Tumpu Kesenangan Dunia Hilang Habuan Akhirat

Doa perlu diiringi dengan usaha supaya setiap yang dihajati dimakbulkan Tuhan

Huraian surah Al-Baqarah: Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada azab neraka.” (Surah al-Baqarah, ayat 201)

Islam agama yang mengajar dan mendidik penganutnya mencari dua kecemerlangan iaitu di dunia dan akhirat. Golongan Mukminin akan memohon daripada Allah SWT kebajikan dan kesenangan dunia serta akhirat. Mereka tidak menentukan jenis kebajikan dan kesenangan itu, malah menyerahkannya kepada pilihan Allah SWT. Mereka mengharapkan Allah SWT memilih untuk mereka apa sahaja kebajikan diketahui-Nya baik dan mereka akan menerimanya dengan penuh kerelaan.

Semasa al-Quran diturunkan terdapat dua golongan manusia yang membulatkan hatinya kepada dunia, mereka mengaut dunia sebanyak-banyak yang mungkin dan selalu sibuk dengan dunia. Ada dua perkara ditekankan dalam ayat ini iaitu dunia dan akhirat, matlamat yang tidak boleh dihasilkan dengan cita-cita atau khayalan, tetapi dihasilkan melalui usaha serta doa berterusan. Doa menjadi pedoman yang lurus dan menguntungkan kerana seseorang boleh berdoa apa sahaja yang dihajati kepada Allah SWT. Islam tidak mahu orang Mukmin menolak dunia kerana ia tempat mereka berladang untuk akhirat. 

Namun, pada masa sama Islam mahukan mereka sentiasa ‘mentawajjuhkan’ (menghadapkan diri dan membulatkan hati) kepada Allah SWT dalam urusan di dunia ini. Orang yang memohon hasanah di dunia dan hasanah di akhirat akan memperoleh bahagian yang baik kerana mengikut manhaj lurus.

Bagaimanapun, bahagian itu bergantung sejauh mana usaha dibuat, bukan semata-mata pada perkataan, doa dan zikir yang diamalkan. Berfikir mengenai hari akhirat dan keinginan mendapat bahagian yang sempurna di akhirat, sebagaimana dijanjikan Allah SWT dengan syurga segala kemudahan serta nikmat hanya boleh dilakukan oleh orang yang berpandangan jauh. 

Golongan berpandangan jauh mengimbangi antara dua tuntutan iaitu akal dan hawa nafsu serta dunia dan akhirat, lalu mereka berdoa untuk kebaikan di dunia serta akhirat. Minta kehidupan lebih baik Meminta kehidupan yang baik di dunia tentulah dengan melakukan sesuatu yang memberikan manfaat kepada usaha, sementara meminta kehidupan baik di akhirat pula adalah dengan keimanan bersih, amal salih dan berakhlak mulia.

Imam Bukhari meriwayatkan daripada Anas, Nabi SAW telah memanggil seorang daripada kaum Muslimin yang keadaannya seperti anak ayam dicabut bulunya. Lalu Baginda bersabda kepadanya: “Apakah engkau meminta sesuatu daripada Allah SWT dalam doamu?” Jawabnya: “Ya, aku selalu berdoa: Ya Allah, apa yang akan aku terima sebagai azab di akhirat nanti, segerakanlah ia kepadaku di dunia ini sahaja.” Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Maha Suci Allah! Kalau begitu, tentu engkau tidak akan sanggup dan tidak akan mampu menerimanya. Mengapa tidak kamu ucapkan: Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan Nabi mendoakan kebaikan baginya, lalu Allah SWT menyembuhkan penyakitnya.”

Jelaslah sesiapa yang berdoa kepada Allah SWT dan menyerahkan urusannya kepada-Nya dan reda menerima apa sahaja yang diputuskan Allah SWT untuknya, maka segala kebajikan dunia dan akhirat tidak akan terluput daripadanya. Tetapi sesiapa yang menumpukan minatnya kepada kesenangan dunia, maka dia akan kehilangan segala habuan kesenangan di akhirat. Islam tidak mahu orang yang beriman meninggalkan urusan dunia kerana mereka sememangnya dijadikan Allah SWT untuk memerintah dunia ini, tetapi Islam mahu mereka menghadap penuh ketaatan kepada Allah SWT ketika menjalankan urusan dunia dan tidak menyempitkan pandangan hingga menjadikan dunia sebagai pagar yang mengurung mereka. Islam mahu membebaskan manusia daripada pagar bumi yang sempit ini. Islam mahu manusia bekerja di bumi dan menganggap dirinya lebih besar daripada bumi. Islam mahu manusia melaksanakan urusan pemerintahan di bumi dan menjalinkan hubungan yang rapat dengan Allah Yang Maha Tinggi.

Doa, usaha perlu seiring Oleh sebab itu, minat yang tertumpu kepada kehidupan di bumi sahaja adalah minat yang remeh-temeh. Mereka yang minta kebahagiaan dan kebaikan dunia serta akhirat akan diberi oleh Allah SWT apa yang dipinta dalam doa mereka sesuai dengan usaha serta daya usaha mereka. Ini disebabkan mereka telah mencari dunia dengan sebabnya (caranya) dan melakukan usaha untuk akhirat sesuai dengan caranya. 

Oleh itu, mereka akan memperoleh balasan usaha mereka di dunia dan di akhirat sesuai dengan kadarnya. Pengertian ayat ini seiring dengan firman-Nya yang bermaksud: “Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata. Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan) dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.” (Surah as-Syura, ayat 20)

Berdasarkan perbincangan ini, Allah SWT mengajar kita supaya berakhlak semasa berdoa supaya tidak hanya menumpukan kehidupan di dunia sehingga lupa hari akhirat. Kita perlu memohon kejayaan dan kebaikan kedua-duanya serta memohon dimasukkan ke syurga serta dijauhkan dari bahang api neraka.

Niat Penentu Keberkatan Kerja

Pekerjaan bukan sekadar bagi memenuhi keperluan hidup semata-mata tetapi ia mestilah selari dengan syariat supaya rezeki yang diterima diberkati Allah SWT. Ikuti kupasan Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam program Islam Itu Indah.

“Allah berfirman lagi: Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka mereka (pintu rezeki) yang melimpah ruah keberkatannya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” (Al-A’raaf, ayat 96)

Pekerjaan bukan sekadar memenuhi keperluan hidup, tetapi mempunyai kaitan dengan tujuan hidup iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dan menjadi khalifah yang memberi kebaikan kepada orang lain. Sesungguhnya kerja itu seharusnya bermula dari hati dan penuh hati-hati. 

Pertemuan bersama Ustaz Pahrol Mohd Juoi minggu lalu, dalam program Islam Itu Indah memberi kesempatan kepada pendengar untuk memahami makna sebenar di sebalik perkataan berkat, terutama menerusi pekerjaan yang majoriti individu dewasa akan memperuntukkan satu pertiga daripada hari dengan aktiviti tersebut.

Keberkatan inilah yang menjadi asas dalam kehidupan dengan iman dan takwa. Menyorot kaedah mencapai keberkatan iaitu iman dan takwa, ulama mentakrifkan iman sebagai sesuatu yang diikrarkan dengan lisan, diakui dengan hati kebenarannya dan dibuktikan dengan perbuatan. Takwa pula memberi makna berhati-hati dan berjaga-jaga dalam hidup agar sentiasa disusun mengikut peraturan daripada Allah SWT. Jelas kedua-dua iman dan takwa ini datangnya dari hati sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Takwa itu letaknya di sini,” sambil meletakkan tangan di dada dan di situ juga letaknya hati.

Panduan melunaskan pekerjaan dengan iman dan takwa dalam meraih keberkatan perlu dimulakan dengan niat yang lazimnya ditunjangi oleh tiga niat utama seseorang iaitu sebagai sumber rezeki bagi membiayai keluarga, untuk memberi kebaikan, menawarkan perkhidmatan kepada masyarakat dan negara. Niat itu cukup baik, tetapi persoalannya di manakah Allah SWT dalam ketiga-tiga niat tersebut? Bekerja bukan sekadar mencari rezeki, tetapi untuk mencari rezeki halal yang sangat dituntut oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya: “Wahai orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu.” (Surah al-Baqarah ayat 172)

Rasulullah menegaskan juga dalam sabdanya: “Mencari yang halal adalah fardu (wajib) bagi setiap orang Islam.” (Riwayat Dailami). 

Sesungguhnya, mencari rezeki yang halal berkait dengan Allah SWT. Apabila kerja diniatkan untuk menyara dan membiayai keluarga bagi seorang lelaki dan suami hakikatnya ia adalah kewajipan. Wajib itu takrifan dalam syariat adalah sesuatu yang dibuat dapat pahala dan berdosa meninggalkannya di sisi Allah SWT. Tetapkan niat sebelum mula kerja Begitu juga pada niat kerja kerana ingin memberi kebaikan dan perkhidmatan kepada masyarakat dan negara. Luaskan kefahamannya dengan mengambil sabda Rasulullah SAW mafhumnya: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia yang lain.” 

Melakukan tugasan dengan sesuatu yang didorong oleh Rasulullah dan seperti yang termaktub dalam al-Quran bahawa setiap tutur Rasulullah adalah dorongan daripada Allah SWT menerusi firman-Nya: “Demi bintang ketika terbenam. Kawanmu (Muhammad) tidak sesat dan tidak keliru. Dan tiadalah yang diucapkannya itu (al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).” (Surah al-Najm, ayat 1 hingga 4).

Dari sudut takwa pula, penting bagi pekerja menghindar perkara haram seperti curi masa, curi tulang, mengumpat, tikam belakang, memfitnah, menindas, rasuah dan banyak lagi. Bagi yang bekerja atas batas takwa, perkara seumpama itu akan dihindar dan perkara wajib yang digalakkan oleh syariat akan dilakukan dengan penuh kesungguhan, efektif, efisien dan penuh etika sebagaimana sabda Rasulullah mafhumnya: “Sesungguhnya Allah SWT mencintai seseorang yang apabila mengerjakan sesuatu pekerjaan, dilakukannya dengan penuh kesungguhan (itqan).” (Riwayat al-Baihaqi)

Berkat atau barakah dari segi bahasa bermaksud bertambah dan berkembang. Imam an-Nawawi menggariskan barakah sebagai suatu kebaikan yang melimpah-ruah secara berterusan. Tatkala bekerja dengan iman yang mempengaruhi niat dan takwa yang terjelma dalam pelaksanaan kerja akan menghasilkan barakah. Kebaikan barakah ini akan terpancar kepada tempat, orang, benda, masa dan amalan. Sebagai contoh Allah SWT berfirman mafhum-Nya: “Maha Suci Allah SWT, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa, yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Isra’, ayat 1)

Ini merujuk kepada keberkatan pada tempat. Selain itu, menerusi Surah Maryam merujuk keberkatan seorang nabi iaitu Nabi Isa yang akan menjadi ‘berita gembira’ buat umat Muhammad SAW membuktikan berkat yang terletak pada seseorang. Pada benda pula Allah SWT menegaskan al-Quran itu ada keberkatan. Benda di sini merujuk kepada al-Quran. Satu pertiga malam juga adalah berkat yang merujuk kepada masa seperti keberkatan berdoa di antara dua khutbah. Berkat juga Allah SWT letak pada amalan seperti amalan bersahur dan duduk di dalam majlis ilmu. 

Kelebihan berkat Hikmah Allah SWT meletakkan barakah pada makhluk sebagai pemangkin untuk manusia berfikir bahawa bukan makhluk yang memberi berkat tetapi Allah SWT meletakkan kebaikan untuk disebar dan dikembangkan kebaikannya kepada yang lain. Asbab kelebihan berkat yang ada pada makhluk seperti masa, tempat, benda dan sebagainya itu akan menghampirkan manusia kepada Allah SWT yang memberi berkat. 

Berkat itu tidak ketara pada mata, tapi dapat dirasa, tidak diukur pada kuantiti harta tapi letak pada kualiti jiwa. Dengan barakah akan peroleh ketenangan dan kesenangan. Menerusi berkat, sedikit mencukupi banyaknya bisa dibahagi dan diberi. Melalui keberkatan, kerja yang dilakukan lebih puas daripada kemanisan beribadah. Semakin tinggi prestasi kerja semakin rendah hatinya. Teruskan kerja dengan mencari berkatnya yang merata.

Doakan Kebahagiaan Anak Sejak Dalam Kandungan

Pendidikan agama penting dalam membentuk peribadi mulia anak.

Islam menganjurkan ibu bapa supaya memberi didikan sempurna kepada anak mereka dan didikan itu sebenarnya perlu bermula sejak dari dalam rahim lagi. Ikuti kupasan lanjut Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman yang dikongsikan dalam program Ibrah minggu lalu.

Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Itulah ungkapan dan pepatah Melayu yang biasa didengar. Al-Quran memperjelaskan, pendidikan anak perlu bermula sejak dalam rahim ibu dan ini boleh difahami melalui teladan sejarah seorang insan bernama Maryam.

Mengikuti rancangan Ibrah minggu lalu, Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman membincangkan kisah keluarga Imran iaitu cerita Maryam. Ulama menjelaskan, empat wanita yang mempunyai kelebihan dalam agama Islam ialah Aishah, Khadijah, Fatimah dan Maryam. Sebelum ini, dibicarakan kisah Nabi Zakaria yang memohon kepada Allah SWT dikurniakan zuriat keturunan. Doa penuh harapan itu, Allah SWT gantikan dengan anak diberi nama Yahya. Peristiwa itu juga menjadi asas kepada Hannah, isteri Imran untuk berdoa kepada Allah SWT supaya dikurniakan zuriat. Hannah meluahkan isi hatinya kepada Allah SWT dan hasil daripada doa yang tidak putus-putus, Allah SWT mengurniakan kepadanya seorang anak. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata: Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepada-Mu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (daripada segala urusan dunia untuk berkhidmat kepada-Mu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Ali-Imran, ayat 35)

Prinsip asas dalam permintaan doa (isteri Imran) adalah supaya anak itu nanti akan berkhidmat untuk Masjidil Aqsa. Permintaan Hannah itu bertujuan untuk ‘memerdekakan’ (anaknya) daripada sebarang kehidupan dunia. Lahirkan anak untuk berkhidmat ke jalan Allah SWT Perwatakan dan jiwa besar yang ditunjukkan oleh Hannah adalah satu prinsip penting untuk difahami semua ibu bahawa tujuan mendapatkan zuriat bukanlah semata-mata kerana inginkan anak tetapi lebih daripada itu, mengharapkan zuriat dilahirkan akan berkhidmat untuk Allah SWT. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka apabila dia melahirkannya, berkatalah dia: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaan-Mu, demikian juga zuriat keturunannya daripada godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan).” (Surah Ali-Imran, ayat 36)

Hannah tidak menyangka anak yang dilahirkan adalah perempuan, namun beliau tetap reda terhadap kurniaan Allah SWT. Ulama mentafsirkan, anak perempuan yang dilahirkan itu bukanlah sebarang wanita yang wujud di atas muka bumi ini.

Prinsip kedua yang perlu difahami semua ibu ialah bersyukur dengan anak dikurniakan Allah SWT, manakala prinsip ketiga, memberikan nama yang baik kepada anak yang dilahirkan. Nama Maryam membawa maksud seorang yang rajin beribadah (‘abidah). 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya: Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini? Maryam menjawab: “Ia daripada Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak dikira.” (Surah Ali-Imran, ayat 37)

Prinsip keempat pula dijelaskan melalui permohonan Hannah supaya diberi perlindungan kepada Maryam dan anak yang dikandungnya. Ini menunjukkan bahawa Hannah telah mendoakan anaknya Maryam dan anak yang bakal dikandung Maryam (zuriat mendatang nanti). Beri pendidikan terbaik kepada anak.

Prinsip kelima yang ditekankan supaya anak diberikan pendidikan yang terbaik. Allah SWT telah mendidik Maryam dengan sebaik-baik pendidikan untuk membesar dalam peliharaan-Nya. Maryam dibesarkan dalam jagaan penuh kasih dan sayang. Nabi Zakaria yang menjaganya juga terpaksa bersaing ketika menjaga Maryam kerana beliau sentiasa mengabdikan diri kepada Allah SWT. 

Selain itu, Nabi Zakaria berasa pelik dan janggal bagaimana Maryam menerima makanan dalam mihrabnya itu kerana setiap kali Nabi Zakaria masuk ke dalam mihrab pada waktu pagi dan petang, didapatinya ada rezeki untuk Maryam. Rezeki anak, makan minum, kehidupan dan kesenangan itu ditentukan Allah SWT. 

Justeru, sebagai hamba kita memahami bahawa setiap ketentuan sama ada baik atau buruk mempunyai hikmah yang tidak terfikir oleh akal fikiran yang dangkal ini. Perjalanan kisah Maryam akan diperincikan lagi selepas ini bagi memahami cerita mengenai wanita istimewa (Maryam) yang melahirkan zuriat tanpa bapa, iaitu Nabi Isa.

3 Amalan Kunci Motivasi Lahir Muslim Soleh

Solat akan membawa hati yang bersih mengikuti segala ketentuan Allah SWT.

Soal keselamatan menjadi perbahasan utama di mana-mana saja pada hari ini. Tanpa keselamatan, keamanan, kemakmuran dan keharmonian, kehidupan tidak akan tenang sedangkan ketenangan menghasilkan seribu rahmat serta kemajuan. sebagai seorang Muslim, sudah pasti keselamatan yang diimpikan bukan saja di dunia, tetapi juga pada hari akhirat yang kekal selamanya. Sudah menjadi kebiasaan bagi seorang Muslim sering mengucapkan doa keselamatan dunia dan akhirat. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada seksa neraka.” (Surah al- Baqarah, ayat 201)

Umum memahami doa tanpa usaha adalah sesuatu yang sia-sia kerana tanpa amalan, kita tidak mampu mengubah apa-apa. Sebenarnya kunci kepada kejayaan adalah berusaha menjadi hamba yang salih serta yakin bahawa Allah SWT sentiasa melihat segala apa yang kita usahakan. 

Tingkatan manusia Apabila merasakan kita sentiasa dipantau oleh Allah SWT, maka kita sudah menjadi hamba yang Muhsinin kerana berdasarkan asas ajaran dalam agama Islam, tingkatan manusia bermula dengan Muslim (Muslimin), Mukmin (Mukminin) dan Muhsin (Muhsinin).

Dalam kalangan ahli sufi disebut ihsan di mana mereka mendefinasikan ihsan dengan beribadah seolah-olah melihat Allah SWT dan jika tidak melihat Allah SWT, maka Allah SWT melihat mereka. Asas ajaran agama Islam ialah rukun Islam yang mencakupi hukum fekah, Rukun Iman yang mendasari ilmu usuluddin, iktikad atau kepercayaan dan ihsan yang menjana akhlak serta melahirkan ilmu tasauf. Ketika manusia sampai kepada darjat ihsan, barulah mereka merasakan seolah-olah melihat seterusnya akan muncul akhlak mulia sehingga mencapai tahap seorang Muslim yang salih seperti dicapai oleh mereka yang terdahulu daripada orang yang salih (salafus salih). Mengingati Allah SWT dengan berzikir secara terang dan sembunyi adalah latihan untuk menzahirkan akhlak terpuji yang membawa kepada ihsan.

Al-Quran sering mengingatkan orang Mukmin untuk meningkatkan diri mencapai tingkatan ihsan (Muhsinin) dengan mengingati Allah SWT penuh keyakinan, sabar, solat dan berzakat. Tiga amalan itu adalah kekuatan orang beriman serta ciri baik yang membantu ke arah mencapai darjat ihsan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman, mengerjakan amal salih, mendirikan solat dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (Surah al-Baqarah, ayat 277)

Mereka yang mencapai tahap keimanan inilah yang didoakan oleh Baginda SAW ketika peristiwa Israk dan Mikraj di mana Baginda SAW memohon keselamatan untuk hambanya ketika bertemu Allah SWT dengan berkata: “Keselamatan bagi kami dan hamba Allah SWT yang salih.”

Solat bersihkan hati

Maka, ia diulangi oleh seluruh umat yang menunaikan solat setiap waktu hingga hari kiamat. Jelaslah solat akan membawa hati yang bersih serta mengikuti segala ketentuan Allah SWT.

Syaikh Ibnu A’thoillah As Sakandari yang terkenal dengan kesufiannya mengatakan: “Orang yang ikut mengatur bersama Allah SWT adalah seperti anak yang pergi bersama ayahnya. Keduanya berjalan di malam yang gelap gelita. Kerana menyayangi anaknya, ayah sentiasa mengawasi dan memperhatikannya tanpa diketahui anak. Anak itu tidak mampu untuk melihat ayahnya dan meresahkan keadaan dirinya serta tidak tahu apa yang harus dilakukan. Ketika cahaya bulan menyinari dan ia melihat ayahnya dekat kepadanya, keresahannya sirna. Ia tahu ayahnya begitu dekat dengannya. Kini ia merasa tidak perlu ikut mengurus dirinya kerana segala sesuatu telah diperhatikan oleh ayahnya. 

Seperti itulah orang mengatur untuk dirinya. Ia melakukannya kerana berada dalam kegelapan, terputus daripada Allah SWT. Ia tidak merasakan akan hampirnya Allah SWT. Andai kata bulan tauhid atau mentari makrifat menyinarinya, tentu ia melihat Tuhan begitu dekat, sehingga ia malu untuk mengatur dirinya dan berasa cukup dengan pengaturan Allah.”

Demikianlah keyakinan orang beriman yang berasa yakin selepas mendapat perhatian Allah SWT. Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah SWT, Rasul-Nya, dan orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah).” (Surah al -Maaidah, ayat 55 )

Oleh itu, sabar adalah contoh dalam hubungan antara Allah SWT dan Manusia. Solat contoh perbuatan yang mendekatkan hubungan manusia dengan Allah SWT. Zakat adalah contoh perbuatan yang merapatkan hubungan manusia sesama manusia. Semuanya saling melengkapi untuk mencapai tahap tertinggi di sisi Allah SWT. Dengan keyakinan bahawa Allah SWT sentiasa mengawasi kita, maka segala urusan menjurus kepada keyakinan terhadap Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Yang hidup kekal lagi terus menerus mengurus makhluk-Nya.” (Surah Ali-Imran, ayat 2).

Dengan menjaga dan memelihara keyakinan (iman) itulah yang disebut takwa kepada Allah SWT, kunci kepada takwa dan akhlak mulia. Ini motivasi sebenar untuk menjadi seorang Muslim yang salih sehingga kita dapat menjadi orang yang mulia di sisi Allah SWT dan terus pada saf hadapan dan terdekat dengan Allah SWT. Ilmu tauhid elak jadi kufur Ilmu tauhid pula dapat menyelamatkan kita daripada fahaman yang boleh menjadikan kita kufur, fahaman yang mengatakan Allah SWT menyerupai makhluk adalah sesat dan kafir.

Al-Imam Ahmad ibn Hanbal, salah seorang murid terkemuka al Imam Malik menuturkan kaedah yang sangat bermanfaat dalam ilmu tauhid. Beliau berkata, apa pun yang terlintas dalam fikiran kamu (mengenai Allah), maka Allah tidak seperti itu. Jauhilah sifat sombong terhadap Allah SWT dengan mengetepikan kekuasaan-Nya terhadap sesuatu serta menolak ilmu yang sentiasa mendekatkan diri pada-Nya. Menolak kebenaran adalah salah satu ciri kesombongan terhadap Allah SWT. 

Jahiliah moden dapat dilihat pada hari ini apabila keselamatan umat digugat dengan perpecahan sehingga memporakperandakan negara umat Islam.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kemudian mereka (pengikut Rasul itu) menjadikan agama mereka berpecah-belah menjadi beberapa pecahan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada sisi mereka masing-masing.” (Surah al-Mu’minun, ayat 53)

Di sinilah persoalan kepada keselamatan kita di dunia dan akhirat. Kesimpulannya, ilmu yang bermanfaat akan menyelamatkan manusia jika mereka yakin bahawa Allah SWT tidak akan membiarkan hamba-Nya sendirian.

Mengharap Syafaat Rasulullah, Doa Malaikat

Mendoakan kebaikan kepada orang lain menjadi amanah Rasulullah yang kurang kita amalkan. Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin berkongsi cara untuk mendapat syafaat Rasulullah dan doa dari malaikat dalam program Pesona D’Zahra, di IKIMfm. Sifat manusia itu lemah dan terbatas kemampuannya. Dalam menghadapi rintangan kehidupan, mereka sentiasa memerlukan bantuan dan sokongan daripada Yang Maha Berkuasa. Allah SWT memerintahkan setiap hamba-Nya bergantung harap, bantuan dan petunjuk menerusi doa. Doa ialah ibadah dan senjata Mukmin. Doa tanda kelemahan hamba yang memerlukan pertolongan dan bantuan Allah SWT dalam menghadapi cabaran kehidupan. 

Kebiasaannya, doa yang kita panjatkan ke hadrat Allah SWT adalah untuk kebaikan diri sendiri atau sekadar ahli keluarga terdekat sahaja. Mendoakan orang lain bukan satu keutamaan dan amalan kita, sedangkan mendoakan kebaikan bagi orang tanpa pengetahuannya adalah sunah yang diamalkan oleh Nabi dan diikuti oleh orang salih.

Mencari Doa Daripada Orang Lain dalam Rancangan Pesona D’Zahra yang bersiaran setiap Isnin jam 10 pagi, minggu lalu mengupas berkenaan doa sesama Muslim. Ustaz Muhamad Abdullah al-Amin memetik sabda Rasulullah SAW: “Tidak beriman salah seorang antara kalian sehingga dia mencintai untuk saudaranya apa-apa yang dicintai untuk dirinya sendiri.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kejayaan dicapai berkat doa Merenung apa yang dikecapi hari ini, mungkin kita tidak menyangka kejayaan dicapai adalah hasil doa ikhlas orang lain buat kita. Walaupun berdoa itu satu keperluan dan rahmat untuk mengadu serta meminta sesuatu, Nabi Muhamad SAW juga mengajarkan umatnya supaya mendoakan orang lain. Malah nabi menjadikannya amalan dalam kehidupan mereka. Nabi Ibrahim juga mendoakan untuk zuriatnya sehingga muncul ramai nabi daripada keturunannya. Ia terakam dalam al-Quran: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung daripada orang yang salih!” (Surah as-Saffat, ayat 100)

Muhamad berkata, untuk mencari kejayaan dalam hidup, kita dianjurkan mencari doa orang lain selain mendoakan diri sendiri. Antara doa orang lain yang perlu dicari adalah doa daripada Nabi Muhammad SAW seperti mana hadis menyatakan syafaat Nabi Muhamad SAW itu benar-benar ada. Zahirkan cinta Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW amat sayang dan banyak berdoa untuk umatnya.

Cara mendapatkan doa daripada Nabi Muhammad SAW adalah dengan memiliki rasa cinta dan menzahirkan perasaan sayang serta cinta itu. Menunjukkan kita benar-benar beriman dengan Nabi Muhammad SAW adalah memperbanyakkan ucapan selawat kepada Baginda SAW. Mereka yang menyintai sesuatu atau seseorang akan selalu menyebut namanya maka sebutkanlah selawat ke atas Baginda dengan sebanyak-banyaknya. Selain itu, kita juga perlu berusaha mengamalkan sunah Nabi Muhammad sebagai menzahirkan rasa cinta kepada Baginda.

Antara sunah yang mudah diikuti dan diamalkan adalah senyum, memakai cincin, memanggil pasangan dengan panggilan yang baik, menunjukkan rasa kasih kepada isteri dan anak. Selain itu, menganjur majlis ilmu serta lain-lain amalan yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW. Usaha ini supaya kita dikurniakan nikmat paling bahagia iaitu apabila kita sekeluarga dimasukkan ke syurga bersama-sama.

Doa malaikat

Doa seterusnya yang perlu dicari adalah daripada malaikat kerana malaikat mendoakan kita pada setiap pagi dengan doa supaya Allah SWT menggandakan harta seseorang yang beramal salih. Selain itu, ketika kita berdoa bagi kebaikan orang lain, malaikat juga akan mendoakan dengan mengucapkan, “Amin dan bagi engkau apa yang engkau doakan.”

Malaikat juga mendoakan ketika kita berada dalam majlis ilmu. Oleh itu, jika tidak dapat menganjurkan sesuatu majlis, sekurang-kurangnya hadirlah ke majlis ilmu. Di situ malaikat akan melaporkan kepada Allah SWT dan meminta supaya mengampunkan dosa kita yang menganjurkan dan atas keikhlasan mereka yang hadir. Selain itu, malaikat turut mendoakan mereka yang menjaga adab. Contohnya mereka yang menjaga adab dalam majlis ilmu, adab makan, adab berkawan dan lain-lain. Jadi berusahalah mempelajari ilmu dalam berakhlak mulia supaya kita mendapat rezeki antara mereka yang didoakan oleh malaikat.

Perkongsian mencari doa orang lain akan bersambung minggu hadapan dalam rancangan Pesona D’Zahra dengan lebih banyak lagi saluran kebaikan dunia dan akhirat menerusi doa yang dipohon oleh orang lain untuk kita. Sementara itu, perbanyakkan bermujahadah supaya ikhlas dalam mendoakan kebaikan buat orang lain sebagaimana yang kita mahukan untuk diri sendiri supaya ia menjadi asbab kita mendapat doa daripada malaikat. Jauhi sifat putus asa dalam mengharap kasih dan rahmat Allah SWT, serta jadikan doa sebagai senjata menghadapi setiap ujian dalam kehidupan. Sentiasa ringankan lidah berzikir dan berdoa semoga dengannya kita beroleh kebaikan berpanjangan dan husnul khatimah.

7 Persiapan Sebelum Datangnya Kematian

Amal jariah bekalan akhirat

Merancang kehidupan yang baik di akhirat menerusi tujuh perkara dihuraikan oleh Ustaz Muhamad Abdullah Al Amin dalam rancangan Pesona D’Zahra.

Setiap hari manusia mengadakan perancangan dan melakukan banyak perkara bagi memastikan kehidupan di dunia sentiasa dalam keadaan terbaik. Aktviti seperti pelaburan kewangan, simpanan jangka pendek dan jangka panjang serta membeli insurans antara pengurusan kehidupan di dunia. Sebagai Muslim, kita meyakini terdapat kehidupan akhirat yang abadi. Justeru, seseorang Muslim yang bijak akan turut membuat perancangan bagi kehidupan akhirat yang tiada penghujungnya.

Mari kita renungkan adakah kita membuat persiapan sekiranya saat kematian itu datang? Apakah yang dapat kita bawa bersama sebagai teman setia yang akan membantu kita menghadapi saat getir di alam barzakh? Sabda Rasulullah SAW: “Orang yang paling bijaksana dalam kalangan kamu ialah orang yang bermuhasabah diri dan menyediakan bekalan amal salih sebelum menghadapi kematian, manakala orang yang tidak bijaksana ialah orang yang terpedaya dengan pujukan hawa nafsu dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah Taala (mengharapkan ganjaran Allah tanpa berusaha).” Hadis Riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah.

Rancangan Pesona D’Zahra di IKIMfm minggu ini bersama Ustaz Muhamad Abdullah Al Amin, membawa kita kepada peringatan mengenai pentingnya membuat perancangan untuk kehidupan akhirat dalam tajuk ‘Uruskan Akhirat’.

Terdapat tujuh perkara yang perlu diusahakan dan diselesaikan sebelum kita kembali kepada Maha Pencipta lagi Maha Berkuasa. Rukun Iman Mendahului senarai adalah Rukun Iman. Muslim yang sebenar perlu sentiasa meyakini keesaan Allah SWT dan memastikan tiada keraguan ke atas semua rukun imannya. Kita perlu waspada kerana syaitan akan sentiasa membuatkan hati manusia itu was-was dengan iman dan menimbulkan prasangka di hati manusia. Jika berlaku gangguan, mohon perlindungan daripada syaitan dengan ucapan ‘audzubillahi minasyaitan nirrajim’.

Berusaha untuk memahami sedalam-dalamnya dan memeriksa keyakinan kita terhadap kalimah ‘Lailahailallah’ bahawasanya Tiada Yang Berkuasa atas segala sesuatu kecuali Allah SWT.

Perkara yang kedua adalah memastikan kita melaksanakan semua Rukun Islam iaitu mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat lima waktu, berpuasa pada Ramadan, membayar zakat dan membuat pendaftaran bagi mengerjakan ibadah haji. Menyentuh berkenaan Rukun Islam yang memerintahkan umat Islam solat lima waktu sehari semalam, Rasulullah SAW bersabda: “Solat adalah amalan yang pertama disemak pada Hari Akhirat nanti. Jika solat diterima maka amalan lain juga akan diterima.” (Hadis Riwayat Tirmizi).

Ramai yang solat, tetapi mungkin tak ramai yang berupaya memperoleh khusyuk. Ada yang ketika solat fikirannya menerawang liar dan tidak memberi perhatian kepada solatnya. Khusyuk menjadi syarat sama ada solat seorang akan diterima oleh Allah. Jika khusyuk tidak wujud dalam diri orang yang menunaikan solat, maka ruang kosong itu pasti terisi dengan sifat lalai. Orang yang lalai tidak akan merasai keagungan Allah, sekalipun lidahnya mengucapkan kalimah yang mengandungi kata-kata pujian kepada Allah. Disebut Ustaz Muhamad, serendah-rendah khusyuk adalah menyedari diri sedang solat, manakala setinggi-tinggi khusyuk ditunjukkan sahabat Rasulullah yang minta dibedah ketika solat kerana kuatnya khusyuk hingga tidak berasa sakit. Jadi berusahalah mencapai solat terbaik agar akhirat nanti ia menjadi penyelamat utama daripada azab.

Yang keempat adalah berusaha meninggalkan perkara khurafat yang haram dari sudut akidah dan akhlak. Khurafat antara bentuk penyelewengan dalam akidah Islam. Amalan khurafat mengalih pergantungan manusia daripada khalik iaitu Allah kepada makhluk yang dicipta oleh Allah. Ada antara amalan yang secara sedar atau tidak adalah haram dilakukan. Terdapat pelbagai bentuk perkara khurafat yang menjadi amalan sebati yang diamalkan masyarakat Melayu Islam di negara ini. Antaranya adalah kepercayaan kepada keramat seperti kubur, pokok kayu, batu, tongkat, ramalan bintang, adat mandi safar atau adat mandi membuang sial. Ada juga kepercayaan kepada bertambah dan berkurangnya rezeki seperti adat memuja semangat padi yang dilakukan petani masa lampau, percaya kepada petanda dan pantang larang, seperti tidak boleh keluar rumah ketika gagak berbunyi, takut mendapat sial atau bala dan sebagainya. Pada zaman moden yang mana ilmu itu mudah diperoleh sepatutnya amalan seperti ini sudah tidak lagi diamalkan.

Perkara kelima disebut Ustaz Muhamad adalah masalah hutang. Dari Abi Hurairah RA katanya, bersabda Rasulullah SAW: “Roh seseorang Mukmin itu tergantung-gantung (dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan.” (Riwayat Al-Imam Al-Tarmizi).

Amalan tulis wasiat Beliau mengingatkan agar kita menjadikan amalan menulis surat wasiat dan menyenaraikan semua hutang yang ada lengkap dengan jumlah dan nama dan alamat orang yang memberi hutang dan menyerahkan kepada waris terdekat atau pemegang amanah. Ini supaya sekiranya kematian datang mengejut urusan hutang piutang ada pihak lain yang akan menyelesaikannya supaya rohnya kembali kepada Allah SWT dalam keadaan tenang. Menulis hutang adalah penting bagi seorang Muslim. Ia bukan sahaja mengingatkan si pemiutang akan tanggungjawab dan komitmennya ketika hidup, tetapi juga sebagai makluman dan tindakan kepada waris apabila kita sudah tiada.

Perkara keenam adalah menyempurnakan taubat. Taubat adalah penyesalan. Adakah kita selalu melakukan muhasabah dan menyatakan taubat dengan istighfar terhadap Allah SWT. Renungkan juga adakah lafaz istighfar itu benar-benar ikhlas atau sekadar kebiasaan. Jika kebiasaan ia menjadi zikir sahaja, tetapi sekiranya ucapan istighfar itu disertai penyesalan, insya-Allah ia akan menjadi penghapus dosa dan kesalahan yang diharapkan mampu menyelamatkan akhirat kita.

Akhirnya, perkara ketujuh adalah membuat amalan yang kekal pahalanya hingga selepas kematian. Apabila mati anak Adam terputuslah kepadanya pahala amalan kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang disampaikan dan anak salih yang mendoakan. Justeru, bagi mendapatkan pahala berterusan, carilah dan usahakan amalan yang boleh terus membantu kita mendapat kebaikan di akhirat. Antara sedekah jariah yang boleh diusahakan adalah harta yang diwakafkan termasuk tanah, rumah dan kebun untuk dimanfaatkan orang lain. Semoga dengan melaksanakan amalan yang baik dan dianjurkan Islam yang dinyatakan akan memberikan kita peluang mendapat husnul khatimah atau pengakhiran yang baik.

Utamakan Kebersihan, Kesihatan dalam Pemakanan

KITA sememangnya cukup obses dengan amalan pemakanan yang mengikut sunnah. Apa sahaja yang diperkatakan berkaitannya, lebih-lebih lagi produk-produk melibatkan makanan sunnah yang banyak berada di pasaran, pasti kita akan berusaha untuk memilikinya.

Bahkan aspek istiqamah dalam menjadikan ia satu amalan harian jatuh di tangga kedua, malah bukan satu persoalan penting kerana sikap itu wujud disebabkan setiap daripada Muslim mengetahui akan kelebihan dan kebaikan pengambilannya yang menjadi ikutan sejak 1, 400 tahun lalu.

Ini sejajar mengapa Rasulullah SAW diutuskan oleh Allah SWT sebagai rasul terakhir-Nya iaitu untuk membawa rahmat kepada seluruh isi alam ini. Di samping membawa perkara yang disifatkan sebagai penyempurnaan akhlak manusia.

Di antara perbuatan baginda yang perlu diikuti dan dihayati bersama adalah daripada aspek etika pemakanan ataupun tatacara pemakanan sihat.

Dalam hal itu, Rasulullah SAW merupakan seorang yang amat mementingkan khasiat dan kualiti makanan yang diambil, sekali gus manfaat daripadanya.

Ini selaras dengan hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmidzi yang bermaksud: “Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya (tulang punggung), melainkan jika ia tidak dapat mengelak. Maka isilah sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya dan sepertiga untuk nafasnya.”

Ditambah pula, etika Rasulullah SAW itu selari dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Makan dan minumlah tetapi jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebihan. (al-A’raf: 31)

Ketaksuban umat Islam itu diakui Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim ketika ditemui di pejabatnya di Bangi, baru-baru ini.

Pakar pemakanan Islam itu menyatakan bahawa sikap itu wujud kerana umat Islam di merata dunia mahu menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai contoh teladan dalam kehidupan mereka.

“Begitulah juga dalam soal pemakanan (atau minuman), kita akan berusaha mengikuti apa yang menjadi amalan Rasulullah SAW.

“Sebab kita tahu setiap makanan atau cara Nabi makan itu ada kebaikan. Contohnya, Nabi SAW banyak makan buah dan terbukti daripada segi saintifik, ia sesuai dengan makanan kesihatan,” kata Mohd. Izhar Ariff yang juga merupakan ahli Jawatankuasa Panel Halal Selangor.

Pada masa sama, Mohd. Izhar Ariff berkata, keterujaan umat Islam itu telah mendorong kepada pertumbuhan sebegitu banyak syarikat menjual produk berasaskan makanan sunnah dalam pelbagai bentuk.

Berdaya saing

Syarikat tersebut sama ada berskala kecil atau sederhana bukan hanya bersaing menawarkan produk yang terbaik tetapi menggunakan pelbagai pendekatan bagi menjadikan produk mereka lebih berdaya saing.

Ekoran daripada itu, banyak makanan atau minuman sunnah yang sebelum ini sukar didapati atau hanya ada mengikut musim tertentu, kini lebih mudah diperoleh, bahkan dijual dengan harga yang berpatutan.

Antara yang popular adalah kurma, minyak zaitun, susu kambing, madu, habatus sauda dan buah delima.

Selain dijadikan makanan harian, ia juga menjadi pilihan yang sangat digemari dalam menu diet sihat masa kini.

“Saya tidak menyalahkan ikhtiar pengusaha syarikat tersebut kerana ia memudahkan masyarakat Islam mengamalkan sunnah Nabi dalam soal makanan (atau minuman),” katanya.

Namun, beliau menegaskan bahawa pengusaha syarikat itu perlu memastikan setiap apa yang mereka dakwa itu seharusnya berasaskan dalil yang sahih.

Ini kerana, tambahnya ia berkait rapat dengan sifat amanah yang cukup dipentingkan oleh Islam sendiri.

“Selain itu, aspek penjagaan kebersihan dan kesihatan juga perlu menjadi keutamaan, sama ada semasa dalam proses penyediaan, pembungkusan mahupun penghantaran kepada pembeli.

“Ini kerana, saya khuatir mungkin disebabkan kecuaian terhadap aspek tersebut akan mengakibatkan produk tersebut tercemar atau kotor dan akhirnya, menyebabkan pengguna mengalami keracunan atau lebih teruk lagi, ia membawa kepada kematian,” katanya.

Kegagalan para pengusaha syarikat tersebut akan memberi gambaran atau imej yang tidak baik kepada amalan pemakanan sunnah itu.

“Hal ini turut membuka peluang dan ruang kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sewenang-wenangnya melabelkan imej secara negatif, walaupun yang bersalah itu adalah pelakunya,” kata Mohd Izhar Ariff.

Pikul amanah Allah

TIDAK dinafikan aspek kebersihan dan kesihatan dalam kitaran penghasilan produk makanan atau minuman sunnah bukanlah sesuatu yang baharu dalam kalangan organisasi perniagaan, sama ada ia berskala besar, sederhana atau kecil-kecilan, aspek di atas mesti menjadi penekanan utama. Lebih-lebih lagi, kredibiliti logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mampu melariskan jualan produk mereka itu.

Bagi pengusaha produk coklat kudapan berasaskan kurma, Choc Lyshanza, Ahmad Suhaimi menyifatkan kepatuhan tersebut bukan hanya kerana undang-undang negara tetapi tanggungjawab pihaknya sebagai seorang Muslim.

Beliau berkata, pengabaian aspek tersebut akan menimbulkan perspektif negatif bukan hanya dalam kalangan umat Islam tetapi bukan Islam terhadap amalan pemakanan sunnah.

“Saya menganggap ia sebagai satu tanggungjawab kerana ia adalah imej kepada Islam sendiri.

“Jika kotor dan tidak bersih, orang akan kata ia disebabkan oleh Islam dan bukannya manusia itu sendiri,” katanya ketika ditemui di kedainya di Klang, baru-baru ini.

Selain coklat kurma, syarikat Tebrau Takzim itu turut menawarkan produk berasaskan coklat yang sesuai untuk majlis perkahwinan, hari jadi atau kudapan sampingan kanak-kanak.

Selaras dengan pendirian tersebut, Ahmad menegaskan bahawa setiap biji kurma yang digunakan itu akan dibelah dua, bukan hanya supaya ia mudah disalut dengan coklat.

Tetapi, beliau menambah, apa yang lebih penting adalah untuk melihat keadaan bahagian dalam kurma.

Lagipun, kebanyakan buah kurma yang dipetik langsung dari pokoknya tidak akan dibersihkan bagi mengelakkannya kerosakan apabila diperap dalam kontena untuk tujuan eksport.

“Setakat ini hampir tiga hingga lima peratus, buah kurma itu kami terpaksa buang bagi mengelakkan wujudnya keracunan kepada pembeli,” katanya.

Dalam masa sama, Ahmad berkata, pihaknya turut memastikan pembekal bahan coklat itu memiliki sijil halal daripada Jakim memandangkan syarikat pembekal itu beribu pejabat di Belgium.

“Sijil halal itu amat penting bagi kami. Selain Jakim, kami turut merujuk kepada Lembaga Koko Malaysia kerana mereka ada senarai yang halal dan tidak halal,” katanya.

Begitu pun, beliau menafikan kitaran proses itu akan menyebabkan bebanan kos kerana semua itu boleh diatasi jika jadual pemprosesannya dipatuhi dengan teliti dan rapi.

“Bebanan kos sukar dielakkan jika pengusaha gagal mematuhi jadual kitaran pemprosesan produk mereka. Sebagai pengusaha, mereka perlu sentiasa inovatif dan kreatif dalam memastikan jadual kitaran pemprosesan dipatuhi semaksimum mungkin.

“Saya percaya jika kita berjaya mematuhinya, sudah pasti tidak akan ada pembaziran yang ketara,” jelas Ahmad.

Wujud pengabaian

Hakikatnya, umat Islam perlu memahami bahawa sunnah Nabi adalah merupakan perkara atau perbuatan yang berasaskan prinsip bukan hanya baik dan halal tetapi suci dan bersih.

Sejajar dengan itu, umat Islam perlu berpegang kepada prinsip tersebut dalam mengamalkan sunnah Nabi, termasuklah berkaitan dengan pemakanan atau minuman yang diamalkan oleh Rasulullah SAW.

Namun ada beberapa kes yang ditemui oleh jawatankuasa panel halal itu yang menunjukkan masih wujud pengabaian daripada aspek kebersihan dan kesihatan produk itu.

“Contohnya, ketika meluluskan pensijilan halal untuk produk-produk makanan sunnah, kita dapati ada kuman pada produk air atau makanan sunnah tersebut.

“Malah ada juga kes yang kita temui di mana para ustaz atau ustazah yang menghasilkan air Ruqyah tanpa menjaga kebersihan sehingga apabila melalui ujian makmal, ia didapati kotor atau ada kuman,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd. Izhar Ariff menyeru umat Islam supaya memastikan keinginan mendalam kepada aspek pemakanan sunnah sehingga kita mengambil mudah dan meremehkan perihal prinsip amalan itu.

Beliau percaya bahawa usaha itu juga akan menjadikan amalan pemakanan sunnah Rasulullah SAW dihormati dan diyakini, bukan hanya oleh umat Islam tetapi bukan Islam.

“Pada masa sama, masyarakat juga perlu memahami dengan jelas supaya mereka tidak mudah diperbodohkan oleh golongan yang suka mengambil kesempatan.

“Sekiranya mereka mahu membeli produk sunnah, maka perlu dipastikan terlebih dahulu tentang dalil dan sijil halal produk tersebut,” katanya

Antara Doa, Medium Sosial Saluran Luah Perasaan

Perkembangan teknologi hari ini menjadikan manusia semakin mencari medium baharu untuk meluahkan perasaan.

Kemunculan blog, Facebook, Twitter dan Instagram memberi peluang untuk sesiapa sahaja meluahkan serta melepaskan perasaan, lalu dibaca oleh jutaan orang di luar sana.

Nilai kesedihan kita dapat dicatat, dikongsikan dan dimuat naik bagi memastikan ada pihak yang bersimpati serta memberikan jawapan terhadap permasalahan sedang dihadapi. Begitulah cara kita mengurus kesedihan.

Minggu lalu, satu lagi perbincangan berkenaan dengan usaha ditunjukkan oleh seorang nabi dibincangkan dalam rancangan Ibrah oleh Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman. Perbincangan menumpukan kepada Nabi Zakaria.

Nabi Zakaria adalah penjaga kepada Saidatina Maryam, ibu Nabi Isa. Kisah bagaimana seorang yang sudah berusia 90 tahun mengurus kesedihan meluahkan perasaan kepada Allah SWT untuk dikurniakan zuriat. Nabi Zakaria menjadikan Allah SWT sebagai tempat mengadu segala hal dan permasalahan.

Ini dirakamkan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “(Ini ialah) perihal limpahan rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad), kepada hamba-Nya Zakaria. (Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan.” (Surah Maryam, 2-3)

Berdoa dengan penuh pengharapan

Allah SWT mendidik Baginda Nabi Muhammad SAW melalui kisah Nabi Zakaria. Allah SWT memberitahu Baginda bagaimana Nabi Zakaria memohon doa secara perlahan dan penuh dengan pengharapan.

Sebahagian ulama menyatakan, Nabi Zakaria berasakan Allah SWT terlalu hampir dengannya, menyebabkan Nabi Zakaria seolah-olah merayu supaya permintaannya dikabulkan.

Firman-Nya yang bermaksud: “Ia merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang-tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan aku – wahai Tuhanku – tidak pernah berasa hampa dengan doa permohonanku kepada-Mu.” (Surah Maryam, ayat 4)

Nabi Zakaria seorang yang tidak pernah berasa hampa dan kecewa dengan doanya. Walau bagaimanapun, beliau berasa gerun kerana mengikut logik akalnya, dalam keadaan usianya yang terlalu tua sehingga ubannya telah putih, memungkinkan dia tidak mendapat zuriat.

Isterinya pula dalam keadaan mandul. Namun, Nabi Zakaria menguruskan kesedihannya dengan merayu penuh pengharapan kepada Allah SWT kerana sebagai seorang Nabi tentulah dirasakan hanya Allah SWT sebagai tempat bergantung.

Nabi Zakaria merayu lagi, “Dan sesungguhnya aku berasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas agama sepeninggalanku; dan isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu, kurniakanlah daku dari sisi-Mu seorang anak lelaki. Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Nabi Yaakub; dan jadikanlah dia – wahai Tuhanku seorang yang diredai serta disukai.” (Surah Maryam, ayat 5-6)

Baginda memohon dikurniakan seorang anak lelaki untuk menyambung tugasnya sebagai Nabi jika dia sudah menemui Ilahi nanti. Lalu, akhirnya Allah SWT memakbulkan permintaan Nabi Zakaria .

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “(Nabi Zakaria diseru setelah dikabulkan doanya): Wahai Zakaria! Sesungguhnya Kami memberikan khabar yang menggembirakanmu dengan mengurniakan seorang anak lelaki bernama Yahya, yang kami tidak pernah jadikan sebelum itu, seorangpun yang senama dengannya.” (Surah Maryam, ayat 7)

Kisah dirakamkan dalam al-Quran ini adalah cerita yang memberikan motivasi kepada kita bagi memahami rakaman Allah SWT terhadap seorang daripada hamba-Nya yang penuh dengan ketaatan dan pengharapan akan dikabulkan permintaannya.

Pertama, Nabi Zakaria mengurus kesedihan dengan doa yang penuh lemah-lembut dan merasai Allah SWT betul-betul mendengar permintaannya. Sebahagian ulama menyatakan, Nabi Zakaria menghilangkan perkataan ‘Ya Allah’, tetapi diganti ‘Allah, Engkau Tuhanku’ dengan penuh rasa jiwa kehambaan.

Kedua, faktor pendesak seperti telah terlalu tua sehingga banyaknya uban, menjadikan Nabi Zakaria amat merasakan kesedihan dalam hatinya tidak dikurniakan seorang zuriat untuk menyambung perjuangannya.

Sebagai hamba, jika kita memohon sesuatu daripada Allah SWT, tentulah mempunyai sebab mengapa ingin doa kita dimakbulkan oleh Allah SWT. Bukanlah permintaan dan permohonan kita itu hanya untuk melepaskan hajat semata-mata tetapi mempunyai ‘asbab’ penting supaya diterima.

Nabi Zakaria tak pernah bosan berdoa

Ketiga, Nabi Zakaria tidak pernah berasa bosan meluahkan permintaannya dalam doa. Oleh itu, dalam keadaan kita diuji dengan sesuatu perkara yang tidak mampu ditanggung, wajar sebagai hamba untuk terus berdoa tanpa henti biarpun dalam keadaan senang atau susah.

Keempat, kepercayaan terhadap kuasa Allah SWT menentukan sesuatu perkara itu adalah lebih utama. Memikirkan logik akal, seorang yang sudah di hujung usia dan mempunyai isteri yang mandul, pastilah tidak akan dapat melahirkan zuriat.

Bagaimanapun, Allah SWT ingin mendidik jiwa hamba bahawa faktor penentu sesuatu kehendak dan keputusan bukanlah di tangan kita sebagai makhluk, tetapi atas kudrat Allah SWT.

Justeru, memahami perjalanan kisah Nabi Zakaria memberi teladan kepada kita sejauh mana untuk kita (hamba) mengurus kesedihan. Kita berhak meminta, Allah SWT berhak memakbulkan permintaan hamba-Nya

Syifa'ul Qalbi

Listen to Quran

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga