Rebut Peluang Berbakti Kepada Ibu Bapa

Anak yang memberi layanan baik, bersabar menjaga orang tua dianugerahkan syurga.

Kasih ibu yang sejati tidak boleh dinilai dengan harta benda, mahupun wang ringgit dan emas permata.Mereka yang mempunyai anak pasti dapat menjiwai betapa hebat dan meluasnya kasih sayang ibu terhadap anak.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud "Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendak-Nya, hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati” – Riwayat al-Hakim

Rasulullah SAW bersabda: “Jaga baik-baik ibumu, kerana sesungguhnya syurga itu di bawah telapak kaki ibu.” ( Riwayat An-Nasa’ie dan Ahmad)

Pengorbanan ibu yang tiada bandingannya itu telah diiktiraf dan diperakui Rasulullah SAW melalui sabda Baginda: “Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.” (Riwayat Al- Hakim)

Rasulullah SAW juga membawa khabar gembira kepada mereka yang berbuat baik kepada ibu bapa di mana sebagai balasan, Allah SWT mengampuni mereka. Baginda juga membawa berita buruk kepada yang menderhaka ibu bapa kerana Allah SWT tidak akan memberi keampunan.

Imam al-Ghazali berkata, cara hidup kita di dunia adalah bayangan cara kehidupan di akhirat nanti. Maknanya, mereka yang memberi layanan buruk kepada kedua ibu bapa akan diberi layanan buruk juga di hari pembalasan kelak.

Binasalah mereka yang mempunyai ibu bapa yang sudah lanjut usianya, sedangkan mereka tidak berbakti terhadap kedua-duanya. Hal itu terus menjadi ujian kepada anak-anak yang menyebabkan mereka terhalang daripada mencium syurga Allah SWT.

Abdullah bin Amr berkata, seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah, aku datang untuk berjihad bersama Baginda kerana aku ingin mencari redha Allah dan hari akhirat. Tetapi aku datang ke sini dengan meninggalkan ibu bapaku dalam keadaan menangis. Lalu Baginda menasihati lelaki itu seraya bersabda: Pulanglah kepada mereka. Jadikanlah mereka tertawa seperti tadi engkau jadikan mereka menangis.” (Riwayat Ibnu Majah)

Islam memberi sanjungan yang tinggi buat seorang ibu. Anak dilarang keras menyergah atau menyakiti ibu sendiri apa lagi memaki hamun serta membiarkan ibu dalam keadaan merempat. Jika ini berlaku, anak telah menempah untuk menghuni neraka sejak hidup di dunia lagi.

Rasulullah SAW bersabda: “Tiga manusia tidak akan masuk syurga, iaitu orang yang menderhaka kedua-dua ibu bapanya, lelaki yang tidak menjaga maruah keluarganya (dayus) dan perempuan yang menyerupai lelaki.” (Riwayat Nasa’ie, Bazzar dan al-Hakim)

Ketika berada pada usia tua, ibu hilang semua tenaga, semakin lemah dan memerlukan penjagaan yang rapi. Mereka juga mudah tersinggung dan amat sensitif. Justeru, anak perlu faham keadaan ibu yang mengharapkan perhatian serta belaian anak.

Diriwayatkan, pernah seorang sahabat mengadu kepada Rasulullah SAW mengenai perangai ibunya yang suka meminta-minta kepadanya. Baginda marah kepada sahabat itu dan mengatakan bukan saja harta, malahan dalam dirinya sendiri ada hak ibu bapanya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Kami mewasiatkan (memerintahkan) kepada manusia itu supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan menderita kelemahan demi kelemahan, dan cerai susukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu. KepadaKu tempat kembali.” (Surah Luqman, ayat 14).

Mereka yang tidak berbakti kepada ibu bapa yang sudah lanjut usia, tindakan itu menyebabkan mereka terhalang daripada mencium bau syurga.

Ingatlah semua kita akan tua dan melalui hari-hari tua yang nasibnya tidak kita ketahui apakah akan berjalan baik atau sebaliknya. Jika kita mahukan anak berbakti kepada kita yang sudah tua nanti, tunjukkan contoh kepada anak dengan berbakti kepada ibu bapa kini.

Rebutlah peluang menjaga dan memelihara mereka supaya kita tidak dihantui penyesalan sepanjang hidup di dunia.

Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga