehelai rambut kerana ujian yang dihadapinya terlalu besar dan tidak mampu ditanggung oleh mana-mana lelaki.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wanita yang meninggal kerana mengandung adalah syahid (orang yang mati syahid). – riwayat oleh Malik, Ahmad, Abu Daud dan disahkan oleh Albani.

Ibu dan bapa tidak memerlukan hadiah yang besar-besar dan berharga mahal, mungkin cukup bagi anaknya itu untuk memanjakan kedua-dua mereka pada hari keramat itu, contohnya seperti segala kerja rumah termasuk memasak, membasuh pakaian dan mengemas rumah, disempurnakan oleh si anak.

Ibu bapa pula dibenarkan untuk berehat sambil ‘bersila panggung’ tanpa melakukan sebarang kerja, cukup sekadar memantau dan mengkritik seperti apa yang sering dilakukan oleh para juri dalam rancangan realiti televisyen.

Cadangan ini langsung tidak berniat untuk mendera anak-anak tetapi lebih kepada usaha transformasi ke arah lebih baik, tidak mahukah ibu bapa untuk memiliki anak-anak soleh dan solehah atau sekurang-kurangnya lebih baik daripada sebelumnya.

Doa anak-anak soleh dan solehah adalah aset terpenting, sama ada disedari atau tidak. Ia merupakan salah satu daripada tiga talian hayat kepada ibu bapa selepas mengadap Pencipta di alam barzakh.

Ibu bapa sekurang-kurangnya mampu menghela nafas kelegaan sekiranya semasa berada di dunia mempunyai bekalan sedekah jariah dan ilmu bermanfaat. Namun sekiranya kedua-duanya itu sekadar ‘cukup makan’ pada masa inilah perlunya doa anak soleh dan solehah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak soleh yang mendoakannya.” – hadis riwayat Muslim.

Namun perlu diingatkan bahawa anak soleh dan solehah bukannya terjadi dengan sendiri, sama seperti pokok balak dalam hutan tebal yang tidak memerlukan siraman air daripada manusia untuk hidup subur, tetapi sebaliknya modal insan ini perlu ditarbiah, dididik dan ditadbir urus sebaik mungkin.

Mungkin terkesan dengan hadis berkenaan, pada masa ini seperti menjadi aliran baharu kepada ibu bapa yang berlumba-lumba menghantar anak-anak mereka ke sekolah tahfiz, sekolah agama dan pondok bagi melahirkan kumpulan anak soleh dan solehah, sekali gus mampu mendoakan mereka dan menjadi penampung kepada amalan yang dikhuatiri masih belum mencukupi semasa di alam barzakh kelak.

Situasi yang berlaku itu mungkin juga kerana ibu bapa mahu mengucapkan penghargaan kepada orang tua mereka yang berjaya mendidik mereka menjadi anak soleh dan solehah dan seterusnya mahukan nikmat itu diwarisi pula oleh penyambung warisan mereka.

Walau bagaimanapun, jangan pula keadaan sebaliknya yang berlaku iaitu hanya mengharapkan anak-anak sahaja menjadi soleh dan solehah tetapi tidak pula ibu bapa mereka berusaha untuk berjalan seiring dengan anak-anak mereka.

Perubahan dua hala amat penting, amat tidak elok sekiranya pemandangan ini berlaku iaitu semasa menghantar anak-anak ke sekolah agama, si bapa berseluar pendek yang dilengkapi dengan aksesori rantai leher dan subang di telinga manakala si ibu pula berpakaian ketat tidak menutup aurat.

Semua pihak perlu berlaku adil – anak dan ibu bapa. Wujudnya ibu bapa di muka bumi ini adalah kerana dilahir dan dibesarkan oleh orang tua mereka ini, malah ada juga sesetengah daripadanya telah meninggal dunia, juga amat memerlukan doa dan amal soleh daripada anak-anak mereka iaitu kita.

Amat tidak adil, kita mengharapkan anak-anak mendoakan kita tetapi pada masa sama tidak pula kita mendoakan kesejahteraan ibu bapa kita. Wajarkah sekiranya perkara seperti ini dibiarkan terjadi?.

Sebenarnya bukan sahaja anak soleh dan solehah mampu memberi talian hayat kepada ibu bapa mereka, malah ibu bapa yang soleh juga mampu berbuat demikian. Buktinya jelas terkandung dalam Surah al-Kahfi: 82, mengenai pengkisahan pengembaraan Nabi Musa dan Nabi Khaidir apabila Allah menyelamatkan harta anak-anak yatim yang tertanam di sebalik dinding rumah mereka yang hampir runtuh.

“Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada harta terpendam kepunyaan mereka; dan bapa mereka adalah seorang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka dewasa dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai rahmat dari Tuhanmu. Dan aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang kamu tidak bersabar atasnya”.

Ingatan juga untuk diri penulis, jangan sesekali putuskan kitaran ini. Sekiranya amalan kita, iaitu ibu bapa tidak mencapai status yang sepatutnya maka masih belum terlambat untuk belajar.

Terlalu sibuk, sudah berusia bukannya alasan terbaik, ini kerana selagi Allah masih meminjamkan nyawa kepada kita, maka selama itulah peluang untuk berubah ke arah lebih baik masih terbuka, langsung tiada tarikh tutup

Kekuatan dan Kelemahan 7 Deria Manusia

Dalam 7 kekuatan ada 7 kelemahan. Sekiranya ditutup 7 kelemahan tersebut, Insya Allah bertambahlah ilmunya, imannya, takwanya dan amalnya. Itulah 7 deria manusia.

Manusia mempunyai 7 deria iaitu kulit, mulut, hidung, dua mata dan dua telinga. Dari 7 deria inilah manusia itu mengenal nikmat Allah SWT. Manusia menggunakan 2 mata untuk melihat benda yang cantik. Menggunakan 2 telinga untuk mendengar bunyi yang merdu. Menggunakan hidung untuk mencium bau yang wangi. Menggunakan mulut untuk merasa makanan yang lazat dan menggunakan kulit untuk merasai kepanasan, kesejukan dan memegang benda-benda di dunia ini.

Sebenarnya Allah SWT memberikan manusia 7 deria tersebut agar mereka memerhatikan ciptaan alam ini agar mereka dapat mengenal Allah SWT. Firman Allah SWT “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.” (Surah ali-Imran,ayat 190-191)

Itulah kekuatan manusia, apabila mereka menggunakan 7 deria yang diberikan oleh Allah SWT kepada perkara-perkara yang baik. Mata melihat kejadian alam. Telinga mendengar ceramah agama. Hidung mencium bau yang wangi dan bernafas sambil mengingati Allah. Mulut untuk berkata-kata tentang kebesaran Allah dan membaca Al-Quran. Kulit dan anggota untuk melakukan amal-amal yang direhai Allah.

Pada masa yang sama, 7 deria manusia itulah juga kelemahannya, apabila manusia menyalahgunakan 7 deria tersebut kepada perkara-perkara yang haram dan tidak baik. Apabila mata melihat perempuan yang tidak halal, telinga mendengar umpatan dan kejian, hidung mencium dadah dan asap rokok, mulut mengata, mengeji dan mengumpat dan kulit dan anggota menyentuh perkara yang haram dan berbuat maksiat.

Itulah sebenarnya ujian kepada kita di dunia ini. Kita perlu menutup kelemahan 7 deria kita tersebut dengan bermujahadah melawan hawa nafsu kita. Lakukanlah perkara tersebut semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah SWT. Ingatkah anda kisah seorang sufi yang mempunyai seorang anak perempuan yang dikatakan cacat, buta, pekak dan bisu. Rupa-rupanya dia dikatakan cacat kerana tidak pernah menggunakan anggotanya kepada perkara yang haram. Buta kerana tidak pernah melihat yang haram. Pekak kerana tidak pernah mendengar perkara haram dan bisu kerana tidak pernah berkata perkara haram.

Itulah matlamat kita walaupun amat sukar untuk dilakukan pada akhir zaman ini. Bermujahadahlah melawan nafsu kita. Moga bertambah ilmu kita, iman kita, takwa kita dan amal kita dan semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita dan redha kepada kita.

Teknik Menghukum Anak

Masa kanak-kanak merupakan masa yang paling penting dalam proses kehidupan manusia. Masa ini merupakan tahap awal pertumbuhan seorang anak untuk menjadi manusia dewasa, apakah dia akan menjadi manusia baik atau sebaliknya, adakah dia akan jadi 'terror' atau 'terrorist'?

Mendidik anak boleh dilaksanakan dalam pelbagai cara iaitu, memberi nasihat, arahan, petunjuk, kelembutan, toleransi, penghargaan ataupun contoh teladan. Tapi kalau tak jalan juga, iaitu jenis yang tak makan saman, cara memberi hukuman dapat diterapkan.

Perlu diingat bahawa menghukum anak bukan hanya dengan memukulnya sahaja, tetapi hukuman boleh diberi dalam pelbagai cara, malahan kadang-kadang pemberian hukuman dengan cara memukul sangat tidak berkesan malah dapat menimbulkan impak yang negatif.

Di bawah ini disenaraikan cara-cara memberi hukuman sebagai pendidikan kepada anak, diulangi, sebagai pendidikan kepada anak. Teknik menghukum anak ini sebagaimana yang disarankan oleh Ustaz Mohd Zawawi Yusoh dari Universiti Islam Antarabangsa.

1. Pandangan mata yang sinis - Pandangan mata ibu bapa yang memancarkan rasa cinta dan kasih sayang dapat menanam rasa cinta dalam diri seseorang anak. Begitu juga pandangan mata yang sinis dapat menimbulkan peringatan pada si anak dan boleh membuat anak terdiam. 

2. Keluarkan suara dari tenggorok (mendengus) sebagai tanda tidak bersetuju dan peringatan kepada anak terhadap apa yang telah dan akan dilakukannya. 

3. Puji orang lain depan dia, tetapi dengan syarat untuk memberi rasa sangsi saja kepada si anak dan mendorong si anak untuk menjadi sebagus yang dipuji.

4. Buat-buat macam tak pedulikan si anak. Ini merupakan keterbalikan daripada sikap memberi perhatian yang dapat menanam rasa cinta pada diri anak. Contohnya, jika anak melakukan kesalahan dan hendak diberi hukuman, apabila si anak mengajak berbicara, maka palingkanlah wajah (konon-konon jual mahal la...) sehingga si anak menyedari kesilapannya. Dalam hal ini hendaklah dijelaskan kesalahannya dengan cepat dan tidak membiarkannya terus sebab peranan kita ialah mendidik bukan menyeksa.

5. Tidak bagi duit, tak mengajaknya berekreasi atau tidak memberikan sesuatu yang dia suka seperti basikal, bermain video game, menonton TV, berkunjung ke rumah teman, saudara atau seumpamanya.

6. Putuskan hubungan dengan anak tapi tidak lebih tiga hari dengan niat untuk menghukumnya, hubungan harus kembali seperti biasa jika anak telah mengakui kesalahannya atau menyesali perbuatannya. 

7. Beri ancaman dengan syarat ancaman tersebut tidak terlalu berat. Ancaman tersebut juga tidak boleh dilaksanakan sekiranya belum melewati tempoh yang diberikan untuk si anak mengakui dan memperbaiki kesalahannya.

8. Memulas telinga. Sebagaimana yang pernah dilakukan Rasulullah S.A.W seperti yang diriwayatkan oleh Imam Nawawi dari Abdullah bin Basr al-Mazni r.a, dia berkata : Aku telah diutuskan oleh ibu ku dengan membawa beberapa biji anggur untuk disampaikan kepada baginda, ketika aku menemui Rasulullah S.A.W, baginda memulas telinga ku sambil berkata "Wahai penipu!"

9. Memukul sebagai alternatif terakhir. Oleh itu tidak dibenarkan memukul kecuali telah dilakukan semua cara-cara mendidik dan menghukum lainnya. Memukul anak dapat dilakukan jika cara-cara yang lain tidak lagi berfungsi dan si anak telah mencapai umur, sebab anak yang belum mumaiyyiz tidak dapat membezakan yang benar atau yang salah serta tidak menyedari kesalahannya. Jika dilakukan juga dikhuatiri anak menerima impak negatif seperti tekanan jiwa/batin, terbiasa untuk memukul, rasa takut, kencing malam dan penyakit kejiwaan lainnya.

Demikian juga dilarang memukul anak di bawah umur 10 tahun, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W: Maksudnya: "Perintahlah anakmu menunaikan solat pada usia tujuh tahun, dan pukullah mereka kerana tidak melakukannya pada usia sepuluh tahun."

Fakta Sains: Haiwan Korban Tidak Sakit Semasa Disembelih

Sebuah kajian menunjukkan binatang yang disembelih secara syariat Islam tidak merasakan sakit sama sekali. 

Kajian ini dilakukan oleh dua orang kakitangan ladang dari Hannover University, sebuah Universiti terkemuka di Jerman iaitu Prof Wilhelm Schulze dan rakannya Dr. Hazim. Mereka memimpin sebuah kumpulan kajian berstruktur untuk menjawab soalan: 

Manakah yang lebih baik dan paling tidak sakit? 

1. Menyembelih secara syariat islam yang murni / menggunakan pisau tajam ? 
2. Menyembelih dengan cara barat dengan kaedah pengsan/dipukul kepalanya? 

Mereka merancang sebuah kajian dengan menggunakan sekumpulan lembu yang cukup umur (dewasa). 

Pada permukaan otak kecil lembu-lembu itu dipasang elekroda (microchip) yang disebut Electro Encephalograph (EEG). EEG dipasang dipermukaan otak yang menyentuh titik (panel) rasa sakit bagi merakam dan mencatat darjah rasa sakit ketika disembelih. 

Dijantung lembu-lembu itu juga dipasang Electro cardiograph (ECG) untuk merakam aktiviti jantung saat darah keluar kerana disembelih. 

Untuk mendapatkan data lebih tepat lembu tersebut dibiarkan menyesuaikan diri dengan EEG dan ECG yang telah dipasang di tubuhnya selama beberapa minggu. Setelah masa yang diadaptasi dianggap cukup, separuh lembu disembelih mengikut syariat islam dan selebihnya disembelih dengan menggunakan kaedah mesin yang digunakan oleh pihak barat. 

Dalam syariat islam penyembelihan dilakukan dengan pisau yang tajam dengan memotong 3 saluran pada leher iaitu: saluran makan, saluran pernafasan serta dua saluran pembuluh darah iaitu arteri karotid dan urat jugular. 

Syariat Islam tidak mengesyorkan kaedah mesin iaitu dengan cara memastikan lembu tersebut pengsan terlebih dahulu sebelum disembelih. 

Dari hasil kajian prof Schultz dan Dr Hazim di Hannover University Jerman dapat diperoleh kesimpulan bahawa: 

Penyembelihan menurut syariat islam/menggunakan pisau tajam menunjukan: 

Pertama: Pada 3 saat pertama selepas ternakan disembelih (dan ketiga saluran pada leher lembu bahagian depan terputus) tercatat tidak ada perubahan pada graf EEG, hal ini bermakna pada 3 saat pertama selepas disembelih tidak ada indikasi rasa sakit.

Kedua: pada 3 saat berikutnya, EEG pada otak kecil merakam adanya penurunan grafik secara beransur-ansur yang sangat mirip dengan kejadian deep sleep (tidur nyenyak), sehingga lembu-lembu tidak dalam keadaan sedar. Pada masa tersebut tercatat pula ECG bahawa jantung mula meningkatkan aktivitinya. 

Ketiga: Setelah 6 saat pertama ECG pada jantung merakam adanya aktiviti luar biasa dari jantung untuk menarik sebanyak mungkin darah dari seluruh anggota badan dan mengepamnya keluar. 

Hal ini merupakan refleksi gerakan koordinasi antara jantung dan saraf tunjang (spinal cord). Ketika darah keluar melalui ketiga saluran yg terputus di bahagian leher, grafik EEG tidak naik tetapi turun kepada zero level (angka sifar). Hal ini diterjemah oleh kedua-dua pengkaji tersebut "No Feeling of pain at all!" (Tidak ada rasa sakit sama sekali) 

Keempat: Oleh kerana darah tertarik dan dipam oleh jantung keluar tubuh secara maksimum, maka dihasilkan "healthy meat" (daging yang sihat) 

Jenis daging dari hasil sembelih sangat menepati prinsip Good Manufacturing Practise (GMP) yang menghasilkan Healthy Food!

Secara pengsan/ dibius / disetrum / dipukul kepalanya dengan Barat: 

Pertama: Setelah dilakukan proses Stunning (pengsan), lembu terhuyung jatuh & collaps (roboh), selepas itu lembu tidak bergerak lagi, sehingga mudah dikendalikan, Oleh kerana itu lembu dengan mudah disembelih tanpa meronta-ronta dan seolah-olah tanpa mengalami rasa sakit. Pada saat disembelih darah yang keluar hanya sedikit tidak sebanyak bila disembelih tanpa proses stunning.

Kedua: selepas lembu pengsan, tercatat adanya kenaikan yang sangat ketara pada grafik EEG. Ini menunjukkan adanya tekanan rasa sakit oleh ternakan (kerana kepalanya dipukul sehingga jatuh pengsan) 

Alatan yang digunakan: Setrum, bius, mahupun dengan cara yang mereka anggap paling baik memukul bahagian tertentu di kepala ternakan dengan alat tertentu. Alat yang digunakan adalah Captive Bolt Pistol (CBV) 

Ketiga: Grafik EEG meningkat dengan gabungan grafik ECG yang jatuh kepada aras paling bawah dan akibatnya jantung kehilangan keupayaan untuk menarik darah dari seluruh organ tubuh serta tidak lagi mampu mengepam keluar dari tubuh. 

Keempat: Kerana darah tidak tertarik dan tidak dipam keluar tubuh secara maksimum, maka darah itupun membeku di dalam urat/saluran darah dalam daging sehingga menghasilkan "unhealthy meat" (daging yang tidak sihat) dan tidak sesuai untuk dijadikan makanan. 

Timbunan darah beku yang tidak keluar apabila ternakan mati/disembelih merupakan tempat atau medium yang sangat baik bagi bakteria pengurai bertumbuh yang boleh merosakkan kualiti daging. 

Meronta-ronta dan otot tegang ketika ternakan disembelih bukannya ekspresi rasa sakit. Sangat jauh berbeza dengan dugaan kita sebelumnya. Bahkan mungkin sudah lazim menjadi keyakinan kita bersama, bahawa setiap darah yang keluar dari anggota tubuh yang terluka pastilah disertai rasa sakit & sakit, terlebih lagi yang terluka adalah leher dengan luka terbuka.

Hasil kajian Prof Schultz dan Dr Hazim membuktikan sebaliknya. Yakni pisau tajam yang menghiris leher (mengikut syariat Islam dalam penyembelihan ternakan) ternyata tidaklah "menyentuh" saraf rasa sakit. 

Oleh kerana itu, keduanya membuat kesimpulan bahawa lembu meronta-ronta bukanlah sebagai ekpresi rasa sakit melainkan sebagai ekpresi 'keterkejutan otot dan saraf' saja (iaitu pada saat darah mengalir keluar dengan deras), mengapa demikian? Hal ini tentulah tidak terlalu sukar untuk dijelaskan kerana EEG tidak dapat membuktikan dan juga tidak menunjukan adanya rasa sakit. 

Jelas bukan, bahawa secara ilmiah jelas menunjukkan penyembelihan secara syariat Islam lebih maslahat. Apalagi kita dianjurkan untuk menajamkan pisau untuk mengurangkan rasa sakit haiwan semasa proses sembelihan. 

Sabda Nabi "Sesungguhnya Allah menetapkan ihsan (kebaikan) pada segala sesuatu. Maka jika kalian membunuh hendaklah kalian berbuat ihsan dalam membunuh, dan apabila kalian menyembelih maka hendaklah berbuat ihsan dalam menyembelih. (Iaitu) hendaklah salah seorang dari kalian menajamkan pisaunya agar meringankan binatang yang disembelih. ". 

Orang Hebat Tidak Abai Masa

Hidup dimanfaatkan dengan mencari pahala sebanyak mungkin

“Manusia itu tidur lena, apabila kematian tiba baru dia terjaga daripada tidurnya. Demikianlah orang yang tidak mengingati mati itu sentiasa dalam keadaan lalai atau bagaikan orang yang tertidur dan akan terkejut bila kematian datang secara mendadak.”

Titipan pesanan Saidina Ali Abi Talib ini sungguh mendalam dan tersirat maknanya. Rupa-rupanya apabila seseorang itu mati kelak, barulah hakikat kehidupan ini tersingkap sejelas-jelasnya. Ketika itu barulah si mati dapat ‘melihat’ hidup dengan jelas dan tepat.

Ironinya, saban hari bangun dari tidur, doa di panjangkan tanda syukur dikurnia sehari lagi usia. Diberi usia bererti dikurnia peluang, kesempatan dan harapan. Bagi yang taat, hidup adalah peluang, kesempatan dan harapan untuk mencambah lebih banyak ketaatan. Meminjam semangat hukama “Buat baik sehingga letih buat maksiat”. Sesungguhnya berbuat baik itu tiada penghujung.

Peluang bertaubat

Bagi mereka suka melakukan maksiat, kesempatan hidup sebagai peluang untuk mengaku kesalahan dan bertaubat. Allah terus beri hidup pada yang berdosa, bukan untuk menambah dosa, tapi hakikatnya itulah peluang untuk bertaubat dari dosa yang dilakukan.

Maha Suci Allah, usia yang Allah berikan pada kita sebenarnya satu rahmah bukan saja pada mereka yang taat, tetapi juga buat mereka yang dalam maksiat.

Al-Quran menerusi Surah Al-Hajj ayat 47 Allah berfirman mafhum-Nya “Dan mereka meminta kepadamu (wahai Muhammad) menyegerakan kedatangan azab, pada hal Allah tidak sekali-kali akan memungkiri janji-Nya; dan (katakanlah kepada mereka): sesungguhnya satu hari dari hari-hari azab di sisi Tuhanmu adalah menyamai seribu tahun dari yang kamu hitung.”

Sebagai perbandingan, satu hari di akhirat adalah bersamaan dengan 1000 tahun di dunia. Ini bermakna jika usia kita seperti junjungan mulia Nabi Muhammad SAW iaitu 63 tahun, maka ia bersamaan dengan satu jam setengah saja hidup di akhirat.

Dengan pengiraan ringkas itu terasa hidup ini terlalu singkat. Allah mengingatkan kita menerusi Surah Yunus ayat 45 mafhum-Nya “Dan (ingatlah) masa Tuhan himpunkan mereka (pada hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat saja dari siang hari.

Kertas ujian milik Allah ini miliki soalan yang berbeza. Ada kertas ujian kesakitan, kaya, miskin, lambat jodoh, suami atau isteri curang dan sebagainya. Masa yang diperuntukkan juga berbeza antara seorang dengan yang lain. Panjang atau singkatnya masa ujian, sukar mahupun mudah kertas ujian yang diberikan manfaatkan sebaiknya untuk berjaya dengan cemerlang.

Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima balasan, dan yang tidak mendapat petunjuk (ke jalan mencari untung semasa hidup di dunia).”

Sungguh tepat seperti yang dinukilkan Imam asy-Shafie mengenai keanehan melihat masa yang berlalu terlalu laju tetapi lebih aneh lagi melihat manusia yang lalai.

Melihat kepada kehidupan, ia umpama memasuki dewan peperiksaan. Segala macam perasaan hadir sebelum, semasa dan selepas peperiksaan berlangsung. Rasa gusar berbaur resah bercampur gentar menjadikan diri terus waspada, hati-hati dan sifat mencuba yang tidak pernah kenal erti kalah dan mengalah hadir dengan latih tubi yang jitu dan padu.

Dengan hanya berbekalkan satu jam setengah segala usaha dicurah untuk menjawab soalan yang datang daripada Allah berupa ujian kehidupan.

Hanya yang membezakan adalah kertas soalan peperiksaan di dewan peperiksaan adalah sama untuk semua calon peperiksaan dengan peruntukan masa yang sama dan ditetapkan.

Kertas ujian milik Allah ini miliki soalan yang berbeza. Ada kertas ujian kesakitan, kaya, miskin, lambat jodoh, suami atau isteri curang dan sebagainya.

Masa yang diperuntukkan juga berbeza antara seorang dengan yang lain. Panjang atau singkatnya masa ujian, sukar mahupun mudah kertas ujian yang diberikan manfaatkan sebaiknya untuk berjaya dengan cemerlang.

Kesal masa diisi dengan dosa

Imam Al-Ghazali menerusi Ihya’ ‘Ulumiddin menyatakan bahawa ada orang yang menyesal bukan saja kerana masa itu diisi dengan dosa, tetapi masa yang tidak diisi dengan apa-apa pun bakal menjadi penyesalan yang amat sangat.

Dibayangkan umpama kotak masa yang akan hadir ketika di Padang Mahsyar. Apabila kita membuka kotak masa yang pertama penuh dengan pahala.

Alhamdulillah, pastinya kita yang diidam dan didambakan membuat hati menjadi lapang. Akan menjadi dukacita, jika satu kotak yang hadir penuh dengan dosa kita. Nauzubillahi min zaalik, sudah pasti kita akan menyesal tidak terhingga.

Dan bayangkan, jika satu lagi kotak adalah kotak kosong, itu pun menurut Imam Al-Ghazali akan dikesalkan oleh kita.

“Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu), “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”. (Surah as-Sajadah ayat 12). 

Penyesalan yang amat besar bagi penghuni akhirat sehinggakan jika di beri peluang dan ruang untuk kembali ke dunia mereka akan manfaatkannya walau berkesempatan untuk mengungkapkan Subhanallah.

Di akhirat kelak kita akan diperlihatkan kehebatan Subhanallah saja sudah sebesar Bukit Uhud. Dan jika kita mampu melihat kehebatan itu sekarang sudah pasti bibir kita tidak lekang dari bertasbih tanpa ada sesaat pun yang akan dibazirkan.

Orang tua berpesan, menyesal dulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna. Keyakinan pada waktu itu sudah terlambat dan tidak memberi apa-apa kesan kerana sesungguhnya nikmat hidup hanya akan dinikmati apabila kita mati kelak.

Jadi bersiaplah untuk akhirat kita ketika di dunia ini. Hidup di dunia untuk akhirat.

Hukama mengatakan perjalanan menuju kematian bermula sebaik saja kita dilahirkan. Hari ini dan hari seterusnya hanya sisa umur saja. Manfaatkan sisa umur kita bukan sekadar kerja keras tetapi kerja cerdas. Wujudkan kesedaran untuk kita manfaatkan masa yang bersisa dengan memanjangkan amal kita dari modal usia yang Allah berikan seoptimumnya.

Ingatlah, orang yang hebat dalam masa satu jam dia dapat menghasilkan banyak pahala, tetapi orang yang malang dalam kehidupan yang panjang sedikit pahala pun tidak diperoleh kerana sifat yang di namakan lalai. Moga kita semua terhindar dari sifat lalai ini. InsyaAllah.

KEGIGIHAN IBNU MAS’UD DALAM BELAJAR

ADALAH seorang sahabat Nabi yang terkenal sangat alim ialah Abdullah bin Mas;ud. Beliau termasuk dalam kumpulan orang-orang yang pertama memeluk Islam di Mekah.Perawakan Ibnu Mas'ud kurus dan pendek. Namun ilmu beliau terkenal sangat tinggi dan luas. Beliau menguasai pelbagai ilmu terutama yang berkaitan dengan al-Quran.

Keilmuan beliau diiktiraf oleh Rasulullah SAW apabila baginda bersabda yang bermaksud: Ambillah al-Quran daripada empat orang: Ibnu Mas'ud, Ubay, Salim Maula Huzaifah dan Muadz bin Jabal. (riwayat al-Bukhari)

Justeru, selepas kewafatan Nabi SAW, Ibnu Mas'ud menjadi seorang tokoh ilmuwan yang sangat besar. Muridnya sangat ramai dan berasal daripada pelbagai pelosok negeri.Meski pun sangat pakar dalam pelbagai ilmu, namun Ibnu Mas'ud tidak pernah berasa cukup. Sebolehnya beliau ingin terus belajar dan mempertingkatkan ilmunya.

Ibnu Mas'ud pernah berkata: Demi Allah Yang Tidak ada tuhan selain-Nya, tidaklah turun satu surah daripada al-Quran melainkan aku mengetahui di mana ia turun dan tentang perkara apakah ia diturunkan. Jika aku mengetahui seseorang yang lebih menguasai ilmu al-Quran daripada diriku dan negeri beliau boleh dicapai oleh unta, nescaya aku pasti mendatanginya. (riwayat al-Bukhari)

Amanah seorang tokoh

Sikap Ibnu Mas'ud ini memberi teladan kepada setiap orang yang bergelar tokoh ikutan. Tidak kira sama ada tokoh agama ataupun sebagainya. Seorang tokoh mesti selalu berusaha mempertingkatkan ilmunya.

Seorang tokoh tidak boleh berhenti belajar. Walau sesibuk manapun, ia mesti meluangkan sedikit masa untuk menuntut ilmu. Sebab apabila ia berhenti belajar, pada saat itulah kejahilan menutupi hatinya.

Seorang tokoh yang jahil tidak hanya merosak diri sendiri malah turut merosak ramai manusia. Terutama apabila ia seorang tokoh berkarisma yang memiliki pengikut fanatik. Ucapan dan perilakunya akan tetap dipertahankan walau salah di sisi agama sekalipun.

Menurut Al-Hafiz Ibnu Abdil Bar, seorang tokoh ikutan ibarat bahtera yang tengah berlayar. Jika ia terkandas, maka seluruh penumpangnya ikut tenggelam bersamanya.

Oleh kerana itu, tidak hairan apabila para ulama dalam kalangan salafus soleh selalu berhati-hati. Mereka sangat menjaga ucapan dan perilaku mereka, terutama apabila di hadapan orang ramai.

Berkata Imam Abdurahman bin 'Amr Al-Awza'i, seorang ulama mujtahid ikutan ahli Syam satu ketika dahulu: ?Sebelum ini kami boleh tertawa dan bermain-main. Namun setelah menjadi tokoh ikutan, kami mesti selalu berhati-hati.” (Al-Bidayah wan-Nihayah)

Apabila satu hari nanti Allah SWT menjadikan kita seorang tokoh ikutan, sedarilah amanat besar ini. Semakin besar ketokohan seseorang di tengah masyarakat, semakin berat amanah yang menjadi tanggungannya.

Justeru, jangan pernah berhenti belajar. Sebab hanya ilmu yang dapat memastikan kelurusan ucapan dan perilaku kita.

Cukur Jambul Antara Adat, Sunnah Rasulullah s.a.w

CUKUR jambul adalah adat unik masyarakat Melayu bagi menyambut kehadiran cahaya mata baru dalam keluarga.Sambil para hadirin berselawat dan berzanji, bayi didukung oleh bapa atau datuknya kemudian hadirin bergilir-gilir menggunting sedikit rambut bayi.

Bagaimanapun satu persoalan timbul; sejauh manakah adat yang diwarisi sejak turun temurun oleh masyarakat Melayu di negara ini selari dengan syariat Islam?

Berdasarkan pemerhatian, adat itu pada asasnya tidak bertentangan dengan syariat Islam, namun tindakan masyarakat yang menokok tambah perkara lain serta tidak melakukan amalan itu berdasarkan syariat Islam sebenarnya membuatkan hukum majlis cukur jambul ada yang menyalahi ajaran Islam.

Dalam Islam, mencukur rambut bayi yang baru lahir disebut oleh Rasulullah S.A.W melalui sabdanya : “Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama”.

MENCUKUR RAMBUT

Menjelas perkara ini penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus berkata bagi memastikan majlis itu menepati sunnah Rasullulah, rambut bayi yang baru lahir itu perlu dicukur semua.

“Memang tidak cukur masa majlis itu, kalau cukur masa itu berdarah kepala budak, guntinglah sedikit-sedikit… lepas orang balik cukur semua rambut jadilah ia sunnah”, katanya.

Namun apa yang menjadikan amalan itu bukan sunnah apabila rambut bayi itu tidak dicukur sepenuhnya selepas majlis itu dan tiada pahala diperoleh daripada hanya mengunting sedikit rambut bayi yang baru lahir itu.

Menurut Ustaz Azhar Idrus lagi, sebaiknya rambut bayi yang dicukur itu ditimbang dan jumlah berat timbangan itu disamakan dengan harga emas atau perak.

“Jumlah berat rambut itu sekian sekian gram kemudian kita tengok emas atau perak berapa harganya ikut gram rambut itu, jumlahnya itu kita sedekah kepada yang memerlukan”, katanya.

Beliau berkata mencukur rambut bayi yang baru lahir adalah amalan yang baik bagi membolehkan rambut bayi yang lebih sihat dan lebat tumbuh.

Islam menggalakkan amalan mencukur rambut bayi sehingga botak supaya segala kekotoran yang keluar dari rahim dapat dibuang dan membolehkan rambut baru tumbuh dengan sihat.

AMALAN BIDAAH

Bagi Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz, yang juga bekas Pegawai Agama Istana Negara, terdapat banyak perkara yang membuatkan adat cukur jambul dilakukan masyarakat Melayu bertentangan dengan sunnah mencukur rambut yang dituntut Rasulullah S.A.W. antaranya penggunaan buah kelapa.

“Mengikut sesetengah pendapat amalan cukur jambul seperti menggunakan buah kelapa adalah tradisi dan kepercayaan masyarakat India. Soalnya, kenapa guna buah kelapa? Apakah relevan amalan sebegini dengan masyarakat Islam?”, tanya beliau.

Beliau berkata majlis cukur rambut tidak wajib disertakan dengan marhaban atau berzanji memadai dengan bersyukur sahaja melainkan jika diadakan akikah bolehlah diadakan jamuanNamun disebabkan rasa gembira menerima cahaya mata baru, masyarakat mengadakan majlis itu secara besar-besaran hingga menampakkan unsur-unsur kemewahan.

“Perbuatan ini (mengadakan majlis) tidak menjadi kesalahan asalkan niat dan tujuan diadakan adalah ikhlas kerana Allah. Cuma dibimbangi sekiranya ia bertukar menjadi riak maka ia menjadi satu kesalahan”, katanya.

Beliau menegaskan bayi yang baru dilahirkan seharusnya tidak didedahkan dengan perkara khurafat dan bidaah sejak masih kecil supaya mampu membesar menjadi orang yang berguna kelak.

ADAT SELARI SYARIAT ISLAM

Masyarakat kita sekarang semakin bijak kerana tahap pendidikan yang lebih baik berbanding dahulu membolehkan kita memikirkan apa yang baik dan apa yang buruk… ditambah dengan kemudahan internet dan maklumat di hujung jari kita boleh tahu sendiri apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.

Mengambil contoh penggunaan buah kelapa dalam adat itu, sekitar tahun 70-an dahulu buah kelapa yang ditebuk dan diukir perlu ada dalam adat itu, malah rambut bayi yang digunting itu dimasukkan ke dalam buah kelapa dan kemudian ditanam.

Begitu juga dengan pulut kuning atau nasi kunyit yang dahulunya sesuatu yang wajib untuk majlis cukur jambul atas pelbagai kepercayaan, tetapi kini hanya dihidangkan sebagai satu daripada sajian biasa tanpa apa-apa kepercayaan untuk para hadirin pada majlis itu.

Sekarang amalan bidaan dalam majlis cukur jambul semakin berkurangan kerana masyarakat semakin mengetahui apa yang perlu, tidak perlu dan salah dilakukan berdasarkan syariat Islam.

Tetapi air kelapa dan minyak kelapa itu ada digunakan lagi bila hendak menggunting dan mencukur rambut bayi itu, bukan kerana kepercayaan apa-apa tetapi khasiat bahan itu kurangkan gatal atau pedih selepas rambut dicukur dan membantu percepatkan pertumbuhan rambut baru.

Mengenai keperluan menganjurkan majlis cukur jambul,penganjuran majlis itu tidak wajib, cukuplah dengan mencukur rambut bayi itu mengikut sunnah Rasulullah dan penganjuran majlis itu bergantung kepada kemampuan keluarga itu sendiri.

Adat mencukur jambul itu sebagai satu cara yang amat baik memperkenalkan cahaya mata baru kepada seluruh anggota keluarga terutama yang tinggal jauh di perantauan.Cara ini dapat meningkatkan kemesraan antara keluarga di samping mendekatkan hubungan antara anggota keluarga daripada usia muda mereka, selain itu ia boleh mengeratkan lagi hubungan keluarga kita dengan masyarakat setempat.

PETUA HILANGKAN GASTRIK

Gastrik ni disebabkan perut kita terlalu berasid.Jadi untuk neutralkan asid,kita perlu cari makanan yang bersifat sedikit alkali.4 makanan yang membantu mengurangkan sakit gastrik anda, termasuk:

1) Pisang

Pisang tinggi kandungan potassium dan mempunyai nilai pH yang tinggi.

Pisang juga mempunyai komponen yang membantu dinding perut untuk menghasilkan lebih banyak mukus. Mukus ini melindungi dinding dalam perut dan mengurangkan kerosakan dalam perut yang disebabkan oleh asid gastrik

Pisang yang terlebih masak mempunyai nilai pH yang lebih tinggi. pH yang tinggi bermaksud ia bersifat alkali. Boleh lah anda cuba pisang yang sedikit kehitaman untuk kurangkan sakit gastrik

2) Susu sejuk

Susu adalah tinggi kandungan kalsium.Kalsium membantu mengelakkan pembinaan asid dan menyerap lebihan asid yang tidak diperlukan.susu bantu hilangkan atasi gastrik sakit perut

Susu sejuk pula membantu melegakan sedikit rasa perit gastrik.Boleh lah buat banana milk shakes untuk legakan gastrik

3) Bunga cengkih

Bunga cengkih adalah untuk digigit semasa gastrik.

Bunga cengkih membantu melancarkan perjalanan makanan ke arah perut dan meningkatkan penghasilan air liur. Air liur akan membantu proses penghadaman.bunga cengkih hilangkan atasi gastrik sakit perut.

Jika anda gastrik, gigit satu bunga cengkih, dan biarkan kejap dalam mulut. Ia akan membantu mengurangkan keasidan perut dan memberi sedikit kelegaan.

4) Halia

Halia membantu penghasilan mukus yang membantu mengurangkan keasidan perut. Kunyah halia atau rebus halia dalam air, dan minum air halia untuk kelegaan gastrik.

TELADANI HEBATNYA PEMUDA TERDAHULU

SEJARAH menyaksikan kebangkitan Islam dan kekuatan ummah apabila meletakkan barisan pemuda di hadapan.Golongan ini mempunyai kekuatan fizikal dan mental, ketinggian semangat, dan mempunyai cita-cita dan idealisme.

Runtuhnya zaman jahiliah pada zaman Nabi Muhammad SAW hasil sokongan padu golongan pemuda yang menyahut seruan dakwah Baginda SAW. Kejayaan ini dapat dilihat di awal kebangkitan Islam di Makkah.

Utuhnya benteng negara

Pemuda adalah kelompok yang terbesar dalam menerima dakwah Nabi Muhammad SAW dan disayangi Baginda SAW. Nabi SAW dilantik menjadi rasul dan nabi ketika berumur 40 tahun, iaitu puncak kematangan umur seorang pemuda.

Semasa di Makkah, Baginda SAW dikelilingi orang muda yang tidak berbelah bagi dalam memberi sokongan kepada Baginda SAW.Rakan terdekat dengan Nabi Muhammad SAW, Abu Bakar berusia 38 tahun, Saidina Umar ketika memeluk Islam berumur 27 tahun, Talhah bin Ubaidillah berusia 16 tahun, Mus’ab bin Umair berusia seawal 20an. Manakala al-Arqam bin Abi Arqam berumur 16 tahun. Begitulah juga sebahagian besar nama besar sahabat yang lain adalah pejuang muda yang hidup dengan penuh suka dan duka bersama Nabi Muhammad SAW, seperti Ali Bin Abi Talib Ammar bin Yassir dan Khabab al-Arrat.

Golongan muda ini berhadapan dengan Abu Jahal, Abu Lahab, Abu Suffian bin Harb, Umayyah bin Khalaf, Syaibah bin Rabiah dan lain-lain adalah golongan tua yang angkuh dan sombong yang menjadi pemimpin Makkah. Usamah bin Zaid juga antara panglima muda dalam usia 20-an diberi kepercayaan memimpin angkatan tentera Islam bersama sahabat yang lebih dewasa.

Keadaan yang sama juga berlaku di Madinah. Golongan pemuda jugalah yang membela Nabi Muhammad SAW dan Islam.

Merekalah yang membawa panji Islam dalam medan peperangan. Antaranya dalam perang Badar al-Kubra yang berlaku pada 17 Ramadan tahun ke-2H, Saidina Ali, Ubaidah al-Harith dan lain-lain. Abu Jahal (Firaun umat Muhammad SAW) tewas di tangan anak muda Abdullah bin Mas’ud.

Begitu juga dalam perang Uhud, anak muda Anas bin Nadhar sanggup menjadi dirinya sebagai perisai untuk menyelamatkan diri Baginda SAW. Beliau syahid dengan 80 tikaman di seluruh badannya.

Di tengah-tengah Nabi Muhammad SAW terkepung, muncul Abu Dujanah yang menyelamatkan Baginda SAW dan akhirnya beliau syahid di kaki Baginda SAW.

Kemuncak kemenangan Islam

Pada zaman Khulafa al-Rasyidin keperkasaan pemuda semakin terserlah apabila berhadapan dengan ancaman kuasa besar Rom di Balqa, peperangan ar-Riddah.

Demikian juga apabila Islam berjaya menguasai 2/3 dunia dan tersebarnya Islam ke mata dunia pada zaman Umar al-Khattab adalah hasil tangan orang muda sehingga Islam menjadi kuasa besar dunia, disegani kawan dan lawan.

Sejarah yang sama turut berulang pada zaman kegemilangan empayar Islam Turki, seorang pemuda yang berusia 23 tahun, Sultan Muhammad al-Fateh berjaya menawan Kota Konstantinopel.

Kekuatan, kejayaan dan keagungan umat terdahulu adalah disebabkan tenaga pemuda yang membarisi barisan hadapan, menjadi tonggak kekuatan negara dan menjadi generasi harapan.

Semua ini bertitik tolak daripada pemantapan akidah yang jitu dan amalan syariat yang konsisten.

Pemuda hari ini?

Zaman remaja adalah zaman penilaian diri, penentuan identiti dan tempoh pembentukan diri. Ini bermakna jika tersilap langkah, masa depan mereka terlalu sukar untuk dibentuk.

Justeru, pemuda hari ini perlu dipupuk potensi dan kekuatan dan kecemerlangan diri agar terarah mengikut apa yang disyariatkan Islam.

Menurut Abd Qadir Awdah daripada Mesir, di sana umat Islam yang benar-benar memahami dan menghayati agama hanya 20 peratus selebihnya buta  mengenai Islam.

Prof Hamka juga menyatakan di Indonesia yang mempunyai umat Islam paling ramai hanya 15 peratus dalam kalangan rakyat benar-benar berpegang kepada nilai Islam, manakala sebanyak 85 peratus perlu diislamkan.

Tidak hairanlah pemuda kini dilanda penyakit tegar yang sukar diubat, apatah lagi untuk dirawat. Penyakit daripada dalaman dan luaran yang sukar untuk dikawal.

Pemimpin, pemerintah dan ibu bapa hari ini mencari-cari apakah vaksin terbaik bagi mengembalikan pemuda hari ini kepada landasan yang sebenar.

Dalam analisa terhadap faktor kekuatan umat silam, Sayid Qutb merumuskan roh al-Islam (The Spirit of Islam) adalah jawapan yang tepat kepada persoalan ini.

Roh al-Islam adalah kekuatan yang tercetus dalam diri seseorang mukmin, yang hati nurani, akal, budi dan seluruh peribadinya sudah diwarnai dan diresapi oleh ajaran Ilahi.

Sehinggalah segala tindak tanduknya dikendalikan oleh iman dan takwa yang melahirkan sifat keikhlasan, ketulusan, dan sanggup berkorban demi agama.

Dengan kekuatan roh inilah Bilal bin Rabah menjalani derita seksaan Quraisy, kekuatan inilah yang mencetuskan kecekalan hati pemuda Ali bin Abi Talib yang sanggup menerima pelawaan Nabi SAW sekalipun nyawa menjadi taruhan. Kekuatan inilah juga yang menjadi faktor kemenangan tentera Islam di medan Badar, bilangan 300 berhadapan dengan 1000 tentera kuffar.

Keagungan roh al-Islam juga dapat dilihat dalam peristiwa pemecatan Khalid bin al-Walid oleh Khalifah Umar al-Khattab. Khalid al-Walid adalah panglima berjasa yang tidak pernah tewas dalam mana-mana peperangan, panglima yang belum ada tandingan dalam sejarah yang menjadi harapan kepada seluruh umat Islam.

Di saat beliau berhempas pulas bertarung nyawa demi mempertahankan Islam beliau diarahkan oleh khalifah agar meletakkan jawatan. Hati mana yang tidak terguris, perasaan mana yang tidak tercalar.

Namun, peristiwa ini sedikit pun tidak menjejas perasaan Khalid al-Walid, beliau tidak pernah meratapi ke atas pangkatnya yang digugurkan, malah kepatuhannya penghormatan kepada Khalifah Umar al-Khattab semakin tinggi.

Semua pihak menerima tindakan ini dengan tenang di atas dasar semangat ketakwaan dan keimanan kepada-Nya semata-mata untuk mendapat ibtigha mardhatillah.

Manusia yang dilahirkan ke muka bumi ALLAH ini secara fitrahnya memerlukan kepada Pencipta yang memberi pedoman, batasan, amaran, prinsip, peringatan dan lain-lain untuk ditaati dan dipatuhi.

Tanpa dua sifat ini, iaitu taat dan patuh manusia tidak lagi berada dalam keadaan fitrah dan juga menjadikan manusia bersifat teratur dan tertib dalam pengurusan diri dan sistem kehidupan seluruhnya.

Pemuda hari ini perlu dibimbing dengan kehidupan yang terarah agar mampu untuk  memimpin diri dan orang lain.

Tanggungjawab rohaniyah perlu dibangunkan dalam diri mereka yang akan memberi kesan yang amat luar biasa. Pemuda mampu berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan.

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga