15 KESILAPAN IBUBAPA DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK

Anak-anak adalah amanah dari ALLAH s.w.t. dan ianya sebahagian dari ujian ALLAH s.w.t. kepada kita hamba-hamba-Nya. Orang yang malang ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya tidak membawa kebaikan kepadanya di akhirat.

Rasulullah SAW diberitakan telah bersabda : "Tahukah engkau siapakah orang yang mandul." Berkata para sahabat : "Orang yang mandul ialah orang yang tidak mempunyai anak." Lalu Rasulullah SAW berkata : "Orang yang mandul itu ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya itu tidak memberi kemanfaatan kepadanya sesudah ia meninggal dunia."

Kesilapan pertama: Kurang berdoa

a) Kurang berdoa semasa mengandung.

Antara doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa mengandung ialah Saidul (penghulu) Istighfar Doa memohon rahmat ( Ali Imran : 8-9) Doa memohon zuriat yang baik (Ali Imran : 38) Doa agar anak mengerjakan solat (Ibrahim  : 40-41)

b) Kurang berdoa semasa membesarkan anak.

Doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa anak membesar ialah Doa agar anak patuh kepada ALLAH s.w.t. (Al-Baqarah :128) Doa diberi zuriat yang menyejukkan hati (Al-Furqan : 74) Doa supaya nama anak membawa kebaikan kepadanya.

Kesilapan kedua: Banyak memberi belaian Tarhib (menakutkan) daripada Targhib (didikan atau motivasi) seperti: menakutkan anak-anak dengan sekolah, menakutkan dengan tempat gelap, menakutkan dengan hutan rimba atau bukit bukau, menggunakan kekerasan dan paksaan semasa menyuruh anak tidur.

Kesilapan ketiga: Tidak tegas dalam mendidik anak-anak, tidak menjadualkan kegiatan harian anak-anak, terlalu memfokuskan anak-anak kepada sesuatu aktiviti sahaja tanpa mengambil kira perasaan mereka.

Kesilapan keempat: Menegur anak secara negatif seperti mengeluarkan kata-kata kesat dan maki hamun kepada anak-anak (terutama semasa marah). Membandingkan anak-anak dengan anak-anak lain atau anak orang lain.

Kesilapan kelima: Memberi didikan yang tidak seimbang antara jasmani (physical), rohani (spiritual) dan minda (intelektual). Ramai yang lebih mementingkan pendidikan minda dari pendidikan rohani

Kesilapan keenam: Kurang memberi sentuhan kepada semua anak-anak sedangkan Rasulullah kerap dilihat mendukung cucu-cucunya dan mencium mereka. Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. : Pada suatu hari Rasulullah SAW mencium Al-Hassan atau Al-Hussien bin Ali r.a. Ketika itu Aqra' bin Habis At-Tamimi sedang berada di rumah baginda. Berkata Aqra' : "Ya Rasulallah! Aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah mencium seorang pun dari mereka." Rasulullah melihat kepada Aqra' kemudian berkata : "Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi."-(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kesilapan ketujuh: Penampilan diri yang kurang anggun dan kurang kemas. Ibu bapa tidak menunjukkan cara berpakaian yang kemas dan yang menepati kehendak syarak bila berada di rumah, iaitu berpakaian secara selekeh atau berpakaian seksi dihadapan anak-anaknya.

Kesilapan kelapan: Susunan rumahtangga yang tidak kemas. Ini mengakibatkan anak-anak terikut-ikut dengan cara itu dan membesar menjadi pemalas dan selekeh.

Kesilapan kesembilan: Kurang menghidupkan sunnah di rumah seperti memberi salam, makan berjemaah, beribadah bersama-sama, dan sebagainya. Dalam menjawab salam, lazimkanlah menjawab salam dengan yang lebih baik dari salam yang diberi.

Kesilapan kesepuluh: Tidak menggantungkan rotan di tempat yang mudah dilihat oleh anak-anak. Dalam Islam, merotan anak dengan tujuan mendidik adalah satu sunnah.

Kesilapan kesebelas: Kurang mendedahkan anak-anak dengan model yang cemerlang seperti para ulama' dan orang-orang yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia. Anak-anak juga patut didedahkan dengan sembahyang jemaah, kuliah agama dan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan akhlak Islam.

Kesilapan keduabelas: Bertengkar di depan anak-anak. Ini akan menyebabkan anak-anak rasa tertekan dan membenci salah seorang dari ibubapanya.

Kesilapan ketigabelas: Membenarkan orang yang tidak elok sahsiyahnya masuk ke dalam rumah kita, baik dari kalangan sahabat sendiri ataupun sahabat anak-anak, kerana ini akan memberikan contoh yang tidak baik kepada anak-anak yang masih membesar.

Kesilapan keempatbelas: Kurang mengawasi rancangan-rancangan yang ditonton samada dari TV ataupun video. Pengawasan dalam hal ini adalah penting kerana kebanyakan rancangan dari media ini menonjolkan akhlak yang kurang baik seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pakaian yang tidak menepati syarak dan perbualan yang boleh merosakkan agama anak-anak.

Kesilapan kelimabelas: Terlalu bergantung kepada pembantu rumah untuk mendidik anak-anak. Sebagai ibubapa kitalah yang akan disoal di akhirat kelak akan anak-anak ini. Oleh itu adalah menjadi satu kepentingan kita untuk berusaha memastikan anak-anak terdidik dengan didikan Islam.

Didik anak cintai al-Quran

GENERASI muda hari ini banyak terdedah dengan pelbagai jenis budaya hidup yang tidak menentu. Ada waktunya mereka sendiri menjadi keliru untuk mengikut rentak budaya itu sendiri kerana tiadanya motif, khusus yang ingin ditonjolkan oleh budaya tersebut.

Prinsip hidup memerlukan pegangan yang kuat dan utuh. Dengan pegangan yang kuat sahajalah, seseorang itu akan dapat menyelamatkan dirinya daripada mudah terjerumus ke kancah kehidupan yang tidak diredai Allah SWT.

Suatu amalan yang boleh mengelakkan diri seseorang itu khususnya generasi mudah daripada mudah terikut-ikut dengan gejala yang tidak sihat yang dibawa oleh budaya asing ini ialah dengan mendekatkan diri dengan al-Quran.

Al-Quran mempunyai pelbagai hikmah, pengajaran, sejarah, kisah-kisah perjuangan para anbia dan perkhabaran ghaib yang pastinya, menjanjikan kesejahteraan dan kebahagiaan dan kesejahteraan hidup insan di dunia dan di akhirat. Sekiranya kita benar-benar menghayati dan mendalami segala apa yang dianjurkan oleh agama yang terkandung di dalam kitab suci al-Quran.

Di dalam surah al-Maidah ayat 15-16 Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya daripada Allah dan kitab yang menerangkannya. Dengan kitab itulah Allah memimpin orang yang mengikuti keredaan-Nya.

Membaca al-Quran dengan penuh penghayatan adalah berbeza dengan membaca tanpa mempunyai matlamat yang tertentu dalam pembacaan tersebut.

Ini kerana mengenali al-Quran jika hanya dengan membaca tanpa mengikut sistem tajwid dan mengetahui tafsiran di sebalik ayat yang dibaca, maka sudah pasti tidak akan terhasil apa-apa kesan fizikal dan mental kepada orang yang membacanya.

Celik al-Quran

Sebagai pemimpin kepada anak-anak yang sedang menuju kedewasaan, wajarlah ibu bapa membimbing anak-anak untuk menjadi generasi celik al-Quran. Ini selaras dengan usaha kerajaan sendiri melalui program j-QAF yang kini sedang diajar di sekolah-sekolah rendah.

Di dalam surah al-Qamar ayat 17 pula, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya kami memudahkan al-Quran untuk diingati, maka adakah orang yang mahu mengambil pelajaran?

Maka Q daripada singkatan j-QAF dalam program tersebut adalah mewakili subjek al-Quran yang kini diberi pendekatan yang lebih luas dan besar apabila murid-murid Tahun Satu diperkenalkan dengan kelas tasmi? Quran selain belajar sistem Iqra? di kelas biasa. Inilah antara proses asas kecintaan terhadap al-Quran yang diterapkan kepada anak-anak seawal umur tujuh tahun.

Antara usaha yang boleh dibuat dalam melengkapi usaha yang dinyatakan tadi ialah:

1) Melatih anak-anak dan remaja membaca al-Quran dengan sempurna 

2) Melatih anak-anak menulis semula mana-mana ayat yang telah dibaca.

3) Memberi mereka kefahaman tentang isi kandungan Al-Quran.

4) Melatih mereka menghafaz ayat-ayat al-Quran.

5) Mendidik mereka mendalami al-Quran dalam kehidupan seharian.

Namun apa yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa dan penjaga ialah mereka hendaklah terlebih dahulu melengkapkan diri dengan beberapa usaha yang dinyatakan di atas agar nanti tidak mendidik anak-anak dengan kaedah yang salah dan terpesong.


Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga