Salah Faham Perangkap Perpecahan

Huraian Surah Al-Baqarah: Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” (Surah al-Baqarah, ayat 208)

Al-Saadi menyebut dalam tafsirnya bahawa ayat ini adalah perintah daripada Allah SWT kepada orang yang beriman supaya masuk Islam pada keseluruhan syariatnya, tanpa meninggalkannya walaupun sedikit. Tidak menjadikan diri mereka daripada kalangan yang menjadikan hawa nafsu sebagai tuhan, di mana jika perintah agama sesuai dengan kehendaknya maka diikutinya. Jika tidak sesuai dengan kehendak nafsu maka ditinggalkannya.

Dua kategori manusia

Allah SWT menjelaskan, manusia terbahagi kepada dua kategori apabila dilihat dari segi tindakan membuat kebaikan dan kerosakan. Mereka terdiri daripada golongan yang melakukan kerosakan di atas muka bumi dan golongan yang beramal mencari keredaan Allah SWT serta mentaati-Nya. 

Masyarakat Islam yang menerima Islam sebagai cara hidup ialah masyarakat yang sedia berdamai kerana menyahut seruan Allah SWT dan sedia berperang juga kerana mempertahankan diri serta akidah daripada digugat musuh kerana menyahut seruan Allah SWT. Umat ini tidak mampu menghadapi cabaran tanpa perpaduan yang kukuh bersatu di bawah payung Islam serta menyerahkan diri kepada hukum Allah SWT. Seruan ini sekali gus adalah pendahuluan kepada hukum perang yang akan dibicarakan berikutnya.

Malangnya, umat Islam berpecah-belah, satu golongan bermusuhan dengan golongan yang lain disebabkan perbezaan mazhab. Setiap mazhab fanatik kepada mazhab masing-masing dan menyerang saudara seagama dengan alasan untuk membela agama. Pada hal dia telah mengkhianati agama dengan memporak-perandakan penyatuan kaum Muslimin.

Erti keamanan, kesejahteraan

Perkataan al-silm dalam bahasa Arab membawa erti keamanan, keselamatan, kesejahteraan dan kedamaian. Mufassirin mempunyai beberapa tafsiran bagi perkataan al-silm.

Dalam Tafsir Pedoman Mutaqqin, Dr Abdul Hayie membawa beberapa pandangan Mufassirin erti al-silm.

Pertama, sebahagian besar Mufassirin mentafsirkannya dengan erti Islam, Mukminin diseru supaya masuk Islam dan menerima tanggungjawab yang disukai hawa nafsu atau yang tidak disukainya.

Kedua, perdamaian di mana umat Islam perlu berdamai dan menghindari krisis serta perbalahan.

Sebahagian Mufassirin pula mentafsirkannya dengan istislam ertinya menyerah, tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT.

Pengertian yang ketiga ini terkandung dalam tafsiran pertama iaitu Islam, tetapi ertinya lebih mendalam kerana membawa maksud penyerahan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah SWT. Kebanyakan kacau-bilau, peperangan dan pecah-belah yang berlaku dalam masyarakat pada masa kini adalah akibat daripada jalan syaitan yang diikuti manusia. Lalu, ukuran baik dan buruknya menjadi keliru, yang batil disangka benar dan yang benar disangka batil. Mungkin akibat daripada salah memilih jalan ini, kita dapati umat Islam masa kini terjebak dalam perangkap perpecahan sama sendiri atas nama iman dan Islam, pada hal apabila diteliti nescaya didapati kepentingan diri masih tebal pada dua pihak yang bertelagah.

Jalan penyelamat daripada perangkap ini hanya satu iaitu berwaspada terhadap perangkap syaitan, musuh yang amat nyata. Ini disebabkan apa yang diserukannya mempunyai kebatilan sehingga memudaratkan bagi orang yang memikirkannya. Bagi orang yang belum menerima kemudaratan pada permulaannya pasti dia akan menikmati kepahitan akhirnya. Oleh itu, tidak ada alasan untuk membenarkan orang yang tetap berada dalam kesesatan, selepas diingatkan oleh Allah SWT. Selepas Allah SWT menyeru orang yang beriman supaya masuk ke dalam kedamaian dengan keseluruhan jiwa mereka, maka al-Quran mengingatkan mereka supaya jangan mengikut langkah syaitan. Setiap Muslim tidak seharusnya teragak-agak di tengah-tengah pelbagai jalan.

4 Peringkat Didik Anak

ANAK anugerah Yang Esa. Ia adalah amanah ALLAH SWT kepada kita yang perlu dijaga dan dibentuk dengan sebaiknya.  Anak perlu dididik atas alasan amanah kepada pencipta bukannya atas alasan anugerah. Anak bukan hak kita tetapi hak Yang Maha Kuasa.

Anak lahir ibarat kain putih bersih yang sempurna tanpa sebarang cacat dan cela.  Ibu bapa perlu mencorakkan dan mewarnakannya dengan corak dan warna sepatutnya. Cantik corak dan warna di kain tersebut maka besarlah anak itu dengan akhlak yang baik.

Sebaliknya jika buruk corak dan warna di kain putih itu maka lahirlah anak-anak yang bakal menghadapi pelbagai masalah menyebabkan mereka lupa akan penciptanya.

Fitrah ialah suci iaitu lawan kepada kufur dan ingkar kepada ALLAH.  Selepas dilahirkan barulah kedua ibu bapa mewarnakan anak itu dan menjadikannya apa yang sepatutnya.

Sejak kebelakangan ini, banyak cerita remaja yang kurang enak didengari terpampang di dada akhbar dan media massa. Pelbagai aktiviti yang tidak sihat dilakukan mereka dan pelbagai akhlak yang tidak baik dipertontonkan mereka. Mereka dihukum masyarakat dengan pelbagai tohmahan tetapi jika difikirkan kembali adakah mereka yang perlu dipersalahkan? Sedangkan yang mewarnakan mereka ialah kedua ibu bapanya.

Seorang anak remaja bercerita, semasa kecil dia menunggang motosikal bersama bapanya. Ketika itu bapanya menghisap rokok dan dia berada di belakang bapanya.  Asap rokok tersebut terkena pada mukanya dan sejak peristiwa itu, terdetik di hatinya ingin merokok.

Ketika berusia 12 tahun remaja itu mula berjinak-jinak dengan rokok.

Berdasarkan cerita ini, bukankah si bapa yang sepatutnya menjadi contoh kepada anak ini untuk tidak merokok? Itu baru rokok, bagaimana pula jika si bapa itu penagih dadah?  Ada kemungkinan si anak boleh terlibat dengan penyalahgunaan dadah.  Hal ini memang terjadi dalam masyarakat kita.  Si bapa menghisap dadah di rumah menyebabkan anak itu ingin mencuba.  Lalu diambilnya dadah tersebut tanpa pengetahuan bapanya dan dicubanya.  Salah siapa? Si anak yang masih mentah atau si bapa yang bermasalah?  Hal ini dikatakan bapa ‘membunuh’ atau pun  ‘derhaka kepada anak’.

Diheretnya sekali si anak ke dalam kancah masalahnya.  Di’bunuhnya’ si anak dengan menonjolkan akhlak tidak sepatutnya.

Apa yang kita lihat dewasa ini dengan masalah kegawatan ekonomi, ibu bapa terutamanya daripada golongan pertengahan dan ke bawah begitu sibuk bekerja untuk menampung kehidupan keluarga.   Keduanya bekerja.  Keluar awal pagi dan pulang lewat malam.  Anak di rumah membawa haluan masing-masing kerana tiada pemantauan.  Mereka bosan berada di rumah lalu keluar berpelesiran bersama rakannya.

Daripada situ bermulalah segala kegiatan yang tidak sihat seperti merokok, merempit, melepak, mencuri, meragut, menonton video lucah, seks bebas dan pelbagai perbuatan yang tidak bermoral. Mereka tidak betah duduk di rumah walaupun waktu malam yang sepatutnya dimanfaatkan untuk menelaah pelajaran, sebaliknya digunakan untuk berpelesiran dengan teman.

Ada juga kalangan ibu bapa tidak ambil peduli sikap anak remaja ini.  Tidak dipeduli anak itu ke mana, dengan siapa dia keluar dan pukul berapa dia pulang.  Anak diberi kebebasan sepenuhnya.   Sesibuk mana pun mencari rezeki, anak perlu diutamakan.  Walaupun anak-anak ini boleh mengurus diri sendiri namun mereka tetap perlu dipantau, ditanya khabar, dididik, ditunjuk ajar dan yang paling penting sekali ialah disayangi.

Memang tidak dapat disangkalkan lagi, pendidikan agama dapat membendung remaja daripada terjerumus ke aktiviti yang tidak sihat.  Memang betul di sekolah terdapat subjek pendidikan agama Islam dan pendidikan moral tetapi tidak adil jika pendidikan agama anak-anak kita dilepaskan kepada ustaz, ustazah dan guru di sekolah.

Bukankah kita sebagai ibu bapa perlu mencorakkan anak dan juga memegang amanah daripada Yang Esa dalam mendidik anak-anak? Perkara ini menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan anak mendapat pendidikan agama sepatutnya.  Akibat kealpaan sesetengah ibu bapa, ramai remaja kita tidak tahu ibadat solat dengan betul.

Pernah ada beberapa remaja mengadu mereka tidak tahu membaca bacaan dalam solat.  Hal ini kerana ibu bapa mereka langsung tidak menghiraukan perihal ibadat solat anak.Jika amalan solat tidak diamalkan, jiwa seseorang itu kosong dan menggamit si anak ke kancah tidak bermoral.

Dalam mendidik anak, Rasulullah SAW ialah insan sepatutnya menjadi ikutan ibu bapa. Mendidik anak memerlukan ilmu pengetahuan yang cukup dan suri teladan untuk diteladani.

Terdapat empat peringkat mendidik anak mengikut sunnah Rasulullah SAW:

Peringkat pertama iaitu ketika anak-anak berusia 0-6 tahun. Pada masa ini, Rasulullah SAW menyuruh kita untuk memanjakan, mengasihi dan menyayangi anak dengan kasih sayang tidak berbatas.

Peringkat kedua iaitu ketika anak berusia 7-14 tahun.  Kita mula menanamkan nilai disiplin dan tanggungjawab kepada anak.

Peringkat ketiga, ketika anak berusia 15-21 tahun. Inilah fasa remaja yang penuh sikap memberontak. Pada tahap ini, ibu bapa seeloknya mendekati anak dengan menjadi kawan. Banyakkan berborak dengan mereka mengenai perkara yang mereka hadapi. Sekiranya tidak bersetuju dengan sebarang tindakan mereka, elakkan mengherdik atau memarahi mereka terutama di hadapan adik-beradik yang lain.

Peringkat keempat iaitu ketika anak berusia 21 tahun dan ke atas. Inilah masa ibu bapa untuk memberikan sepenuh kepercayaan kepada anak dengan membuat keputusan mereka sendiri.

Remaja memerlukan ibu bapa dalam setiap aspek kehidupan.  Ketika masih kecil, ibulah yang akan menjadi tempat anak bermanja-manjaan dan mengadu cerita tetapi di kala anak memasuki alam remaja, bapa yang sepatutnya menjadi insan yang rapat kepada anak-anak ini terutamanya anak lelaki yang memerlukan bapa sebagai teladan.

Baik bapa, baiklah anak, bak kata pepatah ‘bapa borek, anak rintik.’  Oleh itu wahai bapa, tepuk dada, tanya iman, anak macam mana yang mereka inginkan.  Jika inginkan anak berakhlak mulia, maka bapa perlulah berakhlak mulia.

Ibu bapa punca anak lakukan kesalahan

PERKELAHIAN dan perdamaian yang berlaku dalam kehidupan seharian kanak-kanak adalah perkembangan normal emosi dan skil sosial mereka.

Bergaduh dan berkelahi adalah sebahagian asam garam kehidupan anak. Sama ada anak lelaki atau perempuan, perselisihan pasti berlaku membabitkan adik-beradik dan rakan. Berbeza pandangan dan kemahuan adalah fitrah semula jadi manusia. Justeru, apabila jaringan sosial anak semakin lebar, mereka menemui rakan baharu yang berlainan asuhan dan didikan.

Pengenalan baharu ada kala berjalan dengan harmoni, tetapi sering juga berlaku perdebatan dan perselisihan, hatta pada isu paling remeh sekali pun. Pergaduhan adalah satu juzuk daripada proses pembelajaran anak dalam berinteraksi dengan masyarakat yang lebih terbuka. Ini berbeza dengan ‘masyarakat tertutup’ yang bersamanya di rumah.

Ibu, bapa atau orang dewasa menjadi pemerhati tetap aktiviti anak di rumah hingga tidak memungkinkan anak melakukan kesalahan. Sekali pun ada kesilapan yang dilakukan, ibu bapa sentiasa ada bagi membetulkan kesalahan mereka. Kerana itu, tiada anak yang sanggup melakukan kesalahan di hadapan ibu bapanya. Masyarakat terbuka di luar sana seperti di sekolah, sebaliknya memberikan mereka ruang seluas-luasnya untuk menunjukkan sikap sebenar. Pergaulan dengan rakan baharu pula menimbulkan konflik berbeza yang boleh sahaja mencetuskan perselisihan dan perbalahan. Sekali pun pergeseran acap berlaku dalam masyarakat kanak-kanak ini, tetapi fitrah anak yang masih bersih daripada perasaan dendam dan dengki, ia boleh dilupakan dalam masa singkat.

Kita biasa melihat kanak-kanak bertumbuk pada waktu paginya, tetapi boleh bermain bola sepak bersamapada sebelah petang. Naluri kanak-kanak bersih Maha Suci Allah SWT menjadikan naluri kanak-kanak bersih daripada hasad. Perkelahian dan perdamaian berlaku dalam masa pantas adalah perkembangan normal emosi dan skil sosial mereka. Perkembangan itu akan terbantut apabila konflik anak mendapat campur tangan orang dewasa, terutama ibu bapa.

Dalam satu kes buli, seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun telah memukul pelajar lain berusia 11 tahun. Kes ini menjadi serius kerana membabitkan seorang pelajar dewasa dengan kanak-kanak yang fizikalnya jauh lebih kecil. Malah, kesan daripada serangan ini menyebabkan mangsa terpaksa dibawa ke klinik bagi mendapatkan rawatan lelah dan trauma. Memandangkan kesalahan yang serius, pihak sekolah menjatuhkan hukuman buang sekolah kepada pelajar berkenaan. Menariknya, apabila kes ini dibawa kepada bapa pelajar, reaksinya sangat mengejutkan. Si ayah tidak langsung memarahi anaknya yang baharu sahaja mencederakan seorang budak. Sebaliknya dia mencari kesalahan pihak sekolah dalam menangani kes anaknya. Paling parah apabila dia memarahi mudir sekolah di hadapan anaknya seolah-olah anaknya tidak melakukan sebarang kesalahan. Kesalahan paling besar ibu bapa dalam menangani masalah anak-anak ialah anggapan bahawa anaknya tidak mungkin melakukan kesalahan. Rentetan daripada anggapan itu, setiap pelanggaran undang-undang atau perbalahan yang berlaku, ibu bapa akan segera meletakkan kesalahan kepada orang lain. Ayah bela anak Kesan paling besar diterima oleh anak yang melakukan kesalahan ialah walaupun melakukan kesalahan besar, dia tetap dibela oleh ayahnya. Lalu anak itu tidak akan serik dan pasti mengulanginya pada masa akan datang dengan kes lebih serius.

Menerima hakikat anak mereka bersalah, ia secara langsung membuka ruang bagi memikirkan bagaimana mahu menanganinya supaya tidak berulang. Ia juga dengan segera menutup ruang untuk ibu bapa mencari kesalahan pihak lain. Kebiasaan ibu bapa apabila diberitahu mengenai kesalahan anak, pasti mereka melenting dan menafikannya kerana beranggapan tuduhan terhadap anak seolah-olah mendakwa mereka sebagai ibu bapa tidak pandai menjaga serta mendidik anak hingga melakukan kesalahan seperti itu. Ibu bapa yang membela anak sebenarnya sedang mempertahankan ego mereka sendiri. Mereka lebih mementingkan reputasi dan keegoan daripada membimbing anak memperbaiki kesilapan. Bagaimanapun, kesannya dirasai oleh anak yang tidak berasa bersalah dan besar kepala. Silap pamer kasih sayang bunuh akhlak anak Kasih sayang ibu bapa kepada anak adalah fitrah yang tidak dapat dialihkan. Namun kesilapan mempamerkan kasih sayang menjadi racun yang membunuh mentaliti dan akhlak anak.

Dalam banyak kes, apabila anak melakukan kesalahan, ibu bapa tidak sanggup melihat anak menerima hukuman. Lalu ibu bapa akan merayu guru atau pihak berkuasa memaafkan anak. Lebih parah, mereka menawarkan diri menanggung kesalahan anak. Dalam tidak sedar mereka sebenarnya sedang membina tembok ketidakbertanggungjawaban dalam diri anak. Demi melihat anak membesar menjadi individu bertanggungjawab dalam masyarakat, biarkan mereka menanggung kesalahan yang dilakukan. Ajarkan mereka bahawa setiap tindakan dan keputusan yang dilakukan mempunyai sebab dan akibatnya. Dalam konflik yang berlaku antara anak dan rakannya, secara refleks ibu bapa akan cuba menenangkan anak. Namun salahnya ialah apabila ibu bapa memburuk-burukkan rakannya itu hingga dia beranggapan tindakannya bergaduh adalah benar. Pujukan seperti itu walaupun bertujuan menenangkan anak, tetapi sebenarnya memberikan implikasi negatif kepadanya. Anak akan berasa tidak bersalah kerana tindakannya dijusfikasikan dengan sikap rakannya yang kononnya memang jahat. Anak yang suci jiwa mereka tidak menyimpan dendam apabila berselisih faham dengan rakan walaupun menyebabkan pergaduhan. Fitrah mereka menyebabkan hubungan persahabatan antara rakan tidak terputus begitu sahaja lantaran salah faham. Keadaan ini berbeza dengan sikap orang dewasa yang jiwa mereka sudah dicemari perasaan ego dan dendam.

Justeru, menjadi kesalahan ibu bapa apabila mencampuri pergaduhan anak dengan rakan dan meletakkan kesalahan pada bahu ibu bapa lain. Sikap sebahagian ibu bapa yang gemar menyerang dan menyalahkan ibu bapa lain atas kesalahan anak mereka menyebabkan permusuhan antara dua keluarga. Sebaiknya ibu bapa tidak terlalu membesarkan pergaduhan yang berlaku antara anak mereka dengan rakannya. Jika dirasakan perlu, berjumpa ibu bapa rakan anak yang bergaduh itu dalam keadaan harmoni dan tidak saling menuding jari. Jadikan ini peluang berkenalan dengan keluarga rakan anak dan kemesraan antara kedua-dua keluarga ini diharap dapat merapatkan hubungan persahabatan anak.

Usah Melampau Dalam Agama

ISLAM menganjurkan kita supaya tidak melampau atau berlebih-lebihan walaupun dalam melakukan ibadah dan ketaatan. Sikap ini dikhuatiri akan membawa kepada rasa jemu, malas dan berat untuk melakukan ibadah tersebut.Akhirnya, kita tidak konsisten dan tinggalkan terus.

Ibadat cara Nabi SAW

Dalam satu hadis, Nabi Muhammad SAW mengingatkan seorang wanita: “Aisyah RA menceritakan bahawa Rasulullah SAW masuk bertemu dengannya dan turut berada bersama Aisyah ialah seorang wanita. Baginda SAW bertanya: “Siapakah wanita ini?” Aisyah menjawab:

“Dia ialah wanita yang terkenal dengan solatnya.” Rasulullah SAW bersabda: “Seharusnya kamu melakukan apa yang kamu mampu, kerana demi ALLAH SWT, ALLAH tidak akan jemu menerima amalan kamu sehinggalah kamu yang jemu beramal.” Agama yang paling Baginda SAW suka ialah apa yang dilakukan oleh seseorang itu secara berterusan (istiqamah). (Riwayat Bukhari & Muslim)

Dalam satu peristiwa lain, Rasulullah SAW menegur hasrat tiga orang sahabat yang masing-masing mempunyai niat yang baik untuk beribadat. Namun, niat yang baik sahaja tidak memadai. Ia perlu disertai dengan cara melakukan ibadat juga mesti baik. Tiadalah cara yang lebih baik melainkan apa yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Anas RA menceritakan ada tiga sahabat yang mendatangi rumah isteri Rasulullah SAW demi menanyakan bagaimana Baginda SAW dalam beribadah. Setelah mereka bertiga diberitahu perihal perbuatan Baginda SAW, mereka berasa ibadat mereka selama ini sangat sedikit, lalu berkatalah ketiga-tiganya: “Kita ini siapa dibandingkan dengan Rasulullah?! Padahal Baginda seorang yang telah diampuni dosa-dosanya baik yang lalu mahu pun yang akan datang.”

Kemudian seorang daripada mereka bertiga berkata: “Kalau begitu aku akan solat malam terus menerus (dan tidak tidur).”

Seorang lagi berkata: “Adapun aku, aku akan berpuasa seharian penuh dan tidak berbuka.”

Seorang lagi berkata: “Kalau aku, aku akan memisahkan diri daripada wanita dan tidak akan menikah selamanya.”

Tidak berapa lama kemudian, Rasulullah SAW mendatangi mereka seraya bertanya: “Apakah kalian yang tadi berkata demikian dan demikian? Adapun aku, demi ALLAH, sungguh aku adalah orang yang paling takut dan bertakwa kepada ALLAH di antara kalian. Akan tetapi bersamaan dengan itu, aku berpuasa dan aku pun berbuka. Aku solat dan aku pun tidur. Aku pun menikah dengan wanita. Dan siapa saja yang tidak suka dengan sunnahku, maka dia bukan daripada golonganku.” (Riwayat Muslim)

Lihatlah betapa Rasulullah SAW meraikan fitrah insan yang ada rasa letih, jemu, malas dan sebagainya. Fitrah ini jika dilanggar batasannya, ia akan membinasakan diri manusia. Bagi memastikan ibadah yang kita lakukan berkualiti dan dapat dihayati, Rasulullah SAW melarang kita melakukannya sehingga mengabaikan aspek fitrah dan hak-hak yang lain.

Sebagai contohnya, Rasulullah SAW melarang kita solat dalam keadaan yang sangat mengantuk. Sebaiknya elok berehat bagi memberikan hak kepada tubuh badan.

‘Aisyah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seorang daripada kamu berasa mengantuk di saat dia sedang solat, maka tidurlah supaya hilang rasa mengantuk tersebut. Ini kerana jika dia solat dalam keadaan mengantuk, maka dia tidak sedar kemungkinan dia ingin memohon ampun tetapi dia mencaci dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Berlebihan akan tertewas

Islam ini agama yang mudah jika amalannya berdasarkan kepada sunnah Rasulullah SAW. Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya agama itu mudah. Tidak ada seseorang yang berlebih-lebihan dalam agama kecuali akan tertewas.” (Riwayat Bukhari)

Terus melakukan amal soleh. Pastikan sesuatu amalan itu berdasarkan dalil yang sahih. Kemudian lakukanlah ia mengikut kadar kemampuan. Amalan yang sedikit secara berterusan lebih baik daripada yang banyak tetapi terputus-terputus.

Teruskan segala amal soleh yang dikerjakan. Berusaha untuk meningkatkan kualiti ibadah kita dari semasa ke semasa. Sama ada yang melibatkan ibadah khusus mahu pun ibadah umum.

Dalam usaha kita untuk meningkatkan kualiti ibadah khusus seperti solat, puasa, haji, membaca al-Quran dan sebagainya, jangan lupa bahawa urusan kehidupan kita sehari-harian juga boleh dijadikan sebagai ibadah.

Pekerjaan, hubungan persaudaraan, persahabatan, hubungan dengan haiwan, interaksi dengan alam dan lain-lain lagi juga termasuk di dalam ibadah, sekiranya dilakukan dengan niat yang ikhlas dan dengan cara yang menepati syariat.

Islam itu sederhana

Ada orang yang bersungguh-sungguh menunaikan ibadah khusus, namun tidak mengambil berat hal kehidupan lain yang sebenarnya boleh dijadikan ibadah juga. Rajin menunaikan solat berjemaah, mesti rajin juga dalam pekerjaannya.

Teliti dalam mengambil wuduk, perlu teliti juga menjaga kebersihan alam sekitar. Puasa sunat setiap minggu, harus difikirkan juga bagaimana untuk membantu golongan gelandangan dan mereka yang kemiskinan. Semangat membaca al-Quran, perlu bersemangat juga
melakukan kerja dakwah.

Muslim yang baik bukan sahaja mementingkan ibadah khusus, namun turut juga mengambil berat mengenai aspek kehidupan yang lain berlandaskan ajaran agama.

Inilah agama yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Islam bukan hanya berlegar dalam masjid, bahkan menyelinap masuk dalam segenap aspek urusan lain.

Islam mesti dibawa ke pejabat, ladang ternakan, kebun tanaman, restoran, pasar malam, atas daratan, dalam lautan, tengah hutan, padang sukan, institusi pendidikan sehinggalah ke dalam parlimen dan pusat pemerintahan.

Jika di dalam masjid, kita begitu beradab sopan, menunaikan solat dengan mengikut peraturan, tidak berani melakukan perkara yang membatalkan solat, sentiasa fokus kepada hubungan seorang hamba dengan Tuhannya. Maka, sepatutnya nilai, prinsip dan disiplin yang sama juga diaplikasikan dalam kehidupan luar masjid.

Islam bukan hanya di masjid. Sebab itu, Islam adalah ad-Deen, sebuah cara hidup. Cara hidup yang ideal. Justeru, kehidupan Muslim harus menjadi kehidupan yang ideal. Tidak kurang dan tidak berlebihan melampaui batasan yang ditetapkan.

Kawal Cinta Ikut Agama

ISTILAH cinta adalah satu pengertian yang terlalu besar dan luas maknanya. Cinta lahir dari hati yang suci. Cinta juga lahir dari akal dan emosi.

Cinta juga sering dikaitkan dengan cita-cita. Cinta dikatakan pembakar semangat untuk mencapai cita-cita. Tapi sebagai manusia biasa kita harus ingat ada kalanya melalui cinta juga akan membuatkan hidup resah gelisah.

Melalui cinta juga mampu meruntuhkan institusi keluarga. Melalui cinta juga ada yang jatuh tertiarap ke jurang dosa.

Sebagai manusia berakal fikiran yang waras, seharusnya kita mengetahui apakah jenis cinta yang boleh membuatkan kita berjaya mencapai cita-cita dan seharusnya kita mengetahui mahligai cinta yang manakah mampu membuatkan kita berjaya dan bahagia hingga ke syurga.

Mana satukah cinta yang membawa kejayaan dan adakah cinta yang membawa kepada kehancuran?

Seperti yang dijelaskan secara ringkas di atas, cinta adakala membawa kita berjaya mencapai cita-cita, ada kalanya cinta mampu membawa kita ke jurang kehancuran. Di sini dapat kita bahagikan cinta kepada tiga bahagian:
i.    Cinta kepada ALLAH SWT
ii.   Cinta kepada Rasulullah SAW
iii.  Cinta kepada manusia
iv.   Cinta kepada alam

Jika dilihat kepada pembahagian kategori cinta tersebut, seharusnya manusia tahu apakah keutamaan cinta yang perlu didahulukan mengikut hierarkinya. Dalam percaturan hidup manusia, memang tidak dinafikan manusia memerlukan cinta dalam memenuhi fitrahnya.

ALLAH berfirman: “Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh, ALLAH yang melimpah rahmat-Nya akan menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang…” (Surah Maryam: 96)

ALLAH menerangkan lagi dalam firman-Nya: “Dan ketahuilah! Bahawasanya dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah dia menurut kehendak kamu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi (Rasulullah SAW tidak menurut melainkan perkara yang diwahyukan kepadanya, dan kamu wahai orang-orang yang beriman hendaklah bersyukur kerana) ALLAH menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta diperhiaskannya dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus…” (Surah Al-Hujurat: 7)

Daripada dua ayat di atas jelaslah sebagai manusia yang dianugerahkan akal fikiran kita seharusnya mengutamakan cinta kepada ALLAH dan Rasul-Nya mendahului cinta kepada manusia. Kerana ALLAH yang menciptakan kita. ALLAH juga menciptakan cinta dan hati. Jadi untuk memiliki cinta dan menakluki hati maka kita seharusnya mencintai Pencipta Cinta dan Pemilik Hati.

SELEPAS tertanam kuat dalam hati mencintai ALLAH dan kekasih-Nya sebagai yang utama, cinta kepada manusia pasti lahir dengan fitrah semula jadi yang dihiasi reda-Nya.

Dalam Surah Ar-Rum ayat 21 dan Surah At-Tahrim ayat 6, ALLAH menjelaskan setiap pasangan itu dikurniakan kasih sayang yang dianugerahkan ALLAH dan sebagai orang yang beriman kita bertanggungjawab menjaga dirinya dahulu untuk mencintai ALLAH dan rasul dan mentaati segala arahan serta menjauhkan segala yang dilarang.

Cinta diredai

Pendakwah dan perunding motivasi, Siti Fatahiyah Mahamood berkata, setelah jiwa dan iman kita kuat barulah kita berfikir untuk berkeluarga dan mendidik keluarga ke jalan yang diredai dengan penuh cinta dan kasih sayang. Perlu dititikberatkan didikan tersebut juga perlu didasari dengan perasaan cinta dan kasih sayang.

“Tanpa kasih sayang, kita tidak akan mungkin dapat mendidik insan yang disayangi dengan ikhlas dan sepenuh hati. Di sini dapat kita lihat sekali lagi Islam menitikberatkan peranan perasaan kasih sayang dalam dakwah dan juga pendidikan.

“Berbalik kepada perbincangan berkaitan inti pati Surah Ar-Tahrim di atas, bagaimanakah seharusnya kita mendidik jiwa seseorang dan mendidik keluarga agar kita dapat kecapi kedua-dua cinta dan cita-cita?,” katanya kepada Rehal.

Menurutnya, untuk menghuraikan persoalan bagaimana mendidik jiwa seseorang itu untuk mencintai ALLAH dan rasul, Muslim itu hendaklah:

Mengawal akal fikirannya untuk memilih jalan yang diredai ALLAH melalui ibadat dan menjauhkan segala larangan kemaksiatan.

Melakukan segala ibadat dengan ikhlas niat kerana ALLAH tanpa menyekutukan-Nya.

Mendidik akal dan hati kita agar dapat mengamalkan Islam sebagai cara hidup secara sepenuhnya bukan hanya mengikuti separuh sahaja.

Beliau yang juga pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari (Acis), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam menjelaskan untuk mendidik ahli keluarga pula, pemimpin keluarga hendaklah:

Menunjukkan contoh teladan yang baik dalam semua aspek kehidupan. Ayat al-Quran di atas jelas menunjukkan bagaimana seseorang itu perlu mendidik akal dan jiwanya untuk mentaati ALLAH dan Rasul-Nya. Dalam hadis Rasulullah SAW juga banyak mendidik kita dalam semua aspek kehidupan agar dicontohi.

Memberi arahan atau nasihat mengikut waktu yang bersesuaian. Dalam hadis Rasulullah SAW banyak mengajar ibu bapa supaya menasihat ahli keluarga berkaitan hal yang umum secara terang-terangan di hadapan orang ramai atau pun secara bersendirian bagi menjaga penghormatan dan aibnya bagi perkara yang khusus. Rasulullah juga mengajar kita supaya mendidik dengan positif tanpa perasaan marah. ALLAH berfirman: “Disebabkan rahmat ALLAHlah engkau berlemah lembut. Sekiranya engkau berkeras hati nescaya mereka akan lari daripada sekitarmu. Maafkanlah mereka dan minta ampun untuk mereka…” (Surah Ali Imran: 159)

Mendoakan perkara yang baik untuk ahli keluarga dan menjauhkan mendoakan sebarang perkara keburukan. Riwayat Abu Daud dalam sabda Rasulullah SAW: “Janganlah kamu mendoakan perkara keburukan ke atas diri kamu, anak-anak kamu atau pembantu-pembantu kamu atau harta kamu kerana jika ketika bertepatan waktu dengan waktu ALLAH menurunkan pemberian kalian, sehingga doa kalian dimakbulkan ALLAH. Dalam Kitab Ihya Ulumuddin, Imam al-Ghazali juga melarang seorang ayah mendoakan keburukan ke atas anaknya yang durhaka.

Menguatkan minda dan fikiran anak-anak melalui pengajian al-Quran dan kisah-kisah yang terdapat di dalamnya.

Sentiasa memastikan keturunan kita keturunan yang beriman yang menjadikan al-Quran dan al-hadis sebagai rujukan utama dalam semua aspek kehidupan.

Mendidik ahli keluarga mencintai ilmu kerana melalui ilmu yang mampu membawa sesorang itu ke arah kejayaan. Ilmu yang berlandaskan syarak akan membawa kejayaan yang sempurna dalam mencapai kesempurnaan hidup dan dalam mencapai keredaan ALLAH.

Jelaslah untuk mencapai kejayaan dalam hidup seharusnya kita mendidik hati dan akal agar membawa cinta sebenarnya sebagai pembakar kepada cita-cita.

Marilah bersama kita amalkan garis panduan yang diberikan agar kejayaan yang dicitakan berlandaskan akar cinta kepada Pencipta sebagai yang utama. Jadikan diri kita contoh terbaik dalam mengejar cita-cita melalui reda cinta Pencipta agar mahligai cinta dan cita-cita membawa kejayaan dan kebahagiaan hingga ke hujung nyawa dan dibawa terus hingga ke syurga.

Belajar Ilmu Untuk Dekati Allah Bukan Untuk Dapat Kuasa Ajaib

Kelebihan seharusnya menjadikan kita lebih mentaati-Nya, bukan lupa diri.Secara fitrahnya, manusia lebih cenderung menyukai perkara yang pelik atau luar biasa. Tidak kiralah, ia dilakukan oleh manusia itu sendiri, haiwan atau alam semula jadi.

Fokus itu ada ketikanya menjadi berlebihan apabila ada daripada kalangan manusia cuba meniru atau berusaha mempelajari ‘ilmu’ luar biasa itu, semata-mata untuk menjadi popular.

Lebih mengharukan, apabila ada daripada kalangan manusia mengagungkan pelakunya sehingga ke tahap umpama tuhan atau seorang yang layak diangkat sebagai wakil-Nya untuk memimpin manusia ke arah jalan yang kononnya benar.

Dalam Islam, kebolehan sebegini dikaitkan dengan karamah iaitu kelebihan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada manusia biasa sebagai balasan atas amalannya.

Karamah adalah istilah daripada bahasa Arab bermaksud sesuatu kebolehan melakukan hal-hal luar biasa yang selalunya diberikan kepada kalangan mereka yang soleh, seperti wali Allah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati. Mereka itu ialah orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertakwa. Dan bagi mereka diberi berita gembira di dalam kehidupan dunia dan akhirat. (Yunus: 52-64).

Perbetul niat, matlamat menuntut ilmu

Namun secara realitinya, adalah sukar untuk membendung fitrah manusia itu. Keinginan memiliki karamah itu tetap menjadi idaman jiwa makhluk yang bernama manusia. 

Terbukti, dengan respon daripada cerita atau berita tentang individu yang memiliki kebolehan luar biasa itu menjadi tumpuan utama dalam media massa dan medium media baharu.

Seandainya ia berkait dengan seorang alim atau wali Allah SWT, sudah tentu, ramai yang akan mengkaji perihal keilmuan individu itu atau daripada aspek pengajian yang diperoleh sehingga membawa kepada penganugerahan karamah itu.

Antaranya adalah ilmu tarekat atau tasawuf yang dikatakan kerap menjadi tumpuan pembelajaran golongan alim tersebut.

Bagaimanapun, bagi pendakwah bebas, Dr. Mohd. Sukki Othman menyifatkan tanggapan itu sebagai sesuatu yang amat menyeleweng daripada matlamat tentang dua ilmu Islam itu sendiri.

Malah tambah Mohd. Sukki, umat Islam juga seharusnya menyedari bahawa perkara atau kelakuan luar biasa turut dikaitkan dengan sihir.

“Mereka sebenarnya keliru iaitu belajar ilmu tarekat atau tasawuf dengan tujuan hendak mendapatkan karamah. Ini sebenarnya, tidak betul daripada segi matlamat keilmuan dua ilmu Islam itu.

“Ilmu karamah dan istidraj itu bermatlamat untuk mengenal Allah SWT, seterusnya beramal untuk menghampirkan diri kepada-Nya dan ia tidak ada kena mengena dengan karamah,” kata Pensyarah Kanan Bahasa Arab dan I’jaz al-Quran, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Ternyata apabila niat untuk belajar itu sudah menyeleweng, maka tidak hairanlah seseorang itu mendakwa telah mendapat karamah. Hakikatnya, ia bukan daripada Allah SWT tetapi daripada syaitan.

Ini kerana, syaitan akan mudah menguasai jiwa dan hati manusia yang tidak mempunyai niat yang betul dalam menuntut ilmu dunia atau akhirat.

“Apa tidaknya, sikap sebegini pada akhirnya, dia akan membelakangkan syariat Allah SWT dan sunah Rasulullah SAW dalam menuntut ilmu,” katanya.

Justeru, apabila kita melihat ada manusia yang mampu berjalan di atas air atau terbang, ia tidak seharusnya dikaitkan dengan karamah kerana ia juga ada kaitan dengan kuasa sihir atau bantuan jin.

Bahkan, kelebihan atau perkara luar biasa seperti itu sering kali membawa kepada satu bentuk perlawanan bagi menentukan siapakah yang lebih hebat di antara mereka.Lantaran itu, Mohd. Sukki berkata, para ulama banyak menyebut bahawa jangan mudah terpedaya sekiranya terlihat atau terdengar cerita-cerita berkisar tentang kebolehan luar biasa seseorang sebagaimana yang dicontohkan tadi.

“Orang kita ini, apabila melihat atau menyaksikan benda-benda pelik, dengan mudah akan mengatakan ia satu bentuk karamah, sedangkan perkataan itu membawa nilai yang baik, hebat dan diberikan kepada orang yang rapat dengan Allah SWT.

“Karamah tidak sentiasa berlaku tetapi ia muncul dalam keadaan tertentu atas sebab tertentu. Mereka yang memperoleh karamah itu tidak merasakan ia sebagai satu kelebihan,” katanya.

Sehubungan itu, Islam menuntut penganutnya supaya mencari ketakwaan dan kemuliaan diri di sisi Allah SWT dengan cara mengikut segala perintah dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya.

“Tugas kita adalah melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya. Maka, sepatutnya tidak mencari benda yang bukan hakiki tugas kita,” tegas Mohd. Sukki.

Bimbang kemurkaan Allah

SEMENTARA itu, seorang ahli fikh takhassus al-Quran dan qiraat, Mohd. Asraff Ayob Al-Hafiz yang ditemui di pejabatnya di Kajang, baru-baru ini melahirkan kebimbangan berhubung keinginan umat Islam untuk memiliki karamah itu.

Kekhuatiran ini bersandarkan kepada sifat-sifat karamah itu sendiri yang mampu menyebabkan seseorang itu berisiko untuk mendapat kemurkaan Allah SWT tanpa disedari.

Malah, ada ketikanya individu itu mungkin menganggapnya sebagai karamah, sedangkan ia sebenarnya istidraj.Jelas Mohd. Asraff antara petanda yang jelas adalah hatinya tetap tidak terbuka untuk terus taat kepada perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW, walaupun memperoleh rezeki yang melimpah ruah melalui kebolehan luar biasanya itu.

“Baginya kelebihan atau kebolehan luar biasa itu adalah kerana Allah SWT sayang akan dia tetapi sebenarnya akan membawa kepada kesesatan kerana gagal salah satu bentuk ujian daripada Allah SWT.

“Itulah yang dipanggil sebagai istidraj dan ini jelas dalam surah al-A’raf ayat 182 yang bermaksud: Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, nanti Kami akan menarik mereka dengan beransur-ansur (ke arah kebinasaan), dengan cara yang tidak mereka ketahui,” katanya.

Begitu pun, Mohd. Asraff berpendapat kedua-dua anugerah itu sebagai satu ujian untuk menentukan sejauh manakah ketaatan kita kepada Allah SWT.

“Sebab itulah, apabila kita mendapat rezeki atau nikmat Allah SWT, kita perlu berdoa supaya ia bukan istidraj.“Ini kerana, nikmat itu adalah satu perkara yang diberikan Allah SWT dengan tujuan supaya kita lebih banyak bersyukur,” katanya.

Justeru, Mohd. Asraff mengutarakan nasihat supaya kita tidak perlu mengutamakan pencarian karamah tersebut, sebaliknya memberi tumpuan kepada amalan istiqamah.Ini kerana, amalan tersebut Allah SWT kurniakan kepada setiap makhluk-Nya, sedangkan karamah dan istidraj hanya untuk orang tertentu.

“Kita kena istiqamah dan kalaulah kiranya mendapat karamah, ia satu kelebihan tetapi kalau tidak dapat pun, bukan bermakna Allah SWT tidak suka. Mungkin Allah SWT iktiraf dalam bentuk lain,” katanya.

Namun secara realitinya, adalah sukar untuk membendung fitrah manusia itu. Keinginan memiliki karamah itu tetap menjadi idaman jiwa makhluk yang bernama manusia. 

Terbukti, dengan respon daripada cerita atau berita tentang individu yang memiliki kebolehan luar biasa itu menjadi tumpuan utama dalam media massa dan medium media baharu.

Seandainya ia berkait dengan seorang alim atau wali Allah SWT, sudah tentu, ramai yang akan mengkaji perihal keilmuan individu itu atau daripada aspek pengajian yang diperoleh sehingga membawa kepada penganugerahan karamah itu.

Antaranya adalah ilmu tarekat atau tasawuf yang dikatakan kerap menjadi tumpuan pembelajaran golongan alim tersebut.

Bagaimanapun, bagi pendakwah bebas, Dr. Mohd. Sukki Othman menyifatkan tanggapan itu sebagai sesuatu yang amat menyeleweng daripada matlamat tentang dua ilmu Islam itu sendiri.

Malah tambah Mohd. Sukki, umat Islam juga seharusnya menyedari bahawa perkara atau kelakuan luar biasa turut dikaitkan dengan sihir.

“Mereka sebenarnya keliru iaitu belajar ilmu tarekat atau tasawuf dengan tujuan hendak mendapatkan karamah. Ini sebenarnya, tidak betul daripada segi matlamat keilmuan dua ilmu Islam itu.

“Ilmu karamah dan istidraj itu bermatlamat untuk mengenal Allah SWT, seterusnya beramal untuk menghampirkan diri kepada-Nya dan ia tidak ada kena mengena dengan karamah,” kata Pensyarah Kanan Bahasa Arab dan I’jaz al-Quran, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Ternyata apabila niat untuk belajar itu sudah menyeleweng, maka tidak hairanlah seseorang itu mendakwa telah mendapat karamah. Hakikatnya, ia bukan daripada Allah SWT tetapi daripada syaitan.

Ini kerana, syaitan akan mudah menguasai jiwa dan hati manusia yang tidak mempunyai niat yang betul dalam menuntut ilmu dunia atau akhirat.

“Apa tidaknya, sikap sebegini pada akhirnya, dia akan membelakangkan syariat Allah SWT dan sunah Rasulullah SAW dalam menuntut ilmu,” katanya.

Justeru, apabila kita melihat ada manusia yang mampu berjalan di atas air atau terbang, ia tidak seharusnya dikaitkan dengan karamah kerana ia juga ada kaitan dengan kuasa sihir atau bantuan jin.

Bahkan, kelebihan atau perkara luar biasa seperti itu sering kali membawa kepada satu bentuk perlawanan bagi menentukan siapakah yang lebih hebat di antara mereka.Lantaran itu, Mohd. Sukki berkata, para ulama banyak menyebut bahawa jangan mudah terpedaya sekiranya terlihat atau terdengar cerita-cerita berkisar tentang kebolehan luar biasa seseorang sebagaimana yang dicontohkan tadi.

“Orang kita ini, apabila melihat atau menyaksikan benda-benda pelik, dengan mudah akan mengatakan ia satu bentuk karamah, sedangkan perkataan itu membawa nilai yang baik, hebat dan diberikan kepada orang yang rapat dengan Allah SWT.

“Karamah tidak sentiasa berlaku tetapi ia muncul dalam keadaan tertentu atas sebab tertentu. Mereka yang memperoleh karamah itu tidak merasakan ia sebagai satu kelebihan,” katanya.

Sehubungan itu, Islam menuntut penganutnya supaya mencari ketakwaan dan kemuliaan diri di sisi Allah SWT dengan cara mengikut segala perintah dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya.

“Tugas kita adalah melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya. Maka, sepatutnya tidak mencari benda yang bukan hakiki tugas kita,” tegas Mohd. Sukki.

CARA HILANGKAN MASALAH CAKAP GAGAP

Gagap?, bagi penampar sekali selesai masalah. Jangan ikut pula cara ini penulis bergurau sahaja sila abaikan

Menurut kajian gagap merupakan masalah gangguan komunikasi yang dihadapi oleh sesetengah individu dan masalah gagap ini turut dikaitkan dengan penyakit keturunan

Bagi individu yang menghadapi masalah gagap ini, mereka akan hilang keyakinan diri apabila berhadapan dengan orang ramai terutamanya dalam bahagian yang memerlukan komunikasi

Malah hasrat yang ingin diluahkan terpaksa dipendam dek masalah pertuturan yang tersekat-sekat atau mengambil masa yang lebih lama untuk menghabiskan perkataan sehingga membuatkan orang yang menunggu itu tersenyum sinis

Dari pengalaman penulis, orang yang menghadapi gejala ini mudah ditindas, sebagai contoh dirinya tidak bersalah ekoran masalah gagap yang dihadapi dia dianggap bersalah kerana pertuturan yang tersekat-sekat itu menjadi penyebab

Ini kerana ramai yang beranggapan orang yang gagap ketika bercakap dalam situasi untuk mempertahankan dirinya daripada suatu tuduhan dianggap cuba berbohong.Menariknya, individu yang menghadapi masalah gagap ini, ketika menyanyi lancar pula menyebut lirik lagu tersebut
Bagi yang menghadapi masalah ini mungkin boleh mencuba teknik-teknik berikut untuk mengatasinya

Membayangkan Bercakap Seperti Menyanyi

Gagap hanya berlaku ketika bercakap tetapi tidak semasa menyanyi. Walaupun tidak dapat dikenalpasti sebabnya, tapi cuba gunakan teknik ini dalam memperbaiki pertuturan

Mungkin kedengaran lucu, namun cubalah berbicara seolah-olah seperti menyanyi, cara ini secara tidak langsung boleh mengekalkan konsentrasi ketika berbicara

Bercakap Secara Perlahan-Lahan

Ambil masa untuk menghabiskan sesuatu ayat. Bercakap dengan kadar yang lebih perlahan akan membantu seseorang merangka terlebih dahulu kata-kata yang mahu diucapkan dalam fikiran

Teknik ini dapat mengurangkan tekanan dan pertuturan akan menjadi dengan lebih baik. Jika kerap diamalkan lama -kelamaan frekuensi gagap akan menurun dan membuatkan pertuturan menjadi lebih lancar dan cepat

Menarik Nafas Dalam-Dalam Sebelum Bercakap

Jika stres menjadi punca berbicara gagap, tarik nafas sedalam- dalamnya sebelum meneruskan pertuturan yang tersangkut

Latihan pernafasan seperti ini boleh membantu menenangkan. Seperkara lagi, pernafasan yang betul akan memberi waktu jeda antara kata-kata. Seseorang itu akan mengalami kesukaran untuk bercakap ketika dalam keadaan pernafasan yang tersekat-sekat

Membuat Latihan Membaca Dengan Kuat

Membaca dengan kuat akan memberi konsentrasi ketika bertutur. Ketika membaca, cuba sebutkan perkataan tersebut berulang-ulang dan cuba cari nada dan kadar kelajuan yang bersesuaian

Selain itu, latihan ini juga akan membantu seseorang itu memilih dan menggantikan perkataan yang lebih mudah dan lancar disebut

Berfikiran positif

Buang perasaan rendah diri dan jangan malu untuk bercakap. Senantiasa positif yang kekurangan boleh diperbaiki dan diatasi. Minta sokongan orang di sekeliling dalam menghadapi masalah ini

Masalah ini bukan boleh diatasi hanya dalam sehari dua, dalam erti kata lain, jangan putus asa dan terus konsisten untuk mengatasinya.

‘Hati Mati’ Doa Tak Makbul

Cepat atau lambatnya doa diperkenankan adalah urusan Allah SWT. Bagaimanapun doa yang tidak dimakbulkan disebabkan jiwa dan hati berprasangka buruk terhadap Allah SWT selain tidak menuruti adab berdoa. Oleh itu, amalan baik menjadi kunci doa dimakbulkan.

Ikuti kupasan doa oleh Ustaz Syed Mohd Norhisyam dalam rancangan Tarbiah. Rasulullah SAW bersabda: “Doa seseorang sentiasa akan dimakbulkan selama dia tidak berdoa untuk perbuatan dosa atau pun untuk memutuskan tali silaturahim dan tidak terburu-buru. Seorang sahabat bertanya: Ya Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan terburu-buru? Rasulullah SAW menjawab: Yang dimaksudkan dengan terburu-buru adalah apabila orang yang berdoa itu mengatakan: Aku telah berdoa dan terus berdoa, tetapi belum juga dikabulkan. Setelah itu, ia berasa putus asa dan tidak pernah berdoa lagi.” (Riwayat Muslim)

Doa adalah satu bentuk harapan kerana manusia sangat mengharap pertolongan dan bantuan daripada Allah SWT. Rasulullah SAW menjelaskan doa adalah senjata bagi Mukmin. Ini bermakna besarnya peranan dan kedudukan doa pada saat tiada tali kebergantungan selain doa kepada Allah SWT. Menerusi rancangan Tarbiah, Ustaz Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang menjelaskan, Allah SWT yang Maha Pengasih dan Penyayang tidak pernah lupa untuk memakbulkan doa hamba-Nya yang ikhlas mengharap ihsan-Nya. Allah SWT tahu apakah perkara baik dan tidak baik untuk setiap hamba-Nya. Doa kita kepada Allah SWT ada yang dimakbulkan-Nya dan ada juga belum diperkenankan. Malah ada doa yang tidak dimakbulkan langsung. Allah berhak tidak makbul doa Allah SWT yang Maha Berkuasa berhak untuk tidak memakbulkan doa hamba-Nya jika perkara yang diminta itu tidak membawa sebarang kebaikan. 

Hikmah di sebalik setiap doa yang tidak dimakbulkan kerana Allah SWT memberikan apa yang manusia perlu bukan apa yang dia mahu. Berkongsi lebih lanjut mengenai doa yang tidak dimakbulkan Allah SWT, Syed Mohd Norhisyam berkata, sesungguhnya kita perlu yakin dan percaya bahawa Allah SWT telah berjanji tidak akan membiarkan dan menghampakan hamba-Nya yang memohon sesuatu dengan sepenuh hati kepada-Nya. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan aku perkenankan permohonan itu.” (Surah Mukmin, ayat 60)

Antara ciri-ciri doa yang tidak dimakbulkan adalah doa yang tidak dilakukan secara sepenuh hati. Ertinya, doa yang dimohon kepada Allah SWT, tetapi tidak disertakan dengan keyakinan terhadap kasih sayang dan kekuasaan Allah SWT. Melalui satu riwayat mengenai ulama terkenal iaitu Al-Imam al-Faqih Abu al-Lais yang didatangi satu kumpulan pemuda, ingin menanyakan perihal doa mereka. Selepas berkali-kali mereka berdoa, tetapi tidak pernah dimakbulkan oleh Allah SWT. Lalu mereka mempertikaikan ayat al-Quran mengenai Allah SWT memperkenankan doa mereka. 

Antara ayat itu ialah firman Allah SWT yang bermaksud: “Apabila hamba-Ku bertanya mengenaiKu, maka jawablah bahawasanya Aku adalah dekat, Aku perkenankan orang yang berdoa.” (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Lalu mereka bertanya lagi, apakah ayat al-Quran itu silap atau salah? Al-Imam al-Faqih menjawab: “Ayat itu tidak ada yang silap atau salah. Tetapi yang berdoa itu tidak pernah ambil tahu mengenai kesalahan atau kesilapannya. Oleh itu, wahai orang muda! Jangan pernah ada di hati kamu mempertikaikan ayat al-Quran itu. Seterusnya imam yang mulia itu berkata: Sebab doa tidak disahut oleh Allah SWT kerana hati orang yang berdoa itu mati.” 

Begitu juga dalam satu riwayat lain, kisah seorang ahli sufi yang sangat masyhur bernama Ibrahim Adham. Beliau pernah ditanya oleh orang ramai ketika berada di tengah pasar Basrah di Iraq: “Mengapa doa kami tidak dimakbulkan Allah SWT, pada hal kami selalu berdoa? Lalu Ibrahim Adham menjawab: Doa tidak dikabulkan kerana hati kamu telah buta (mati).” 

Bersih jiwa daripada prasangka Oleh itu, setiap Mukmin wajib membersihkan jiwa dan hatinya daripada sebarang prasangka buruk terhadap Allah SWT. Sebaliknya, memperbanyakkan istighfar dan amalan yang mendekatkan diri kepada-Nya. Hati yang hidup dengan zikrullah dan selawat kepada Baginda Rasulullah SAW akan sentiasa hidup dan dekat dengan-Nya. Amalan yang baik inilah menjadi kunci kepada mudahnya doa kita dimakbulkan Allah SWT.

Menurut Mohd Norhisyam, ada beberapa adab dan peraturan disunahkan supaya mendapat kelebihan dan barakah daripada Allah SWT serta supaya doa dimakbulkan. Berdoalah dengan suara yang lembut, penuh keyakinan terhadap Allah SWT, menghadap kiblat, berwuduk, berdoa pada waktu mustajab dengan merendah diri dan mengharapkan hanya kepada Allah SWT. Doa orang yang tidak dimakbulkan oleh Allah SWT antaranya disebabkan seorang itu mengakui wujudnya Allah SWT, tetapi tidak pernah menunaikan hak dan tanggungjawab kepada Allah SWT. Membaca al-Quran, tetapi tidak pernah mengamalkannya, mengakui umat Nabi Muhammad SAW, tetapi tidak pernah mengamalkan sunahnya, tidak pernah bersyukur terhadap segala nikmat kurniaan Allah SWT, mengakui mati itu adalah benar, tetapi tidak pernah bersedia untuknya. 

Oleh itu, marilah kita membersihkan hati dengan menjadi Mukmin yang bertakwa kepada Allah SWT dan pada masa sama meyakini ayat suci al-Quran serta hadis Nabi Muhammad SAW. Mudah-mudahan kita menuruti adab berdoa kepada Allah SWT supaya doa kita dimakbulkan-Nya. Diriwayatkan oleh at-Tarmizi, “Rasulullah SAW pernah ditanya: Doa yang manakah yang paling didengar (diterima)? Jawab Baginda: Doa pada akhir malam dan selepas solat wajib.”

Ujian Allah Mengukur Tahap Iman

Usah bersedih jika kita diuji Allah. Hidup ini merupakan satu ujian kepada makhluk Allah, dan di akhirat kita akan mendapat balasan ke atas apa-apa jua yang kita lakukan di dunia ini. Oleh sebab itu, setiap yang berlaku terhadap diri kita merupakan satu ujian. Lagi susah kita mendapat ujian, lagi tinggilah makam kita di sisi Allah SWT. Jangan mengeluh, menyalahkan, dan merungut apabila menerima ujian Allah, kerana Allah sedang menyediakan markah atau pahala yang tinggi kepada hamba-Nya yang reda.

Terimalah semua perkara yang berlaku, sebagai qada dan qadar Allah. Yang semuanya telah ditakdirkan Allah kepada kita hamba-Nya, dan tidak terdaya kita mengelakkannya. Sebab kita tidak boleh kawal apa yang berlaku ke atas kita, tetapi kita hanya boleh kawal respons kita terhadap apa yang berlaku berdasarkan pilihan kita (negatif atau positif). 

PERISTIWA + RESPONS = HASIL KEHIDUPAN kita. Oleh sebab itu faktor yang menentukan HASIL KEHIDUPAN kita (4K= Ketenangan, Kebahagiaan, Kesihatan dan Kekayaan) adalah respons kita.

Bagaimanakah kita hendak menghadapi ujian Allah? Kita mesti yakin, bahawa Allah hanya beri ujian atas apa yang hamba-Nya boleh tangani. Sebab itu setiap orang akan menghadapi, cabaran, cubaan atau ujian yang berlainan atau berbeza-beza berdasarkan kemampuan kita.

Contohnya, kalau ada orang yang diuji Allah, ditakdirkan kematian seorang anak terunanya kerana kemalangan jalan raya, ada orang pula diuji kematian seluruh keluarganya kerana kemalangan jalan raya.

Lantaran itu, setiap kali kita berhadapan dengan ujian Allah, pada saat kita hendak berasa sedih dan hilang semangat, lihatlah dan kenangkanlah orang lain yang lebih berat ujiannya, jika dibandingkan dengan yang kita alami. Itu adalah satu cara proses “reset minda”.

Jom audit diri dan marilah kita melihat masalah atau ujian Allah itu, sebagai satu peluang untuk kita dapat dua perkara. Pertama, macam mana dengan sebab ujian itu kita akan menjadi lebih dekat dengan Allah. Kedua, bagaimana dengan peristiwa itu, kita belajar tentang diri kita. Sebab kita akan lebih mengenali diri kita sebaik-baik sahaja kita ada masalah.

Dalam keadaan bahagia manusia tidak tahu dirinya yang sebenar. Tetapi, dalam keadaan bermasalah dan krisis, baru kita tahu diri kita yang sebenar. Iaitu ukurannya berdasarkan respons atau tindak balas kita terhadap sesuatu peristiwa negatif itu.

Apakah reaksi spontan kita apabila berlaku peristiwa negatif? Contohnya, kalau orang yang hidup dengan kesedaran ketuhanan (mukmin sejati), apabila berlaku kemalangan kereta, reaksi spontannya, dia akan pergi tengok kereta orang dahulu, sama ada kemek atau tidak, bukan dia tengok keretanya dahulu.

Seorang mukmin sejati, sangat sayang sesama manusia dan dia akan segera memohon maaf dan mengambil tanggungjawab atas kesilapannya. Tetapi, orang yang kesedaran keegoannya tinggi, tidak pedulikan perasaan dan kebajikan orang, asyik fikir dirinya, yang penting keretanya dan dia hanya mencari siapa salah, serta sikapnya akan menyalahkan orang. Perhatikan, dua peristiwa yang sama, tetapi menghadapi respons yang berbeza.

Respons itu positif atau negatif, berdasarkan atau bergantung pada kemantapan akidah, ibadah dan akhlak seseorang itu dalam menangani ujian Allah.

Bagaimanakah pula kita melihat ujian Allah itu? Bagi orang yang berjiwa besar, masalah akan menjadi kecil. Orang berjiwa kecil semua masalah menjadi besar. Kalau hendak tahu kita berada dalam kelompok yang mana, sama ada dalam kalangan orang yang kesedaran ketuhanan yang tinggi atau kesedaran keegoan yang tinggi, kita nilai percakapan yang keluar daripada mulut kita apabila ditimpa musibah.

Menyalahkan

Kalau berlaku sesuatu musibah atau ujian Allah, kita akan berkata perkara yang negatif seperti, “saya serabut,” “memang Tuhan tidak sayang saya,” “Allah tak adil,” dan “nasib saya memang malang selalu,” maka kita perlu “reset minda.”

Iaitu ubah cara atau persepsi kita terhadap kejadian buruk yang berlaku ke atas kita itu, dengan melihat segala kejadian buruk itu sebagai ujian Allah untuk melihat tahap keimanan kita. Jika kita asyik merungut, mengeluh dan menyalahkan orang serta menyalahkan ketidakadilan Allah, kita akan menjadi semakin lemah, hilang semangat dan keyakinan, untuk terus menempuh hidup yang lebih mencabar setelah ditimpa ujian Allah.

Oleh sebab itu, kalau kita hendak tahu kuat atau tidak akidah kita, apabila sesuatu berlaku sama ada positif atau negatif, kita mesti ingat Allah dahulu. Kalau sesuatu yang berlaku kita ingat makhluk, itulah yang penat.

Kita penat sebab kita sibuk dengan makhluk. Kalau kita bermasalah pun kita letakkan harapan dan pergantungan kita kepada Allah Yang Maha Berkuasa. Bayangkan kalau kita sedang berjalan mengangkat satu beg atau beban yang berat, tiba-tiba datang orang hendak membantu kita, tentu kita akan berasa lega kerana ada orang yang sanggup bersama-sama kita menggalas beban yang berat itu.

Tetapi, kalau kita hendak berkongsi menggalas beban yang berat bersama-sama orang yang lemah sama seperti kita (makhluk Allah), tentu tiada maknanya. Makhluk tidak dapat meringankan atau menyelesaikan masalah kita, bahkan sebaliknya membuatkan masalah kita menjadi lebih rumit. Jangan sesekali bergantung kepada makhluk, jangan minta orang bimbing kita tetapi kita pergilah mencari ilmu. Mantapkan ilmu, berguru dan perbetulkan diri kita.

Contohnya, ada orang yang diuji Allah kehilangan penglihatan, sesudah tamat pengajiannya. Orang yang menerima ujian ini perlu mencari penyelesaian dari segi luarannya, dengan mendaftar sebagai orang cacat penglihatan bagi membolehkannya mencari peluang pekerjaan bersesuaian dengan kemampuannya.

Seterusnya carilah penyelesaian dari segi dalaman pula, dengan cara hapuskan kesedihan, perasaan rendah diri dan merungut akan kelemahan dirinya dengan cara pertama, jangan fokus kepada apa yang kita tidak ada, tetapi fokuslah kepada apa yang kita ada, (terlalu banyak lagi yang kita ada yang masih sempurna).

Kedua, jangan kita terlalu fokus kepada perkara yang lepas (dahulu kita nampak, sekarang sudah tidak nampak), kerana akan melemahkan semangat). Ketiga, kita fokus kepada apa yang orang hendak untuk kita, bukan apa yang kita hendak. Ingatlah, Allah tidak akan memberi sesuatu kecuali untuk kebaikan hamba-Nya, biarpun ia merupakan perkara yang buruk di mata kita hamba-Nya. Sabar dan reda, serta rasakan dugaan daripada Allah itu tanda Allah sayang akan kita.

Pejamkan mata rapat-rapat, kita akan dapat bayangkan banyak perkara baik yang boleh kita fokus, sebab apabila kita menutup “mata fizikal”, “mata hati” akan terbuka. Bayangkan, orang yang diuji Allah di dunia nampak susah, tetapi dari segi akhirat jika kita sabar dan reda, kita akan mendapat kesejahteraan hidup di sana.

Penyakit dan masalah manusia hari ini adalah kerana lebih yakin kepada manusia daripada keyakinan kepada Allah. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak.”

2 Hak Anak Wajib Ditunai

IBU bapa memberikan kasih sayang dan memastikan masa depan anak terjamin.

Rancangan Pesona D’Zahra minggu ini membicarakan tajuk amat dekat dengan kita semua yang berada dalam sesebuah institusi keluarga iaitu, hak anak.

Perkongsian kali ini dibawakan Pengarah Pusat Media Institut Kefahaman Islam (IKIM), Dr Nik Roskiman Abdul Samad. Berkenaan tajuk ini, ada sebuah kisah ketika Amirul Mukminin Saidina Umar al-Khattab menjadi khalifah yang mana suatu hari seorang lelaki datang berjumpa dengannya mengadu perihal anaknya yang didakwa derhaka kepadanya. Umar memanggil anak yang dikatakan derhaka itu. Beliau mengadili anak itu secara berhadapan dengan ayahnya. Dalam majlis pengadilan itu, si anak meminta khalifah menyatakan hak anak terhadap ayahnya.

Khalifah Umar menyatakan bahawa: “Antara hak anak terhadap ayahnya adalah ayah hendaklah mencari isteri yang baik untuk menjadi ibu kepada anaknya yang bakal lahir ke dunia. “Setelah anak itu lahir, hendaklah si ayah memberikan nama kepadanya dengan nama yang baik. Setelah anak itu besar, hendaklah diajar membaca al-Quran.” Mendengar demikian, si anak lantas berkata: “Wahai Amirul Mukminin! Itu semua tidak dilaksanakan oleh ayahku. Ibuku daripada orang Majusi yang menyembah api. Namaku nama yang tidak baik dan aku tidak diajar membaca al-Quran.”

Khalifah Umar melihat ke arah lelaki yang membuat aduan sambil berkata kepadanya: “Apakah engkau datang ke sini untuk mengadu kelakuan anakmu derhaka kepadamu? Ternyata engkau derhaka kepadanya sebelum dia derhaka kepadamu. Engkau berbuat jahat kepadanya sebelum dia berbuat jahat kepadamu.” Anak rezeki daripada Allah Anak adalah rezeki daripada Allah SWT.

Pasangan yang dikurniakan zuriat mestilah bersyukur atas rezeki kurniaan Allah itu. Di antara bentuk rasa syukur adalah memperhatikan hak anak. Ibu bapa yang menunaikan hak anaknya akan melahirkan anak yang taat kepada orang tuanya dan terbentuklah watak anak salih yang menjadi tonggak pemimpin agama, bangsa dan negara. Islam mengajar manusia dalam seluruh aspek kehidupan. Mengikut Islam, peranan ibu bapa amat besar. Merekalah yang bertanggungjawab ke atas masa hadapan anak. Mereka bertanggungjawab memperkenalkan kepada anak nilai kasih sayang, erti kehidupan dan keperluan kepada pengorbanan dalam menunaikan tanggungjawab.

Dalam sebuah hadis disebut: “Setiap anak dilahirkan atas fitrah, maka kedua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, atau Nasrani atau Majusi”. Fitrah di sini bermaksud Islam. Oleh itu, setiap anak dilahirkan sebagai seorang Muslim, maka ibu bapanya yang bertanggungjawab memberikan ajaran agama yang sempurna supaya anak itu kekal di atas fitrah Islamnya dan memastikan anak itu tidak dipengaruhi oleh suasana persekitaran negatif dan boleh menjejaskan fitrah imannya. Dalam sebuah hadis lain pula Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya bagi jasad kamu ke atas kamu ada hak dan sesungguhnya bagi anak kamu ke atas kamu ada hak”. (Riwayat Muslim).

Disebutkan dalam perkongsian minggu ini, Dr Nik Roskiman menjelaskan, Islam mengajarkan hak anak yang harus dipenuhi oleh kedua orang tuanya. Di antara hak anak dalam Islam adalah sebagai berikut: Memilih ibu yang baik Sebelum anak dilahirkan lagi, Islam menetapkan bahawa hak seorang anak ialah memiliki ibu yang baik. Hak ini jarang disedari oleh kita kerana menyangka bahawa hak anak itu bermula sejak hari kelahirannya, bahkan sebaliknya ia sebenarnya bermula sebelum mereka lahir lagi. Justeru, seorang yang akan berkahwin harus mengambil perhatian dengan siapa dia akan melayari kehidupannya.

Rasulullah SAW mengajarkan kepada umatnya yang ingin berkahwin untuk memilih wanita yang salihah dan beragama. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Seorang wanita dinikahi dengan empat perkara, iaitu: kerana hartanya, kerana kedudukannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Pilihlah wanita yang beragama.” Utama agama dalam memilih pasangan

Begitu juga bagi seorang wanita, dalam memilih suami hendaklah mengutamakan yang beragama sehingga ada riwayat yang menyebut bahawa “apabila kamu didatangi lelaki yang kuat agama dan baik akhlaknya berhasrat meminang anakmu, maka terimalah pinangannya. Jika tidak, nescaya akan berleluasalah fitnah”. Berdoa ketika mendatangi isteri Begitu juga hak kedua yang kita sering juga abaikan iaitu membaca doa ketika mendatangi isterinya, yang mana dalam Sahih Bukhari disebutkan mafhumnya, 

“Seandainya seseorang di antara kalian ketika mendatangi isterinya membaca, ‘Bismillah allahumma jannibnasy-syaithan wa jannibisy-syaithan ma razaqtana’ (Dengan nama Allah. Ya Allah, Jauhkanlah setan dari kami dan jauhkanlah setan dari apa yang Engkau rezkikan kepada kami).

Doa ini penting agar anak yang bakal terhasil itu daripada hubungan kita itu dari awal lagi terbebas daripada gangguan syaitan. Ibu bapa kadangkala alpa, gelojoh dan mengabaikan doa ini, dan tidak menganggap doa ini sebenarnya adalah hak anak yang perlu kita tunaikan agar anak terselamat daripada gangguan syaitan. Kedua-dua hak ini sering kali diabaikan ibu bapa sedangkan ia juga termasuk dalam hak anak yang wajib kita tunaikan. Adapun hak lain seperti memberi nafkah, pendidikan dan lain-lain pada kebiasaannya ditunaikan baik oleh ibu bapa. Marilah sama-sama kita memastikan dua hak yang sering diabaikan ini dapat ditunaikan agar kita tidak menyesal pada Hari Akhirat kelak kerana tuntutan daripada anak.

Setiap Penyakit Ada Ubatnya

KHASIAT BUAH ASAM GELUGUR

Asam gelugur yang Nama Botaninya Garcinia Cambogia – juga dikenali sebagai Garcinia atroviridis, asam gelugo, atau asam keping dalam bahasa Malaysia, Tumbuhan liar ini didapati di banyak tempat di Asia dan Malaysia terutama dijadikan sebagai sumber ekonomi dan mempunyai nilai perubatan sejak turun temurun.

Kandungan Khasiat Buah Asam Gelugur/Keping

Buahnya berwarna kekuningan berbentuk seperti buah labu. Selalu digunakan dalam beberapa jenis masakan, seperti laksa masakan asam pedas, dsb. Ianya juga baik untuk mengurangkan berat badan dan kegemukkan.

Ekstrak garam kalsium Acid Hydroxy Citric (HCA) daripada asam gelugor terhasil dari air buahnya. Ia tidak bertoksik (beracun), tanpa perasa, serbuknya tidak berbau dijadikan sebagai herba alternatif yang amat berkesan untuk mengawal kegemukan dan kolestrol. HCA bertindak mengekang, menghalang dan menghadkan pengumpulan asid-asid lemak dan kolestrol (lipogenesis) dalam badan. Kandungan asam gelugor terdiri daripada unsur aktif 50% dan 70% HCA.

BUAH ASAM GELUGUR

Kandungan lain buah ini adalah Asid Citric seperti , tartaric, malic dan asid ascorbic , acid hydroxy citric , dan flavonoids. Bila dipotong nipis dan dikeringkan dibawah matahari dipanggil sebagai “Asam Keping” ia dugunakan dalam penyediaan beberapa jenis masakan dan rasanya amat masam.

Sejarah Kegunaan dan Kandungan Asam Gelugur

Garcinia Cambogia amat baru bagi dunia herba Barat, tapi ia telah digunakan beribu tahun dahulu di kawasan Asia sebagai bahan masakan. Ia juga digunakan sebagai ubat menghilangkan selera makan, menghadkan peyerapan dan pembentukan lemak, kolestrol dan pegumpulan lemak (triglycerides). Dalam perkataan lain Pembantu Pemakanan.

Boleh dipercayai dan sentiasa bertepatan dengan maklumat saintifik menunjuk bertapa besarnya faedah kepada kesihatan. Kajian menunjukkan HCA membantu mereka yang bermasalah seperti ;

Mereka yang mengamal berat badan mendatar
Mereka yang mahu mengurangkan berat badan
Mereka yang terlalu gemuk

Buah Asam Gelugur bukan jenis makanan pemakanan, maka ia tidak disabitkan dengan kekurangan zat pemakanan.

ASAM GELUGUR KEPING YANG DIKERINGKAN

Berapa banyakkah yang perlu dimakan?

Asam gelugur yang kini semakin digunakan secara meluas untuk produk mengurangkan berat badan di Eropah. Jumlah yang baik bagi pengambilah HCA tidak diketahui, walau bagaimanapun pengamal pengawal berat badan mencadangkan 500 mg HCA diambil 3 kali sehari sebelum makan, jumlah yang terlalu rendah dibandingkan dengan yang digunakan dalam uji kaji keatas binatang (berdasarkan per kilo berat badan asas).

Kesan HCA lebih memberangsangkan jika diambil dengan pemakanan rendah lemak kerana HCA tidak melakukan apa apa untuk mengurangkan kesan kalori pada pemakanan lemak. Tindak balas mekanisma HCA adalah hanya sebahagian sahaja menghalang penukaran gula asas (simple sugars) kepada lemak, tapi ia amat sesuai dan berkesan apabila diambil dengan gula asas yang tinggi. Pemakanan yang tinggi serat menyebabkan kerosakan Peyerapan HCA seperti  dinyatakan sebelumnya.

Unsur utama dalam Asam Gelugur ialah  ‘Acid Hydroxyl Citric’ (HCA). Dalam kiraan asas harian, HCA terbentuk dari 20-30% buah-buah kecil (berry).  HCA yang terkandung di dalam asam gelugur pernah menjadi kajian saintis pemakanan. Terbukti ia sangat berkesan membantu mengekang nafsu makan dan menggalakkan penguraian lemak dalam tubuh manusia dan haiwan.

Rangsangan kehilangan berat badan menerusi dua cara asas :

Menyekat selera

Penemuan terbaru mendapati melalui cara peningkatan tahap kimia tertentu dalam otak seperti serotonin, pengatur kepada pengawalan selera, HCA juga dikatakan mungkin mampu menyekat selera makan.

Menghalang pembentukan lemak asid (lipid synthesis)
HCA bertindak menghalang penukaran makanan bergula dan berkanji kepada lemak. Ini bermakna HCA dikatakan dipercayai mampu membantu menyekat penghasilan lemak.

Mekanisma terkini berdasarkan dari fahaman penolakan lemak oleh pembentukan orgarnisma semulajadi atau mekanisma gangguan pembentukkan lemak metabolisma yang menghasil dan mengekalkan kegemukan.

Buah Gelugur dan fisiologinya :

Bahan aktif, asid hydroxycitric (HCA) diekstrak dari kulit buah gelugur sebagai bahan menggalak pengurangan berat badan. Kajian telah membuktikan HCA mengurangkan aktiviti penting enzim dalam metabolisma lemak. 

Penukaran karbohidrat ke lemak memerlukan enzim yang dipanggil Citrate Lyase. HCA untuk seketika melambatkan tindak balas enzim, menghalang pembentukan asid lemak menyebabkan kurang lemak tersedia untuk peyimpanan sel sel.

Kegunaan Dan Khasiat Buah/Asam Gelugur : 

Mengecutkan Rahim & Menurunkan Berat Badan

Amalan meminum air asam gelugur semasa berpantang dipercayai untuk mempercepatkan proses mengecutkan rahim. Selain itu amalan tersebut juga dikatakan mampu menurunkan berat badan. Ianya kini digunakan secara meluas untuk produk mengurangkan berat badan di Eropah.

PETUA 1  

a). Ambil satu atau 2 keping asam keping dan masukkan ke dalam
segelas air panas..
b). Biar beberapa jam sehingga asam keping menjadi kembang & air
menjadi suam.
c).  Minum setiap pagi dan malam.
d). Jika di amalkan selalu In sha Allah perut buncit akan mengempis

PETUA 2  

a). Bilas 3 keping asam gelugor dengan air bersih,
b). Masukkan dalam bekas minuman (botol air/tupperware 500ml-
1liter) rendamkan dalam air panas – TIDAK PERLU TAMBAH GULA.

Setelah suam, minum seperti minuman biasa, perlu diminum sentiasa. Sekiranya air habis cuba tambahkan air lagi. Jika hilang rasanya tukarkan dengan asam keping baru.
Mengubati Masalah Penghadaman

Amalan Perubatan India kuno (Ayurveda) bagi ianya digunakan untuk mengatasi masalah penghadaman, rawatan cacing, parasit, tumor dan cirit-birit berdarah.

Merawat Masalah Perut

Air rebusan kulit buah asam gelugur juga dikatakan mampu digunakan untuk merawat reumatisme dan masalah dalam perut.

Menurunkan Tekanan Darah

Selain itu buah tersebut dikatakan berupaya mengurangkan tekanan darah tinggi.

Merawat Sakit Telinga

Perubatan Melayu zaman dahulu menggunakan rebusan air daun dan akar asam gelugur untuk menyembuhkan sakit telinga melalui titisan ke dalam telinga.

Melegakan Sakit Gusi

Buah asam gelugur juga dikatakan mampu melegakan kesakitan gusi. Caranya adalah dengan mengambil sekeping asam gelugur dan kemudian basuh hingga bersih sehingga menjadi sedikit lembut. Tampal atau selitkan di celah-celah antara gusi dan bahagian pipi selama 10 hingga 15 minit. Kemudian kumur dengan air suam.

KEGUNAAN KULIT TELUR

Selain sebagai sumber makanan, telur diperakui mempunyai kepelbagaian kegunaan termasuk di taman kerana kulitnya mengandungi kandungan kalsium yang tinggi. Fakta mengatakan 95 % bahagian kulit telur adalah kalsium karbonat iaitu bahan yang sama terdapat pada cangkerang, batu karang dan batu kapur. Nutrien ini penting dan memberikan manfaat kepada tanah bagi pertumbuhan tanaman. Ketahui kegunaannya di taman.

1.Mengandungi kalsium bertindak sebagai suplemen semula jadi

Tanah yang mempunyai kandungan pH yang rendah biasanya mengandungi kandungan kalsium yang rendah. Menaburkan kulit telur yang telur dihancurkan pada permukaan tanah tersebut akan meningkatkan kandungan pHnya tersebut. Ini sesuai bagi taman yang mempunyai tanah jenis berasid. Jadi, penambahan kulit telur akan bertindak sebagai suplemen yang akan menyuburkan tanaman.

Kaedah: Hancurkan kulit telur sehingga halus bagi mempercepatkan penyebaran kalsium kepada tanah. Taburkan secara sekata di sekitar tanaman ataupun digaulkan bersama bahan kompos.

2.Bekas pembenihan

Gunakan kulit telur sebagai bekas penyemaian biji benih. Selain daripada bersifat keras dan mampu menampung tanah, kandungan kalsium yang terdapat pada kulit telur juga dapat membantu tumbesaran biji benih.

Kaedah: Kulit telur dibersihkan terlebih dahulu, kemudian medium penanaman 2:1:1 (2 tanah loam, 1 bahan organik: 1 pasir) dimasukkan separuh daripada ruang telur. Masukkan biji benih dan tunggu sehingga bijih benih bercambah. Seterusnya boleh dipindahkan ke dalam pasu yang lebih besar.

3.Lilin penghalau nyamuk

Apabila memiliki taman yang menghijau dan subur pasti menggamit serangga penghisap darah, nyamuk. Lilin yang diperbuat daripada serai wangi mampu menghalau nyamuk serta serangga perosak di kediaman anda. Buat sendiri lilin ini menggunakan kulit telur sebagai bekas acuan. Letakkan lilin ini di atas meja ruang tamu, anjung atau decking untuk membantu mengurangkan serangan nyamuk dan serangga lain.

Kaedah: Pecahkan telur di bahagian paling atas. Cuci kulit telur sehingga bersih. Keringkan dan masukkan serai wangi dan lilin yang telah dipanaskan.

KHASIAT CUKA EPAL

Ibarat pepatah Inggeris yang bermaksud ‘sebiji epal sehari, mampu menjauhkan doktor’. Sememangnya epal mempunyai pelbagai manfaat untuk kesihatan. Epal mengandungi semua nutrien penting termasuk vitamin, serat dan mineral.

Cuka epal atau apple cider vinegar (ACV) adalah salah satu bentuk penyediaan terbaik daripada buah epal. Ia terhasil sejak zaman purba lagi dan digunakan dalam masakan serta perubatan. Islam juga menggalakkan umatnya mengamalkan penggunaan cuka epal dalam kehidupan seharian atas sebab-sebab faedah dan manfaatnya kepada kesihatan.

Terdapat pelbagai jenama cuka epal di pasaran dan sebaik-baiknya pilihlah yang mengandungi ibu cuka. Kandungan asid asetik dan air dalam cuka dihasilkan melalui proses penjerukan atau fermentasi etanol oleh bakteria asid asetik.

Selain harga yang murah, pengambilan cuka epal juga amat mudah. Hanya campurkan dua sudu cuka ke dalam air minuman. Bagi mengurangkan rasa masam, anda boleh campur dengan sesudu madu. Bagi mendapatkan hasil terbaik, amalkan minum cuka epal dua kali sehari.

Amalan ini boleh membersihkan toksin yang tersumbat dalam peredaran darah yang menyebabkan penyakit darah tinggi, jantung dan peningkatan kolestrol. Kesannya, peredaran darah akan menjadi bersih dan sihat serta mengembalikan metabolisme tubuh menjadi normal.

Selain itu, antara khasiat lain cuka epal boleh memecahkan lemak dan secara tidak langsung membantu proses penurunan berat badan. Kandungan Pectin iaitu sejenis serat dalam cuka epal membantu menurunkan kadar kolestrol jahat serta mengimbang tekanan darah dalam badan.

Cuka epal juga kaya dengan Potassium yang membantu proses detokfikasi harian khas untuk kecantikan kulit, mengurangkan keguguran rambut, merawat masalah kerapuhan kuku dan gigi serta masalah sinus.

Beta Karotin yang terdapat dalam cuka epal pula dapat memperbaharui kerosakan sel-sel tubuh akibat aktiviti radikal bebas, di samping menegang dan menganjalkan kulit.

Selain daripada itu, asid Malic juga bertindak sebagai agen anti-kulat bagi menentang jangkitan kuman, bakteria dan mikroorganisme. Penggunaan cuka epal juga dapat mengimbangi kadar asid dan alkali dalam badan, selain menghilangkan lenguh-lenguh pada sendi dan otot badan.

8 KHASIAT BUAH TEMBIKAI UNTUK KESIHATAN

Pada bulan Ramadhan ini, buah tembikai adalah antara menu berbuka puasa paling popular. Malah ramai betul yang sukakan jus tembikai sebagai minuman berbuka puasa mereka.

Jom kita semak apa khasiatnya buah ini kepada tubuh badan kita.

1. Mencegah penyakit asma

Kandungan vitamin C dalam buah tembikai adalah salah satu nutrien yang dapat mencegah penyakit asma .

2. Mengawal tekanan darah

Satu kajian yang diterbitkan oleh American Journal of Hypertension mendapati bahawa suplemen ekstrak buah tembikai mampu mengurangkan tekanan darah pada pergelangan kaki, tekanan darah brachial dan pantulan gelombang karotid di kalangan orang dewasa pertengahan umur yang mempunyai masalah kegemukan dengan prehypertensi atau hipertensi peringkat 1 dan ekstrak tembikai pula dapat memperbaiki fungsi arteri menjadi lebih baik.

Diet yang kaya dengan lycopene pula boleh membantu melindungi daripada penyakit jantung.

3. Mencegah Kanser

Sebagai sumber yang sangat kaya dengan vitamin C dan kandungan antioksidan yang tinggi serta antioksidan lain, tembikai boleh membantu memerangi pembentukan radikal bebas yang sedia maklum boleh menyebabkan kanser. Pengambilan Lycopene telah dikaitkan dapat merendahkan risiko dan pencegahan kanser prostat dalam beberapa kajian.

4. Membantu Penghadaman

Kandungan air dan gentian dalam tembikai dapat membantu mencegah sembelit dan menggalakkan kekerapan untuk saluran penghadaman yang sihat.

5. Penghidratan

Mengandungi 92% air dan penuh dengan elektrolit penting, tembikai adalah makanan ringan yang baik mengatasi masalah badan terhidrasi semasa bulan Ramadhan ini.

6. Mengatasi masalah keradangan

Choline adalah nutrien yang sangat penting dan serba boleh yang terkandung dalam tembikai . Ia membantu badan kita semasa tidur, pergerakan otot, pembelajaran dan ingatan. Choline juga membantu untuk mengekalkan struktur membran sel, membantu dalam penghantaran impuls saraf, membantu dalam penyerapan lemak dan mengurangkan keradangan kronik

7. Mengurangkan kesakitan Otot 

Tembikai dan jus tembikai telah terbukti dapat mengurangkan kesakitan otot dan meningkatkan masa pemulihan selepas latihan dalam atlet. Penyelidik percaya yang asid amino L-citrulline yang terkandung dalam tembikai yang membawa kepada kelebihan tersebut.

8. Kulit yang sihat 

Tembikai juga baik untuk kulit anda kerana ia mengandungi vitamin A, sejenis nutrien yang diperlukan untuk pengeluaran sebum dalam mengekalkan rambut yang lembap. Vitamin A juga diperlukan untuk pertumbuhan semua tisu badan, termasuk kulit dan rambut.

Pengambilan yang mencukupi vitamin C (satu cawan tembikai menyediakan 21% daripada keperluan harian) juga diperlukan untuk pembinaan dan penyelenggaraan kolagen, yang menyediakan struktur untuk kulit dan rambut. Tembikai juga menyumbang kepada penghidratan secara keseluruhan, untuk mempunyai kulit dan rambut yang sihat

KHASIAT KUNYIT, TEH HIJAU 

Salah satu herba tradisional yang turut mendapat perhatian masyarakat dunia ialah teh hijau. Ia ialah daun teh yang masih hijau dan belum diproses untuk dijadikan serbuk untuk minuman. Daun teh hijau kaya dengan pelbagai komponen aktif yang baik terutamanya polifenol baik untuk kesihatan dan juga kecantikan. Lagi hijau daun teh itu, lagi tinggi kandungan polifenolnya. Menurut pakar nutrisi di Boston, Amerika Syarikat, Dr. Beth Reardon, teh hijau turut mengandungi bahan aktif Catechins yang mencegah kerosakan sel-sel di dalam badan.

Teh hijau juga turut dipercayai melancarkan peredaran darah dan menurunkan kadar kolesterol. Kini teh hijau menjadi saranan kepada mereka yang menghidap penyakit berkaitan dengan jantung dan tekanan darah tinggi. Malah apa yang baik untuk badan, juga baik untuk otak. Satu kajian MRI di Switzerland membuktikan mereka yang mengamalkan pengambilan teh hijau setiap hari berjaya meningkatkan tahap memori dan menghalang pembentukan plag yang menjadi punya kepada penyakit Alzheimer.

Menurut Dr. Reardon, teh hijau juga boleh diambil oleh penghidap kencing manis bagi menstabilkan paras gula dalam darah.

Ubat sebelum sakit

Kombinasi curcumin yang diekstrak daripada kunyit dan teh hijau merupakan kombinasi terbaik bagi melawan dan mencegah pelbagai jenis penyakit dengan mudah. Tidak terhad untuk mereka yang ingin mengatasi masalah kesihatan, curcumin dan teh hijau harus dijadikan amalan harian untuk menguatkan sistem imunisasi badan dan mengurangkan kerosakan sel-sel badan. Pendek kata, kombinasi ini seumpama ubat untuk sebelum sakit.

Kajian mendedahkan kunyit dan teh mengandungi khasiat yang dapat mencegah kita daripada pelbagai penyakit.Kita sering mengambil mudah bila diceritakan tentang kehebatan kunyit. Mungkin kerana ia bahan yang sering kita temui di dapur. Namun bahan yang digunakan nenek moyang kita kini mendapat perhatian yang serius daripada pakar-pakar hospital ternama di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah. Kehebatan herba ini terletak pada ekstrak pigmennya yang memberikan warna kuning kepada kunyit. 

Pigmen ini mempunyai banyak khasiat dan berupaya mengubati pelbagai jenis penyakit dikenali sebagai curcumin.

Melawan Kanser

Curcumin adalah antara bahan penyembuh yang terbaik dalam dunia perubatan tradisional dan moden. Sebiji pil daripada ekstrak curcumin ini seolah-olah mengambil 20 sudu teh serbuk kunyit yang terdapat di setiap dapur. Menurut pakar perubatan dari Pusat Kanser Texas, curcumin mempunyai keupayaan anti oksidan yang mampu meneutralkan radikal bebas yang menjadi akar umbi kepada penyakit kanser. Radikal bebas merupakan bahan kimia yang meresap ke dalam darah dan merosakkan sel-sel dalam badan. Menurut salah seorang pasukan penyelidik ini, Dr. Thomas Evans, curcumin yang mengandungi komponen bioaktif polifenol membantu mencegah tanda-tanda awal kanser.

Anti radang

Selain kanser, curcumin juga sangat baik untuk melawan radang yang menyebabkan bengkak, angin, sakit-sakit sendi dan sengal badan. Kepada mereka yang mengalami sakit-sakit artritis yang disebabkan juga oleh radikal bebas, curcumin ialah bahan utama yang meringankan beban kesakitan. Dalam kajian ke atas para pesakit artritis di Eropah, pakar perubatan mendapati khasiat curcumin boleh dibandingkan dengan ubat-ubatan tahan sakit moden seperti phenylbutazone. Malah didapati para penghidap artritis merasakan kekurangan sakit pada waktu pagi, mampu berjalan dengan lebih lama dan bengkak berkurangan. Selain itu, curcumin juga membantu mengurangkan risiko serangan jantung dan strok.

MAKANAN PENGHILANG BAU BADAN

Bau badan merupakan masalah yang dapat menurunkan tingkat kepercayaan diri seseorang. Bau tidak sedap yang dikeluarkan dari tubuh adalah disebabkan karena banyak hal.

Salah satu faktor yang menyebabkan bau badan adalah makanan. Dikutip dari hoswtuffworks, jenis bawang-bawangan, kunyit, daging merah dan makanan pedas, merupakan makanan pemicu aroma yang tidak sedap. Untuk itu, Anda perlu mencegah makanan yang disebutkan tadi, setidaknya mengurangi makanan-makanan tersebut.

Namun, ada juga makanan yang dapat mencegah bau badan. Apa sajakah itu? Berikut empat makanan yang dapat memngurangkan aroma tubuh yang kurang sedap.

Tomato

Tomato merupakan antiseptik alami yang dapat membunuh berbagai macam bakteria, termasuk bakteria yang membuat tubuh beraroma kurang sedap. Seperti dikutip Curebum, bau badan boleh hilang dengan sering minum jus tomato. Disarankan minum jus tomato sebanyak tiga kali sehari. Jus tomato tidak hanya diminum, tapi boleh juga dicampurkan dalam bathtub, sebagai penambah ritual mandi Anda.

Teh hijau

Bau badan mungkin disebabkan oleh faktor lingkungan, seperti polusi, matahari dan debu. Bau badan karena faktor lingkungan dapat diatasi dengan bahan yang mengandung antioksidan. Antioksidan yang baik untuk mengalahkan aroma tidak sedap pada tubuh adalah teh hijau. Teh hijau juga memiliki aroma khas. Bila rajin meminumnya, maka bau segar dari teh hijau dapat keluar dari dalam tubuh.

Seledri

Seperti dikutip Foodscout, daun seledri dapat melawan bau badan. Kandungan seledri dapat melawan racun yang ada di dalam tubuh penyebab bau badan. Jadi, jangan lupa memasukkan seledri dalam makanan sehat Anda.

Jus rumput

Jenis rumput tertentu dapat dijadikan sebagai minuman. Mungkin kedengarannya aneh, tapi jus rumput sudah banyak dijual di gerai minuman yang ada di mall-mall. Dilansir dari Foodscout, khasiat jus rumput dipercaya dapat mengatasi aroma tidak sedap pada tubuh.

Syifa'ul Qalbi

Listen to Quran

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga