Usia baligh sama ada bagi anak lelaki ataupun perempuan adalah proses semula jadi yang dialami setiap manusia. Ia adalah petanda perubahan seorang kanak-kanak ke alam dewasa yang lebih mencabar. Menjadi kewajipan kepada ibu bapa memberikan penjelasan dan pengetahuan mengenai tanda-tanda baligh dan tanggungjawab yang perlu mereka pikul setelah mencapai usia dewasa.
Jelaskan tiga perkara asas
Semua perkara ini perlu dilakukan setahun atau dua tahun sebelum mereka mencapai usia matang. Tiga perkara asas yang perlu dijelaskan kepada anak-anak sebelum mereka baligh:
1. Mengenali darah haid bagi perempuan dan air mani dan mimpi basah bagi lelaki. Sebaiknya ibu memainkan peranan menjelaskan mengenai kedatangan haid bagi anak gadis yang mencapai usia tertentu sekitar sembilan atau 10 tahun. Kesan daripada pengeluaran darah haid ini mungkin menyebabkan anak berasa sakit sedikit atau sakit yang teruk seperti senggugut. Dia juga mungkin berasa lemah dan tidak bermaya untuk melakukan kerja-kerja lain.
Bagi lelaki pula, ayah lebih sesuai memberikan penjelasan mengenai baligh dan mimpi basah pertama yang menandakan akil baligh. Dalam usia anak mencapai 12 hingga 15 tahun, mereka sudah mula mengalami mimpi basah, iaitu mimpi yang menyebabkan mereka mengeluarkan air mani. Ciri-ciri air mani yang pekat, bewarna keputihan dan baunya perlu diterangkan kepada anak. Sekiranya tidak, dibimbangi anak tidak dapat mengetahui dia telah bermimpi basah dan tidak mandi wajib.
2. Menjelaskan perubahan yang berlaku ke atas fizikal dan emosi mereka bagi membantu mereka menghadapinya dengan baik.
a. Perubahan fizikal dan mental bagi anak gadis yang telah baligh.
- Payudara menjadi lebih besar daripada sebelum ini. Pembesaran secara perlahan-lahan ini kadang kala menyebabkan kesakitan kepada mereka hingga tidak boleh disentuh.
- Bulu ari-ari mula tumbuh pada bahagian ari-ari. Mereka perlu diajar mencukur bagi menjaga kebersihan bahagian sulit.
b. Perubahan fizikal dan emosi lelaki yang baligh:
- Suara menjadi garau dan serak.
- Bulu ari-ari mula tumbuh pada bahagian pubik.
- Otot tubuh mula kelihatan.
- Misai dan janggut tumbuh.
3. Mengajar kepada mereka hukum hakam bagi anak yang sudah baligh.
a. Kewajipan melaksanakan ibadat bagi anak yang sudah baligh adalah seperti orang dewasa. Apabila baligh, mereka sudah wajib menunaikan solat fardu dan puasa Ramadan dengan sempurna. Sekiranya sebelum baligh ibu bapa sudah mendidik mereka bersolat dan berpuasa dengan baik, tiada masalah bagi mereka meneruskan tanggungjawab ini dengan sempurna.
b. Pengharaman beribadah seperti solat, membaca dan memegang al-Quran dan puasa ketika sedang haid.
c. Mengenali waktu permulaan dan pengakhiran darah haid bagi mengetahui waktu wajib melakukan ibadah dan waktu diharamkan. Tempoh minimum haid adalah sehari semalam, tempoh biasa ialah tujuh hari tujuh malam sementara paling lama ialah selama 15 hari. Selepas hari ke-15, darah yang keluar dianggap sebagai darah istihadhah yang mewajibkan perempuan bersolat. Mereka perlu diajar bersuci, berwuduk dan bersolat dalam keadaan istihadah.
d. Menunjukkan tatacara mandi wajib selepas bersih daripada haid atau selepas mimpi basah atau selepas keluar air mani. Kecuaian dalam mendidik anak mandi wajib dengan sempurna menyebabkan hadas besar tidak terangkat dan segala ibadah yang mewajibkan bersih daripada hadas besar, menjadi tidak sah.
e. Menguruskan tuala wanita yang telah digunakan. Tuala wanita yang mempunyai darah haid perlu diuruskan dengan baik. Tuala yang berdarah ini sebaiknya dibasuh dulu hingga hilang kesan darah padanya sebelum dibuang ke dalam tong sampah atau lebih baik ditanam.
Perlu pelihara aurat
f. Membimbing mereka memelihara aurat mereka dan memelihara pandangan mereka daripada melihat aurat orang lain. Apabila baligh, berlaku perubahan pada tubuh anak gadis hingga menjadikannya lebih wanita daripada sebelum ini. Justeru, mereka perlu memelihara aurat mereka dan memakai pakaian yang memelihara aurat dengan sempurna. Mereka juga perlu dilatih agar memelihara pandangan mereka daripada melihat aurat orang lain dan melihat perkara yang boleh menaikkan syahwat seperti menonton televisyen dan melayari internet.
g. Hadkan pergaulan mereka dengan kawan-kawan dan ahli keluarga. Sekiranya sebelum ini, anak gadis bebas bermain bersama adik beradik, saudara mara dan jiran yang berlainan jantina, selepas baligh pergaulan seperti ini perlu dihadkan. Senda gurau antara adik beradik juga ada had tertentu. Malah mereka juga perlu menjaga batasan mereka dengan ibu bapa mereka sendiri. Tidak boleh lagi berpeluk cium secara berlebih dengan abang, adik lelaki, ayah, bapa saudara atau datuk.
h. Memelihara aurat waktu dengan meminta izin terlebih dulu sebelum memasuki bilik ibu bapa atau saudara yang sudah berkelamin. Firman Allah berkaitan isu ini bermaksud:
“Wahai orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang yang belum baligh daripada kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu) dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang Subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah solat Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian dari tiga masa berkenaan, (kerana mereka) orang yang selalu keluar masuk di antara kamu dan mereka.
Dan apabila kanak-kanak daripada kalangan kamu telah baligh, maka hendaklah mereka meminta izin sama seperti cara minta izin orang yang berkenaan dulu, Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. – (Surah an-Nur, ayat 23-24)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan