5 TIPS KESIHATAN CARA RASULULLAH SAW

Sebagaimana yang kita ketahui, Rasulullah SAW hanya dua kali sakit, iaitu tatkala menerima wahyu pertama. ketika itu beliau mengalami ketakutan yang amat sangat kerana malaikat Jibril menampakkan bentuk aslinya sehingga menimbulkan demam hebat. Satu lagi, menjelang kewafatan Baginda SAW. Saat itu Baginda SAW mengalami sakit yang sangat teruk sehingga akhirnya meninggal dunia.

Dari situ dapatlah kita simpulkan bahawa Rasulullah SAW mempunyai fizikal yang sihat dan daya tahan yang luar biasa. Padahal kita tahu di negara Arab sana, cuacanya sangat panas dan tandus. Siapa pun yang mampu bertahan berpuluh-puluh tahun dalam kondisi tersebut, tambah lagi, berpuluh-puluh kali peperangan yang dilalui, pastilah memiliki daya tahan tubuh yang cukup kental.

Mengapa Rasulullah SAW Jarang Sakit?

Persoalan ini menarik untuk diutarakan. Secara lahiriah, Rasulullah SAW jarang sakit kerana Baginda SAW mampu mencegah hal-hal yang berpotensi mendatangkan penyakit. Dengan kata lain, Baginda SAW sangat menekankan aspek pencegahan daripada perubatan. Jika kita telaah Al-Qur’an dan As-Sunnah, maka kita akan menemui sekian banyak petunjuk yang mengarah kepada pencegahan. Hal ini adalah indikasi betapa Rasulullah SAW sangat peduli terhadap kesihatan. Dalam Shahih Bukhari sahaja, tidak kurang daripada 80 hadis yang membicarakan hal ini. Belum lagi yang tersebar meluas dalam kitab Shahih Muslim, Sunan Abu Dawud, Tirmidzi, Baihaqi, Ahmad dan sebagainya.

Ada lima cara Rasulullah SAW menjaga kesihatan.

Pertama, bersikap selektif terhadap makanan. 

Tidak ada makanan yang masuk ke mulut Baginda SAW, kecuali makanan tersebut memenuhi syarat halal dan thayyib (baik). Halal berkaitan dengan urusan akhirat, iaitu halal cara mendapatkannya dan halal barangnya. Sedangkan thayyib berkaitan dengan urusan duniawi, seperti baik tidaknya atau bergizi tidaknya makanan yang dimakan tersebut. Salah satu makanan kegemaran Rasul SAW adalah madu. Baginda SAW biasa meminum madu yang dicampur air untuk membersihan air liur dan system pencernaan. Rasulullah SAW bersabda, “Hendaknya kalian menggunakan dua jenis ubat, iaitu madu dan Al-Qur’an” (HR. Ibnu Majah dan Hakim).

Kedua, tidak makan sebelum lapar dan berhenti makan sebelum kenyang.

Caranya, kapasiti perut dibahagi kepada tiga bahagian, iaitu sepertiga untuk makanan (zat padat), sepertiga untuk minuman (zat cair), dan sepertiga lagi untuk udara (gas). Disabdakan, “Anak Adam tidak memenuhkan suatu tempat yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi mereka beberapa suap yang dapat memfungsikan tubuhnya. Kalau tidak ditemukan jalan lain, maka (ia dapat mengisi perutnya) dengan sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman, dan sepertiganya lagi untuk pernafasan.” (HR Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).

Ketiga, makan dengan tenang, bertuma’ninah (bukan solat saja ada tuma’ninah tau), tidak tergesa-gesa dan dengan tempo sederhana. 

Apa hikmahnya? Cara makan seperti ini akan menghindarkan diri daripada tersedak, tergigit dan kerja organ pencernaan pun menjadi lebih ringan. Makanan dapat dikunyah dengan lebih baik, sehingga kerja organ pencernaan berjalan dengan sempurna. Makanan yang tidak dikunyah dengan baik akan sukar dicerna.

Keempat, tidur awal dan bangun awal. 

Baginda SAW tidur di awal malam dan bangun pada pertengahan malam kedua. 

Biasanya, Rasulullah SAW bangun dan bersiwak, lalu berwudhu’ dan solat sampai waktu yang diizinkan Allah SWT. Baginda SAW tidak pernah tidur melebihi yang sepatutnya, namun tidak pula menahan diri untuk tidur sekadar yang diperlukan. 

Penelitian Daniel F Kripke, ahli psikiatri dari Universiti California menarik untuk diungkapkan. Penelitian yang dilakukan di Jepun dan Amerika Syarikat selama 6 tahun dengan responden berusia 30-120 tahun mengatakan bahwa orang yang tidur 8 jam sehari memiliki risiko kematian yang lebih cepat, berlawanan dengan mereka yang biasa tidur 6-7 jam sehari. Selain itu, cara tidur Baginda SAW pun sarat makna. Ibnul Qayyim Al-Jauziyyah dalam buku Kaedah Perubatan Nabi SAW mengungkapkan bahawa Rasulullah SAW tidur dengan mengiringkan tubuh ke arah kanan, sambil berzikir kepada Allah SWT hingga matanya terasa berat. Terkadang Baginda SAW mengiringkan badannya ke sebelah kiri sebentar, untuk kemudian kembali ke sebelah kanan. Tidur seperti ini merupakan tidur paling efisien.

Rasulullah SAW juga menganjurkan kita untuk tidur dengan mengiring ke arah kanan. Berdasarkan tinjauan anatomi dan fisiologi, manfaat tidur sebegini mampu merehatkan otak kiri kerana otak kiri menyarafi bahagian tubuh sebelah kanan yang lebih banyak bekerja di siang hari. Selain itu ia juga membantu mengurangi beban jantung, merehatkan lambung dan merehatkan pengosongan pundi hempedu dan pankreas.

Kelima, istiqamah melakukan puasa sunat, di luar bulan Ramadhan. Antara puasa-puasa sunat yang dianjurkan Baginda SAW seperti puasa sunat Isnin dan Khamis, puasa sunat Nabi Daud, puasa sunat enam hari di bulan Syawal dan sebagainya. Puasa adalah perisai terhadap pelbagai penyakit jasmani mahupun rohani. Pengaruhnya dalam menjaga kesihatan, melebur berbagai-bagai sisa makanan dan menahan diri daripada makanan berbahaya sangatlah luar biasa. Puasa sangat berkesan untuk proses detoksifikasi (pembersihan toksin) kerana sifatnya yang total dan menyeluruh.

Selain daripada lima cara hidup yang sihat ini, banyak lagi kebiasaan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW untuk kita teladani. Dalam buku Jejak Sejarah Kedoktoran Islam, Dr. Ja’far Khadem Yamani menukilkan lebih daripada 25 pola hidup Rasulullah SAW berkaitan kesihatan, sebahagian besarnya bersifat pencegahan. Antaranya adalah cara bersuci, cara ‘memanjakan’ mata, keutamaan berkhatan, keutamaan senyum dan lain-lain lagi.

Apa yang lebih penting daripada ikhtiar lahiriah, Rasulullah SAW sangat mantap dalam ibadah ritualnya, khususnya solat. Baginda SAW juga memiliki keterampilan sempurna dalam mengawal emosi, fikiran dan hati. Penelitian-penelitian terkini dalam bidang kesihatan membuktikan bahwa kemampuan dalam mengawal hati, fikiran dan perasaan, serta hubungan yang mantap dengan Zat Yang Maha Tinggi akan menentukan kualiti kesihatan seseorang, jasmani dan rohani.

Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga