Hukum Merancang Keluarga


Apakah yang dimaksudkan dengan ungkapan merancang keluarga seperti yang tertera di atas? Ungkapan ini yang lazimnya lahir dari bibir-bibir pasangan suami isteri khususnya yang baru mendirikan rumahtangga secara realitinya merujuk kepada perancangan untuk mendapatkan zuriat bagi pasangan tersebut yang meliputi perancangan dari segi jarak kelahiran dan juga bilangan zuriat yang ingin ditimang oleh pasangan masing-masing.

Sebenarnya isu merancang keluarga ini mula berkembang di dalam arus masyarakat pada semester pertama dari kurun ke-20 selepas berlakunya perang dunia ke 2. Antara faktor utama berlakunya isu yang dinukilkan ini ialah faktor kesihatan dan juga ekonomi. 

Jika kita lihat dari faktor kesihatan apabila seseorang wanita yang sedikit berumur berkahwin dia mesti mengimpikan untuk menimang cahaya mata sebanyak mungkin sebelum sampai tempoh yang tidak sesuai lagi baginya untuk melahirkan anak. Di dalam tempoh tersebut dia akan berusaha untuk melalui proses kelahiran secara berturut-turut. Hal ini akan mengakibatkan lahirnya anak-anak yang lemah disebabkan terputusnya sumber susu ibu selepas melalui proses kehamilan yang baru. Perkara ini akan mendorong kepada perlunya amalan perancangan keluarga untuk menjarakkan tempoh kehamilan ibu tersebut dengan mempraktikkan kaedah-kaedah mencegah kehamilan seperti memakai kondom dan juga pengambilan ubat-ubatan yang khusus. 

Jika dilihat dari segi ekonomi pula ketidaksamaan yang ketara di antara kadar pertumbuhan penduduk dengan kadar pertumbuhan ekonomi yang menyaksikan kadar pertumbuhan penduduk ini telah melebihi jangkaan realiti pemikiran kita.

Kadar pertumbuhan penduduk yang meningkat secara mendadak ini juga mendorong kepada perlunya aktiviti menghadkan bilangan zuriat dengan mengamalkan kaedah-kaedah untuk mencegah kehamilan seperti sterilisasi (bebas dari persenyawaan benih) yang dilakukan pada awal proses pernikahan atau selepas berlakunya proses kelahiran yang pertama atau kedua. Kemajuan di dalam bidang perubatan dalam menyelesaikan masalah pasangan yang mandul dan kewujudan proses-proses yang boleh melewatkan kematian juga antara faktor yang meningkatkan kadar pertumbuhan penduduk dunia sehingga mencapai ke suatu kadar yang tidak logik akal untuk difikirkannya.

Ahli-ahli Feqah kontemporari bersepakat dibolehkan aktiviti merancang keluarga ini sama ada dari segi penentuan jarak kelahiran atau penentuan bilangan zuriat jika bertepatan dengan maslahah perubatan yang telah ditetapkan bagi menghindari wanita itu dari sebarang kemudharatan atau kebinasaan hasil dari kehamilan yang berturut2 itu. Ini juga bertepatan dengan dalil Al-Quran yang berbunyi :

janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan. 

Ahli-ahli Feqah ini juga bersepakat haramnya aktiviti merancang keluarga ini jika berlaku di dalam 3 keadaan berikut. 

Pertama : Aktiviti perancangan keluarga itu merupakan satu ketetapan dari pihak kerajaan ataupun satu aktiviti yang lazim bagi masyarakat sesuatu negara tersebut. Ini kerana ianya menyalahi kebebasan dan hak asasi manusia. Perbuatan membunuh janin di dalam rahim ketika berlakunya kehamilan bukanlah satu undang-undang perancangan keluarga dan perbuatan ini menyerupai perbuatan Firaun yang melarang kelahiran bayi lelaki dari Bani Israel kerana ditakuti akan berkuasa suatu hari nanti. 

Kedua : Aktiviti perancangan keluarga itu dilakukan melalui cara yang dilarang oleh syarak seperti membunuh atau pengguguran yang diharamkan berpandukan dalil Al-Quran yang berbunyi :

Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. 

Ketiga : Jika aktiviti perancangan keluarga tersebut dilakukan kerana takut terputus atau tiada sumber rezeki. Hal ini bersalahan dengan akidah umat Islam berdasarkan dalil Al-Quran yang berbunyi :

Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan. Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. 

Tetapi bagaimana pula hukumnya jika aktiviti perancangan keluarga itu merupakan pilihan dan kehendak seseorang individu dan dilakukan melalui cara yang dibenarkan tanpa melibatkan pembunuhan atau juga pengguguran. Maka di dalam hal ini Ahli-ahli Feqah masa kini berselisih kepada 3 pendapat berikut :

PENDAPAT PERTAMA : Dibolehkan aktiviti merancang keluarga ini sama ada dari segi penentuan jarak kelahiran atau penentuan kepada bilangan zuriat itu jika ianya merupakan kehendak individu tersebut yang tidak takut kepada kepapaan. Aktiviti ini juga hendaklah melalui jalan yang dibolehkan syarak tanpa melibatkan aktiviti pembunuhan atau pengguguran dan aktiviti ini dipraktikkan dengan bersandarkan kepada maslahah perubatan, maslahah masyarakat atau maslahah-maslahah lain yang diakui. Ini merupakan pendapat dari Organisasi Islam bagi Sains Perubatan Kuwait yang merupakan pendapat majoriti melalui nadwah mereka yang pertama pada tahun 1983.

Hujjah pendapat ini ialah berdasarkan apa yang dikeluarkan dari pendapat mazhab Shafie melalui kata-katanya yang masyhur yang membenarkan aktiviti a'zal walaupun tanpa keizinan isteri dan juga apa yang dikeluarkan dari pendapat Jumhur Ulama' yang membenarkan aktiviti a'zal dengan keizinan isteri berpandukan hadis Nabi Muhammad SAW yang berbunyi :

kami melakukan a'zal pada zaman Nabi Muhammad SAW dan apabila baginda mengetahuinya baginda tidak pula melarang aktiviti kami itu. 

Hujjah yang kedua bagi pendapat ini ialah sesungguhnya maksud perkahwinan dari segi syarak ialah memperoleh tempat tinggal, cinta dan kasih sayang di antara suami dan isteri. Tetapi perkara-perkara ini mungkin tidak dapat diperolehi dengan kewujudan zuriat yang ramai. Maka diterimalah pendapat yang membenarkan aktiviti merancang keluarga dengan mengikut segala ketetapan yang telah ditetapkan oleh syarak berdasarkan maslahah dan kemampuan pasangan tersebut berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang menyebut :

Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW memohon perlindungan dari kesengsaraan, perpecahan, keburukan di dalam penghakiman dan kesombongan pihak musuh.

Hujjah yang terakhir bagi pendapat ini ialah aktiviti membina kekuatan dan memperelokkan nasab keturunan itu adalah salah satu daripada maksud syarak. Jadi secara lazimnya kita dapat menerima pendapat yang membolehkan aktiviti menentukan jarak kelahiran dan menghadkan bilangan zuriat yang ingin diperolehi kerana ia merupakan satu usaha untuk membina kekuatan sepertimana dalil yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang berbunyi :

Mukmin yang kuat itu lebih baik dan disukai oleh Allah SWT berbanding dengan mukmin yang lemah dan di dalam setiap kebaikan itu berusahalah melakukan sesuatu yang memberi manfaat kepadamu. Mohonlah bantuan daripada Allah SWT dan jangan merasa lemah.

PENDAPAT KEDUA : Diharamkan amalan merancang keluarga ini dalam apa jua keadaan sekalipun. Ini merupakan pendapat yang masyhur di dalam ilmu Fiqh yang dikeluarkan oleh Akademi Fiqh Islam melalui daurah mereka yang ke-3 pada tahun 1980.

Hujah pertama bagi pendapat ini ialah berdasarkan pendapat dari Ibn Hazim,Ibn Hibban yang mengharamkan perbuatan a'zal secara mutlak sama ada dengan keizinan atau tanpa keizinan berdasarkan dalil yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud : 

"Sesungguhnya aku telah bersama-sama Nabi Muhammad SAW ketika bertemu dengan penduduk setempat lalu Nabi Muhammad SAW berkata : Aku telah terfikir untuk membolehkan perbuatan (persetubuhan wanita dalam waktu menyusukan anak). Ini kerana Aku telah melihat di bandar Rom dan Parsi wanita-wanita yang melakukan persetubuhan dalam waktu menyusukan anak ia tidak mendatangkan sebarang kemudharatan kepada anak-anak tersebut. Kemudian Nabi Muhammad SAW ditanya mengenai perbuatan a'zal? Lalu Nabi Muhammad SAW menjawab itu merupakan pembunuhan anak secara tersembunyi lalu Nabi Muhammad SAW berfirman dengan potongan ayat Al-Quran yang berbunyi :

Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup itu ditanya, dengan dosa apakah ia dibunuh?

Hujjah yang kedua bagi pendapat ini ialah mempunyai zuriat keturunan yang ramai dan penjagaan yang sempurna kepada zuriat-zuriat tersebut merupakan salah satu daripada maksud yang didatangkan oleh syarak yang perlu dipraktikkan oleh semua pihak. Maka perbuatan merancang keluarga adalah satu perbuatan yang diharamkan kerana bercanggah dengan maksud syarak tersebut berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Anas Bin Malik yang berbunyi :

Kahwinilah (wanita) yang penyayang dan subur kerana aku akan mempunyai umat yang paling ramai berbanding Rasul lain di Hari Kebangkitan nanti. 

Hujjah terakhir bagi pendapat ini ialah perbuatan merancang keluarga ini merupakan satu amalan yang di bawa dari negara barat yang mana aktiviti ini disuntik dengan sokongan kewangan yang besar dari pihak barat sendiri. Ini kerana aktiviti yang mempunyai kepentingan dari segi politik ini diamalkan hanya untuk mengurangkan bilangan penduduk di negara-negara barat seterusnya membuktikan kepada dunia pihak barat ini mampu untuk sentiasa membangun dan memodenkan negara mereka. Hal ini juga berlaku khususnya selepasa melihat kepada statistik pertumbuhan penduduk di negara-negara Asia dan Afrika yang jauh lebih besar jika dibandingkan dengan Negara-negara Eropah dan Jepun dan di dalam masa yang sama negara-negara Eropah ini pula tidak menghadapi sebarang masalah dari segi perubatan atau ekonomi jika dibandingkan denga apa yang dihadapi oleh negara-negara Asia dan juga Afrika. Ini membuktikan ianya merupakan suatu amalan buruk yang diamalkan oleh pihak barat yang hanya mementingkan keseronokan, harta yang banyak dan kemodenan negara dan menjadikan anak dan penduduk yang ramai sebagai alasan kepada timbulnya masalah dari segi ekonomi dan juga perubatan kepada negara.

PENDAPAT KETIGA : Melihat kepada perbezaan dari segi penentuan jarak kelahiran dan menghadkan bilangan zuriat yang diinginkan. Adapun amalan merancang keluarga dengan menentukan jarak kelahiran adalah satu amalan yang dibolehkan syarak berdasarkan ketetapan-ketetapan yang telah ditetapkan tetapi jika amalan merancang keluarga itu dengan menghadkan bilangan zuriat yang diinginkan maka ianya tidak dibenarkan sama sekali. Ini merupakan pendapat dari Jumhur Fuqaha' dan menjadi resolusi bagi Akademi Kajian dan Penyelidikan Islam di dalam daurah mereka yang ke-5 pada tahun 1988.

Hujjah bagi pendapat ini ialah amalan menentukan jarak kelahiran bersandarkan kepada pemikiran ingin menjarakkan dan mengawal tempoh kehamilan dengan kaedah-kaedah yang mampu menghalang kehamilan di dalam suatu tempoh tertentu. Hal ini bertepatan dengan maslahah yang dimaksudkan tanpa melibatkan sebarang kemudharatan atau kebinasaan. Adapun amalan menghadkan bilangan zuriat pula merupakan pemikiran ingin menghentikan kehamilan secara keseluruhannya dengan melakukan kaedah-kaedah seperti sterilisasi, hysterectomy (membuang rahim) dan juga vasectomy (buang testis). Perkara-perkara ini semuanya diharamkan oleh kebanyakan para ilmuan kerana mengundang kemudharatan sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas'ud :

Kami bersama-sama Nabi Muhammad SAW di dalam peperangan dan kami tidak memiliki apa-apa pun bersama kami (isteri). Lalu kami bertanya : adakah dibolehkan kami melakukan perbuatan mengkasi? Lalu Nabi Muhammad SAW melarang kami melakukan perbuatan tersebut.

Jadi jelaslah di sini perkembangan dalam bidang perubatan, ekonomi dan juga politik membuka satu lebaran di dalam sesetengah isu fiqh yang penting di dalam masyarakat kita masa kini dan di antara isu tersebut ialah isu yang kita bincangkan kali ini. 

Kita melihat perselisihan pendapat Ahli-ahli Feqah kontemporari ini membawa kepada hukum yang berlainan. Sesetengah dari mereka menetapkan hukum berdasarkan isu kebebasan yang telah ditentukan oleh syariat. Sesetengahnya pula melihat kepada isu pembangunan negara yang bercanggah dengan maksud syarak. Dan sesetengah yang lain pula menghimpunkan kedua-duanya dengan membezakan di antara perbuatan menentukan jarak kelahiran dan menghadkan bilangan zuriat. Tetapi pendapat yang terpilih di dalam isu ini ialah pendapat yang pertama iaitu dibolehkan amalan merancang keluarga ini sama ada dari segi menentukan jarak kelahiran atau menghadkan bilangan zuriat dengan berpaksikan ketetapan-ketetapan syarak yang melarang berlakunya sebarang kemudharatan atau percanggahan-percanggahan umum yang lain berdasarkan persepakatan pendapat kebanyakan Ahli Feqah yang membenarkan perbuatan a'zal. 

Hukum Berkaitan Hantaran Pertunangan

Hantaran pertunangan merupakan suatu perkara yang mula mendapat tempat di kalangan masyarakat sejak beberapa dekad yang lalu. Hantaran yang bertujuan untuk mendekatkan hati pihak perempuan dengan pihak lelaki yang meminangnya sebelum melalui detik-detik manis berumahtangga umpama adat yang tidak dapat dipisahkan lagi dari masyarakat kita masa kini. 

Kebiasaannya pihak perempuan akan menerima perhiasan-perhiasan yang berharga dari pihak lelaki sebagai gantirugi sebelum mendapat mas kahwin sebagai modal persiapan kelengkapan dan isi rumah bakal isteri tersebut dan juga sebagai permulaan kepada perkongsian hidup dan saling bantu membantu antara mereka. 

Menurut istilah dari Akademi Bahasa Arab hantaran pertunangan ini bermaksud hadiah yang diberikan dari pihak lelaki kepada pihak perempuan yang ingin dikahwininya sebagai tanda pertunangan antara mereka sebelum termeterainya ikatan yang sah antara mereka. Secara kelazimannya, hantaran pertunangan ini meliputi barang-barang yang berharga dan adakalanya pula meliputi perhiasan-perhiasan yang bernilai atau sejumlah wang ringgit. Nilai hantaran ini pula berbeza-beza bergantung kepada kemampuan pihak lelaki dalam menyediakan hantaran tersebut.

Sebenarnya Ahli-ahli Feqah terdahulu telah membincangkan mengenai hukum hadiah pertunangan yang diberikan pihak lelaki kepada wanita yang dipinanginya tetapi golongan Ahli Feqah ini tidak pula membincangkan berkaitan hantaran pertunangan ini. Ini kerana perkara ini hanya berlaku sejak beberapa dekad kebelakangan ini sahaja. Jika melihat kepada nilai hantaran tersebut Ahli-ahli Feqah kontemporari berselisih pendapat adakah hantaran tersebut dikategorikan sebagai hadiah atau mas kahwin atau ada hukum yang khas baginya khususnya apabila terputusnya ikatan pertunangan sebelum termeterai ikatan perkahwinan antara mereka. 

Sepertimana yang disebut oleh Ijmak hantaran pertunangan ini akan menjadi hak si isteri sepenuhnya apabila terjalinnya ikatan perkahwinan antara mereka. Ijmak juga ada menyebut sekiranya berlakunya perpisahan sebelum termeterai ikatan perkahwinan dibolehkan diadakan perbincangan di antara kedua-kedua pihak di dalam pembahagian hantaran pertunangan tersebut mengikut keredhaan masing-masing berdasarkan syarat dan perjanjian di antara mereka. Hal ini bertepatan dengan dalil yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang berbunyi :

Orang-orang Islam itu mempunyai ikatan dengan syarat-syarat mereka. Tetapi sekiranya tiada apa-apa perjanjian dan syarat antara mereka apabila berlakunya konflik tersebut, maka Ahli-ahli Feqah masa kini berselisih pendapat siapakah yang lebih berhak ke atas hantaran pertunangan tersebut.

PENDAPAT PERTAMA : Pihak perempuan mempunyai hak secara mutlak ke atas barang-barang hantaran pertunangan tersebut. Ini merupakan pendapat dari sebahagian Ahli Fiqh.

Hujjah pertama bagi pendapat ini ialah berdasarkan apa yang disebut oleh pendapat yang masyhur dari Al-Maliki bersandarkan kepada hukum hibah yang meletakkan hak sepenuhnya kepada si penerimanya. Hantaran pertunangan ini dikira sebagai hibah dan tiada mempunyai ikat kepada akad perkahwinan. Ini kerana tanpa hantaran pertunangan ini juga akad perkahwinan tetap dikira sah. Hibah ini dikategorikan sebagai hukum yang umum bagi Jumhur Ulama' tetapi berbeza bagi Hanafiah yang mengkategorikan hibah ini sebagai akad pemberian yang lazim yang tidak boleh diambil semula dari si penerimanya. Hal ini bersandarkan dalil yang dikeluarkan oleh Al-Bukhari yang berbunyi :

Individu yang mengambil semula barang pemberiannya umpama seekor anjing yang muntah kemudian menjilat semula muntahnya sendiri.

PENDAPAT KEDUA : Hantaran pertunangan tersebut merupakan hak pihak lelaki secara mutlak. Ini juga merupakan pendapat dari sebahagian Ahli Fiqh.

Hujah bagi pendapat ini ialah seperti yang disebut oleh Mazhab Shafie bagi hukum hadiah pertunangan. Mazhab Shafie berpendapat hadiah pertunangan tidak dikira sebagai hukum hibah secara mutlak. Ini kerana hadiah pertunangan sebagai syarat untuk menyempurnakan ikatan perkahwinan. Jika ikatan perkahwinan tidak dapat disempurnakan maka wajib bagi pihak perempuan mengembalikan hadiah yang diterimanya dari pihak lelaki tersebut. Ini kerana sebahagian dari Ahli Feqah dan Mahkamah Asasi Mesir beranggapan hantaran pertunangan tersebut hanya sebagai hadiah bukan sebagai tanda atau tali pengikat kepada akad perkahwinan. Akad perkahwinan tetap sah walaupun tidak disertai dengan hantaran tersebut.

PENDAPAT KETIGA : Hantaran pertunangan tersebut menjadi hak pihak lelaki jika tiada penghalang untuk dikembalikan hibah tersebut. Ini merupakan pendapat sebahagian Ahli Feqah dan dipraktikkan oleh Mahkamah Sivil Mesir.

Hujjah bagi pendapat ini ialah sepertimana yang disebut oleh Mazhab Hanafi bagi hukum kembalikan barang hibah. Ini kerana hantaran tersebut dikira sebagai hibah sebagai tanda pertunangan. Pertunangan pula bukanlah satu rukun atau syarat sah untuk termeterainya ikatan perkahwinan. Dan sekiranya berlaku pertengkaran di antara kedua-dua pihak ini ketika waktu pertunangan tersebut ianya tidak terikat dengan ikatan perkahwinan. 

Apabila perkara ini berlaku hantaran pertunangan itu akan menjadi milik bakal isteri pihak lelaki tersebut kecualilah adanya penghalang untuk mengembalikan hibah tersebut bersandarkan apa yang disebut oleh Mazhab Hanafi yang dipraktikkan oleh Undang-undang Sivil Mesir pada kanun yang ke-500 yang menyebut : 

" Si pemberi dibolehkan mengambil semula barangan pemberiannya dari pihak penerima sekiranya pihak penerima itu membenarkannya. Tetapi sekiranya pihak penerima tersebut tidak membenarkan maka si pemberi boleh menuntut haknya dari pihak berkuasa untuk dikembalikan barangan tersebut kepadanya selagi tiada penghalang baginya untuk mengambil semula pemberiannya itu ".

Menurut kanun yang ke 502 permohonan untuk dikembalikan barangan pemberian akan ditolak sekiranya adanya penghalang-penghalang seperti berikut :

PERTAMA - Mati salah satu pihak bagi akad hibah tersebut. KEDUA - Barangan pemberian itu telah rosak ketika berada di tangan si penerimanya. KETIGA - Hibah tersebut dikira sebagai sedekah dan amal jariah dari pihak pemberinya.

PENDAPAT KEEMPAT : Hantaran pertunangan itu hak yang berkaitan dengan mas kahwin. Ketika di dalam tempoh pertunangan sebelum berlakunya akad perkahwinan pihak lelaki berhak ke atas hantaran tersebut. Ketika di dalam tempoh akad tetapi masih belum melakukan hubungan kelamin hantaran tersebut hak bersama di antara suami dan isteri tersebut. Tetapi apabila berlakunya hubungan antara mereka hantaran tersebut menjadi hak si isteri sepenuhnya. Ini merupakan pendapat yang dikeluarkan oleh Dar Al-Ifta' Mesir melalui fatwa yang ke-31 pada tahun 1970 dan juga merupakan pendapat kebanyakan Ahli Feqah masa kini.

Hujjah bagi pendapat ini ialah sudah menjadi kebiasaan seperti yang diamalkan oleh kebanyakan negara-negara Arab menjadikan hantaran pertunangan itu sebahagian dari mas kahwin bahkan sudah menjadi kebiasaan masyarakat mengurangkan nilai mas kahwin dengan nilai hantaran yang diberikan jika dipersetujui oleh pihak perempuan dan akan menambah nilai tersebut sekiranya tidak dipersetujui oleh pihak mereka. 

Hujjah kedua bagi pendapat ini ialah hantaran ini sebagai tanda pertunangan antara kedua-dua pihak dan ianya bukanlah rukun bagi akad perkahwinan tersebut. Tetapi ianya merupakan ikatan kepada permulaan hubungan yang sah di antara mereka. Maka wajib dikategorikan hantaran itu sebagai hukum yang berkaitan dengan akad pernikahan bukannya sebagai hibah secara mutlak. Dan mas kahwin juga bukannya dari rukun akad perkahwinan tersebut tetapi ianya mempunyai ikatan dengan hukum tersebut.

Jadi jelaslah di sini perkembangan pengetahuan manusia memberi impak yang cukup besar dengan wujudnya beberapa isu fiqh kemasyarakatan yang penting ini dan di antara isu tersebut ialah isu hantaran pertunangan ini khususnya apabila berlakunya pertelingkahan di antara kedua-dua pihak dan dalam masa yang sama tiada perjanjian yang disepakati di antara mereka sehingga menyebabkan impian untuk mendirikan rumahtangga tersebut musnah sama sekali. Jika kita lihat perselisihan dari segi Fiqh dan Undang-undang telah menatijahkan pandangan yang berbagai sehingga masih lagi ragu-ragu dalam meletakkan hukum hantaran itu kepada kategori hadiah atau mas kahwin. 

Undang-undang Mesir memilih pendapat yang ketiga iaitu meletakkan hukum hantaran itu kepada hibah yang boleh dikembalikan kepada si pemberinya jika tiada sebarang halangan sepertimana yang disebut oleh Ahli Feqah dari Mazhab Hanafi. Tetapi pendapat yang keempat iaitu melihat hantaran pertunangan itu sebahagian dari mas kahwin merupakan pendapat yang terpilih bagi isu ini berdasarkan kekuatan dalil dan hujjah yang dikeluarkan. Ini kerana pemberian hantaran pertunangan tidak membataskan pihak lelaki untuk memberi hadiah-hadiah yang lain apabila menyambut perayaan-perayaan kemasyarakatan yang lain. Terbuktilah hantaran pertunangan itu tidak dikategorikan sebagai hukum hibah.

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga